Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, April 29, 2013

Ziarah dan umrah 2013 - Nyaris jadi mutawif sebelum dapat membawa isteri berjalan


Kemudian saya harus berjalan lagi 850 meter untuk kembali ke hotel di mana berlaku pula satu hal yang akan diceritakan pada artikel akan datang, satu hal yang menyebabkan saya hampir-hampir mengambil-alih tugas penuh seorang mutawif... :]

Sekarang cerita akan masuk hari ke-2 berada di Madinah. Di celah-celah itu akan diceritakan apa yang dimaksudkan dengan ayat atas di mana saya hampir mengambil-alih tugas seorang mutawif.


Pagi Khamis 4 April 2013, dua buah bas sudah sedia menunggu untuk membawa jemaah kami berjalan-jalan melihat tempat-tempat menarik di luar pusat kota Madinah.


Sebelum itu kami hampir-hampir tidak keluar berziarah. Kami diberitahu oleh seorang ustazah yang menjadi mutawif bagi satu kumpulan yang mengambil penerbangan lain Kuala Lumpur ke Jeddah 1 April tetapi melalui agensi yang sama bahawa setahunya belum sampai masa untuk kami menaiki bas membuat ziarah kerana kumpulan kami sampai lambat satu hari. Rujuk balik cerita pada artikel Ziarah dan umrah 2013 - 'Menjakunkan' diri di KLIA dan dugaan 1 April diikuti Ziarah dan umrah 2013 - Sampai Jeddah setelah lebih 26 jam tertunda.... Sekarang baru saya boleh bercerita bagaimana saya nyaris-nyaris mengambil-alih kerja-kerja mutawif.


Selepas sehari suntuk berjalan ke merata tempat bersendirian mengambil gambar macam-macam hari Rabu saya kembali ke hotel lewat malam. Datang isteri mencari saya lalu mengadu sudah berlaku satu masalah siang itu. Seorang ahli jemaah perempuan telah jatuh tergelincir lalu patah tangan di Masjid Nabawi. Tetapi katanya tidak ada mutawif mahupun wakil agensi yang dapat menolong mahupun bertindak. 

Keadaan ini menyebabkan isteri tidak dapat mengikuti rombongan wanita masuk ke Raudhah. Seorang ahli jemaah perempuan yang rapat dengan orang yang tercedera pula terpaksa mengambil inisiatif menghantarnya ke hospital memastikan dia mendapat bantuan. Apabila saya dan isteri bertemu dengannya di hotel dia mengadu bagaimana orang yang sepatutnya menjadi mutawif seperti menolak tanggungjawab.

Hmm. Rasa berat pula nak cerita butirannya. Kalau boleh saya mahu ia dilepaskan dari dada tanpa terlalu memperlihatkan kelemahan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab. Cukuplah dikatakan, pada malam itu baru kami tahu jemaah kami 79 orang sebenarnya tidak memiliki mutawif yang benar-benar menjaga rombongan. Sebaliknya apa yang kami ada adalah seorang haji yang cuma bertanggungjawab membawa dan menjaga jemaah belasan orang dari Kelantan sambil diminta 'menengok-nengokkan' yang lain.

Perkara ini tidak susah kalau tidak timbul masalah. Tetapi setelah berlaku peristiwa penerbangan tertunda di mana beberapa orang ahli jemaah termasuk saya harus mengambil inisiatif sendiri memastikan keselesaan kumpulan (rujuk Ziarah dan umrah 2013 - 'Menjakunkan' diri di KLIA dan dugaan 1 April) kami mula ragu-ragu akan kepimpinan orang yang katanya menjaga jemaah kami. Perkara jadi lebih rumit apabila timbul masalah jemaah patah tangan. Ketika menilai keadaan itulah baru kami sedar kedudukan sebenar kami tidak memiliki mutawif sepenuh masa untuk menjaga jemaah.

Sambil itu kami dapat tahu ada ustazah menjaga jemaah penerbangan lain tapi dari agensi kami juga lalu bertemu dia lewat malam bertanyakan pendapat. Kemudian kami sama-sama  berjumpa haji tadi lalu berlaku peristiwa beliau mengaku bahawa beliau sebenarnya cuma menjaga belasan orang dari Kelantan. Apabila ditanya sanggupkah beliau terus mengendalikan jemaah keseluruhan melihatkan masalah demi masalah yang timbul beliau menyatakan tidak. Sejurus itu ustazah yang memang bekerja dengan agensi mencadangkan saya mengambil-alih tugas lalu buku hitam tugasan pun diserahkan kepada saya.

