Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Disember 08, 2006

Susahnya nak berjuang! Sambungan ke 2 artikel permulaan 2002 tadi...

Sambungan daripada posting sebelumnya... Sekali lagi ingat! Pandangan saya tentang individu tertentu yang disebut dalam artikel ini telah jauh berubah walaupun saya masih menghormatinya sebagai seorang tua yang telah memberi banyak pengajaran kepada saya. OK, ini sambungannya...


-----------------


Dipendekkan cerita, semakin lama saya dapati usaha saya untuk mengetengahkan peradaban tinggi melalui penulisan sukan semaking terhalang. Semakin lama, semakin banyak artikel dipotong tinggal tulang. Alasan yang diberi oleh bos ialah ruang di akhbar tidak mencukupi untuk memuatkan tulisan saya sedang ada penulis lain yang dibenarkan menulis berjela-jela walaupun isinya tak seberapa. Apa yang saya nampak, ada usaha untuk mengurangkan pengaruh saya kerana tulisan saya telah mendapat tempat di hati sesetengah pembaca yang juga terdiri dari orang-orang berpengaruh di persada politik dan perniagaan tanah air. Yang pasti memang ada yang tidak menyenangi tulisan saya atau keakraban saya dengan sesetengah orang-orang ternama. Malah seorang wartawan lama yang saya anggap kawan rapat pernah menuduh saya cuma ingin bergaul dengan orang "besar-besar" sahaja kerana kepentingan peribadi atau mencari imbuhan tertentu. 

Hati saya benar-benar terguris. Nampaknya niat saya untuk mengetengahkan satu wawasan yang murni tidak bermakna langsung pada orang seperti itu. Kalau orang yang saya anggap kawan rapat boleh merasa begini apatah lagi orang yang memang dah terang-terangan nampak iri hati dan tercabar dengan cara saya bekerja dan tahap penulisan saya. Masyaallah. Berhari-berhari saya menangis meminta hidayah dan kekuatan dari Allah. Baru saya faham macam-mana orang yang ingin memperjuangkan kebenaran boleh dituduh macam-macam oleh orang yang tak faham atau buat-buat tak faham. Sampai satu peringkat, saya rasa betul-betul patah hati dengan keadaan. Saya masih boleh tahan difitnah dan dituduh macam-macam tetapi bila artikel saya asyik dipotong atau tidak diterima, apa lagi patut saya buat kerana itulah wadah perjuangan saya. 

Walaupun begitu, saya masih lagi cuba bertahan. Sampailah peristiwa September 11 di New York. Saya rasakan ia sebagai tanda besar bermulanya zaman fitnah seperti yang pernah saya baca dalam sesetengah kitab. Sebagai orang yang mempunyai kecenderungan kepada bidang Tasauf dan percaya pada gerak hati, saya merasakan bahawa perjuangan yang jujur buat masa ini akan lebih mendatangkan kesedihan atau "heart-break". Bayangkanlah tiap-tiap hari selama lima tahun sebagai wartawan saya berfikir berat macam-mana nak membawa wawasan dan impian saya melalui penulisan dengan halangan-halangan yang ada dan ruangan dalam akhbar yang sempit. Memang saya rasa penat. Tetapi disebabkan ketika itu saya masih diperlukan untuk meliputi sukan-sukan tertentu dalan Sukan Sea, saya ketepikan dahulu perasaan. 

Selesai sahaja Sukan Sea, saya mula rasa berat untuk bekerja. Sudahlah saya selalu terpaksa meninggalkan rumah untuk memenuhi tuntutan pekerjaan dan wawasan yang tidak kira masa, usaha saya tidak begitu dipedulikan di tempat kerja sendiri. Mungkin lebih elok kalau saya ikut sahaja rentak orang lain, "play-safe", gaji tetap jalan dan gaji saya memang agak lumayan tetapi saya lebih rela mati dari berkerja semata-mata untuk cari makan. Sebab itu sampai satu masa, saya tidak pergi kerja selama beberapa hari dan tidak mahu menjawab bila diberi surat tunjuk sebab. Saya betul-betul rasa hilang semangat dan disia-siakan.. Kalau orang yang terlibat benar-benar jujur mahu memahami masalah saya, mereka boleh bersemuka dan bertanya cerita yang sebenarnya. Malah saya telah mengemukakan alasan saya dalam satu surat yang saya utarakan kepada beberapa pihak untuk memohon ditukarkan ke bahagian lain. Sebaliknya saya dipecat 24 jam atas arahan pihak yang paling atas! Kalau ikut aturan biasa, saya patut dikenakan tindakan disiplin dahulu sebelum tindakan lain menyusul tapi mereka yang terlibat nampaknya tidak peduli langsung sumbangan saya selama beberapa tahun. Pampasan, walhal gaji sebulan pun tak bagi. 

Apapun bukan susah sangat saya nak cari kerja lain. Tapi saya rasa serik bekerja di bawah orang. Saya sedar lebih banyak orang yang mementingkan perut dan ego sendiri dari memperjuangkan kebenaran. Dan mereka ini senang rasa tercabar bila kita menunjukkan sedikit kelebihan. Rasanya lebih elok saya bekerja secara "freelance". 

Sebab itu saya tergerak nak jumpa Pak Habib. Walaupun ada orang menganggap beliau tidak lebih dari penulis upahan dan orang yang menggunakan pena untuk kepentingan diri, hati kecil saya berkata saya akan menjumpai kesesuaian dengannya. Yalah, saya pun pernah dituduh cuba berbaik-baik dengan orang besar untuk mencapai kesenangan walaupun saya beria-ia menghad pergaulan saya atau "keep a distance" supaya tidak melanggar prinsip saya yang tak mahu terlibat dengan budaya "I scratch your back you scratch my back". 

Apa-apa pun saya mesti jumpa orangnya dulu. Tengok dengan mata kepala sendiri, dengar apa yang dia kata sebelum membuat apa- apa penilaian. Alhamdulillah, Pak Habib yang selalu sibuk dapat dihubungi pada hari itu. Anak saudaranya yang bergiat dalam dunia lakonan telah membawa beberapa kawan seangkatannya menemani saya untuk bertemu dengan beliau di kediamannya di Janda Baik. Dia pula sanggup bergegas dari Kuala Lumpur untuk menemui kami. Di situ saya dapat melihat yang Pak Habib ni agak "simple" orangnya dan sanggup menolong orang. Gerak hati saya menyatakan memang kami boleh "click". Dan memang pun. Seperti saya, beliau juga cenderung kepada pengajian Tasauf dan tidak suka menonjolkan kepercayaan kuat pada agama melalui pakaian dan sifat luaran. Ah, memang kami boleh geng. Cuma disebabkan kawan-kawan yang ada ketika itu kurang cenderung dalam hal ini, saya terpaksa mengekang keinginan untuk berbual mengenai ilmu Hakikat sehinggalah yang lain-lain balik meninggalkan kami bersendirian. 

Apa yang pasti, Pak Habib pada saya bukanlah seperti digambarkan sesetengah orang. Saya bukan mengharapkan pertolongan sangat, cuma seseorang yang boleh diajak berbual perkara-perkara yang jarang dapat dibincang dengan orang lain dengan jujur. Beliau tidak menghadapi sebarang masalah untuk memahami tekanan yang saya hadapi di New Straits Times malah beliau menggalakkan saya terus berpegang pada prinsip dan wawasan yang ingin saya bawa. Apa orang lain nak kata, katalah. Yang penting Tuhan tahu niat kita. Pak Habib juga memberi semangat untuk saya menjadi penulis bebas tanpa gaji tetap. 

"Engkau kena hidup macam harimau. Jalan sana sini tak payah bawak bekal hidup makan daging jugak," katanya. "Jangan jadi lembu dalam kandang nak orang bagi makan memanjang last-last orang makan. Tengok macam aku dah tulis macam-macam buku boleh hidup jugak. Rezeki di tangan Allah. Jangan nak hidup makan gaji je." 

Pada Pak Habib lah saya menceritakan rancangan saya untuk menulis sebuah buku mengenai komplot golongan Zionis untuk menakluki dunia. Walaupun perkara ini sebenarnya sudah lama diperkatakan orang seperti cerita-cerita tentang golongan Freemason yang pernah kecoh satu masa dahulu, saya rasa baru sekarang perkara ini menjadi begitu nyata susulan peristiwa September 11. Tetapi pada masa itu, saya tidak beritahu Pak Habib kenapa saya rasa begitu terpanggil untuk menulis buku ini. Ini disebabkan ia ada kena mengena dengan sebuah mimpi yang saya lalui lebih kurang sebulan sebelum World Trade Centre di New York itu roboh. Tak perlulah saya ceritakan tentang mimpi itu kerana isinya sangat berat dan ada kena-mengena dengan salasilah keturunan saya. Cukuplah kalau saya katakan ia juga ada kena mengena dengan apa yang berlaku di persada dunia kebelakangan ini menyebabkan saya tidak nyenyak tidur selama beberapa bulan kerana asyik mengkaji dan berfikir cerita-cerita berkenaan rancangan Zionis dari pelbagai sumber . 

Sekembali ke Kuala Lumpur, saya terus mengatur langkah untuk memulakan penulisan. Kebanyakan isi sudah saya kumpulkan tetapi saya tiada alat untuk menulis. Saya memerlukan sebuah komputer laptop sendiri kerana komputer kegunaan saya dahulu telah dipulangkan ke New Straits Times. Nasib baik ada skim membeli komputer KWSP. Semasa saya menguruskan pembelian komputer, terserempak pula dengan Pak Habib di Plaza Pekeliling. Dia tanya bila saya hendak mulakan buku. Saya jawab sebaik saja dapat laptop, dalam masa sebulan gitu. 

Tapi balik saja ke rumah, jiwa saya meronta-ronta hendak memulakan penulisan. Hampir setiap malam saya terfikirkan isi dan gaya cerita yang ingin saya ketengahkan. Sampai satu malam, saya tidak dapat tidur langsung kerana terlalu gelisah. Akhirnya saya bergegas ke rumah saudara di Damansara Heights, tidak jauh dari rumah saya di Segambut kerana hendak menggunakan komputer di sana. Walaupun saya datang awal Subuh, ibu saudara saya tidak berapa kisah kerana sudah faham perangai saya. Saya kata saya dah tak tahan nak menulis dan terus memulakan mukaddimah dengan semangat berkobar-kobar sampai tak ingat makan dan minum. Sedar-sedar dah masuk waktu Asar. Saya telah menulis satu bab penuh selain dari mukadimah. Sayangnya, bila saya baca dan teliti balik, aturan isi dan gaya bahasa yang tercoret tidak seperti yang saya inginkan. 

Masa itulah saya sedar bukan senang nak tulis buku. Mood mesti betul. Semangat yang berkobar-kobar dengan segala bahan yang ada sebenarnya belum mencukupi . Keluarga pula asyik bertanya bila saya nak cari kerja tetap kerana kurang yakin dengan keputusan saya untuk jadi penulis bebas. Keadaan ini sedikit sebanyak mengganggu fikiran dan tumpuan menyebabkan saya tidak dapat menyampaikan isi dengan cara yang terbaik. 

Sebenarnya bukan saya tidak ingin bekerja langsung. Cuma saya perlu berfikir panjang kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Semangat saya untuk mewujudkan peradaban tinggi di Malaysia tetap berkobar-kobar tapi saya sedar kebanyakan orang tidak dapat memahami hal ini. Mereka lebih mementingkan periuk nasi dari prinsip yang betul. Kalau ikutkan tak susah saya nak dapat kerja. Saya ada kelulusan tinggi di samping pengalaman yang berguna. Saya juga mempunyai banyak kenalan berpangkat tinggi di merata tempat. Tapi apa bezanya saya dengan orang lain yang menyalah-gunakan kedudukan atau bersifat kroni jika saya menggunakan kelebihan ini sewenang-wenangnya. Prinsip adalah penting bagi saya. 

Walau apapun, saya pernah mencuba mencari peluang pekerjaan lagi di New Straits Times selepas lebih empat bulan meninggalkannya. Saya ke sana untuk mencari ruang menulis dari luar kerana masih sayangkan akhbar itu. Maklumlah saya membesar dan belajar bahasa Inggeris dengan membaca NST. Saya ada "sentimental attachement". Janggal dan berat rasanya hendak menulis di tempat lain walaupun saya pernah ditawarkan untuk berbuat begitu. Oleh kerana ramai yang mengenali saya di NST, tidak susah untuk saya mendapat persetujuan untuk menulis sebagai "contributor" untuk ruangan-ruangan tertentu. 

Tetapi sebaik sahaja keluar kawasan pejabat, saya telah ditahan oleh pengawal keselamatan. Katanya saya sepatutnya tidak boleh berada di situ. Saya telah diharamkan dari memasuki lingkungan pagar NST atas arahan orang yang paling atas. Orang luar pun boleh masuk sampai ke ruang menunggu tapi saya yang pernah berkhidmat selama lima tahun dan mengenali hampir seluruh pelusuk warga kerja di sana boleh diharamkan dari memasuki kawasan pagar. Sampai begitu sekali! Kalau macam ni takda peluang lah saya nak menulis di NST lagi. Kalau saya cuba pun saya tahu artikel saya takkan keluar jika diveto bos yang paling besar. Tak kiralah artikel tu bagus macam-mana pun. 

Saya pun bertekad untuk memberi sepenuh penumpuan kepada penulisan buku ini. Mungkin satu hari nanti saya akan tergerak untuk menulis di akhbar lain ataupun majalah. Kawan-kawan di bidang seni pula ada bertanya jika saya ingin menulis skrip drama atau lirik lagu. 

Tidak lama kemudian laptop saya pun sampai, dikirim oleh Pos Malaysia ke rumah. Akhirnya saya boleh memulakan penulisan ini setelah lebih sebulan bermain-main dengan berbagai gaya bahasa dan jalan cerita di fikiran tanpa mencoretnya secara hitam putih. Selepas meng"install" apa yang patut, saya pun membuka perisian "WordPad" untuk memulakan cerita.



Permulaan - Satu percubaan menulis buku tahun 2002

Assalamualaikum. Malam semalam, semasa meneliti beberapa fail lama dalam komputer, saya terjumpa balik beberapa artikel yang merupakan usaha awal saya untuk menulis buku pada tahun 2002, tidak lama selepas meninggalkan kerjaya sebagai wartawan di New Straits Times, usaha yang langsung tersangkut kerana masalah tertentu... Timbul pula rasa elok juga jika dapat dikongsi bersama di blogspot ini. Tetapi artikel-artikel ini agak panjang, maka saya terpaksa memecahkan ia menjadi beberapa bahagian ya... Satu peringatan... Tulisan ini dilakukan 4 tahun lalu jadi ada juga perkara yang telah berubah termasuk pandangan peribadi saya terhadap orang tertentu yang namanya ada disebut dalam tulisan ini. Tidak payahlah dipanjangkan apakah perubahan itu... Cukuplah kalau saya kata semasa itu saya masih begitu mentah terhadap realiti dunia penulisan politik dan cuba bersangka baik sentiasa, sedangkan hakikatnya ramai manusia licik di luar sana yang cukup handal menipu orang ramai atas nama agama, bangsa dan negara. Bacalah... Kebetulan nama file dalam komputer untuk artikel inipun ialah "Permulaan". Silakan! 



SUSAH PAYAH SATU PERJUANGAN 

Wadi Hussein, Janda Baik - 24 Mac 2002 

Bukan mudah untuk menghasilkan buku ini. Walaupun separuh idea-idea, pendapat dan pemerhatian yang ingin dikedepankan telah bersarang di kepala lebih dari sepuluh tahun, saya terpaksa menunggu beberapa bulan hingga mampu mengungkapkannya dalam bentuk yang sesuai untuk santapan umum. Sepatutnya saya mula menulis dalam masa sebulan setelah idea untuk mendedahkan rancangan jahat golongan Zionis yang ingin menghuru-harakan dunia demi melaksanakan rancangan akhir mereka untuk memerintah dunia tercetus sekitar hujung tahun 2001. Berdasarkan pengalaman lima tahun menjadi wartawan di New Straits Times, tidak mustahil untuk saya menghasilkan sepuluh mukasurat buku dalam satu malam jika bahan yang diperlukan sudah dikumpul. Tetapi saya tidak boleh terburu-buru. Perkara yang ingin saya ketengahkan memerlukan pemerhatian yang mendalam dan untuk menyampaikannya secara berkesan, saya tidak boleh menulis sebarangan.. 

Pada masa yang sama, saya juga sedang melalui cabaran hidup yang amat getir. Keputusan nekad untuk menjadi penulis bebas tanpa pendapatan tetap setelah lama menikmati imbuhan yang boleh tahan lumayan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima oleh keluarga yang selama ini pun tidak dapat memahami perjuangan saya. Saya juga sedang berhadapan dengan krisis diri yang yang memerlukan saya mengenali asal-usul keluarga yang selama ini tidak pernah saya peduli dan kenali. Jika saya tidak berhati-hati, mesej yang ingin disampaikan boleh jadi kabur diselaputi emosi yang tertekan dan matlamat untuk menyedarkan mereka yang sedang leka tentang bahaya yang sedang mengancam seluruh dunia tidak akan kesampaian. 

Nasib baik masih ada manusia yang dapat menyelami perasaan dan hati budi saya. Dikala saya dihimpit pelbagai dugaan, penulis buku politik terkenal S.H.Alattas atau Pak Habib mengizinkan saya menggunakan kediamannya yang indah di Janda Baik untuk meneruskan usaha. Walaupun kami baru berkenalan, Pak Habib dengan tanpa banyak cerita terus menerima saya seperti anak kandung sendiri. Sebagai orang yang telah menghasilkan lebih 30 buah buku mengikut citarasa sendiri sejak tahun 1969, tidak susah untuk beliau memahami jiwa saya lebih-lebih lagi niat saya untuk menjadi penulis bebas yang memperjuangkan kebenaran dan peradaban tinggi. 

Mungkin ada yang akan bertanya kenapa saya mesti menimbulkan perkenalan saya dengan Pak Habib. Pertama, memang saya rasa terhutang budi kerana beliau membenarkan saya mencari ilham dan duduk bermalam-malam di kediamannya. Bukan senang untuk menulis dalam keadaan emosi tertekan. Dalam aman pun seorang penulis boleh terkena "writer's block" atau rasa kepala tersekat. Ramai wartawan yang jadi gila teh tarik atau hisap rokok tak putus-putus bila kesinambungan idea terputus. Ini baru menulis artikel, belum lagi sebuah buku yang isinya jauh lebih banyak. Lainlah kalau tulis hentam keromo macam sedap mulut bercakap. Dalam keadaan begini, ilham atau cetusan rasa amat diperlukan dan kediaman Pak Habib seluas lapan ekar dengan sungai yang mengalir betul-betul sebelah rumah, taman yang indah dengan pelbagai bunga-bungaan dan udara pergunungan yang nyaman memang mampu menggerakkan minda. Itupun bukan senang kerana kekusutan yang saya hadapi betul-betul mencabar. 

Kedua, Pak Habib yang saya kenali bukanlah seorang penulis buku politik berkepentingan atau penulis upahan seperti yang digembar-gemburkan setengah orang . Malah saya yakin dia ingin memperjuangkan pemahaman Islam yang sebenar, bukan Islam kulit yang dikenali kebanyakan orang. Cuma dia memilih wadah penulisan politik untuk menyampaikan mesejnya menyebabkan dia kelihatan menyokong orang-orang tertentu pada sesuatu waktu. 

Perkara ini saya timbulkan kerana sebenarnya ramai juga orang yang pada zahirnya nampak kurang Islam seperti Pak Habib dengan rambut panjangnya yang gondrong dan cara kritikannya dan penulisan yang agak pedas tetapi sebenarnya ingin memperjuangkan yang hak. Zaman sekarang zaman fitnah di mana orang yang cuba membawa kebenaran boleh dituduh sebagai pembohong besar walhal perosak-perosak masyarakat yang bertopengkan agama dianggap mulia dan disanjung ramai. Yang untungnya golongan Zionis yang merupakan agen-agen syaitan di muka bumi. Malah inilah salah satu teknik mereka untuk memecahkan umat sejak zaman berzaman - dengan mengaburi mata orang ramai supaya kita tidak dapat mengenal siapa yang membawa hak , siapa yang membawa kebathilan. Rasulullah sendiri pernah dituduh sebagai pendusta dan tukang sihir oleh masyarakat Quraish ketika baginda mula-mula menyebarkan syariatnya di Mekah. Inikan lagi manusia seperti Pak Habib dan saya yang hidup di penghujung zaman yang penuh dengan fitnah ini. 

Saya mula berkenalan dengan Pak Habib pada awal Januari lalu. Anak saudaranya yang memahami jiwa saya telah lama mengajak saya berjumpa beliau kerana saya pernah meluahkan impian untuk mewujudkan sebuah masyarakat bertamadun tinggi di Malaysia melalui penulisan. Saya mengimpikan masyarakat seperti di Cordova semasa zaman kegemilangan Islam Sepanyol di mana tradisi ilmu yang tinggi telah mewujudkan banyak para intelektual besar tidak mengira agama termasuk ahli falsafah Yahudi Maimonides dan ahli sufi ulung Ibnu Arabi. Tetapi kerjaya saya sebagai wartawan rupanya banyak halangan. Semasa di meja berita utama New Straits Times, saya tidak berpeluang langsung mengetengahkan wawasan ini kerana saya cuma dibenarkan menulis "hard-news" iaitu berita yang bulat-bulat berdasarkan satu peristiwa atau kenyataan dari orang ramai terutama pemimpin kerajaan. Tiada ruang untuk interpretasi sendiri atau ulasan malah gaya penulisan pun dikawal ketat. 

Saya cuma mendapat sedikit peluang untuk mengetengahkan wawasan yang ingin dibawa bila saya ditukarkan ke meja sukan. Ini kerana wartawan sukan diberi sedikit kebebasan untuk mengulas sesuatu berita mengikut pengalaman dan citarasa sendiri. Walaupun ada yang menganggap meja sukan tidak begitu penting kerana beritanya lebih bersifat hiburan, sebenarnya ia lebih berkesan jika digunakan dengan cara yang betul. 

Pada mulanya saya sendiri jadi hilang punca kerana tidak tahu macam-mana saya boleh membawa wawasan saya melalui berita sukan. Selama dua tahun di meja berita utama saya tidak dapat berbuat apa-apa, apatah lagi di meja sukan yang dipandang remeh oleh kebanyakan wartawan yang menganggap sehebat-hebat wartawan ialah mereka yang dapat mengikuti Perdana Menteri Dr Mahathir ke sana-sini mengejar cerita-cerita sensasi politik. Jadi apalah sangat yang boleh dicapai oleh wartawan sukan yang banyak menghabiskan masanya di Kompleks Sukan Bukit Jalil atau Litar F1 Sepang. 

Rupa-rupanya banyak nama-nama besar dalam persada politik dan perniagaan yang menerajui atau terlibat dengan dunia sukan. Termasuklah Dr Mahathir yang suka menunggang kuda. Beliau memang ingin melihat sukan berkuda atau ekuestrian yang dianggap oleh kebanyakan orang sebagai hobi orang-orang kaya berkembang untuk segenap lapisan masyarakat. Dari sini saya dapat ilham untuk meneruskan perjuangan. Dengan sedikit kebebasan menulis dalam berita sukan, saya cuba menerapkan nilai-nilai yang saya anggap sebagai "pre-requisite" atau syarat untuk mewujudkan tamadun tinggi ke dalam penulisan supaya dibaca oleh orang-orang berpengaruh dengan harapan mereka akan bertindak seperti yang dicadangkan demi kemajuan sukan. 

Contohnya dalam sukan bermotor. Orang yang berfikiran cetek mungkin menganggap sukan ini tidak lebih dari satu medan untuk peminat kereta atau motosikal laju memuaskan hati dengan melihat atau memecut kenderaan di litar-litar-lumba. Mereka yang berfikiran jauh sedikit pula mungkin menganggap sukan bermotor tidak lebih dari satu cabang aktiviti belia atau hiburan, tempat melepaskan "tension" untuk mereka yang terlebih aktif. 

Tetapi di Barat, sukan bermotor ini berkait rapat dengan perkembangan industri permotoran. Dalam perlumbaan Formula 1, keempat-empat tayar kereta boleh ditukar dalam masa tujuh saat. Sambil itu berliter-liter minyak dapat diisi. Kereta yang sudah hancur mampu dibaik pulih dalam masa sehari manakala kerosakan-kerosakan sederhana yang memakan masa berhari-hari untuk dibaik pulih di bengkel-bengkel biasa boleh diselesaikan dalam masa sejam. Semua ini memerlukan kemahiran kejuruteraan dan mekanikal yang tinggi. Oleh kerana seseorang memerlukan kereta atau motosikal yang paling laju dan mantap untuk menang, mereka yang terlibat akan terpanggil untuk mencipta enjin dan kenderaan yang lebih bagus. Untuk ini, kenderaan itu mesti dipandu-uji kehadnya atau dalam bahasa orang putih "pushed to the limit". Ini cuma boleh dilakukan oleh pemandu yang cekap dan berani seperti seorang pelumba. 

Dr Mahathir sebagai pelopor industri berat di Malaysia nampak semua ini. Sebab itu dia ingin kita menganjurkan perlumbaan Formula 1 di Litar F1 Sepang walaupun ada yang menganggap ianya membazir. Maklumlah, litar itu sahaja berharga hampir RM300 juta dan kos penganjuran satu perlumbaan sekitar RM50 juta. Walaupun perlumbaan ini dapat menarik tukaran matawang asing disebabkan kedatangan beribu-ribu penonton luar yang berbelanja untuk penginapan dan sebagainya ketika di Malaysia, faedah sebenarnya jauh lebih besar. Ini kerana sukan ini boleh memangkin kemajuan industri bermotor dan pembuatan kereta tempatan berpandukan teknologi terkini disamping menerapkan nilai-nilai profesional yang memerlukan kepantasan dan kecekapan. Bukan senang hendak menukar empat tayar dalam masa tujuh saat atau membaik pulih kereta yang sudah hancur dalam masa satu malam. 

Sebagai seorang yang berlatar-belakangkan pengajian sains dan teknologi dan pencinta peradaban tinggi, saya juga nampak semua ini. Oleh itu saya cuba menggalakkan sukan bermotor dengan mengetengahkan apa yang patut termasuk dari perspektif ekonomi dan teknologi, bukan semata-mata menceritakan siapa yang terlibat atau menang dalam sesuatu perlumbaan seperti yang dipraktikkan kebanyakan wartawan sukan lain. Secara tidak langsung, saya telah menggunakan pentas sukan untuk menggalakkan perkembangan teknologi tinggi, satu daripada cara-cara menuju ke arah mewujudkan peradaban tinggi di Malaysia. 

Tidak lama kemudian, saya diperkenalkan kepada sukan berkuda. Mula-mula saya tidak berapa suka kerana merasakan sukan ini hanya untuk orang berada. Acara sukan ini banyak diadakan di kelab-kelab menunggang kuda yang agak eksklusif dan orang yang terlibat pun memang boleh kata semuanya dari golongan kaya belaka. Jadi saya tak nampak macam-mana sukan ini relevan dalam perjuangan saya untuk mewujudkan tamadun dan peradaban tinggi. Hinggalah saya diperkenalkan kepada satu cabang sukan berkuda yang memang sesuai untuk semua golongan iaitu "endurance riding" atau menunggang lasak. Atas permintaan dan jasa baik seorang peminat sukan ini, saya telah dibawa ke Peranchis untuk melihatnya dengan lebih dekat dan disitulah saya dapat melihat bagaimana sukan ini dapat memenafaatkan semua golongan masyarakat. Ini disebabkan ia bukan sahaja disertai oleh golongan berada malah golongan petani yang rata-rata membela kuda di ladang mereka seperti membela lembu, ayam, itik dan kambing. Selama ini jangan kata saya sahaja, boleh kata semua wartawan sukan di Malaysia termasuk para pengarang sukan menganggap sukan berkuda sebagai sukan elit yang tidak perlu diketengahkan kepada orang ramai sedangkan di negara-negara Barat, ia adalah sukan untuk semua lapisan masyarakat. 

Peminat-peminat sukan ini juga yang mengingatkan saya bahawa menunggang kuda adalah sunnah Rasulullah. Mungkin ada yang menganggap Nabi Muhammad SAW menggalakkan orang menaiki kuda kerana ia merupakan kenderaan pada zamannya, tetapi hakikatnya lebih dari itu. Seorang kenalan menceritakan bagaimana anaknya yang agak lembap mengulangkaji menjadi cerdas setelah diajar menunggang kuda. Ini disebabkan aksi menunggang itu sendiri boleh menyegarkan urat-saraf. Kenalan lain pula menceritakan bagaimana menunggang kuda boleh membangkitkan sifat-sifat khalifah dalam diri seseorang kerana kita diajar mengawal seekor binatang yang jauh lebih kuat dari kita dengan menggunakan gerakan badan. 

"Sebab itu PM suka naik kuda," katanya. "Tengok dia nampak lebih muda dari umur sebenarnya dan akalnya sentiasa cerdas". Malah mengikut kenalan yang mengetuai unit berkuda polis Putrajaya itu, menunggang kuda sama seperti berzikir kerana pergerakan kuda dengan empat kakinya itu adalah zikir Lailahai'lallah. Satu kaki untuk "La", satu untuk "ila", satu untuk "ha'il" dan kaki yang keempat untuk "Allah". 

Saya sendiri dapat merasai perbezaannya. Walaupun asalnya saya kurang berminat menunggang kuda, saya terpanggil untuk mencuba setelah diajak beberapa kali oleh polis unit berkuda di Putrajaya. Lagipun saya patut mencuba kerana selalu menulis tentang sukan berkuda. Sekurang-kurangnya saya dapat menambah pengetahuan. Hasilnya memang memuaskan. Pada kali pertama mencuba, saya tengah penat kerana banyak bekerja dan kurang rehat. Tidur tak sampai tiga jam, awal Subuh lagi dah bergegas ke Putrajaya kerana mengejar waktu yang sesuai untuk menunggang kuda. Tapi tak sampai satu minit atas kuda, badan saya rasa segar dan mata jadi cerah. 

Dari situ saya mendapat ilham untuk meneruskan perjuangan. Sebagai satu sunnah Nabi dan sukan yang menyihatkan, ia mampu menerbitkan masyarakat berperadaban tinggi. Jadi sukan berkuda memang relevan untuk wawasan saya. Cuma ramai menganggap ia sukan yang mahal. Bila saya timbulkan masalah ini, baru saya diberitahu sukan berkuda sebenarnya tidaklah semahal yang digembar-gemburkan kebanyakan orang. Ya, memang ada kuda yang harganya setengah juta Ringgit seekor tetapi anda juga boleh membeli seekor kuda dengan harga RM500 sahaja, lebih murah dari motor kapchai second-hand. Cuma kos "maintenance"nya pulak tinggi disebabkan upah penjagaan kuda, makanan dan sewa tempat letak kuda di kelab-kelab, dalam RM1000 sebulan. 

Tapi bayangkan kalau kita sendiri menjaganya di tanah sendiri. Kos membela kuda boleh diturunkan seperti belanja menjaga lembu dan binatang ternakan yang lain. Malah inilah yang diamalkan di sesetengah tempat di Kelantan dan Sabah. Ada petani-petani di Kelantan yang membela kuda sejak turun-temurun sementara di Sabah ianya adalah kenderaan tradisi orang Bajau. Pada mereka, membela kuda tak jauh bezanya dari membela lembu. Inilah sebenarnya yang terjadi di negara-negara Barat seperti Peranchis menyebabkan golongan petani mampu bersaing dengan golongan berada dalam sukan berkuda. 

Menyedari keadaan ini, saya semakin bersemangat menulis artikel-artikel untuk mempromosikan sukan berkuda sambil mencadangkan cara-cara mengurangkan kos supaya ia boleh dinikmati orang ramai.

Sukan berkuda juga menemukan saya dengan orang-orang berpengaruh dari ahli perniagaan, orang politik sehingga kepada para menteri dan Perdana Menteri yang memang mahu sukan ini dikembangkan. Ini sedikit sebanyak memudahkan usaha saya untuk mewujudkan masyarakat berperadaban tinggi melalui sukan. 

Tetapi keadaan ini juga menimbulkan masalah kerana wujudnya manusia yang iri hati. Ini menjadi masalah bila orang yang iri hati termasuk mereka yang berkerja di bawah bumbung yang sama. Walaupun usaha saya mendapat sokongan sesetengah pihak, bos saya sendiri menjadi halangan. Katanya sukan ini tidak perlu diketengahkan sangat kerana ianya hanya untuk golongan elit. Dia juga lebih cenderung kepada sukan-sukan yang memang telah diterima ramai seperti bola sepak dan olahraga. Kalau betullah ini sebabnya, kenapa artikel-artikel saya mengenai sukan lain juga banyak mendapat tentangan? Salah ke saya mengetengahkan aspek-aspek ekonomi dan teknologi dalam penulisan sukan. Mungkin ini juga satu faktor yang menyebabkan saya mendapat tentangan kerana kebiasaannya berita sukan digarap dari sudut emosi dan hiburan. Tapi takkan nak main takat itu memanjang. Lagipun tulisan saya yang kritis dan analitik dapat diterima oleh banyak pihak. Tak percaya tanyalah orang yang terlibat dalam industri permotoran. Tapi kalau saya kata begini ada pulak yang marah, kata saya menunjuk dan berlagak.


Lagi mengenai Tok Kenali

Almarhum Tok Kenali (1868-1933)

Diambil daripada mukasurat 170 dan 171 buku "Berpetualang ke Aceh" jilid 2 yang sedang dalam proses editing dan lay-out... Iqra' ! :]

Almarhum Tok Kenali dilahirkan pada tahun 1868 di Kampung Kenali, Kubang Kerian daerah Kota Bahru, dalam sebuah keluarga petani yang saleh. Ketika itu, Kelantan berada di bawah pemerintahan Sultan Muhammad kedua, juga dikenali sebagai "Sultan Mulut Merah". Anak ini diberi nama Muhammad Yusuf bin Ahmad tetapi selalu dipanggil sebagai "Awang". Sejak kecil beliau menunjukkan tanda-tanda kecerdasan luar-biasa serta kecenderungan mempelajari ilmu pengetahuan yang tidak kunjung putus... Muhammad Yusuf pun memulakan pengajian Al-Quran dan ilmu agama serta belajar membaca dan menulis dengan datuknya sendiri, Che Salleh atau Tok Leh, seorang lelaki alim lagi warak. Di samping itu, nenek tirinya mengajar peri-pentingnya memerhatikan halal-haram makan-minum kerana ini boleh menentukan kebahagian dunia dan akhirat.
Masuk umur 8 atau 9 tahun, beliau selalu berjalan kaki berulang-alik empat batu ke Masjid Muhammadiah, masjid utama negeri Kelantan yang terletak di pusat bandar Kota Bahru. Di sana, Muhammad Yusuf berguru kepada beberapa orang ulamak terkenal zaman itu, antaranya Encik Ismail, ayah kepada Dato’ Perdana Menteri Haji Nik Mahmud, Tuan Guru Muhammad Ali bin Abdul Rahman atau Wan Ali Kutan, Tuan Guru Haji Taib atau Tuan Padang dan Tuan Guru Haji Ibrahim Sungai Budor. Tidak lama kemudian, beliau berjaya menguasai semua ilmu yang dipelajari termasuk nahu dan saraf dan pada umur 18 tahun, Muhammad Yusuf pun memulakan perjalanan menaiki kapal selama 6 bulan untuk menyambung pengajian di Mekah.
Di Masjidil Haram Mekah, beliau berguru kepada beberapa orang ulamak besar lagi masyhur terutama Tuan Guru Wan Ahmad atau Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa Al-Fatani. Ulamak yang sangat terkenal di kalangan penuntut Tanah Melayu ini amat mempengaruhi peribadi Muhammad Yusuf sehingga beliau sanggup menghabis separuh umur bersama dengan ulamak itu. Muhammad Yusuf cuma kembali ke Kelantan pada umur 40 tahun, itupun dua tahun setelah kemangkatan gurunya pada 11 Zulhijjah 1325 (14 Januari 1908). Tanpa membuang masa, beliau pun mendirikan sebuah sekolah pondok di kampungnya yang dikenali sebagai Pondok Kenali selain mengajar agama di Masjid Muhammadiah.
Persahabatannya sejak kecil dengan Dato’ Perdana Menteri Haji Nik Mahmud bin Ismail menyebabkan pandangan Muhammad Yusuf dalam mengembangkan pengajian Islam di Kelantan sering diminta lalu dilaksanakan serta-merta. Ini termasuk menerbitkan sebuah majalah bernama "Pengasuh" dengan dirinya sendiri sebagai pengarang yang pertama serta menubuhkan lebih banyak sekolah pondok di seluruh negeri. Dipendekkan cerita, melalui usaha yang dipelopori beliau, Kota Bahru mula menjadi tumpuan penuntut agama seluruh Nusantara lalu ada mengatakan sejak itulah Kelantan dikenali sebagai Serambi Mekah. Masjid Muhammadiah pula menjadi seperti madrasah antarabangsa dengan pesekitarannya sentiasa hidup dengan pelbagai perbincangan serta ceramah agama.
Muhammad Yusuf lebih banyak menghabiskan sisa umurnya mengajar, menulis rencana serta memperjuangkan kebesaran Islam daripada tempat asalnya iaitu Kampung Kenali. Sebab itulah beliau lebih dikenali sebagai Tok Kenali dan nama itulah yang diingati sampai ke hari ini. Walaupun beliau diiktiraf sebagai ulamak besar yang banyak berjasa mengembangkan ajaran Islam malah mengarang pula sebuah majalah, masyarakat umum lebih mengenalinya sebagai seorang wali dan pengamal tariqat yang sukakan kehidupan ringkas lagi zuhud. Maka itu Tok Kenali lebih diingati disebabkan peristiwa-peristiwa karamah atau mencarik adat yang sering berlaku padanya.

Khamis, Disember 07, 2006

Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam Diraja Perak

Subhanallah... Dalam kesibukan (dan keasyikan?) melayari dunia Internet serta melihat balik blogspot-blogspot saya sambil memikirkan apakah tambahan artikel yang perlu dibuat, timbul gerak untuk memaparkan kembali satu peristiwa bersejarah yang julungkali diadakan di Malaysia malah mana-mana jua di dunia. Peristiwa itu ialah pengembalian kembali jenazah dua orang pejuang lama Perak iaitu Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin serta Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim ke negeri tanah-tumpah darah asal mereka, berlangsung 9 September 2006. Kedua pejuang ini telah dibuang negeri ke Pulau Seychelles di perairan Afrika pada tahun 1877 akibat dituduh terlibat dalam komplot pembunuhan Residen British pertama ke Perak J.W.W. Birch (mati tahun 1875 di Pasir Salak). 

Turut dibuang sama adalah Sultan Abdullah (Sultan Perak ke 26, memerintah 1874-1877) dan Syahbandar Uda Ma'amor. Untuk makluman mereka semua bersaudara. Syahbandar dan Menteri Paduka Tuan juga merupakan menantu Laksamana. Sultan Abdullah telah "diampunkan" British lalu sempat kembali ke Perak dan meninggal di negerinya tahun 1922 sedangkan yang lain-lain dipaksa menghabiskan sisa umur mereka masih dalam buangan tetapi di Singapura pula. 

Maka di sinilah timbul sedikit kekhilafan apabila ada pihak mendakwa Ngah Ibrahim sempat melarikan diri balik ke Perak dan meninggal dunia di Beruas. Lalu mereka menambah jenazah yang dibawa kembali dalam upacara ini bukanlah jenazahnya yang sebenar. Apapun, di sini saya cuma mengenengahkan proses pengembalian jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin demi menjunjung rasa kasih dan hormat sebagai keturunan ke-5 almarhum. Gambar-gambar ini diambil sendiri ketika mengikuti rombongan membawa jenazah dari Lumut di mana kapal Tentera Laut Diraja Malaysia KD Laksamana Muhammad Amin mendarat setelah lebih sehari belayar membawa jenazah ke luar Singapura. 

Setelah selesai adat-istiadat penyambutan jenazah di Lumut, barulah jenazah dibawa melalui jalan lama untuk ke Makam Diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar di mana Laksamana akhirnya disemadikan kembali. Oh... Minta maaf jika gambar kurang terang. Ini disebabkan saya telah menggunakan format GIF semasa memasukkan gambar-gambar ini on-line untuk ditunjukkan kepada rakan-rakan di sebuah forum kegemaran. Malah inilah gambar yang sama, dengan teks yang sama di bawah seperti dipaparkan di forum itu lebih 2 bulan lalu. Elok juga diletakkan di blogspot ini  supaya lebih ramai orang dapat melihatnya, Insyaallah...



Konvoi membawa jenazah Laksamana Muhammad Amin dan Ngah Ibrahim dalam perjalanan dari Lumut ke Kuala Kangsar melalui jalan lama, setelah selesai adat-istiadat sambutan oleh pihak tentera di Markas TLDM Lumut. Ketika ini, konvoi sepanjang 1.5 km itu baru berada di sekitar Sitiawan, dalam jam 10.15 pagi gitu. 



Konvoi sedang melalui kawasan Masjid Jamek Kampung Kota di Beruas, hampir jam 11 pagi. Untuk makluman, tidak jauh di belakang masjid ini terletak makam-makam diraja Beruas yang mana banyak makam ditanda dengan batu nesan Aceh jenis berkepak, lebih kurang seperti batu nesan yang terdapat di makam Sultan Malikus Salih di tapak kerajaan Samudera-Pasai, Aceh, juga batu nesan di satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih wujud di Malaysia kini iaitu makam Sultan Alauddin Riayat Shah di Kampung Raja, Pagoh, Muar. Begitu juga rupa batu nesan Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah di Telok Bakong, Bota Kanan. 



Konvoi sudah sampai ke simpang tiga jalan lama Lumut ke Ipoh untuk menghala ke Kuala Kangsar melalui Manong dalam pukul 11.15 gitu.
 


Konvoi menghampiri Kuala Kangsar. Dah dekat pukul 12 tengahari dah…

 


Jenazah Laksamana Muhammad Amin diusung penuh istiadat memasuki kawasan pemakaman diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Waktu sekitar 12.15 tengahari gitu. Dah ramai dah orang berkumpul di sana termasuk para jemputan, kaum kerabat dan orang yang nak tumpang sama meramaikan majlis. Kelihatan di belakang adalah bangunan makam yang menempatkan jenazah beberapa Sultan Perak daripada keluarga terdekat Sultan Idris I yang membuka Bukit Chandan awal tahun 1900an gitu…
 


Jenazah Laksamana Muhammad Amin sedang dibawa menghampiri bahagian kawasan makam yang menempatkan kaum kerabat yang rapat dengan Sultan Abdullah Muhammad Shah II, Sultan Perak yang dibuang ke Pulau Seychelles tahun 1877 bersama-sama Laksamana, Shahbandar Uda Ma’amor dan Ngah Ibrahim kerana terlibat dalam pembunuhan Residen Inggeris J.W.W. Birch tahun 1875. Kedua-dua Uda Ma’amor dan Ngah Ibrahim adalah menantu Muhammad Amin sedangkan Laksamana itu adalah saudara tiga pupu Sultan Abdullah.
 


Angkatan tentera laut dan para hadirin memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah dimasukkan ke dalam liang-lahat yang tersedia di hadapan. Di belakang adalah sebahagian kawasan Masjid Ubudiyah di Bukit Chandan.



Pekerja sedang mengemaskan kedudukan keranda dengan jenazah Laksamana Muhammad Amin di dalam kotak istimewa yang dibawa dari Singapura...



Petugas TLDM turut bertungkus-lumus menutup liang-lahat dengan tanah merah yang disediakan sambil diperhatikan hadirin.




Liang lahad hampir siap dikambus.



Jenazah Laksamana Muhammad Amin selamat dikebumikan di makam diraja Perak, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Hadirin pun menyambut doa selamat yang dibacakan tok imam ke siapa, lupa pulak nak check. Tak tahu pulak tentera laut boleh sambut doa pakai sebelah tangan je! Gaya doa dalam persediaan perang agaknya?



Raja dihilir Perak, Raja Jaafar dengan gaya Laksamana Raja Laut tampil ke hadapan memberi hormat sambil diperhatikan MB Perak Tajol Rosli.

 


Giliran Tajol Rosli pula menabur bunga dan menyiram air ke makam Laksamana Muhammad Amin. Keliling tu banyak orang istana termasuk kaum kerabat yang berkait ngan aku tapi haram sorang pun aku tak kenal kecuali sorang dua. TAMAT!

p/s: Untuk cerita lanjut, sila klik di Laksamana kembali ke Perak


Sedikit cerita berkaitan Tok Kenali

Makam Tok Kenali di Kubang Kerian, Kota Baru, Kelantan.

Ini ada sedikit cerita dipetik daripada jilid 2 buku "Berpetualang ke Aceh" yang masih dalam proses editing... Buku ini akan memakai sub-title "Membela Syiar yang asal" insyaallah dan akan membuka lebih banyak kisah tersembunyi mengenai Raja-raja Melayu serta kaitan dengan para wali malah membuka sedikit bab pengajaran Tasawuf termasuk ilmu Wahdatul Wujud penuh kontroversi yang pernah dibawa oleh Sheikh Hamzah Fansuri di Aceh abad ke 17 Masihi... Silakan! Bacalah... :]



Salah-satu aktiviti kegemaran Rasyid bila berada di Kuala Lumpur adalah berjalan seorang diri di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman sambil memerhati berbagai ragam kerenah manusia sepanjang jalan. Ada masanya, dia suka bersiar-siar di persekitaran Kompleks Pertama dan Sogo sebelum memasuki kedai-kedai buku berdekatan, ada masanya pula bersantai di sekitar Masjid India, sebuah masjid yang sering dikerumuni kaum India Muslim serta para pengikut Tabligh sambil membelek-belek berbagai jenis barang jualan peniaga-peniaga di kaki lima.

Pada satu hari, ketika sedang duduk berehat di tembok luar masjid, muncul seorang hamba Allah bertubuh pendek gempal, kulit sawo matang memakai cermin-mata gelap bergaya, berjubah putih berkopiah dan berserban. Lelaki berumur sekitar 50 hingga 60an itu lalu di kawasan tembok yang sering menjadi tempat duduk orang-ramai melepaskan lelah... Entah kenapa, dia membuat gaya seperti mengira-ngira jumlah orang yang duduk sambil menghulurkan jari telunjuknya ke arah mereka satu-persatu. Sampai kepada Rasyid pula dia tersenyum lalu menegur: "Hah kamu! Mari ikut aku! Belanja aku makan…"

Walaupun pemuda itu terasa pelik lagi janggal mendengar "perintah" orang tua ini, dia mengangguk bersetuju lalu bangun menurut langkahnya. Rasyid percaya mesti ada hikmah di sebalik kejadian ini... Pengalamannya bertahun berkelana tanpa perancangan dan arah tujuan yang pasti telah membuktikan ada sesuatu yang akan dipelajarinya nanti. Mereka pun bergerak ke sebuah warung berdekatan. Pakcik ini mula memesan segelas teh tarik, anak muda itu pula meminta teh tarik halia.

Hamba Allah agak ganjil ini sentiasa tersenyum, dengan pembawakan rugged, kata orang muda ada gaya rock. Dia mula bertanyakan asal-usul Rasyid lalu membuka cerita. Sambil-sambil itu, tangannya mengambil kuih-muih yang tersedia di atas meja sehingga pemuda itu mula membuat kira-kira dalam hati... Rasyid cuma memiliki kurang RM5 sahaja di dalam poket, takut tidak cukup untuk belanja hari itu pula nanti.

Pakcik itu seolah-olah dapat membaca isi hatinya lalu menegur: "Kamu ada cukup duit tidak? Kalau tidak biar aku yang bayar…"

Rasyid malu lalu menjawab: "Tidak mengapa pakcik! Bukankah tadi saya sudah bersetuju belanja pakcik? Tak apa. Biar saya yang bayar."

Orang tua itu tersenyum. Mereka pun menyambung cerita seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku. Entah kenapa, anak muda itu terasa ingin mengadu tentang keadaannya yang agak dhaif, tentang bagaimana dia sudah lama tidak bekerja sedangkan duit simpanan sudah susut teruk. Motor besar kesayangannya yang sering menemaninya mengembara ke merata ceruk rantau pula sudah lama tidak diservice, selalu sangat "batuk" dan meragam. Ah... Memang keadaannya sedang teruk...

Hamba Allah itu sempat memberikan sepotong ayat Al-Quran untuk diamalkan sebelum bangun beredar... Katanya untuk meringankan sedikit beban jiwa... Sempat juga dia memujuk dan memberi tawaran…

"Jangan risau," katanya. "Kalau ada masalah, cari sahaja aku…"

Hairan juga Rasyid mendengar ini sedangkan itulah kali pertama dia terjumpa orang itu seumur hidupnya... Tidak pernah dilihatnya di Masjid India mahupun di mana-mana tempat sekali pun. Pakcik itu juga tidak meninggalkan alamat rumah atau tempat kerja, nombor telefon atau apa-apa cara untuk berhubung, lalu bagaimana hendak mencarinya nanti? Pemuda itu bingung tetapi setakat bertanya siapakah nama orang ini.

Hamba Allah itu tersenyum lebar lalu menjawab "Muhammad Yusuf!"

Sepertimana sampai, begitu juga dia menghilang... Penuh misteri...

Dua minggu kemudian, Rasyid tergerak menziarahi rumah almarhum nenek di Raub, Pahang setelah hampir setengah tahun tidak ke sana. Selepas beberapa malam, ibu saudara yang menjaga rumah pula harus ke Kuala Terengganu menghadiri satu kursus... Seorang anak angkatnya bersedia menghantar dengan kereta sampai ke Temerloh. Di sana, barulah ibu saudara ini mengambil bas ekspress ke Kuala Terengganu.

Rasyid tergerak menumpang sama. Sampai ke bandar di tepi Sungai Pahang itu, timbul pula rasa untuk melawat Gua Kota Gelanggi yang terletak di sekitar Jengka. Dia pun menaiki bas ke Jerantut... Sampai di pekan itu, terus memeriksa jadual bas ke Jengka. Perkhidmatan seterusnya cuma akan bergerak sejam lagi, maka pemuda itupun mengisi masa dengan berjalan-jalan di sekitar bandar... Sampailah ke stesyen keretapi.

Kebetulan keretapi ke utara dan pantai timur yang cuma berkhidmat sehari dua kali sampai di stesyen. Timbul gerak spontan untuk menaikinya hingga ke Kuala Lipis. Di bandar yang diapit tebing Sungai Jelai serta kuala Sungai Lipis itu pula, anak muda itu tergerak untuk ke masjid lama yang didirikan awal abad ke 20 bersebelahan stesyen bas, masjid yang mengikut ceritanya tidak pernah disentuh banjir walaupun air melimpah sampai ke stesyen yang terletak 10 kaki lebih tinggi daripada kawasan masjid... Niat awalnya mahu bermalam di masjid tetapi selepas solat Asar, Rasyid tergerak ke stesyen keretapi untuk melihat jadual.

Kebetulan lagi, keretapi ke utara dan pantai timur sampai sebaik sahaja dia menjejakkan kaki. Maka hamba Allah yang selalu berjalan "mengikut arah angin" inipun naiklah, sampai destinasi terakhir malam itu, Gua Musang, Kelantan... Lalu menumpang berehat di surau KTM (Keretapi Tanah Melayu) yang terletak tidak jauh dari stesyen.

Tidak lama kemudian, muncul beberapa orang musafir menumpang sama termasuk sepasang suami isteri dan dua orang lelaki anak jati Kelantan. Entah kenapa, mereka bercerita tentang perkara pelik dan ghaib yang pernah berlaku di Kelantan...Terkeluar pula nama Tok Kenali lalu Rasyid dapat tahu di manakah letaknya makam dan masjid wali Allah itu iaitu di Kubang Kerian, Kota Bahru.

Dipendekkan cerita, keesokan harinya dia pun sampai ke sana... Lalu mendapat tahu wali Allah yang kembali ke Rahmatullah lebih 70 tahun lalu ini namanya Muhammad Yusuf, sama dengan orang tua misteri yang ditemui di Masjid India dua minggu lalu!

......................


Rasyid sampai ke Masjid Tok Kenali masuk waktu Maghrib lalu terus mengambil wuduk. Entah kenapa, air yang keluar daripada paip masjid lama yang didirikan semasa almarhum masih hidup ini berbau malah terasa seperti air limau nipis... Begitu juga air yang keluar daripada paip lain termasuk dalam tandas dan bilik air! Serta-merta pemuda ini teringat, dia pernah mengalami ini, melihat masjid itu dengan rupa-bentuknya dari hadapan dan menghirup air paipnya yang berperisa limau nipis di dalam sebuah mimpi beberapa tahun yang lampau. Ah... Dia deja vu lagi. Memang sudah lama rupanya ditakdirkan akan sampai ke sini!

Apabila masuk untuk menunaikan solat berjemaah, muncul pula bau wangi minyak attar menyelubungi seluruh masjid. Rasyid tidak terasa pelik kerana sudah biasa terhidu bau minyak attar bermacam jenis muncul tiba-tiba daripada makam-makam tua, masjid-masjid lama serta tempat-tempat bersejarah... Adakala pula ia "mengikutinya" ketika berkelana. Malah sering-kali bau-bau sebegini timbul ketika pemuda ini sedang bersantai di rumah keluarga dan kawan-kawan, selalunya ketika sedang berehat berseorangan. Ada masanya bau yang datang itu kuat, disertai rasa seram-sejuk sehingga bulu-romanya berdiri, adakalanya harum lembut disulami rasa tenang seolah diulit bayu pagi.

Sebelum "mengalami" bau minyak attar sebegini, Rasyid pernah "dikunjungi" bau-bau lain seperti colok dan setanggi, juga bau berbagai jenis bunga terutama Melor dan Tanjung. Sebelum itu pula dia sering "diganggu" berbagai jenis bau kemenyan. Tetapi di Masjid Tok Kenali inilah pertama kali pemuda itu dapat menghidu bau minyak attar yang menyelubungi seluruh masjid disertai rasa seolah-olah ramai makhluk ghaib turut serta menunaikan solat Maghrib. Yang nyata ketika itu, Rasyid adalah satu-satunya orang dewasa di masjid selain pak imam yang berumur lebih 60 tahun. Yang lain adalah kanak-kanak bawah umur 15 tahun.

Lebih menghairankan, anak-anak yang bermastautin di madrasah bersebelahan ini terus keluar meninggalkan masjid selepas solat sedangkan doa belum selesai. Imam tidak menegur malah meneruskan wirid yang dibaca sederhana kuat sambil menghadap ke arah kawasan makmum yang kosong. Rasyid tercengang melihat. Pak imam memberi isyarat supaya duduk di sebelah sambil meneruskan wirid. Setelah selesai membacakan doa dia pun bertanya asal-usul pemuda itu, kenapa datang ke situ... Anak muda inipun meminta izin untuk bermalam di masjid.

Selepas solat Isyak, Rasyid terus melangkah untuk menziarahi makam Tok Kenali lebih kurang 1km daripada masjid. Sampai sahaja di sana, sekali lagi dia tersentak... Memang perjalanan ke Kelantan ini memang sudah lama ditakdirkan Ilahi, manakan tidak? Makam wali Allah terkenal ini ditanda dengan batu sungai lonjong yang dicacakkan menegak setinggi hampir 3 kaki, pernah dilihatnya di dalam sebuah mimpi beberapa tahun yang lalu. Malah makam bersebelahan milik isteri Tok Kenali yang ditanda dengan tiga bongkah empat segi bertingkat yang mengecil ke atas juga telah dilihat dalam mimpi yang sama... Masyaallah!

———————————

Mungkin juga Rasyid ke Kelantan kerana sangat merindui Nur. Ketika itu, wanita kesayangannya sedang melaksanakan tugasan di Kota Bahru. Sudah beberapa hari mereka tidak berhubungan kerana sejak kebelakangan selalu sangat bertengkar akibat hasutan pihak yang tidak menyenangi perhubungan mereka. Lalu malam itu, di masjid dan makam Tok Kenali, pemuda ini mengadu masalahnya kepada Ilahi dan keesokannya cuba menghubungi gadis kesayangannya.

Alhamdulillah, Nur menjawab panggilan dengan lembut penuh rasa rindu. Malah apabila mendapat tahu Rasyid berada di Kota Bahru, gadis manis tetapi lincah itu terus mengajaknya menziarahi tempat kerja serta menghabiskan waktu memerhatikannya melaksanakan tugasan! Ditakdirkan pula, kenalan-kenalan gadis itu yang turut sama dalam tugasan ini merasa senang dengan kehadiran pemuda itu lalu mengajaknya menginap di rumah sewa sementara mereka. Maka seminggu itu, mereka berpeluang bertentang mata dan berkongsi rasa hampir setiap masa.

Pasangan suami-isteri yang menggaji Nur untuk tugasan ini juga senang hati dengan kehadiran Rasyid sehingga mereka membawa kedua-duanya berjalan makan angin ke beberapa lokasi menarik di Kelantan di samping melayannya seperti seorang tetamu penting. Merekalah yang membawa Nur dan Rasyid ke sebuah tasik luas yang tidak pernah diketahuinya wujud di Kelantan, tasik yang dikenali sebagai Danau Tok Uban. Di seberang tasik itu pula kelihatan sebuah masjid putih berkubah besar dengan menara tinggi yang reka-bentuknya saling tidak tumpah seperti masjid terapung Kuala Terengganu yang terkenal di Kuala Ibai.

Entah mengapa, Rasyid dapat merasakan tasik itu menyimpan sebuah kisah sejarah purba yang mempunyai kaitan rapat dengan pencarian serta perjalanan hidupnya. Hati kecilnya berkata, di sinilah terletak pusat sebenar Empayar Chermin yang amat dibangga-banggakan rakyat Kelantan, sebuah kerajaan yang mempunyai hubungan istimewa dengan kerajaan Samudera-Pasai serta bumi Serambi Mekah. Kebetulan dia mendapat tahu masjid di seberang tasik itu adalah masjid wakaf yang didirikan oleh Sulten Brunei, bersama sebuah kompleks madrasah moden yang menawarkan pengajian agama percuma, dibiayai pihak Sultan.

"Ah… Memang aku telah ditakdirkan sampai ke Kelantan, juga Danau Tok Uban, tidak kiralah samada kerana tarikan Tok Kenali atau panggilan rindu Nur," desis hatinya melihat semua itu. "Bukankah Sultan Brunei berasal daripada keturunan Sharif Mekah? Kenapa baginda mesti memilih lokasi ini kalau bukan kerana kaitan rapat dengan Mekah?"

Memang wujud cerita lama menyatakan bumi Kelantan asalnya sebahagian tanah Mekah... Sepertimana seluruh Nusantara berasal daripada hujung tanah Semenanjung Arab yang terpecah lalu hanyut ke Timur suatu zaman lampau. Walaupun mengikut ukuran biasa geologi dan geografi ini tidak masuk akal, Rasyid boleh menerima kerana percaya kepada perkara-perkara ghaib... Yakin, jika Allah Subhanahuwata’ala hendak menzahirkan sesuatu di dalam ilmuNya, cukuplah dengan firman: "Kun fayakun. Aku kata jadi, maka jadilah." Tidak perlu dipertikaikan sebab-musababnya, samada logik ataupu tidak secara panjang-lebar...

Cerita-cerita lama juga menyebut Aceh sebahagian daripada Mekah. Malah Aceh dan Kelantan (atau kerajaan lama Langkasuka yang turut meliputi Kedah) pernah bersambung sebagai sebuah daratan yang cuma dipisahkan sebuah sungai besar, bukan Selat Melaka yang ternyata lebih luas. Masalahnya, ada rakyat Kelantan terlalu memperbesar-besarkan negeri mereka sehingga segala-galanya dilihat daripada perspektif Kelantan semata. Lalu mereka menyebut kekuasaan Cik Siti Wan Kembang ke atas Aceh juga naungan Empayar Chermin ke atas banyak kerajaan Melayu termasuk Pasai sebagai bukti kebesaran Kelantan. Datuk kepada Cik Siti Wan Kembang, seorang Raja Kelantan bernama Raja Aminuddin pula dinyatakan sebagai Sharif Mekah yang disebut di dalam Hikayat Raja-raja Pasai... Dan Sheikh Ismail yang ditugaskan untuk mengIslamkan Samudera berasal dari Kelantan. Tidakkah ini melampau?

Selasa, Disember 05, 2006

Babussalam sekarang?

Lagi sambungan daripada novel "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" karangan Radzi Sapiee...

Sayangnya, pada pengamatan Rasyid, Babussalam sekarang bukan lagi seperti zaman Sheikh Abdul Wahab atau mungkin zaman Pak Su, ketika mereka yang menerajuinya masih ikhlas memartabatkan Islam serta meningkatkan kefahaman untuk mengenali kewujudan Tuhan. Sebaliknya ia sudah berbau materialistik dan kurang jujur, sudah menjadi tempat berjual-beli amalan agama dan ayat-ayat Al-Quran untuk mendapatkan kekuatan rohani yang boleh memberi kelebihan dalam mencari duniawi...
Pencari dan pencinta kebenaran ini dapat merasakan nama besar almarhum sudah dijadikan penarik rezeki... Kampung itu telah menjadi kilang cop duit lebih daripada tempat melahirkan penganut Islam yang tulin. Sepertimana Istana Maimon di Medan sudah menjadi semacam muzium tempat kerabat diraja menagih pendapatan, Babussalam juga sudah dijadikan sumber sara hidup mereka yang mewarisinya.
Ini menjadi nyata apabila Rasyid masuk ke dalam bangunan makam yang agak mewah dengan rupa seakan-akan bangunan makam diraja Perak di Bukit Chandan. Ketika itu ada lah sekitar enam orang pengunjung menunggu hendak menziarahi makam Sheikh Abdul Wahab. Tetapi setiap seorang perlu melepasi penjaga makam terlebih dahulu, tidak boleh terus ke sana walaupun setakat untuk menghadiahkan Surah Fatihah.
Penjaga itupun bertanyakan hajat mereka ke sana, apakah bantuan yang perlu atau masalah yang dapat diselesaikan dengan berkat karamah almarhum sebagai seorang wali Allah dan Khalifah Tariqat Naqsyabandiah. Lalu seorang demi seorang mendekatinya menyatakan apa yang terbuku di hati sebelum beliau membacakan doa, kemudian memberi jaminan apa yang dirunsingkan atau dihajati akan selesai atau ditunaikan Insya’allah tidak lama lagi. Setiap seorang pun menghulurkan segulung duit kepada penjaga makam sebelum berlepas pulang...
Rasyid tidak gemar melihat semua ini kerana merasakan ia tidak bertepatan dengan konsep ajaran Tasawuf sebenar yang di bawa Sheikh Abdul Wahab atau mana-mana guru mursyid yang menekankan pembentukan insan Islam sejati. Tetapi pemuda itu tetap menghulurkan sedikit wang kerana terpaksa menuruti adat, tidak mahu mahu kelihatan lokek ataupun biadab lebih-lebih lagi kerana dia adalah orang luar, kali pertama berkunjung ke sana dan ada niat untuk bermalam di Babussalam.

—————————
“Kamu ini Rasyid... Takkan itupun salah,” tegur Razak, seorang pemimpin muda yang baru menceburkan diri ke dalam arena politik peringkat tinggi tanah air selepas mendengar cerita pemuda itu tentang kepincangan yang dilihatnya di Babussalam. Pada lulusan Undang-undang Syariah universiti tempatan yang sudah lama bergiat dalam persatuan-persatuan pelajar Melayu peringkat kebangsaan dan biasa memegang jawatan tinggi ini, semua itu adalah perkara biasa. “Takkan orang hendak bagi duit pun tidak boleh,” katanya. “Bukannya mencuri ataupun merompak. Bukankah mereka memberi secara ikhlas?”.
Rasyid terdiam sejenak. Apakah orang ini tidak dapat melihat ada sesuatu yang tidak kena dan tidak patut tentang amalan ini? Atau ia sudah menjadi kebiasaan orang Melayu zaman moden langit terbuka sekarang terutama dalam dunia politik yang menghalalkan banyak perkara?
“Memanglah tidak salah menderma atau menghadiahkan wang,” anak muda itu membuka kata-kata. “Tetapi seperti di Istana Maimon, sumbangan ‘ikhlas’ yang diharapkan rupanya ada nilai minimum, tidak boleh kurang daripada jumlah yang tertentu. Walaupun ini tidak dinyatakan secara terang, aku dapat membaca renungan dan air muka penjaga makam. Tahu kalau jumlah yang diberi tidak mencukupi dan memuaskan hati. Nampak sangat air-mukanya tidak senang! Itu baru dalam makam... Belum dikira lagi dua tiga orang yang duduk menghulur tangan di pintu masuk makam mengharapkan bahagian masing-masing.” Rasyid meneruskan.
Perkara sebegini berlaku lagi bila dia masuk ke Masjid Babussalam. Selepas menunaikan solat Asar berjemaah, anak kelahiran Muar, Johor itu telah merapati seorang tua yang berpakaian lengkap berjubah berserban untuk menyatakan hasrat untuk bermalam di kampung itu, kemungkinan besar di dalam bangunan masjid. Orang tua itupun menunjukkannya kepada pembantu masjid yang berjanji akan membawanya berjumpa tuan guru dan Khalifah yang memimpin Kampung Babussalam. Tetapi kenalah menunggu sehingga petang kerana beliau ada urusan di Medan...
Selepas duduk ‘menonong’ sehingga Maghrib, Khalifah yang ditunggu pun sampai. Pembantu masjid menyuruh anak Malaysia itu bersedia di sebuah ruang bersebelahan masjid, kemudian berbisik: “Sediakan sedikit uang, untuk tuan guru.” Rasyid tersentak tetapi menyembunyikan reaksi. Baru hendak berjumpa sudah kena sediakan wang? Tidak apalah, dia standby... Sediakan 10,000 Rupiah dalam tangan.
Selepas itu, pembantu tadi boleh bertanya lagi, tidak ada duit lebihkah? Lalu tersenyum membuat isyarat meminta wang. Pemuda itu menjawab dia cuma seorang musafir yang merempat dari satu tempat ke satu tempat, tidak ada duit banyak. Sudahlah tadi baru ditekan 20,000 Rupiah naik beca hendak ke sini, dalam masjid pun nak ‘kena’ juga ke?
Bila datang tuan guru dan Khalifah, sekali lagi Rasyid tersentak. Beginikah muka Khalifah Naqsyabandiah, anak cucu Sheikh Abdul Wahab yang mewarisi Babussalam? Mukanya kelihatan muram, kelat dan masam, garang pun ada. Jauh bezanya dengan orang tua yang ditemui selepas Asar tadi, orang yang kelihatan begitu tenang, bersih dan menyenangkan. Jika orang tua itu memiliki aura orang kuat agama yang dapat dirasakan, manusia di hadapannya pula terasa seperti orang kuat makan, jauh sekali hendak menjadi Khalifah Tariqat yang memimpin beribu, mungkin berpuluh ribu orang untuk meningkatkan taraf insan...
Tetapi itulah kenyataannya. Hamba Allah yang nampak bengis semacam inilah Khalifah Babussalam, pemimpin pusat kerohanian yang tersohor di wilayah ini. Apapun, Rasyid tetap perlu berurusan dengannya. Dia pun menghulurkan tangan untuk bersalaman kemudian meminta maaf kerana mengganggu. Pemuda itu dapat melihat orang ini sedang mengejar sesuatu urusan, nampak sangat tergesa-gesa mahu meninggalkan tempat itu. Lalu dia sekadar memberitahu ingin menumpang satu malam.
Selepas meneliti muka Rasyid seketika, tuan guru dan Khalifah itu mengangguk lalu menyuruhnya bertanya pembantu masjid di manakah tempat tidurnya nanti. Pemuda itupun menghulurkan tangan sekali lagi lalu mengucapkan terima kasih dan meminta diri, sambil menghulurkan duit 10,000 Rupiah yang sudah disediakan dalam poket sejak dari tadi...
Khalifah Babussalam memandang mukanya lagi, kemudian bertanya: “Apa ini?” Pemuda itu memberitahu pembantu masjid yang suruh beri.
Khalifah itu kata tak payah, kemudian terus beredar. Tidak taulah mengapa tak mahu. Adakah kerana dia tidak pernah meminta, pembantu masjid sahaja yang buat cerita atau wang 10,000 Rupiah yang nilainya tidak sampai RM5 itu terlalu kecil? Kalau ya pun apalah salahnya senyum sedikit? Takkanlah itupun tak boleh? Susahlah kalau seorang Khalifah tariqat suka bermasam muka walaupun sibuk mengejar urusan. Bukankah Islam menganjurkan supaya kita mempamirkan rupa manis walaupun ketika sedang mengalami masalah? Apatah lagi jika ada pengajian Tasawuf...
Rasyid teringat perbualan dengan beberapa orang penduduk Kampung Babussalam yang ditemui sebelum Maghrib. Mereka yang juga dari berasal dari keturunan Sheikh Abdul Wahab memberitahu, Khalifah sekarang bukanlah orang sepatutnya dinaikkan memimpin pusat kerohanian itu. Ada orang yang lebih layak tetapi tersisih daripada jawatan.
Malah sebelum hamba Allah ini naik lagi ramai anak cucu almarhum sudah berebut mahu menjadi Khalifah. Hendak menjadi pemimpin gah yang tangannya sentiasa dicium penuh hormat, selain mengaut keuntungan hasil nama besar Babussalam yang masih mampu menarik ramai pengunjung yang sedia menaburkan ‘sumbangan ikhlas’ sampailah sekarang.

—————————

“Lepas Isyak, sekali lagi aku melihat duit menjadi permainan biasa di Babussalam,” Rasyid memberitahu Razak. “Seorang guru telah memberi sebuah ceramah Fiqah, adalah lebih sejam. Selesai sahaja ceramah yang aku rasa tidak seberapa itu, seorang demi seorang pendengar bangun ke hadapan lalu mencium tangannya dan menghulurkan sejumlah wang.”
Razak terdiam sejenak memikirkan keadaan itu. Dia cuba membayangkan apakah yang sebenarnya dilihat rakannya kemudian berkata: “Hmm... Aku pun tak tahu nak kata. Tapi takkanlah dia tak boleh menerima duit? Bukankah itu tanda hormat, tanda ceramahnya dihargai?”
“Fair enough,” jawab Rasyid. “Tetapi aku tetap tidak bersetuju. Pada aku, orang yang betul-betul memperjuangkan agama akan mendapat rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka seperti yang tersebut dalam ayat 2 dan 3 Surah at-Thalaq atau Ayat Seribu Dinar. Tidak perlu menggunakan ceramah agama untuk sara hidup lebih-lebih lagi di sebuah masjid yang dikaitkan dengan seorang wali yang diketahui memiliki banyak karamah.”
“Kamu tidak rasa pandangan kamu ini rigidkah?” Razak menegur. “Terlalu keras. Tidak memberi peluang orang berceramah buat duit ?”
“Memang aku rigid, “ jawab anak muda itu. “Sebab ini boleh dikira perkara yang diperbolehkan tetapi boleh membawa kepada yang haram. Disebabkan penceramah boleh mendapatkan duit dari jemaah, disebabkan pak imam, bilal dan tok siak boleh memperolehi allowance dengan rumah free lah maka orang zaman sekarang sanggup berebut kedudukan dalam jawatankuasa masjid sampai sanggup bergaduh, bertumbuk pun ada!”
Razak mula tidak senang duduk. Seolah-olah kata-kata itu terkena batang hidungnya . Mungkin kerana perkara sebegini memang terlalu biasa dalam dunia politik yang memenuhi hampir setiap ruang waktunya? Dan mungkin juga dia terlibat sama, sudah biasa memberi ‘sumbangan ikhlas’ atau menerima ‘tajaan’ tertentu daripada pihak-pihak yang berkepentingan demi untuk maju dalam dunia serba palsu itu?
“Bila sudah terbiasa hidup dengan hasil duit masjid, wang pungutan derma pun boleh diagih-agihkan untuk belanja anak isteri,” Rasyid meneruskan tanpa menghiraukan rakannya yang sudah mula berpeluh. “Sudah tidak ada lagi rasa bersalah kerana pada mereka ini semua rezeki. Boleh dihalalkan dengan menggunakan nas-nas Al-Quran dan Hadis yang diputar-belitkan. Kononnya sebagai belanja untuk menguruskan wang derma rakyat, atau dengan memakai hak sebagai seorang amir...”
“Bukannya ini tidak pernah berlaku, malah sekarang berleluasa pula,” dia menambah. “Semuanya jadi halal apabila agama boleh dijual-beli, bila harta benda dan wang ringgit jadi matlamat, bukannya iman dan taqwa... Tidak ada keikhlasan dan kejujuran dalam hidup lagi. Jika wang zakat pun boleh disapu-bersih, harta anak yatim senang-senang digelapkan, tidak pun di‘pusing’kan dahulu di Bursa Saham, apalah hendak dihairankan tentang ‘sumbangan ikhlas’ yang diberi atas ‘kerelaan’ orang ramai walaupun hakikatnya mereka terpaksa memberi kerana menurut adat kebiasaan?”
Razak memandang jam tangannya. Rasanya belum sampai setengah jam dia berjumpa Rasyid tetapi terasa seperti berjam-jam pula...
“Macam rasuahlah juga, sudah menjadi perkara biasa,” anak muda itu terus meluahkan perasaan tidak puas hati. Lagilah rakan itu tidak senang duduk. Bukankah ini lumrah dunia politik tempatnya mencari makan?
“Nak hidup! Jaga periuk nasi aje, bukannya apa... Kalau tak suka dipanggil rasuah, panggil saja hadiah,” dia melepaskan geram. Geram akibat melihat dengan mata-kepala sendiri berbagai salah-laku yang telah mengorbankan kesejahteraan rakyat malah menggadaikan maruah agama, bangsa dan negara. “Itu yang para penguasa atau menteri ada duit berjuta-juta dalam bank. Sebab selalu dapat ‘hadiah’! Kalau orang yang kononnya kuat beragama pun boleh buat menerima semua ini, apakan lagi orang yang solat dan puasanya setakat cukup syarat? Kira halal sajalah. Apa susah?”

—————————
Malam itu, Rasyid dijemput seorang pengunjung tetap Babussalam untuk tidur di rumah suluk berhadapan makam Sheikh Abdul Wahab. Hamba Allah sebaya ayah dan berasal dari Medan ini memberitahu itulah rumah suluk almarhum semasa beliau masih hidup, tempatnya menajamkan mata hati dan makrifat terhadap Allah Subhanahuwata’ala.
Pengunjung lain di rumah suluk itu yang berasal daripada pelbagai pelusuk Sumatera juga mengajak pemuda ini supaya duduk lebih lama. Kalau boleh 40 hari, paling kurang pun tujuh. Mereka seronok apabila mendapat tahu Rasyid orang Malaysia dan ingin mengenalinya lebih dekat. Memang terdapat warga Malaysia yang rajin datang ke Babussalam dan orang-orang di sini nampaknya sukakan orang Malaysia, tidak tahulah mengapa... Adakah kerana orang Malaysia banyak duit? Harap-harap tidak...
Tetapi pemuda itu menjawab dia tidak boleh duduk lama kerana ada rancangan lain. Mereka terus memujuk. “Kalau tak dapat lama, tiga hari pun jadilah. Kalau mahu merasakan kelebihan Babussalam...”
Rasyid cuma tersenyum sahaja. Katanya cukuplah satu malam. Melihatkan permainan duit yang tidak putus hari itu, dia merasa tidak selesa untuk menetap lebih lama tetapi tidak menyatakan apa yang terbuku dihatinya. Harus juga menjaga perasaan orang lain walaupun pemuda ini kadang-kadang mulutnya lancang...
Lagipun dia sudah menunaikan janji kepada diri sendiri untuk bermalam di Kampung Babussalam, sudah melihat sedikit-sebanyak isinya walaupun setakat satu malam. Sudah masuk pintu kesejahteraan walaupun ia sekarang bergelumang dengan permainan wang. Sekarang sampailah masanya untuk pemuda ini masuk ke daerah kesejahteraan. Maka target seterusnya adalah bermalam Jumaat, malam esok di Aceh Darussalam...

Sheikh Abdul Wahab dan Babussalam

Kampung Babussalam atau panggilan tempatannya Besilam memang sangat terkenal di Tanjung Pura. Nama itu juga harum di luar Langkat sehingga ke serata Sumatera. Ia adalah sebuah pusat kerohanian Tariqat Naqsyabandiah, lebih tepat Naqsyabandiah-Khalidiyah yang terbesar di pulau itu, berkat pengasasnya yang dikatakan bertaraf wali, almarhum Sheikh Abdul Wahab yang mendapat ijazah kerohanian dari Jabal Qubis, Mekah, bukit yang terletak berhadapan pintu Babus-Salam di Masjidil Haram.
Menurut seorang tua di Kajang, Selangor, Sheikh Abdul Wahab telah dilahirkan pada 10 Rabiul Akhir 1230 Hijrah (28 September 1811) di Kampung Danau Runda, Rantau Binuang Sakti, Rokan Tengah, dalam wilayah Kampar di Riau. Pakcik yang cuma ingin dikenali sebagai Pak Su ini memberitahu, Sheikh itu telah diamanahkan oleh gurunya untuk memimpin rumah suluk dan mengajar tariqat tersebut dari Aceh sehingga ke Palembang juga mengembangkannya ke serata Indonesia dan Malaysia.
“Almarhum telah mendapat ijazah dan mandat sebagai Khalifah Tariqat Naqsyabandiah daripada Sheikh Sulaiman Zuhdi yang pernah memimpin ibadah di Jabal Qubis bertahun-tahun lamanya,” dia menerangkan. “Ramai orang pernah bersuluk di bukit sebelah Masjidil Haram itu termasuk para jemaah daripada Turki, India, Malaysia dan Indonesia.”
Untuk pengetahuan, bukit itu sekarang telah ditutup, dibina sebuah istana keluarga Saud yang memerintah Arab Saudi. Maka tamatlah sebuah lagi warisan kerohanian umat Islam zaman-berzaman...
Kata Pak Su, Sheikh Sulaiman Zuhdi yakin Sheikh Abdul Wahab (nama sebenarnya Haji Abdul Wahab bin Abdul Manaf) akan menunaikan amanah sebagai Khalifah Naqsyabandiah dengan sebaik mungkin lalu meramalkan beberapa orang Sultan akan menjadi anak murid almarhum.
Rasyid yang tertarik mendengar cerita inipun bertanya:”Apakah yang diperlu dilalui almarhum sebelum diberi gelaran Khalifah, pakcik?”
Orang tua itu tersenyum. Kelihatan barisan giginya yang putih, bersih berkat amalan bersugi dan sentiasa berkumur setiap kali berwuduk...
“Macam-macam nak,” jawab Pak Su. “Kena buat latihan bersuluk, memencilkan diri dari masyarakat umum sambil memerhatikan adab dan pantang-larang. Solat lima waktu tak tinggal. Banyakkan solat sunat dan berzikir beribu-ribu kali ikut apa yang guru ajar. Sambil itu mesti kurangkan tidur, banyakkan berpuasa, jaga kesucian diri malah apa sahaja yang terlintas di hati. Ini sahaja Sheikh Abdul Wahab telah lakukan selama enam tahun!”
Tetapi kata pakcik itu, lebih penting lagi, seseorang itu mesti ta’at dan mematuhi setiap arahan guru tanpa banyak soal. Kerana dalam perjalanan ilmu tariqat, peranan guru mursyid sangat penting untuk peningkatan kerohanian anak murid. Untuk mencapai keadaan Fana’ (melebur, hilang identiti diri) dalam kewujudan dan keEsaan Allah Subhanahuwata’ala, seseorang murid mesti melalui peringkat Fana’ fil Sheikh, melebur dalam diri guru terlebih dahulu. Seolah-olah murid itu tidak pernah wujud, gurulah segala-galanya yang ada. Tetapi mestilah ikut seorang guru mursyid pewaris Nabi, bukan guru ‘Ya Ya’, guru ajaran sesat yang banyak terdapat sekarang...
Pernah terjadi, guru Sheikh Abdul Wahab menyuruh anak-anak muridnya membersihkan takungan najisnya. Ketika kebanyakan mereka merasa segan dan jijik lalu teragak-agak untuk mematuhi arahan, almarhum pula sanggup mengangkat kotoran itu dengan tangan sendiri.
“Selesai itu, Sheikh Sulaiman pun memberitahu tangan Abdul Wahab ini akan dicium raja-raja nanti. Ini terbukti apabila Sultan Langkat, Sultan Musa Al-Muazzam Syah mencium tangan almarhum di Kampung Babussalam,” kata Pak Su. “Malah Sultan yang pernah diberi gelaran Pengiran Indera Diraja Amir Pahlawan Sultan Aceh ini pernah dihukum oleh Sheikh Abdul Wahab, disuruh bertaubat dan beristighfar di tangga Masjid Babussalam. Sehingga ahli keluarga baginda merasa marah dan terhina lalu datang dengan pedang terhunus untuk melawan dan mengajar almarhum! Nasib baik suasana kembali tenang apabila Sultan sendiri menerangkan keadaan.”
Tanah Babussalam seluas 4 kilometer persegi pula telah diwakafkan Sultan untuk kegiatan agama Sheikh Abdul Wahab dan para pengikutnya. Baginda meneruskan tradisi nenek moyangnya memelihara guru agama, tradisi yang dimulakan Baginda Dewa Syahdan, bekas panglima keSultanan Deli yang membuka kerajaan di Guri lebih 300 tahun dahulu.
Kata Pak Su, Sultan Musa pernah memelihara Sheikh H.M. Nur, rakan seperguruan Sheikh Abdul Wahab ketika di Mekah. Sheikh inilah yang menasihati baginda dan isteri supaya bersuluk dengan almarhum, selepas seorang putera kesayangan baginda mangkat akibat sakit teruk.
Tidak lama kemudian, Sheikh Abdul Wahab yang sedang bermastautin di Kubu, Riau pun dijemput ke Langkat lalu mula memimpin suluk di tempat khas yang disediakan Sultan. Sampai masanya, baginda cukup maju lalu disuruh bersuluk di Mekah pula di bawah pimpinan Sheikh Sulaiman Zuhdi sehingga baginda sendiri mencapai taraf Khalifah...
“Sheikh Abdul Wahab telah berjaya mengangkat 126 orang Khalifah daripada pelbagai pelusuk Sumatera hinggalah ke Jawa dan Malaysia. Kalau di Semenanjung, ramai di Batu Pahat, salah satu tempat almarhum pernah bermastautin mengajar agama selain di Perak.” Pak Su memberitahu. “Setiap Khalifah pula layak untuk memimpin suluk dan mengajar Tariqat Naqsyabandiah di daerah sendiri. Bayangkan, berapa banyakkah agaknya jumlah pengikut semua Khalifah ini, diikuti para pengikut yang kemudian hinggalah sekarang. Lalu berkembanglah ajarannya ke merata tempat dan tersebar luaslah kemasyhuran Babussalam...”
Sheikh Abdul Wahab diberitakan telah kembali ke rahmatullah pada 21 Jamadil Awal 1435 Hijrah (27 Disember 1926), dalam usia yang amat lanjut iaitu 115 tahun. Tambah orang tua itu, almarhum meninggalkan 14 orang anak laki-laki, 12 perempuan dan empat orang isteri serta beberapa orang cucu. Malah, ada pihak menyebut, almarhum juga mempunyai 24 orang bekas isteri yang pernah diceraikan, masing-masing berasal dari pelbagai ceruk rantau!
Banyak juga kisah tentang Khalifah tariqat ini termasuk beberapa peristiwa karamah telah diceritakan oleh pakcik dari Kajang yang berumur hampir 80 tahun itu. Tetapi cukuplah apa yang dinukilkan setakat ini sebagai pengenalan... Pak Su cuma berpesan, jika Rasyid berpeluang, singgahlah di kampung itu walaupun sejenak, sekadar untuk menjenguk makam.
“Lebih elok lagi kalau anak pergi bersuluk beberapa hari di Babussalam,” pakcik itu memberi nasihat. “Mana tahu akan terbuka segala hijab yang menutupi pandangan anak? Dapatlah kalau tidak banyak pun sedikit jawaban yang anak cari-cari selama ini...”
Pak Su sendiri pernah ke sana sebelum Malaysia merdeka, semasa dia muda belia untuk mencari arah tujuan hidup. Lalu beliau pun belajar agama sambil berkhidmat membersihkan masjid lebih setahun, sekali masuk bersuluk paling kurang tiga hari, paling lama 40 hari tanpa henti.
“Banyak juga ilmu yang pakcik dapati,” dia memberitahu. “Fahamlah pakcik peringkat-peringkat musyahadah dan muraqabah, dapat melihat sendiri sedikit sebanyak hakikat sebenar kewujudan alam ini...”
Rasyid tersenyum sahaja. Kalau tidak disuruh pun, dia tetap akan mencari jalan untuk ke sana demi mendapatkan berkat almarhum Sheikh Abdul Wahab sebelum melangkah masuk ke bumi Serambi Mekah. Bukankah Babussalam itu bermakna pintu kesejahteraan? Sedangkan Aceh dipanggil Darussalam, daerah kesejahteraan... Maka itu kenalah ikut pintunya untuk masuk ke daerah...

