Merujuk pada artikel Antara perpustakaan dan mahkamah : Pesta Buku Perak 2023. Ada disebut bahawa permusafiran ke Perak baru ini yang baru sahaja berakhir tengah hari semalam 9 Ogos terus dikongsikan cerita hari pertamanya kerana esoknya (iaitu hari ini) saya harus memberikan tumpuan bagi satu program. Sukacita dimaklumkan program berkenaan telah dapat dihadiri pagi tadi hingga tengah hari lalu saya berjaya mencapai satu matlamat. Apakah program dan matlamat? Akan diceritakan sebagai kesinambungan daripada perjalanan Perak yang diberi tajuk umum "Antara perpustakaan dan mahkamah" ini kerana sangat berkaitan. Buat masa ini cukuplah disebut ia melibatkan Sultan Perak. Sekarang pergi kita pada hari kedua perjalanan.
Awal pagi Isnin 7 Ogos 2023. Setelah buat pertama kali dalam ingatan bermalam di Masjid Panglima Kinta saya pergi bersarapan awal mee kari dekat Medan Kidd, Ipoh.
Dari situ sudah tidak jauh ke Masjid Paloh. Tergeraklah untuk singgah lalu menziarahi makam sutradara terkenal Mamat Khalid yang kembali ke rahmatullah kurang 2 tahun lalu.
Dari masjid pula sudah tidak jauh dari sebuah pokok besar yang terasa amat selesa duduk di pangkal atasnya. Pokok ini malah laluan tepian Sungai Kinta berdekatan pertama kali dilalui baru 2 minggu lalu. Cerita berkenaan ada dikongsikan dalam artikel
Ringkasan aktiviti dan perjalanan Jun-Julai 2023.
Sekitar jam 10 pagi pergi makan "Nasi Ganja". Biasanya saya puasa sunat hari Isnin walau sedang bermusafir. Kali ini tidak kerana memang nak layan makan macam-macam.
Selepas perbincangan dengan satu pihak tentang mahu mengadakan seminar bagi mengangkat sejarah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin seperti dikongsikan dalam buku terbaru baru ke Pesta Buku Perak 2023 di AEON Klebang lalu sampai waktu Zohor. Menurut maklumat pada kamera digital kecil gambar ini diambil tepat jam 1.31 petang. Ia selepas mengatur buku di meja sama seperti ditunjukkan dalam
Antara perpustakaan dan mahkamah : Pesta Buku Perak 2023.
Hari itu kurang pengunjung, tidak seperti pada hari Ahad yang boleh dikatakan sarat orang. Yang nampak ramai sedikit bila ada acara di pentas seperti resensi buku pada waktu petang dan persembahan rebana diikuti kompang dan gamelan pada waktu malam.
Sekitar jam 9.30 baru meninggalkan pesta lalu bergerak ke pusat latihan Silat Cekak di Manjoi. Saya diberitahu ia adalah pusat utama di Ipoh dan sekitar.
Lokasinya tidak jauh dari Mahkamah Syariah di mana kes harta Laksamana Muhammad Amin di Mekah sedang berjalan. Saya telah diminta untuk berkongsi cerita tentang pengasas Silat Cekak iaitu Panglima Ismail yang telah dikenal pasti sebagai Laksamana Paduka Raja Wan Ismail, Laksamana Kedah semasa zaman Perang Musuh Bisik dengan Siam tahun 1821-1842.
Saya diminta oleh seorang rakan yang merupakan orang lama dalam Silat Cekak untuk berkongsi cerita kerana ada darah keturunan Panglima Ismail melalui perkahwinan cucunya, Wan Long Sa'adiah binti Wan Mat Saman (Perdana Menteri Kedah) bin Laksamana Wan Ismail dengan Laksamana Muhammad Amin di Perak. Menariknya, sedang bercerita itu tiba-tiba kedengaran bunyi bising diikuti kelibat 3-4 ekor binatang berlari-lari di tepi pagar pusat. Rupa-rupanya memerang. Mereka-mereka yang biasa berlatih bersilat di sini sejak bertahun lama pun tidak pernah melihat. Tiba-tiba boleh ada. Entah kenapa, petanda apa? Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan