Pagi tadi saya ke Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Ada forum sastera "Hang Tuah wira bangsa".
Ada yang bertanya tak cukupkah Seminar Antarabangsa Hang Tuah yang diadakan di Melaka 8 hari lalu? Jawabannya forum di DBP ini dijangka ada extra oomph kerana ia dihadiri oleh Tan Sri Profesor Emeritus Dr Khoo Kay Kim, pakar sejarah dari Universiti Malaya yang mencetuskan polemik tentang kewujudan Hang Tuah.
Biar saya panggil dia Prof KKK sahaja ya sebagai singkatan. Suka hati le kalau orang lain nak tambah jadi kokak ke kengkang ke kangkung. Beliau diberitakan pernah menyebut pada pihak media bahawa Hang Tuah tidak wujud. Tentunya ramai ingin mendengar daripada mulut beliau sendiri apakah alasan beliau berkata begitu.
Kalau betul KKK menafikan kewujudan HT (Hang Tuah pun saya singkatkanlah jugak kot... sekali sekala... :] ), maka ramai berharap akan bertemu buku dengan ruas. Turut menjadi ahli panel adalah Prof Emeritus Datuk Wira Mohd Yusoff Hashim (kiri) dan SN (Sasterawan Negara) Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh (tiga dari kiri). Ramai sedia maklum kedua-duanya amat menyokong kewujudan Hang Tuah. Pengerusi adalah Prof Dato' Dr Md. Salleh Yaapar dan saya percaya beliau juga pro HT.
Prof KKK memulakan bicara dengan sopan dan teratur. Ternyata beliau memang seorang pakar akademik yang berwibawa, pandai bermain ilmu saikologi untuk menari minat khalayak. Apabila beliau membuka langkah dengan berkata "Saya tidak pernah menyebut Hang Tuah tidak wujud" orang berjiwa Melayu seperti saya mungkin cepat mahu memaafkan. Mungkin kata-kata beliau dahulu tersilap dipetik orang atau sengaja diputar-belitkan pihak berkepentingan untuk menimbulkan polemik yang kelihatan memang bertujuan mahu menggugat hak orang Melayu.
Maaf ya jika ayat tersebut tidak tepat kerana saya tidak mencatat atau mengingat secara ad verbatim. Mungkin yang dikatakan itu adalah "Saya tidak menyebut Hang Tuah tak wujud". Saya nyatakan ini agar ada atau tidak perkataan 'pernah' jangan dijadikan isu. Sebaliknya fahamkan makna tanpa perlu terlalu teliti setiap perkataan mesti diatur seperti diucapkan. Kadangkala kita terpaksa berurusan dengan orang bersifat loyar buruk. Disebabkan tersilap menyebut Azman jadi Asman kes boleh digugurkan atas hujah ia merujuk kepada orang berlainan sedangkan hakikatnya semua orang tahu ia adalah orang yang sama, cuma kita sahaja tersilap ejaan.
Yang nyata KKK begitu pakar sehingga dapat menyebut sejumlah contoh-contoh orang Melayu yang pernah berjaya di persada antarabangsa termasuk dalam bidang sukan. Sekali lagi saya tidak ingat nama-nama kerana tidak membuat catatan. Saya mahu menumpukan pencernaan pada hal yang saya rasa lebih penting dan ini dibuat menurut gerak rasa dalaman. Tetapi kalau tak salah beliau ada menyebut tentang orang Melayu yang pertama jadi ahli tinju, pertama jadi doktor, pertama masuk Universiti Oxford, pertama main ragbi bersama orang Eropah dan sebagainya. Melihat pada ini hampir sahaja kita boleh terpujuk menganggap KKK sebagai seorang yang memandang tinggi pencapaian orang Melayu.
Sisi lain yang menunjukkan kepercayaan sebenar beliau cuma dapat dihidu dan diduga setelah beliau habis memuji Melayu-melayu tersebut. Dalam pada mengatakan betapa Tanah Melayu yang kita cintainya ini begitu unik kerana memiliki 9 orang pemerintah (yang mana 7 memakai gelaran Sultan, seorang Raja Perlis, seorang lagi Yang Dipertuan Negeri Sembilan tetapi KKK terlupa menyebut ini) beliau kelihatan menyanjung tinggi Inggeris kerana membenarkan institusi beraja terus wujud di sini, tidak menghapuskannya seperti terjadi di India misalnya. Dari situ beliau kelihatan membina premis yang menarik minat kita! Raja-raja Melayu dikatanya mendapat daulat disebabkan mereka berketurunan Raja Iskandar Zulkarnain dan pada satu lapis ini kelihatan seperti mengiktiraf kebesaran orang Melayu. Kemudian baru 'bom' dilepaskan... katanya Hang Tuah tidak penting kerana kedaulatan Raja-raja Melayu sudah cukup untuk menyokong keberadaan orang Melayu.
