Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Oktober 30, 2008

Projek buku masjid - perjalanan selatan 2

OK... Pada penghujung artikel Projek buku masjid - perjalanan selatan 1 saya ada menyebut cerita akan disambung "selepas ini" ya, maksudnya satu masa selepas artikel itu siap disiarkan malam semalam. Memang saya bercadang mahu menyambung terus selepas itu tetapi terpaksa menundanya kerana muncul hal-hal lain yang memerlukan perhatian.

Sekarang, sudah lebih 24 jam sejak artikel itu disiarkan, barulah saya boleh mula menyambung cerita. Walaupun dah lebih 24 jam, masih lagi kena dengan perkataan "selepas ini" kan?Lagipun esok lusa pun masih boleh dikira "selepas ini" juga, lain le kalau sebut "sejurus selepas ini", hehe! Banyak pulak alasan. Chis... Sambung aje le, jangan banyak songel pula... :]




Maka kami pun bermalam Jumaat malam Sabtu di Masjid Kampung Hulu, Melaka. Dalam artikel Projek buku masjid - perjalanan selatan 1 , saya juga ada menyebut:

"Di sini juga kami mendapat dan mendengar beberapa cerita yang pelik-pelik daripada beberapa orang. "

Hmm... Rasanya bolehlah saya bercerita sedikit tentang ini di sini ya. Lagipun tujuan saya bercerita di sini bukan sahaja untuk melepaskan satu gerak bercerita di blogspot ini seperti lazimnya saya buat selepas melalui sesuatu pengembaraan tetapi juga untuk mendapat rentak bercerita bagi isi buku projek coffee-table book tentang masjid-masjid di Malaysia yang membawa kepada pengembaraan kali ini. Kiranya sebahagian daripada cerita yang dilepaskan di sini akan juga digunakan untuk dikembangkan dalam buku mewah itu nanti, insyaallah!

OK... Dalam artikel Perigi (well of) Hang Tuah, Masjid (mosque of) Duyung serta (and) Kampung Hulu yang dibuat di blogspot lebih Ogos tahun lalu, saya ada menyebut begini:

"Masjid Kampung Hulu juga menjadi salah sebuah masjid kegemaran untuk orang-orang yang beramal dan beriktikaf terutama mereka yang berminat dengan hal-hal kebatinan. "

Tetapi rasanya dalam mana-mana artikel di blogspot-blogspot saya, saya belum pernah mengaitkan 'kelebihan' Masjid Kampung Hulu dengan mana-mana watak manusia baik raja mahupun ulamak ataupun wali... kecuali dalam artikel Enough of Pulau Besar. Time to head back to the mainland and a stop at the Kampung Hulu mosque... To ponder the mystery of Sheikh Abdullah there! yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH 3 bulan di mana saya ada menyebut tentang kewujudan makam seorang ulamak besar di masjid itu. Itupun saya setakat menyebut tentang kewujudan makam itu tanpa mengaitkan ia dengan kelebihan masjid.

Oh... Dalam artikel itu, saya menyebut ada orang memberitahu bahawa Sheikh Abdullah yang dimaksudkan adalah orang yang sama naik ke Gunung Jerai dan mengIslamkan Sultan Muzaffar Shah Kedah lebih 800 tahun lalu. Tetapi setelah saya bertanya kembali beberapa orang, fakta yang lebih tepat adalah makam di masjid itu milik Sayyid Abdullah al-Haddad yang datang selepas Masjid Kampung Hulu didirikan, menurut catatan rasmi pada tahun 1728 Masihi, mengikut satu catatan lain dari anak cucu Datuk Arom yang saya baru dapat dalam lawatan terbaru ini (Datuk Arom adalah Kapitan Melayu Melaka zaman pemerintahan Belanda), masjid itu telah didirikan sejak tahun 1670 Masihi lagi!

Apapun, yang pasti Sayyid Abdullah yang dimaksudkan tidak sama dengan Sheikh Abdullah yang muncul di Gunung Jerai lebih 800 tahun lalu... Kecuali le ada kes melompat masa ala-ala cerita Back to the Future gitu.

Hmm... Jadi panjang pula bercerita ni. Tak mengapa... apa yang mahu saya beritahu adalah kelebihan Masjid Kampung Hulu memang dikaitkan dengan kelebihan atau karamah Sayyid Abdullah. Saya telah beberapa kali menziarahi Masjid Kampung Hulu dan pernah tidur malam dua kali termasuk dalam perjalanan terbaru ini. Masjid ini tidak pernah sunyi dengan orang jauh dan dekat datang mengambil air kolahnya untuk dijadikan air penawar dan ubat... atau orang datang bersolat hajat dan bermunajat dan sebagainya waima pada jam 3-4 pagi disebabkan kenapa? Kerana karamah yang dikaitkan dengan Sayyid Abdullah al-Hadad ini!

Tanyalah orang-orang yang biasa ke sana. Sudah banyak sangat cerita tentang sakit ganjil, lumpuh, santau dan sebagainya yang pulih setelah air masjid digunakan sebagai ubat dengan melalui adab serta doa-doa tertentu. Jangan silap faham ya... penyakit itu sembuh bukan kerana 'kuasa' Sayyid Abdullah tetapi dengan 'berkat'nya. Harus faham konsep ini, kalau tidak boleh jadi syirik. Sayyid Abdullah yang sudah meninggal dunia lebih 100 tahun lalu tidak mampu menyembuhkan kita tetapi kita boleh bermunajat memohon kepada Allah SWT agar disembuhkan penyakit dengan barakah Sayyid Abdullah kerana beliau merupakan seorang alim ulamak bertaraf wali dan berketurunan Nabi. Maka barakah Sayyid Abdullah juga dikaitkan dengan syafaat Nabi. Faham ini betul-betul...


Malam itu, entah kenapa penjaga masjid tergerak menyampaikan banyak cerita tentang Sayyid Abdullah kepada saya dan Shamsul. Baru saya tahu Sayyid Abdullah ini hidup awal tahun 1800an.

Menurut satu cerita, ibu kepada Munshi Abdullah, orang yang dilabelkan sebagai bapa sastera Melayu moden menghadapi masalah anak meninggal dunia tidak lama selepas dilahirkan. Katanya ini berlaku 2-3 kali! Lalu Sayyid Abdullah memberi nasihat agar anak yang akan datang nanti diberi nama serupa dengannya, insyaallah akan umur panjang. Itulah jadinya Munshi Abdullah yang terkenal itu.

Saya sendiri kurang gemar dengan orang yang bernama Munshi Abdullah ini kerana peranannya bekerja dengan penyangak Inggeris Stamford Raffles yang berperanan besar menghancurkan empayar Johor-Riau-Lingga. Dan lagi Mushi Abdullah juga dikatakan telah menterjemahkan kitab Bible ke Bahasa Melayu tetapi itu cerita lain... Biar ditolak tepi rasa tidak puas hati saya terhadap Munshi Abdullah kerana yang mahu diceritakan di sini ialah betapa kewujudan Munshi Abdullah, seorang nama besar dalam sejarah Melayu moden itu dapat dikaitkan pula dengan kelebihan karamah dan kebenaran kata-kata seorang insan bernama Sayyid Abdullah al-Haddad.

Ada satu cerita pula... pada satu ketika Sayyid Abdullah masuk ke bilik air pada masa yang sama dengan beberapa orang muridnya. Tiba-tiba beliau ghaib begitu sahaja, tidak dapat ditemui. Yang peliknya, apabila anak muridnya selesai menunaikan hajat lalu keluar bilik air, tiba-tiba juga Sayyid Abdullah muncul untuk keluar bersama. Apabila ditanya ke mana dia menghilang, jawab Sayyid Abdullah beliau ke Mekah untuk menolong memadamkan kelambu Ka'abah yang terbakar!

Ah... selain mendengar cerita-cerita ini, kami juga sempat keluar makan nasi lemak bersama seorang pengunjung masjid yang rupa-rupanya menurut kata pengunjung lain menghidap penyakit mental. Pendek-kata, macam-macam kami buat malam itu. Shamsul kemudian sibuk menyiapkan kerja lain di komputer laptop, saya pula mula membuka cerita untuk isi buku tentang masjid di komputer laptop saya, di sisi lain masjid hingga sampai waktu Subuh.

Hasilnya... Selepas Subuh baru kami betul-betul 'tumbang'. Hampir jam 11 baru Shamsul menyambung kerja mengambil gambar sedangkan saya pula perlu membuat photocopy beberapa dokumen penting yang boleh menyokong jalan cerita. Maka hampir jam 1 petang, baru kami keluar meninggalkan Masjid Kampung Hulu.



Kami keluar mencari Makam Hang Jebat kemudian Makam Sheikh Shamsuddin Sumatrani/ Sumatra'i atau juga dikenali sebagai Sheikh Shamsuddin Pasai sebelum masuk ke masjid seterusnya, Masjid Kampung Keling yang letaknya seperti makam-makam ini dalam lingkungan 500 meter dari Masjid Kampung Hulu. Kalau ada masa, sila baca artikel-artikel lama ini...

Sheikh Shamsuddin al-Sumatrani dan Martabat Tujuh (dibuat Mei 2007)

Al-Fatihah untuk Sheikh Shamsuddin as-Sumatrani (dibuat Julai 2007)

Ziarah terbaru ke makam Sheikh Shamsuddin Pasai (dibuat November 2007)


Sebuah artikel tentang masjid ini dengan tajuk Masjid (mosque of) Kampung Keling, Melaka telah dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) berdasarkan pengembaraan yang dibuat dalam perjalanan mahu kembali ke Muar dari Kuala Lumpur untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri sebulan lalu.



Hmm... Jika Masjid Kampung Hulu terkenal kerana 'kelebihan' yang melibatkan barakah dan rawatan penyakit, Masjid Kampung Keling pula lebih terkenal di kalangan pelancung kerana rekabentuk dan senibinanya yang mencampurkan unsur-unsur Timur-tengah, benua Hindi, Sumatera dan Cina.




Kemudian kami ke Makam Hang Kasturi sebelum menghala ke destinasi seterusnya iaitu Masjid Tengkera, 3km di luar pusat bandaraya Melaka. Tetapi terpaksa berpusing-pusing dahulu melalui jalan-jalan sehala yang sempit lagi sesak sebelum dapat masuk jalan menghala ke sana...

Oh... Untuk melihat gambar-gambar Makam Hang Jebat dan Makam Hang Kasturi, sila lihat artikel Makam (tombs of) Hang Kasturi dan (and) Hang Jebat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) .





Inilah Masjid Tengkera. Beberapa cerita bergambar tentangnya dan perkara berkaitan telah pun dibuat di dalam blogspot-blogspot saya. Sila lihat...







Seterusnya kami mahu ke Masjid Tanjung Keling yang terletak lagi 8km ke utara, melalui jalan menyusuri pantai. Memandangkan semasa itu sudah hampir jam 4 petang begitu sedangkan kami belum makan tengahari, maka kami terasa mahu mencari tempat makan yang sesuai, kalau boleh menghadap pantai.

Asalnya, tidak sampai 1km ke utara melepasi Masjid Tengkera, kita boleh sampai ke kawasan pantai yang menghadap Selat Melaka. Masalahnya, sebahagian besar kawasan pantai berdekatan bandaraya Melaka kini dalam proses penebusan tanah sehingga 500 meter masuk ke laut... lalu kawasan pantai yang dahulu indah kini dihalang timbunan pasir dan tanah.

Lama juga kami terus menghala ke utara mencari kawasan yang terasa elok sehingga melepasi Masjid Tanjung Keling! Kami terus menurut papan-tanda ke Pantai Puteri... nasib baik di situ ada pantai yang agak elok.




Di sini, di bawah pohon besar inilah kami makan tengahari lambat.



Kemudian baru menghala kembali ke Tanjung Keling... terambil satu jalan yang membawa ke Makam Hang Tuah terlebih dahulu sebelum ke masjid.

Oh... Betulkah ini Makam Hang Tuah sedangkan Hang Tuah dikatakan ghaib, tidak diketahui tempatnya di mana pahlawan lama Melayu Melaka ini meninggal dunia? Sila lihat artikel Makam (Tomb of) Hang Tuah di (in) Tanjung Kling, Melaka... yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) hampir 2 bulan lalu.

Hmm... Terlupa pula nak ambil gambar Masjid Tanjung Keling. Kepada Shamsul pun saya cuma berpesan ambil gambar masjid itu sekadar untuk mengaitkannya dengan Makam Hang Tuah, memandangkan kami juga akan mengaitkan cerita dengan Makam Hang Jebat dan Makam Hang Kasturi yang terletak berdekatan Masjid Kampung Keling dan Masjid Kampung Hulu. Ini kerana gambar-gambar yang lebih detail ataupun teliti telah diambil di masjid-masjid itu, juga masjid Tengkera. Dan lagi kami ada 2-3 masjid lagi perlu diziarahi selepas ini...


Seterusnya kami ke Masjid Peringgit. Sila lihat artikel Masjid (mosque of) Peringgit, Melaka


Diikuti Perigi Hang Tuah di Kampung Duyung dan masjid di situ. Boleh lihat artikel lama Perigi (well of) Hang Tuah, Masjid (mosque of) Duyung serta (and) Kampung Hulu ...



Dari Kampung Duyung, kami bergegas ke Umbai untuk menziarahi dan mengambil gambar di sebuah masjid di sana di mana terdapat makam Sultan Ali anakanda Sultan Hussin Shah (yang dimakamkan di perkarangan Masjid Tengkera). Sila lihat artikel Makam (tomb of) Baginda Ali yang dibuat hampir setahun lalu.

Kami sampai di sana selepas masuk waktu Maghrib. Kemudian kami terus berkejar ke Anjung Batu untuk mendapatkan feri terakhir masuk ke Pulau Besar iaitu pada jam 8.30 malam. Nasib baik sempat...

Di atas adalah gambar di dalam feri. Sebenarnya keadaan ketika itu gelap-gulita kecuali sedikit lampu yang dipancarkan keluar dari bot. Tetapi bila pakai flash, nampak le macam terang sedangkan hakikatnya ketika itu tidak nampak apa-apa kecuali bayang-bayang. Sekian, nanti kita sambung lagi...

Rabu, Oktober 29, 2008

Projek buku masjid - perjalanan selatan 1

Assalamualaikum semua. Setelah melepaskan 2 cerita di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 3 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) , baru saya dapat memulakan siri penceritaan baru di sini, siri penceritaan penghujung bulan Syawal agaknya. Mari! :]


OK. Minggu lepas adalah minggu yang agak sibuk dan padat buat saya. Setelah memenuhi jadual dengan beberapa perkara dan pertemuan melibatkan keluarga juga kawan-kawan lama dalam tempoh beberapa hari terus-menerus, saya harus ke Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru petang Selasa untuk mempromosi buku dalam satu majlis melibatkan perjuangan orang Melayu.

Malam itu juga saya harus berlepas ke Raub kerana mahu mempromosi buku di Kuala Lipis keesokannya hari Rabu... atas jemputan seorang pensyarah di Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan. Ceritanya ada dinukilkan sedikit dalam artikel A visit to the Tengku Ampuan Afzan teaching institute in Kuala Lipis yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi. Awal pagi Khamis pula saya harus berada di Petaling Jaya untuk memberi satu taklimat tentang Melayu dalam satu majlis Biro Tatanegara. Yang menarik, slot asal saya sepanjang setengah jam telah dipanjangkan jadi 2 jam! Nasib baik ada DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" boleh digunakan untuk mengisi ruang.

Jumaat keesokannya, saya berjalan jauh lagi. Setelah rancangan perjalanan jadi tidak menentu akibat muncul komitmen-komitmen lain, rakan zaman kolej saya yang turut belajar di United Kingdom tetapi di bandar lain kemudian bertemu kembali di bawah bumbung syarikat The New Straits Times apabila dia menjadi wartawan di akhbar Malay Mail, saudara Shamsul Yunos akhirnya dapat menetapkan masa untuk memulakan satu projek baru... berjalan keliling Semenanjung Malaysia untuk mengambil gambar-gambar seraya merekod cerita di sekitar/sebalik masjid-masjid terpilih untuk satu penerbitan tertentu. Di atas adalah gambar bandar Seremban diambil dari dalam kereta.

Oh... Ini adalah untuk projek penerbitan coffee-table book atau buku mewah untuk satu syarikat seperti yang selalu terdapat di bilik menunggu syarikat-syarikat korporat. Saya telah dipilih sebagai penulis seraya pengarah kreatif lalu boleh menentukan jalan cerita dan memilih mana-mana masjid yang ingin diketengahkan. Lalu saya terasa ingin mengenengahkan cerita serta watak-watak di sebalik sesuatu masjid seperti raja-raja dan para wali demi mengingatkan balik sejarah Melayu Islam yang diharap dapat mengembalikan kegemilangan sebenar agama, bangsa dan negara... dalam kerangka cerita secara kembara.

Maka perjalanan untuk ke masjid-masjid terpilih pun dipecah tiga - perjalanan ke selatan, ke Pantai Timur dan ke utara. Jumaat lalu menyaksikan perjalanan ke selatan dimulakan selepas solat Jumaat dan masjid terpilih pertama ialah Masjid Tuan Tulis Ismail di Kuala Talang, Tanjung Ipoh, dalam daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Kenapa masjid ini dipilih? Hmm... sila lihat artikel Makam (Tomb of) Tuan Tulis yang telah dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) lebih 2 bulan lalu. Oh, sebelum itu kami singgah di makam Sheikh Muhammad Said al-Linggi di Ampangan, Seremban.

Adapun Shamsul yang kini seperti saya menjadi pemberita bebas bertindak sebagai jurugambar projek ini. Untuk makluman, beliau adalah salah seorang auto-journalist atau wartawan kereta yang paling dihormati di tanah-air. Maka sambil berjalan dalam projek ini, beliau juga dapat menguji-pandu sebuah kereta baru... Tak payahlah saya sebut kereta apa tapi pendek-kata kalau letak sebelah Porsche ataupun Ferrari pun kita tak malu!

Kami meninggalkan Masjid Tuan Tulis selepas jam 6.15 petang begitu. Walaupun kereta yang digunakan mampu senang-senang naik hingga ke kelajuan 260km/h, berapa lajulah kami boleh pergi melepasi kesesakan jalanraya menghampiri kembali Seremban dan selepasnya, apatah lagi apabila naik dan turun bukit. Lalu kami sampai ke destinasi seterusnya di Pengkalan Kempas masuk jam 7.30 petang.





Di sini terdapat sebuah makam lama dikatakan milik seorang ulamak yang hidup pertengahan abad ke 15. Di sekitarnya juga terdapat beberapa buah batu hidup atau megalithic stones...

Sila lihat artikel The megalithic stones of Pengkalan Kempas yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH 8 bulan lalu. Di atas kelihatan Shamsul sedang mengambil gambar di hadapan sebuah batu hidup yang dikenali sebagai "Batu Pedang". Di bahagian atas batu itu terukir nama Allah dalam huruf Jawi...

Kemudian kami ke Masjid Qariah Linggi yang didirikan oleh kaum keluarga Sheikh Muhammad Said Linggi sekitar 150 tahun lalu. Terlupa pula nak ambil gambar... Hmm... Tak apalah. Kita pakai sahaja gambar masjid lama di pekan Masjid Tanah yang diambil kemudian. Di hadapan kawasan ini, di tepian jalan tepi sungai baru kami makan malam, makan satay hampir jam 10 malam kalau tak salah ingatan.


Ikut rancangan asal, selepas Masjid Tuan Tulis di Kuala Pilah, Masjid Qariah Linggi dan Masjid Tanah, kami mahu ke Masjid Tanjung Keling, Masjid Tengkera dan Masjid Kampung Keling serta beberapa makam di sekitar sebelum berehat di Masjid Kampung Hulu, di tengah bandaraya Melaka. Tetapi memandangkan kami sampai ke Masjid Tanah pun sudah agak malam dan kepenatan, seterusnya kami menghala terus ke Masjid Kampung Hulu.

Di masjid inilah kami bermalam untuk perjalanan pembukaan projek penerbitan berkenaan masjid-masjid di Semenanjung Malaysia ini...

Di sini juga kami mendapat dan mendengar beberapa cerita yang pelik-pelik daripada beberapa orang. Cukuplah. Disambung selepas ini ya...

Isnin, Oktober 20, 2008

Open house di Ampang, barbecue geng moto beso di Rawang dan perjumpaan kawan lama SMSJ di Kajang

OK, satu cetusan rasa...

Di bawah adalah gambar-gambar sekitar majlis terbuka Hari Raya di rumah ibu saudara saya di Ampang pada hari Sabtu 18 Oktober...





Kebanyakan yang datang adalah saudara-mara terdekat saya serta sahabat-handai ibu saudara saya dan suaminya. Pun begitu, walaupun seperti disebut dalam bahagian tambahan artikel Hari raya dan rumah terbuka. Jemputan untuk semua! , saya tidak dapat menjemput pembaca untuk datang menjamah juadah kerana majlis terpaksa diterhadkan untuk jumlah tertentu, ada juga beberapa orang pembaca datang memeriahkan suasana. Terimakasih kerana sudi menjenguk ke teratak tempat saya menumpang yang tidak seberapa ini.

Di bawah pula adalah gambar-gambar sekitar majlis barbecue melibatkan geng motosikal besar yang diadakan di kedai Mail Motor di Rawang pada malam harinya, tempat menghidupkan kembali motosikal saya yang 5 tahun tidak berjalan. Sila lihat artikel Wajah baru motosikal besarku, tanda satu peralihan zaman?






Kelihatan malam itu tidak kurang 50 buah motosikal besar, semuanya milik orang Melayu. Ada pula yang datang menaiki kereta kerana membawa isteri dan anak-anak. Apapun, boleh kata rata-rata mereka yang datang adalah orang Melayu yang berpendapatan sederhana hingga tinggi. Kalau tidak, macamana nak maintain pakai motosikal besar?

Keesokannya, saya turut pergi menghadiri majlis-majlis lain. Tetapi tiada yang lebih bermakna daripada majlis seterusnya, perjumpaan dengan kawan-kawan lama daripada Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang yang diadakan di Restoran Satay Haji Samuri di Kajang... Bayangkan sudah lama tidak bertemu, sejak saya ditendang sekolah tahun 1986 iaitu 22 tahun lalu. Bayangkan!

Saya begitu teruja berjumpa kawan-kawan lama sehingga terlupa untuk mengambil walaupun satu gambar. Jadi biarlah saya gunakan gambar motosikal saya diletakkan di sebelah 2 buah lagi motosikal Virago sebagai hiasan ya!

Hmm... Kalau nak cerita, banyak juga boleh cerita tetapi saya harus berkejar ke Kelana Jaya sebentar lagi. Cukuplah diberitahu bahawa saya terasa begitu terharu dapat bertemu kawan-kawan lama. Tak sangka sungguh, akibat artikel Memori lama pahit getir SMSJ, Kluang, Johor... yang disiarkan di blogspot ini 8 bulan lalu tetapi baru disedari oleh rakan-rakan satu batch saya (ia telah disedari bekas pelajar lain lebih lama) beberapa hari kebelakangan ini, dapatlah kami bersua muka semula.

Walaupun yang dapat datang cuma 7 orang - Amali, Adrian, Faris, Zulsafari, Tom, Lokman dan saya sendiri, ia sudah cukup bermakna. Walaupun hujan lebat teruk semalam, saya gagahi juga menaiki motosikal untuk bertemu kawan-kawan yang sudah lama terputus hubungan. Alhamdulillah, syukur kepada Allah.

Rasanya itu sahaja luahan malam ini. Sila lihat juga artikel A freak 'accident' at Sri Hartamas yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi juga artikel Surau (small praying hall of) Haji Yusuf, Rembau di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Sekian, selamat malam. :]

Selasa, Oktober 14, 2008

Hari raya dan rumah terbuka. Jemputan untuk semua!

