Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, Julai 14, 2008

Salam ukhuwah untuk semua anak cucu Keramat Kuala Bidor dan Laksamana Raja Mahkota Nakhoda Hitam!

Gambar makam Keramat Kuala Bidor diambil daripada artikel Jalan-jalan cari makam 1... yang dibuat Julai tahun lepas.

Assalamualaikum semua. Izinkan saya membuka cerita kali ini dengan satu komen yang baru hari ini saya sedari telah dibuat di dalam artikel Perjalanan terbaru ke Perak... Mencari makam Keramat Sungai Durian dan membuka sedikit taraf sebenar keluarga Laksamana Raja Mahkota! , artikel yang mula disiarkan di blogspot ini Jun 27. Ini dia...

-------------

khaz64 said...

Sdra Radzi,Makam Arwah Haji Ibrahim Taha agak menonjol kalau dibandingkan dgn kubur lain kerana Arwah seorang dihormati di situ. Beliau seorang ketua kampung yang disegani bukan sahaja oleh penduduk setempat malah ditakuti oleh orang luar yang perlu meminta kebenaran beliau sebelum berurusan dgn penduduk kampung. Saya terkilan kerana sdra meletakkan gambar batu nisan moyang saya(Haji Ibrahim ialah Datuk kepada ibu saya) sebagai kemungkinan orang yang mencuri harta keluarga nenek saudara. Sdra sepatutnya lebih bertanggungjawab dan mendapatkan kepastian sebelum menimbulkan kekeruhan dan Kemarahan dikalangan keturunan Arwah Haji Ibrahim terhadap saudara. Kalau hendak dibandingkan dgn Ngah Ibrahim, harta peninggalan Arwah haji Ibrahim tidak seberapa. Saudara perlu belajar menjadi seorang penulis yang bertanggungjawab dan tidak menulis mengikut emosi. Tuduhan sebegini dianggap satu fitnah besar walaupun saya tahu saudara sendiri dalam keadaan keliru. Eloklah dihilangkan kekeliruan itu dahulu sebelum memburukkan orang lain. Tuduh menuduh begini tidak membawa faedah kepada sesiapa pun malah boleh memberi padah. Mohon diperbetulkan dgn kemaafan kepada kerurunan arwah Haji Ibrahim Taha.

Monday, July 07, 2008 11:52:00 AM

------------------

Adapun komen itu nampaknya dibuat sebagai reaksi kepada beberapa perenggan awal dalam artikel Perjalanan terbaru ke Perak... Mencari makam Keramat Sungai Durian dan membuka sedikit taraf sebenar keluarga Laksamana Raja Mahkota! . Biar saya copy and paste pula perenggan-perenggan tersebut...

--------------------

Makam yang paling menonjol di sini... (ada gambar) Pemiliknya dinyatakan sebagai Haji Ibrahim bin Muhammad Taha... Teringat cerita Nenek bahawa seorang bapa saudara kepada ibu Nenek telah membolot segala harta yang nilainya mungkin berpuluh juta Ringgit tahun 20an dulu! Dan orang itu bernama Haji Ibrahim atau Datuk Ibrahim! Apakah ini orangnya? Yang pasti orang ini memang bapa saudara kepada ibu Nenek iaiatu Aminah binti Abdul Raof. Sedangkan Abdul Raof dengan Haji Ibrahim adalah adik-beradik tetapi lain ibu... Lalu Abdul Raof dikatakan mewarisi semua harta abangnya Laksamana Sulaiman yang tidak memiliki anak kemudian Abdul Raof dan isterinya meninggal lalu anak-anak mereka jadi yatim piatu, itu yang harta tersebut dipegang oleh Haji Ibrahim? Entahlah... Saya cuma pernah mendengar cerita ini dalam tempoh 3 hari saya sempat berbual-bual dengan Nenek untuk mengetahui asal-usul keluarga pada satu penghujung tahun 2001, kali pertama saya berminat tentang itu... Sedangkan Nizam telah mendengar cerita-cerita ini hampir seumur hidup ketika membesar kerana dia dibela oleh Nenek sejak kecil lagi! Lalu kata Nizam, Haji Ibrahim atau Datuk Ibrahim yang dimaksudkan adalah Ngah Ibrahim yang sangat terkenal sebagai orang terkaya di Perak pertengahan abad ke 19 Masihi!

---------------

OK... Pertama kali saya sampai ke makam ini awal tahun lepas... Dalam keadaan sama juga iaitu ketika mahu mencari Makam Keramat Sungai Durian @ almarhum Laksamana Raja Mahkota Tok Jambu. Memang diakui ketika itu saya cenderung untuk berfikir bahawa Haji Ibrahim yang dinyatakan Nenek adalah Haji Ibrahim bin Muhammad Taha yang dimakamkan di satu kawasan perkuburan di Sungai Durian itu. Bukan saya berniat buruk atau mahu memfitnah. Adapun setelah mengkaji sejarah susur-galur keluarga hingga 1,400 tahun ke atas, memang terdapat banyak kisah di mana berlaku pergaduhan keluarga malah adik-beradik berebut takhta, apalagi harta dan sebagainya sehingga sanggup bunuh-membunuh pun ada! Jadi tidak mustahil kalau ada kes bapa saudara membolot harta kerana ia bukannya perkara ganjil, sudah biasa berlaku dalam mana-mana keluarga. Cuma dalam kes keluarga terdekat saya, tidak dapat dipastikan siapa yang betul-betul terlibat kerana saya setakat mendengar cerita Nenek sahaja...

Dalam hal ini, elok dinyatakan bahawa kami adalah dari susur-galur satu watak misteri yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor. Ada pihak menyebut bahawa Keramat Kuala Bidor dengan Laksamana Raja Mahkota Nakhoda Hitam, Laksamana pertama Perak yang muncul pertengahan abad ke 18 pada zaman pemerintahan Sultan ke 13 Perak, Sultan Muzaffar Shah III (Marhum Hajiullah) adalah orang yang sama.

Tetapi Nenek pernak memberitahu bahawa Keramat Kuala Bidor datang ke Perak dari tanah seberang (Pulau Sumatera) ketika Perak masih belum beraja lagi. Malah beliaulah yang membela buaya putih Sungai Perak yang ketika itu hanya sebesar tapak tangan! Pendekkata, zaman Keramat Kuala Bidor dengan Nakhoda Hitam yang juga dikenali dengan nama Daeng Hanasah, abang kepada Daeng Selili @ Maharajalela pertama Perak Pancung Tak Bertanya adalah jauh berbeza. Tetapi mungkin juga mereka orang yang sama tetapi pernah muncul dalam 2 zaman yang berbeza? Apapun itu cerita lain yang melibatkan kisah tajalli roh dan perkara-perkara luar-biasa.

Mengikut ceritanya Keramat Kuala Bidor membawa diri ke Perak akibat adiknya merebut takhta di tanah seberang. Jadi di situ sendiri sudah ada cerita pergaduhan keluarga yang besar... Belum lagi yang ke bawah-bawah apabila keturunan itu muncul jadi banyak bercabang-cabang... Lagi le terdapat bermacam-macam perangai dan kepentingan. Maka itu janganlah hairan jika ternampak sahaja makam Haji Ibrahim di Sungai Durian, saya teringat cerita Nenek tentang seorang bapa saudara ibunya yang membolot harta keluarga. Tetapi ada pula ahli keluarga lain menyebut bahawa Haji Ibrahim yang dimaksudkan adalah orang kaya terkenal Perak dahulukala Ngah Ibrahim yang menguasai daerah Larut, Matang dan segala hasil bijih timahnya yang melimpah... Dah terlibat satu keluarga lagi pula! Dan memang kami semua ada kena-mengena...

Maka itu dalam artikel Perjalanan terbaru ke Perak... Mencari makam Keramat Sungai Durian dan membuka sedikit taraf sebenar keluarga Laksamana Raja Mahkota! , selepas perenggan-perenggan yang menyebut tentang almarhum Haji Ibrahim di Sungai Durian itu, saya juga menyebut begini....