Maka itu apabila tiba giliran panelis kedua, Prof Mohd Yusof berkata-kata beliau memulakan dengan menyebut betapa insan bernama Hang Tuah ini harus dilihat dalam konteks jawatannya sebagai Laksamana. Katanya kitab Suma Oriental karangan Portugis ada menyebut mengenai Laksamana. Laporan Tom Pires selepas penaklukan Melaka 1511 pula menyebut, selain Bendahara, orang paling penting adalah Laksamana. Walaupun nama Hang Tuah tidak disebut, khalayak harus maklum bahawa yang menjadi Laksamana pada masa yang dirujuk adalah Hang Tuah.
Dalam tradisi penulisan orang Melayu sendiri seperti terdapat dalam kitab Sulalatus Salatin, nama Hang Tuah tidak lagi disebut setelah mendapat jawatan Laksamana. Yang disebut adalah Laksamana sebagai ganti nama dan ini harus menjadi bukti akan kewujudan Hang Tuah, bukan sekadar khayalan dalam minda masyarakat Melayu. Kemudian baru Prof Yusof menyanggah kenyataan KKK bahawa Raja Melayu kononnya cukup sebagai simbol kedaulatan Melayu. Kata beliau, selain raja mesti ada pembesar dan rakyatnya sekali barulah wujud kedaulatan itu. Beberapa kata pujangga tentang hubungan raja dengan rakyat pun diberi sebagai contoh, antaranya bagaimana raja itu seperti pohon, rakyat seperti akar.
Kemudian baru dipanjangkan peranan pembesar dalam dinamika perkembangan kerajaan Melaka. Walaupun pembesar yang dianggap paling penting adalah Bendahara sebagai pemikir, pelaksana polisi adalah Laksamana. Ini menjadi lebih penting apabila mengenangkan Melaka adalah kerajaan maritim di mana kebanyakan perusahaan baik perdagangan mahupun peperangan untuk mengembangkan empayar berlaku atas laut. Dalam konteks itu Laksamana sangatlah penting kerana beliau adalah raja di laut. Jika di darat beliau tidak boleh membunuh tanpa mendapat perkenan raja, di laut pula beliau boleh berbuat begitu atas pertimbangan sendiri. Pendek kata tanpa kewujudan Laksamana Hang Tuah, Melaka tidak akan dapat berkembang menjadi empayar besar dengan kota perdagangan dan pelabuhannya yang pesat itu.
Seterusnya sampai giliran panelis ketiga Prof Muhammad Haji Salleh mengemukakan pandangan atau pengkajian. Oh. Sebelum itu, pengerusi majlis Prof Salleh Yaapar (nama macam serupa tapi seorang Muhammad bin Haji Salleh, seorang lagi Salleh bin Yaapar, tiada perhubungan bapa dan anak ya... :]) menyebut tentang perjalanan Hang Tuah ke India seperti disebut dalam Hikayat Hang Tuah lalu berjumpa dengan angkatan Portugis. Kemudian baru Prof Muhammad mengupas persoalan. Sebagai seorang Sasterawan Negara tentunya beliau mengambil pendekatan sastera...
Kata Prof Muhammad terdapat 5 sumber utama tentang Hang Tuah :-
1. Kitab Sulalatus Salatin (nota saya - kitab yang juga dikenali sebagai Sejarah Melayu, karangan Bendahara Johor Tun Sri Lanang, dipercayai mula dikarang tahun 1612 Masihi)
2. Kitab Tuhfat al-Nafis (karangan Raja Ali Haji, cucu kepada Raja Haji Sabilillah yang mangkat melawan Belanda di Melaka 1784. Kitab harus ditulis abad ke 19 Masihi).
3. Hikayat Hang Tuah (secara rata tidak diketahui pengarangnya tetapi ada satu versi katanya ditulis Tun Kolah, sepupu HT yang katanya terkorban ketika melawan Portugis awal abad ke 16, versi lain-lain pula dikatakan dikarang abad ke 19 atau kemudian)
4. Cerita-cerita lisan (tidak boleh diletak jangka waktu kecuali selepas Hang Tuah wujud abad ke 15)
5. Filem/komik dan lain-lain (harus wujud abad ke 20 dan kemudian).
Menurut beliau terdapat 25 buah naskah manuskrip lama Hang Tuah dengan 4 terdapat di perpustakaan (sila betulkan kalau saya tersilap kerana semasa dia menyebut ini minda saya menerawang sebentar ke tempat, mungkin alam lain) dan 1 di DBP. Ada lebih 40 Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin sedangkan ratusan cerita lisan masih lagi ditulis di kepulauan Melayu (sekali lagi saya kurang dengar). Dalam SS selanggaran A. Samad Ahmad nama HT disebut 128 dalam 6 bab, dalam Tuhfat 2 kali sementara dalam HHT ribuan kali. Ini seharusnya menunjukkan betapa insan bernama Hang Tuah itu wujud secara nyata, bukan setakat cerita-cerita khayalan belaka.
