Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Ogos 13, 2020

Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Apabila Raya Haji menjadi pengganti Aidil Fitri

Sekadar melengkapkan gerak. Bersambung cerita daripada Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Masjid lama Negeri Sembilan dan faktor Sungai Muar.


 

Isnin 3 Ogos 2020. Kami telah bermalam di rumah tinggalan arwah ibu bapa isteri di Tanjung Sepat. Petang itu dekat jam 5 baru keluar sebentar. Itupun cuma saya dan isteri kerana hendak melihat pekan juga jeti batunya yang mengunjur jauh ke laut. Lihat artikel New visit to Tanjung Sepat jetty di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Kami kembali ke kampung isteri setelah berjalan jauh ke Muar diikuti Felda Jelai kemudian ke masjid-masjid lama di Negeri Sembilan lebih pada untuk menggembirakan anak-anak. Anak kecil kami Rasyid dan Johan rindu hendak bermain dengan rakan sebaya mereka yang berpangkat anak saudara mereka, cucu saudara kepada isteri. Semasa kembali ke kampung pada penghujung bulan Syawal lalu mereka tak puas. Kalau tidak kerana itu kami akan terus ke rumah sendiri di Rawang, Selangor selepas selesai segala urusan di Negeri Sembilan. Rujuk kembali artikel Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Masjid lama Negeri Sembilan dan faktor Sungai Muar.


Dari kampung isteri saya bercadang untuk singgah ke beberapa tempat menarik dan/atau bersejarah dalam perjalanan kembali ke rumah. Antaranya adalah bandar diraja lama bagi negeri Selangor iaitu Bandar di Jugra. Fikirnya mahu naik sekali ke Bukit Jugra dekat-dekat situ hingga ke puncak. Kami sudah naik ke bukit tersebut beberapa kali tetapi setakat sampai ke bangunan radar di mana ada orang bermain hand gliding dari atas lereng sana. Rujuk artikel lama Jejak Laksamana Toh Jambu di atas Bukit Jugra?.


Tapi kami meninggalkan Tanjung Sepat pun sudah jam 6 petang sedangkan selepas itu ada rumah kakak isteri mahu disinggahi di Jenjarom diikuti rumah abangnya di Teluk Panglima Garang. Kami juga ada memberitahu seorang ibu saudara akan singgah ke rumahnya di Petaling Jaya. Jadi cuma sempat singgah sambil lalu ke Pantai Morib sahaja nampaknya...



Kali ini saya harus mengalah dengan kehendak isteri. Saya harus akur telah banyak mengambil masa beliau dan anak-anak apabila semua harus menurut kehendak saya mencari masjid-masjid lama pada hari sebelumnya. Sekali lagi, rujuk Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Masjid lama Negeri Sembilan dan faktor Sungai Muar.


Sesungguhnya Aidil Adha atau Hari Raya Haji kali ini boleh dikatakan menjadi pengganti bagi sambutan Hari Raya Aidil Fitri dua bulan lalu. Dahulu kami tak dapat balik kampung kerana tahap PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk mengawal sebaran virus Covid-19 ketika itu tidak membenarkan umum membuat perjalanan jauh. Beraya dekat-dekat pun dibenarkan sehari sahaja iaitu pada hari raya pertama 1 Syawal. Bila kawalan dilonggarkan bermula 10 Jun lalu perjalanan rentas negeri dibenarkan baru dapat balik beraya ke Muar hujung minggu tersebut. Semasa itu masih bulan raya Syawal, dah nak masuk minggu ke-3. Tapi tak cukup 'korum' pula kerana seorang adik tidak dapat bersama.


Kali ini semua adik beradik saya dan ahli keluarga dapat bersama beraya di Muar kecuali seorang yang sudah lama meninggal dunia. Rujuk artikel Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Muar-Pagoh-Gunung Ledang-Jelai. Alang-alang sudah berjalan jauh kami pergi pula beraya di rumah adik beradik isteri bermula di Felda Jelai kemudian Tanjung Sepat kemudian baru ke tempat-tempat yang disebut tadi. Walaupun semasa minggu terakhir Syawal ramai adik beradik isteri dapat berjumpa dalam satu majlis keluarga itu adalah di rumah kampung di Tanjung Sepat. Kali ini, setelah masuk hari-hari Tasyriq yang menyusul selepas tarikh 10 Zulhijjah Hari Aidil Adha baru dapat singgah ke rumah beberapa orang adik beradik. Dapatlah suasana seperti beraya pada bulan Syawal walaupun tidak semeriah kebiasaan pada tahun-tahun lalu. Selesai cerita.


Isnin, Ogos 10, 2020

Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Masjid lama Negeri Sembilan dan faktor Sungai Muar

Merujuk pada artikel Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Muar-Pagoh-Gunung Ledang-Jelai yang dipersembahkan 3 hari lalu.  Pada perenggan terakhir artikel ada disebut bahawa "Esoknya akan berlaku perjalanan yang lebih menarik di mana kami dapat menjejak beberapa buah masjid lama berusia sekitar 100 tahun atau lebih walaupun ini asalnya langsung tiada dalam rancangan". Hari ini biar dikongsikan cerita berkenaan. Maka bersambunglah kisah daripada artikel tersebut.



Tengah hari Sabtu 1 Ogos 2020, ketika saya masih lagi berada di Muar seorang kawan sejak zaman kolej akhir tahun 80an telah menunjukkan gambar-gambar sebuah masjid lama di Negeri Sembilan melalui Facebook lalu mengajak ke sana hari Isnin. Memandangkan saya dan keluarga memang mahu bergerak ke NS petang itu saya pun memberitahu akan menjejak sendiri masjid pada keesokannya hari Ahad. Melalui Google Map didapati kedudukannya tidak jauh daripada jalan yang mahu diambil ketika menuju kembali ke Lembah Klang nanti. Satu rancangan spontan pun mula dirangka ketika itu.


Tengah hari Ahad 2 Ogos. Setelah puas berada di rumah kakak isteri di Felda Jelai kami pun memulakan penjejakan.


Dari Felda Jelai ada jalan barat menuju ke masjid lama yang dimaksudkan. Tetapi saya memilih untuk mengambil jalan sebelah timur kerana mahu menghilir terlebih dahulu bahagian Sungai Muar yang berdekatan.



Adapun Sungai Muar yang kualanya terletak di daerah kelahiran saya iaitu Muar berpunca di Negeri Sembilan. Fikir saya selepas menyusuri Sungai Muar berdekatan Felda Jelai akan masuk jalan dalam ke masjid lama. Sebaliknya kami 'ditarik' ke arah Bahau.


Apa yang berlaku adalah kami sepatutnya mengambil satu simpang kiri di pekan Rompin 20 km di selatan Bahau. Sebaliknya isyarat bagi program Google Map tersangkut teruk sehingga terlepas simpang lalu kami bergerak terus ke arah Bahau.


Saya ambil ini sebagai petanda bahawa kami harus membuat persinggahan di satu tempat di Kampung Jambu Lapan sekitar 3 km ke timur Bahau.


Di situ terdapat apa yang dipanggil sebagai Sungai Pertemuan iaitu pertemuan antara Sungai Muar dengan Sungai Jempol.


Ia adalah sebahagian daripada laluan purba yang dikenali sebagai Jalan Penarikan. Cerita tentangnya sudah disebut beberapa kali disentuh dalam blogspot ini. Boleh rujuk artikel-artikel berikut :-






Malah ia pernah dijadikan satu topik pembentangan dalam satu majlis ilmu yang saya anjurkan secara terbuka dan percuma kepada umum. Lihat artikel Jalan Penarikan - Membuka Laluan Lama di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Selepas itu baru ke masjid lama yang gambarnya ditunjukkan oleh kawan. Letaknya cuma sekitar 7 km sahaja ke timur Sungai Pertemuan. 


Ternyata masjid yang bangunan asalnya (sebahagian masih dikekalkan termasuk tiang-tiang seri yang kemudian disalut konkrit) menghampiri usia 200 tahun sudah lama tidak digunakan.  Sebagai ganti terdapat masjid moden di sebelah namun tetap tidak dapat menandingi aura keheningan dan keagamaan yang terdapat pada masjid lama. Lihat artikel Masjid lama (Old mosque of) Kampung Terusan, Juasseh di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) kemudian bandingkan dengan Masjid Kariah (Community mosque of) Kampung Terusan, Juasseh.


Adapun ketika mencari maklumat tentang masjid pada malam sebelumnya didapati terdapat beberapa buah lagi masjid lama tidak beberapa jauh dari situ yang masing-masing berumur sekitar 100 tahun atau lebih. Saya pun merangka laluan paling ekonomi untuk meliputi semua lalu singgah di masjid ini. Letaknya sekitar 4.5 km ke timur-daya masjid tadi. Lihat Masjid lama (Old mosque of) Kampung Rembang Panas.


Masjid seterusnya mahu disinggahi terletak di Jemapoh, dalam laluan utama menuju ke bandar Kuala Pilah dari Bahau. Kebetulan di belah sana ada rumah seorang sepupu kepada isteri. Kami pun singgah ke rumahnya terlebih dahulu. Dapatlah mendengar cerita-cerita menarik tentang almarhum datuk kepada isteri yang berasal dari Kebumen di Pulau Jawa. 

Abang sepupu ini sangat rapat dengan datuk mereka bernama Haji Salleh lalu dapat merasai dan melihat beberapa pengalaman mistik. Antaranya menunggang harimau (ghaib?) belaan datuknya untuk sampai cepat ke suatu destinasi juga melihat bagaimana datuknya boleh melompat lalu berdiri di atas pelepah pokok pisang. Kelihatan ilmunya lebih kurang seperti watak Datuk dalam siri novel terkenal awal tahun 80an dahulu iaitu "Bercakap Dengan Jin". Isteri pula baru tahu tentang ini. Teringat beberapa tahun lalu kami anak beranak pernah berjalan pusing Pulau Jawa lalu menjejak wilayah asal nenek moyang isteri baik sebelah bapa mahupun sebelah ibu. Sebelum itu kami sempat menjejak wilayah asal seorang datuk belah ibu saya yang juga berdarah Jawa. Lihat artikel-artikel berikut :-







Ternyata masjid lama Jemapoh terletak kurang 1 km selepas rumah abang sepupu menghala ke Kuala Pilah. Beliau memberitahu, menurut orang tempatan masjid itu dijaga oleh jin berserban hijau. Lihat Masjid lama (Old mosque of) Jemapoh.



Perjalanan diteruskan ke Kampung Pelangai sekitar 4 km sebelum Kuala Pilah.  Masjid lamanya pada saya sangat menarik. 


Sayang ia sudah lama rosak dan tidak digunakan. Alangkah bagusnya kalau dapat diperbaiki dijadikan tempat pengajian khas agama, rumah suluk atau sebagainya. Tentu ada keberkatan. Lihat Masjid lama (Old mosque of) Kampung Pelangai, Kuala Pilah.



Masjid lama seterusnya tiada langsung dalam rancangan hari itu. Nasib baik abang sepupu isteri memberitahu. Letaknya dalam bandar Kuala Pilah. Nama masjid pula seperti hendak menyatakan sesuatu. Lihat Masjid (Mosque of) Tok Muar, Kuala Pilah

Sesungguhnya Kuala Pilah dan semua masjid-masjid lama di sekitarnya terletak di dalam lembangan Sungai Muar iaitu kawasan yang disaliri oleh sungai tersebut dan anak-anak sungainya. Malah Masjid Tok Muar juga Masjid Terusan iaitu masjid lama pertama disinggahi dalam perjalanan ini terletak hampir bersebelahan Sungai Muar


Seterusnya kami mengambil jalan alternatif ke arah Seremban iaitu bukan jalan utama Kuala Pilah- Seremban demi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang selalu teruk melanda jalan tersebut pada hujung minggu. Begitu teruknya kesesakan sehingga Google Map memberitahu jika mengambil jalan alternatif sehingga ke Tanjung Ipoh kemudian masuk ke Seri Menanti lalu masuk kembali ke jalan utama melalui laluan ke hadapan sedikit dapat menjimatkan 40 minit. Sedangkankan ia adalah tambahan 8 km berbanding mengambil jalan utama sepanjang 38 km itu. Menurut Google Map kesesakan memakan masa lebih satu setengah jam.



Baik laluan utama mahupun laluan alternatif membawa ke arah hulu Sungai Muar. Cuma laluan alternatif yang meliputi bukit bukau lebih dekat dengan sungai tetapi perlu turun naik bukit masuk kampung orang...



Walaupun sedikit lebih jauh dan banyak liku turun naik juga agak sempit ia tiada kesesakan dan tidak terasa memenatkan. Dapatlah singgah ke sebuah lagi masjid lama dalam lingkungan. Lihat Masjid lama (Old mosque of) Kuala Serdang, Tanjung Ipoh.


Jalan alternatif juga membawa lebih dekat ke Masjid Tuan Tulis yang dinamakan sempena seorang wali Allah besar Negeri Sembilan iaitu Tuan Tulis Ismail. Lihat Lawatan terbaru ke Masjid Tuan Tulis (Latest visit to mosque of Tuan Tulis).


Ziarahlah kami ke makam wali Allah yang terkenal awal abad ke-20 ini di hadapan masjid. Yang ini baru termasuk dalam rancangan asal persinggahan kami di NS iaitu sebelum diberitahu oleh kawan tentang masjid lama. Tentang siapakah Tuan Tulis boleh rujuk melalui artikel lama ini - Berkenaan 7 wali Melayu dan lawatan ke makam-makam mereka.... Saya cuba mencari penerangan dalam artikel-artikel lama saya tetapi mendapati sudah banyak kali makam disinggahi lalu disebut dalam cerita tetapi tidak diterangkan panjang lebar siapakah beliau.


Kalau ikut rancangan asal selepas ziarah makam Tuan Tulis kami mahu ke bandar diraja Negeri Sembilan iaitu Seri Menanti. Kebetulan itu juga laluan terbaik ditunjukkan Google Map untuk mengatasi kesesakan di jalan utama Kuala Pilah-Seremban. Tetapi disebabkan ketika meninggalkan masjid pun sudah dekat jam 6 petang kami tak jadi singgah. Sebaliknya kami meneruskan dengan mengambil satu lagi jalan alternatif ke Seremban. Ia tidak ditunjukkan oleh Google Map tetapi ada papan tanda menunjukkannya di hadapan Masjid Tuan Tulis.


Walaupun tidak ditunjukkan oleh Google Map saya dapat mengesahkan ia boleh dilalui sehingga sampai ke bahagian hadapan jalan utama dengan menggunakan program tersebut. Cuma kita harus pandai membaca peta yang terdapat dalam Google Map secara manual. Nampaknya program tidak  dapat merangka jalan alternatif menggunakan laluan yang melepasi beberapa simpang kampung itu.


Malah sampai satu bahagian jalan dalam peta pun kelihatan terputus. Tetapi saya dapat melihat secara fizikal dibantu 2-3 buah papan tanda bahawa ia masih boleh membawa lebih jauh ke hadapan menghala ke Seremban sebelum masuk kembali ke jalan utama. Oleh kerana laluan membawa dekat ke jalan masuk ke sebuah empangan kami pun cuba masuk ke sana. Sayang pintunya terkunci, orang awam dilarang masuk. 

Untuk makluman baru sehari dua itu saya dapat tahu empangan ini terletak di bahagian lebih ulu Sungai Muar berbanding satu empangan sedikit ke bawah yang kami suami isteri pernah sampai. Lihat artikel-artikel berikut :-





Adalah menjadi harapan saya satu hari nanti dapat menyusuri Sungai Muar sehingga ke sebetul-betul punca di lereng-lereng gunung. Peta menunjukkan, untuk itu saya harus mengkaji kawasan tanah tinggi Gunung Telapak Buruk (1,193 tinggi meter daripada paras laut) yang bahagian selatannya disempadani oleh jalan Kuala Pilah-Seremban membawa ke bandar Kuala Klawang dan daerah Jelebu ke utara. Punca berupa anak-anak sungai kini susah hendak kelihatan dalam peta. Ia memerlukan ekspedisi turun padang masuk hutan naik bukit bukau dan gunung ganang yang memenatkan serta memakan masa. Ini kerana kawasan-kawasan punca telah menjadi tasik-tasik akibat wujudnya empangan di tempat-tempat yang disebutkan di atas ini.

Sesungguhnya Sungai Muar memiliki peranan yang sangat penting dan strategik dalam sejarah lama Negeri Sembilan. Terdapat ramai penduduk awalnya datang berhijrah melalui sungai yang bermuara di daerah Muar (pernah bertaraf negeri sebelum diserapkan ke dalam Johor). Rasanya lebih separuh sungai-sungai yang berada di timur negeri iaitu ke timur Banjaran Titiwangsa terutama di sekitar Kuala Pilah dan Bahau  mengalir masuk untuk membentuk aliran Sungai Muar. Malah bandar diraja NS iaitu Seri Menanti itu sendiri asalnya adalah sebahagian daripada Luak Ulu Muar, luak yang mendapat nama kerana terletak di bahagian hulu Sungai Muar. Raja-raja awal NS berketurunan Minang yang berasal dari Pagaruyung, Sumatera dapat bertakhta dan memiliki kawasan pusat melalui restu Penghulu Ulu Muar.



'
Apapun selepas itu kami berjaya melepasi semua bahagian sesak di jalan utama Kuala Pilah- Seremban. Dari laluan alternatif kami dapat sampai ke bahagian hadapan jalan mendekati Seremban yang tiada lagi kesesakan lalu lintas. Sampai ke kawasan rekresai Ulu Bendol baru berhenti untuk makan tengah hari lewat merangkap makan malam awal. Lihat artikel A stop at Ulu Bendol recreation forest di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Jumaat, Ogos 07, 2020

Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Muar-Pagoh-Gunung Ledang-Jelai

Salam petang Jumaat 17 Zulhijjah. Hari ini biar dibuat perkongsian cerita daripada sekitar sambutan Aidil Adha seminggu lalu.



Gambar ini diambil selepas menunaikan solat Jumaat berjemaah di Masjid Jamek Muar tepat seminggu lalu.



Syukur sungguh rasanya dapat menunaikan solat Jumaat di masjid tempat saya selalu bermain-main berlari sakan memanjat turun naik bangunan ketika zaman budak-budak tahun 70an hingga awal 80an. Maklumlah sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) demi mengekang penyebaran virus Covid-19 dimulakan 5 bulan lalu ruang solat di mana-mana masjid menjadi terhad. Kalau terlambat sedikit sampai atau tak cukup syarat tak boleh masuk bersolat.



Syukur juga kerana pada awal pagi itu, pagi Jumaat 10 Zulhijjah 1441 Hijriah saya sempat menunaikan solat sunat Aidil Adha berjemaah di Masjid Kampung Treh berdekatan rumah ibu bapa di Kampung Temiang, 5 km ke timur laut bandar Muar. Sebelum ini ada kebimbangan kerana terdengar desas-desus mengatakan cuma penduduk tempatan sahaja boleh menunaikan solat Aidal Adha di masjid-masjid setempat. Sedangkan saya sudah 33 tahun meninggalkan tempat kelahiran dan membesar saya di Muar, 12 tahun kebelakangan sudah jadi orang Selangor iaitu di Rawang.



Ini pula di satu bahagian Sungai Muar berdekatan rumah ibu bapa pada waktu petang... selepas puas membawa isteri dan anak-anak keluar berjalan-jalan. Saja nak tunjuk bagaimana saya berpakaian pada hari Jumaat itu sambil menyambut Aidil Adha atau Raya Haji...


Adapun kami sekeluarga sampai dari Rawang selepas jam 3 awal pagi Jumaat. Alhamdulillah dapatlah beraya bersama ibu bapa yang kedua-duanya sudah berumur 78 tahun juga bersama adik-adik saya dan keluarga-keluarga mereka. Sabtu selepas Zuhur kami pun mengorak langkah kembali ke Rawang.


Tapi kami tak terus kembali ke rumah. Kami berjalan-jalan dahulu dengan bergerak ke arah Pagoh lalu melihat-lihat kawasan yang sudah dijadikan hab pendidikan tinggi menempatkan cawangan 3 buah universiti awam dan sebuah politeknik tempatan.


Singgah pula di Kampung Raja, Pagoh di mana terdapatnya satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih terjaga dan dapat dikenalpasti kedudukannya pada zaman moden.


Inilah makam Sultan Alauddin Riayat Syah yang disebut sebagai "wali Allah yang terpilih". Cerita-cerita berkenaan boleh dirujuk dalam artikel Acara kesebelas HIKMAH di masjid dan makam Sultan Alauddin Riayat Shah (Melaka), Pagoh, Muar 8 Nov 2014 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).

Saja selfie atau berswafoto. Rasanya sudah lebih setahun juga tak singgah walaupun ada balik ke Muar 3-4 kali dalam tempoh waktu itu.


Dari Kampung Raja kami bergerak ke pekan Panchor. Niatnya nak makan tengah hari lewat masakan tempatan. Tapi satu kedai yang terkenal dengan mee bandung udang galah daripada Sungai Muar di sebelah tutup, satu kedai lain yang ada masakan asam pedas pelbagai jenis ikan pula dah habis lauk...




Kami pun mengambil jalan ke Grisek kemudian ke Bukit Gambir. Membelok pula ke arah Gunung Ledang dengan niat hendak bawa anak-anak mandi terjun. Tetapi ia ditutup akibat PKP. Lihat artikel A brief excursion to Gunung Ledang di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Ini adalah di pekan seterusnya iaitu Jementah. Selepas itu kami mengambil jalan pintas menghala ke pekan Gemas.

Di Gemas baru kami berhenti makan. Kira makan tengah hari campur minum petang jam 5.30.


Dekat jam 6.30 baru sampai ke destinasi terakhir kami bagi hari itu iaitu rumah akak isteri di Felda Jelai, Negeri Sembilan. Esoknya akan berlaku perjalanan yang lebih menarik di mana kami dapat menjejak beberapa buah masjid lama berusia sekitar 100 tahun atau lebih walaupun ini asalnya langsung tiada dalam rancangan.


Rabu, Ogos 05, 2020

KKB-Fraser-Raub-JB dan sedikit luahan rasa

Salam petang Rabu 15 Zulhijjah 1441 Hijriah. Adapun hari ini saya bercadang untuk mula berkongsi cerita tentang beberapa aktiviti menarik sekitar sambutan Hari Raya Haji atau Aidil Adha pada hujung minggu lalu. Tetapi apabila gambar-gambar berkenaan dialihkan daripada kamera ke laptop baru tersedar ada cerita daripada sebulan lalu harus dilepaskan terlebih dahulu. Alang-alang mahu dilepaskan biar disertakan sedikit luahan rasa.


Tengah hari Jumaat 3 Julai 2020 saya membawa isteri dan anak-anak keluar kawasan perumahan menuju ke pekan Kuala Kubu Baru.


Sampai di pinggir pekan kelihatan kereta banyak diparkir untuk solat Jumaat. Saya pun mahu ke masjid, isteri dan anak-anak boleh menunggu dalam kereta. Tengok-tengok tak boleh masuk kerana tidak mendaftar untuk menunaikan solat Jumaat di masjid sana.


Apapun tidak menjadi kewajiban untuk saya menunaikan solat Jumaat kerana sedang bermusafir jauh. Tujuan kami ke Kuala Kubu Baru atau singkatannya KKB adalah untuk mendaftar haji bagi anak-anak. Untuk itu tempat paling dekat dan mudah bagi kami adalah pejabat Tabung Haji di KKB. Oleh kerana ia cuma dibuka pada hari bekerja isteri telah mengambil cuti.

Umum harus tahu bagaimana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula dilaksanakan pada hari Rabu 18 Mac bagi membendung penyebaran wabak Covid-19 telah menyebabkan ramai harus bekerja dari rumah. Tetapi tidak bagi isteri. Beliau adalah salah seorang frontliner atau petugas barisan hadapan yang harus terus bertugas di tempat kerjanya di bandar Rawang, Selangor seperti biasa. Sebagai seorang petugas teknikal TM (Telekom Malaysia) beliau harus memastikan talian telefon dan Internet dalam kawasan liputan berkenaan sentiasa lancar. Kalau tidak bagaimana orang lain dapat bertugas dari rumah sedangkan dua talian inilah yang menyebabkan mereka dapat bekerja secara jarak jauh?


Oleh kerana pejabat Tabung Haji cuma dibuka bermula jam 2.30 petang iaitu selepas waktu rehat solat Jumaat kami pun layan makan durian dahulu di tengah pekan.


Alhamdulillah urusan di KKB selesai sekitar jam 2.45. Kami pun bergerak ke arah timur dan kawasan pergunungan Banjaran Titiwangsa. Alang-alang dah keluar ke KKB 40 km dari rumah biar diteruskan hingga ke rumah arwah Nenek iaitu ibu kepada bapa saya di Raub lagi 70 km perjalanan.

Sebetulnya sejak PKP dilonggarkan lalu perjalanan rentas negeri dibenarkan bermula Rabu 10 Jun kami sudah beberapa kali keluar berjalan. Cuma saya kurang mood hendak berkongsi cerita. Kerana apa? Sekarang biarlah diluahkan rasa.


Adapun saya mula minat menjejaki sejarah lama Melayu termasuk banyak yang sudah lama digelapkan bermula tahun 2001. Ini berlaku setelah mendapat mimpi membawa untuk mencari salasilah keluarga sebelah bapa di Perak membawa ke Aceh. Hal ini ada diceritakan panjang lebar dalam 3 buku terawal tulisan saya iaitu siri trilogi "Berpetualang ke Aceh" yang terbit tahun 2006-2007. Pada hujung tahun 2006 pula saya mula aktif menulis di blogspot

Yang dikongsikan rata-rata adalah penulisan berdasarkan pengalaman dan perjalanan sebenar diri menggunakan gambar-gambar yang diambil sendiri, bukan mengambil cerita orang atau membuat karangan kreatif berdasarkan imaginasi subur tanpa pernah melalui sendiri suatu perkara atau tidak pernah menjejakkan kaki ke suatu tempat yang diperkatakan. Pada ketika ini sudah terdapat 1,931 artikel dikongsikan di blogspot CATATAN SI MERAH SILU, 2,070 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 2,083 di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Hampir penghujung tahun 2012 saya mula aktif dengan aktiviti-aktiviti NGO dalam kalangan peminat sejarah, busana tradisional Melayu dan dunia persilatan tanah air. Satu lagi blogspot pun diterbitkan iaitu Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Setakat ini kami telah melaksanakan 22 acara ilmu atas nama HIKMAH di merata Semenanjung Malaysia membawa 3 kali di Aceh. Blogspot berkenaan telah memiliki 388 artikel.


Dengan itu sudah sejumlah 6,472 artikel dikongsikan setakat ini kepada umum merangkumi banyak perkara, bidang ilmu dan perkongsian pengalaman hidup sebenar, bukan cerita-cerita tipu.  Gambar-gambar yang diambil sendiri pula sudah berpuluh ribu, mungkin lebih seratus ribu keping telah dikongsikan tanpa meletakkan apa-apa bentuk tanda trade mark, copyright atau water mark. Seperti orang lain saya juga suka apabila artikel tulisan sendiri mendapat perhatian. Tetapi tidak seperti sesetengah orang saya tidak akan menggunakan apa-apa teknik marketing agar artikel dibaca. Sesungguhnya setiap penulisan saya adalah perkongsian rasa yang terbit daripada gerak spontan seorang penulis yang suka mengembara. Penulisan bagi saya adalah terapi jiwa, bukan alat untuk mendapatkan apa-apa kelebihan walaupun benar ia juga memberi peluang untuk mencipta nama.



Bagi mereka yang sudah mengikuti penulisan-penulisan saya sejak awal dengan jujur lalu dapat membandingkan dengan penulisan-penulisan lain yang muncul di dunia awam sekurang-kurangnya sejak tahun 2006 tentu sedar bagaimana saya telah mempelopori banyak perkara dan isu. Antaranya adalah tentang keturunan Saidina Hassan yang hilang, senjata api Melayu zaman Kesultanan Melayu Melaka dan kajian batu nesan Aceh demi menjejak sejarah lama. Tapi apa yang berlaku kemudian adalah muncul muka-muka baru yang pandai bermain ayat-ayat marketing lalu berebut untuk meraih perhatian ramai. Ada yang sanggup memburukkan nama saya dengan pelbagai tuduhan lalu mengajak pengikut mereka untuk membuat perkara sama. 