Pengalaman di Tanjung Pura

Dipetik daripada Bab 5 buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti".

Pada saat dan ketika yang baik, Rasyid pun bersiap-sedia meninggalkan Medan untuk meneruskan perjalanan ke Aceh. Oleh kerana perjalanan darat mesti melalui bandar Tanjung Pura di kabupaten (wilayah) Langkat yang bersempadan dengan bumi Serambi Mekah, pemuda ini bercadang untuk singgah di Kampung Babussalam, sebuah pusat kerohanian Tariqat Naqsyabandiah yang terbesar di Sumatera.
Selesai sarapan pagi, Apin menghantar anak Malaysia ini ke batu enam jalan besar ke Binjai, tempat perhentian kereta sewa ke utara Sumatera. Memandangkan Rasyid orang luar yang tidak tahu selok-belok tempatan, dia pun berbincang dengan seorang pemandu untuk menetapkan harga tambang. Mereka bersetuju dengan tambang 7,000 Rupiah. Rasyid menyediakan ongkos itu lalu menyerahkannya terus kepada pemandu.
Pesan Apin ringkas: “Turunkan kawan saya ini di Masjid Azizi, Tanjung Pura.” Dia menunggu sehingga mobil itu (sebenarnya van sebesar Toyota Liteace yang dijadikan pengangkutan awam) cukup penumpang, adalah dekat 20 orang berhimpit bertemu lutut dan siku. Selepas mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada Apin, Rasyid pun berlepas meninggalkan hiruk-pikuk kesesakan kota Medan.
Dalam perjalanan, pemuda kelahiran Muar, Johor itu tidak banyak bercakap. Dia hampir tidak bersuara langsung, menikus dalam dunianya sendiri seperti tidak mahu bercampur orang langsung. Orang tua yang duduk berhimpit di sebelah sehingga lutut mereka bertemu ada bertanyakan arah tujuannya tetapi Rasyid cuma menjawab: “Mahu ke Tanjung Pura”. Kemudian tersenyum sebelum menoleh ke hadapan melihat pemandangan.
Mungkin sikapnya kelihatan sombong kerana tidak sudi berbual dengan penumpang lain. Sebenarnya pemuda ini tidak mahu bercakap banyak kerana tidak mahu sesiapa menyedari dia adalah orang luar. Takut ada manusia berniat jahat akan mengambil peluang mengenakannya, take advantage kerana dia tidak tahu selok-belok tempatan. Sekurang-kurangnya jika ada yang sedar pun, mereka mungkin menganggap Rasyid sudah biasa ke Indonesia. Mungkin berfikir dua tiga kali sebelum cuba menipunya. Pengalaman dua hari dua malam di Medan telah mengajar, ramai manusia sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan duit tambahan...
Bukan hendak kata orang Indonesia jahat, apa lagi orang tua di sebelah yang kelihatan kuat beragama. Tetapi kalau orang ini jujur, belum tahu penumpang lain juga begitu. Maka lebih elok berhati-hati sebelum apa-apa terjadi. Bila Rasyid membuka mulut , orang boleh tahu pemuda itu orang Malaysia dan selalunya mereka menyangkakan orang Malaysia kaya-raya belaka, ada membawa banyak duit untuk melancong di Indonesia. Lalu ramai yang meletakkan harga lebih, tidak kira untuk membeli rokok, makan di warung atau membayar tambang pengangkutan awam. Tambang atau harga barangan 1,000 Rupiah boleh dinaikkan menjadi 5,000 Rupiah. Silap-silap di’ketuk’ menjadi lebih 10,000 Rupiah!
Orang tempatan atau orang luar yang sudah biasa dengan Medan selalunya jarang bertanyakan harga. Kalau naik pengangkutan awam, agak-agak sahajalah berapa orang selalu beri, 1,000 Rupiah atau 2,000 kemudian bayar. Jangan bercerita panjang... Begitu juga harga makanan dan rokok kerana kedai-kedai biasa jarang meletakkan tanda harga.
Itu belum dikira muka-muka penyangak yang akan cuba menggertak meminta duit jika diberi peluang. Dari jauh lagi, dari body languagenya, Rasyid boleh mengenali orang-orang seperti ini... Dan sejak sampai di Indonesia dia telah terserempak tidak kurang empat orang berperangai gangster yang tidak akan teragak-agak meminta wang jika diberi peluang.
Van dari Medan ini berhenti sebentar di kota Binjai menurunkan penumpang sebelum meneruskan perjalanan melalui ladang kelapa sawit yang luas. Anak muda itu pula tertidur nyenyak kepenatan. Beberapa hari kebelakangan ini tidak cukup rehat kerana asyik berjalan hampir tanpa henti... Sedar-sedar sahaja, sudah sampai ke Masjid Azizi, masjid raya (masjid utama) Tanjung Pura, ibukota kabupaten Langkat.

—————————

Masjid Raya Azizi memang cantik. Rasanya lebih indah daripada Masjid Raya Al Mansun kebanggaan Medan. Dari luar lagi Rasyid sudah terpegun melihat bangunan berwarna kuning cair ini dengan kubah hitam tinggi besar dikelilingi beberapa kubah hitam lain yang lebih kecil tetapi sama reka-bentuknya. Sudah nampak tiang-tiangnya berhias cantik dengan ayat-ayat Al-Quran tertulis dalam seni khat indah di sekeliling.
Lalu dia terus bergegas ke masjid. Lagipun pemuda yang pernah bersolat di beratus buah masjid seluruh tanahair, mungkin juga beribu termasuk di luar negara perlu ke tandas untuk melepaskan hajat. Selesai itu, barulah dia berjalan mengelilingi bangunan itu untuk melihat senibinanya daripada beberapa sudut. Ah... memang indah dan tinggi nilai keseniannya.
Kalau hendak tahu bagaimanakah rupa Masjid Azizi lihatlah Masjid Zahir, masjid diraja Kedah di Alor Setar. Memang rekabentuknya berkaitan. Di perkarangan masjid lama Kedah itu terdapat papan-tanda yang tertulis bahawa Masjid Zahir didirikan menurut senibina masjid-masjid di Langkat. Agaknya Kedah dan Langkat memang ada kaitan kot?
Kebetulan pula istana lama Langkat di Tanjung Pura yang telah musnah dijilat api diberi nama Istana Kota Darul Aman, sepertimana negeri Kedah juga dikenali sebagai Kedah Darul Aman. Apakah ini cuma kebetulan atau memang ada kaitan yang lebih mendalam? Apa yang Rasyid tahu, memang ada sedikit hubungan kekeluargaan di antara kerabat diraja Kedah dan Langkat yang telah diikat melalui beberapa perkahwinan.
Di perkarangan hadapan arah kiblat pula terdapat makam diraja Langkat yang mengandungi makam Sultan Musa Muazzam Shah (memerintah 1840-1893), raja yang tercatit dalam sejarah sebagai Sultan pertama kerajaan yang pernah menjadi wilayah taklukan Aceh itu. Baginda dikenali sebagai seorang yang alim lagi warak malah merupakan salah seorang Khalifah Tariqat Naqsyabandiah yang terkenal di Sumatera. Turut dimakamkan di situ ialah cicit baginda, penyair dan penulis Melayu tersohor di zamannya Tengku Amir Hamzah yang terbunuh ketika revolusi rakyat tahun 1946 yang telah meruntuhkan hampir kesemua keSultanan Melayu di Sumatera.
Tetapi lebih menarik perhatian Rasyid adalah batu-batu nesan di kawasan pemakaman itu tinggi-tinggi belaka, masing-masing setinggi orang dewasa! Batu nesan kerabat diraja perempuan yang berbentuk seperti api menjulang pula mengingatkannya kepada batu nesan berbentuk serupa di sebuah makam lama di Kuala Terengganu, berdekatan simpang tiga jalan ke muzium negeri. Bezanya batu nesan di Langkat itu diperbuat daripada batu mar-mar putih sedangkan makam lama Terengganu yang dilihatnya ditanda kayu bercat kuning. Apakah kaitannya? Wallahualam...
Setelah puas menziarahi makam, pemuda itu masuk ke Masjid Azizi lalu menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid. Kemudian berehat setengah jam sebelum berjalan kaki menuju ke pusat kota. Selepas 3 kilometer berjalan, barulah dia berhenti di sebuah kedai, makan tengahari lauk ikan dengan sayur masakan tempatan. Sambil itu, Rasyid mahu bertanyakan arah ke Kampung Babussalam kerana walaupun dia ada terserempak orang di sepanjang jalan, anak muda itu masih was-was hendak bertanya, takut tersilap orang lalu ditipu atau dipermainkan. Selepas meneliti airmuka setiap orang yang keluar masuk kedai, dia pun bertanya seorang pelayan kedai. Pelayan itu memberi petunjuk arah tetapi katanya kampung itu masih jauh, dekat 10 kilometer lagi. Jenuhlah juga kalau berjalan kaki...
Katanya lagi, Rasyid boleh menaiki motosikal sewa yang menjadi salah sebuah pengangkutan awam utama di sini, dipanggil orang tempatan sebagai ‘kereta’. Ambil di pusat kota, lagi 1 kilometer perjalanan tetapi dia tidak tahu tambangnya berapa. Pemuda itu sudah malas hendak bertanya lagi, nampak sangat tidak tahu selok-belok tempatan. Akhirnya dia menaiki beca yang kebetulan lalu di hadapan kedai makan. Rupa-rupanya, ‘terkena’ juga. terbang 20,000 Rupiah sedangkan anak muda ini boleh pergi ke Babussalam dengan tambang 2,000 Rupiah jika menaiki ‘kereta’...