Di atas adalah gambar isteri saya bersama sejumlah ahli jemaah di hadapan Masjid Quba, masjid pertama didirikan sebaik sahaja Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Quba di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Malam itu saya termenung panjang cuba melelapkan mata. Saya terfikir apakah siang Rabu hingga malam saya diberi peluang mengambil gambar merata tempat sehingga puas kerana ada tugasan perlu digalas? Apakah saya ditakdirkan harus menjaga jemaah? Saya bukan tahu pun cakap Arab namun boleh meminta pertolongan mereka yang tahu. Kata ustazah saya cuma perlu menghubungi dan memastikan kelancaran program bersama mutawif di Madinah kemudian mutawif di Mekah. Saya harus memastikan kebajikan jemaah, paspot semua orang harus dipegang selepas check-out dari hotel, jaga dalam perjalanan Madinah ke Mekah kemudian Mekah ke Jeddah apabila mahu kembali ke tanah air.

Uish. Banyak tugas ni. Saya tak pernah buat kerja ni. Apakah ini ujian setelah saya berjaya melaksanakan 4 kali acara HIKMAH dalam tempoh 5 bulan? Sambil itu saya harus memikirkan hal ahli jemaah yang patah tangan dan masuk hospital. Bagaimana dia nanti? Apakah yang perlu saya buat dan aturkan? Saya tidur dalam keadaan berdoa agar Allah SWT tunjukkan dalam mimpi bagaimana saya mahu menangani ini.

Di atas adalah gambar orang berniaga di hadapan Masjid Qubah. Saya teringat tahun 2005 pertama kali membeli tasbih di sekitar ini lalu digunakan untuk berzikir sambil menghilangkan rasa marah dan resah. Lihat artikel lama Umrah 2005 - Madinah. Antara makam Rasulullah, persoalan antara Nur dengan bekas isteri juga anak, dan gatal melihat perempuan....


Awal pagi Khamis saya bangun tanpa mendapat apa-apa mimpi ataupun ilham bagaimana mahu mengatur perkara. Ketika bersarapan pagi jumpa lagi ustazah. Ketika itu jemaah kami tidak tahu apakah program seterusnya, apakah ada ziarah kerana tidak terpampang atau tertulis program di mana-mana. Saya cuma diminta ustazah agar menelefon mutawif Madinah tapi tak diangkat. Apapun saya memanggil jemaah lain untuk mendapatkan perhatian. Ustazah pun mengumumkan saya diberi tugas sebagai mutawif baru dan beberapa orang ahli jemaah bersetuju untuk membantu.

Di atas adalah gambar di dataran Uhud, menghadap banjaran bukit besar (ke gunung?) yang dikenali sebagai Jabal Uhud. Di sinilah berlakunya Perang Uhud yang menyebabkan ramai orang Islam termasuk bapa saudara Nabi, Saidina Hamzah mati syahid. Lihat artikel Tapak perang Uhud (Site of the battle of Uhud).


Selepas pengumuman pengambil-alihan tugas dibuat saya meminta ustazah menerangkan lagi tugas-tugas saya, kali ini sambil diperhatikan ramai ahli jemaah. Sambil saya memujuk diri untuk menerima tugasan saya sebenarnya ada rasa tak puas hati. Walaupun saya menganggap ini mungkin tanggungjawab yang diberi oleh Allah, ada beberapa perkara disebut ustazah tentang masalah yang dihadapi jemaah kami sebenarnya menyinggung perasaan beberapa orang. Sambil bercakap gaya orang motivasi beliau seperti menyalahkan kami. Bayangkan boleh sebut begini... ada orang niat tak betul, ada orang tak solat taubat, sebab tu timbul masalah.

Selepas itu ada yang berkongsi rasa tidak puas hati kepada saya. Agensi tidak dapat menyelesaikan masalah sekarang jemaah pula yang dipersalahkan dan disuruh menggalas tugas. Ah. Nampaknya kalau terus begini nanti saya juga akan dipersalahkan jika timbul apa-apa masalah baru nanti. Saya terlihat isteri mula menangis dalam diam duduk keseorangan. 

Sepatutnya hari Khamis ini mahu digunakan untuk membawa beliau berjalan-jalan ke tempat-tempat yang pernah saya jejaki. Kalau dah diberi tugasan begini bagaimana saya mahu memberi perhatian kepada isteri? Malah perhatian pada ibadah pun boleh terganggu. Saya bukan mutawif atau dilatih sebegitu. Saya datang ke Tanah Suci meninggalkan selonggok masalah di tanah air yang mahu ditangani kemudian, harapnya dengan berkat ketenangan ziarah di Madinah dan umrah di Mekah. Kini saya telah dilonggokkan masalah dalam keadaan yang orang lain lihat dan nampak agensi seperti melepaskan tangan. Kalau begitu apakah saya sebenarnya diberi tugasan atau telah dibodohkan?



Melihat isteri mula menangis terisak-isak saya mula naik angin. Ini adalah kali pertama isteri sampai ke Tanah Suci, dengan niat untuk melepaskan nazar selain beribadah. Nampaknya ketenangan kami suami isteri sudah terganggu dengan hal ini. Saya naik angin lalu mencampakkan buku hitam tugasan ke hadapan ustazah. Saya tidak peduli lagi, saya tidak mahu terima tugasan ini. Pandai-pandailah ustazah dan pihak agensi menyelesaikan masalah dan melancarkan apa yang patut. Ini bukan tugas saya. Untuk hari ini saya sudah berjanji untuk membawa isteri berjalan-jalan setelah hari sebelumnya saya berjalan sendiri.

Di atas adalah gambar di hadapan puncak sebuah bukit kecil di mana Rasulullah SAW telah meletakkan pasukan pemanah dalam Perang Uhud. Lihat artikel Views from the archer's hill at Uhud di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Ustazah mengambil buku sambil tersenyum kemudian meminta diri. Katanya dia perlu menguruskan jemaahnya pula. Kemudian baru saya diberitahu beliau telah kembali ke bilik dan menangis dahulu. Maaf ustazah kerana saya telah berkasar. Namun saya harus jujur dengan perasaan dan menjaga hati isteri yang disayangi.

Sekonyong-konyong itu terasa lepas beban yang besar di dada. Tentang kelancaran dan keselesaan jemaah nanti kan agensi ada? Lagipun kami semua kan tetamu Allah dan Rasul. Tahulah Tuhan sekalian alam dan kekasihNya mengatur perkara. 

Sedang kami termangu-mangu tak tahu apa nak dibuat seterusnya, ada yang sudah fikir nak keluar shopping dan sebagainya, ada kawan kami memberitahu bas sudah sedia membawa jemaah untuk berjalan. Kalau ikut cakap ustazah tadi esoknya baru ada. Di atas adalah gambar di hadapan kawasan pemakaman syuhada Perang Uhud. Lihat Makam Saidina Hamzah dan para syuhada Uhud (Tomb of Saidina Hamzah and the martyrs of Uhud).


Di hadapan pemakaman ada papan tanda dengan isi yang serupa seperti di tanah perkuburan Baqi' di sebelah Masjid Nabawi. Nampaknya kerajaan Arab Saudi ni takut sangat orang menyembah kubur kalau diberi peluang melihat lebih dekat. Jangankan itu... naik Jabal Uhud mahupun bukit kecil tempat pemanah pun sampai perlu tulis tidak digalakkan. Apalah yang risau sangat kalau orang nak lihat keadaan dengan mata kepala sendiri ikut jejak Rasulullah SAW?


Dari Uhud kami ke sebuah kebun kurma berdekatan yang ada gudang menjual kurma. Shopping sakan le orang ramai. Lihat Shopping for dates at a plantation.


Selepas itu bas membawa kami kembali ke hotel. Saya dan isteri tak masuk pun hotel. Sebaliknya saya terus mengajaknya mengikuti jejak yang saya buat hari Rabu... terus ke Masjid Imam Bukhari kemudian ke Masjid Abu Dzar (rujuk  Ziarah dan umrah 2013 - Masjid Nabawi, Raudhah dan tempat-tempat menarik di sekeliling). Kemudian kami makan di kedai kebab berdekatan dan minum air buah.


Adapun semasa kembali dari ladang kurma tadi bas ada lalu di sebuah masjid yang menarik tapi tak singgah kerana katanya sudah kesuntukan masa. Dalam program asal kami ada disebut sepatutnya kami singgah. Sebaliknya kami diberitahu kalau nak boleh naik teksi atau pengangkutan awam lain.


Saya dan isteri pun pergi bersama. Memang saya ada berjanji akan membawanya ke sini kerana ia adalah salah satu tempat bersejarah paling penting di Madinah. Lihat Masjid (Mosque of) Qiblatain.


Ketika membuat u-turn untuk ke Masjid Qiblatain saya ada terlihat sebuah masjid kecil dalam kawasan bernama Ber Othman (atau Bir Othman). Kata pemandu teksi ini kerana di sekitarnya pernah terdapat telaga yang digali Saidina Uthman. Selepas puas melihat Masjid Qiblatain saya pun berjalan kaki sekitar 450 meter ke sana. Isteri menunggu di taman sebelah Masjid Qiblatain. Lihat Masjid kecil di (Small mosque at) Bir Othman.


Kami mendapatkan teksi lain untuk terus ke Masjid Nabawi. Kelihatan dalam gambar Masjid Tujuh (katanya dulu memang ada 7 buah masjid berdekatan) tapi rasanya tak sempat nak singgah.


Sampai ke Masjid Nabawi saya sempat bersolat jemaah Zuhur tapi di perkarangan. Ketika ini isteri telah pergi ke kawasan solat perempuan.


Selepas solat saya menuju ke pintu Babussalam lalu terlihat hamparan permaidani yang nyaman di luar. Sempatlah berbaring malah terlelap sebentar.


Masuk masjid saya berbaring dan terlelap lagi. Selepas itu saya berjalan-jalan ke beberapa tempat di dalam sebelum solat Asar berjemaah.


Selesai solat saya keluar dari pintu besar ke utara.


Dari situ kita boleh melihat bukit besar yang dipanggil Jabal Uhud. Melihat bukit ini (saya harus memadankan gambar-gambar dan melihat kedudukan di Google Earth sebelum pasti inilah Jabal Uhud dilihat dari Masjid Nabawi), baru saya faham kenapa Rasululah SAW banyak menggunakan Jabal Uhud sebagai perumpamaan, kalau tak salah ingatan, "Dosa sebesar Jabal Uhud", "Emas sebesar Jabal Uhud". Kerana ia memang banjaran gunung/bukit terbesar yang boleh dilihat dari sini.


Isteri telah berjanji untuk berjumpa di pintu nombor 16 di perkarangan Masjid Nabawi selepas Asar, pintu yang boleh membawa kami berjalan lurus ke hotel. Saya pun membawa beliau menyambung jejak ziarah yang saya buat hari Rabu. Saya tunjukkan di manakah tempat Saidina Abu Bakar diba'iah menjadi khalifah sebelum pergi ke Masjid Ali.


Posing pula di Masjid Abu Bakar.


Lalu di Masjid Ghamama tengok-tengok ia dibuka. Kami pun singgah malah membuat keputusan untuk bersolat Maghrib di sini.


Saya sempat menunjukkan kepada isteri kedudukan Masjid Saidina Umar sebelum kembali ke Masjid Nabawi untuk menikmati suasana malam Jumaat.


Kami berpecah tanpa berjanji mahu berjumpa kemudiannya. Selepas solat Isyaq saya dapat duduk lama di kawasan Raudah bersebelahan makam Nabi. Isteri kemudian memberitahu beliau juga dapat menjejakkan kaki di Raudhah dan duduk lama ketika sesi khas untuk kaum wanita selepas itu. Puas hatinya selepas terlepas peluang untuk ke kawasan berkat, taman dari syurga ini malam sebelumnya akibat hal jemaah patah tangan yang seperti tidak terjaga.

Saya pula puas hati kerana dapat mengotakan janji membawa isteri ke beberapa tempat yang sudah saya jejaki. Apabila disemak balik menggunakan program Google Earth,  saya dapati telah berjalan kaki tidak kurang 8.5 km hari itu. Isteri berjalan kaki kurang sedikit kerana ada tempat-tempat yang tidak diikuti misalnya ke masjid kecil di Bir Othman. Tapi saya percaya dalam sedar tak sedar beliau telah berjalan kaki lebih kurang 6 km.



