Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Ogos 02, 2013

Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Pengeran Diponegoro dan Makassar hari akhir

Salam Jumaat buat kali ketiga berturut-turut. Setelah mempersembahkan 2 artikel siri pada hari Jumaat lepas dan Jumaat sebelumnya biar dilengkapkan 3 Jumaat bercerita yang semuanya jatuh pada bulan puasa. Adapun hari ini sudah 24 Ramadhan, tak sampai seminggu lagi kita akan menyambut 1 Syawal. Dengan itu biar ditamatkan penceritaan perjalanan 3-12 Mei ke bumi Makassar dan Bugis. Bersambung dari Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Dari Sayyid Jamaluddin Kubro ke La Madukelleng meluruskan beberapa aspek sejarah.


Pagi Ahad 12 Mei 2013. Setelah menyiapkan segala barangan dan mengucapkan selamat tinggal pada Ibu Nur juga anak angkatnya Syahril kami pun sedia untuk keluar.


Kami dijadualkan kembali ke Malaysia menaiki penerbangan petang. Sebelum itu biarlah ke kota Makassar berjalan-jalan.


Tempat pertama dituju adalah makam Pangeran Diponegoro, pejuang dari Pulau Jawa. Anak sulung Sultan Hamengkubuwono III iaitu pemerintah kerajaan Yogya ini memimpin perlawanan dengan Belanda tetapi ditangkap 1830 lalu diasingkan dan dipenjarakan di Makassar. Lihat artikel Makam (Tomb of) Pangeran Diponegoro di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)


Tempat dipenjarakan itu adalah satu ruang yang sangat dhaif di Fort Rotterdam. Lihat artikel Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Fort Rotterdam dan 'gegaran' Muzium La Galigo yang dibuat sebulan lalu. Keluarga dan pengikut beliau turut ditangkap dan diasingkan tetapi mendapat ruang penjara yang lebih selasa. Dengan itu keturunannya mula menjadi orang Makassar termasuk pakcik yang menjaga makam.


Lakaran wajah sang pengeran...


Kami sempat berbual lama bertanyakan sejarah pejuang . Oh. Di tengah kelihatan kawan kami Kak Rosnina, orang Aceh yang sepatutnya sudah sampai ke Makassar petang Rabu bersama kawannya yang berbangsa Cina. Sepatutnya beliau ikut sama berjalan ke Wajo'. Tetapi disebabkan sedikit masalah beliau tidak dapat menaiki pesawat lalu cuma dapat datang hari Jumaat. Rujuk cerita Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Keluar dari Makassar selepas 3 hari berehat


Selepas itu kami melihat tempat-tempat lain di Makassar.


Antaranya adalah rumah peranginan atas laut dengan motif tradisional Bugis-Makassar. Lihat artikel A resort of Bugis and Makassar traditional houses di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.

.


Rumah peranginan atau resort ini mengingatkan pada resort atas laut di Tanjung Piai, Pontian di mana saya dan isteri pernah membawa anak kami Rashid yang kini sudah berumur lebih 3 tahun. Ketika itu isteri tak sampai 40 hari melahirkan Rasyid. Tapi kami sudah mula keluar membuat satu pengembaraan pusing selatan. Lihat Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Pontian di siang hari.... Kawasan rumah peranginan ini luas sedangkan saya tidak dapat meneroka seperti biasa kerana kecederaan kaki. Nasib baik le ada kerusi roda yang dibawa dari Malaysia.


Seterusnya kami pergi ke satu kawasan yang agak terkenal, Jalan Sompa Opu. Pada artikel Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Fort Rotterdam dan 'gegaran' Muzium La Galigo telah ditunjukkan jalan ini sebagai tempat paling banyak kedai emas.


Ia juga memiliki beberapa kedai menjual buah tangan. Kami mahu mendapatkan sedikit barang kenangan dan hadiah untuk sanak saudara. Selain itu saya mahu membeli songkok Bugis...


Selepas membeli barangan kenangan Kak Rosnina dan kawannya diturunkan di sebuah kompleks membeli-belah. Kami pun menyambung perjalanan.








Kami mengambil laluan yang boleh membawa terus ke lebuh raya bertol, satu-satunya yang terdapat di Sulawesi kalau tak salah.


Ini membolehkan kami mengelak kesesakan lalu-lintas yang biasa melanda jalan utama ke utara Makassar.


Tak sampai 15 minit kami dah masuk kawasan lapangan terbang. Kalau ikut jalan biasa mahu sejam dihambat kesesakan...


Saya cuba mengambil lagi gambar patung Sultan Hasanuddin yang terletak di bulatan sebelum jalan ke bangunan lapangan terbang. Semasa sampai ke Makassar 3 Mei saya cuma mengambil dari belakang ketika matahari dah tenggelam. Kali ini kami lalu sekitar 1.30 petang, harus lebih terang. Tapi entah kenapa sekali lagi dapat gambar kabur...


Apapun kami sampai awal.


Penerbangan dijadualkan berlepas 5.40 petang. Nak check-in pun kena tunggu lebih sejam setengah.


Masa yang terluang digunakan untuk melihat-lihat lapangan terbang yang boleh tahan canggih.


Nasib baik ada pertunjukkan kebudayaan seperti silat.


Rasyid pun seronok nak ikut sama.


Selepas itu saya membawa Rasyid berjalan melihat-lihat kapal terbang.


Jam 5.15 gitu baru kami dibenarkan menaiki pesawat. Alhamdulillah, seperti halnya ketika datang ke Makassar 3 Mei terdapat banyak ruang kosong. Dapatlah saya diberikan satu barisan agar kaki yang cedera dengan simen di bawah menghadkan pergerakan dapat direhatkan di atas kerusi, satu tindakan yang perlu untuk mengurangkan bengkak dan kesakitan.


Kapal terbang berlepas mengikut jadual. Selamat tinggal Makassar dan Tanah Bugis. Terima kasih kepada Ibu Nur yang menjemput juga Syaril yang sudi melayan. Biar diberitahu Ibu Nur atau Profesor Dr Nurhayati Rahman adalah seorang tokoh budaya dan sastera yang agak terkenal dan penting di Sulawesi Selatan. Ramai pengkaji antarabangsa pernah menginap di rumah beliau, antaranya Christian Pelras, orang Peranchis yang menulis buku The Bugis, satu rujukan utama pengkaji luar untuk mengenali jiwa manusia Bugis.

Saya sendiri bercadang untuk melakukan sedikit kajian lapangan sekurang-kurangnya dalam rangka kerja untuk memahami dengan lebih terperinci salasilah keluarga belah Bugis. Saya sudah memikirkan mahu berjalan jauh hingga ke Palopo, pusat pentadbiran daerah Luwu, dahulunya kerajaan awal paling besar dalam dunia orang Bugis, kerajaan lama yang masih dianggap berprestij sehingga hampir semua raja-raja Bugis dikatakan berketurunan raja-raja Luwu. Letaknya 10 jam perjalanan dari Makassar dan fikir saya boleh juga singgah melihat kawasan perkuburan orang bukan Islam Toraja yang terkenal seantero dunia dengan keranda-keranda yang diletakkan pada lubang-lubang di muka bukit. Ia boleh dicapai dalam perjalanan ke Luwu atau kembali, sebab itu kami memilih untuk berada agak lama, 3-12 Mei.

Namun kecedaraan kaki yang berlaku 10 hari sebelum berlepas menyebabkan saya harus menghadkan perjalanan. Dapat sampai ke Wajo', 6 jam dari Makassar pun saya dah syukur amat. Allah sahaja tahu kesulitan dan kesakitan yang ditanggung dengan kaki bengkak teruk, nak berjalan sikit pun berhempas-pulas, nak buang air cukup seksa mendapatkan letak kedudukan.  Insyaallah lain kali kami akan datang dalam keadaan saya juga seluruh keluarga lebih sihat. Bolehlah kami berjalan lebih jauh mencari jejak leluhur sambil mengamati sejarah yang berkaitan. Amin... :]




Jumaat, Julai 26, 2013

Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Dari Sayyid Jamaluddin Kubro ke La Madukelleng meluruskan beberapa aspek sejarah

Salam Jumaat lagi. Adapun pada Jumaat lepas artikel Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Akhirnya, sampai ke Wajo, kerajaan leluhurku belah Bugis telah ditulis. Artikel sambungan ini harus lebih istimewa kerana dimulakan pada tarikh 17 Ramadhan di Malaysia (di Indonesia puasa sehari lebih awal), hari Nuzul Quran. Malam semalam hingga ke Subuh saya telah mengambil keberkatan 17 Ramadhan dengan memperkemaskan isi blogspot perjuangan berkumpulan Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Setelah beberapa lama baru dapat memberikan tumpuan pada blogspot ini. 

Sebagai nota, perenggan di atas dibuat petang Jumaat 26 Julai sebagai pengenalan kepada artikel yang cuma dimasukkan gambar ketika itu. Pada tengah malam Isnin 29 Julai merangkap 20 Ramadhan baru saya ada gerak untuk betul-betul membuat cerita. Mari... :]


Pagi Sabtu 11 Mei 2013. Setelah bermalam di rumah penginapan yang terletak di seberang istana kerajaan kecil Sengkang yang telah dijadikan muzium kami mahu melihat satu tempat yang saya fikir sangat penting dalam sejarah kerajaan Wajo'.


Sambil menunggu kawan Ibu Nur yang bertindak sebagai penunjuk tempat-tempat bersejarah datang kami bersarapan di ruang legar. Terlihat ukiran kayu seakan-akan bentuk awan larat yang saya perhatikan banyak terdapat pada bucu bumbung rumah tradisional Bugis dalam lingkungan kerajaan Wajo' yang kini cuma bertaraf daerah, dalam propinsi (seperti negeri) Sulawesi Selatan dan negara republik Indonesia. Di bawahnya terdapat satu frame barangan buah tangan yang saya cukup kenal...


Saya cukup kenal kerana pernah membeli barangan serupa, diletakkan pada dinding utama di rumah saya. Ia mengandungi dua bilah rencong, senjata tradisional orang Aceh berserta lakaran kecil peta Aceh. Apabila ditanya pada pekerja rumah penginapan, kata mereka memang ia dibawa dari Aceh oleh seseorang. Pada mereka ia cuma hiasan sedangkan saya melihatnya sebagai satu bentuk petunjuk tentang betapa rapatnya sejarah lama kerajaan Bugis Wajo' dengan kerajaan Aceh yang terletak di utara pulau Sumatera, 3000 km ke barat-laut Sulawesi Selatan.

Sesungguhnya saya sudah lama dapat merasakan ada kaitan yang sangat rapat antara kerajaan Aceh dan kerajaan-kerajaan Bugis terutama di Wajo'. Kedudukan ukiran awan larat yang dikira melambangkan identiti unik rumah tradisional Wajo' diletakkan berdekatan buah tangan dari Aceh ini sekadar menetapkan telahan. Rujuk balik artikel Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Akhirnya, sampai ke Wajo, kerajaan leluhurku belah Bugis yang ada menyebut tentang seorang kerabat diraja Bugis  bernama Daeng Mansur. Baginda datang ke Aceh abad ke 16 dan bermula tahun 1727 gitu keturunan baginda merajai Aceh lalu dikenali sebagai Raja-raja Aceh Dinasti Bugis.



Namun saya percaya ada kaitan Aceh-Bugis atau lebih khusus Aceh-Wajo' yang lebih awal. Untuk itu kami harus keluar dari kota Sengkang, masuk ke satu kawasan desa yang terletak sekitar 15-20 km di luar bandar.


Sepanjang perjalanan, rumah-rumah tradisional dengan ukiran layar atau awan larat di bucu bumbung menarik perhatian. 




Sungguh, bentuk-bentuk ini terasa seperti kod lama yang mahu menghidupkan sesuatu. Hal ini ada disentuh dalam artikel Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Akhirnya, sampai ke Wajo, kerajaan leluhurku belah Bugis di mana ada disebut begini...


Pada bucu atap bangunan terdapat ukiran awan larat yang menjadi identiti unik Wajo'. Lalu saya teringat zaman kanak-kanak sering menconteng kertas dan buku pelajaran dengan corak-corak serupa. Ini sering dibuat sampai saya masuk ke sekolah menengah. Apakah kerana ada memori berkenaan Wajo' yang menjalar dalam darah daging ini? 







Dari segi semangat, perjalanan masuk desa seperti mahu memutar masa kembali ke sekitar 700 tahun lalu.




Kenapa saya sebut begitu? Sebelum diterangkan biar ditunjukkan rumah tradisional ini yang lebih menyerupai apa yang terdapat di Makassar dan sekitar kerajaan lama Goa, bukan ciri unik Wajo'. Kami singgah sebentar untuk mendapatkzn kebenaran kepala desa mahu bertandang ke tempat bersejarah di sini. Ketika itu hujan lebat bercucuran...