------------------------

Ah! Saya keliru... Yang manakah sebenarnya dimaksudkan sebagai Haji Ibrahim atau Datuk Ibrahim oleh Nenek? Yang pasti, Ngah Ibrahim ini juga bersaudara dengan kami. Saya tidak ada salasilah terperinci tetapi saya tahu Ngah Ibrahim adalah menantu kepada Laksamana Muhammad Amin, moyang kepada datuk saya! Hmm... Biar saya cerita lepas sahaja le... Saya ambil salasilah belah lelaki yang saya ingat... Adapun nama saya ialah Mohd. Fahrulradzi bin Mohamad Sapiee bin Muhammad Arshad bin Muhammad Wahi bin Muhammad Arshad bin Laksamana Muhammad Amin. Nenek pula adalah isteri kepada Muhammad Arshad bin Muhammad Wahi. Nama Nenek ialah Raja'ah binti Muhammad Isa tetapi saya tidak tahu bagaimana salasilah Muhammad Isa ini. Yang saya tahu, ibu Nenek adalah Aminah binti Abdul Raof bin Muhammad Taha. Muhammad Taha pula ialah anak kepada Tok Chu Abdul Rahim bin Che Uda Kecil Tekukor (pelik-pelik le nama diaorang ni, entah nama panggilan ke hapa? Apapun tetap nenek-moyang saya juga!) sementara Laksamana Muhammad Amin ialah anak kepada Abdul Wakap bin Alang Muhammad bin Che Uda Kecil Tekukor. Ah... Saya dah pening dah... Keluarga kami banyak berkahwin saudara-mara sedangkan kalau dipakai salasilah sebelah lelaki sahaja tanpa menyatakan siapa isteri mereka dan kaitan melalui sebelah perempuan pun sudah cukup untuk menunjukkan kaitan persaudaraan. Apapun oleh kerana Ngah Ibrahim adalah menantu Laksamana Muhammad Amin, maka dia juga boleh dikata sebagai salah seorang bapa saudara Nenek...

------------

Seterusnya, selepas satu gambar, saya menyebut begini...

--------------

Tetapi tujuan sebenar kami pergi ke Sungai Durian adalah untuk mencari sebuah makam yang lebih lama dan jauh lebih penting dari yang lain. Saya pernah sampai ke kawasan ini sekitar awal 2007 lalu diberitahu seorang penduduk kampung (yang rupa-rupanya atuk saudara saya, masyaallah) bahawa makam lama yang ingin dicari ini terletak di sebalik belukar di kawasan latar-belakang gambar ini, di tepian Sungai Perak. Untuk makluman, makam ini milik seorang pembesar istana yang dipanggil sebagai Laksamana Raja Mahkota Tok Jambu. Oleh kerana beliau dikatakan seorang alim lagi pahlawan yang banyak memiliki kelebihan maka itu selepas meninggal dunia, beliau dikenali sebagai Keramat Sungai Durian!

---------------

Memang itupun tujuan saya. Tetapi dalam penceritaan terkeluar pula cerita tentang Haji Ibrahim ini dan memang itu adalah cara saya bercerita. Saya bukan seorang pengarang yang mereka-reka cerita untuk kelihatan bagus tetapi saya sekadar menurut gerak rasa mana cerita yang akan keluar dengan kepercayaan bahawa akan ada hikmahnya nanti!

Dalam keadan ini muncul komen saudara khaz64 yang nampaknya juga datang daripada susur-galur keturunan yang sama, cuma cabang keluarga sahaja berlainan. Percayalah, selama kira-kira 2 tahun saya mula berkecimpung bercerita melalui siri novel "Berpetualang ke Aceh" diikuti cerita-cerita yang dibuat di satu dua forum Internet juga di blogspot ini dan blogspots BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) , telah ramai mereka yang berkait tetapi selama ini tidak menyedarinya dapat berhubung dan saling mengenali... Semuanya kerana asbab membaca tulisan-tulisan saya!

Ada pula hubungan yang sudah lama putus tetapi bertaut kembali bukan secara langsung akibat membaca tulisan saya tetapi tetap ada kena-mengenanya... Misalnya sekitar 2 minggu lalu Nur kedua telah membawa saya berjumpa dengan seorang kawan lamanya yang sudah 13 tahun tidak berjumpa. Dalam berkenalan itu, dia bertanya apakah pekerjaan saya? Saya jawab saya tak kerja apa-apa, cuma suka merantau sahaja...

Memang saya tak suka mengenalkan diri sebagai penulis sepertimana semasa jadi wartawan di akhbar The New Straits Times dahulu saya tidak suka mengenalkan diri sebagai wartawan kecuali apabila perlu sahaja. Satu kerana saya sebenarnya memang tak kisah tentang pangkat dan kedudukan, kedua kadang-kadang lebih elok tidak mengenalkan siapa diri saya... Kerana dah banyak kali, apabila orang tak tahu siapa saya maka mereka pun seronok bercerita macam-macam di hadapan saya hingga terbuka segala macam telahan dan rahsia... Mungkin kerana memandang saya lekeh. Maklumlah saya suka berpakaian buruk, kalau tak berapa buruk pun ringkas seolah-olah saya cuma seorang pemuda cabuk yang tak punya apa-apa. Tetapi sebaik sahaja tahu saya wartawan, terus tiba-tiba mulut mereka terkunci seolah-olah tak ada modal bercerita. Selalunya kerana samada mereka segan atau takut apa yang diceritakan itu akan direkodkan saya!

Bila dapat tahu saya seorang penulis pula selalunya ada 2 reaksi yang berbeza... Pertama ada orang yang tiba-tiba seronok kerana dapat berkenalan dengan seorang penulis. Maklumlah, hakikatnya di luar sana bukan selalu kita dapat berjumpa dan berbual-bual berhadapan dengan orang yang ada nama... Bukanlah nak kata saya ada nama sangat tapi adalah juga... Lebih elok le daripada beribu malah berjuta orang di luar sana yang bercita-cita mahu menjadi penulis lalu ingin dikenali ramai tetapi cita-cita tak kesampaian...

Ada pula yang tiba-tiba jadi ego semacam... Ya ke saya ni penulis? Sedangkan dia tengok zahirnya saya selamba selalu pakai baju buruk main campur semua orang tanpa menunjukkan kedudukan. Orang begini selalu menganggap apabila saya mengaku penulis maka saya cuma mahu membesar-besarkan diri sendiri. Dan mereka menganggap kalau orang dah ada nama, tentu tak akan bergaul sembarangan, tentu dah jaga nama, tak da le macam saya kadang-kadang orang boleh jumpa tepi jalan depan Masjid India mengunyah kerepek sambil duduk atas lantai...

Hmm... Teringat pula masa saya mula-mula nak kutip duit jual siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Pustaka Mukmin, Jalan Tuanku Abdul Rahman. Ada ke diaorang tak terima letak nama saya kat cek? Agaknya selama ini diaorang ingat saya kuli tukang hantar buku saja... Atau setakat penulis biasa lalu tak percaya bahawa syarikat penerbitan buku Wasilah Merah Silu Enterprise adalah milik saya walaupun ia tak sebesar mana...

Itulah persepsi sesetengah orang dan sebab itu juga ramai yang bercita-cita mahu jadi penulis... Agar dapat bercampur dengan orang ada nama, pihak atasan dan kemudian dipandang tinggi masyarakat umum! Ia boleh dikira satu karier glamour... Dapat nama menulis buku cinta pun ramai dah teruja inikan lagi satu siri novel yang ada unsur-unsur intelektual tinggi. Selalunya mereka yang mampu dan dah pun menghasilkan buku-buku sebegini mempunyai lingkungan pergaulan yang terdiri daripada para pemimpin serta orang-orang berkuasa di persada tanahair. Perlukah saya memberitahu yang saya dulu selalu duduk bersila di hadapan orang-orang seperti Tun Mahathir juga Pak Lah? Dan sekurang-kurangnya orang macam Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said kenal juga saya apabila berjumpa.

Ah... Saya bukan peduli ini semua tetapi disebabkan tak peduli tentang kedudukan di samping saya peramah bergaul dengan orang dari semua peringkatlah ada sesetengah orang take me for granted. Agaknya diaorang nak saya cakap macam ni kot: "Apa standard aku nak campur dengan engkorang layan engkorang punya cakap-cakap kosong!"... Lepas tu biar saya jalan sana sini pakai coat bawak BMW ke, Mercedes kot baru nak percaya? Atau nak lagi bagus (sebab nak sangat jaga standard...) jangan turun pun langsung tempat-tempat macam Central Market dan Masjid India. Kalau nak jalan cuma kat hotel besar dan sebagainya. Takkan le kena jadi begitu baru orang nak hormat kita sebagai penulis? Patutlah orang tak faham makna perjuangan dalam dunia penulisan seperti yang saya war-warkan...

Apapun, apabila rakan lama kepada Nur kedua ini asyik bertanya tentang pekerjaan saya kerana tidak berpuas-hati dengan jawaban yang diberi, saya pun suruh Nur kedua menjawab bagi saya. Terus dia terperanjat. Katanya inilah kali pertama dia terjumpa seorang penulis! Kemudian dia tanya saya tulis apa... Kebetulan saya ada membawa satu set siri buku "Berpetualang ke Aceh" saya pun tunjukkanlah... Dari situlah dia dapat tahu kaitan saya dengan keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak.

Dipendekkan cerita, rupa-rupanya kami bersaudara! Bukan setakat itu, hamba Allah ini adalah anak kepada sepupu ayah saya, kira saudara dekat le ni tapi tak pernah kenal pun seumur hidup... Rupa-rupanya dia sudah terpisah lama dengan keluarga besar sebelah ayah saya kerana ibu-bapa mereka bercerai semasa dia berumur 2 tahun ke 2 bulan gitu! Masyaallah! Cuma masalahnya ada versi cerita berbeza dalam hal ini. Hamba Allah ini menganggap bapanya lah yang telah meninggalkannya dan abang serta ibunya lalu tidak mempedulikan mereka hingga kini!

Katanya dia sedia mengaku yang sepupu ayah saya itu adalah bapanya tetapi bapanya pula yang seolah tidak mahu mengaku kewujudan anaknya itu! Masyaallah lagi... Saya baru beberapa hari bercerita pada ayah saya tentang ini... Terus ayah memberitahu, sebenarnya sepupunya itu telah banyak kali cuba berhubung dengan anak-anaknya sejak mereka kecil lagi tetapi dihalang sang ibu dan keluarganya pula! Sedangkan si ibu juga ada hubungan kekerabatan dengan kami semua...

Begitulah juga agaknya tentang hal-hal lain yang melibatkan keluarga. Pihak ini mendengar versi daripada keluarga yang terdekat dengannya. Pihak lain mendengar versi yang lain pula. Pada saudara khaz64, saya tidak bertanggungjawab kerana telah melibatkan nama datuk kepada ibunya Haji Ibrahim dalam satu kisah pembolotan harta kaum keluarga yang diceritakan oleh Nenek. Saya pula mendengar dari versi Nenek tetapi tidak pasti siapakah Haji Ibrahim yang dimaksudkan... Malah Nenek dan ibu saudara pula yang bercakap kepada saya seolah-olah saya ada tanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan. Dalam pada itu saya cuma terfikir mungkin Haji Ibrahim ini adalah yang di Sungai Durian kerana memang dia bapa saudara kepada ibu Nenek! Tetapi tak mustahil juga yang dimaksudkan adalah Ngah Ibrahim kerana memang kami juga ada hubungan persaudaraan!

Di sini timbul lagi satu masalah. Kalau betul Haji Ibrahim itu ialah Ngah Ibrahim, maka terkait lagi satu keluarga dalam cerita ini. Adapun mengikut salasilah yang saya lihat, Menteri Paduka Tuan sekarang iaitu Datuk Wan Isa dari keturunan Ngah Ibrahim adalah saudara tiga pupu saya! Bukannya jauh sangat walaupun tak kenal, setakat ada jumpa sekali sahaja semasa peristiwa pengembalian jasad almarhum Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dan Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim dari Singapura ke Perak September 2006... Dah jadi cerita lain pula... Dah boleh jadi gaduh dengan keluarga lain nanti!

Belum lagi dicampur cerita-cerita yang melibatkan takhta... Setakat ini belum ada lagi saya jumpa orang yang dapat menjawab, siapakah yang membunuh moyang saya yang dikenali sebagai Orang Kaya Besar Muhammad Arshad bin Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Katanya ia berlaku sekitar 1920an... Kebetulan pula saya ada terbaca dalam buku Cempaka Sari kalau tak salah ingatan bahawa pada zaman itu Raja Bendahara terus naik jadi Sultan... Mana perginya Raja Muda? Takkan hilang begitu sahaja sedangkan saya telah diberitahu beberapa pihak, sepatutnya zaman itu seorang kerabat dari Teluk Intan naik menjadi Sultan! Takkan le nak sebut kaitan sebenar keluarga Laksamana Raja Mahkota dengan kerabat diraja terdekat baru orang nak faham...

Sudahlah... Hakikatnya kita semua manusia biasa yang tidak sunyi dari membuat kesilapan. Maka jangan hairanlah jika datuk nenek-moyang kita dahulu pernah bergaduh sesama-sendiri apalagi jika ia melibatkan perebutan takhta, harta dan kuasa malah wanita juga! Tetapi takkan kita yang anak cucu ini masih mahu terus berdendam dan terus bermusuh sedangkan kita tetap bersaudara dan Islam lagi ya tak?

Para pembaca sekalian... Rasanya mereka yang sudah lama mengikuti penulisan saya faham bagaimana saya selalu mengembara malah menulis pun menurut gerak hati akan apa yang keluar mengalir daripada dalam diri ini. Dalam menulis itu, mungkin keluar sesuatu yang tidak enak... Tetapi percayalah tidak pernah saya berniat busuk mahu menfitnah dan mengada-adakan cerita dan sebagainya.

Maka itu cuba ambil dari sudut yang positif. Saya telah menyatakan rasa saya secara jujur tanpa berselindung tentang cerita Haji Ibrahim kerana ia sudah ditakdirkan akan terkeluar untuk masa itu padahal saya sebenarnya mahu bercerita tentang pencarian makam Keramat Sungai Durian. Lalu saudara khaz64 telah memberikan komen dan teguran bagi pihak keluarganya setelah membacanya, menurut persepsi cerita mereka pula!

Maka anggaplah apa yang berlaku sebagai satu perkenalan kembali 2 cabang keluarga yang sudah lama tidak kenal-mengenal atau saling menghubungi. Kalau tak rajin nak berhubung pun sekurang-sekurangnya, biar mereka tahu ada seorang saudara yang rajin mengembara mencari cerita-cerita lama, bukan untuk menuntut harta lama tetapi untuk menyelami jati diri sebenar Melayu Islam yang mungkin boleh menolong kita menghadapi cabaran lebih besar yang akan mendatang nanti!

Cuma saudara ini (maksudnya saya...) juga harus mengembara sejauh mungkin ke seluruh Tanah Melayu untuk menyambung kaitan keluarga yang lebih besar lalu mungkin kurang teliti dalam menangani persoalan satu-satu cabang keluarga kecuali keluarga terdekatnya sahaja... Lalu akan ada perkara yang terlepas pandang, perkara yang mungkin cuma boleh diperbetulkan melalu komen ataupun feedback keluarga terdekat daripada jurai yang terlibat sahaja...

Misalnya saya pernah ke Kampung Kota, Beruas lalu pergi ke sebuah rumah keluarga Sayyid kabilah Jamalulail dengan harapan dapat bertemu ketua keluarganya, seorang tua yang katanya tahu segala cerita tentang makam-makam lama berbatu nesan Aceh di situ. Ternyata orang tua tersebut telah meninggal dunia. Lalu sebaliknya saya pula yang harus menerangkan sedikit tentang sejarah makam-makam lama dan cerita kerajaan Beruas kepada mereka. Malah saya juga harus mengingatkan kembali kepada mereka tentang perjuangan Ahlul Bait anak cucu Nabi, tentang cerita Saidina Ali ditentang Muawiyah dan sebagainya sedangkan saya bukan pun ada Sayyid kat pangkal nama!

Disebabkan pengembaraan dan pencarian saya ke merata tempat, maka ramai bertanyakan saya tentang sejarah sesuatu tempat atau watak-watak penting yang terlibat. Kalau saya tahu, insyaallah saya akan cerita kecuali yang betul-betul rahsia. Selain itu mana saya nak tahu? Mana nak terjaga sejarah kaitan beratus malah beribu tempat dan watak? Sepatutnya orang terdekat di situ, kaum keluarga yang masih ada le yang menceritakan dan menerangkannya untuk saya ya tak? Itupun bukan semua saya boleh ingat!

Apapun, di sini saya ingin membuat pengumuman... Kepada seluruh warga keturunan Haji Ibrahim bin Muhammad Taha, dengan ini saya Mohd. Fahrulradzi bin Mohamad Sapiee bin Muhammad Arshad bin Muhammad Wahi bin Muhammad Arshad bin Laksamana Muhammad Amin, saya yang bapanya Mohamad Sapiee beribukan Raja'ah binti Muhammad Isa, anak kepada Aminah binti Abdul Raof bin Muhammad Taha menyusun jari ingin memohon ampun dan maaf atas setiap kesilapan kata-kata yang menerbitkan rasa tidak senang hati keluarga Haji Ibrahim. Percayalah, niat saya bercerita adalah semata-mata untuk mencari kebenaran. Maka anggaplah kesilapan saya ini sebagai salah satu perkara yang ada hikmahnya.. Sekurang-kurangnya untuk menyatukan kembali keluarga besar Keramat Kuala Bidor dan Laksamana Raja Mahkota Nakhoda Hitam untuk menangani cabaran besar akhir zaman demi kemaslahatan bangsa Melayu kita dan agama Islam! Sekian, wassalam... :]

8 ulasan:

Mohd Shahrizal berkata...

Subhanallah,
Bersyukurlah saudara MS dan Khaz64 kerana dapat bertemu diruangan siber. Harapnya dapatlah memanjangkan silaturrahim saudara berdua..

Tapi ada sedikit "kecacatan" atas pertemuan ini. Kerana ianya bagaikan luahan perasaan dari kedua2 pihak yg agak nyata emosinya. Yang sedihnya, ia berlaku dikhalayak pembaca setia blog ini. Mungkin ada baiknya sebab bnyk pengajaran boleh diambil dari peristiwa ini.

Namun atas dasar saudara seagama (walupun mungkin tak setaraf) moleklah kiranya andai saudara MS sudi meletakkan alamat email saudara. Agar teguran2 yg ikhlas mahupun hujah2 mencari kebenaran yg agak sensitif dapat dibahaskan secara personal didalam emel. Perkara bersifat peribadi seperti ini nampak agak tidak kena untuk di"bahas" didepan orang ramai. Dan sedikit sebanyak ianya mungkin mampu mencemar nama baik keturunan mulia saudara.

Dan diharap pembaca lain agar tidak terlalu terbawa2 emosi peribadi kedalam blog ini sebab ia menyebabkan perkara sebegini berlarutan. Secara sedar maupun tidak, sedikit-sebanyak ia bakal membongkar kecacatan peribadi masing2. Barang dilindungi Allah....

Apapun, perbahasan yg membawa kebaikan selalunya membawa manafaat jika diteliti secara positif..
bye
;-)

PerpatihTulus berkata...

ada video baru upload.
28, 29, 30, 31, 32

check dalam youtube. www.youtube.com/perpatihtulus

wassalam

PerpatihTulus berkata...

lupa nak bagitahu.. semua video yang dah diuploadkan tu, tidak di edit langsung. cuma dipotong-potong aje. takde background music, takde subtitle. rakaman kali ni pun tak banyak beza dengan yang lepas-lepas. next time mungkin nak buat cara lainlah pulak. mengedit tu mungkin belum lagi kot. kecuali dalam versi VCD nanti. InsyaAllah. wassalam

khaz64 berkata...