Akhirnya sampailah kita kepada posting terakhir untuk sesi penulisan kali ini, sesi penulisan pertama di blogspots saya semenjak menjelangnya Syawal ini. Maka biarlah digunakan gambar-gambar suasana perayaan di rumah ibu bapa saya di Muar minggu lepas ya. Untuk makluman semua orang yang kelihatan adalah saudara mara terdekat kami.


OK... Semalam, setelah menziarahi rumah seorang ibu saudara di Bukit Damansara, baru saya dapat tahu bahawa rumah ibu saudara lain di Ampang tempat saya menumpang akan mengadakan sambutan hari raya terbuka berserta tahlil pada 18 haribulan ini iaitu hari Satu hujung minggu ini.

Apa daa... Nama sahaja duduk di situ tapi saya baru sedar tentang ini. Maklumlah sejak 2-3 minggu kebelakangan saya sering bermalam di luar... Daripada pergi ke Raub, Janda Baik sehingga tidur di masjid-masjid dalam perjalanan kembali ke Muar dan berjalan ke tempat-tempat lain, tengahari tadi baru saya betul-betul kembali ke Ampang.


Kalau ikutkan, mulai Jumaat inipun saya harus 'menghilangkan' diri lagi. Cadangnya mahu memulakan satu tugasan baru untuk sebuah syarikat penerbitan besar Bumiputera lalu harus membuat perjalanan jauh sambil singgah melihat keadaan dan mengambil gambar di sejumlah masjid dari Negeri Sembilan membawa ke Melaka, Johor dan Singapura. Tetapi seorang rakan yang akan bertindak sebagai jurugambar professional pula mahu menundakan perjalanan ke minggu depan. Hikmahnya, dapatlah saya mengatur untuk hadir ke beberapa acara lain.


Sebelum itu, ada pihak mahu saya membuat promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" seraya memberi ucapan dalam satu majlis melibatkan segolongan tenaga pengajar dari seluruh Malaysia yang akan berkumpul di Kuala Lipis, Pahang. Saya tidak dapat menjamin kehadiran kerana tarikhnya hampir berselisih. Rasa tak terkejar mahu ke Kuala Lipis 160km ke timur-laut Kuala Lumpur setelah bergerak hampir 400km ke Singapura dan menziarahi lebih 20 masjid di lokasi berlainan sepanjang perjalanan, semuanya dalam tempoh 3-4 hari. Pancit woo...

Saya juga baru dapat tahu, kedai motosikal besar tempat saya memperbaiki motosikal akan mengadakan majlis sambutan hari raya juga barbecue pada hujung minggu waktu malam. Tak dapat le pergi kalau perlu membuat perjalanan Negeri Sembilan ke Singapura minggu ini...


Semalam, semasa menghubungi rakan berkenaan ketika bertandang di rumah ibu saudara di Bukit Damansara, baru dia memberitahu perlu menunda tarikh perjalanan. Oleh kerana di situ juga saya baru dapat tahu tentang rumah terbuka ibu saudara di Ampang, dapatlah juga saya menghadirinya, insyaallah!

Lebih baik lagi, dapat juga saya ke Kuala Lipis menurut hajat seorang kenalan baru dan pembaca blogspot ini yang juga peminat kuat siri buku "Berpetualang ke Aceh". Siang tadi pula, seorang rakan juga pembaca meminta saya membuat ucapan di hadapan satu majlis yang melibatkan perjuangan orang Melayu. Alhamdulillah, tarikh yang dipinta seolah-olah sudah diatur cantik agar tidak berselisih, begitu sesuai aturannya dengan komitmen kerja dan sosial saya dalam masa terdekat. Sungguh jodoh pertemuan di tangan Mu ya Allah!


Dengan itu, dapatlah juga saya menghadiri majlis rumah terbuka di tempat saya menumpang 3 tahun kebelakangan. Dalam pada itu terfikir juga, majlis ini boleh dijadikan tempat berjumpa sesiapa yang mahu bertemu, baik kenalan lama mahupun mereka yang belum pernah bertemu untuk beramah-mesra. Juga untuk sesiapa yang mahu membeli terus siri buku "Berpetualang ke Aceh" atau/ dan DVD " Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" daripada saya.

