Selepas menginap satu malam di rumah adik perempuan bapa dekat masjid lama keluarga di Batak Rabit saya pun memulakan perjalanan untuk menziarahi lagi makam-makam lama. Hal ini ada diceritakan agak panjang lebar dalam Bab 12 buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?" (terbit November 2007). Biar dikongsikan dengan tambahan tajuk-tajuk kecil bagi memudahkan pembaca.
---------------
ANTARA LAKSAMANA DENGAN RAJA...
Almarhum Nenek pernah menyebut, beliau dan suaminya Atuk Perak memiliki moyang yang sama iaitu Keramat Kuala Bidor. Mereka berdua berasal dari Teluk Intan, Perak dan merupakan saudara rapat, kalau tak silap dua pupu. Maklumlah, orang dahulu biasa berkahwin saudara-mara...
Katanya: “Atuk Perak sebelah Laksamana. Nenek yang sebelah raja.”
Semasa itu, anak muda ini tidak faham langsung maksudnya. Kenapa Nenek membahagi-bahagikan suaminya kepada sebelah Laksamana dan beliau sebelah raja? Bukankah mereka bersaudara? Bukankah Atuk Perak juga mempunyai kaitan dengan kerabat diraja Perak? Apakah perlu ada garis pemisah? Bila Rasyid bertanya lagi, itu juga jawaban yang diberi. Kemudian beliau menyambung, keluarga sebelahnya berasal daripada Batubara lalu berpesan, jika sampai ke Sumatera, singgahlah ke sana. Katanya, masih ada saudara mara... Kalau berkesempatan, carilah mereka.
Menurut salasilah keSultanan Perak hasil kajian Barat yang digunakan Rasyid untuk menelusuri sejarah keluarga, kaitan dengan Batubara ini cuma muncul melalu perkahwinan Sultan Perak ke 23, Sultan Ja’afar Safiuddin Muazam Shah (memerintah 1857-1865) dengan Wan Mahtra, anak Datuk Muda Wan Abdul Rahman bin Maharaja Lela Ngah Hassan, Orang Suku Laksamana Batubara. Dari perkahwinan inilah terbitnya Sultan Abdullah yang dibuang ke Pulau Seychelles, Sultan yang menandatangani Perjanjian Pangkor 1874 sebelum menyedari dirinya tertipu. Baginda pun terlibat membunuh Residen Inggeris J.W.W. Birch di Pasir Salak.
Selepas perjumpaan dengan Nenek dan perbualan mereka mengenai asal-usul keluarga Oktober 2001, pemuda itu pergi ke Perak untuk menziarahi makam Keramat Kuala Bidor serta makam keluarga Laksamana yang mengandungi makam Atuk Perak di Teluk Intan. Kemudian dia memohon Allah Subhanahuwata’ala supaya memberi petunjuk kaitan sebenar keluarganya dengan keSultanan Perak lalu mendapat gerak untuk berkelana memudiki kanan Sungai Perak menghala ke Kuala Kangsar.
Memandangkan terdapat hampir 30 buah makam Sultan-sultan Perak di sepanjang perjalanan, Rasyid membuat keputusan untuk melawat makam tertentu sahaja. Tetapi dia tidak tahu makam mana yang patut diziarahi lalu memohon Allah agar diberi gerak rasa tanpa diduga... Cukuplah sekadar dapat melihat kaitan sebenar keluarga dengan kerabat diraja Perak.
MEMBUKA SECARA TIDAK SENGAJA DI KAMPUNG TERENGGANU
Pada hari pertama berjalan mencari makam menunggang motosikal kesayangan, Rasyid tersesat di tengah bandar Teluk Intan. Tanpa dirancang, dia sampai ke tepian Sungai Perak berdekatan Jalan Mak Intan lalu masuk ke Kampung Terengganu... Terus terjumpa makam Sultan ke 22, Sultan Abdullah Muhammad Shah (bukan yang dibuang ke Pulau Seychelles tetapi yang memerintah 1851-1857) atau Marhum Durian Sebatang.
Selepas berjaya menemui jalan keluar menghala ke Kampung Gajah, Rasyid tergerak untuk memasuki sebuah lorong di Kampung Air Mati, Lambor Kanan... Sampai pula ke makam Sultan Perak ke sepuluh, Sultan Muzaffar Shah II atau Marhum Jalilullah lalu singgah sebentar.
Sebenarnya Pak Uteh, suami kepada adik ayah di Teluk Intan ada menyarankan supaya melawat sebuah makam di sekitar Lambor Kanan. Cuma dia tak tahu makam siapakah itu dan belum pasti jika mahu singgah. Lagipun sekitar kawasan itu sahaja terdapat beberapa makam Sultan termasuk Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah I (memerintah 1528-1549) dan Sultan ke 13, Sultan Muzaffar Shah III (memerintah 1728-1754)... Maka apakah yang membuat Rasyid terpanggil untuk pergi ke makam Sultan Muzaffar Shah II? Apakah kerana ia terletak di kawasan kebun yang terpencil? Tidak seperti kebanyakan makam yang pernah diziarahinya, makam itu adalah satu-satunya kubur di situ. Di batu nesan bahagian kepala pula terdapat sebuah busut besar yang agak menakutkan...
Apabila pemuda itu melangkah masuk kawasan makam, tiba-tiba angin menderu kuat sehingga daun-daun jatuh berguguran seperti hendak ribut. Nasib baik ia reda apabila dia memberikan salam lalu menghadiahkan Fatihah. Apakah makna di sebalik kejadian itu? Mungkin ada kaitan dengan pencarian Rasyid untuk memahami erti dirinya yang sejati?
Paling menarik dalam perjalanan ini adalah penemuan tidak sengaja makam Sultan Perak kedua, Sultan Mansur Shah ibni Sultan Muzaffar Shah I di Kota Lama kanan yang akan memberikan jawaban kenapa keluarga Nenek boleh berasal daripada Batubara atau Batu Bahara yang terletak di Sumatera, hampir 400km di selatan Aceh. Ini berlaku ketika menunggang motosikal besarnya melalui Sayong, Kuala Kangsar sehingga melepasi projek jambatan baru Sungai Perak yang belum siap ketika itu.
Setelah berjalan sekitar dua kilometer melepasi projek jambatan, tiba-tiba sahaja Rasyid terasa gelisah amat. Dia mesti melihat kuala Sungai Sayong... Kalau tidak, rasa tidak puas hati, terkilan. Tak tahulah kenapa…
Pemuda itupun berpatah kembali menghala ke Sayong. Apabila sampai ke sebuah lorong menghala ke tebing Sungai Perak, tergerak pula untuk masuk ke penghujung sampai ke sebuah kebun jagung. Di situ, Rasyid terjumpa seorang tua yang kelihatan sibuk mengerjakan kebun lalu bertanya arah manakah kuala Sungai Sayong. Beliau menuding ke arah hujung kebun... “Di belakang kebun inilah terletak kuala Sungai Sayong,” katanya.
Anak muda itu terus bergegas berjalan kaki menyusuri sempadan kebun. Ternampaklah kuala Sungai Sayong bertemu dengan Sungai Perak... Lebih kecil daripada kuala Sungai Gombak di Masjid Jamek Kuala Lumpur. Tidak ada apa yang istimewa, sekadar kuala sungai yang berlumpur.
Demi memuaskan hati, Rasyid berjalan lagi sampai betul-betul ke kuala yang berlumpur itu. Dia berdiri sejenak menghirup udara lalu menyentuh sedikit air kuala. Barulah terasa puas hati... Semasa keluar dari kebun, orang tua tadi masih ada. Pemuda itu tergerak pula untuk bertanya jika ada apa-apa cerita pelik mengenai kawasan ini. Orang tua itu menjawab tidak jauh dari situ, terdapat sebuah masjid yang didirikan di atas tapak sebuah masjid lama. Masjid lama itu pernah cuba dibakar pihak Inggeris tetapi tidak tahulah apakah sebabnya, api tidak dapat dinyalakan...
“Mungkin berkat orang alim yang duduk di situ?” tambahnya.
Rasyid bertanyakan arah ke masjid ini lalu bergegas ke sana. Sampai sahaja di perkarangan masjid, kelihatan sebuah makam besar yang agak terserlah di kawasan perkuburan halaman masjid selain sebuah meriam lama yang kelihatan antik. Makam ini memang nampak menonjol lain dari yang lain... Dia pun berkira inilah makam orang alim yang barakahnya telah menyebabkan masjid itu terselamat daripada dibakar Inggeris. Eloklah singgah sebentar untuk memberi salam dan menghadiahkan Fatihah.
Sedang pemuda itu berjalan ke makam tersebut, tiba-tiba timbul rasa hendak membuang air kecil pula. Dia terus bertukar arah ke tandas demi melangsaikan hajat... Dengan masih memakai but kulit menunggang kuda yang tingginya sampai ke lutut, hadiah daripada Pasukan Polis Berkuda Putrajaya semasa bertugas sebagai wartawan dahulu, but yang kadang-kala dipakai ketika menunggang motosikal jarak jauh.
Rasyid cuma mahu singgah sebentar di masjid itu sebelum meneruskan perjalanan. Malas hendak membuka but kerana memakan masa, banyak sangat buckle, pengancing atau ikatan yang perlu dileraikan, kemudian mesti diikat kembali kemas. Selesai itu, dia mencuci but di sebelah luar, setakat untuk memastikan tidak ada percikan najis yang terlekat. Entah kenapa, keluar sahaja daripada tandas, pemuda itu terasa seperti stokinnya lembab... Sedangkan but itu kalis air dan tingginya sampai ke lutut...
Mula-mula Rasyid buat tak tahu. Terus berjalan ke makam lalu berdiri sejenak untuk menghadiahkan Al-Fatihah. Selepas itu baru berpatah balik ke kawasan tandas dan tempat berwuduk untuk membasuh muka. Tetapi makin dibiarkan makin terasa tidak selesa. Stokin itu masih terasa lembap malah basah sedangkan pemuda itu pula makin terasa gelisah.
Mahu tidak mahu, terpaksa juga dibuka but dengan pengancingnya satu demi satu. Satu di buku lali, tiga di bahagian atas. Kanan campur kiri, lapan pengancing kesemuanya. Itupun perlu dibuka perlahan-lahan disebabkan bahagian lidah yang panjangnya sampai ke lutut agak keras... Rasanya adalah dekat lima minit baru dapat membuka but seluruhnya…
Bila sudah dibuka, tenyata tiada bahagian yang basah baik dalam but atau stokin mahupun mana-mana di kaki kiri dan kanan. Ah... dia kena tipu agaknya. But ini kalis air, kenapa pula boleh terasa basah di dalam? Tapi siapa pula hendak menipunya? Bukankah ini tempat orang alim? Tiba-tiba hatinya terbetik. Mungkin pemuda itu perlu masuk ke masjid? Nampaknya begitulah... But sudah dibuka, stokin pun sudah. Apa salahnya masuk ke dalam sebentar? Lagipun dia sedang letih, boleh juga berbaring…
Rasyid masuk membawa beg galas besar yang selalu menjadi teman kembaranya di jalanan. Kalau tak silap ingatan, semasa itu pagi, baru jam 11... Ada banyak masa untuk sampai ke destinasi sebenarnya hari itu iaitu makam Tok Temong di utara Kuala Kangsar. Dia pun keluar mengambil wuduk... Buat solat Tahiyatul Masjid kemudian berbaring di tengah masjid, berbantalkan beg galas. Tup... tup... terus pemuda ini terlelap...
Sejam kemudian, baru Rasyid tersedar. Dalam keadaan sedikit mamai akibat baru bangun tidur, matanya mula melilau melihat sekeliling masjid. Tiba-tiba pandangannya terpaku ke satu bahagian tertentu, satu saf di belakang sejadah yang menandakan tempat imam, sekitar lima makmum ke kanan. Eh... Batu nesan! Benarkah apa yang dilihat? Kenapa boleh berada di dalam masjid? Sebatang pula itu, bukannya sepasang! Apakah dia sedang bermimpi atau diberikan sebuah bayangan? Ketika itu tidak ada orang lain di dalam masjid. Apakah dia sahaja yang boleh nampak?
Pemuda ini menggosok-gosokkan kedua-dua biji matanya... Batu nesan itu masih kelihatan. Dia pun bangun untuk meneliti lebih dekat. Batu nesan itu terasa solid, kukuh dan nyata bila dipegang. Ia tertanam kukuh ke lantai masjid, tidak boleh digoyang-goyangkan…
Apapun, samada batu nesan itu betul-betul wujud atau tidak, Rasyid terasa perlu untuk membacakan Surah Al-Fatihah dan Ya Sin, dihadiahkan kepada pemilik batu nesan yang dia pun tidak tahu entah siapa… Mungkin orang alim yang disebut orang tua tadi? Bagaimana pula makam di luar masjid? Yang mana satu milik orang alim yang dimaksudkan?
Dipendekkan cerita, memang terdapat sebuah batu nesan terpacak di dalam Masjid Kota Lama Kanan... Rasyid dapat tahu apabila beberapa orang penduduk tempatan sampai ke masjid untuk menunaikan solat Zohor. Merekalah yang menyatakan batu nesan tersebut adalah milik Sultan Perak kedua, Sultan Mansur Shah ibni Almarhum Sultan Muzaffar Shah (memerintah 1549-1577). Tetapi ini bukan bermakna baginda mangkat di situ. Ia sekadar menandakan tempat baginda ghaib sahaja...
Sultan Mansur Shah dikatakan ghaib ketika sedang menunaikan solat Jumaat di masjid itu. Sebab itu tempat baginda ghaib ditandakan dengan sebuah batu nesan, bukannya sepasang. Kata salah seorang ahli jemaah masjid pula, ada cerita lama menyebut baginda hilang diculik tentera Aceh. Sejarah rasmi yang dibaca Rasyid ada menyatakan Aceh pernah menyerang Perak sekitar tahun 1570an atau 1580... Lebih tepat lagi selepas 1577 yang dianggap sebagai tahun kemangkatan Sultan Mansur Shah. Tidak tahulah pula bagaimana baginda boleh diculik di tengah-tengah orang ramai yang menunaikan solat Jumaat... Ada pula yang berkata ia berlaku atas permintaan Sultan Mansur sendiri yang mahu meninggalkan Istana Perak!
1 ulasan:
Nice sshare
Catat Ulasan