Jumaat, April 26, 2013

Ziarah dan umrah 2013 - Masjid Nabawi, Raudhah dan tempat-tempat menarik di sekeliling

Assalamualaikum semua. Pada artikel Car Book Sale, Hari buku sedunia dan kaki terpele'ot yang dibuat hari Selasa ada disebut bahawa saya mengalami kecederaan kaki akibat tergelincir ketika melompat di Perpustakaan Negara. Esoknya setelah dibuat x-ray ternyata saya mengalami keretakan tulang bukulali lalu harus disimen hingga ke peha. Keadaan ini menyulitkan saya untuk menyambung penceritaan ziarah dan umrah 2013. Namun sejak malam Jumaat saya telah berusaha lalu berjaya menyiapkan 16 buah artikel sokongan di blogspots saya yang lain. Sekarang barulah penceritaan boleh disambung dari artikel sebelumnya, Ziarah dan umrah 2013 - Sampai Jeddah setelah lebih 26 jam tertunda....


Setelah lebih 4 jam perjalanan bas dari Jeddah kami pun sampai ke Madinah selepas jam 9 pagi. Lihat artikel Going to Medina di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Selepas berehat sejam dua di hotel sambil mengecas bateri kamera saya pun mengorak langkah untuk melihat Madinah. Tempat pertama tentunya Masjid Nabawi, masjid Nabi.


Hotel kami terletak cuma 200 meter dari perkarangan masjid. Untuk hari pertama di Madinah ini saya mahu berjalan sendirian lalu menyuruh isteri mengisi masa bersama kawan-kawan perempuan sejemaah.


Sambil beribadah saya mahu mengambil gambar dalam masjid sebanyak yang mungkin. Saya ingat, pada lawatan tahun 2005 asyik ditahan dan ditanya penjaga masjid jika ada membawa kamera. Jika ada mereka menyuruh kita meninggalkannya di luar. Penjaga malah sanggup menggeledah beg kecil juga melihat jika ada disorokkan kamera di celah kasut dan lain-lain tempat. 

Memikirkan ini saya telah membeli telefon bimbit baru yang memiliki kamera beresolusi rendah. Sambil itu saya juga membawa kamera digital beresolusi tinggi untuk gambar lebih cantik. Kalau lepas dapatlah ambil gambar cantik, kalau tidak, gambar telefon pun jadilah sebab mereka tidak boleh menahan kita dari membawa telefon masuk ke dalam masjid kerana ia keperluan umum. Selepas itu saya bercadang untuk mencari sejumlah masjid bersejarah yang saya dapat tahu wujud di sekeliling tetapi tidak pasti lokasinya. Lain kali bila dah tahu kedudukan bolehlah dibawa isteri...


Alhamdulillah, saya dapat masuk ke dalam masjid tanpa ditanya mahupun ditahan. Rupanya ramai juga orang dapat masuk membawa kamera kecil ataupun compact. Bukan itu sahaja. Tanpa disedari saya dapat masuk ke kawasan Raudhah yang disebut Nabi Muhammad SAW sebagai sebuah taman dari syurga. Memang saya mahu menuju ke tempat yang menjadi rebutan orang ramai mendapatkan berkat itu tetapi tidaklah terlalu awal. Sepanjang ingatan, saya cuma berjaya masuk selepas solat Zuhur walhal saya sebenarnya telah menjejakkan kaki lebih awal tetapi baru malam semalam saya tersedar, ketika membuat artikel Masjid (Mosque of) Nabawi  di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Artikel itu menunjukkan keadaan dalam masjid sebelum Zuhur. Selepas itu saya keluar dari pintu timur yang menghadap tanah perkuburan Baqi'.


Saya teringin untuk menziarahi makam tertentu di dalam sana. Tetapi tanah perkuburan sedang ditutup.


Sampai waktu Zuhur saya kembali masuk ke Masjid Nabawi. Selepas itu baru saya betul-betul mencuba untuk masuk ke Raudhah (masuk sebelum itu memang tidak disengajakan dan tidak dirancang malah tidak disedari sehinggalah disemak kembali gambar-gambar malam semalam). Lihat artikel Finding a way to Raudhah inside the Masjid Nabawi.


Seperti biasa, saya akan keluar masjid melepasi makam Nabi Muhammad SAW yang terkandung di sebalik panel-panel besi ini. Turut terdapat di belakang adalah makam Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan makam Saidina Umar al-Faruq.


Selepas makam baru kita dapat keluar dari pintu Baqi' yang terletak di timur atau sisi kiri masjid menghadap tanah perkuburan Baqi'. Apabila mendapat ia masih tertutup saya melihat ke dalam dari satu sisi. Lihat Tanah perkuburan (Burial ground of) Baqi'.