Saya sudah lupa apa yang disebut seterusnya. Kemudian sampai giliran panelis keempat Dr Lalita Sinha. Memperkenalkan dirinya sebagai anak murid Prof Muhammad beliau mungkin berseloroh apabila menyebut dirinya yakin akan kewujudan Hang Tuah apabila awal pagi memilih untuk menaiki LRT demi mengelakkan kesesakan lalu lintas lalu mendapati dirinya turun di stesyen Hang Tuah (di Jalan Hang Tuah, terdekat dengan DBP selain stesyen monorail Maharajalela berhampiran Stadium Merdeka). Dr Lalita memilih untuk bercakap tentang Hang Tuah ke India (seperti disebut dalam HHT) dari aspek spiritual tetapi nampaknya lebih mengenengahkan beberapa kepercayaan Hindu sebagai nilai sejagat yang kelihatan tersirat dalam pengembaraan HT itu.
Sampailah sesi soal jawab dan/atau berkongsi pandangan. Ia dimulakan oleh tokoh Ma'al Hijrah tahun 2005 (saya semak di Google tadi), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady. Oh. Salah satu perkara yang disebut panelis (Prof Muhammad kalau tak salah ingatan, saya tak pasti sebenarnya) adalah tentang pertarungan antara Hang Tuah dengan Hang Jebat (dalam Sulalatus Salatin disebut dengan Hang Kasturi). Kata panelis itu, Hang Tuah memperjuangkan institusi diraja yang mana tanpanya akan runtuhlah seluruh kerajaan dan institusi kemasyarakatannya.
Dr Uthman pula melanjutkan dari pernyataan Dr Lalita bahawa HHT mengandungi cerita proses penyucian jiwa untuk kembali kepada diri sebenar mendekati Sang Pencipta. Maka tokoh ulamak itu menyebut Hang Tuah mewakili perjalanan Nafsu Mutmainnah (jiwa yang tenang) sedangkan Hang Jebat mewakili Nafsu Ammarah (yang mengandungi sifat-sifat buruk seperti pemarah dan gopoh, kedua-dua bentuk nafsu disebut antara tujuh tahap nafsu dalam huraian ilmu Tasawuf atau spiritual/kebatinan Islam).
Ini pula adalah Prof Dato' Dr Wan Hashim Wan Teh. Beliau menyebut tentang satu surat yang dibacanya dalam akhbar The New Straits Times. Katanya surat itu menyebut terdapat bukti dari Okinawa, Jepun tentang kewujudan keris Hang Tuah di Pulau Ryukyu. Dan HT pernah datang ke sana bersama kapalnya (menepati cerita dalam HHT).
Selepas itu ada 4 atau 5 hadirin lain berkongsi pandangan sebelum saya diberi peluang menyatakan pandangan/soalan terakhir. Memperkenalkan diri sebagai penulis buku dan bekas wartawan NST kali ini saya tergerak untuk turut menyebut batang tubuh ini sebagai generasi kelima keturunan Laksamana Muhammad Amin yang dibuang ke Pulau Seychelles (rujuk artikel lama Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam diraja Bukit Chandan... dan Laksamana kembali ke Perak). Saya memulakan dengan menyebut pandangan peribadi bahawa tindak tanduk Hang Tuah yang dikatakan membuta tuli taat terhadap segala titah perintah raja itu adalah berkaitan dimensi Tasawuf juga... bahawa HT melihat raja sebagai zilullah fil alam, bayangan Allah di muka bumi dan titah perintah baginda dianggap sebagai kalam daripada Allah jua. Kemudian baru saya menyebut panjang lebar bahawa perbezaan cerita yang terdapat dalam Sulalatus Salatin berbanding Hikayat Hang Tuah sehingga yang satu kata Hang Tuah melawan Jebat, lagi satu kata lawan Kasturi adalah disebabkan ada persaingan merebut pengaruh antara keluarga/kelompok Bendahara dengan Laksamana.
Saya menyebut 2-3 contoh persaingan yang tertulis dalam Sulalatus Salatin tetapi terlupa menyebut satu yang paling besar. Selepas makan tengah hari baru saya berkongsi contoh tersebut dengan Prof Muhammad. Adapun Sulalatus Salatin menyebut kejatuhan Melaka berlaku tidak lama selepas Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir dibunuh berserta hampir seisi kaum keluarganya akibat fitnah. Sebenarnya berlaku beberapa rentetan peristiwa sebelum timbul nama-nama pengkhianat berbangsa Keling seperti Si Kitul dan Raja Mendeliar yang mengadu-domba. Laksamana (ketika bukan lagi Hang Tuah, kalau tak salah menantunya Khoja Hassan yang dalam SS versi Raja Bongsu disebut Khoja Husin) termakan fitnah lalu mengadu pada raja mengatakan Bendahara hendak menderhaka merebut kerajaan dan inilah yang menyebabkan hampir seisi keluarga Bendahara dibunuh.
Berbalik pada sesi perkongsian/soalan forum. Adapun semasa pembentangan Prof KKK ada menyebut kita sepatutnya melebihkan bercerita tentang sejarah selepas pertengahan abad ke 19. Mereka yang peka tentu dapat menangkap apa yang dimaksudkan adalah sejarah selepas kedatangan Inggeris ataupun British (Inggeris secara definisinya adalah salah satu kaum dan kerajaan di bawah nama besar kerajaan gabungan Britain yang warganya dipanggil British. Tetapi hakikatnya kerajaan yang turut mengandungi negeri-negeri Wales dan Scotland itu rata-rata dikuasai orang Inggeris). Semasa itulah kaum-kaum bukan Melayu dibawa secara besar-besaran ke Tanah Melayu untuk membentuk keadaan sosio-politik sekarang yang semakin menggugat keberadaan orang Melayu. Di atas tadi saya ada menyebut KKK memuji tokoh-tokoh Melayu bukan? Tetapi apabila difikirkan kembali, ia adalah cara halus untuk cendekiawan berketurunan Cina ini menegaskan agenda tersiratnya.
Sesungguhnya tokoh-tokoh Melayu yang disebut itu diberi penghormatan sebegitu rupa setelah MENDAPAT PENGIKTIRAFAN INGGERIS. Mahu sahaja saya menambah bahawa kata-katanya tentang 9 orang pemerintah Melayu disokong Inggeris yang kononnya menunjukkan keprihatinan penjajah (KKK seperti tidak mahu memanggil mereka penjajah tetapi sebagai pelindung ataupun penaung) sedangkan ramai antara pengkaji Melayu tahu bahawa 9 pemerintahan itu terbit antaranya disebabkan polisi pecah dan perintah Inggeris. Misalnya selepas Empayar Johor-Riau-Lingga dipecah dua melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Inggeris menyokong temenggung untuk menerbitkan keSultanan Johor yang terpisah daripada empayar, begitu juga halnya Bendahara menaiki takhta Pahang lalu memakai gelaran Sultan. Dan kami tahu yang diangkat itu adalah para pemerintah pilihan Inggeris. Sedangkan ada waris-waris lebih afdhal disisihkan.
Pada kami Inggeris menyokong Raja-raja Melayu dan tidak menjatuhkannya bukan kerana mereka baik hati. Mereka sebenarnya tahu percubaan untuk menghapuskan institusi tunjang keMelayuan ini akan memberi akibat yang sangat buruk kepada mereka... orang Melayu akan mengamuk dan akan jadi tidak terkawal. Sebaliknya mereka memilih raja-raja yang 'progresif' (baca : boleh mengikut kehendak malah budaya Inggeris. Maaflah saya berterus-terang. Saya pun daripada nasab raja-raja juga. Banyak raja-raja pilihan Inggeris ini kemudian kuat minum arak). Raja-raja pun digunakan untuk memujuk orang Melayu agar sedia menerima program 'kemajuan' Inggeris (sebenarnya program mengubah keadaan sosio-politik Alam Melayu... satu social engineering besar agar bangsa kita terpinggir, bangsa lain pula dapat naik agar kebangkitan Islam daripada Timur dapat dikekang menurut program besar Yahudi Zionis Illuminati).
KKK ada menyebut bagaimana masyarakat Cina kononnya (perkataan saya) lebih terbuka dan fleksibel. Dia memberi contoh bagaimana segala macam dialek bahasa Cina yang banyak itu kemudian disatukan dengan penggunaan dialek Mandarin yang berasal daripada Manchu, dahulu sebuah kerajaan tersendiri yang dimusuhi orang Cina. Katanya di Singapura tidak ada dialek lain lagi kecuali Mandarin. KKK pun bertegas... inilah contoh keterbukaan dan fleksibelnya orang Cina yang kita orang Melayu harus contohinya. Beliau walaupun secara berseloroh turut menambah, orang Cina boleh makan apa sahaja kecuali kerusi dan meja dan itu termasuk contoh keterbukaan (yang nampaknya dikaitkan dengan kemajuan).
Apa maknanya ini tuan-tuan dan puan-puan? Ini secara halus menunjukkan orang Melayu itu 'kurang' berbanding orang Cina menurut pandangan beliau. Teringat saya awal tahun lepas, bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew ada menyebut orang Melayu janganlah terlalu keras menjaga pengamalan agama Islam supaya dapat bercampur baik dengan kaum lain. Kelihatan saranan ini seperti mahukan orang Melayu selesa duduk semeja dengan orang Cina ketika kaum bukan Melayu itu minum arak atau makan babi. Kalau tidak mereka dikira mundur dan akan terus mundur belaka. Ingat lagi reaksi orang Melayu Singapura ketika itu? Saya ada menyebut sedikit dalam artikel lama Isi perlembagaan Singapura yang bakal memangkin kebangkitan Melayu?.
Berbalik pada bab Hang Tuah. Selepas menyebut wira bangsa ini tidak begitu penting berbanding kedaulatan raja yang katanya bersumber (cuma) daripada nasab keturunan Raja Iskandar Zulkarnain KKK mengakhiri pembentangannya dengan menyebut sejarah haruslah ditulis berdasarkan fakta bukannya fable (dongengan). Tu dia. Dah nampak belangnya. Walaupun ada banyak lagi perkara boleh ditanya, kekangan masa menyebabkan saya mengenengahkan ini sahaja kepada KKK - apakah posisi sebenar Prof tentang kewujudan Hang Tuah? Kerana tadi Prof menyatakan bahawa Prof tidak pernah menyebut HT tidak wujud. Namun akhirnya Prof berkata sejarah harus ditulis berdasarkan fakta bukannya fable (kelihatan dibayangkan secara tersirat sebagai fable adalah HT... HT memang diakui wujud pada KKK tapi dalam fable, paling kuat pun dalam sastera sahaja). Kemudian apa yang Prof mahu dalam kurikulum sejarah yang diwajibkan lulus untuk SPM bermula 2013? Berapa peratus agaknya tentang hal-hal seperti kerajaan Melayu Melaka, berapa pula hal kemudian (misalnya selepas penjajahan British yang mana KKK tak mahu mengakui sebagai penjajahan).
Oh. Apabila teringat pasal penjajahan ini mahu sahaja saya bertanya apa pendapat Prof kalau ada orang tampar muka Prof tetapi mengaku cuma mahu menghalau nyamuk yang menghisap darah di muka Prof? Kerana pada saya itulah hakikatnya penjajahan Inggeris di Tanah Melayu. Atas kertas mereka tidak pernah menjajah malah menjadi 'penaung dan pelindung' yang 'memajukan' kita. Tetapi hakikatnya. Ah. Orang yang nenek moyangnya (atau dirinya sendiri!) masih bergelar rakyat British sebelum 31 Ogos 1957 mana faham rasa kesetiaan sebenar terhadap tanah air ini? Tanah mereka tidak dirampas, tanah kita yang dirampas dan mereka sebenarnya mendapat untung daripada polisi penjajah ini. Nasib baiklah saya masih dapat mengawal amarah dan tidak menimbulkan persoalan secara begini...
Apapun saya dapati jawaban KKK seperti membuat 'korner baring'. Tanpa menyatakan dengan tepat beliau percaya atau tidak akan kewujudan HT lagi, Prof Cina ini mengulangi pendiriannya bahawa sejarah harus ditulis dengan fakta yang boleh dibuktikan secara 'empirikal' ataupun saintifik sahaja. Lainlah kalau sastera tambah beliau. Tulislah apa sahaja kamu mahu tetapi ia belum tentu boleh dijadikan sejarah. Kemudian beliau mengulangi kembali peranan Inggeris dengan nada yang memuji... tentang 9 pemerintah atau Raja-raja Melayu yang disokong Inggeris ditambah pula definisi Melayu dalam perlembagaan yang terbit ketika mahu membuat enakmen tanah simpanan Melayu atau Malay Reserve Land 1913. Ah. Inggeris baginya begitu baik dan berjiwa besar. Seolah-olah tanpa mereka institusi diraja tidak akan dapat dipertahankan dan tanah simpanan Melayu pun tidak akan ada.
Saya rasa cukuplah. Anda harus dapat mengagak apakah pendirian sebenar KKK. Dia bukan bodoh. Pada saya kalau dia mahu dia boleh mengorek lebih lanjut sumber-sumber sejarah daripada Dinasti Ming Cina atau sumber Portugis dan Belanda untuk membuktikan Hang Tuah itu wujud sehingga memuaskan piawaian empirikal yang selalu disebut-sebutnya. Ini tidak. Pandainya beliau memperkecilkan peranan Hang Tuah dengan menaikkan kedaulatan Raja-raja Melayu sebagai semata-mata bersumber daripada nasab keturunan Raja Iskandar Zulkarnain. Siapa tahu esok lusa apabila percubaan mengeluarkan nama dan kisah Hang Tuah daripada buku sejarah berjaya, Raja-raja Melayu pula akan diserang sebagai mitos?
Kalau kewujudan Hang Tuah pun mahu dipertikaikan betul ke KKK percaya Raja-raja Melayu adalah keturunan Iskandar Zulkarnain? Sedangkan itulah salah satu modal besar mereka yang anti-monarki, anti Raja-raja Melayu untuk mempersoalkan hak raja-raja memerintah. Bukankah pihak mereka selalu menyebut bahawa kaitan Raja-raja Melayu dengan Iskandar Zulkarnain itu cuma dakwaan yang dicipta untuk menaikkan prestij raja-raja kita? Kalau Hang Tuah sebagai tonggak kekuatan kerajaan berjaya dipatahkan, berapa lama agaknya raja-raja dapat bertahan? Fikirkanlah. Sesungguhnya KKK bukan tidak tahu semua ini. Seorang peguam handal yang sedang membela seorang pembunuh bukan tidak tahu anak guamnya jahat. Tetapi beliau sanggup membelitkan segala fakta, memperkecilkan kredibiliti lawan semata-mata untuk menang kes tak kiralah jika wujud imbuhan lain seperti wang dan kekuasaan.
Nota : Awal pagi jam 4 selepas menyemak kembali artikel ini baru saya teringat. Selepas menyebut daulat Raja-raja Melayu berasal daripada nasab keturunan Iskandar Zulkarnain KKK menambah bagaimana daulat kemudian boleh disampaikan oleh seorang raja kepada yang lain. Lalu disebut bagaimana Raja Lumu (ibni Raja Haji ibni Daeng Chelak) mendapat daulat untuk menjadi Sultan pertama Selangor (Sultan Salehuddin pertengahan abad ke 18 Masihi) dengan pengiktirafan Sultan Mahmud Perak yang dibuat di Lumut. Dalam pada itu beliau menyebut Sultan Johor mendapat daulat daripada Queen Victoria England dan Raja Perlis dari Raja Siam. Agak-agak le apakah yang mahu disampaikannya secara tersirat?
KKK pada akhir jawaban kepada soalan saya tentang posisi sebenar beliau berkenaan kewujudan Hang Tuah ada menyebut dalam rekod Cina tidak disebut langsung bab pernikahan Puteri Hang Li Po dengan Raja Melaka. Katanya orang Cina tidak percaya pun cerita ini. Jadi siapakah yang dibawa ke Melaka dari Cina bersama kira-kira 500 dayang dan pengikut lalu ditempatkan di Bukit Cina? Siapakah yang disebut dikahwini Sultan Mansur Shah dalam kitab Sulalatus Salatin mahupun Hikayat Hang Tuah?
Saya ada teori sendiri tentang siapa itu Hang Li Po (disebut Hang Liu dalam SS versi Raja Bongsu). Saya percaya beliau bukan anak Maharaja Cina zaman itu, mungkin anak pembesar, mungkin dayang, mungkin setakat bertaraf gundik sahaja. Saya percaya pernikahan memang berlaku tetapi dibuat untuk menguji Raja Melaka sambil menyatakan raja Melayu itu sebagai bawahan dari Cina. Maka itu terjadilah peristiwa dalam SS di mana Maharaja Cina akhirnya terpaksa mandi dan minum air basuhan kaki Raja Melaka untuk menghilangkan penyakit teruk akibat ketulahan menerima sembah daripada Raja Melaka.
Saya percaya Sultan Mansur Shah kemudian baru menyedari taraf sebenar 'puteri maharaja Cina' itu. Kalau puteri diraja tulen zaman itu mesti nama keluarganya adalah Zhu seperti halnya raja-raja Dinasti Ming. Sebab itu gelaran Hang yang sebenarnya membawa maksud hamba raja diberikan kepada Li Po. Ya. Hang bukan gelaran dari Cina. Dalam daftar nama-nama keluarga Cina tidak wujud langsung nama Hang, paling dekat adalah Hwang ataupun Huang sedangkan nama-nama gelaran Hang sudah wujud di Melaka sebelum berlaku lagi perhubungan dengan Cina.
Sebab itu Hang Li Po tidak pernah diletakkan setaraf permaisuri Melaka seperti halnya Raden Galoh daripada Majapahit misalnya. Anak hasil perkahwinannya dengan Raja Melaka, Paduka Mimat setakat diberi pemerintah kecil di Jeram, Selangor... bukan sebuah negeri pun, sama saja taraf pegangannya dengan anak-anak raja dari ibu gundik. Cerita sebegini apalagi disebut hal Maharaja Cina terpaksa minum air kaki raja yang awalnya dianggap lebih rendah daripadanya (sebab itu diberi perempuan bertaraf lebih rendah tetapi dihias seolah bertaraf puteri maharaja untuk mengelirukan pandangan awal) kalau benar pun HARAM (menggunakan bahasa kutu) akan disebut dalam rekod raja-raja Cina yang sering menganggap kerajaannya terbesar di dunia, rajanya paling utama.
Apapun apa yang saya nak sebut adalah KKK mengulangi sekali lagi apa yang sudah dinyatakannya kepada media sebelum ini - bahawa dia tidak percaya Hang Li Po dan cerita sekitarnya wujud. Fikirlah. KKK menyebut ini selepas saya bertanyakan posisi sebenar beliau tentang kewujudan Hang Tuah. Tidak disebutnya HT wujud atau tidak... tetapi selepas memberi sedikit 'korner baring' disebut lagi hal Hang Li Po tidak wujud sambil menambah masyarakat Cina pun tidak percaya tentangnya.
12 ulasan:
Kecil tapak tangan, tapak tangan Godzilla hambar tadahkan. Ya lah. Takkan nak suakan tapak tangan gajah atau ikan paus pulak? :]
Assalamualaikum...
Setiap sesuatu yg terjadi Allah Jalla Wa Azza telah tetapkan... Anggaplah kenyataan prof. kkk sebagai satu titik baru bagi umat melayu utk kembali bangkit...
Mudah2an ada sinar di dalam huraian. BUKU BERTEMU RUAS..
Terima kasih
Saya sebenarnya lebih kagum dengan mereka yang mengkaji sejarah atas sebab keinsafan apa yang telah berlaku kepada anak bangsa mereka....
Nampaknya isu Hang Tuah sudah menjadi satu senjata yang lebih berbahaya kepada orang Melayu. Kerana Hang Tuah adalah superhero Melayu nombor satu satu masa dahulu. Hang Tuah adalah simbol yang telah banyak menerapkan semangat spiritual keperwiraan serta jatidiri kepada bangsa Melayu. Seingat saya tiada satu raja atau sultan pun yang diangkat sebegitu tinggi setanding dengan Hang Tuah dalam peranan memartabatkan bangsa Melayu.
Nah! Inilah masanya untuk menggunakan strategi bukti sebagai menidakkan kewujudan Hang Tuah. Apakah perkara ini telah terancang sedari awal lagi oleh pencinta Inggeris atau telah dirangka sendiri oleh Inggeris?
Saya sendiri bukan ahli atau pakar dalam bidang sejarah mahu pun penulisan. Bagaimana pun saya meyakini (tetap yakin!!!) dengan kewujudan Hang Tuah. Jika diminta bukti kewujudannya, sudah pasti saya tidak mampu untuk meyediakannya bukti tersebut.
Keluarga saya bukan berasal dari negeri masyhurnya Hang Tuah itu. Tetapi orang tua-tua dalam keturunan saya bukannya suka menyampaikan berita kosong kepada anak cucu mereka. Pengajian pondok dan pengajar pondok agama adalah latarbelakang mereka. Cerita mereka berkisar kepada agama, sejarah dan teladan. Dari merekalah saya mendapati kisah Hang Tuah ini benar wujud. Saya yakin dengan cerita datuk nenek saya, yang telah wafat puluhan tahun dahulu. Dari merekalah saya insaf dan melihat apayang yang dikatan mereka itu benar-benar terjadi hari ini... sebelum bangkit kita akan jatuh terlebih dahulu, sekarang kita telah lama jatuh....
Naluri saya sendiri berkata bahawa Hang Tuah itu bukannya dari sembarangan keturunan.... ilmu yang diperolehi beliau pun hanya mereka yang layak menerimanya sahaja barulah mampu memilikinya...
Ringkasnya untuk mengenali Hang Tuah, kita akan terperangkap apabila menyelidiki sejarahnya dalam ruang lingkup menggunakan sistem pendidikan barat semata-mata.
Apa yang SAUDARA RADZI sampaikan sebenarnya sudah hampir merangkumi keseluruhan intipati sebenar, bagi mereka yang memahaminya. Penyampaian berisi semangat dalaman yang kuat, bukannya dengan harapan untuk mendapatkan merit bagi kenaikan gaji atau pangkat... :) Inilah dinamakan keinsafan terhadap sejarah.
Seperkara, saya tidak menolak kaitan keturunan raja-raja Melayu dengan Iskandar Zulkarnain. Sebenarnya kita dilupakan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah manusia terpilih dan paling lengkap dari kalangan mereka sebelum baginda. Lihatlah bumi Nusantara ini setelah kedatangan Islam. Siapakah asal keturunan Kesultanan Acheh, Champa, Patani sehinggalah ke kepulauan Indonesia. Lihatlah keturunan Khalifah atau sultan di zaman keagungan Islam di negeri-negeri Arab. Siapakah asal usul keturunan keturunan mereka... Bukankah mereka itu dari anak cucu Rasulullah SAW itu. Cara kejatuhan kesultanan / empayar mereka pun hampir sama dengan cara kesultanan Melayu dijatuhkan.... Saya yakin SAUDARA RADZI lebih arif akan hal ini berbanding saya...
"mereka" ini sebenarnya sedang menjalan agenda, hapuskan Islam untuk terus menegakkan kebathilan... Melayu adalah tumpuan utama mereka, kerana bangsa Arab sudah lemah diganyang (bangsa Melayu yang lemah lembut itu dahulunya telah bertahan sehingga ratusan tahun untuk dilemah serta dijatuhkan mereka, kerana apa... pegangan Islam yang kuat!!!)
terbaiklah bang ms, dan xlupa juga syeikh kerutuk...anda berdua mmg best.
saya setuju dgn ayat 'mereka sedang menjalankan agenda mereka'.
semoga kita belajar daripada kejatuhan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. jangan diulangi kesilapan yang lalu. InsyaAllah.
salam saudara,
saya rasa mereka memang ada agenda tersendiri.siapa yang dapat melihat keadaan sekarang pasti dapat melihat usaha mereka untuk menjatuhkan melayu...
siapa yang tak kenal dengan mereka,sepanjang sejarah orang melayu berinteraksi dgn mereka,sepanjang itula mereka berkhianat dgn kita...
mereka ibarat api dalam sekam,gunting dlm lipatan..
hati-hatila orang melayu...
bersatula dan pertahankan budaya kita
Assalamualaikum Tuan Radzi!
Dari awal lagi saya dah syak lain macam, bila Kerajaan putuskan mewajibkan subjek Sejarah, KKK ni cakap cerita pasukan hoki negara yang pernah layak ke Sukan Olimpik boleh dimasukkan dalam isi kandungan rombakan subjek sejarah di sekolah. Tak dinyatakan pula kepentingan pemahaman sejarah zaman sebelum pra-Melaka bagi membetulkan fahaman golongan Ultra-Kiasu yang menghina orang Melayu ni pendatang dari Indonesia.
Dan bila si KKK ni mendakwa Hang Tuah adalah fantasi, maka terurailah segala2nya siapa sebenarnya si KKK ni.
Kita sepatutnya bersyukur sebab dapat mengenali sifat sebenar KKK ni daripada dia terus menjadi musuh dalam selimut.
Yang peliknya, ada blogger Melayu yang berlagak macam pakar sejarah happy dan bangga gila dengan kenyataan KKK ni. Mungkin dia ingat bila KKK kata Hang Tuah ni mitos, maka KKK akan sokong dakwaan dia yang Hang Tuah ni adalah Maharaja Siam!
Dia tak sedar ke lepas ni KKK pun boleh cakap yang Merong Mahawangsa tu pun mitos sebab tak ada catatan langsung yang menyatakan Putera Rom pernah kahwin dengan Puteri China...
Apa nak jadik la dengan diorg tu... =/
IBNU RUSYDI
Aslmkm Tuan, kalau lihat di Indonesia sendiri ada nama universiti Hang Tuah http://www.hangtuah.ac.id/, pengasas Srivijaya sendiri ada nama Hang - Dapunta Hyang Çri Yacanaca (Dapunta Hyang Sri Jayanasa)-
" Little physical evidence of Srivijaya remains.[12] According to the Kedukan Bukit Inscription, dated 605 Saka (683 AD), the empire of Srivijaya was founded by Dapunta Hyang Çri Yacanaca (Dapunta Hyang Sri Jayanasa). He led 20,000 troops (mainly by land plus a few hundred ships) from Minanga Tamwan to Jambi and Palembang. - ^ a b Taylor, Jean Gelman (2003). Indonesia: Peoples and Histories. New Haven and London: Yale University Press. pp. 29. ISBN 0-300-10518-5. -http://en.wikipedia.org/wiki/Srivijaya -
dan jika dilihat di kemboja nama Hang juga biasa ada pada mereka..
Cikgu73
Wassalam. Tu le. Dari pihak kita orang Melayu terdapat begitu banyak kitab dan cerita2 lisan yang menceritakan kewujudan Hang Tuah. Kalau betul pun ia dongeng atau mitos, teori sastera menyatakan takkan mungkin boleh wujud cerita2 begitu panjang lebar tentang seseorang jika beliau tidak pernah wujud walau atas nama lain, walau hakikat sebenar dirinya tidaklah sehebat yang diceritakan. Sesungguhnya sehebat2 orang berimaginasi mencipta satu watak dalam novel pun ia mesti diambil berdasarkan seseorang atau sekumpulan orang yang pernah wujud dalam dunia nyata di mana sifat dan pengalamana ramai orang boleh dikumpulkan pada satu watak. Kalau tidak, seorang penulis tidak akan mampu membina watak yang begitu hidup.
Inikan lagi watak Hang Tuah yang disebut begitu banyak teks malah sedang digali kewujudannya melalui sumber2 Portugis dan Cina yang walaupun tidak disebut nama Hang Tuah, ada disebut gelaran Laksamana dan kita tahu ia merujuk kepada siapa. Sesungguhnya kalau KKK jujur mahu mencari kebenaran saya percaya beliau sendiri boleh mengorek rekod2 lama sehingga kewujudan HT tidak boleh disanggah. Tetapi saya tidak percaya beliau jujur malah memang ada agenda. Maka itu saya buat perbandingan apabila berurusan dengan peguam jahat. Peguam jahat cukup pandai mencipta cerita sambil menyembunyikan rekod2 sahih yang boleh mengalahkan kesnya. Maka kita janganlah tertipu dengan apa yang kononnya dipanggil hujah2 'bernas' dan bukti2 'empirikal' lagi 'saintifik' untuk menidakkan kewujudan HT.
assalamualaikum..
terima kasih saudara merah silu kerana mempertahankan agama islam dan melayu di depan prof cina tu..
saya kagum dengan pengetahuan
saudara tentang sejarah,org mcm saudara diperlukan utk menepis dakwaan2 'mereka' yg menyerang kita tanpa henti..
kalau nk harapkan saya ni ape pon xde..
subjek sejarah SPM pon 9G.. :)
konfem saya pon terkedu kalau disoal tentang sejarah oleh 'puak2' ni...
banyak saya boleh belajar dari blog saudara ni..
Saya ni ada tok nenek.
Tapi dokumen tok nenek tak dok.
Maknanya tok nenek saya tu takdok lah.
Oh! gitu...
Senang betul andaian prof kangkung ni.....moga kita sentiasa mengkaji sejarah bangsa dan menjadikan tauladan. Terima kasih tuan radzie...
Org muda2 Melayu Islam kena disedarkan tentang sejarah bangsanya. Jadikan diri rajin membaca dan mengkaji ilmu. Bukannya leka dgn hiburan dan aksi rempit.
Catat Ulasan