Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Oktober 29, 2020

Trial Run Bicara Perjuangan HIKMAH 25 Oktober dan rancangan untuk acara sebenar 31 Okt

Salam petang Khamis 12 Rabiulawal 1442 Hijriah. Salam Maulidur Rasul bagi menyambut ulang tahun hari kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW menurut kalendar Islam. Merujuk pada artikel Peranan Saling Melengkapi Falsafah dan Agama Dalam Pembinaan Peradaban yang dipersembahkan hari Isnin. Pada mukadimahnya ada disebut bahawa pada hari sebelum itu telah diadakan trial run atau sesi percubaan sebagai persediaan untuk satu forum akan datang yang mungkin terpaksa dilaksanakan secara on-line akibat perlaksanaan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat).  

Ini kerana PKPB bagi mengekang penyebaran wabak virus COVID-19 menghalang orang ramai daripada datang ke lokasi fizikal majlis. Diisytiharkan terpakai di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya 14 hingga 27 Oktober ada tanda-tanda kuat menunjukkan ia akan lanjutkan ketika trial run sedang difikirkan Sabtu malam Ahad. Ini menjadikan kenyataan apabila lanjutan sehingga 9 November  diumumkan petang Isnin. Rancangan tentang forum pula sudah diceritakan dalam artikel  Bicara Perjuangan HIKMAH - Malaysia Tanpa Ahli Politik, Mustahil atau Bagaimana? lebih 2 minggu lalu.  Siap ada rancangan untuk mengadakan majlis Maulidur Rasul diikuti bersilat selepas forum. Sekarang biar diceritakan tentang trial run ...



Sabtu malam Ahad 24 Oktober 2020. Tiba-tiba terfikir. Kalau betul harus melaksanakan forum secara on-line apakah sudah bersedia? Daripada segi penggunaan wadah atas talian saya sudah 2 kali mengikut acara Webinar menggunakan Zoom jadi tiada masalah. Tapi itu dalam majlis orang lain. Kali ini saya menjadi penganjur lalu harus memastikan kelancaran...

Sudahkan bersedia daripada segi teknikal kerana belum pernah melaksanakan acara menggunakan Zoom atau apa-apa wadah serupa? Saya pun menghubungi kawan yang akan melakukan tugas-tugas penyiaran majlis kepada umum untuk memberitahu ada baiknya diadakan trial run atau sesi percubaan dalam tempoh 2-3 hari itu. Ini perlu supaya segala keperluan teknikal dapat dipenuhi sebelum acara, segala masalah dapat ditangani sebelum tarikh. Beliau menjawab dengan mencadang agar ia diadakan esoknya Ahad 25 Okt.

Saya pun melakukan persediaan termasuk menyediakan poster seperti kelihatan di atas. Oleh kerana sudah lewat malam saya juga meninggalkan pesanan melalui WhatsApp kepada orang-orang yang diharap dapat menyertai trial run. Selesai semua ini baru poster diwar-warkan di Facebook berserta teks berikut...

TRIAL RUN BICARA PERJUANGAN HIKMAH PETANG INI
Salam awal pagi Ahad 25 Oktober 2020 bersamaan 8 Rabiulawal 1442 Hijriah. Sukacita dimaklumkan atas gerak spontan yang baru muncul sekitar jam 10 malam tadi pihak kami membuat keputusan untuk mengadakan trial run atau sesi percubaan sebagai persediaan kepada "Bicara Perjuangan HIKMAH" yang mahu dilaksanakan 31 Oktober nanti. Keputusan dibuat memandangkan ini kali pertama kami melaksanakan perkara lalu mahu memastikan ia dapat diadakan secara on-line sepenuhnya dengan lancar jika PKPB dilanjutkan selepas 27 Oktober. Sambil menguji siaran, aspek2 audio visual dan pengendalian boleh juga dikongsikan lebih awal beberapa perkara memandangkan banyak perkembangan sudah berlaku sejak bicara diumumkan mahu diadakan terutama tentang kemungkinan berlakunya darurat tidak lama lagi.
Acara trial run mahu diadakan petang ini bermula jam 2. Insyaallah jam 1.30 kami akan mula membuka ruang. lalu anda sudah boleh bersama. Namun buat masa ini penyertaan aktif melalui Zoom adalah terhad kepada beberapa orang undangan. Tetapi anda semua boleh mengikuti melalui FB Live dan Yotube lalu memberikan maklum balas melalui pautan2 berikut :-


Pagi Ahad 25 Oktober baru mula mendapat jawaban daripada orang-orang yang diharapkan untuk menyertai majlis. Masuk tengah hari baru boleh diumumkan senarai. Selain tiga orang panelis bagi acara sebenar saya memanggil empat orang rakan lama daripada zaman kolej untuk memeriahkan trial run dan seorang rakan dalam dunia persilatan. Ia  mahu diadakan secara santai seperti borak-borak di kedai kopi. Lalu muncullah senarai berikut bersama gambar atas di FB...


SENARAI MEREKA YANG AKAN BERCAKAP SANTAI DALAM TRIAL RUN BICARA PERJUANGAN HIKMAH SELEPAS ZOHOR KARANG...
Berikut diberikan senarai nama dan sedikit penerangan tentang kedudukan mereka.
1. Taufiq Khalid - Peguam dan aktivis
2. Shamsul Yunos - Lulusan undang2 tetapi kemudian menjadi wartawan akhbar The Malay Mail. Sekarang freelance
3. Amirul Mohammad - Lulusan undang2 tetapi kemudian menjadi ahli perbankan. Pernah menjadi hos talk show di Unifi TV. Sekarang aktivis ekonomi Islam dan dinar dirham.
4. Mohd Faizal Ahmad - Peguam berpengkalan di Johor Bahru
5. Tun Suzana Othman - Penulis buku dan aktivis. Dua orang pakar perlembagaan terkemuka, Prof Shamrahayu dan Dato Dr Wan Ahmad Fauzi sering bersama beliau dalam usaha memartabatkan peranan raja2
6. Pak Habib @ Syed Hussein al-Attas - Penulis buku politik kontroversial terkenal. Sudah berumur 80 tahun dan sudah menghasilkan 82 buku. Mengenali semua Perdana Menteri Malaysia dan ramai ahli politik secara peribadi sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi
7. Megat Iskandar at-Terawis - Presiden Persatuan Genealogi Malaysia, seorang yang sangat berpengetahuan tentang pembesar tradisional dan raja2 Melayu
8. Radzi Sapiee - Saya le tu. Penulis, aktivis dan presiden HIKMAH - Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman
9. Cikgu Roslim Abu - Yang Dipertua persatuan Dunia Seni Silat Melayu (DSSM) Malaysia. Mewakili suara beribu pesilat tanah air
Untuk makluman penama 1 hingga 4 adalah kawan-kawan lama yang pernah duduk sebilik dengan saya semasa zaman kolej tahun 1988-1990. Mereka lulusan sarjana muda undang2 daripada universiti di UK sementara saya lulusan matematik daripada University College of London. Sila ikuti acara melalui FB Live bermula jam 1.30 petang di sini :-


Secara rasmi trial run dijadualkan bermula jam 2 petang. Tetapi ruang maya Zoom mahu dibuka pada jam 1.30 supaya dapat diselaraskan apa yang perlu. Tengok-tengok apabila sampai masanya tak dapat masuk ke ruang sedangkan  umum telah diberitahu siaran langsung sudah boleh mula ditonton pada jam 1.30. Rupa-rupanya berlaku silap faham lalu saya pun memberitahu umum seperti berikut :-


COUNTDOWN KE TRIAL RUN BICARA PERJUANGAN HIKMAH JAM 2
Salam. Saya dah ready nak start jam 1.30 tapi ada sedikit miscommunication. Host yang berpusat di Putrajaya ingat kena masuk tepat jam 2. Jam 1.30 setakat bukak channel. Dia tengah makan tadi. Sekarang tengah setting lagi 2-3 benda ni. Set nanti dia akan bagi satu link Youtube yang mana semua orang boleh follow. Saya akan copy paste ke FB dan WhatsApp. Tunggu lagi sikit ya...
🙂


------------------------



Setelah beberapa minit acara pun boleh dimulakan lalu diletakkanlah pengumuman berikut di FB dan WA...

t-----------------
OK. Kita sedia hendak bermula ni. Saya letak link live - masuk sini...

https://www.youtube.com/watch?v=x0Ek_BrsxO


Seperti dijangkakan terdapat beberapa masalah teknikal muncul seperti tidak dapat mendengar suara diikuti masalah talun (echo). Sambil acara berjalan sambil itu dibetulkan masalah demi masalah sehingga tiada lagi gangguan. Acara dimulakan dengan pengenalan lalu diperkatakan tentang kemungkinan darurat akan dilaksanakan di Malaysia dalam masa terdekat. Ini adalah akibat Perdana Menteri dan beberapa ahli kabinet diberitakan telah mengadap Yang di-Pertuan Agong hari Jumaat untuk memohon agar dibuat perisytiharan darurat atas alasan ia diperlukan untuk menangani masalah COVID-19 yang naik meningkat mendadak sejak sebulan kebelakangan iaitu setelah berlakunya PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah pada 26 September. 

Umum tahu Perdana Menteri dan kerajaan yang sedang dipimpin beliau sedang digugat cabaran demi cabaran atas keabsahan untuk terus memegang kuasa pentadbiran. Mereka didakwa tidak memiliki majoriti sokongan ahli Dewan Rakyat. Oleh itu ada kemungkinan Belanjawan 2021 yang dijadualkan akan dibentangkan mereka pada 6 November tidak mendapat cukup undi untuk diluluskan. Kalau ini berlaku pentadbiran mereka akan jatuh lalu pihak lain harus dipilih menggantikan.  

Trial run bermula dalam keadaan satu sidang tergempar Raja-raja Melayu mahu diadakan di Istana Negara bermula jam 2.30 untuk membincangkan keadaan dan tindakan. Kami pun mengupas perkara berserta beberapa hal berkaitan dengan melihat daripada pelbagai aspek terutama sudut sejarah dan undang-undang. Walau acara diadakan dalam keadaan santai berbincang antara kawan-kawan ia sangat serius daripada segi kandungan isi. Ini berlanjutan sehingga kedengaran azan waktu Asar sekitar jam 4.20. Lihat video penuh di bawah...





Lewat petang itu sekitar jam 6.30 keluarlah berita berserta kenyataan media daripada Istana Negara tentang hasil perbincangan Raja-raja Melayu :-






Di sini tidaklah ingin saya mengupas tentang perkara. Cukuplah dikatakan permohonan untuk mengisytiharkan darurat tidak diperkenankan YDPA namun semua diminta untuk menyokong pentadbiran sekarang dalam menghadapi masalah COVID-19. Belanjawan 2021 juga harus diberi jalan. Maka beralihlah kita pada rancangan untuk forum atau bicara sebenar pada 31 Oktober iaitu 2 hari sahaja daripada sekarang. Berikut adalah soalan-soalan yang akan membentuk hala tuju perbincangan :-



1. Secara idealistiknya apakah yang anda faham tentang sistem pemerintahan dan pentadbiran negara?

    a. Tentang Perlembagaan dan bagaimana ia membahagikan kuasa bagi check and balance

  b. Bagaimana ia (mekanisma seperti Perlembagaan) dapat mempertahankan kedudukan Raja-raja Melayu, hak-hak orang Melayu dan kesyumulan agama Islam

2. Secara realistiknya berdasarkan apa yang sedang berlaku pada masa sekarang bagaimanakah anda melihatnya (merujuk pada perkara seperti a dan b di atas)?

3. Apakah pemerintahan dan pentadbiran idealistik yang perlu dituntut? Pada saya tentulah kerajaan Islam berdasarkan cara pemerintahan di Madinah pada zaman Nabi Muhammad SAW. Atau ada pandangan lain yang lebih baik?

4. Adakah ahli politik sekarang boleh membawa ke situ (pemerintahan dan pentadbiran idealistik) atau bagaimana?

5. Bagaimana pula raja-raja Melayu dan sistem pembesar tradisi? Bagaimana anda melihat peranan mereka (ke arah pemerintahan dan pentadbiran idealistik)?

6. Akhir sekali bolehkah diadakan Malaysia tanpa ahli politik atau bagaimana? Bagi setiap jawaban sila nyatakan kenapa. Dan bagaimana (kalau ada suatu cadangan perlu dicapai)...




Insyaallah akan dibawa satu konsep hasil ilham dan fikiran sendiri yang saya namakan sebagai politik 'Mutmainnah' vs politik 'Amarah'. Ia adalah  berdasarkan 7 tingkat nafsu dalam pelajaran ilmu Tasawuf.  Tingkat-tingkat ini boleh menentukan bagaimanakah seorang manusia itu menanggapi suatu keadaan lalu bertindak. Tingkat 'Amarah' adalah yang paling rendah kerana bersifat kebinatangan iaitu sama sahaja perangai seperti binatang.

Manusia pada peringkat ini bertindak berdasarkan keinginan hawa nafsu rendah untuk hidup (survival), makan minum, mengadakan hubungan seks dan sebagainya. Mereka kurang atau tiada langsung memikirkan hal-hal tinggi lalu mudah digoda syaitan dengan perasan tamak haloba, hasad dengki dan khianat. Sesungguhnya segala ilmu saikologi atau kaji jiwa yang rasmi, segala ilmu sosiologi iaitu kajian tindak tanduk masyarakat yang dipelopori dunia Barat lalu dianut ramai termasuk oleh orang Melayu Islam adalah berdasarkan tingkat nafsu ini. Ini tidak menghairankan kerana premis pemikiran Barat dibina atas dasar sains (konon) bahawa manusia berasal daripada beruk seperti boleh disingkap melalui kajian Charles Darwin pada abad ke-19 Masihi. 

Disebabkan ramai manusia berada pada tingkat inilah mereka mendambakan kekayaan, kebesaran dan nama lalu boleh dibeli, diugut dan sebagainya. Nafsu 'Mutmainnah' pula berada pada tingkat ke-4 iaitu setelah beberapa peringkat dididik nafsu dan dilakukan mujahadah membersihkan hati supaya meninggalkan sifat-sifat kebinatangan. Ia dikatakan tingkat paling rendah yang boleh memberikan jaminan masuk syurga. Pada tingkat ini seseorang sudah mencapai ketenangan pada setiap masa dan keadaan lalu tidak lagi boleh dipengaruhi hiruk pikuk dunia. Ada kitab menyatakan orang yang mencapai tingkat ini sudah menjadi 'wali kecil'. 

Segala tindak-tanduknya adalah ke arah keTuhanan. Segala keputusan dan tindakan adalah ke arah mengEsakan dan membesarkan Tuhan, bukan membesarkan keperluan dan kepentingan diri (selfish needs) sehingga boleh bertindak jahat mengambil hak orang lain tetapi menghalalkannya dengan pelbagai alasan termasuk mempergunakan ayat-ayat Al-Quran. Pada tingkat ini seorang itu tidak lagi mendambakan dunia, tidak takut mati lalu tidak diboleh diugut mahupun dibeli. Kalau seorang pemimpin itu sudah mencapai tingkat nafsu 'Mutmainnah' malah lebih tinggi seperti pernah berlaku kepada para Khulafah ar-Rasyidin (empat khalifah terawal Islam - Saidina Abu Bakar, Saidina  Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali) juga sejumlah Raja Melayu seperti Sultan Alauddin Riayat Syah yang memerintah Melaka lebih 500 tahun lalu tentu rakyat dapat dipimpin ke arah kesejahteraan dunia dan akhirat. Tentu politik atau siasah mereka sangat berlainan berbanding apa yang kita lihat sekarang.

    

Isnin, Oktober 26, 2020

Peranan Saling Melengkapi Falsafah dan Agama Dalam Pembinaan Peradaban

Merujuk pada artikel Bicara Perjuangan HIKMAH - Malaysia Tanpa Ahli Politik, Mustahil atau Bagaimana? yang dipersembahkan 13 hari lalu. Telah dinyatakan bahawa satu majlis forum dengan tajuk berkenaan mahu diadakan pada 31 Oktober. Semalam telah diadakan satu trial run atau sesi percubaan sebagai persediaan jika forum hanya dapatkan dilakukan secara on-line iaitu atas talian sahaja menggunakan Internet, bukan secara berhadapan hadir tubuh badan akibat kemungkinan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dilanjutkan selepas 27 Oktober. Tetapi sebelum dikongsikan biar dilepaskan cerita ini dahulu.




Pagi Sabtu 24 Oktober iaitu 2 hari lalu saya telah menghadiri Webinar atas dari rumah. Ia adalah majlis perasmian "Seminar Falsafah Malaysia ke-8" oleh ahli politik terkenal Dato' Seri Anwar Ibrahim. Memberikan ucaptama adalah guru saya Profesor Emeritus Dr Osman Bakar. Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Peranan Saling Melengkapi Falsafah dan Agama Dalam Pembinaan Peradaban".



Ia adalah Webinar kedua saya hadiri seumur hidup. Pertama adalah pada 9 Oktober, iaitu baru sahaja 17 hari lalu. Lihat Al-Ghazali dan Ibnu Rushdi : Dua bintang dalam galaksi intelektual Islam. Kelihatan dalam gambar Profesor Dr Mohamad Fauzan Noordin, pengarah IIIT iaitu International Institute of Islamic Thought (Institut Antarabangsa Pemikiran Islam) bagi bahagian Timur dan Tenggara Asia. IIIT adalah salah satu penganjur majlis lalu beliau menerangkan rancangan untuk memajukan falsafah juga pemikiran Islam.



Hadirin boleh dilihat menggunakan paparan berkenaan. Rasanya perkataan hadirin juga menghadiri boleh digunakan walaupun secara maya kerana semua yang terlibat hadir secara perhatian dan fikiran walau tidak dengan tubuh badan. Ketika gambar ini diambil jam 9.37 pagi sudah terdapat 174 orang dalam majlis. Jumlah ini nanti meningkat sehingga melebihi 200 orang.




Menggunakan perisian Zoom sebagai perantara setiap hadirin boleh melihat muka hadirin yang lain pada bila-bila ketika asalkan kamera video masing-masing dihidupkan. Kelihatan di sini Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir. Presiden Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran Malaysia (PPFPM). Semasa saya menyertai majlis sekitar jam 9.30 beliau sedang bercakap tentang matlamat persatuan juga tentang majlis. PPFPM adalah salah satu penganjur dan gambar ini diambil ketika Alinor sudah menjadi salah seorang pendengar. 




Ini pula adalah Pengarah PPAS (Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor), Puan Mastura Hj Muhammad. PPAS juga adalah penganjur sementara Mastura diamanahkan untuk menyampaikan ucapan alu-aluan Menteri Besar Selangor Dato' Seri Amirudin Shari yang tidak dapat bersama majlis.




Mempengerusikan majlis adalah Puan Hikmah Hassan daripada PPAS. Sebetulnya seminar berlangsung selama 3 hari Jumaat hingga Ahad melibatkan ramai pembentang. tTetapi Webinar yang dibuka secara percuma ini adalah khas untuk perasmian berserta ucaptama bagi sesi hari Sabtu. 



Selepas beberapa lama diperkenalkanlah perasmi majlis. Muncullah Anwar yang cukup dikenali dalam persada politik negara dan antarabangsa. Tetapi dalam majlis ini beliau dinyatakan sebagai pengerusi IIIT. Memperkenalkan beliau dalam bahasa Inggeris adalah Fauzan (gambar pertama tadi) kerana seminar melibatkan peserta dan pembentang daripada beberapa negara. 

Anwar pun bercakap tentang kepentingan falsafah sebagai teras setiap perbuatan. Sesungguhnya di sebalik setiap perbuatan harus ada falsafah yang boleh menjadi setiap tindakan beretika dan berakhlak. Ini dimulakan dalam bahasa Melayu kemudian ditukar ke dalam bahasa Inggeris selepas beberapa minit. Di sini ingin dinyatakan pendirian bahawa secara peribadi saya tidak menggemari kepimpinan beliau dalam dunia politik.

Semasa bertugas sebagai wartawan akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times tahun 1996 hingga 2001 saya harus membuat liputan ketika Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri ketika itu Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad (kini bergelar Tun). Dalam tempoh waktu hampir sebulan kalau tak salah ingatan saya selalu turun naik dari pejabat ke kediaman rasmi beliau kemudian ke rumah persendirian untuk mengikuti perkembangan selain meliputi ceramah-ceramah kepada penyokong. Setelah beberapa lama keliru siapakah di pihak yang benar saya terlihat sesuatu yang menyebabkan tidak lagi yakin atas kepimpinan beliau. Tapi itu cerita politik. Kalau cerita akademik dan keilmuan saya boleh menerima Anwar sebagai seorang yang berwawasan tinggi lagi memiliki jangkauan ilmu yang luas dan banyak pembacaannya. 

Lagipun beliau kawan baik kepada guru saya Osman yang sudah disebut namanya sejak awal. Difahamkan mereka kawan baik sejak zaman sekolah menengah di Maktab Melayu Kuala Kangsar tahun 60an (lebih dikenali dengan singkatan MCKK untuk nama bahasa Inggerisnya Malay College Kuala Kangsar). Hinggakan satu artikel surat khabar yang dibaca seminggu dua lalu menceritakan mereka sering fly (lompat pagar keluar asrama) bersama tetapi bukan untuk bersuka ria. Sebaliknya mereka membuat kerja-kerja amal dengan mengajar bahasa Inggeris kepada budak sekolah pondok. Lihat Kisah Anwar 'fly' ketika di MCKK.




Ketika itu baru saya tahu betapa rapatnya Anwar dengan Osman. Sebelum itu sekadar tahu mereka  satu sekolah tapi berbeza satu batch. Osman yang lahir tahun 1946 tua setahun. Yang saya tahu lagi mereka juga kemudian sama-sama terlibat dengan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia). Mereka juga menadah ilmu perjuangan idealisma Islam daripada cendekiawan besar Tan Sri Profesor Syed Naquib Al-Attas.

Sebab itu mudah bagi Osman mengajak Anwar untuk terlibat dalam majlis-majlis besar di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran Dunia Islam). Ia adalah tempat saya menyambung pengajian ke peringkat pasca-siswazah sejak penghujung Ogos 2018. Osman merupakan guru dan penyelia tesis saya. Lihat artikel Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia. Beliau pernah menceritakan disebabkan hubungan dengan Syed Naquib itulah Anwar dapat membantu mendirikan ISTAC tahun 90an. Ketika itu Anwar sudah menjadi Menteri Pelajaran (Pendidikan), Sedangkan ISTAC merupakan gagasan fikir Syed Naquib...

Tak sangka pula Osman dan Anwar pernah 'fly' bersama ketika zaman muda remaja. Sebut pasal fly, saya pun selalu keluar asrama panjat pagar ketika menuntut di Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang tahun 1983-1986. Tetapi itu lebih daripada menghilangkan tekanan akibat asyik duduk terperap dalam lingkungan asrama penuh sedangkan saya sukakan kebebasan di luar. Perangai ini terbawa-bawa ketika zaman kolej di PPP/ITM (Pusat Persedian Pelajar di bawah Institut Teknologi Mara, kini UiTM). Lalu kawan-kawan di kolej mengenali saya dengan panggilan Fly hinggalah sekarang.

Saya ceritakan ini semua untuk menunjukkan bagaimana kini lebih faham hubungan antara Anwar dan Osman. Saya faham bagaimana perasaan dengan kawan-kawan yang cukup rapat sejak usia muda walaupun kemudian boleh beralih arah fikiran dan tujuan hidup ketika sudah berumur. Misalnya dalam kalangan kawan yang pernah duduk sebilik zaman kolej tahun 88-90 ada yang pernah menjadi Vice President dalam syarikat 1MDB Berhad yang penuh kontroversi itu, ada pula masih memegang jawatan sebagai antara pegawai tertinggi dalam Khazanah Holdings iaitu syarikat induk yang banyak memegang syarikat-syarikat lain terutama yang terkait dengan kerajaan (GLC). Kalau sebut pasal kes 1MDB dan bekas Perdana Menteri Dato' Seri Najib boleh bergaduh bertekak mereka dalam grup WhatsApp . Tapi kami semua tetap berkawan sehingga ke hari ini.

Itu antara kawan lama yang tidak pun berapa 'sekepala' apatah lagi kalau ada wawasan idealistik sama seperti dilihat wujud antara Anwar dan Osman. Mungkin cara untuk melaksanakan wawasan telah membawa seseorang untuk melakukan tindakan kurang molek apatah lagi bila harus berhadapan dengan segala macam tipu daya khianat dalam dunia politik. Saya sebut ini dalam konteks secara peribadi tetap tidak menggemari kepimpinan politik Anwar namun sedia menerima dalam dunia akademik apa lagi kerana hubungan rapat dengan guru saya.



Masuk jam 10.40 muncul Profesor Mohamed Aslam Haneef daripada UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) untuk memperkenalkan Osman sebagai pemberi ucaptama. Ketika ini majlis sudah dikendalikan sepenuhnya di dalam bahasa Inggeris.



Maka muncullah guru saya membawa ucaptama. Terus terang cakap timbul rasa rindu melihat muka beliau kerana sudah lebih 7 bulan tidak bersua iaitu sejak PKP (Pergerakan Kawalan Pergerakan) untuk mengekang penyebaran wabak COVID-19 mula dilaksanakan 18 Mac. Sebelum itu saya selalu menghadiri syarahan beliau di ISTAC hampir setiap minggu. Pada tarikh 18 Mac itu sepatutnya ada syarahan dalam siri "Classicifications of Knowledge". Tetapi ia dibatalkan akibat PKP. Lihat tulisan-tulisan saya tentang siri syarahan yang dimulakan sejak awal tahun 2019 :-


9. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Apabila syarahan ke-10 dijenamakan kembali menjadi syarahan ke-3


10. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tentang wahyu lebah dan antropologi spiritual


11. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hikmah dan falsafah yang muncul dalam kegelapan


12. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Socrates... nabi atau hukamah?


13. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Pengembaraan jauh mencari kebenaran yang memungkinkan sintesis pelbagai faham


14. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Aku, persoalan wujud diri dan kaitan dengan Tuhan juga alam


15. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hierarki yang wujud dalam semua peringkat kejadian dan tahap cahaya yang bertingkat-tingkat


16. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Keunggulan ilmu metafizik dan 'pampasan' Ilahi bagi masyarakat kini


17. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Penulisan tesis sebagai pembuktian dakwaan yang diyakini benar


18. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Antara fakulti universiti dan fakulti yang wujud dalam diri manusia



Berbalik pada ucaptama yang tajuknya saya terjemahkan sebagai "Peranan Saling Melengkapi Falsafah dan Agama Dalam Pembinaan Peradaban". Osman memulakan dengan menceritakan hubungan antara sains dengan agama. Sebagai seorang yang memiliki ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang matematik dari London iaitu sebelum beralih ke bidang falsafah agama dan peradaban beliau cukup faham. Disebutlah tentang ahli fizik terkenal Albert Einstein (hidup 1879-1955) dan ungkapan beliau "Science without religion is blind, religion without science is lame".


Ini boleh diterjemahkan sebagai "Sains tanpa agama adalah buta, agama tanpa sains adalah tempang". Kata Osman ini disebabkan sains adalah jahil tentang keadaannya tidak mengetahui seluruh kebenaran (Science is ignorant of its nature which does not know the whole truth). Ini merujuk pada hakikat kebenaran seluruh wujud termasuk alam semesta. Ada sekatan-sekatan (limitations) yang menyebabkan ia memerlukan sesuatu yang lain. Sains cuma dapat melihat sebahagian daripada realiti lalu boleh dikatakan sebagai separuh buta.


Kata Osman ini ibarat Dajjal melihat dengan satu mata. Disebut pula tentang ilmuwan dan ahli falsafah terkenal Barat iaitu Bertrand Russel yang melihat  pada akal logik sahaja. Tetapi Einstein tidak begitu. Dia adalah seperti ahli falsafah peripatetic (pengikut mazhab ilmu dan falsafah tokoh Yunani terkenal Aristotle yang hidup pada abad ke-4 Sebelum Masihi) juga Al-Farabi (tokoh ilmuwan Islam abad ke-8 Masihi yang menganut ilmu falsafah Aristotle) dan sebagainya. 


Lihat sahaja Theory of Relativity (yang sangat terkenal dalam sains. Ada dua jenis sebenarnya, satu dicipta lalu diperkenalkan oleh Einsten tahun 1905, satu tahun 1915). Ia memakai kaedah-kaedah matematik (yang berlaku dalam alam fikir secara teori), tidak sama dengan kaedah empirical (berdasarkan eksperimen dan pemerhatian). Namun ia tetap terbukti benar secara empirical setelah beberapa lama.

Einstein percaya pada aesthetic proof (pembuktian berdasarkan nilai aestitik). Katanya sesuatu yang cantik mestilah benar. Equation atau persamaan E=mc2 (E bagi tenaga bersamaan m bagi jisim didarabkan dengan kelajuan cahaya kuasa dua) adalah sangat berkuasa (very powerful). Osman memberi contoh persamaan yang terbit daripada Theory of Relativity ini (lebih tepat Special Theory of Relativity, lagi satu adalah General Theory of Relativity) kerana ia kelihatan begitu ringkas namun sangat sangat berguna dalam dunia sains terutama bidang fizik.

Saya sempat mempelajari kedua-dua teori ini dan bagaimana persamaan E=mc2 itu tercipta pada tahun akhir pengajian dalam bidang matematik di University College of London 1995. Seterusnya Osman mengupas kenapa agama adalah tempang tanpa sains. Agama memerlukan pembuktian dalam bentuk sokongan secara empirikal. Ketika mengikuti syarahan saya sempat menaipkan beberapa point penting terus ke dalam draf artikel. Tetapi kalau diatur menjadi ayat-ayat dan perenggan lengkap jadi panjang pula artikel dan saya pun sudah penat. Oleh itu sila ikuti sendiri syarahan berserta majlis yang telah dirakam videonya di sini. Selamat malam.


Khamis, Oktober 22, 2020

Petunjuk-petunjuk baru tentang keberadaan Laksamana Muhammad Amin dan gerak pembukaan ilmu

Salam petang Khamis 22 Oktober 2020 bersamaan 5 Rabiualawal 1442 Hijriah. Kini tinggal seminggu sahaja sebelum masuk 12 Rabiulawal iaitu tarikh hari kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW lebih 1,400 tahun lalu. Merujuk pada artikel-artikel berikut yang ditulis dalam tempoh waktu 6 hingga 13 Oktober :-



Al-Ghazali dan Ibnu Rushdi : Dua bintang dalam galaksi intelektual Islam

Bacaan Yasin dan Tahlil bersama srikandi DSSM serta pembukaan gelanggang di rumah

Bicara Perjuangan HIKMAH - Malaysia Tanpa Ahli Politik, Mustahil atau Bagaimana?


Sebetulnya ada satu lagi artikel yang mahu ditulis 'segerak' tetapi didapati boleh dilewatkan buat satu tempoh. Sekarang biar dikongsikan ia.



Artikel kali ini adalah tentang satu gerak fikir dan ilham berangkai yang muncul sekembalinya saya dan keluarga daripada satu perjalanan ke utara Sabtu 29 Ogos hingga Selasa 1 Sept. Rujuk Kompilasi "Misi menghantar anak balik kolej". Pada hari terakhir perjalanan kami ada singgah di rumah peninggalan seorang tokoh Mandailing bernama Raja Bilah di Perak. Dua hari selepas itu seperti mendapat petanda daripada lawatan tersebut. Hal ini menyebabkan saya  membuat update berikut berserta gambar atas di Facebook awal pagi buta Khamis 3 September...


PETUNJUK DARIPADA RAJA BILAH?

Malam ini saya susah hendak tidur dan masih terjaga kerana otak ligat memikirkan pelbagai perkara. Antaranya apakah petunjuk daripada ziarah saya dan keluarga ke rumah besar @ istana Raja Bilah di Papan, Perak pada hari Selasa 13 Muharram baru ini. Ada orang mengaitkan beliau dengan kerajaan Panai-Bilah yang mana pahlawan Melayu terkenal Pahang iaitu Mat Kilau turut terkait sama. Saya pernah mendengar nama dua kerajaan ini kerana dikatakan seorang Sultan Aceh pernah menikahi puteri daripada kerajaan berkenaan sehingga menerbitkan keturunan yang merajai kerajaan Asahan dekat situ-situ juga.

Carian melalui Google menunjukkan bahkan wujud sungai bernama Bilah sebagai satu cabang daripada Sungai Barumun berdekatan itu. Teringat bahawa Barumun yang merupakan sebuah sungai besar dan kawasan sekitarnya termasuk di dalam jajahan takluk sebuah kerajaan lama bernama Haru. Kerajaan ini pernah disebut kitab Sulalatus Salatin sebagai antara 3 kerajaan besar setara dengan Pasai dan Melaka. Sumber lain pula menyatakan ia pernah dirajai oleh Sultan Malikus Mansur, seorang moyang utama saya. Baginda adalah cucu kepada Sultan Malikus Saleh, pengasas kerajaan Samudera dan Pasai.

Adapun Raja Bilah di Perak itu dikatakan adalah orang Mandailing daripada marga Nasution. Ada cerita mengatakan beliau datang daripada nasab diraja Pagar Ruyung. Keberadaan beliau di Perak ada kena mengena dengan apa yang berlaku sekitar Perjanjian Pangkor tahun 1874 yang mana moyang saya Laksamana Muhammad Amin terlibat sama sebelum dibuang negeri ke Pulau Seychelles akibat dikatakan terlibat dengan pembunuhan residen pertama Inggeris ke Perak iaitu J.W.W. Birch tahun 1875. Entah apa lagi petunjuk yang bakal keluar lagi selepas ini.


---------------------


Petang itu saya menerima kunjungan daripada dua orang saudara lalu timbul gerak untuk membuat update berikut di FB...


SATU DEMI SATU HAL YANG DISEMBUNYIKAN PIHAK2 BERKEPINTANGAN TERKUAK - TENTANG LAKSAMANA RAJA MAHKOTA MUHAMMAD ARSHAD...

Salam petang Khamis 15 Muharram. Tadi saya menerima kunjungan 2 orang ahli kaum kerabat Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin (Perak) daripada cabang Muhammad Arshad. Dimaklumkanlah satu perkembangan menarik melibatkan lebih 500 orang ahli keluarga yang masih hidup daripada 34 jalur anak cucu Muhammad Amin dengan seorang isteri (beliau memiliki ramai isteri) bernama Wan Long Saadiah binti Wan Mat Saman (Perdana Menteri Kedah). Dengan itu tergerak saya untuk menaikkan kembali satu artikel lama berkenaan. Ini bukan semata2 kerana menuntut hak keluarga yang sudah dinafikan sekian lama tetapi untuk membina saf perjuangan agama, bangsa dan tanah air demi menghadapi cabaran akhir zaman yang semakin menekan.


Artikel lama yang dimaksudkan ditulis pada pertengahan tahun 2019. Tajuknya adalah Satu gerak berkenaan keberadaan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Arshad. Adapun semasa dua orang saudara berkunjung petang Khamis seorang memberitahu bagaimana ada seorang hamba Allah datang dari Ipoh bertemu dengannya untuk menuntut agar keluarga sebelahnya dimasukkan ke dalam daftar besar salasilah keturunan Laksamana Muhammad Amin yang sedang kami bina untuk urusan tertentu. Pagi Jumaat 4 Sept beliau menelefon untuk memanjangkan perkara. Setelah menelitinya saya dapat menemui pucuk pangkal permasalahan dan cara menepisnya lalu mendedahkan ini dalam grup Whatsapp keluarga.

Pada mulanya saya fikir mahu mendedahkan perkara tersebut dalam artikel di blogspot. Tetapi bila difikirkan balik cukuplah ia buat pengetahuan kami sahaja. Di sini cukuplah disebut bahawa ada pihak tertentu main 'tebuk-tebuk' salasilah untuk memasukkan keluarga mereka ke dalam daftar keluarga besar kami. Kelihatan perkara ini timbul kerana mahu menuntut bahagian dalam pembahagian harta pusaka.

Selepas beberapa lama masuk pula tarikh 9 September 2020 lalu genaplah 14 tahun jasad moyang kami Laksamana Muhammad Amin dikembalikan ke Perak setelah lama berada di luar negara akibat dibuang negeri oleh British bermula tahun 1877. Ceritanya boleh dirujuk dalam artikel lama Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam diraja Bukit Chandan.... Dua hari kemudian tergerak untuk membuat komen-komen berikut di grup Whatsapp keluarga. Yang ini boleh dikongsikan kepada umum. Saya sunting sedikit untuk paparan di sini...


PENCARIAN TENTANG APA YANG BERLAKU KEPADA ORANG KAYA MUHAMMAD ARSHAD BIN LAKSAMANA MUHAMMAD SEBAGAI SATU ASBAB AWAL KEPADA SILATURRAHIM ANTARA KELUARGA BESAR KITA HARI INI

Salam semua saudara mara yang dihormati sekalian. Semalam, ketika mencari artikel-artikel lama saya di blogspot yang melibatkan sejarah lama Taiping untuk dipautkan dalam satu artikel baru terjumpa satu artikel  lama penghujung tahun 2010 melibatkan keluarga besar kita. Tertulis di dalamnya bagaimana perjumpaan pertama saya dengan seorang sepupu ayah menjadi bibit awal untuk melakukan perjumpaan besar keluarga. Itu yang setelah beberapa lama menjadi majlis hari raya keluarga Laksamana Muhammad Amin di Kuala Lumpur lalu membawa kepada penubuhan Group WhatsApp keluarga dan perkembangan-perkembangan seterusnya. Sesungguhnya apa yang berlaku hari ini bukan datang begitu sahaja. Ia berlaku akibat rentetan banyak peristiwa yang mana beberapa daripadanya ada dalam catatan saya termasuk peristiwa pengembalian jasad Laksamana Muhammad Amin dari Singapura ke Perak pada 9 September 2006 iaitu 14 tahun lalu. Tetapi biar dikongsikan beberapa artikel sahaja bermula dengan ini - Menyelesaikan bab Perak : Mendekati keluarga terdekat Haji Musa dan Laksamana Muhammad Arshad

Seterusnya adalah perjumpaan keluarga pertama pada bulan Syawal tahun 2017. Lihat.Majlis perjumpaan keluarga keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Selayang. Perjumpaan seterusnya Syawal tahun 2018 tidak dicatatkan panjang lebar tetapi ada diselitkan dalam artikel Ringkasan sambutan raya Aidil Fitri/bulan Syawal tahun 2018. Pertengahan tahun 2019 saya mendapat petunjuk untuk menulis artikel Satu gerak berkenaan keberadaan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Arshad. Setengah bulan kemudian berlaku perhimpunan keluarga sempena bulan Syawal tahun 2019. Lihat artikel Perhimpunan dan sambutan raya keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Selayang tahun 2019

Ketika itulah hal harta pusaka Laksamana Muhammad Amin mula dibincangkan di hadapan ramai ahli keluarga. Ini yang kemudian membawa kepada lebih ramai  bersilaturrahim sehingga kini 35 jalur dapat dihubung secara nasab bertulis dan lebih 500 nama dimasukkan ke dalam dokumen rasmi tapi saya percaya melibatkan lebih ramai ahli keluarga.  Lebih penting adalah silaturrahim yang tercipta. Insyaallah ini akan membuka lebih banyak lagi cerita dalam keluarga yang telah digelapkan oleh pihak-pihak tertentu. 


Pembetulan : Dalam update FB yang dikongsikan pada awal artikel saya menyebut kami terdiri daripada 34 jalur keluarga. Kemudian saya diberitahu oleh seorang saudara yang lebih dekat dengan perkara bahawa sebenarnya kami dikira terdiri daripada 35 jalur keluarga. Dalam komen di atas ini pula saya menyebut majlis hari raya tahun 2017 membawa kepada penubuhan grup Whatsapp keluarga. Sebenarnya grup ditubuhkan terlebih dahulu tahun 2016. Ia menjadi wadah perbincangan yang membawa kepada majlis hari raya.



Dua hari kemudian iaitu pada awal pagi Ahad 13 September tergerak untuk membuat update berikut di FB berserta gambar atas ...


LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN MEMBUNUH SYAHBANDAR - FITNAH ATAU SALAH FAHAM CERITA?

Salam semua. Sudah beberapa kali saya mendengar cerita mengatakan moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin (Perak) telah membunuh Syahbandar. Dikatakan beliau telah memeluk Syahbandar untuk menahannya daripada melawan lalu seorang penolong pun menikam dengan keris. Tetapi keris itu tidak dapat menembusi badan Syahbandar kerana beliau memiliki ilmu kebal. Menyedari ini Laksamana pun mengambil keris milik Syahbandar lalu menikamnya. Baru beliau mati.

Entah kenapa Laksamana sanggup berbuat begitu saya tak tahu. Cerita ini katanya ada disebut dalam catatan pegawai besar Inggeris terkenal bernama Frank Swettenham. Baru ini seorang saudara dua pupu saya daripada keturunan Laksamana mengulangi cerita sama. Cuma kali ini dia menambah Syahbandar yang dibunuh itu adalah Uda Ma'amor, menantu kepada Laksamana!

Hal ini menimbulkan tanda tanya. Satu, kenapa Laksamana sanggup membunuh menantu sendiri? Kedua kalau Uda Ma'amor dibunuh bagaimana dia boleh bersama dengan Laksamana mengikut Sultan Abdullah ke Pulau Seychelles tahun 1877 ketika dibuang negeri oleh British kerana dikatakan terlibat dalam pembunuhan Residen pertama mereka ke Perak iaitu J.W.W. Birch tahun 1875? Kami pun meneka-neka. Mungkin Laksamana menurut perintah Sultan. Mungkin Syahbandar yang dibunuh adalah pemegang jawatan sebelum Uda Ma'amor. Mungkin Syahbandar ada membuat kesalahan lalu disuruh bunuh untuk digantikan dengan Uda Ma'amor.

Apapun saya sudah lama terasa pelik tentang cerita ini. Pada saya orang seperti Laksamana Muhammad Amin itu kalau setakat mahu membunuh seorang dua sahaja tak perlu ada orang lain menolongnya. Sebagai seorang Laksamana beliau mampu melakukannya sendiri. Seorang Laksamana harus mampu membunuh ramai lawan seorang diri kerana begitulah kelebihan Laksamana. Kalau tidak takkan dipanggil Laksamana?

Malam ini, setelah beberapa lama tahu tentang kewujudannya, baru saya digerakkan untuk membaca catatan berkenaan. Baru didapati bahawa Laksamana tiada kena mengena langsung dalam permasalahan ini. Yang membunuh Syahbandar itu sebenarnya orang bernama Panglima Perang Semaun - Asbabnya adalah panglima tidak puas hati seorang wanita daripada keluarganya diceraikan oleh seorang bernama Megat Raja yang kelihatan disokong oleh Syahbandar. Namun cerita kononnya Laksamana membunuh Syahbandar itu pula yang tersebar berlegar ke sana ke sini.

Apakah ini fitnah atau salah faham cerita terhadap Laksamana? Pada saya dua-dua pun mungkin. Salah faham berlaku oleh mereka yang tidak membaca cerita sebenar lalu menyebarkan cerita atas cerita. Tetapi fitnah juga boleh berlaku kerana memang ada pihak tidak berpuas hati dengan keluarga kami sejak dahulukala.

Malah menurut Swettenham, Panglima Perang Semaun yang berkhidmat dengan Sultan Ismail (berjawatan Raja Bendahara ketika peristiwa berlaku) datang berlima menyerang Syahbandar yang sedang tidak bersenjata. Syahbandar tidak sangka pun akan diserang. Beliau baru lepas menghantar seorang kerabat raja dari Sumatera turun ke perahu lalu pergi dengan sangka baik tanpa membawa senjata mahupun pengiring. Pada ketika itulah si Semaun ni datang bersama seorang bernama Haji Ali berpura-pura hendak bersalam lalu Syahbandar menyambut salam kemudian diserang.

Tidak lama selepas membunuh Syahbandar beliau membawa pula 30 orang pengikut untuk menyerang rumah seorang moyang saya yang dikenali sebagai Haji Musa di Batak Rabit. Mereka masuk dalam kegelapan malam sebelum Subuh sedangkan ketika itu cuma ada Haji Musa dan isteri berserta seorang anak perempuan mereka dan suaminya. Untuk pengetahuan rumah itu terletak dalam kawasan yang dijadikan kota. Kota itulah tertera dalam gambar terkenal menunjukkan Sultan Abdullah yang disebut memerintah Perak tahun 1874 hingga 1877 bersama sejumlah pengikut juga pegawai British dan orang-orang mereka.

Menurut cerita keluarga kami dalam rumah Haji Musa terdapat singgahsana raja. Bapa saya yang lahir tahun 1942 juga sejumlah sepupu beliau pernah melihat dan bermain-main dengannya sebelum rumah besar itu dirobohkan lalu kayu-kayu dibahagikan antara saudara mara untuk dijadikan rumah mereka pula. Yang pasti Sultan Abdullah bersemayam di Batak Rabit dalam kawasan kota. Sama ada baginda bersemayam dalam rumah Haji Musa atau bagaimana kami tak pasti. Yang pasti dalam rumah moyang kami itu memang ada singgahsana raja.

Saya harus menambah bahawa Sultan Abdullah sebenarnya masih bergelar sultan walau dalam buangan sehingga tahun 1887. Dalam tempoh waktu itu kerabat diraja tertinggi tinggal di Perak adalah Raja Muda Yusuf namun nama Sultan Abdullah terus dijaja British ke sana ke mari dalam membuat perubahan menurut acuan mereka, kononnya semua itu adalah atas perintah perkenan sultan belaka. Kembali pada hal Panglima Perang Semaun yang membunuh Syahbandar bukan moyang saya Laksamana Muhammad Amin juga cerita panglima menyerang rumah Haji Musa. Anda boleh membacanya sendiri dalam buku "Malay Sketches" oleh Swettenham. Klik pada pautan berikut, boleh pergi terus ke bab berkenaan di muka surat 112 kemudian baca dengan teliti - 




Lewat malam itu pula saya membuat update berikut berserta gambar atas...


CONFIRM - YANG BERBAJU PUTIH BERDIRI DI KANAN SULTAN ABDULLAH ADALAH LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN

Salam semua. Tentang gambar menunjukkan Sultan Abdullah II (memerintah Perak tahun 1874-1877) dan orang-orang baginda di Kota Batak Rabit saya sudah lama merasakan bahawa orang yang berbaju putih berdiri di kanan baginda dengan keris di pinggang jelas kelihatan menonjol itu adalah moyang saya Laksamana Muhammad Amin. Tetapi baru malam ini saya mendapat kepastian setelah terlihat gambar sama tetapi disertakan nama oleh Arkib Negara. Jelas disebut Sultan duduk di tengah dan ke kiri baginda adalah Residen pertama Inggeris ke Perak iaitu J.W.W Birch. Sedangkan yang berdiri di belakang Birch adalah seorang lagi pegawai besar Inggeris iaitu Frank Swettenham.

Maka disebutlah bahawa ada empat orang laki-laki berdiri sebaris dengan Swettenham. Mereka adalah Laksamana (di kiri) diikuti Syahbandar, Haji Mohd Syed dan Haji Hussein (betul-betul di belakang Birch). Dengan pernyataan ini juga terbatallah pendapat popular bahawa yang berdiri ke kiri Sultan adalah Dato' Sagor. Untuk pengetahuan pernyataan ini telah disebar merata dengan bahagian kepala orang berkenaan dibulatkan terang. Padahal menurut Arkib Negara beliau adalah Haji Mohd Syed. Sila rujuk http://ofa.arkib.gov.my/ofa/group/asset/868830


------------------------


Pagi keesokkanya Isnin 14 September saya membuat update dengan gambar berikut...




BUKTI HUBUNGAN SULTAN PERAK DENGAN ACEH?

Melihat lukisan Sultan ke-27 Perak iaitu Sultan Yusuf ini (bertakhta tahun 1887) kelihatan seperti baginda sedang memakai topi atau kopiah Aceh. Apa maknanya ini? Saja2 pakai atau mahu menunjukkan hubungan tertentu dengan Aceh?


-----------------


Keesokannya awal pagi buta Selasa 15 September timbul perkongsian ini...



FOOD FOR THOUGHT TENTANG DAENG SELILI

Entah apa yang dicari malam ini sampai susah sangat hendak tidur walaupun letih amat. Dalam pelbagai lintasan fikir yang muncul bersimpang siur tentang sejarah lama Perak tergerak untuk mencari kedudukan bukit Selili di kota Samarinda, Kalimantan. Menurut ceritanya kota dibuka oleh orang Bugis yang berhijrah dari kerajaan Bugis Wajo di Sulawesi Selatan sekitar 300 tahun lalu. Mereka masuk ke kerajaan Kutai di Pulau Borneo lalu diberikan satu kawasan di tepian Sungai Mahakam bagi membuat penempatan.

Semakan menggunakan perisian Google Earth menunjukkan kedudukannya adalah sekitar 45 km dari laut. Sungai Mahakam pula mencapai panjang 980 km. Cuma terdapat versi berbeza tentang siapakah ketua orang Bugis yang mengetuai penghijrahan lalu membuka kota tersebut. Satu cerita mengatakan namanya adalah La Mohang Daeng Mangkona, Satu lagi mengatakan Anakhoda Latuji.

Menurut pengkaji tempatan watak Daeng Mangkona itu tiada rujukan kukuh di Kalimantan. Nama tersebut cuma wujud dalam cerita daripada belah Bugis Wajo' yang mana kedatangan beliau dikatakan berkait dengan keberadaan raja tertinggi Wajo bernama La Madukelleng. Makam yang dikatakan milik beliau di Samarinda pula sebenarnya adalah penemuan baru tahun 1990an. Sebaliknya Anakhoda Latuji didapati lebih jelas wujud dalam sejarah - Namanya tertulis sebagai ketua Bugis yang membuat perjanjian dengan Raja Kutai bagi membuka penempatan.

Menariknya di Samarinda itu terdapat sebuah bukit bernama Selili dengan ketinggian sekitar 350 kaki dari paras laut. Penelitian menggunakan Google Earth menunjukkan ia adalah tanah tinggi paling menonjol dalam lingkungan jarak berpuluh batu. Kelihatan rata-rata kawasan situ adalah tanah datar rendah berketinggian hampir paras laut. Maka memang Bukit Selili (saya lihat ada menyebutnya sebagai Gunung Selili) adalah satu landmark atau penanda tempat yang sangat menonjol lalu memberikan makna.

Apakah bukit ini yang membawa kepada terbitnya nama Daeng Selili, tokoh besar yang dikatakan seorang anak raja Bugis yang datang ke Perak pertengahan abad ke-18 Masihi lalu menerbitkan keturunan yang memegang jawatan Dato Maharajalela juga Temenggung di sana? Rasanya ada logiknya. Cuma tokoh mana. Apakah nama asalnya dalam bahasa Bugis? Apakah kedudukan sebenarnya dalam salasilah kerabat diraja Bugis dari Sulawesi Selatan sana...


----------------


Ini pula keluar tengah hari itu...



TENTANG MATLAMAT MENGKAJI SEJARAH - ANTARA WAHABI ILMU DENGAN PUAK KEBATINAN MERAPU - SEGALANYA KEMBALI PADA NIAT...

Salam. Tergerak untuk menyatakan sesuatu tentang pengkajian sejarah terutama di Alam Melayu memandangkan ramai yang berminat sekarang ini, cuma terdapat pelbagai mazhab kaedah dan fikir sehingga sanggup bertelagah saling mengutuk dan menyindir. Pada saya balik pada matlamat dalam mengkaji sejarah. Kenapa, mengapa? Adakah sekadar minat, adakah untuk mencipta nama dan populariti lalu meraih ramai pengikut sambil menjual buku dan/atau tulisan sendiri? Atau kita benar-benar mahu mencari kebenaran hakiki?

Pada saya panduan terbaik terletak pada kitab suci umat Islam iaitu Al-Quran. Ia diketahui mengandungi banyak cerita-cerita lama berupa sejarah para Nabi dan umat-umat terdahulu. Tetapi tujuan kita membaca, memahami dan mengkaji Al-Quran bukanlah untuk menjadi cakna atau pakar sejarah. Sebaliknya ia dirujuk untuk dijadikan panduan, peringatan dan misalan/teladan bagi membentuk peribadi mulia yang diredhai Pencipta.

Saya sendiri mula berminat pada sejarah bukan disebabkan sejarah tetapi untuk memahami perkara-perkara yang berlaku dalam hidup sejak kecil hingga dewasa. Seterusnya saya mengkaji untuk menentukan hala tuju hidup. Saya bermula kerana mencari salasilah keturunan keluarga akibat diasak mimpi-mimpi dan pengalaman demi pengalaman bersifat supernatural dan mistik lalu sering keluar ke lapangan bersendirian mencari petunjuk demi petunjuk ataupun clue. Setelah mendapat tahu siapakah nenek moyang sehingga menjangkau tempoh lebih 1400 tahun melibatkan tokoh-tokoh merentas benua membawa ke Tanah Arab dan Parsi, bagaimana sejarah dan perjuangan mereka baru faham ke mana dan bagaimanakah harus melangkah seterusnya. Di celah-celah itu terjumpa pelbagai sejarah lama melibatkan Islam dan Alam Melayu yang selama ini seperti disembunyikan atau digelapkan pihak tertentu.

Kaedah yang digunakan untuk memahami perkara menggabungkan hal-hal mistik sambil dirujuk silang dengan penulisan dan kajian akademik lalu ada yang dikongsikan kepada umum melalui penulisan di blogspot, Facebook dan buku menurut cara naratif sendiri. Dalam membuat semua itu saya harus menjaga niat agar tidak tercemar apa lagi terpesong lalu hilang bantuan dan petunjuk daripada Ilahi. Sebagai manusia biasa tentu setan juga selalu membisikkan agar kita merasa riya' dan inginkan populariti. Tetapi saya selalu mengingatkan diri setiap kali terlepa kerana tujuan akhir pencarian adalah demi mencari diri dan erti sejati... supaya jelas hala tujuan dan peranan di muka bumi seperti pernah dijanjikan dengan Allah SWT di alam roh lagi.

Baru jiwa dapat selalu merasa tenang kerana melangkah menurut matlamat yang telah ditentukan di Loh Mahfuz. Melangkah menurut jajaran takdir, Qada' dan Qadar peribadi baru hidup jadi bermakna walau tetap ada dugaan dan saat-saat lepa lupa. Itulah tujuan sebenar saya mencari sejarah. Lalu kaedah mencari, bercerita, berkongsi semuanya berlegar-legar di sekitar paksi induk ini iaitu mencari makna diri dan erti serta bagaimana hendak memenuhi fungsi.

Kaedah ini mungkin ditolak dan dicemuh oleh para 'Wahabi sejarah'. Mereka ini jenis yang setiap kali dikemukakan suatu kenyataan mesti meminta rujukan berotoriti, apakah dalilnya, sahih atau tidak lalu menolak sama sekali apa-apa petunjuk bersifat mistik. Kalau diberikan dalil zahir yang tidak bersesuaian dengan aliran fikiran mereka pun tetap ditolak sebagai tidak sahih dan kurang autentik. Pada hujung lain spektrum pula terdapat puak-puak kebatinan yang semua pengetahuan sejarah mereka adalah berdasarkan perkhabaran daripada 'alam sebelah'. Mereka yakin semuanya sahih kerana cara mendapat ilmu tersebut dianggap tinggi dan luar biasa lalu boleh menerima cara saya.

Tetapi pada masa yang sama mereka cenderung untuk melampaui batas kerana sanggup berpegang pada kenyataan-kenyataan serong terutama apabila melibatkan harta dan takhta. Ini disebabkan merasakan apa yang diterima secara ghaib itu semuanya sahih kerana ia satu kelebihan. Padahal mereka boleh terdedah kepada penipuan jin dan syaitan lalu boleh dipesongkan.

Saya boleh dikira duduk di tengah antara kedua-dua mazhab ekstrem ini. Ada masanya saya menggunakan kaedah juga sumber maklumat yang diiktiraf sebagai sahih di alam nyata lagi bersifat akademik, ada masa menggunakan sumber ghaib yang dipersoalkan itu. Tetapi dalam menggunakan sumber ghaib pun tidaklah saya terus bulat-bulat menerima kerana tahu boleh berlaku tipu daya. Saya selalu menyaring maklumat menggunakan panduan berdasarkan ilmu Tasawuf dalam mengenal bisikan serta lintasan hati - Apakah daripada jin, apakah daripada syaitan? Apakah daripada nafsu rendah sendiri? Apakah daripada malaikat atau terus ilham yang benar daripada Ilahi?

Semua ini memerlukan masa dan pengalaman untuk mengenal yang mana kaca yang manakah intan. Kita tidak boleh sekadar membaca ratusan buah buku semata kemudian berhujah dan berteori sahaja tetapi harus selalu turun ke lapangan di mana kita akan diuji dengan pelbagai keadaan termasuk yang boleh mengancam nyawa. Dalam keadaan itulah hati dapat dibentuk untuk mengenal suatu isyarat apakah benar apakah palsu. Sambil itu kita boleh ditemukan dengan guru demi guru lalu sentiasa dipandu.

Tetapi perkara paling pokok tetap niat. Kenapa mencari sejarah? Apakah semata-mata kerana minat? Apakah kerana mahu mencari nama dan populariti lalu meraih pengikut atau demi mencari kebenaran yang haq supaya dapat menjadi insan lebih baik dalam memenuhi matlamat? Hal ini walau secara rata bersifat batin dan dalaman insyaallah akan terpancar jua pada zahir dan pembawakan diri. Cuma itu le, orang tua-tua kata hanya jauhari mengenal manikam. Kebanyakan manusia lebih mudah terpersona dengan wayang lalu percaya kepada orang yang pandai memanipulasikan keadaan dalam mencari nama dan populariti.

Sekali lagi balik pada niat. Kalau sudah jelas dan tahkik untuk memperbaiki diri lalu ini menjadi tujuan kerana Allah SWT semata maka teruskan sahaja melangkah. Usah pedulikan kata-kata sumbang kerana ini akan terus menerus keluar daripada mulut orang yang tak faham atau tidak menyenangi kita. Teruskan melangkah demi memartabatkan agama, bangsa dan negara. Insyaallah setiap langkah itu akan diiringi doa daripada yang ghaib mahupun yang nyata.

Gambar hiasan : Memberikan syarahan secara bidang terjun tentang Tok Pulau Manis di majlis berkenaan April tahun lepas. Untuk memandu syarahan saya menggunakan gambar-gambar yang diambil daripada satu artikel lama saya di blogspot CATATAN SI MERAH SILU tentang ulamak besar bertaraf wali di Terengganu itu lebih 300 tahun lalu dan bagaimana almarhum menjadi wasilah untuk saya menyambung pencarian ke Aceh tahun 2004. Sila baca cerita berkenaan melalui pautan berikut -





Masuk hari Rabu yang tarikhnya 16 September adaklah Hari Malaysia saya disibukkan dengan gerakan bertanjak lalu keluar artikel-artikel berikut :-





Lewat petang Jumaat 18 September saya mempersembahkan artikel Misi menghantar anak balik kolej - Dari Temong mengimbau sejarah Raja Bilah di Papan dan peranan dalam lipatan sejarah. Di dalamnyalah berlaku cerita yang membawa kepada cetusan persoalan terawal dalam artikel yang sedang anda baca ini iaitu yang diberi tajuk "Petunjuk Daripada Raja Bilah?". Malam itu timbul rasa untuk membuat gambar atas lalu meletakkanya di FB tentang dengan caption "Ada apa-apa pertanyaan? Honk honk!". 

Walaupun sekadar untuk bergurau bermain-main boleh jadi juga ia menggambarkan keadaan saya yang sedang memiliki banyak pertanyaan dalam kepala. Esoknya Sabtu 19 September tergerak untuk membuat artikel menunjukkan gerakan bertanjak dan pemakaian busana tradisional Melayu sejak mengenalinya lalu terlibat sama tahun 2012. Oleh kerana terdapat terlalu banyak artikel  berkenaan ia pun dipecahkan kepada 3 bahagian. Terbitlah artikel-artikel berikut dalam tempoh beberapa hari itu... 


Sambil itu iaitu pada lewat malam 21 September tergerak untuk berkongsi gambar atas berserta tulisan berikut di FB...


PETA LAMA PERAK YANG BOLEH MEMBUKA SEJARAH LAMA YANG DIGELAPKAN...

Masih dalam proses meneliti artikel2 lama untuk dikumpulkan bagi menunjuk aktiviti bertanjak tahun 2015-2017. Terjumpa gambar peta ini pula yang diambil daripada satu pameran di Perpustakaan Negara pertengahan Mei 2016. Peta tahun 1779 ini menunjukkan bentuk muka bumi Perak ketika Sungai Beruas masih bersambung dengan Sungai Perak. Bentuk muka bumi lama ini sebenarnya adalah petunjuk bagi sejarah lama Kesultanan Perak yang sudah digelapkan.

Hal ini sama seperti kita melihat Negeri Sembilan sekarang lalu beranggapan begitulah wilayahnya 300 tahun yang lampau. Walhal dahulu Yam Tuan Besar yang dibawa dari Pagarruyung itu cuma memerintah di Seri Menanti sahaja. Selepas beberapa lama baru pemerintahan meliputi wilayah sekarang.

Begitu juga halnya Selangor. Ketika Sultan pertama Selangor iaitu Sultan Salehuddin @ Raja Lumu menerima nobat daripada Sultan Perak sekitar tahun 1760an wilayah pemerintahan baginda cuma sekitar Kuala Selangor sekarang. Kelang yang meliputi seluruh wilayah yang disaliri Sungai Kelang lalu termasuk Kuala Lumpur sekarang memiliki pemerintahnya sendiri, Dato' Engku Klang. Klang sudah memiliki pentadbir yang dikenali sebagai Penghulu Klang sejak zaman Kesultanan Melaka lagi. Tun Perak pernah memegang jawatan ini sebelum menjadi Bendahara.

Jadi bagaimanakah sebenarnya keadaan pemerintahan Perak yang ceritanya digelapkan itu? Yang saya pernah dengar ada wilayah yang memiliki raja sendiri. Ada pula satu zaman di mana anak raja keturunan Aceh dengan anak raja keturunan Bugis dengan anak raja keturunan Melaka berperang sesama sendiri tetapi tiada siapa yang menang. Maka diputuskan biar begini. Biar digilirkan pemerintahan antara 3 keturunan. Tetapi cerita ini dihilangkan sementara nasab daripada 3 keturunan yang telah bersemenda itu dicatatkan dalam salasilah rasmi sebagai berasal daripada satu keturunan induk sahaja walhal bukan.

Entah apa lagi cerita boleh terkeluar kalau perkara ini dikorek dalam-dalam? Sssshhh... 



Update seterusnya di FB yang terasa relevan dengan gerak penulisan timbul lewat malam 30 September...


SEJAUH MANAKAH RELEVAN JAWATAN PEMBESAR TRADISIONAL MELAYU DALAM SISTEM KENEGARAAN MALAYSIA SEKARANG?

