Merujuk pada artikel Teater "Kasa Rubiah" di MATIC - Siapakah Rubiah itu?. yang dipersembahkan hampir seminggu lalu. Pada penghujung artikel ada diletakkan poster berikut bagi persembahan teater yang menyambung cerita...
Saya dan sepupu berazam untuk membawa keluarga masing-masing hadir setelah menonton teater terdahulu. Ini kerana faktor Aceh-Bugis yang disebut dalam cerita. Kami memilih untuk pergi hari Sabtu malam Ahad 5 Ogos 2023. Ini kerana sepupu yang menetap di Raub harus bekerja siang itu.
Cuma saya, isteri dan anak sampai lewat disebabkan masalah kereta.
Ikut jadual, teater sambungan bertajuk "Waris Rubiah" itu bermula jam 8 malam sedangkan kami sampai jam 9.
Masuk sahaja ke panggung ternyata kami sudah terlepas babak pertama. Ketika itu sedang berlaku selingan sebelum bertukar ke babak kedua.
Pun begitu, daripada selingan yang berlaku beberapa babak kemudian iaitu melibatkan kuiz tentang jalan cerita saya dapat tahu bahawa babak pertama ada menunjukkan Sultan Johor sedang murka kerana kalah berperang dengan Jambi. Cerita dalam teater tidak menyatakan tarikh atau tahun bilakah ia berlaku. Namun dalam sejarah rasmi ada dinyatakan bahawa Johor kalah selepas serangan mengejut oleh Jambi pada tahun 1673.
Dalam teater sebelum ini iaitu "Kasa Rubiah" ada ditunjukkan bagaimana watak yang dikenali sebagai Rubiah itu meninggal dunia ketika melahirkan anak kecil. Suaminya pula telah lebih awal kembali ke rahmatullah akibat dibunuh. Lalu babak kedua menunjukkan anak tersebut sebagai seorang kanak-kanak yang membesar tanpa ibu dan ayah tetapi dilindungi dan diasuh oleh empat orang wanita yang merupakan pengikut ibunya. Beliau sering kesedihan tanpa kasih sayang ibu bapa tetapi dapat membesar menjadi seorang pemuda yang gagah pandai bersilat mampu menumpaskan ramai lanun walau secara bersendirian.
Apa yang saya dapat tangkap beliau kemudian dikahwinkan dengan anak gadis Penghulu Klang kerana menyelamatkan penduduk daripada satu serangan orang jahat.
Antara persembahan selingan. Oh. Anak itu bernama Tomingo.
Suasana ketika lampu dibuka terang untuk kuiz. Sepanjang persembahan saya duduk di atas lantai kerana panggung penuh penonton. Maklumlah kedudukannya di sebelah Dataran Merdeka menyebabkan lebih ramai pengunjung mudah mencapainya, pada malam Sabtu yang mana memang kawasan tersebut ramai pengunjung. Ada pula pasar malam di Jalan Tuanku Abdul Rahman berdekatan menjadikan kawasan terlebih meriah...
Selain Tomingo yang menimbulkan tajuk "Waris Rubiah" sebagai watak utama cerita ini mengenengahkan seorang pahlawan Bugis bernama Daeng Mangika. Mereka berdua pernah berlawan beradu kehebatan bersilat sebelum berbaik apabila Tomingo mendapat tahu, seperti beliau, Daeng Mangika juga berdarah Bugis (Bugis-Makassar sebenarnya) dan ayahnya adalah seorang Sultan kerajaan Goa. Turut diketengahkan adalah satu lagi watak pahlawan Bugis bernama Daeng Lakani. Mereka bertiga ditunjukkan sebagai pahlawan-pahlawan utama yang membantu Johor mengalahkan Jambi. Lalu Sultan Johor menganugerahkan gelaran Suliwatang kepada Daeng Lakani dan Punggawa kepada Tomingo. Tetapi Daeng Mangika sekadar diberikan persalinan. Lalu ditunjukkan beliau tidak berpuas hati tentang itu.
Sejarah rasmi meletakkan kemenangan Johor ke atas Jambi berlaku pada tahun 1679 atas pimpinan Laksaman Tun Abdul Jamil. Antara tiga watak Bugis tadi saya cuma pernah mendengar nama Daeng Lakani sebelum ini. Beliau adalah seorang ketua orang Bugis di Selangor sebelum kedatangan Raja Lumu ibni Daeng Chelak yang ditabalkan sebagai Sultan pertama Selangor pada tahun 1756. Bila mencari lagi dalam Internet baru tahu ada yang menyatakan Daeng Lakani juga dikenali sebagai Arung Lenga. Beliau beripar dengan pahlawan terkenal Raja Haji ibni Daeng Chelak,
Rupa-rupanya apabila dicari betul-betul nama Daeng Mangika agak besar. Dinyatakan beliaulah yang memimpin ramai pahlawan Bugis bersama pasukan Johor membantu Laksamana Tun Abdul Jamil menewaskan kerajaan Jambi. Namun beliau dikatakan talam dua muka. Ini kerana sebelum itu beliau pernah membantu Jambi menyerang Johor. Mungkin disebabkan itulah Sultan Johor tidak memberikan gelaran atau pangkat seperti halnya Daeng Lakani dan Tomingo.
Tentang Tomingo pula saya menghadapi masalah untuk mendapat maklumat tentang beliau di Internet. Namun setelah membuat carian kata kerja "Punggawa Tomingo" baru terjumpa. Beliau dinyatakan sebagai ketua orang Bugis di Linggi yang pernah dirundingi oleh kerajaan Johor ketika meminta masyarakat Bugis agar berpindah ke Selangor. Sebetulnya saya dan sepupu menonton teater ini dengan harapan akan keluar lagi hal raja-raja Aceh berketurunan Bugis (yang ada kena mengena dengan darah keturunan kami, keluarga Laksamana Raja Mahkota di Perak). Rupa-rupanya tidak kedengaran lagi faktor Aceh di sini. Tetapi ia tetap memberikan pengetahuan baru melibatkan tiga watak utama berdarah Bugis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan