Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Mac 04, 2022

Kamera-kamera digital yang pernah dimiliki

Salam awal pagi Jumaat 1 Sya'aban 1443 Hijriah. Pada ketika ini saya dan keluarga sedang berada di rumah ibu bapa di Muar. Gerak penulisan membawa untuk bercerita tentang kamera digital. Mari.


Merujuk pada artikel Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Antara Lenggong dengan panggilan Laksamana Aceh yang dipersembahkan pada 28 Februari. Pada awal artikel timbul gerak untuk bercerita tentang kamera-kamera digital yang pernah dimiliki. Ini kerana saya telah menggunakan sebuah kamera lama bagi perjalanan disebabkan kamera yang selalu digunakan sebelum itu rosak. Untuk pengetahuan cerita dalam artikel berlaku pada tarikh 22 Februari 2022 (22/02/2022, boleh juga ditulis sebagai 22/2/22). 

Menariknya gambar pertama diambil pada hari itu merupakan yang ke-222 dalam kamera. Hal ini membuatkan terasa perlu ditulis satu artikel khas tentang kamera-kamera digital yang pernah dimiliki apabila siri "Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II" selesai dibuat dan disajikan nanti. Bila disemak kembali sejumlah artikel lama juga barangan yang masih ada dalam simpanan ternyata saya telah memiliki 11 buah kamera digital sejak rajin mengambil gambar bermula hampir penghujung tahun 2006. Saya suka kamera digital kompak yang cukup muat dipegang dalam tapak tangan juga mudah dimasukkan ke dalam poket pouch bag. Ini kerana senang dibawa mengembara termasuk turun naik gunung dan keluar masuk hutan.

Dengan kamera-kamera ini sudah harus diambil lebih 100,000 keping gambar dalam tempoh 15 tahun kebelakangan. Saya berani menyatakan ini kerana dengan sokongan gambar-gambar daripada kamera dapat menerbitkan 2,228 artikel di blogspot ini setakat ini (termasuk artikel ini), 2,180 artikel di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART), 2,168 di BERPETUALANG KE ACEH juga 399 di Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Rata-rata artikel mengandungi banyak gambar. Ada yang mengandungi lebih 20 gambar. Yang sampai dekat 40 gambar pun ada. Sedangkan gambar-gambar yang dikongsikan pula dipilih daripada lebih banyak yang ada dalam kamera.


Dengan itu setiap kamera digital ada sejarahnya yang tersendiri. Misalnya gambar ini adalah satu-satunya dapat ditemui menunjukkan kamera ke-4 saya. Kelihatan anak bongsu saya Muhammad Alauddin Johan sedang berumur sekitar 3 bulan ketika gambar diambil Mei 2012. Kamera itu kemudian jatuh tercicir bulan Julai, rasanya ketika menunggang motosikal besar kesayangan dari rumah sewa di Bandar Tasik Puteri ke pekan Batu Arang. Ketika itu ia adalah kamera paling canggih dimiliki kerana ada 7x zoom.

Selepas itu dapat dibeli kamera dengan 12.5x zoom tetapi lebih murah. Sayangnya ia menjadi rosak akibat selalu jatuh terkeluar dari poket pouch bag. Kamera digital selepas itu pula jatuh tercicir ketika hiking dalam hutan setelah beberapa lama dimiliki. Kamera digital paling canggih adalah yang terakhir dibeli setakat ini merangkap yang ke-11 dimiliki. Didapatkan pada penghujung tahun 2018 sebagai persediaan untuk perjalanan ke Kemboja atau Cambodia ia memiliki 25x zoom. Lihat  Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - The compilation. Bila disebut zoom saya merujuk pada optical zoom sahaja ya bukan digital zoom. Kalau campur digital zoom kamera tercanggih itu boleh mencapai sehingga 100 kali pembesaran gambar.

Sekadar hendak memberitahu. Saya mula memiliki kamera sendiri selepas pertengahan tahun 1995. Ia adalah sebagai persediaan untuk membuat ke perjalanan Eropah hampir penghujung musim panas, setelah menamatkan pengajian dalam bidang matematik di University College of London. Tetapi kamera itu hilang dicuri orang ketika berada di kota Prague, Republik Czech. Saya pun membeli kamera terpakai sebagai ganti sebelum menyambung perjalanan ke kota Bratislava di Republik Slovakia. Sedikit cerita tentang perjalanan boleh diikuti melalui artikel-artikel berikut :-  







Tetapi itu adalah kamera-kamera analog, bukan kamera digital. Kamera itu memerlukan roll untuk menyimpan gambar. Setiap roll cuma boleh mengambil sehingga 36 keping gambar, itupun tak tahu jadi atau tak jadi. Kena cuci roll di kedai dahulu baru boleh nampak hasilnya. Berbeza dengan kamera digital yang boleh digunakan untuk mengambil beribu gambar asalkan cukup memory dalam SD Card. Setiap gambar boleh disemak jadi atau tidak menggunakan paparan digital sejurus selepas diambil. Kalau tak jadi atau tak puas hati boleh delete atau hapuskan lalu ambil gambar baru.

Kali pertama saya menggunakan kamera digital adalah pinjam dari sepupu untuk mengikuti satu majlis di Perak. Lihat artikel lama Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam diraja Bukit Chandan.... Selepas itu baru tergerak untuk membeli sendiri. Hal kamera-kamera digital telah membawa kepada penulisan artikel-artikel berikut :-








Melalui penulisan-penulisan ini juga semakan seterusnya dapatlah dibina senarai kamera-kamera digital yang pernah dimiliki. Dapat dinyatakan model, bilakah dimiliki dan sehingga bila atau anggaran waktunya. Biar diabadikan di sini...


1. Grandvision Pocket Digital Camera - Dibeli penghujung tahun 2006. Pakai sehingga rosak Jun 2008.

2. Olympus Stylus 820 - Dibeli terpakai sekitar Jun-Julai 2008. Pakai sehingga rosak Mei 2010

3. Olympus FE-4010 - Dibeli sekitar Mei-Jun 2010. Rosak masuk air November tahun itu. Lihat Menyelesaikan bab Perak : Bertungkus-lumus ke Beting Beras Basah

4. Olympus Stylus 7040 - Dibeli Disember 2010. Hilang Julai 2012. Mungkin tercicir jatuh dari motosikal. Ini yang ada 7x zoom.

5. Olympus VR-320 - Dibeli penghujung 2012 atau awal 2013. Selepas beberapa lama rosak akibat asyik jatuh terkeluar dari poket. Ini yang ada 12.5x zoom.

6. Nikon Coolpix S3300 - Dibeli awal 2014. Tercicir jatuh dalam hutan sekitar Mac 2015

7. Canon IXUS 160 - Dibeli Oktober 2015. Rosak fokus akibat terjatuh ketika menganjurkan satu majlis ilmu penghujung Oktober 2016.  Lihat Acara kelapan belas HIKMAH di Muzium Negara, Kuala Lumpur 22 Oktober 2016. Tetapi terus digunakan sehingga penghujung November walaupun menerbitkan gambar-gambar kabur.

8. Sony  DSC-W810 - Hadiah isteri sempena hari jadi saya yang ke-46 pada 26 November 2016 untuk menggantikan kamera kabur. Diberikan kepada anak Disember 2017 apabila mendapat kamera yang terasa lebih baik tetapi cukup murah.

9. Canon IXUS 185 - Dibeli Disember 2017. Tak ingat apakah masalah sehingga menyebabkan saya mencari kamera lain penghujung 2018. Mungkin kerana mahu mencari zoom lebih tinggi daripada 5x?

10. Panasonic Lumix DMK-TZ15 - Dibeli terpakai penghujung 2018. Ada zoom 10x. Tetapi setelah dibawa ke lapangan terutama pada waktu malam didapati gambar kurang memuaskan selain saiznya agak bagak..

11. Canon Powershot SX620 HS - Dibeli terpakai penghujung 2018 selang seminggu dua selepas kamera ke-10. Dipakai sehingga fokus rosak penghujung Januari 2022. Ini yang ada 25x zoom. Sebelum itu sudah rosak mekanisma zoom sejak pertengahan tahun 2021 kalau tak salah. Tetapi masih boleh diambil gambar yang cukup elok sehinggalah fokus rosak.

Sekarang saya sedang memakai kembali kamera ke-8 akibat kerosakan kamera ke-11 seperti disebut pada awal artikel Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Antara Lenggong dengan panggilan Laksamana Aceh. Nak beli baru belum ada bajet dan kelapangan untuk mencari. Nak mencari memang memakan masa kerana harus dipilih yang sesuai dengan bajet. Cukup cerita.



Khamis, Mac 03, 2022

Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II

Seperti biasa apabila selesai satu siri penceritaan bagi perjalanan yang memakan masa beberapa hari lalu harus diterbitkan banyak artikel untuk meliputi saya akan membuat satu artikel kompilasi. Sekarang biar dibuat satu tentang perjalanan baru ini.


Perjalanan ini meliputi sejumlah tempat di Kedah dan Perak. Berlaku 20-23 Februari 2022 iaitu dalam tempoh 4 hari 3 malam ia meliputi jarak pemanduan 1,200 km. Ia dibuat dengan tujuan utama mahu menziarahi tempat-tempat yang ada kaitan dengan keluarga Laksamana Kedah juga Laksamana Perak. Oleh kerana ada kesinambungan dengan perjalanan serupa yang dilakukan awal bulan November tahun lepas, perjalanan yang cerita-ceritanya dikumpulkan dalam artikel Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah maka ia diberi nama "Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II".

Satu perkara istimewa adalah dapat berjumpa ramai orang yang ada kena mengena lalu berbincang tentang warisan dan sejarah nasab keturunan tanpa dirancang. Ada yang rupanya ada kaitan dengan nasab keluarga saya, ada daripada keturunan keluarga bangsawan lain. Tetapi rata-rata ada minat tentang warisan dan sejarah. Dan mereka ada minat untuk memartabatkan Melayu dan Islam.


1. Rumah agam (Mansion of) Ismail, Titi Gajah, Alor Setar 

2. Lawatan baru ke Masjid Tuan Hussin (New visit to mosque of Tuan Hussin)

3. Makam (tomb of) Laksamana Kedah, Kanchut, Alor Setar

4. Batu nesan Aceh di (Aceh tombstone in) Kanchut, Alor Setar 

5. Makam isteri (tomb of wife of) Wan Mat Saman

6. Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Merungkai hal Wan Ismail dan nenek moyang

7. Galeri (Gallery of) Dato' Maharaja Lela, Kampung Padang Mergong, Alor Setar

8. Kota (Fort of) Raja Bersiong

9. Masjid (Mosque of) Toh Paduka

10. Galeri kecil (Small gallery of) Toh Paduka Raja 

11. Makam (Tomb of) Wan Abu Bakar bin Laksamana Wan Ismail

12. Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Dari Kota Kuala Kedah membawa ke Kerian membawa ke Ijok

13. Ke dalam galeri Tok Aki (Inside the gallery of Tok Aki), Kampung Chepor, Lenggong

14. The "Mini Amazon" at Kampung Beng, Lenggong

15. Masjid (Mosque of) Kampung Beng, Lenggong

16. Part of the "Mini Amazon" closer to the Perak river

17. Masjid (Mosque of) Banggol Belimbing, Lenggong 

18. Makam (Tomb of) Seri Adika Raja Meor Yahya

19. New visit to Tasik Raban

20. Foray to Kampung Raja Intan Suraya

21. Makam (Tomb of) Panglima Alang Ishak

22. Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Antara Lenggong dengan panggilan Laksamana Aceh








31. Memorial pelanggaran gajah (Elephant crash memorial), Teluk Intan





Nota : Satu kebetulan menarik. Setelah menyenaraikan lalu mengatur semua artikel yang dibuat termasuk artikel-artikel sokongan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan di BERPETUALANG KE ACEH menurut turutan waktu ia disiarkan ternyata artikel bertajuk Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Antara Lenggong dengan panggilan Laksamana Aceh menjadi yang ke-22 dalam senarai. Menariknya cerita berkenaan berlaku pada tarikh 22 Februari 2022 (22/02/2022). Pada tarikh itu waktu malam saya telah mempersembahkan Artikel ke-2,222, bagi tarikh 22/2/22.


Selasa, Mac 01, 2022

Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Menjiwai perjuangan orang Melayu menentang kesan buruk penjajahan

Salam para pembaca yang dimuliakan. Salam malam berkat dan istimewa Isra' dan Mikhraj. Adapun ketika menulis artikel  Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Antara Lenggong dengan panggilan Laksamana Aceh di Janda Baik siang Isnin tadi saya menyangkakan tarikh Hijriahnya adalah 25 Rejab. Dengan itu artikel seterusnya mahu ditulis pada hari Rabu kerana menyangkakan tarikhnya  adalah 27 Rejab. Bila sampai kembali ke rumah sekitar jam 9 malam baru tersedar rupanya tarikh 27 yang merupakan hari Isra' dan Mikhraj itu sudah masuk pada waktu Maghrib. 

Sekitar jam 10 saya terlelap kerana penat. Terbangun jam 1.30 pagi saya membuat sedikit ibadah malam sehingga hampir jam 3. Selepas itu timbul rasa untuk menulis artikel sambungan. Setelah mengambil masa lebih 2 jam untuk menyiapkan 8 artikel sokongan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan 4 di BERPETUALANG KE ACEH  maka masuklah kita pada penceritaan hari ke-4 dan terakhir perjalanan ke Kedah dan Perak.






Hal telefon hilang membuat saya terfikir ia adalah petanda harus singgah ke makam. Kedudukannya di selatan kiri Sungai Perak adalah selepas jambatan yang menghubungkan Lambor Kiri dengan Lambor Kanan. Kalau tak hilang tentu tak ambil jalan kiri ke selatan jambatan dan tak lalu simpang ke makam. Selain itu ternyata ada satu lagi panggilan ke tempat lain yang berkenaan. Kalau tidak tentu tak singgah kerana terkeluar agak jauh dari laluan Kampung Gajah ke Teluk Intan.


Gambar atas menunjukkan keadaan sejurus sebelum solat Subuh berjemaah pagi Rabu 23 Februari dari tempat berkenaan. Agak-agak di manakah kami menginap?



Keadaan selepas selesai solat...



Ya. Kami anak beranak telah bermalam di masjid yang kelihatan. Dalam masjid ini, menggunakan talian Internet melalui telefon pintar dapat disiarkan Artikel ke-2,222, bagi tarikh 22/2/22 pada lewat malam.




Saya pernah bermalam di masjid lama ini di Pasir Salak sekurang-kurangnya 2 kali seorang diri. Baru kini bermalam bersama isteri dan anak-anak. Sebaik sahaja matahari keluar saya mengambil peluang untuk meninjau tempat-tempat menarik dan bersejarah di sekitar. Lihat artikel-artikel berikut :-












Gambar ini pula dikongsikan di Facebook pada jam 8.08 pagi dengan teks berikut...