Persoalan ini telah bermain-main dalam fikiran sejak sehari dua kebelakangan. Sejauh manakah relevan jawatan pembesar tradisional Melayu dalam sistem kenegaraan Malaysia sekarang? Katakanlah kita diberi peluang memegang satu jawatan pembesar tradisional Melayu yang merupakan warisan dalam keluarga. Pada zaman dahulu jawatan tersebut membolehkan pemegangnya untuk mengerah seluruh angkatan tentera malah semua anak laki2 yang cukup umur untuk bersama menghadapi serangan musuh. Maka itu kedudukannya sangat relevan dalam membentuk dan menentukan hala tuju kerajaan.

Tetapi itu dahulu, sebelum campur tangan British meremehkan semua institusi tradisional Melayu. Zaman sekarang apakah jawatan sama cukup berwibawa dan berpengaruh untuk mengajak anak2 Melayu berjuang sama bagi menghadapi segala cabaran akhir zaman lalu dapat membentuk tapak khilafah yang diimpi2kan? Atau ia sekadar penghias adat istiadat istana yang kelihatan megah daripada segi gelaran dan kedudukan namun tidak mampu menghalang kebejatan ahli2 politik yang sering memanipulasikan agama, bangsa dan negara? Mohon maklum balas kawan2...



Kurang sejam setengah kemudian timbul gerak untuk membuat update ini berserta gambar atas dan peta-peta berikut ...


APA JADI PADA LOMBONG2 LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN  DI PERAK?

Salam Sabtu malam Ahad 14 Safar. Hari ini tergerak untuk menyatakan sesuatu tentang moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Satu, tentang bilakah beliau mula memegang jawatan laksamana bagi kerajaan Perak. Kedua penglibatan sebagai seorang usahawan besar perlombongan biji timah di Perak, terutama di daerah Batang Padang.

Tentang perkara pertama, ada mengatakan Muhammad Amin menjadi laksamana selepas saudara dua pupunya Sulaiman memegang jawatan. Sebetulnya ini adalah salah. Ketika berlaku Perjanjian Pangkor tahun 1874, Muhammad Amin menurunkan tanda tangan sebagai Laksamana Perak. Sulaiman menurunkan tanda tangan sebagai Raja Mahkota iaitu bakal laksamana. Seterusnya sejak bila Muhammad Amin memegang jawatan? Saya pernah mendengar bahawa beliau telah menjadi laksamana sejak zaman Sultan ke-23 Perak iaitu Sultan Ja'afar (memerintah 1857-1865). Cuma baru beberapa hari lalu mendapati hal ini ada tertulis dalam buku Cempaka Sari : Sejarah Kesultanan Negeri Perak tulis M.A. Fawzi Basri.

Satu perkara yang turut menarik perhatian tentang tulisan berkenaan adalah Muhammad Amin adalah seorang pemodal Melayu sebelum menjadi laksamana lagi lalu beliau dan Sultan Jaafar berkongsi untuk memajukan lombong (bijih timah) di Batang Padang. Untuk pengetahuan Sultan Jaafar adalah ayahanda kepada Sultan ke-26 Perak iaitu Sultan Abdullah. Sultan Abdullah inilah yang nanti akan dibuang ke Pulau Seychelles bersama Laksamana Muhammad Amin tahun 1877 akibat dikatakan terlibat dalam pembunuhan Residen pertama British ke Perak iaitu J.W.W. Birch pada tahun 1875. Sebetulnya Muhammad Amin dan sultan-sultan ini berkerabat. Apapun kenyataan dalam buku Cempaka Sari itu menunjukkan bahawa Muhammad Amin sudah menjadi seorang usahawan dan berharta sebelum menjadi laksamana lagi.

Seterusnya adalah tentang lombong2 yang diusahakan bersama Sultan Jaafar di Batang Padang. Untuk pengetahuan daerah ini meliputi bandar-bandar Sungkai, Bidor dan Tapah serta persekitarannya. Ia turut meliputi Tanjung Malim tetapi sejak tahun 2016 bahagian tersebut sudah dipecahkan menjadi daerah Mualim. 

Di sini biar disuakan keratan berkenaan daripada buku Cempaka Sari. Turut disuakan peta menunjukkan kawasan Batang Padang sekarang. Boleh dilihat dalam peta 'lubang-lubang' berwarna biru menunjukkan bekas lombong seperti terdapat pada hari ini. Pada suatu masa dahulu sebahagian daripada lombong2 ini adalah milik Laksamana Muhammad Amin. 

Cuma ke arah Kinta menuju ke Ipoh itu adalah bahagian orang lain terutama Raja Bendahara Ismail (kemudian menjadi Sultan ke-25 Perak) Tetapi apa yang ada sudah cukup untuk menunjukkan jangkauan hartanah laksamana adalah cukup besar dan luas. Selain itu beliau berhak mengenakan cukai bagi segala macam hasil bumi terutama bijih yang lalu di pusat pemerintahan beliau di Durian Sebatang iaitu di sebelah kuala Sungai Bidor. Saya sebut memerintah kerana memang laksamana diberikan mandat untuk memerintah bagi pihak sultan dari kuala Sungai Terus di selatan Kampung Gajah menghilir sehingga ke kuala Sungai Perak. 

Untuk pengetahuan Sungai Sungkai mengalir masuk ke Sungai Bidor, begitu juga halnya Sungai Batang Padang yang berpunca di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands. Sungai Bidor pula masuk ke Sungai Perak lalu kualanya menjadi pusat pemerintahan laksamana sejak beberapa keturunan. Tetapi selepas berlaku Perang Perak-British 1875-1876 yang tercetus akibat pembunuhan Birch banyak harta termasuk lombong2 milik para pembesar Melayu dirampas lalu diserahkan kepada orang lain oleh British. Antara yang diberi lombong adalah towkay2 Cina. Padahal dahulu mereka bukan pemilik lombong pun - mereka cuma bertanggungjawab membekalkan tenaga buruh selain terlibat dengan usaha jual beli hasil tetapi tidak memiliki lombong. Begitulah antara secebis sejarah Tanah Melayu ini. Kita selalu disuakan dengan 'fakta' kononnya orang Cinalah yang memajukan ekonomi Tanah Melayu. Walhal mereka dapat naik dengan bantuan British merampas hak milik orang Melayu.
















Akhir sekali., lewat malam 5 Oktober saya membuat update berikut ...


KALAU BENAR WARIS LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN...

Salam malam 18 Safar. Sejak beberapa bulan kebelakangan saya diberitahu sudah berlaku beberapa kali orang mengaku sebagai waris keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin (Perak) ketika berjumpa pihak2 tertentu. Yang jadi masalah apabila hal ini disampaikan kepada saudara mara saya didapati bahawa orang yang mengaku sebagai waris itu tidak ada dalam daftar keluarga besar kami. Namanya tiada, nama ibu atau bapanya tiada, nama datuknya pun tiada. Pendek kata tidak ada bukti untuk menunjukkan mereka sebagai waris keturunan Laksamana Muhammad Amin. 

Sekadar bersangka baik, boleh jadi mereka datang daripada jalur keturunan yang tidak ada dalam rekod kami. Kami sentiasa terbuka untuk kemungkinan itu. Tetapi kalau begitu pihak yang mendakwa harus mengemukakan bukti bagaimana atau daripada jalur manakah dia menjadi waris keturunan Muhammad Amin itu. Kami boleh bersoreh dengan saudara mara lain untuk mendapatkan kepastian. 

Kalau benar ada sangkut paut harus ada yang dapat mengenali bagaimana sangkut paut itu. Kalau setakat ada moyang yang berkahwin dengan saudara 2-3 pupu Laksamana misalnya tidaklah boleh dikira sebagai waris kerana seorang waris itu mestilah daripada salah satu jalur yang menyambung kepada Muhammad Amin melalui salah seorang anak almarhum dengan salah seorang isteri. Sekarang kami perlu berhati2 dengan hal ini kerana ada orang mendakwa sebagai keturunan demi mendapatkan bahagian daripada harta pusaka Laksamana yang katanya bernilai berbillion RM. Ada yang berjumpa pengarah muzium atau pensyarah sejarah di universiti dengan dakwaan sebegitu seolah2 minta diiktiraf sebagai waris. 

Ada yang meminta salasilah besar keluarga daripada kami lalu marah apabila kami tak mahu beri. Mana boleh main beri2 begitu sahaja? La ni dah jadi penyakit ada orang menipu dengan menyelit2kan nama dalam salasilah besar keluarga orang lain.


-------------------------


Apa yang dikongsikan di sini boleh sahaja dipersembahkan di blogspot CATATAN SI MERAH SILU pada mana-mana tarikh selepas 5 Oktober. Cadangan asalnya ketika itu adalah selepas memaparkan artikel Urusan di TV Alhijrah dan renungan terhadap politik semasa tanah air sekitar 23 September diikuti Perbincangan impromptu nasib Melayu dan silaturrahim hujung minggu. Tetapi baru hari ini 22 Oktober dapat melakukannya. Ada le sebabNYA itu. Semoga terbit lagi petunjuk baru tentang keberadaan Laksamana Muhammad Amin dan semoga juga kepala dan dada saya menjadi lapang lalu dapat menyiapkan tesis sarjana yang sudah lama tertunda. Amin, amin Ya Rabbul Alamin... :]