Merujuk pada artikel Bicara Perjuangan HIKMAH - Malaysia Tanpa Ahli Politik, Mustahil atau Bagaimana? yang dipersembahkan 13 hari lalu. Telah dinyatakan bahawa satu majlis forum dengan tajuk berkenaan mahu diadakan pada 31 Oktober. Semalam telah diadakan satu trial run atau sesi percubaan sebagai persediaan jika forum hanya dapatkan dilakukan secara on-line iaitu atas talian sahaja menggunakan Internet, bukan secara berhadapan hadir tubuh badan akibat kemungkinan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dilanjutkan selepas 27 Oktober. Tetapi sebelum dikongsikan biar dilepaskan cerita ini dahulu.
Pagi Sabtu 24 Oktober iaitu 2 hari lalu saya telah menghadiri Webinar atas dari rumah. Ia adalah majlis perasmian "Seminar Falsafah Malaysia ke-8" oleh ahli politik terkenal Dato' Seri Anwar Ibrahim. Memberikan ucaptama adalah guru saya Profesor Emeritus Dr Osman Bakar. Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Peranan Saling Melengkapi Falsafah dan Agama Dalam Pembinaan Peradaban".
Ia adalah Webinar kedua saya hadiri seumur hidup. Pertama adalah pada 9 Oktober, iaitu baru sahaja 17 hari lalu. Lihat
Al-Ghazali dan Ibnu Rushdi : Dua bintang dalam galaksi intelektual Islam. Kelihatan dalam gambar Profesor Dr Mohamad Fauzan Noordin, pengarah IIIT iaitu
International Institute of Islamic Thought (Institut Antarabangsa Pemikiran Islam) bagi bahagian Timur dan Tenggara Asia. IIIT adalah salah satu penganjur majlis lalu beliau menerangkan rancangan untuk memajukan falsafah juga pemikiran Islam.
Hadirin boleh dilihat menggunakan paparan berkenaan. Rasanya perkataan hadirin juga menghadiri boleh digunakan walaupun secara maya kerana semua yang terlibat hadir secara perhatian dan fikiran walau tidak dengan tubuh badan. Ketika gambar ini diambil jam 9.37 pagi sudah terdapat 174 orang dalam majlis. Jumlah ini nanti meningkat sehingga melebihi 200 orang.
Menggunakan perisian Zoom sebagai perantara setiap hadirin boleh melihat muka hadirin yang lain pada bila-bila ketika asalkan kamera video masing-masing dihidupkan. Kelihatan di sini Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir. Presiden Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran Malaysia (PPFPM). Semasa saya menyertai majlis sekitar jam 9.30 beliau sedang bercakap tentang matlamat persatuan juga tentang majlis. PPFPM adalah salah satu penganjur dan gambar ini diambil ketika Alinor sudah menjadi salah seorang pendengar.
Ini pula adalah Pengarah PPAS (Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor), Puan Mastura Hj Muhammad. PPAS juga adalah penganjur sementara Mastura diamanahkan untuk menyampaikan ucapan alu-aluan Menteri Besar Selangor Dato' Seri Amirudin Shari yang tidak dapat bersama majlis.
Mempengerusikan majlis adalah Puan Hikmah Hassan daripada PPAS. Sebetulnya seminar berlangsung selama 3 hari Jumaat hingga Ahad melibatkan ramai pembentang. tTetapi Webinar yang dibuka secara percuma ini adalah khas untuk perasmian berserta ucaptama bagi sesi hari Sabtu.
Selepas beberapa lama diperkenalkanlah perasmi majlis. Muncullah Anwar yang cukup dikenali dalam persada politik negara dan antarabangsa. Tetapi dalam majlis ini beliau dinyatakan sebagai pengerusi IIIT. Memperkenalkan beliau dalam bahasa Inggeris adalah Fauzan (gambar pertama tadi) kerana seminar melibatkan peserta dan pembentang daripada beberapa negara.
Anwar pun bercakap tentang kepentingan falsafah sebagai teras setiap perbuatan. Sesungguhnya di sebalik setiap perbuatan harus ada falsafah yang boleh menjadi setiap tindakan beretika dan berakhlak. Ini dimulakan dalam bahasa Melayu kemudian ditukar ke dalam bahasa Inggeris selepas beberapa minit. Di sini ingin dinyatakan pendirian bahawa secara peribadi saya tidak menggemari kepimpinan beliau dalam dunia politik.
Semasa bertugas sebagai wartawan akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times tahun 1996 hingga 2001 saya harus membuat liputan ketika Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri ketika itu Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad (kini bergelar Tun). Dalam tempoh waktu hampir sebulan kalau tak salah ingatan saya selalu turun naik dari pejabat ke kediaman rasmi beliau kemudian ke rumah persendirian untuk mengikuti perkembangan selain meliputi ceramah-ceramah kepada penyokong. Setelah beberapa lama keliru siapakah di pihak yang benar saya terlihat sesuatu yang menyebabkan tidak lagi yakin atas kepimpinan beliau. Tapi itu cerita politik. Kalau cerita akademik dan keilmuan saya boleh menerima Anwar sebagai seorang yang berwawasan tinggi lagi memiliki jangkauan ilmu yang luas dan banyak pembacaannya.
Lagipun beliau kawan baik kepada guru saya Osman yang sudah disebut namanya sejak awal. Difahamkan mereka kawan baik sejak zaman sekolah menengah di Maktab Melayu Kuala Kangsar tahun 60an (lebih dikenali dengan singkatan MCKK untuk nama bahasa Inggerisnya
Malay College Kuala Kangsar). Hinggakan satu artikel surat khabar yang dibaca seminggu dua lalu menceritakan mereka sering
fly (lompat pagar keluar asrama) bersama tetapi bukan untuk bersuka ria. Sebaliknya mereka membuat kerja-kerja amal dengan mengajar bahasa Inggeris kepada budak sekolah pondok. Lihat
Kisah Anwar 'fly' ketika di MCKK.
Ketika itu baru saya tahu betapa rapatnya Anwar dengan Osman. Sebelum itu sekadar tahu mereka satu sekolah tapi berbeza satu batch. Osman yang lahir tahun 1946 tua setahun. Yang saya tahu lagi mereka juga kemudian sama-sama terlibat dengan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia). Mereka juga menadah ilmu perjuangan idealisma Islam daripada cendekiawan besar Tan Sri Profesor Syed Naquib Al-Attas.
Sebab itu mudah bagi Osman mengajak Anwar untuk terlibat dalam majlis-majlis besar di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran Dunia Islam). Ia adalah tempat saya menyambung pengajian ke peringkat pasca-siswazah sejak penghujung Ogos 2018. Osman merupakan guru dan penyelia tesis saya. Lihat artikel
Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia. Beliau pernah menceritakan disebabkan hubungan dengan Syed Naquib itulah Anwar dapat membantu mendirikan ISTAC tahun 90an. Ketika itu Anwar sudah menjadi Menteri Pelajaran (Pendidikan), Sedangkan ISTAC merupakan gagasan fikir Syed Naquib...
Tak sangka pula Osman dan Anwar pernah 'fly' bersama ketika zaman muda remaja. Sebut pasal fly, saya pun selalu keluar asrama panjat pagar ketika menuntut di Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang tahun 1983-1986. Tetapi itu lebih daripada menghilangkan tekanan akibat asyik duduk terperap dalam lingkungan asrama penuh sedangkan saya sukakan kebebasan di luar. Perangai ini terbawa-bawa ketika zaman kolej di PPP/ITM (Pusat Persedian Pelajar di bawah Institut Teknologi Mara, kini UiTM). Lalu kawan-kawan di kolej mengenali saya dengan panggilan Fly hinggalah sekarang.
Saya ceritakan ini semua untuk menunjukkan bagaimana kini lebih faham hubungan antara Anwar dan Osman. Saya faham bagaimana perasaan dengan kawan-kawan yang cukup rapat sejak usia muda walaupun kemudian boleh beralih arah fikiran dan tujuan hidup ketika sudah berumur. Misalnya dalam kalangan kawan yang pernah duduk sebilik zaman kolej tahun 88-90 ada yang pernah menjadi Vice President dalam syarikat 1MDB Berhad yang penuh kontroversi itu, ada pula masih memegang jawatan sebagai antara pegawai tertinggi dalam Khazanah Holdings iaitu syarikat induk yang banyak memegang syarikat-syarikat lain terutama yang terkait dengan kerajaan (GLC). Kalau sebut pasal kes 1MDB dan bekas Perdana Menteri Dato' Seri Najib boleh bergaduh bertekak mereka dalam grup WhatsApp . Tapi kami semua tetap berkawan sehingga ke hari ini.
Itu antara kawan lama yang tidak pun berapa 'sekepala' apatah lagi kalau ada wawasan idealistik sama seperti dilihat wujud antara Anwar dan Osman. Mungkin cara untuk melaksanakan wawasan telah membawa seseorang untuk melakukan tindakan kurang molek apatah lagi bila harus berhadapan dengan segala macam tipu daya khianat dalam dunia politik. Saya sebut ini dalam konteks secara peribadi tetap tidak menggemari kepimpinan politik Anwar namun sedia menerima dalam dunia akademik apa lagi kerana hubungan rapat dengan guru saya.
Masuk jam 10.40 muncul Profesor Mohamed Aslam Haneef daripada UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) untuk memperkenalkan Osman sebagai pemberi ucaptama. Ketika ini majlis sudah dikendalikan sepenuhnya di dalam bahasa Inggeris.
Maka muncullah guru saya membawa ucaptama. Terus terang cakap timbul rasa rindu melihat muka beliau kerana sudah lebih 7 bulan tidak bersua iaitu sejak PKP (Pergerakan Kawalan Pergerakan) untuk mengekang penyebaran wabak COVID-19 mula dilaksanakan 18 Mac. Sebelum itu saya selalu menghadiri syarahan beliau di ISTAC hampir setiap minggu. Pada tarikh 18 Mac itu sepatutnya ada syarahan dalam siri "Classicifications of Knowledge". Tetapi ia dibatalkan akibat PKP. Lihat tulisan-tulisan saya tentang siri syarahan yang dimulakan sejak awal tahun 2019 :-
Einstein percaya pada aesthetic proof (pembuktian berdasarkan nilai aestitik). Katanya sesuatu yang cantik mestilah benar. Equation atau persamaan E=mc2 (E bagi tenaga bersamaan m bagi jisim didarabkan dengan kelajuan cahaya kuasa dua) adalah sangat berkuasa (very powerful). Osman memberi contoh persamaan yang terbit daripada Theory of Relativity ini (lebih tepat Special Theory of Relativity, lagi satu adalah General Theory of Relativity) kerana ia kelihatan begitu ringkas namun sangat sangat berguna dalam dunia sains terutama bidang fizik.
Saya sempat mempelajari kedua-dua teori ini dan bagaimana persamaan E=mc2 itu tercipta pada tahun akhir pengajian dalam bidang matematik di University College of London 1995. Seterusnya Osman mengupas kenapa agama adalah tempang tanpa sains. Agama memerlukan pembuktian dalam bentuk sokongan secara empirikal. Ketika mengikuti syarahan saya sempat menaipkan beberapa point penting terus ke dalam draf artikel. Tetapi kalau diatur menjadi ayat-ayat dan perenggan lengkap jadi panjang pula artikel dan saya pun sudah penat. Oleh itu sila ikuti sendiri syarahan berserta majlis yang telah dirakam videonya di sini. Selamat malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan