OK. Minggu lepas adalah minggu yang agak sibuk dan padat buat saya. Setelah memenuhi jadual dengan beberapa perkara dan pertemuan melibatkan keluarga juga kawan-kawan lama dalam tempoh beberapa hari terus-menerus, saya harus ke Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru petang Selasa untuk mempromosi buku dalam satu majlis melibatkan perjuangan orang Melayu.
Malam itu juga saya harus berlepas ke Raub kerana mahu mempromosi buku di Kuala Lipis keesokannya hari Rabu... atas jemputan seorang pensyarah di Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan. Ceritanya ada dinukilkan sedikit dalam artikel A visit to the Tengku Ampuan Afzan teaching institute in Kuala Lipis yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi. Awal pagi Khamis pula saya harus berada di Petaling Jaya untuk memberi satu taklimat tentang Melayu dalam satu majlis Biro Tatanegara. Yang menarik, slot asal saya sepanjang setengah jam telah dipanjangkan jadi 2 jam! Nasib baik ada DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" boleh digunakan untuk mengisi ruang.
Jumaat keesokannya, saya berjalan jauh lagi. Setelah rancangan perjalanan jadi tidak menentu akibat muncul komitmen-komitmen lain, rakan zaman kolej saya yang turut belajar di United Kingdom tetapi di bandar lain kemudian bertemu kembali di bawah bumbung syarikat The New Straits Times apabila dia menjadi wartawan di akhbar Malay Mail, saudara Shamsul Yunos akhirnya dapat menetapkan masa untuk memulakan satu projek baru... berjalan keliling Semenanjung Malaysia untuk mengambil gambar-gambar seraya merekod cerita di sekitar/sebalik masjid-masjid terpilih untuk satu penerbitan tertentu. Di atas adalah gambar bandar Seremban diambil dari dalam kereta.
Maka perjalanan untuk ke masjid-masjid terpilih pun dipecah tiga - perjalanan ke selatan, ke Pantai Timur dan ke utara. Jumaat lalu menyaksikan perjalanan ke selatan dimulakan selepas solat Jumaat dan masjid terpilih pertama ialah Masjid Tuan Tulis Ismail di Kuala Talang, Tanjung Ipoh, dalam daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Kenapa masjid ini dipilih? Hmm... sila lihat artikel Makam (Tomb of) Tuan Tulis yang telah dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) lebih 2 bulan lalu. Oh, sebelum itu kami singgah di makam Sheikh Muhammad Said al-Linggi di Ampangan, Seremban.
Kami meninggalkan Masjid Tuan Tulis selepas jam 6.15 petang begitu. Walaupun kereta yang digunakan mampu senang-senang naik hingga ke kelajuan 260km/h, berapa lajulah kami boleh pergi melepasi kesesakan jalanraya menghampiri kembali Seremban dan selepasnya, apatah lagi apabila naik dan turun bukit. Lalu kami sampai ke destinasi seterusnya di Pengkalan Kempas masuk jam 7.30 petang.
Di sini terdapat sebuah makam lama dikatakan milik seorang ulamak yang hidup pertengahan abad ke 15. Di sekitarnya juga terdapat beberapa buah batu hidup atau megalithic stones...
Sila lihat artikel The megalithic stones of Pengkalan Kempas yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH 8 bulan lalu. Di atas kelihatan Shamsul sedang mengambil gambar di hadapan sebuah batu hidup yang dikenali sebagai "Batu Pedang". Di bahagian atas batu itu terukir nama Allah dalam huruf Jawi...
Kemudian kami ke Masjid Qariah Linggi yang didirikan oleh kaum keluarga Sheikh Muhammad Said Linggi sekitar 150 tahun lalu. Terlupa pula nak ambil gambar... Hmm... Tak apalah. Kita pakai sahaja gambar masjid lama di pekan Masjid Tanah yang diambil kemudian. Di hadapan kawasan ini, di tepian jalan tepi sungai baru kami makan malam, makan satay hampir jam 10 malam kalau tak salah ingatan.
Di masjid inilah kami bermalam untuk perjalanan pembukaan projek penerbitan berkenaan masjid-masjid di Semenanjung Malaysia ini...
Di sini juga kami mendapat dan mendengar beberapa cerita yang pelik-pelik daripada beberapa orang. Cukuplah. Disambung selepas ini ya...
1 ulasan:
Nampak menarik projek terbaru ni. Semoga berjaya
Catat Ulasan