Selamat datang ke Tosora, pusat kerajaan Wajo' selama beberapa kurun. Dalam keadaan hujan masih lebat kami anak beranak naik ke satu kawasan berpagar sementara saya terhencot-hencot dengan tongkat kiri dan kanan...


Di sini terdapat makam milik seorang pendakwah bertaraf wali yang sangat gah namanya.


Beliau (atau baginda?) adalah Sayyid Jamaluddin Kubro, orang yang menurunkan para Wali Songo juga sejumlah raja Islam yang pernah memerintah kerajaan Melayu Champa, Patani dan Kelantan. Nama beliau sangat terkenal dalam sejarah awal kedatangan Islam ke Alam Melayu. Ada menyebut beliau mengetuai satu rombongan pendakwah yang dikenali sebagai Wali Tujuh. Seorang ahlinya adalah Sayyid Tanauddin, dikatakan orang yang sama dengan Sang Adi Putra, guru kepada Hang Tuah.


Inilah makam Sayyid Jamaluddin Kubro. Lihat artikel Makam (Tomb of) Sayyid Jamaluddin Kubro di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Lihat juga makam-makam di sekeliling termasuk yang menggunakan meriam sebagai penanda atau batu nesan. Klik Makam-makam di sekeliling makam Sayyid Jamaluddin Kubro (Tombs around that of Sayyid Jamaluddin Kubro)..


Makam-makam ini terletak di hadapan tinggalan masjid lama yang katanya dibina oleh Sayyid Jamaluddin Kubro. Bumbungnya sudah hilang, tinggal tembok dan mihrab di mana saya dapat berteduh dari hujan sambil berehat dan bertafakur sendirian. Lihat Tinggalan masjid lama Tosora (remains of the old mosque of Tosora).


Peliknya cerita mengenai Sayyid Jamaluddin Kubro ini kurang dikenali masyarakat Bugis juga orang Makassar di Sulawesi Selatan. Di kala nama beliau begitu mekar di kalangan mereka yang mengikuti sejarah awal kedatangan Islam juga kisah para Wali Songo, cerita Sayyid Jamaluddin seolah-olah terpendam dan disembunyikan di sebelah sini. Masyarakat Sulawesi Selatan secara rata cuma mengenali cerita Datuk ri Tiro, Datuk ri Bandang dan Datuk Patimang sebagai pendakwah paling awal membawa agama Islam. Pendakwah yang dikatakan datang dari Tanah Minangkabau awal abad ke-17 ini dicatat mengIslamkan kerajaan Goa kemudian baru kerajaan lain.

Lalu status masjid terawal di Sulawesi Selatan (ringkasannya Sulsel) dikatakan milik masjid lama Katangka yang terletak berdekatan pusat kerajaan Gowa, dibina tahun 1603. Lihat artikel Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Sheikh Yusuf dan pertentangan antara Sultan Hasanuddin dengan Arung Palakka. Kalau begitu bagaimana sejarah Aceh boleh menyebut tentang kedatangan pendakwah dari Wajo' bernama Daeng Mansur abad ke-16? Bagaimana beliau (atau baginda) boleh menjadi pendakwah kalau Wajo' sendiri tidak lebih awal sudah masuk Islam?


Hal serupa boleh dipersoalkan tentang tinggalan masjid lama yang terdapat di Tosora. Apabila ditanya orang tempatan mereka mengatakan ia didirikan oleh Sayyid Jamaluddin Kubro tahun 1621, 18 tahun lebih lewat dari masjid lama Katangka di Goa. Namun tidak pula diceritakan sejarah kedatangan Sayyid itu, yang sering diulang-ulang adalah cerita kedatangan Datuk ri Tiro, Datuk ri Bandang dan Datuk Patimang tahun 1600an. Kenapa? Mustahil pendakwah seperti Sayyid Jamaluddin Kubro yang dicatat berdakwah di Semenanjung seawal tahun 1345 Masihi tidak dikenali langsung. Apakah ada konspirasi untuk menutup cerita sebenar yang berkaitan?


Selepas bertandang ke makam kami singgah ke rumah kepala desa yang walaupun mengaku orang asli Wajo' tetapi rumahnya lebih mengikuti ciri tradisional Goa. Malah kata kepala desa apabila ditanya, beliau keturunan seorang Arung Matoa Wajo atau raja tertinggi Wajo'.  Saya terlupa hendak bertanya kepada orang yang saya kira berumur awal 30an itu kenapa reka bentuk rumahnya lebih menyerupai binaan di Goa. Apakah kerana hendak menjaga hati atau menunjukkan taat setia kepada pemerintahan tertinggi yang berpusat di kota Makassar, kota terbesar yang dahulunya dikenali sebagai Ujung Pandang, pelabuhan utama kerajaan Goa?

Apabila melihat balik gambar ini terbetik di fikiran mungkin atas sebab serupa maka sejarah sebenar kedatangan Islam ke Sulawesi Selatan telah diubah atau disembunyikan. Untuk menaikkan kebesaran Goa yang diakui lebih berpengaruh dan besar namanya di kepulauan Alam Melayu, sejarah sebenar yang menunjukkan kelebihan kerajaan Wajo', lebih kurang 6 jam perjalanan berkereta dari Goa pun diketepikan. Akibatnya cerita insan sehebat Sayyid Jamadil Kubro tidak begitu dikenali di Sulsel. Walhal namanya bergema di seluruh Semenanjung, Sumatera malah Pulau Jawa hingga sekarang.

Kepentingan Sayyid ini dalam sejarah Sulsel seperti hendak dipinggirkan sehingga namanya sekadar disebut datang lewat dari Datuk ri Tiro, Datuk ri Bandang dan Datuk Patimang. Malah beliau seolah tidak layak dibariskan bersama 3 datuk yang dikatakan datang dari Tanah Minangkabau. Walhal taraf sebenar beliau jauh lebih tinggi dan beliau harus sudah mendirikan masjid lama Tosora sebelum tahun 1400 lagi. Apapun lihat juga artikel Lagi makam-makam bertanda meriam (More tombs marked with cannons) dan Benteng (Fort of) Tosora. Yang menarik tentang makam-makam bertanda meriam ini adalah laras meriam yang harus sepanjang 10 kaki setiap satu dipasakkan masuk ke dalam tanah menjadi 'batu nesan'.


Kembali ke Sengkang, kami terus berkemas untuk keluar dari rumah penginapan. Selepas itu baru kami singgah ke sebuah makam berdekatan, makam milik seorang Arung Matoa Wajo atau raja tertinggi Wajo yang paling ditakuti Belanda iaitu La Madukelleng. Baca balik cerita tentang baginda yang telah diletakkan pada artikel Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Akhirnya, sampai ke Wajo, kerajaan leluhurku belah Bugis. Perhatikan batu nesan baginda yang berbentuk batu bulat agak serupa dengan batu nesan Sayyid Jamaluddin Kubro. Ketika menjejakkan kaki ke sini terbetik di fikiran mungkin La Madukelleng itu berketurunan Sayyid itu?


Hal ini tidak mustahil kerana Sayyid Jamaluddin Kubro diketahui berkahwin ramai lalu meninggalkan ramai keturunan yang menjadi orang-orang hebat di serata Alam Melayu. Cuma di Sulsel, di Tanah Bugis dan Makassar cerita beliau tidak berapa terkenal. Apakah ini disebabkan politik menaikkan Goa sambil memperkecilkan peranan sebenar Wajo' seperti saya sebut tadi? Atau ada sebab lain hal sebenar disembunyikan?

Oh. Seperti pada hari Jumaat kami juga mendapati makam berkunci. Pejabat kerajaan di sebelah di mana kunci katanya disimpan juga ditutup. Nak tak nak kami terpaksa memanjat tembok untuk masuk ke dalam.


Pada mulanya saya cuma masuk seorang, dibantu penduduk tempatan yang menetap di rumah sebelah. Tetapi setelah bersendirian beberapa lama saya fikir elok anak-anak juga masuk merapati makam moyang. Lihat artikel Makam (Tomb of) La Madukelleng.


Turut terdapat dalam kompleks adalah makam seorang raja kerajaan Kutai yang berpusat di tengah Kalimantan, menantu kepada La Madukelleng. 


Saya mengambil peluang bergambar di sebelah ilustrasi wajah La Madukelleng. Biar diberitahu, kemudian apabila kembali ke Malaysia lalu berjumpa seorang kenalan yang sering menjadi rujukan dalam hal-hal ghaib, beliau memberitahu ini bukan wajah sebenar baginda. Katanya wajah La Madukelleng adalah sama seperti satu watak yang pertama kali saya lihat dalam mimpi sekitar sebulan sebelum berlakunya peristiwa keruntuhan menara World Trade Centre di New York 11 September 2001. Orangnya tinggi lebih 6 kaki, tegap dan gagah, berkulit sawo matang. Namun seperti dalam gambar, baginda suka memakai pakaian hitam.


Sesungguhnya mimpi yang melibatkan istana kesultanan Perak itulah yang membawa saya untuk mengembara merata mencari salasilah keluarga. Itulah yang kemudian  menyebabkan saya berhenti kerja meninggalkan rumahtangga lalu selalu tidur dari masjid ke masjid, makam ke makam untuk mencari ilham, petunjuk dan jawaban. Kemuncaknya adalah apabila saya masuk ke Aceh ketika ia masih darurat dilanda perang antara tentera nasional Indonesia dengan puak pemisah Januari 2004. Hasil pengalaman ini terbitlah siri trilogi buku "Berpetualang ke Aceh" 2006-2007.

Segala yang berlaku telah menyebabkan saya berubah arah menjadi orang yang lebih menyayangi Melayu dan Islam. Selepas dapat menjejakkan kaki ke makam ini saya terasa begitu lega. Terasa misi peribadi saya datang ke Tanah Bugis sudah selesai sekurang-kurangnya untuk lawatan ini. Siapa tahu nanti saya akan ke sana lagi untuk berjalan lebih jauh dalam keadaan lebih sihat? Selepas itu terus kami mengorak langkah kembali ke Makassar. Lihat artikel Going back to Makassar via Bone di blogspot BERPETUALANG KE ACEH

Kebetulan, atas rancangan Qada' dan Qadar Allah ziarah ke makam ini menjadi susulan pada lawatan ke Tosora. Kalau tidak kerana makam berkunci hari Jumaat dan masih berkunci ketika kami hendak menuju ke Tosora pagi Sabtu tentu saya sudah ke sini terlebih dahulu kerana letaknya agak dekat dengan rumah penginapan di sebelah istana/muzium. Adapun dahulu pernah terbetik di fikiran saya bahawa sejumlah raja dan bangsawan Bugis  berasal dari keturunan Sayyid Jamaluddin Kubro.  Sejak menjejakkan kaki ke sini saya menjadi yakin La Madukelleng juga dari keturunan ini malah nasab baginda adalah yang paling induk di Tanah Bugis... 

Namun atas sebab tertentu fakta ini jadi terpendam atau sengaja disembunyikan berserta satu fakta lain yang saya percayai sekian lama tetapi mungkin sukar diterima orang lain. Saya percaya Sayyid Jamaluddin Kubro itu sebenarnya berasal dari Aceh dan memiliki susur-galur keturunan raja-raja Pasai. Lihat artikel Wali Songo dari keturunan Sultan Malikus Saleh? yang dibuat setahun lalu. Malam ini, mengambil keberkataan malam Isnin 20 Ramadhan biarlah ditambah satu perkara yang sudah 10 tahun begitu saya yakini tetapi rasanya tidak pernah disebut secara terang-terangan, cuma ada berkias. Saya percaya keturunan yang termasuk di dalamnya sejumlah kerabat diraja Bugis ini memiliki nasab darah daging yang sampai kepada Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani.  

Sheikh Abdul Qadir yang hidup di Baghdad 1,000 tahun lalu pula memiliki nasab belah bapa bin datuk lelaki bin moyang laki-laki dan seterusnya sampai kepada Saidina Hassan, cucu sulung Nabi Muhammad SAW. Di celah-celah itu ada tercampur darah Saidina Abu Bakar, sahabat utama Nabi. Ibu Sheikh Abdul Qadir pula berketurunan Saidina Hussein, adinda Saidina Hassan. Campuran darah Bugis membawa kepada darah keturunan Ratu Balqis dengan Nabi Sulaiman AS. Cukup.


Rabu, Julai 24, 2013

Pembedahan 15 Ramadhan dan faktor 313



Syukur alhamdulillah. Sukacita dimaklumkan tengah hari tadi saya sudah selamat menjalani satu pembedahan kecil untuk membawa keluar sebatang skru yang telah digunakan untuk mengikat tulang kecil kaki kanan dengan tulang besar. Ini dibuat agar ligamen kaki yang koyak dapat duduk pada tempat sepatutnya supaya boleh bersambung dan pulih. Skru ini adalah yang terpanjang antara 7 skru yang dimasukkan ke dalam kaki semasa pembedahan kali pertama 30 Mei. Enam skru lain turut digunakan untuk mengikat sebatang plet yang menyokong tulang kecil atas buku lali, tulang yang retaknya membentuk lingkaran ke atas akibat satu kecederaan yang berlaku 23 April. Rujuk Car Book Sale, Hari buku sedunia dan kaki terpele'ot.

OK. Bila diteliti balik sebenarnya saya tak berapa ingat apakah kaki saya telah dimasukkan 7 atau 8 skru. Saya telah melihat x-ray seminggu lalu tetapi tidak mengambil gambar. Selepas menulis perenggan di atas baru saya teringat ada satu skru yang tidak mengikat plet. Jika yang lain dimasukkan berserta plet melalui potongan kulit dan daging pada bahagian luar kaki kanan atas buku lali, satu skru ini dimasukkan dari belakang kaki untuk mengikat tulang atas tumit yang turut retak.

Namun suka saya untuk memikirkan bahawa 7 skru digunakan pada plet. Ini kerana skru yang dibawa keluar tengah hari tadi terletak di tengah. Saya pasti bahagian bawah plet dikukuhkan dengan 3 skru yang diikat masuk ke tulang buku lali. Bahagian atas tu yang saya fikir harus diikat dengan 3 skru lagi. Maka ia harus membentuk formasi 3-1-3 iaitu 3 di atas, 1 di tengah dan 3 di bawah. Saya suka ini kerana nombor 313 memiliki banyak signifikan - 313 rasul, 313 tentera Thalut melawan Jalut, 313 ahli tentera Badar dan sebagainya.

Adapun sebelum pembedahan saya harus masuk ke wad sementara Day Care Centre (lupa pula terjemahan Melayunya). Sementara menunggu giliran saya ditempatkan di katil bernombor 31. Pada laci sebelah saya terlihat nombor 3-1-3 yang saya dah lupa untuk apa. Selepas pembedahan saya direhatkan di katil lain pula, katil bernombor 5. Seolah-olah ini semua ada kena-mengena kerana apabila melihat botol yang mengandungi skru untuk diserahkan kepada saya (gambar atas) tertera masa ia dikeluarkan adalah 1305 (1.05 tengah hari).

Selepas skru dikeluarkan tulang besar dan kecil tidak lagi diikat. Ini membolehkan saya mula membuat beberapa senaman kecil menghidupkan otot-otot sebelum saya betul-betul boleh menjejakkan kaki ke tanah lalu kembali berjalan seperti sediakala, satu proses yang katanya memerlukan lagi 6 minggu tempoh pemulihan. Sukacita dimaklumkan pembedahan yang membawa harapan kembali berjalan ini berlaku pada siang 15 Ramadhan, sekurang-kurangnya di Malaysia (di Indonesia hari ini 16 Ramadhan). Sukacita saya kerana ia jatuh pada tarikh lahir Saidina Hassan, cucu sulung Nabi Muhammad SAW yang ada kaitan rapat dengan salasilah keluarga.

Sekarang saya harus bersabar dengan sedikit kesakitan. Maklumlah, kulit dan isi dipotong sedikit, skru dibawa keluar meninggalkan lubang pada tulang sebelum kulit dijahit. Selepas habis bius datanglah rasa sakit, rasa 'berdengung' semacam sakitnya bila kaki bergegar terlanggar apa-apa, misalnya terhentak pada kerusi kereta dalam perjalanan kembali ke rumah. Malah terlanggar tilam dan bantal dekat tempat luka pun boleh terasa...

Selalunya ini boleh dikurangkan dengan memakan ubat tahan sakit. Tetapi saya mahu meneruskan puasa hari ini, puasa yang tidak batal akibat pembedahan. Jadi selepas berbuka baru boleh makan apa-apa ubat. Cukuplah luahan rasa dari saya untuk 15 Ramadhan... :]