Alhamdulillah dan terima kasih saya ucapkan kpd sdra Radzi. Insya Allah akan saya cetak komen sdra dan sampaikan kepada mereka yang berkecil hati dan perasaanya sedikit terguris apabila membaca komen tentang Almarhum Haji Ibrahim Taha terdahulu.
Secara peribadi saya memahami apa yg tersirat. Walaubagaimanapun golongan pembaca atang dari pelbagai latarbelakang. Namun sebagai anak sulung kepada salah seorang cucu perempuan Almarhum Haji Ibrahim, saya hanya menjalankan amanah, walaupun sebenarnya saya sudah menjelaskan hal sebenarnya sebelum ini kepada ibu saya.
khaz64@gmail.com

Radzi Sapiee berkata...

Terimakasih. Sejak saya mula terpalit dengan dunia Tasawuf ketika berusia 18 tahun, saya telah menanamkan dalam jiwa kata-kata keramat ini: Kadangkala kamu rasa sesuatu itu baik untuk kamu sedangkan hakikatnya sebenarnya buruk untuk kamu. Begitu juga sebaliknya, kadangkala kamu rasa sesuatu itu buruk untuk kamu sedangkan hakikatnya baik untuk kamu.
Pada mereka yang belum faham keadaan ini, maka mereka berpegang pada tawakal awam di mana Rasulullah SAW menyebut ikatlah unta kamu sebelum kamu masuk ke dalam masjid... Ini adalah peringkat tawakal di mana seseorang itu berusaha mengelak sebaik mungkin untuk mengelak kemudharatan sementara cuba sebaik mungkin untuk mencapai kejayaan yang selalunya boleh diukur dengan kesihatan baik, bertambahnya harta dan sebagainya.
Tetapi pada peringkat tawakal khusus dan tawakal khusul was khusus, perkara yang dilakukan seringkali di luar logik akal pemikiran biasa. Seperti cerita Nabi Ayub menanggung kesakitan dan penderitaan yang amat sangat... Kenapa baginda tidak berusaha atau sekurang-kurangnya berdoa untuk menghilang segala malapetaka ini?
Di sinilah orang banyak tak faham... Dalam peringkat ini sebenarnya seseorang itu tetap berusaha juga tetapi usahanya sudah dialihkan daripada mengelakkan mudharat dan mencari kejayaan yang boleh dilihat oleh mata kepada usaha dapat menerima kemudharatan sebagai satu anugerah Allah SWT belaka! Lalu daripada sabar menerima ujian bawa pula kepada redha menerima ujian malah bersyukur pula kerana diuji Allah dengan keperitan kerana sudah faham itu tanda Tuhan sayangkan kita!
Dalam keadaan inilah saya telah melangkah menerut gerak hati mengambil risiko nyawa hingga hilang pekerjaan, bercerai anak bini, merantau ke sana ke mari mencari kebenaran dan dalam keadaan ini juga saya bercerita secara telus apa yang terkeluar di hati sehingga kelihatan di mata awam seperti membuka pekung di dada.
Bagi saya, ini adalah perjalanan kerohanian saya. Saya harap bagi orang lain mereka dapat belajar sesuatu lalu sekurang-kurangnya tidak membuat kesilapan yang saya buat.
Dan dalam keadaan inilah mengalir keluar segala macam ilmu yang belum tentu boleh didapati malah kemungkinan besar tidak boleh didapati dengan cara lain. Anggaplah ini semua sebagai takdir yang Tuhan telah tetapkan untuk diri saya. Harapan saya semoga semuanya tidak sia-sia... Semoga anda semua dapat sesuatu yang berfaedah daripada segala usaha saya ini. Sekian! :]

Tanpa Nama berkata...

Salam,

Alhamdullillah.....kedua dua saudara MS dan Khaz64 memang mempunyai sifat sifat yang terpuji...maaf memaafi...teruskan lah merapatkan tali persaudaraan.

Pintar Fan berkata...

Siapakah nakhoda hitam/panglima itam dan itam rao di teluk intan

Suryati berkata...

Bolehkan saya tahu anak2 Laksamana chik ( keramat Tg Medan ) dan anaknya Laksamana Tok Rejab serta cuxunya Raja Mahkota Tok Janggut.