Keluar sebentar daripada cerita Pulau Jawa...
Semalam semasa menyemak fail gambar saya buat beberapa bulan kebelakangan saya terjumpa gambar ini dalam fail bulan Mei. Setakat yang saya dapat lihat ia adalah satu-satunya gambar yang memaparkan kamera Olympus Stylus 7040 saya dengan terang, hasil ia diambil menghadap cermin pada satu malam. Biar diberitahu minggu lepas saya telah kehilangan kamera ini. Sampai sekarang tak jumpa dan nampaknya nak tak nak saya harus membeli kamera baru tidak lama lagi.
Ini pula gambar daripada artikel
Bakti 3 kamera lama dan misi kamera baru yang dibuat hari Krismas tahun 2010. Artikel yang menceritakan hal 3 kamera terakhir milik saya ketika itu dibuat untuk menandakan 'persaraan' kamera paling bawah dalam gambar. Semalam saya tergerak untuk menyemak keadaan ketika kamera-kamera ini tamat perkhidmatan lalu mendapati ada semacam corak yang boleh membawa makna tersurat dan tersirat. Biar diberitahu kamera teratas adalah daripada jenama murah Grandvision (tak ingat model apa), tengah Olympus Stylus 820 dan bawah Olympus FE 4010.
Menariknya itulah kali pertama saya betul-betul dapat menziarahi makam tersebut. Sebelum itu saya pernah sampai di sekitarnya dan masuk ke dalam hutan belukar tetapi tidak berjaya menemuinya. Ziarah ini dibuat setelah saya membawa seorang sepupu dan kawannya pergi melihat tempat misteri pertabalan Sultan Perak yang dipanggil Beting Beras Basah daripada jeti terdekat. Selepas perjalanan itu saya tergerak untuk mendapatkan kamera lebih canggih dari jenama Olympus model Stylus 820.
Kamera Olympus tersebut pun mula menemani saya buat beberapa lama... sehinggalah ia menunjukkan tanda-tanda kerosakan April 2010. Ketika itu saya sedang membawa anak dan isteri pergi menziarahi setiap makam Sultan Perak yang terdapat di tepian/sekitar Sungai Perak, mengikut laluan pertabalan Sultan-sultan Perak daripada sekitar Kuala Kangsar menghilir menghala ke Beting Beras Basah di kuala Sungai Perak. Lihat
Siri "Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak" complete!
Tanpa disangka warna kemerahan mula muncul selepas menziarahi makam Sultan ke 4 Perak, Sultan Tajul Ariffin yang dianggap sangat keramat. Makam itu terletak di Pulau Semat, tengah Sungai Perak dan menurut pemandu bot kami harus mengelilingi pulau terlebih dahulu sebelum kembali ke jeti, kalau tidak boleh terjadi nahas. Malah sebelum menaiki bot pun kami disoal-siasat. Kata pemandu kalau datang dengan silap niat atau tidak diterima bot boleh karam di tengah sungai.
Kamera betul-betul menunjukkan kerosakan selepas hampir sebulan kembali dari Perak. Ketika itu saya dan keluarga membuat perjalanan untuk majlis qeqah anak kami yang diadakan di Negeri Sembilan. Lihat
Qeqah di Jelai, melihat Gunung Ledang di Asahan, bermalam di Pulau Besar dan kamera yang rosak. Di atas adalah gambar terakhir diambil menggunakan kamera Olympus Stylus 820. Lokasinya adalah di Masjid Kampung Hulu, Melaka. Selepas itu saya pun mendapatkan satu lagi kamera Olympus tetapi daripada model baru ketika itu, FE 4010.
Sayangnya kamera baru itu cuma dapat menemani perjalanan saya selama lebih kurang 7 bulan. Perkhidmatannya harus ditamatkan selepas saya, isteri dan anak berjaya buat pertama kali menjejakkan kaki ke Beting Beras Basah. Apa yang berlaku adalah selepas 'diselamatkan' (lihat
Bertungkus-lumus ke Beting Beras Basah) daripada bahaya air pasang saya telah terjun ke dalam air masin hampir separas dada untuk menghampiri tebing sungai dengan membawa anak. Ini membuat saya terlupa akan kamera yang terletak dalam beg pinggang. Lalu ia pun dimasuki air dan tidak dapat diperbaiki. Saya cuma dapat menyelamatkan gambar-gambar tersimpan dalam SD Card.
Selepas itu baru saya membeli lalu menggunakan kamera terbaru Olympus Stylus 7040 seperti tertera pada gambar pertama artikel ini. Seperti kamera-kamera sebelumnya ia pun dibawa berjalan merata termasuk ke Medan, Aceh dan Riau. Isnin minggu lepas Julai 16 saya keluar menaiki motosikal besar dengan niat mahu mencari sejumlah makam berbatu nesan Aceh yang dikatakan wujud di satu kawasan di Kuala Selangor. Semasa mengisi minyak di Batu Arang sekitar 3 km daripada rumah saya tergerak untuk mengambil gambar lalu mendapati kamera tidak ada dalam beg pinggang seperti kebiasaan.
Pada ingatan saya, kali terakhir melihat kamera adalah sejurus sebelum keluar daripada rumah. Ketika itu saya tergerak untuk melihat penanda aras bateri lalu mendapati SD Card 8GB yang biasa diletakkan dalam kamera tertinggal dalam komputer riba. Di atas adalah gambar terakhir yang diambil menggunakan kamera tersebut. Gambar yang diambil di Pantai Remis, Selangor petang hari sebelumnya itu termasuk sejumlah gambar yang sempat dimuat-naik dari SD Card ke dalam komputer.
Adapun Sabtu hujung minggu saya, isteri dan anak-anak telah bermalam di kampung isteri di Tanjung Sepat. Esoknya Ahad kami menghala ke utara dengan niat mahu mencari batu nesan Aceh tersebut di Kuala Selangor... lalu di Jugra, ziarah di makam Sultan Abdul Samad, kali pertama anak terbaru kami Muhammad Alauddin Johan yang kini berumur 5 bulan dibawa ke sana. Selepas itu kami ada singgah di Pelabuhan Kelang sebelum mengambil laluan ke Pelabuhan Utara lalu ke Kapar. Singgah di Pantai Remis dah petang, maka kami pun makan dan membatalkan perjalanan ke Kuala Selangor.
Hmm. Saya rasa cukuplah luahan kali ini. Saya cuma melihat ada semacam corak melibatkan hal kesultanan Perak, kesultanan Selangor dan batu nesan Aceh seperti terkait dengan tamatnya perkhidmatan kamera-kamera saya. Hmm... gambar 'cair' di Masjid Kampung Hulu pula seperti menunjukkan kaitan dengan Melaka. Cukup.
3 ulasan:
salam saudara,,
suka tgok setiap perkembangan saudara sekeluarga...teruskan dengan perjuangan saudara...diharap bertemu dengan apa yang dicari...:)
#pemuja rahsia keluarga comel ni#
Salam.
patutla rasa mcm pernah sampai kat masjid spt dlm gambar yg cair tu...
mesti ada hikmahnya tersendiri...
Wassalam. Insyaallah, agi idup agi ngelaban... (kata pepatah petitih Sarawak gitu...) :]
Catat Ulasan