MENGHAYATI JIWA PERJUANGAN MELAYU ISLAM PERAK

Salam dan selamat pagi dari kompleks sejarah Pasir Salak. Alhamdulillah malam tadi saya dan keluarga dapat berehat dan beriktikaf di masjid lama menghadap tepian Sungai Perak di mana residen British ke Perak yang pertama J.W.W. Birch dibunuh oleh orang Melayu 147 tahun lalu disebabkan kebiadaban beliau dalam mencampuri urusan pemerintahan kerajaan Perak.




Sebelum meninggalkan Pasir Salak saya membawa keluarga menziarahi makam Si Puntum yang merupakan antara pejuang barisan hadapan dalam pembunuhan Birch. Seperti halnya pada tugu dan tempat-tempat dekat masjid kali ini baru diambil banyak gambar untuk dibuat artikel khas. Lihat Makam (Tomb of) Si Puntum. Ini adalah untuk memperbaiki kekurangan dalam rekod penulisan saya seperti ada dinyatakan dalam artikel Tentang ziarah ke tempat-tempat bersejarah di Perak pada 13 hari lalu. Sebetulnya ada lagi beberapa tempat yang mahu diziarahi tetapi keadaan belum mengizinkan.




Kami bersarapan agak lewat iaitu pada jam 10.20 di pekan Kampung Gajah. Selepas itu bergerak ke bandar Teluk Intan lalu masuk ke kawasan pendalaman di belakang Sungai Manik.




Tujuannya adalah untuk mencari tempat di mana seekor gajah jantan telah melanggar kereta api secara berhadapan sehingga gerabak tergelincir lebih 120 tahun lalu. Lihat Memorial pelanggaran gajah (Elephant crash memorial), Teluk Intan. Rupa-rupanya ia terletak di satu bahagian pinggir bandar lalu boleh dicapai melalui jalan besar. Tetapi disebabkan tidak tahu lokasi tepat harus tercari-cari masuk ke kawasan pendalaman merentas sawah padi luas menggunakan jalan atas batas yang sempit sehingga tidak boleh berselisih kenderaan.




Selesai lawatan kami terus ke pejabat Orang Besar Jajahan Hilir Perak dekat pusat bandar. Kami mahu bertemu pemegang gelaran Orang Kaya kaya Laksamana Raja Mahkota yang baru iaitu Dato' Meor Redwan. Seperti saya beliau juga adalah ahli keluarga besar Laksamana Perak. Cuma Laksamana baru itu adalah daripada cabang yang lain, bukan daripada moyang saya iaitu Laksamana Muhammad Amin yang dibuang ke Pulau Seychelles bersama Sultan Abdullah tahun 1877 kerana dikatakan terlibat dalam perancangan pembunuhan J.W.W. Birch tahun 1875.




Kami datang tanpa dirancang mahupun membuat apa-apa temu janji kerana mahu mengucapkan tahniah atas penganugerahan gelaran yang baru diterimanya daripada Istana Perak sekitar 3 minggu sebelum itu. Cuma difahamkan beliau menerima makluman secara tidak rasmi. Belum keluar apa-apa surat mahupun diadakan majlis berkenaan untuk memasyhurkan beliau sebagai Laksamana baru.

Walaupun belum mengenali beliau tiada masalah menerima kedatangan kami setelah diberitahu ada waris dari Batak Rabit, daripada keturunan Orang Kaya Muhammad Arshad mahu bertemu. Beliau pula menyatakan tertarik dengan tanjak saya. Sebetulnya kami pernah bertemu dan bertegur sapa dalam satu majlis ilmu di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu. Kemudian bertemu ketika majlis suai kenal dan temu bual untuk gelaran Laksamana pada awal November tahun lalu. Rujuk artikel-artikel berikut :-




Selain itu saya mahu memberitahu secara berhadapan mata bahawa saya tidak pernah memohon gelaran Laksamana. Yang dimohon adalah gelaran Toh Muda Laksamana iaitu bakal Laksamana. Tiada niat saya untuk melangkah kedudukan beliau sebagai Toh Muda ketika itu. Fikir saya apabila Laksamana terdahulu meninggal dunia pada penghujung bulan Februari tahun lepas beliau secara automatik akan naik sebagai Laksamana tidak lama lagi kerana begitulah adat dan kebiasaan sejak hampir 300 tahun lalu. Dengan itu jawatan Toh Muda akan menjadi kosong lalu mana-mana waris yang berkelayakan boleh memohon. Itulah yang saya lakukan iaitu memohon gelaran Toh Muda. Lihat kembali penerangan dalam artikel Laksamana pulang ke Perak? Membuka langkah diiringi doa orang ramai.

Siapa sangka kemudian dipanggil untuk temu duga bagi gelaran Laksamana? Namun diakui kalau berpeluang untuk naik terus sebagai Laksamana tanpa menjadi Toh Muda saya akan ambil. Saya ada tujuan dan matlamat perjuangan tersendiri. Gelaran tinggi dalam hieraki kepimpinan tradisional Kesultanan Perak ini boleh memberikan kuasa, cara dan alat perkakas bagi melaksanakan banyak perkara yang pernah dibincangkan dalam majlis-majlis ilmu anjuran pihak saya. Rujuk perkara-perkara berkenaan dalam blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)



Niat saya boleh dipendekkan sebegini...


Aku mahu menterbalikkan segala kesan negatif Perjanjian Pangkor tahun 1874 yang menyebabkan bangsaku Melayu dan agamaku Islam jadi seperti terabai dalam arus kemodenan zaman yang seperti melebihkan puak liberal serta bangsa dan penganut agama lain.


Adapun moyang saya Laksamana Muhammad Amin itu merupakan salah seorang yang menandatangani Perjanjian Pangkor. Rentetan panjang daripada perjanjian ini terbitlah keadaan sosio politik negara Malaysia sekarang yang antaranya menyebabkan mahkamah sivil berasaskan undang-undang ciptaan Barat dapat mengatasi mahkamah syariah dan undang-undang Islam. Raja-raja Melayu dijadikan seperti rubber stamp atau alat rasmi pengesahan sahaja sambil ahli-ahli politik bermaharajalela. Hal ini adalah warisan tersurat dan tersirat daripada isi perjanjian yang menyatakan raja mesti menerimapakai nasihat Residen British kecuali dalam hal agama Islam dan adat istiadat orang Melayu. Ahli politik yang mudah terpalit dengan kegilaan harta dunia lalu mudah dibeli para kapitalis kaya terutama towkay-towkay Cina seperti mewarisi peranan residen menegakkan kepentingan-kepentingan sekular sambil memperkecilkan peranan raja dan pembesar tradisional Melayu.

Realitinya hal agama dan adat juga kini dilanggar akibat renteten peristiwa demi peristiwa yang berkaitan. Sesuatu harus dilakukan untuk memperbetulkan keadaan. Ini adalah tanggungjawab para raja dan pembesar yang bertakwa, sedar akan amanah yang wujud dalam darah keturunan lantaran kedudukan yang diberikan, bukan untuk bermewah dan bermegah lalu jadi terikut dengan rentak ahli politik dan kapitalis keduniaan. 

Oh. Saya tidak menyatakan hal ini kepada Dato' Meor. Sebaliknya kami lebih banyak berbual tentang hal nasab keluarga sebelum saya meminta agar beliau sebagai Laksamana baru kerajaan negeri Perak terbabit secara langsung dalam memajukan masjid lama warisan keluarga di Batak Rabit. Antaranya agar namanya ditukar menjadi Masjid Laksamana Raja Mahkota. Ini sesuai dengan kedudukan masjid yang mana terdapat makam beberapa orang Laksamana, dalam jajahan takluk yang secara tradisionalnya adalah di bawah kuasa Laksamana sejak turun temurun. 

Pada saya ini adalah satu tindakan yang mudah dan murah untuk menaikkan masjid kerana ada kesan saikologi pantas akibat jelas dapat dilihat semua. Sambil itu peranan Laksamana sebagai pembesar yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negeri daripada pencerobohan musuh luar boleh ditekankan dan dizahirkan. Kali ini secara strategik pakai otak, bukan dengan berperang secara fizikal seperti pada zaman lampau. Namun kesediaan untuk berperang tetap harus ada kerana kita pun sudah berada di penghujung akhir zaman. Cuma biar disimpan untuk masa yang memerlukan.

Kalau saya jadi Laksamana memang tukar nama masjid adalah perkara pertama mahu dilakukan. Ini sebenarnya telah dibincangkan dalam satu mesyuarat ahli jawatankuasa masjid dan waris yang dihadiri lebih setahun lalu. Lihat artikel Misi Teluk Intan-Beruas - Mesyuarat masjid keluarga dan 7 makam kemudian. Sebetulnya ada banyak perkara telah difikirkan mahu dilakukan terutama di Teluk Intan dan Hilir Perak bagi menaikkan kepentingan orang Melayu dan Islam. Sekarang biar Dato' Meor melakukan. Saya sudi membantu lalu memberitahu moyang saya Muhammad Amin sebelum menjadi Laksamana pernah menjadi pembantu kepada moyang beliau iaitu Tok Tua Saleh daripada cabang keluarga Sungai Durian, di seberang Sungai Perak dari Batak Rabit. 



Selesai pertemuan kami masuk ke pusat bandar untuk mencari tempat makan tengah hari. Tergerak untuk mengambil satu simpang lalu sampai ke kawasan tepiam Sungai Perak ini. Dapatlah melihat pemandangan malah setelah makan di warung berdekatan sempat naik bot ke seberang. Lihat artikel-artikel berikut :-








Selesai naik bot pusing-pusing bandar...




Ya. Banyak perkara boleh dilakukan untuk menaikkan kembali kepentingan orang Melayu dan Islam.




Antaranya, dengan memulihkan lalu menaikkan kembali peranan Istana Raja Muda yang sudah lama  terbengkalai. Mungkin boleh dijadikan muzium, mungkin boleh dijadikan galeri. Jadi pusat pengajian agama pun boleh kalau tidak ada Raja Muda Perak mahu kembali bersemayam. Ada pusat adat istiadat Melayu, tempat untuk melakukan aktiviti-aktiviti keMelayuan seperti memakai busana tradisional penuh berkeris dan bertanjak selain bersilat. Yang penting boleh menghidupkan dan meningkatkan semangat orang Melayu dan Islam di Teluk Intan kalau tidak pun di seluruh Hilir Perak.



Dekat jam 2.30 baru sampai ke masjid warisan keluarga di Batak Rabit di mana terletak kawasan pemakaman khas bagi waris. Kami mahu menjamakkan solat Zohor dan Asar kemudian beriktikaf sebelum kembali ke rumah.







Oh. Dato' Meor ada memberitahu bahawa pada hari Jumaat 25 Februari akan datang sejumlah VVIP untuk bersolat di masjid termasuk beliau sendiri lalu diadakan majlis. Masjid Batak Rabit telah dipilih kerana merupakan sebuah masjid tua warisan.




Isteri pun mencadangkan agar saya hadir bersolat Jumaat sekali.




Tetapi apabila difikirkan kembali rasa tak larat, penat.




Perjalanan ke Kedah dan Perak telah memakan jarak pemanduan 1,200 km sambil terkejar-kejar untuk melawat banyak tempat dan bertemu ramai orang dalam tempoh 4 hari 3 malam. Lewat petang Rabu baru sampai rumah. Kalau hendak menyertai majlis Jumaat 25 Februari harus berkejar 130 km ke Batak Rabit. Sedangkan malam itu juga rancangnya mahu kembali ke kampung isteri di Tanjung Sepat iaitu lebih 120 km ke arah berlawanan di selatan Selangor. Pagi Isnin nanti hendak ke Janda Baik, Pahang pula untuk menghantar anak masuk ma'ahad tahfiz. Khamis atau Jumaat selepas itu mahu ke rumah ibu bapa di Muar iaitu 240 km ke selatan sebelum menghadiri satu majlis di Melaka pagi Ahad. Memang penat dan terkejar-kejar.

Ya. Saya tak larat ke Batak Rabit untuk bersama majlis dalam waktu begitu suntuk selepas kembali dari Kedah. Namun rasa hendak pergi tu memang ada. Bukan sebab hendak bertemu orang besar sangat tetapi kerana ia adalah satu peristiwa istimewa melibatkan masjid warisan keluarga yang bukan selalu berlaku. Kalau hadir boleh juga disuarakan terus apa yang difikirkan bagus bagi kemajuan masjid kepada pihak berkenaan. Mungkin dengan itu tindakan pantas boleh dilakukan. 

Ia juga boleh menunjukkan kesungguhan saya untuk berkhidmat dengan negeri Perak. Apapun kalau sungguh ditakdirkan masih berpeluang untuk memainkan peranan di negeri kelahiran ayah ini insyaallah lambat laun akan diberikan juga gelaran dan jawatan tanpa perlu melobi jumpa orang besar di sana sini. Cukuplah sekadar bertemu dengan mereka yang memang saudara seperti Dato' Meor sekali sekala untuk berbincang demi memartabatkan Melayu dan Islam. Doakan saya diberi ruang dan peluang amin.


Isnin, Februari 28, 2022

Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Antara Lenggong dengan panggilan Laksamana Aceh

Pada ketika ini saya dan keluarga sedang berada di sebuah sekolah ma'ahad tahfiz di Janda Baik untuk menguruskan kemasukan anak. Anak bernama Muhammad Al-Aminul Rasyid ini secara rasmi akan memulakan persekolahan pada esok Selasa 1 Mac tetapi harus dihantar hari ini untuk urusan pejabat dan mengatur tempat di asrama. Di celah-celah itu saya tetap mengambil peluang untuk menyambung penulisan. Dengan itu masuk pada hari ke-3 perjalanan ke Kedah dan Perak. Bersambung daripada artikel Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Dari Kota Kuala Kedah membawa ke Kerian membawa ke Ijok.



Pagi Selasa 22 Februari 2022 yang nombor tarikhnya cantik (22/02/2022). Tergerak untuk mengambil gambar anak yang bernama Muhammad Alauddin Johan, adik kepada Rasyid sedang berbaring di katil berkain kuning.



Apabila disemak kembali gambar tengok-tengok ia adalah yang ke-222 dalam kamera. Oh. Harus diberitahu. Dalam artikel Perjalanan kecil ke Raub awal 2022 - Melepaskan rindu pada arwah Nenek yang dipersembahkan pada 2 Februari lalu ada diberitahu bahawa kamera saya rosak lalu tidak dapat digunakan. Sebetulnya ia merujuk pada kamera lain iaitu Canon Powershot SX620 yang dimiliki sejak tahun 2018. Kamera digital ke-10 pernah saya miliki itu boleh dikatakan paling canggih kerana ada 25x zoom walau bersaiz kecil. 

Sayangnya selepas beberapa lama ia mengalami masalah mekanisma zoom sangkut tetapi masih boleh digunakan. Ini yang terus dipakai buat beberapa bulan. Apabila ia tidak lagi boleh memfokus iaitu ketika perjalanan kecil ke Raub baru  direhatkan. Mungkin kerana telah digunakan secara lasak akibat selalu dibawa mengembara ke sana ke mari masuk hutan panjat gunung bagai. Sebetulnya inilah yang berlaku kepada banyak kamera saya sebelum ini. Rujuk artikel-artikel berikut :-






Kamera rosak menyebabkan saya kurang mood untuk mengambil gambar selepas itu. Walaupun boleh menggunakan telefon pintar saya kurang gemar. Setelah beberapa lama timbul rasa untuk menyemak kamera-kamera lama digital yang (saya sudah memiliki 11 buah). Tengok-tengok ada yang masih boleh dipakai iaitu kamera Sony yang dibeli sempena hari jadi saya pada penghujung tahun 2016, kamera yang pernah diberikan kepada anak setelah mendapat kamera lain. Tapi anak tak berapa nak pakai.

Maka dikosongkan isi kamera lalu mula digunakan apabila saya keluar hiking di bukit bukau tidak jauh dari rumah pada 15 Februari lalu. Maka gambar ke-222 yang terbit pada tarikh 22/02/2022 seperti ditunjukkan di atas adalah rentetan daripada itu. Gambar diambil dalam rumah tradisional yang kelihatan, rumah yang telah dijadikan galeri. Lihat artikel Ke dalam galeri Tok Aki (Inside the gallery of Tok Aki), Kampung Chepor, Lenggong di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Kami anak beranak telah bermalam dalam satu-satunya bilik yang ada. Katilnya pula dialas serba kuning.



Kami pertama kali sampai ke rumah/galeri tersebut pada penghujung tahun 2021 setelah sampai dari Kelantan. Lihat Pantai Timur penghujung 2021 - Apa ada di Lenggong?.  Ketika itu isteri ada menyatakan hasrat mahu bermalam pada suatu hari nanti kepada pemilik rumah. Maka dalam perjalanan baru iaitu kembali dari Kedah itu ia pun ditunaikan. Seterusnya kami bergerak ke bahagian lain Lenggong. Ia adalah bahagian yang kami mahu singgah dahulu tetapi tidak berkesempatan akibat kesuntukan masa.




Bahagian berkenaan terletak kira-kira 7 km ke selatan rumah/galeri di Kampung Chepor. Ia adalah sebuah kampung tradisional Melayu di tepian tasik yang cantik.




Kami mengambil masa untuk berehat dan menikmati suasananya yang begitu tenang. Sempat juga singgah di masjid kampung. Lihat artikel The "Mini Amazon" at Kampung Beng, Lenggong dan Part of the "Mini Amazon" closer to the Perak river di blogspot BERPETUALANG KE ACEH juga Masjid (Mosque of) Kampung Beng, Lenggong.



Selesai itu kami bertemu kenalan isteri di kedai makan di Kampung Luat. Kenalan tersebut adalah seorang peminat sejarah yang bekerja di Jabatan Warisan Negara. Beliau mengajak ke pejabat di Galeri Arkeologi Lenggong. Kami berbual panjang tentang hal-hal warisan dan sejarah serta tapak-tapak berkenaan terutama makam-makam di sekitar Lenggong. Pihak beliau bertanggungjawab menjaga tapak-tapak warisan di Selangor dan Perak.

Namun beliau memberitahu tugas Jabatan Warisan adalah lebih pada mewartakan sesuatu tempat yang layak diangkat. Bukan kerja mereka untuk membersihkan, membaikpulih dan sebagainya. Sebaiknya itu dilakukan oleh badan-badan tempatan yang bertanggungjawab. Lebih baik kalau kalau ahli waris menjaga kalau ada kena mengena, misalnya makam-makam lama. Apa makna menjadi waris kalau sekadar berbangga berketurunan tetapi tidak berusaha untuk menjaga makam nenek moyang?




Dari perbualan tersebut saya dapat tahu akan kewujudan makam seorang tokoh di sebuah masjid ke arah pekan Lenggong. Saya dan keluarga pun ke sana. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Banggol Belimbing, Lenggong diikuti Makam (Tomb of) Seri Adika Raja Meor Yahya. Terjumpa seorang waris yang katanya baru beberapa bulan kembali ke kampung setelah lama menetap di Kuala Lumpur. Kata beliau mahu lebih mengambil tahu tentang nasab keturunan dan warisan termasuk makam lalu akan berusaha untuk menjaga dan mengangkat. 




Dari Galeri Arkeologi persinggahan merupakan perjalananan berpatah balik ke arah utara. Alang-alang sudah mengambil laluan kami pun meneruskan lalu masuk ke pekan...




Dahulu dari Kelantan kami tak singgah kerana mengambil laluan lain untuk ke Kampung Chepor. Selepas itu terus ke Kuala Kangsar melalui jambatan beberapa kilometer ke selatan pekan, jambatan yang menghubungkan Kampung Luat di belah kanan Sungai Perak dan Galeri Arkeologi di belah kiri sungai.




Dari pekan baru turun balik ke selatan lalu singgah di Tasik Raban. Kami mengambil jalan besar utama sebelum masuk ke jalan lama yang melepasi kampung-kampung.




Berehat minum sebentar kemudian mengambil gambar. Lihat New visit to Tasik Raban.




Perjalanan diteruskan ke Kuala Kangsar melalui jalan lama.




Terlihat satu simpang terasa hendak ambil. Tengok-tengok selepas beberapa kilometer ia membawa ke empangan Chenderoh. Tapi tak boleh masuk sebab kawasan larangan.



Tak jauh dari situ ada simpang ke Kampung Raja Intan Suraya. Masuklah menjengok sat. Lihat Foray to Kampung Raja Intan Suraya. Untuk makluman ini adalah kali pertama kami ke kawasan berkenaan.




Sambung balik perjalanan ke Kuala Kangsar melalui jalan ke Chegar Galah kemudian Temong. Ziarah sebentar ke makam Tok Temong.







Selepas itu pergi ke masjid Kota Lama Kanan untuk menjamakkan solat Zohor dan Asar. Ziarah ke sebuah makam tepian masjid yang selama ini saya terlepas pandang. Lihat Makam (Tomb of) Panglima Alang Ishak.



Adapun makam tersebut termasuk adalah antara yang belum pernah diziarahi seperti disebut dalam artikel Tentang ziarah ke tempat-tempat bersejarah di Perak pada 16 Februari. Perjalanan diteruskan tanpa masuk ke bandar diraja Kuala Kangsar sebaliknya melalui jalan di seberang Sungai Perak ke arah selatan.




Singgah di bandar Seri Iskandar. Ada hal yang mahu diteliti kerana kedudukannya sebagai pusat pentadbiran bagi daerah Perak Tengah selain bertemu seorang kawan yang datang dari Ipoh.




Selepas minum petang kawan tersebut ikut ke Bota Kanan.



Kami mahu melihat rumah-rumah lama yang berpotensi untuk dijadikan kediaman kalau muncul keperluan.






Malam itu saya tergerak untuk membawa isteri dan anak-anak menyusuri jalan di belah kiri Sungai Perak. Ternampak papan tanda ke arah satu kawasan penempatan tersorok yang dikenali sebagai Pulau Misa Melayu kami pun masuk. Selepas puas melihat keadaan kami bergerak ke Kampung Gajah. Asalnya mahu bermalam di rumah ibu saudara di Batak Rabit, Teluk Intan. Tetapi ketika memulakan perjalanan ke Kedah pada hari Ahad 20 Februari baru dapat tahu keluarga mereka terkena Covid lalu harus dikuarantin. 

Tak mengapa fikir saya. Kami boleh bermalam di masjid peninggalan keluarga tidak jauh dari rumah ibu saudara. Tetapi sampai masanya Selasa malam Rabu 22 Feb terasa penat hendak ke Teluk Intan. Lagipun menurut rancangan asal kami harus selesai melawat satu tempat sebelum bandar itu pada waktu siang. Kalau bermalam di Batak Rabit harus berpatah balik esok siang.

Maka itu fikirnya lebih elok bermalam di masjid di Kampung Gajah. Ia  lebih dekat sedangkan Batak Rabit terletak lagi 34 km perjalanan. Bila dah sampai baru tersedar telefon pintar saya tercicir entah di mana. Bila difikirkan dengan teliti harus di Pulau Misa kerana sejurus sebelum masuk ada menyemak kedudukan melalui Google Map menggunakan telefon. 



Kami pun berpatah balik ke sana. Lebih 25 km juga perjalanan sedangkan kami sudah kepenatan dan malam semakin lewat. Alhamdulillah telefon dapat ditemui setelah menjejak kembali laluan berjalan kaki. Semasa di Pulau Misau saya dan anak-anak ada pergi ke jeti di tepian Sungai Perak. Telefon mungkin terjatuh ketika hendak mengeluarkan kamera dari pouch bag. Tapi tak dengar dan tak sedar kerana gelap dan laluan berpasir.

Dengan itu kami menuju kembali ke selatan dengan rasa lega. Cuma peristiwa ini membuatkan saya merasakan harus mengambil laluan kiri sungai, tidak menyeberang jambatan di Lambor untuk ke kanan seperti dilakukan sebelum itu. Ini kerana mengingatkan bahawa ketika di jeti saya ada bertanyakan penduduk tempatan di manakah kedudukan makam Laksamana Aceh berbanding kedudukan penempatan iaitu dalam Bota Kiri. Jawab beliau jauh lagi ke selatan iaitu di Lambor Kiri lalu tidak dapat dilihat kedudukan dari jeti.

Hal telefon hilang membuat saya terfikir ia adalah petanda harus singgah ke makam. Kedudukannya di selatan kiri Sungai Perak adalah selepas jambatan yang menghubungkan Lambor Kiri dengan Lambor Kanan. Kalau tak hilang tentu tak ambil jalan kiri ke selatan jambatan dan tak lalu simpang ke makam. Selain itu ternyata ada satu lagi panggilan ke tempat lain yang berkenaan. Kalau tidak tentu tak singgah kerana terkeluar agak jauh dari laluan Kampung Gajah ke Teluk Intan.

Cantiknya saya dapat menerima talian Internet di tempat berkenaan walaupun ia suatu kampung pendalaman. Pengalaman singgah di banyak tempat yang jauh dari bandar dan penempatan besar menunjukkan bukan mudah untuk mendapatkan talian. Maka dapatlah disiarkan Artikel ke-2,222, bagi tarikh 22/2/22