Selepas itu saya kembali ke sisi kiri masjid lalu menuju ke utara. Terlihat sebuah masjid lain berdekatan lalu singgah ke situ. Lihat Masjid (Mosque of) Imam Bukhari. 


Selepas itu saya terlihat sebuah lagi masjid lebih jauh ke utara. Lihat Masjid (Mosque of) Abu Dzar al-Ghifari.


Dari situ saya mengambil jalan ke barat melepasi hotel lalu membelok ke selatan menyusuri sebuah jalan yang terletak selari dengan sisi kanan Masjid Nabawi. Ketika itulah saya terlihat satu tempat bersejarah di mana Saidina Abu Bakar dikatakan diangkat menjadi khalifah. Lihat (The place called) Sokaifat Bani Saedah.


Dengan menyusuri jalan itu juga saya dapat melawat 3 buah masjid bersejarah yang terletak berdekatan antara satu sama lain. Lihat Masjid (Mosque of) Saidina Ali, Masjid (Mosque of) Saidina Abu Bakar dan Masjid (Mosque of) Ghamama.




Namun saya masih belum puas hati. Saya terlihat sebuah lagi masjid tetapi terletak sedikit jauh ke selatan.

Saya sanggup masuk ke dalam walaupun kawasan pagarnya sudah ditutup kepada awam kerana kerja-kerja pembangunan di sekeliling masjid. Ternyata saya tidak membuat keputusan yang salah kerana ia juga memang masjid bersejarah. Lihat Masjid (Mosque of) Saidina Umar.


Seterusnya saya ke Masjid Bilal yang sudah dipastikan kedudukannya ketika bas dari Jeddah menghampiri hotel. Terjumpa dahulu sebuah lagi masjid. Lihat Masjid (Mosque of) Zilnurin dan Masjid (Mosque of) Bilal.


Saya bersolat Asar di Masjid Bilal sebelum menuju kembali ke Masjid Nabawi yang terletak lebih 500 meter ke utaranya. Ketika itulah saya terlihat ramai orang baru habis bersolat Asar di masjid Nabi berpusu-pusu masuk ke tanah perkuburan Baqi' yang sudah dibuka.


Saya pun mengikut sama masuk. Walaupun tanah perkuburan memang dibuka pada waktu-waktu tertentu, cuma orang lelaki sahaja dibenarkan masuk. Polis dan penjaga pula melarang orang ramai daripada terlalu bertumpu pada mana-mana makam atas alasan takut berlaku syirik.


Adapun tujuan utama saya ke Baqi' adalah untuk menziarahi makam cucu sulung Rasulullah SAW iaitu Saidina Hassan. Orang ramai cuma dibenarkan melihat dari jauh, mungkin kerana di sebelah makam tersebut terdapat makam 3 orang lagi keturunan Nabi yang diangkat tinggi oleh penganut Syiah. Lihat Makam Saidina Hassan dan sejumlah keluarga Nabi (Tomb of Saidina Hassan and a number of the Prophet's family). Apapun Baqi' memang sebuah tempat bersejarah kerana ramai sahabat Nabi dimakamkan di sini. Lihat Looking inside Baqi'.


Selepas itu saya berehat di hotel. Masuk waktu malam baru saya berjalan lagi ke Masjid Nabawi. Sungguh meriah suasana masjid ketika itu. Lihat Masjid Nabawi at night.


Saya dapat masuk ke Raudhah lagi malah bersolat Isyaq berjemaah betul-betul di hadapan Mihrab Nabi.

Saya juga berpeluang beramal di bahagian Raudhah yang terdekat dengan Makam Nabi.


Ketika keluar lagi, saya terasa mahu mengambil gambar diri sendiri di hadapan makam...


Walaupun sudah keluar saya masih tidak puas berada di sekitar lalu berbaring malah tidur sebentar di hadapan masjid. Sesungguhnya saya kepenatan tetapi puas. Apabila disemak dengan program Google Earth, dari siang saya sudah berjalan kaki sekitar 10 km sebelum terbaring begini. Kemudian saya harus berjalan lagi 850 meter untuk kembali ke hotel di mana berlaku pula satu hal yang akan diceritakan pada artikel akan datang, satu hal yang menyebabkan saya hampir-hampir mengambil-alih tugas penuh seorang mutawif... :]