Maka saya yang sudah mengkaji turun padang sejak penghujung tahun 2001 diberikan gambaran seperti orang baru yang terhegeh-hegeh muncul untuk mencipta nama dalam bidang kajian sejarah umum cuma pada tahun 2010. Ada pula yang misalnya baru mengkaji batu nesan Aceh tahun 2012 tetapi bercerita seperti dialah pelopor lalu anak-anak muda yang tidak tahu pucuk pangkal perkara pun percaya. Sedangkan saya sudah melakukannya 11 tahun lebih awal dan telah berkongsi cerita-cerita berkenaan melalui blogspot sejak tahun 2006.



Dalam keadaan ada yang berebut nama lalu mahu memburukkan inilah apabila keluar sedikit gambar yang ada diri saya di makam atau tempat tinggalan sejarah saya dituduh menunjuk-nunjuk. Ada yang menghina dengan mengatakan monyet pun boleh bergambar depan batu bersurat. Padahal peratusan gambar yang ada muka saya sangat-sangatlah kecil berbanding segala macam gambar tempat-tempat bersejarah yang telah dikongsikan daripada pelbagai sudut pandang. Tapi bila ada orang lain bergambar depan makam atau tinggalan sejarah takda pula masalah malah dipuji pula sebagai bukti pernah sampai dan sanggup berpenat lelah menjejak demi memberi faham kepada orang lain. Kalau saya buat baru jadi salah.

Oh. Gambar ini diambil ketika sudah sampai ke pusat pekan Bukit Fraser. Oleh kerana jalan ke Raub dari KKB boleh membawa ke jalan naik ke pusat peranginan atas gunung itu kami pun singgah.


Fikir kami hendak singgah sebentar sahaja kemudian bergerak ke Raub. Tetapi apabila mendapati ada bilik kosong di Bungalow TM kami pun memilih untuk menginap satu malam. Petang itu sempat masuk sebentar ke satu denai menarik dalam hutan. Lihat  A brief look at the Pine Tree Trail of Fraser's Hill.


Ini pula gambar daripada anjung bilik kami pada pagi Sabtu 4 Julai. Lihat Views from the TM Bungalow at Fraser's Hill. OK. Kita sambung luahan sambil ditunjukkan gambar-gambar ketika meninggalkan Bukit Fraser tengah hari itu.


Saya diburuk-burukkan oleh beberapa pihak disebabkan beberapa hal tertentu. Satu adalah apabila budak-budak baru berebut nama dalam dunia kajian sejarah maka fikir mereka saya juga begitu. Kedua adalah dalam dunia aktivis NGO. Dalam hal ini boleh kata lebih parah. Saya dituduh berhajat untuk mengumpul pengikut kerana mahu merebut takhta kerajaan tertentu. 

Tetapi yang lebih menghiris hati adalah dalam bab sejarah. Ini kerana sayangkan bidang ini. Bab takhta tiada dipedulikan walaupun benar ada darah keturunan yang melayakkan ke arah itu. Saya mula tercetus untuk mengkaji sejarah akibat mencari salasilah keluarga. Sejarah pada saya adalah simbol dan alat bagi kekuatan jati diri Melayu, bukan untuk bermegah-megah apa lagi mencari nama malah apa-apa bentuk kepentingan duniawi.

Saya terpanggil untuk membantu menaikkan kembali jati diri sebenar anak-anak Melayu apabila menyedari ia termasuk amanah dalam darah daging yang dimiliki. Tapi apa yang berlaku kemudian adalah muncul tuduhan-tuduhan saya berniat keji. Misalnya tahun lepas ada orang memberitahu saya diwar-warkan oleh pihak-pihak tertentu sibuk mahu menumpang nama menghimpit satu NGO Aceh yang rajin membersihkan makam-makam lama. Walhal nama NGO tersebut mula naik dalam kalangan pengkaji di Malaysia bermula hampir penghujung tahun 2012 pun disebabkan usaha saya membawa wakil mereka ke satu majlis anjuran pihak kami demi membantu usaha mereka menyelamatkan satu situs penting sejarah yang sedang diancam pembangunan moden. Lihat Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Faktor Aceh dan sokongan kerajaan Melaka.



Dalam mengenengahkan hasrat menaikkan jati diri Melayu saya ada masanya kelihatan begitu sombong dan berlagak kerana suka menyebut diri sebagai seorang graduan matematik daripada University College of London, sebuah institusi pengajian tinggi luar negara yang tersenarai sebagai antara 10 terbaik di dunia. Sesekali saya menyebut ada kenalan daripada golongan atasan, berpangkat tinggi dan sebagainya. Nampak seperti berlagak tetapi pernah ke saya meletakkan apa-apa gambar diri sendiri dengan mana-mana orang daripada golongan atasan di media sosial? Saya berani bercakap tidak kerana memang tak pernah buat. Yang ada setakat gambar isteri dengan Tun Dr Mahathir di luar parlimen, satu lagi di majlis perkahwinan seorang sepupu. Selain itu ada gambar isteri dengan Sultan Nazrin ketika baginda masih lagi Raja Muda Perak. Itu juga diambil di majlis perkahwinan sepupu yang dihadiri beberapa orang sultan. Kalau saya jenis menempel suka bergambar dengan orang ternama tentu tidak terlalu susah untuk mendapatkan ruang dan peluang.

Sesungguhnya semasa zaman bertugas sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times tahun 1996-2001 lagi saya sudah biasa bertemu dengan para menteri. Dengan Tun M pun biasa duduk bersila pakai t-shirt di hadapan beliau dalam sidang-sidang akhbar. Saya pernah diperkenalkan secara one on one dengan Sultan Selangor semasa baginda masih Raja Muda di kelab kapal layar Selangor, begitu juga halnya dengan Raja Perlis dalam satu pertemuan di kelab polo Selangor. Tak pernah sesekali pun saya mengendeng untuk bergambar bersama mereka apatah lagi untuk ditayangkan kepada umum.


Saya tidak perlu berbuat begitu kerana tidak merasakan apa-apa kelebihan bergambar dengan orang seperti itu. Sesungguhnya dalam kalangan ahli keluarga dan saudara mara pun sudah terdapat ramai orang berada yang dikenali sejak kecil. Ramai lagi dikenali apabila masuk zaman bekerja. Dalam kalangan kawan-kawan lama zaman bersekolah menengah dan kolej yang sebaya pun dah ramai jadi orang ternama. 

Ada beberapa orang dah jadi duta besar di luar negara, ada orang kuat dalam badan-badan korporat seperti Khazanah dan Sime Darby, yang dah jadi Jeneral tentera pun ada.  Bukan setakat main sebut pangkat nak bagi sedap cerita sedangkan mereka tak kenal kita. Sesungguhnya kami masih keep in touch sekurang-kurangnya melalui WhatsApp dan Facebook. Tetapi jarang sekali saya hendak menyebut tentang mereka. Ini kerana memang jenis tak suka pakai contact untuk apa-apa.


Sebetulnya apabila menyebut tentang kelulusan dalam bidang matematik dari London saya cuma hendak memberitahu bahawa kalau kerja besar, pangkat dan kemewahan yang dimahukan tentu sahaja boleh dicapai. Buat apa sibuk mengejar cerita-cerita sejarah yang tidak memberikan pulangan material apa-apa dan kesenangan? Apa yang hendak diberitahu sebenarnya adalah saya rela mengorbankan masa hadapan yang dilihat ramai sebagai lebih cemerlang demi kesayangan dan kecintaan terhadap sejarah dan jati diri sejati Melayu. Pendek kata tidak perlu berebut nama seperti yang kamu-kamu tuduh dan anggap itu apatah lagi hendak membuat cerita-cerita dongeng marketing bagi meraih perhatian. 



Perjalanan hidup saya adalah berkenaan amanah dan tanggungjawab yang sedikit sahaja orang faham. Namun sebagai manusia biasa ada masanya merasa tersinggung dengan segala macam tuduhan setelah segala macam bakti telah dicurahkan demi agama, bangsa dan negara. Kemudian boleh pula timbul golongan yang kononnya Sufi sangat. Bila kita luahkan rasa tersinggung dikatanya kita tak ikhlas. Kalau ikhlas tentu tidak terkesan dengan pujian dan kejian. Cakap memanglah senang. Cuba kalau dah terkena banyak kali kat batang hidung sendiri.  

Itu yang membuat saya terasa begitu malas untuk menulis beberapa bulan kebelakangan ini. Apapun saya harus  berusaha untuk memperbaiki lagi hati agar tidak terkesan langsung dengan semua hal keduniaan ini. Penulisan adalah satu cara melepaskan apa yang terbuku dalam hati. Dan memang saya selalu sebut ia adalah terapi jiwa buat diri ini, bukan jalan bagi meraih nama apa lagi kepentingan-kepentingan keji.



OK. Cukuplah luahan. Sampai sahaja ke Raub terus menuju 5 km ke utara untuk menziarahi makam Nenek. Sesungguhnya ibu kepada ayah saya ini banyak bertanggungjawab dalam membantu perjalanan awal dalam mengenali salasilah keturunan keluarga diikuti amanah dan tanggungjawab yang datang bersamanya...


Selepas itu baru ke rumah arwah Nenek yang sedang dijaga oleh seorang ibu saudara dan suaminya, rumah yang dibina dengan tulang empat kerat ayah dan adik-adik lelakinya...


Lewat petang kami bertolak ke Janda Baik (JB juga walau bukan Johor Bahru ya) dalam keadaan hujan lebat lalu sampai waktu malam...


Esoknya pagi Ahad 5 Julai bawa anak-anak berjalan dan mandi sungai. Lihat First visit to Janda Baik in 2020.


Petang itu kami kembali ke Lembah Klang melalui jalan lama lalu sempatlah menjenguk ke tapak taman tema Mimaland yang sudah lama ditinggalkan. Sekian.