Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Oktober 30, 2009

Akhirnya, baru bercerita tentang perjalanan di Linggi... juga Kuala Linggi...

Setelah membuat beberapa artikel di blogspots BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) berdasarkan koleksi gambar perjalanan bulan Ogos yang baru diguna-pakai kini, baru saya boleh menunaikan janji yang dibuat ketika menulis artikel Gambo lama Sekolah Sains dan rancangan bercerita seterusnya... lebih 3 minggu lalu. Biar dicopy and paste balik isi berkenaan.. Antara lain, saya berjanji untuk menulis tentang... 1. Cerita Linggi dan Kuala Linggi... satu pencarian makam lama berdasarkan petunjuk yang diberi melalui satu komen di blogspot ini...
Mari! :]


Petang Jumaat sehari sebelum masuk bulan puasa atau Ramadhan, saya dan isteri yang ketika itu sedang mengandung 8 bulan meninggalkan Kuala Lumpur untuk kembali ke rumah ibu bapa saya di Muar, Johor. Dalam perjalanan, teringat pesanan seorang pembaca di blogspot ini lalu tergerak untuk menghala ke Masjid Qariah Linggi...


Di kawasan belukar belakang masjid terdapat makam seorang ulamak bertaraf wali bernama Sheikh Jamaluddin Al-Linggi. Beliau adalah bapa kepada ulamak terkenal yang pernah menjadi mufti Negeri Sembilan awal abad ke 20 Masihi iaitu Sheikh Muhammad Said Al-Linggi.

 

Saya pernah ke makam ini beberapa kali. Tetapi baru kali itu saya juga berminat untuk melihat makam-makam menonjol di sebelahnya...

 

Kalau tak salah ingatan, makam-makam berdekatan ini milik pembesar yang memerintah Linggi, dikenali sebagai Datuk Muda Linggi. Ia adalah pangkat yang diwarisi turun-temurun dalam keluarga tertentu, katanya berdarah kerabat diraja Bugis!

  Masjid Qariah Linggi dilihat ketika selesai menziarahi makam...

 
Di hadapannya terdapat 2 pucuk meriam peninggalan Datuk Muda Linggi yang dikatakan membina masjid ini, kalau tak salah namanya ialah Datuk Muda Kattas...

  Dalam kandang di hadapan masjid ini terdapat makam beberapa orang penting Linggi, ada yang memberitahu ia makam-makam Datuk Muda Linggi juga, ada pula menyebut terdapat juga makam ayah kepada Sheikh Jamaluddin. Apapun, saya difahamkan mereka semua datang daripada satu rumpun keluarga...

  Adapun saya sampai ke Masjid Qariah Linggi itu hampir waktu Maghrib. Seterusnya singgah sebentar ke makam lama dengan batu-batu hidup ataupun megaliths di Pengkalan Kempas sebelum sampai ke Kuala Linggi yang terletak di dalam negeri Melaka. Untuk pengetahuan, Sungai Linggi membentuk sebahagian sempadan antara Melaka dan Negeri Sembilan. Pekan Linggi di mana terdapat Masjid Qariah tadi terletak lebih 25 km dari Kuala Linggi. Saya sampai di Kuala Linggi masuk waktu Isyaq dengan niat untuk memanjat Bukit Supai di mana terletaknya Kota Kuala Linggi yang dibina lebih 200 tahun lalu...

  Saya ke sini menurut pesanan pembaca yang ditinggalkan di dalam blogspot. Cuma pesanan itu menyebut saya harus ke Bukit Supai dahulu sebelum ke makam Sheikh Jamaluddin sedangkan perjalanan yang dibuat ini mengikut turutan yang terbalik. Apapun, memandangkan kami suami isteri sudah agak lapar, kami pun singgah di restoran terapung yang nampaknya baru sebulan dua dibuka di kuala sungai. Seingat saya, dalam lawatan saya ke Bukit Supai sebelum itu iaitu awal tahun 2009, kalau tak pun hujung tahun 2008 belum kelihatan lagi restoran ini. Atau saya yang terlepas pandang ketika ia dalam pembinaan?

  Sementara menunggu makanan yang dipesan siap dimasak, kami bertanya tentang kewujudan makam di Bukit Supai. Kata seorang makcik yang membuat perniagaan sampingan, dia tidak pasti jika wujud apa-apa makam di sekitar bukit. Tetapi dia tahu tentang kewujudan satu makam yang dianggap keramat di tempat lain tidak jauh dari situ... apakah itu makam yang perlu dicari?

  Saya pula rasa tak senang duduk. Rasa mesti cuba mencari makam di Bukit Supai dahulu walaupun dalam keadaan gelap-gelita, walaupun  tidak membawa lampu picit atau apa-apa benda yang mampu menolong melihat...

  Ini adalah gambar restoran terapung dilihat dari lereng bukit. Dapatkah berjumpa makam yang dicari? Nanti kita sambung cerita ya. Untuk melihat pemandangan Bukit Supai juga sekitar Kuala Linggi waktu siang, sila lihat artikel lama bertajuk Interlude: A visit to Kuala Linggi... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Selamat malam! :] 


p/s: Nota tambahan dibuat pagi Jumaat...

Apabila dilihat kembali artikel Gambo lama Sekolah Sains dan rancangan bercerita seterusnya... baru tersedar, saya telah pun menunaikan sedikit janji yang dibuat apabila memaparkan artikel Perkahwinan seorang sepupu, perjumpaan keluarga dan rancangan buku terbaru... 11 hari lalu. Ini kerana ia menepati 2 perkara yang telah dijanjikan untuk disajikan di blogspot ini, saya copy and paste balik apa yang dijanjikan... 

3. Berkenaan Hari Raya itu sendiri terutama peristiwa sekitar perkahwinan seorang sepupu perempuan dengan jejaka dari New Zealand yang telah menetap di Australia, diadakan pada hari raya ketiga... 

4. Perkahwinan sepupu pada raya ketiga ini telah mengumpulkan 4 generasi keluarga besar sebelah ibu. Dari situ tercetus idea untuk mengumpul butir salasilah keluarga belah ini yang lebih dikaitkan dengan bangsa Jawa... 

Terpulanglah jika nanti ingin memanjangkannya dalam artikel-artikel baru atau membiarkan setakat cukup apa yang ada. Selepas selesai cerita berkenaan Linggi, yang tinggal cuma satu perkara janji iaitu... 

2. Cerita perjalanan terbaru ke Pantai Timur yang dibuat pertengahan bulan puasa... yang ni harus panjang dan bersiri kerana melibatkan banyak lokasi...

Harap maklum.


Jumaat, Oktober 23, 2009

My wife, my lovely angel! Satu luahan abadi...

OK. Kenapa saya memilih "My wife, my lovely angel?" sebagai permulaan tajuk untuk artikel atau posting kali ini? Sebenarnya apa yang berlaku ialah tadi saya telah melihat sedikit koleksi gambar-gambar yang telah diambil kebelakangan ini. Memandangkan saya harus menjaga isteri yang dalam pantang, rasanya saya tidak akan bergerak jauh dalam tempoh sebulan dua ini... kalau ada pun mungkin ke Muar, Batu Pahat, Johor Bahru dan Singapura untuk satu kerja tertentu, rasanya paling cepat pun bulan depan kot baru saya keluar? Oleh itu, jika saya mahu membuat artikel-artikel baru terutama tentang pengalaman dan perjalanan, saya harus menggunakan gambar-gambar yang sedia ada...

Seperti disebut dalam artikel Gambo lama Sekolah Sains dan rancangan bercerita seterusnya... yang dibuat lebih 2 minggu lalu, saya bercadang untuk menulis satu siri kecil cerita tentang perjalanan ke Kuala Linggi dan satu siri panjang tentang perjalanan terbaru ke Pantai Timur yang dibuat hujung minggu pertama bulan Ramadhan. Tetapi apabila diselak isi komputer betul-betul, baru saya tersedar bahawa sejak bulan Ogos, saya tidak menggunakan apa-apa koleksi terbaru gambar untuk membuat cerita di mana-mana blogspots saya... kecuali gambar-gambar sekitar pertemuan atau reunion dengan rakan-rakan lama seperti terpapar pada artikel 3rd A Level Batch 7 reunion / Hari Raya festive do in Bangi... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH juga gambar-gambar anak lelaki saya Muhammad Al-Aminul Rasyid di artikel Lahirnya anakku Muhammad Al-Aminul Rasyid dan 131... dan gambar sekitar raya pada artikel Perkahwinan seorang sepupu, perjumpaan keluarga dan rancangan buku terbaru... (kedua-duanya di blogspot ini).

Dalam pada itu saya terjumpa gambar-gambar ketika menghadiri majlis perkahwinan Syed Faiz Al-Shahab, anak kepada penulis novel Aina Emir. Dalam gambar tengah atas yang saya ambil sendiri, dengan tanpa dirancang kelihatan isteri saya yang duduk paling kanan seolah-olah memiliki sepasang sayap di belakang. Walhal ia cuma kerusi-kerusi yang dibalut kain putih sahaja. Cuma sudut mengambil gambar dan kedudukan isteri membuat ia kelihatan seperti sayap...

Tadi apabila melihat gambar itu lagi, isteri saya meminta agar saya memasukkannya ke dalam akaun FaceBook miliknya. Setelah itu saya tergerak pula untuk meletakkannya di FB saya. Seterusnya saya terasa ingin memfokuskan kepada gambar isteri yang kalau diceritakan dalam bahasa Inggeris untuk menerangkannya, saya harus menyebut "My wife looks like an angel!" (dan memang itulah yang saya rasa)... jadilah gambar paling atas.

Ya. Saya rasa itulah deskripsi atau cara penerangan yang paling sesuai dan terus terbetik di hati apabila melihat gambar itu. Saya rasa terjemahan bahasa Melayu "Isteri saya kelihatan seperti malaikat!" kurang sesuai. Lagipun saya tidak ingin mempermain-mainkan takrif malaikat. Sebab itu perkataan Inggeris "Angel" lebih sesuai... kerana selain bermakna malaikat, ia juga digunakan untuk menerangkan seseorang yang kita rasa baik... atau kalau orang lain rasa tak cukup baik pun, sekurang-kurangnya dia itu baik untuk kita. Maka itu muncul ungkapan "She is my angel" dan lain-lain yang sewaktu dengannya.

Alang-alang sudah menulis begini, biar diungkapkan terus di sini... betapa saya rasa amat sayang pada isteri lebih-lebih lagi setelah melahirkan anak lelaki kami. Saya rasa tak salah untuk meluahkan rasa sayang ini di hadapan ramai di blogspot ini kan? Saya rasa kalau anda ada kemampuan dan keberanian untuk mengungkapkan rasa kasih sayang di hadapan seramai orang yang mungkin, anda pun akan berbuat begitu terutama apabila perasaan itu muncul melimpah-ruah di hati!

Oh. Gambar ketiga atau terakhir di sini baru ada saya muncul di hadapan isteri. Dalam gambar ini sudut yang diambil sudah lain, tak dapat lagi gambar "Angel" seperti sebelum tadi. Apapun, saya juga ingin berkongsi rasa bahawa saya sukakan gambar ini dan suka berkerjasama dengan saudara Faiz dan ibunya Aina serta syarikat Karnadya... kerana selain ada satu kefahaman yang serupa tentang pelbagai perkara terutama berkenaan Ahlul Bait, rupa-rupanya dua rakan lama saya turut terlibat dengan mereka.

Rakan lama yang dimaksudkan, berdiri dari kiri adalah Taufiq Khalid yang bertindak sebagai peguam bagi pihak syarikat dan saudara Shamsul Yunos, penulis dan jurugambar bebas yang turut membuat kerja untuk syarikat Karnadya. Kedua-dua Taufiq dan Shamsul pernah duduk satu bilik dengan saya ketika zaman kolej "A" Levels di Damansara Utama lebih 20 tahun lalu. Kemudian kami bertemu kembali di England di mana saya mengambil jurusan matematik di University College of London sementara Taufiq dan Shamsul pergi ke Leeds kalau tak salah ingatan.

Untuk makluman, Shamsul yang pernah menjadi wartawan akhbar Malay Mail ketika saya pula menjadi wartawan akhbar The New Straits Times bertindak sebagai jurugambar untuk buku "Rumah Azan" yang ditulis oleh saya tetapi dikeluarkan oleh Karnadya. Lihat artikel Buku "Rumah Azan" dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di PWTC . Dengan ini lepaslah gerak rasa saya bercerita buat masa ini, dengan penuh rasa kasih sayang terhadap isteri iaitu Nor Afidah binti Yusof, Alhamdulillah! :]

p/s:
Semasa gambar-gambar ini diambil, isteri saya sedang mengandung hampir 8 bulan. OK kan? Oh... kemudian baru saya mendapat teguran dari pembaca bahawa ungkapan "Angel" dalam bahasa Inggeris itu boleh juga disamakan dengan "bidadari" dalam bahasa Melayu. Jika begitu, ayat "Isteri saya kelihatan seperti bidadari" juga amat sesuai di sini!

Isnin, Oktober 19, 2009

Perkahwinan seorang sepupu, perjumpaan keluarga dan rancangan buku terbaru...

Hmm... apa ni? Ada pihak menyebut hari ini adalah 30 haribulan Syawal, ada pula menyebut sudah masuk 1 Zulkaedah. Tak mengapa le. Biar saya menulis artikel kali ini dengan anggapan bahawa hari adalah hari terakhir bulan Syawal...

Assalamualaikum semua. Sempena hari ini hari terakhir bulan Syawal biar dilepaskan satu cerita berkenaan hari raya. Kiranya saya menurut kembali rancangan penceritaan yang telah dibentangkan melalui artikel Gambo lama Sekolah Sains dan rancangan bercerita seterusnya... yang dibuat 2 minggu lalu. Mari...



Pada malam 21 September 2009 iaitu masuk malam Selasa, hari raya ketiga berlangsunglah majlis pernikahan seorang sepupu di rumah keluarganya di Bukit Damansara...


Sepupu ini telah memilih seorang pemuda New Zealand yang kini menetap di Australia. Sekitar 2 tahun lepas, kakak kepada sepupu ini telah berkahwin dengan seorang pemuda Amerika berketurunan Albania iaitu sebuah negeri di bawah bekas negara Yugoslavia di Eropah. Seorang sepupu lain pula baru sahaja berkahwin dengan pemuda Amerika dari Texas hujung tahun lepas, seminggu selepas saya sendiri mendirikan rumahtangga baru...



Seperti kebiasaan di mana-mana rumah ahli keluarga kami, majlis nikah dan persandingan kecil disusuli acara membaling duit... katanya adat Johor. Berebut-rebut le para hadirin, kebanyakannya sedara-mara yang budak-budak untuk mendapatkannya...


Keesokannya siang Selasa baru diadakan majlis jamuan utama. Alhamdulillah majlis ini dapat menemukan sebahagian besar keluarga sebelah ibu...



Pada malamnya diadakan majlis perjumpaan keluarga di rumah saudara lain di Ampang. Sejak 15 tahun kebelakangan kalau tak salah ingatan, keluarga sebelah ibu sering berkumpul pada hari raya ke 2 atau ke 3 untuk beramah-mesra beramai-ramai sekali gus. Cuma pertemuan ini selalunya diadakan di Muar iaitu kampung kami, baru kali ini ia diadakan di sekitar Kuala Lumpur akibat majlis perkahwinan sepupu yang mengumpulkan kami di sini pula...






Seperti biasa, setiap sepupu juga mana-mana ibu/bapa atau anak saudara yang berkenan disuruh membuat satu persembahan, tak kiralah lakonan, nyanyian, silat ke hapa... dah buat persembahan baru boleh dapat 'ang pow'. Mereka juga diwajibkan bersalaman dengan setiap ahli keluarga...

Sesi pertemuan keluarga sebegini adalah unik untuk keluarga terdekat saya iaitu keluarga adik-beradik ibu. Pertemuan kali ini jadi lebih unik dan bermakna apabila ahli keluarga sepupu-sepupu ibu dari Singapura dan Batu Pahat dapat menghadiri, sekali lagi akibat perkahwinan sepupu yang mengumpulkan kami semua!





Sejurus sebelum berlaku perjumpaan keluarga di Ampang, kami telah terlebih dahulu bertemu di Bukit Damansara. Di sana, seorang bapa saudara mencadangkan agar saya mengumpul dan membukukan data mengenai keluarga besar sebelah ibu atau extended family yang meliputi 4 generasi... idea ini tercetus memikirkan betapa orang-orang tua dalam keluarga kami iaitu generasi datuk semakin pupus...






Empat generasi yang dimaksudkan adalah anak/cucu/cicit hingga ke apa entah panggil... cucut? Buyut? Oneng-oneng? Apa-apa sahajalah. Bahasa senangnya, keturunan daripada datuk kepada ibu saya, dari sebelah ibunya... seorang moyang lelaki saya.

Untuk pengetahuan, keluarga sebelah ibu sering mengidentifikasikan diri mereka dengan bangsa Jawa. Walaupun hakikatnya, ayah kepada ibu begitu juga ayah-ayah kepada ramai sepupu ibu adalah berketurunan Bugis, ikatan keluarga sebelah ibu kepada ibu saya yang berasal dari moyang lelaki yang berhijrah dari Pekalongan, Jawa ke Singapura sebelum menetap di Muar nampaknya lebih kuat dan rapat.

Generasi pertama keturunan moyang ini adalah anak-anaknya iaitu generasi datuk saya. Generasi kedua ialah generasi cucunya iaitu generasi ibu saya dan sepupunya. Generasi ketiga meliputi saya, sepupu dan dua pupu. Generasi keempat meliputi anak-anak saya, sepupu, dua pupu dan tiga pupu mereka.








Pada saya, ini adalah peluang untuk mengenali dan 'make peace' atau 'berdamai; dengan darah Jawa yang wujud dalam diri sendiri. Keluarga dari ibu saya dan 11 orang adiknya sahaja berjumlah tidak kurang 100 orang. Sedangkan ada sepupu ibu yang memiliki 19 orang adik-beradik! Kalau dicampur semua 4 generasi, rasanya tidak kurang 500 orang...

Rasanya mereka yang telah membaca siri buku "Berpetualang ke Aceh" dapat melihat betapa saya seperti lebih membesarkan dari diraja Aceh/ Melayu Perak yang mengalir melalui ayah, darah yang rupa-rupanya turut bercampur darah diraja Bugis. Kelihatan juga betapa saya seperti anti-Jawa, semuanya akibat marah dengan perbuatan pemerintah berketurunan Jawa di Jakarta yang dahulu seringkali membantai orang Aceh.

Sekarang, saya lebih akur bahawa saya turut memiliki darah Jawa. Sudah sampai masanya untuk saya mengkaji dan mendalami bahagian ini pula... lebih-lebih lagi saya banyak dibesarkan oleh keluarga sebelah ibu yang ibunya berbangsa Jawa. Tolak ke tepi fakta yang menyebut bapa kepada ibu berketurunan Bugis, saya sudah tahu susur-galurnya walaupun ada lompang sana-sini. Agaknya ini salah satu langkah agar diri dalaman saya lebih harmoni... dengan menyatukan betul-betul segala darah bangsa yang wujud dalam diri sendiri.





OK. Gambar-gambar lama yang dipaparkan di sini ditemui apabila saya kembali ke rumah ibu bapa di Muar hujung minggu raya kedua. Setahu saya semua gambar (kecuali yang betul-betul di atas) diambil awal tahun 1960an. Saya turut tergerak untuk menemurah seorang datuk saudara yang turut merupakan orang tertua masih wujud di kampung kami. Ternyata datuk berumur 92 tahun ini masih ingat banyak cerita...

Asalnya buku tentang keluarga ini mahu dibuat untuk ahli keluarga sahaja. Tetapi apabila memikirkan pelbagai perkara menarik yang ada apalagi penceritaan sebenar bakal menjangkau 5 generasi keluarga (moyang dari Jawa yang lahir sekitar tahun 1870an gitu dan 4 generasi keturunannya) berlatar-belakangkan sejarah sekitar Muar, Johor dan Singapura, ada baiknya ia dijadikan buku lebih umum yang dapat dibaca semua.




Oh. Gambar sebelum tadi adalah gambar diri saya yang diambil dalam tahun 1971. Bandingkan dengan gambar atas pose yang dibuat baru-baru ini iaitu 38 tahun kemudian. Amacam? Ada feel?

Kebetulan ada tarikh menarik hari ni, 19/10/2009. Ada faktor 191. Hari tu anak saya lahir 13/10/2009, jadi le faktor 131 yang membawa makna home sweet home atau rumahku syurgaku buat diri ini. Pada sesapa yang nak tau atau recollect makna 191 buat saya, boleh baca artikel 911, 119 dan 191 (Hmm... Apa pula ini?) . Hmm... teringat juga faktor 191 di Aceh. Sila lihat artikel Benteng Laksamana Malahayati, kerajaan lama Lamuri dan satu rahsia yang tersembunyi... . Sekian...

Selasa, Oktober 13, 2009

Lahirnya anakku Muhammad Al-Aminul Rasyid dan 131...

Nampaknya keadaan menentukan saya cuma dapat menyambung apa-apa cerita perjalanan selepas tamat bulan Syawal. Kita ikut aje le ya mood penceritaan terbaru ya...


Pemandangan kolam wuduk masjid jamek Muar dari belakang...


Gambar baby 1...

Gambar baby 2...


Gambar baby 3...



Beberapa rakan pembaca setia blogspot ini bersama saya dan isteri Ahad baru ini...


Assalamualaikum semua. Jadi apa cerita kali ini? Apakah maksud gambar-gambar di atas diatur sebegini rupa? Rasanya bab gambar baby tu dah cukup terang. Oleh itu sukacita dimaklumkan bahawa anak terbaru saya yang namanya sudah ditetapkan sebagai Muhammad Al-Aminul Rasyid telah selamat dilahirkan awal pagi tadi, Selasa 13/10/2009 pada jam 3.26 pagi. Jadi apa kena-mengena pula dengan gambar masjid dan gambar pembaca blogspot yang ada?

Lihat aturan yang tercetus. 1 gambar masjid diikuti 3 gambar bayi seterusnya 1 gambar pembaca yang diambil ketika menerima lawatan mereka ke rumah saya. Bukankah ada aturan 1-3-1 di sini? Saya rasa pembaca setia blogspot ini sudah sedia maklum betapa nombor 131 membawa makna tertentu buat saya. Siapa sangka anak yang isteri mahu panggil sebagai Al-Rasyid ini lahir pada satu tarikh yang juga ada 131 (13/10/2009)!

OK. Sebenarnya 2 gambar yang mengapit gambar-gambar bayi sangat relevan dalam penceritaan kali ini. Biar dimulakan dengan apa yang berlaku bulan Ramadhan lalu.

Pada pertengahan bulan itu, ketika isteri saya sudah sarat mengandung hampir 8 bulan gitu, saya dan isteri sempat membuat perjalanan jauh ke Kelantan untuk melihat anak-anak isteri (anak tiri saya le) di sana sebelum membawa mereka berjalan-jalan ke beberapa tempat di Terengganu. Kemudian saya dan isteri pergi ke Cameron Highlands melalui Gua Musang sebelum ke Chenderiang. Perak untuk melihat Lata Kinjang. Lihat penerangan yang dibuat dalam artikel Kata-kata santai setelah berjalan jauh lagi ke Pantai Timur... lebih sebulan lalu. Insyaallah satu siri cerita tentang perjalanan ini akan dibuat nanti.

Masuk minggu terakhir bulan Ramadhan, isteri saya mula terasa sakit-sakit di bahagian perut dan anggota badan berkaitan. Timbul rasa risau, apakah isteri saya akan beranak awal seperti mana pernah berlaku pada saya hampir 40 tahun lalu? Untuk makluman, menurut telahan doktor, saya sepatutnya lahir pada 22 Disember 1970. Sebaliknya saya lahir sebulan lebih awal iaitu pada malam 26 November yang menurut ibu saya adalah Malam Tujuh Likur @ 27 Ramadhan tahun itu! Anak saya pula dijangkakan lahir 8 Oktober. Kalau dia lahir sekitar Malam Tujuh Likur tahun ini, maka dia akan jadi lebih kurang macam kes saya agaknya...

Saya risau anak dalam perut lahir tak cukup bulan. Saya tak mahu apa-apa kesakitan yang pernah ditanggung saya mahupun segala macam kecelaruan hidup yang pernah dilalui turut dialami anak ini. Percaya atau tidak, saya memujuk anak di dalam perut. Kata saya: "Cukuplah Abah tak cukup bulan. Biarlah Al-Rasyid duduk dalam perut sampai cukup matang..."

Hari Raya tahun ini agak lain dari yang lain buat seluruh keluarga besar saya dari sebelah ibu apabila seorang sepupu perempuan melangsungkan perkahwinan di Kuala Lumpur pada hari raya ketiga. Ini menyebabkan 4 generasi keluarga kami dari seluruh pelusuk Semenanjung, juga Singapura berkumpul di KL selama beberapa hari itu, tidak seperti tahun-tahun lepas di mana kami mesti bersua di Muar sekitar hari raya kedua atau ketiga. Apapun, saya merancang untuk kembali ke kampung ibu pada hujung minggu pertama raya. Sebaliknya Rabu malam Khamis iaitu malam raya ke-empat, selepas menghadiri satu acara keluarga di Ampang isteri saya mula mengalami contractions.

Maaf ya, saya tidak tahu perkataan Melayu untuk menerangkan keadaan ini. Nak sebut sakit-sakit rasa kurang tepat pula. Apabila contractions terus berlaku sehingga esok harinya, saya pun memasukkan isteri ke dalam wad. Maka pada malam Jumaat isteri saya berada di hospital. Tergendalalah rancangan kami untuk kembali ke Muar hujung minggu.

Ketika itu terbetik juga harapan agar anak saya lahir pada hari Jumaat iaitu penghulu segala hari. Kalau tak dapat malam Jumaat seperti saya, dapat pagi atau petang Jumaat pun jadilah. Sebaliknya setelah menunggu lama sehingga hampir waktu Asar, tak juga jadi apa-apa. Lalu saya terpaksa membawa isteri keluar dari hospital dan hari-hari seterusnya saya jadi 'dungu' apabila perjalanan jadi tersekat akibat harus menunggu sekitar Lembah Kelang untuk kelahiran anak yang entah tak tahu bila.

Pagi Khamis minggu kedua Syawal, isteri saya mendapat surat MC 2 hari dari klinik kerajaan setelah membuat pemeriksaan pagi hari. Saya pula dah tak tahan asyik menunggu di rumah ataupun di KL lalu terus mengajak isteri pergi ke Kampung Janda Baik di Bentong, Pahang. Logik saya begini. Jarak antara rumah kami di Bandar Tasik Puteri ke Hospital Selayang tempat isteri berharap dapat melahirkan anak adalah sekitar 40 km. Begitu juga jarak hospital dari Janda Baik. Jadi elok juga ke sana menikmati angin segar pergunungan. Kalau berlaku apa-apa, tidak begitu jauh untuk berkejar ke hospital. Kami pun ke sana dengan cukup persiapan untuk bermalam 2-3 hari. Sebaliknya setelah berehat 2-3 jam, timbul rasa yang kuat untuk menyambung perjalanan ke Muar.

Saya bertanya isteri dan dia menurut sahaja. Kami pun nekad pergi ke sana dan sampai malam Jumaat. Mungkin anak kami mahu dilahirkan di daerah kelahiran saya itu? Apapun, dapatlah saya bersolat Jumaat di masjid tempat saya sering bermain dan bersolat ketika membesar. Tu yang diletakkan gambar tempat berwuduk di atas.

Di Muar kami dapat melawat beberapa tempat sebelum pergi ke bandaraya Melaka, Masjid Tanah, Kuala Linggi, Linggi, Rembau dan Kajang lalu kembali ke rumah di Bandar Tasik Puteri. Ternyata tidak ada apa-apa tanda baru bayi bakal lahir malah pada Rabu minggu ketiga Syawal, kami sempat ke Shah Alam untuk menghadiri majlis pengkebumian seorang nenek saudara, begitu juga tahlil pada malam esoknya iaitu malam Jumaat. Ketika itu terfikir juga apakah anak kami akan lahir Jumaat kali itu? Apapun, hati kami sedikit terhibur dengan kehadiran beberapa orang ahli keluarga yang merupakan para doktor, 3 daripadanya memang pakar sakit puan.

Jumaat ketiga Syawal berlalu tanpa apa-apa tanda. Padahal ia bersamaan 8 haribulan Oktober iaitu due date atau tarikh lahir bayi dijangkakan! Kami pun terus nekad menghadiri apa-apa acara hari raya juga berjalan ke sana ke mari. Tiada gunanya duduk termangu di rumah sekadar menunggu bayi keluar.

Kemuncaknya adalah apabila kami bergegas 80 km dari Bandar Tasik Puteri ke Bangi untuk menghadiri satu acara reunion kolej (lihat artikel Reunion A Level malam tadi di Bangi... ) Sabtu malam Ahad. Esoknya selepas Zuhur kami menerima kehadiran beberapa orang rakan pembaca setia blogspot di rumah kami sedangkan ketika itu isteri sudah masuk 3 hari overdue atau terlebih jangkaan tarikh kelahiran! Itu sebab diletakkan gambar terakhir di atas...

Saya mula menerima kenyataan bahawa bayi ini tidak semestinya lahir hari Jumaat. Janji selamat dan cukup sifat jadilah... hari apa pun boleh. Dalam pada itu tergerak pula untuk membuat perbandingan dengan situasi saya sendiri hampir 40 tahun lalu. Apakah anak ini lahir lambat untuk memenuhi 'kekurangan' saya dahulu? Apakah ia akan keluar hari Isnin kerana saya bercadang mahu memulakan puasa enam pada hari itu, puasa yang mahu dibuat 6 hari berturut-turut tetapi selama ini tergendala kerana mahu menemani isteri menikmati segala macam majlis sempena hari raya dan hal-hal lain berkaitan...

Saya pun menyemak Internet untuk melihat due date saya dahulu iaitu 22 Disember 1970, apakah tarikhnya jika menurut kiraan Hijrah. Jawaban yang diberikan oleh sebuah Gregorian-Hijriah converter (program menukar kalendar) ialah 23 Syawal dengan menyebut kemungkinan lari satu hari sedangkan sebuah lagi program menyebut 24. Mungkin juga muncul kiraan berbeza disebabkan dahulu, tarikh bermula puasa juga hari raya seringkali tidak sama dari satu negara ke satu negara akibat ada tempat yang melihat anak bulan lebih awal sedangkan ada yang terus menurut kiraan falak. Rasanya dalam tempoh sedekad ini baru diselaraskan agar semua pihak menurut kiraan falak lalu mendapat tarikh umum yang selari untuk seluruh dunia.

Ya, 22 Disember 1970 mungkin bersamaan 23 Syawal, mungkin juga 24. Yang pasti ia adalah hari Selasa kerana kiraan hari tak pernah lari, tetap 7 hari seminggu menurut turutan yang sepatutnya tak kira menurut kalendar apa. Ah, apakah anak ini bakal lahir hari Selasa? Tetapi jam 4:30 pagi Isnin ketika saya bangun untuk bersahur, ternyata isteri sudah mendapat satu tanda utama apabila pendarahan bawah bermula... apakah ia akan keluar hari Isnin pula?

Sebaik sahaja selesai rush hour atau waktu orang berkejar pegi kerja, saya terus menghantar isteri yang semakin rancak mengalami contractions masuk ke Hospital Selayang. Hampir jam 3 petang baru dia mendapat katil akibat ramai orang. Tetapi dipendekkan cerita, masuk tengah malam baru isteri saya mengalami cukup pembukaan yang bermakna untuk menandakan bayi akan keluar dalam waktu terdekat. Cuma timbul masalah yang memerlukan pembedahan. Akhirnya bayi selamat dilahirkan pada pagi Selasa 13/10/2009, jam 3.26 iaitu 5 hari selepas due date 8 Oktober. Nampaknya berat yang menjangkau 4.3 kg memerlukan ia keluar begitu...

Yang nyata anak yang dinamakan Muhammad Al-Aminul Rasyid ini lahir 24 Syawal 1430 Hijrah. Ini seolah 'memperbetulkan' keadaan saya yang lahir tidak cukup bulan hampir 40 tahun lalu... atau cukup 40 tahun malah boleh kata tepat 40 tahun menurut kalender Islam kerana saya lahir 1390 Hijrah! Bukankah due date saya dahulu iaitu 22 Disember 1970 bersamaan 23 atau 24 Syawal? Campurkan dengan kemunculan angka 131 yang selalu saya sabitkan dengan home sweet home atau konsep rumahku syurgaku melalui kelahiran pada 13/10/2009, dengan keadaan bayi dkeluar 5 hari melepasi due date... sedangkan isteri saya mendapat katil nombor 5 di Wad 5B yang terletak di tingkat 5 hospital, apakah ini semua sekadar kebetulan?

Sesungguhnya saya menaruh harapan yang tinggi dengan kelahiran bayi ini. Nama Muhammad Al-Aminul Rasyid yang timbul satu petang ketika menyeberangi Sungai Perak di sekitar pekan Parit, setelah pertama kali menziarahi makam beberapa orang kerabat diraja lama Perak telah disimpan sejak penghujung 2001, baru kini saya mendapat seorang anak lelaki yang layak menerima nama itu. Selama ini, ia cuma dapat dipakai untuk watak utama siri novel "Berpetualang ke Aceh" yang dibuat berdasarkan pengalaman sebenar kehidupan dan pengembaraan saya. Semoga anak ini menjadi orang yang lebih baik dari saya, semoga ia mendapat manfaat dari segala salah-silap perkiraan hidup saya yang membuahkan segala macam ilham dan ilmu tanpa dia sendiri perlu melalui segala susah-payahnya!

Oh. Untuk sesiapa yang tidak tahu betapa bermaknanya nombor 131 untuk saya, bolehlah baca artikel-artikel lama ini.

13 haribulan 11 dan 131... Sesuatu yang istimewa...

Apa ada kat P131 Rembau?

Satu majlis buku, nombor 1310 dan Adiputra si kanak-kanak 'genius'...

Nombor 131 dan segala "adik-beradiknya"...

Nombor 131 dan gerak penceritaan seterusnya...

"Sirih pulang ke gagang", nombor 131 dan DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874"...

Nombor 131 dan makna satu pernikahan...

Sampai ke Aceh setelah 5 tahun 5 bulan menunggu! Rupa-rupanya ada faktor 131 di sini...

Sekian wassalam. Sekali lagi, selamat hari raya.


Ahad, Oktober 11, 2009

Reunion A Level malam tadi di Bangi...

OK. Dalam artikel Gambo lama Sekolah Sains dan rancangan bercerita seterusnya... saya ada memberitahu, selepas ini mahu bercerita tentang beberapa perjalanan yang dibuat dalam tempoh sebulan lebih kebelakangan ini selain beberapa perkara yang berlaku Hari Raya. Malam tadi, tanpa dirancang saya dan isteri telah pergi menghadiri satu majlis Hari Raya merangkap reunion kolej untuk bekas pelajar A Level di bawah program PPP/ITM seangkatan zaman dengan saya iaitu daripada kumpulan yang dipanggil Batch 7.

Dalam video saya ada menyebut batch ini sebagai dari tahun 1991. Saya tersilap. Kami masuk kolej tahun 1988, setelah mendapat keputusan cemerlang untuk peperiksaan SPM tahun 1987. Sebaliknya 1991 ialah tahun saya sendiri menyambung pelajaran peringkat universiti di United Kingdom, setelah ketinggalan setahun akibat ditendang dari kolej kerana masalah disiplin. Harap maklum... :]






Selasa, Oktober 06, 2009

Gambo lama Sekolah Sains dan rancangan bercerita seterusnya...

Assalamuaikum semua. Sudah lebih 2 minggu saya tidak membuat apa-apa posting di mana-mana blogspots, rasanya sudah sampai masa untuk memecah kesunyian. Sudah 2 minggu juga kita beraya, takkan le masih terkapai-kapai kelesuan akibat makan ketupat, sate dan pergi open house bukan? Takkan nak terus biarkan blogspots tidak tercuit. Takkan asyik nak baca artikel terakhir Koleksi cerita perjalanan Aceh yang lebih teratur... yang dibuat penghujung bulan puasa...

Di atas ini adalah gambar lama tahun 1985 ke 1986 gitu... ketika saya masih di Tingkatan Tiga (atau empat?), Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang. Cuba teka yang mana satu saya. Gambar ini baru saya temui tadi. Terima kasih kepada seorang kawan lama, Hairul Hafizi yang sudi meletakkannya di dalam Face Book baru siang tadi. Untuk makluman, kami baru berhubung kembali melalui FB tak sampai seminggu pun... setelah 23 tahun tidak mendengar apa-apa khabar berita!

OK. Saya ada beberapa cerita yang ingin dilepaskan berdasarkan apa yang berlaku kebelakangan ini. Biar disenaraikan ikut nombor ala-ala perenggan dalam blog Tun Mahathir @ Che Det gitu.

1. Cerita Linggi dan Kuala Linggi... satu pencarian makam lama berdasarkan petunjuk yang diberi melalui satu komen di blogspot ini. Walaupun sudah cuba mencarinya ketika awal bulan puasa tetapi yang ditemui sebuah makam lama lain yang turut bermakna. Baru hujung minggu ini ke sana lagi dan terjumpa makam yang dimaksudkan, di atas Bukit Supai di mana terdapat bekas sebuah kota lama yang dibina angkatan tentera Bugis dan Belanda.

2. Cerita perjalanan terbaru ke Pantai Timur yang dibuat hampir pertengahan bulan puasa. Yang ni harus panjang dan bersiri kerana melibatkan banyak lokasi seperti Tasik Kenyir, Kuala Berang, Kuala Terengganu, Masjid Kristal dan boleh kata semua makam-makam lama orang-orang terkemuka seperti para raja dan ulamak bertaraf wali di sekitarnya. Juga melibatkan Kota Bahru, Masjid Kampung Laut, air terjun Kelawang di Gunung Stong, jalan Dabong ke Gua Musang, Cameron Highlands and Kuala Medang di Pahang selain Lata Kinjang dan Chenderiang di Perak.

3. Berkenaan Hari Raya itu sendiri terutama peristiwa sekitar perkahwinan seorang sepupu perempuan dengan jejaka dari New Zealand yang telah menetap di Australia, diadakan pada hari raya ketiga. Sebenarnya sepupu ini pun sudah lama menetap di negara sama, nampaknya terus sangkut le.

Hmm... baru hujung tahun lepas ke awal tahun ini, seorang sepupu lain telah berkahwin dengan seorang jejaka Amerika. Dua tiga tahun sebelum itu, kakak kepada sepupu yang baru sangkut dengan jejaka Australia pula telah berkahwin dengan seorang pemuda Albania yang keluarga sudah menjadi warga negara Amerika, kini sudah mendapat seorang anak.

Kebetulan pula hujung minggu lalu di Muar, terjumpa gambar lama seorang sepupu ke dua pupu gitu kepada ibu sedang bersanding dengan seorang wanita England, dalam tahun 1961 gitu. Cuma perkahwinan itu akhirnya gagal sehingga ibu pernah berpesan ketika saya mahu berlepas melanjutkan pelajaran ke England, jangan berkahwin atau sangkut dengan orang putih! Ibu tak restu...

4. Perkahwinan sepupu pada raya ketiga ini telah mengumpulkan 4 generasi keluarga besar sebelah ibu. Dari situ tercetus idea untuk mengumpul butir salasilah keluarga belah ini yang lebih dikaitkan dengan bangsa Jawa. Ini membuat saya lebih banyak mengambil tahu hal-hal keluarga berbanding dahulu. Misalnya, baru tahu, keluarga seorang bapa saudara ibu di Singapura terdiri daripada 19 orang anak seibu sebapa, belum dicampur peringkat cucu dan cicit lagi.


Ibu saya sendiri mempunyai 11 orang adik. Daripada adik-adik ini muncul sepupu-sepupu terdekat yang berjumlah 50 orang gitu dan separuh dari mereka sudah mempunyai anak-anak sendiri. Jumlah mereka semua bercampur isteri/suami hampir 100 orang! Cuba bayangkan kalau dikumpul 4 generasi keluarga keturunan datuk kepada ibu yang berasal dari Pekalongan, Jawa. Saya percaya tidak kurang 500 orang mesti ada...

Kalau dicampur dengan datuk kepada ibu itu, cerita keseluruhan keluarga melibatkan 5 generasi. Tentu ada yang menarik bukan sekadar untuk kami sekeluarga tetapi juga untuk para pembaca umum kerana perkembangan keluarga ini meliputi sekitar 120 tahun sejarah Tanah Jawa, Singapura, Muar, Johor malah seluruh Semenanjung Tanah Melayu! Selama ini saya lebih banyak bercerita tentang keluarga sebelah ayah di Perak yang berkait dengan Aceh dan Bugis sedangkan ayah kepada ibu juga berdarah Bugis. Sekarang sampai masanya untuk merungkai darah Jawa yang muncul melalui ibu kepada ibu, setelah beberapa lama saya kelihatan seperti anti-Jawa akibat pembantaian yang dibuat oleh Jakarta terhadap orang Aceh sekian lama.


Dengan ini saya rasa cukuplah bercerita buat masa ini. Datang angin lagi nanti Insyaallah akan saya kembangkan dahulu cerita Linggi. Untuk makluman ini adalah artikel ke 575 di blogspot ini. Sekali lagi, selamat hari raya! :]


Sabtu, September 19, 2009

Koleksi cerita perjalanan Aceh yang lebih teratur...


Assalamualaikum semua. Sempena malam ini sudah pun masuk 1 Syawal 1430 tahun Hijrah sedangkan fasa penceritaan perjalanan di Aceh 15-22 Jun 2009 telah pun selesai baru ini, biarlah dipersembahkan di sini segala links untuk artikel ceritanya demi kesenangan pembaca ya. Agar penceritaan jadi lebih mantap dan menyeluruh, saya satukan segala cerita berkaitan daripada ketiga-tiga blogspots saya iaitu CATATAN SI MERAH SILU , BERPETUALANG KE ACEH and SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Semoga ia lebih menarik walaupun dahulu anda pernah mengikutinya sejak dari mula.

Di sini juga saya ingin mengucapkan selamat hari raya kepada setiap pembaca setia blogspot ini. Ampun dan maaf dipinta saya sekeluarga jika ada apa-apa kesalahan samada sengaja atau tidak disedari. Semoga kita semua mendapat berkat dari bulan mulia perayaan ini. Selamat malam! :]




Mukadimah







Isnin 15 Jun









Selasa 16 Jun



















Rabu 17 Jun










Khamis 18 Jun













Jumaat 19 Jun










Sabtu 20 Jun













Ahad 21 Jun








Penutup, Isnin 22 Jun








p/s: Pada mulanya saya menyangkakan ini adalah artikel ke 575 ke sini. Rupa-rupanya saya silap, ia adalah yang ke 574. Harap maklum, ini ialah buat peringatan diri saya yang ada gila-gila nombor. Sekian...


Khamis, September 17, 2009

Ke lapangan terbang untuk kembali ke Malaysia... tamatlah cerita perjalanan di Aceh...

Alhamdulillah, masuk 27 Ramadhan ini saya sempat menyelesaikan banyak perkara. Antaranya berjaya mengkhatamkan Al-Quran sebelum masuk waktu senja, satu pencapaian yang amat bermakna kerana itulah kali pertama saya mengkhatamkan kitab suci ini sejak hampir 28 tahun!

Kali terakhir dan julungkali saya khatam Al-Quran adalah ketika berumur 12 tahun. Itupun sebab dipaksa mengaji dan bila dikenangkan kembali ia berlaku dalam keadaan 'mengelat'... saya sebenarnya berhenti mengaji setelah selesai Juzuk ke 29.

Oleh kerana terlebih dahulu saya pernah khatam kitab kecil Muqaddam yang sebenarnya merupakan himpunan Surah-surah dalam Juzuk ke 30 Al-Quran, saya memberitahu guru mengaji bahawa cukuplah, saya sudah boleh dikira khatam seluruh kitab. Guru yang merupakan seorang perempuan tua ini mengalah sahaja. Melihat saya tidak mahu lagi pergi mengaji dan sentiasa mencari jalan untuk melarikan diri apa guna lagi dipanjangkan cerita?

Kini, dalam bulan Ramadhan tahun Hijrah 1430 ini baru saya betul-betul berjaya mengkhatamkan Al-Quran dengan membaca dari mula secara tertib dan menurut adab. Lebih bermakna lagi, ia berlaku sejurus sebelum masuk tarikh 27 Ramadhan yang merupakan ulangtahun ke 40 saya dilahirkan menurut tahun Hijrah! Maka itu elok juga ditamatkan terus cerita perjalanan di Aceh ini...


OK. Cerita-cerita perjalanan yang dinukilkan dari hari ke hari semuanya sudah tamat untuk meliputi apa yang berlaku sejak sampai ke Aceh 15 Jun sehingga sampai masa santai hari Ahad 21 Jun. Kini cuma tinggal cerita hari Isnin 22 Jun yang merupakan hari terakhir saya dan isteri berada di Aceh untuk kembali ke Malaysia.


Pagi sekitar jam 10 kami sudah keluar dari hotel lalu singgah sebentar di pejabat Kak Ann. Kemudian baru kami ke lapangan terbang untuk mengejar penerbangan yang akan berlepas sejurus sebelum masuk tengahari...

Cerita perjalanan dari Banda Aceh ke lapangan terbang dengan melalui bandar universiti atau daerah pelajar bernama Darussalam telah dinukilkan lebih awal tadi di blogspot BERPETUALANG KE ACEH melalui artikel bertajuk Through the university town of Darussalam and on to the airport... . Ternyata di lapangan terbang terdapat ramai orang Malaysia turut mahu balik ke negara dengan penerbangan yang sama. Ada di antara mereka para pelajar universiti yang mengikut rombongan, ada yang datang mengikut program melawat penempatan anak-anak yatim terutama mereka yang kehilangan tempat bergantung setelah ombak ganas tsunami menyerang Aceh 26 Disember 2004.


Di sini di ruang menunggu, saya dan isteri meminta orang untuk mengambil gambar terakhir kami berdua di Aceh.



Sambil bersedia untuk menaiki kapal terbang, ternampak gunung Seulawah yang terserlah lagi menggamit kenangan. Ternampak juga sebuah pesawat penerbangan tempatan milik Sriwijaya Air. Sriwijaya? Macam ada sesuatu isyarat yang mahu diberikan...




Ketika ini kami sudah menaiki kapal terbang yang sedia berlepas daripada lapangan terbang, lapangan terbang antarabangsa Sultan Iskandar Muda yang diberi nama sempena pemerintah paling terkenal dalam sejarah Aceh (memerintah 1607 - 1636) Masihi. Sebuah artikel bertajuk The journey back home from Aceh and aerial pictures... memaparkan perjalanan di udara serta gambar-gambar dari dalam pesawat sudah pun dibuat di BERPETUALANG KE ACEH. Dengan ini selesailah segala nukilan perjalanan terbaru di Aceh. Semoga ia membawa faedah kalau tidak pun menghiburkan semua. Sekian, selamat maju jaya! :]






Deja vu panjang di dayah pimpinan ulamak Abu Madinah...

Kiranya ini bersambung daripada artikel Hari Ahad yang santai di Aceh diikuti majlis penuh warna-warni... ya! Mari...


Selepas majlis di hotel tamat, saya dan isteri duduk bersama Kak Ann berehat di lobi. Tempat kami terus didatangi 2 orang ulamak terkemuka Aceh kini, seorang dipanggil sebagai Walid, seorang lagi yang lebih tua dan senior dipanggil Abu Madinah. Walid sendiri merupakan seorang ulamak besar yang dihormati, turut dirujuk para pembesar Indonesia dari Jakarta. Tetapi di hadapan Abu Madinah dia kelihatan segan. Diciumnya tangan orang tua berumur sekitar 60an itu (kalau tak salah saya le) menunjukkan tanda hormat yang amat sangat.

Di ketika hadirin lain rata-rata berkumpul bersama sekutu politik masing-masing menyambung cerita mahupun rancangan dan percaturan, kami pula agak santai bercerita tentang keadaan semasa masyarakat, masuk sedikit bab-bab agama. Entah kenapa Abu Madinah yang tidak banyak bercakap tetapi lebih selesa memasang telinga tertarik dengan saya dan isteri. Terus dia mengajak kami berjalan-jalan melihat sebuah dayah (bahasa Aceh untuk institusi pengajian pondok, juga dipanggil pesantren dalam bahasa Indonesia) pimpinannya di pinggir Banda Aceh. Rupa-rupanya Abu Madinah yang pernah duduk lama di Madinah, Tanah Arab memimpin 2 buah dayah di sekitar bandaraya...


"Sudilah naik van buruk saya," dia menjemput. Walaupun jam sudah masuk 1 pagi kami menerima sahaja. Bukan selalu dapat peluang begini. Lagipun siang nanti kami akan kembali ke Malaysia.

Abu Madinah pun membawa kami ke dayah yang terletak sekitar 5 km dari hotel. Rupa-rupanya ada sebab kerana di situ sekali lagi saya mengalami deja vu panjang.



Saya percaya para pembaca setia blogspot ini sudah sedia maklum betapa saya selalu mengalami deja vu... pengalaman seperti pernah sampai di suatu tempat di mana segala yang berlaku, apa yang dilihat, jalan yang dilalui, perbualan yang terkeluar sama sahaja seperti apa yang pernah dilihat samada dalam mimpi ataupun bayangan . Walaupun di Aceh juga saya selalu deja vu, tetapi seingatnya saya cuma beberapa kali sahaja mengalami deja vu panjang melihat apa yang berlaku sama sahaja seperti 'pengalaman lepas' sehingga menjangkau tempoh melebihi 5 minit.

Di sini biar disenaraikan kembali pengalaman deja vu panjang di Aceh... seingat saya tiada yang lain sebegini...

1. Ziarah ke Makam Lapan hari Rabu. Lihat artikel Ke makam Sultan Malikus Salih - kenapa pula deja vu lama di Makam Lapan?

2. Ziarah ke makam Laksamana Malahayati dan bukit sekitarnya. Lihat artikel Benteng Laksamana Malahayati, kerajaan lama Lamuri dan satu rahsia yang tersembunyi... .

3. Singgah restoran karaoke berdekatan aliran timur Sungai Aceh. Lihat artikel Tutup cerita hari Sabtu : Deja vu di restoran karaoke, 'mengopi' di Ulu Kareng dan membeli buah-tangan di Jalan Sultan Malikus Salih! .

4. Di dayah pimpinan Abu Medinah pada awal pagi Isnin sejurus sebelum kembali ke Malaysia!



Abu Medinah menunjukkan kawasan sekitar dayah dengan beberapa bangunan sedang diperbaiki atau diperbesarkan. Maaf gambar-gambar yang ada kelam-kelam belaka... tetapi begitulah keadaannya seperti saya lihat hingga menjadi deja vu. Apabila mendengar saya berhajat untuk melihat Banda Aceh daripada menara di tengah bandaraya (semasa saya datang ia sedang ditutup), dia menawarkan untuk membawa saya naik ke menara masjid utama Aceh iaitu Masjid Baitur Rahman! Tapi tak mengapalah, ini cuma dapat dilakukan selepas waktu Subuh sedangkan kami harus bersiap-sedia untuk kembali ke Malaysia selain saya masih perlukan sedikit rehat di hotel, tak larat jalan-jalan lagi dah.

Ulamak yang dihormati ini memberikan pesan... carilah dia jika datang lagi ke Aceh. Dia akan membawa kami berjalan-jalan. Saya mengangguk-angguk kepala, terasa malu juga dilayan begitu hormat oleh seorang ulamak besar. Sejurus kemudian dia menghantar kami kembali ke hotel. Cukuplah lawatan sekitar setengah jam ke dayah pimpinannya untuk menzahirkan satu pengalaman melihat masa hadapan melalui proses deja vu yang mungkin nanti akan saya pecahkan makna sebenarnya nanti Insyaallah. Sekian laporan...


Hari Ahad yang santai di Aceh diikuti majlis penuh warna-warni...

Hari Ahad 21 Jun 2009. Setelah beberapa hari asyik berjalan-jalan ke merata tempat kali ini kami sekadar duduk santai di hotel dan sekitar...


Rasanya cukuplah kami sudah pergi ke semua tempat yang ingin kami pergi ditambah tempat-tempat yang tidak sangka kami akan pergi tetapi dirancangkan oleh orang lain pula buat kami atas Qada dan Qadar Allah jua. Lagipun esok harinya Isnin pagi masuk tengahari sekitar jam 11 gitu (saya pun dah lupa jadualnya dengan tepat) kami akan berlepas kembali ke Malaysia. Maka itu biarlah kami berehat menghilangkan penat seraya menikmati apa yang terdapat di hotel paling mewah di Aceh ini sendiri...

Rupa-rupanya masih ada lagi sesuatu yang menarik mahu diberikan Allah untuk kami menikmati. Petang itu kami mendapat panggilan daripada Kak Ann bahawa ada majlis besar akan berlangsung di hotel kami malam nanti. Dan tidak seperti majlis hari Jumaat malam Sabtu di mana kami sebenarnya masuk secara curi-curi tetapi selamba (lihat artikel Menikmati tarian tradisional Aceh di majlis orang! ), kali ini kami dijemput hadir sama sebagai sebahagian daripada tetamu VIP!


Lalu kami pun masuk menghadiri majlis yang merupakan satu persediaan untuk pilihanraya memilih presiden Indonesia...



Turut hadir adalah beberapa orang ulamak terkemuka Aceh kini...




Selain itu kebanyakan yang hadir adalah orang-orang yang terlibat dalam dunia politik Indonesia juga Aceh sendiri...





Ah. Majlis pun bermula dengan rasmi...






Tetamu-tetamu VIP disambut dengan cara tradisional Aceh...







Alhamdulillah, saya dan isteri dapat menikmati lagi persembahan tradisional Aceh. Dan kali ini kami tidak begitu 'kemaruk' lagi. Kerana hajat untuk menikmati sudah dipenuhi lebih awal pada majlis terdahulu di hotel ini juga. Yang ini kira bonus le sebelum kami kembali ke Malaysia...






Tetapi ternyata masih ada yang belum kami saksikan di Aceh. Nasib baik kami menghadiri majlis ini. Rupa-rupanya ada persembahan tarian dabus! Tahu apa itu tarian dabus? Sila lihat video-video yang diletakkan pada artikel Enjoying some more Aceh traditional shows, this time as VIP guests at a political rally function... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi. Di situ ada 'cebisan-cebisan' daripada semua persembahan yang ada, daripada paluan gendang dengan nada keagamaan, bacaan istimewa Al-Quran sehingga ke persembahan ala Bob Dylan membawa ke tikam menikam menghiris badan. Sekian...