Saya telah meminta kebenaran dari ibu saudara siang tadi. Dengan ini sukacita dimaklumkan, semua pembaca dijemput bertandang ke rumah terbuka pada 18 haribulan ini hari Sabtu, mula jam 3 petang. Alamatnya sama dengan alamat untuk membeli buku saya melalui pos iaitu:-


Lot 646, Jalan 9, Taman Ampang Utama, 68000 Selangor.


Senang sahaja. Pergi ke Ampang menghala ke Bukit Belacan melepasi pusat membeli-belah Ampang Point sehingga ke traffic light pertama iaitu di simpang ke Taman Chempaka yang turut menghala ke pusat-membeli belah Galaxy juga ke Pandan Indah. Masuk ke kanan dan terus dalam 200 meter, pandang ke kanan... Ada dereten rumah-rumah bungalow besar.

Rumah ibu saudara saya berwarna kuning kejinggaan dengan reka bentuk berunsur Melayu lama dan Timur Tengah, ada menara di tingkat tiga, ada pagar berbentuk lembing. Letaknya 2 pintu sahaja dari bangunan kedutaan negara Zimbabwe. Insyaallah bertemu kita hari Sabtu ini? Untuk makluman, ini adalah posting ke 414 di sini. Barulah saya boleh berehat. Selamat malam dan wassalam! :]


Maklumat tambahan (dibuat Khamis 16 Oktober)

Semalam ibu saudara saya telah memberitahu menukar fikiran. Katanya jumlah tetamu yang dijangka datang termasuk keluarga, sahabat-handai terdekat, orang surau dan masjid ditambah pula kenalan lama ibu saudara dari Kolej Tunku Kursiah yang sudah lama tidak bertemu kelihatan akan melebihi ruangan dan stok makanan yang disediakan. Oleh itu dia tidak dapat menampung jika saya turut membawa kawan-kawan. Jawab saya OK, saya akan alihkan ke tempat lain.

Sebenarnya seperti diceritakan awal di atas, saya pun tidak menjangka akan turut terlibat dalam acara rumah terbuka ini. Keinginan untuk membuat jemputan terbuka di sini pula sebenarnya timbul kerana menyedari ada pihak-pihak mahu mendapatkan buku ataupun DVD daripada tangan saya sendiri sedangkan ada yang sekadar ingin bertemu untuk berkenal-kenalan atau berbual-bual.

Saya tiada masalah tentang ini. Masalah saya cuma saya sentiasa bergerak ke sana ke mari atas berbagai urusan peribadi juga kerja. Di celah-celah itu, masa yang ada digunakan untuk berehat akibat kepenatan yang kadangkala melampau. Maka susah untuk saya menunaikan hajat orang untuk bertemu kecuali kebetulan orang itu menelefon pada satu ketika di mana saya ada sedikit kelapangan antara urusan sedangkan orang itu pula berada tidak jauh dari tempat di mana saya berada pada ketika itu.

Rumah terbuka ibu saudara di Ampang memberi satu peluang. Oleh kerana rancangan untuk mengembara sambil bekerja dari Negeri Sembilan ke Singapura telah pun ditunda ke minggu hadapan, maka seharusnya saya menghadirinya sekurang-kurangnya untuk menghormati serta beramah-mesra dengan ahli keluarga. Maka di sini ada satu jaminan bahawa saya ada di satu tempat, tidak bergerak ke mana-mana dalam satu tempoh yang sesuai di mana sesiapa sahaja yang mahu bertemu ataupun berkenalan dengan saya boleh turut serta.

Oleh kerana rumah terbuka itu nampaknya terpaksa diterhadkan kepada jumlah jemputan tertentu, maka saya harus mengubah sedikit rancangan. Semua pembaca tetap dijemput datang ke alamat yang tertera tetapi kita jangan kacau ruang dan makanan. Kita berjumpa dan alih pertemuan kita ke tempat lain yang berdekatan.

Rancangannya begini... Oleh kerana acara akan bermula selepas jam 3 petang diikuti majlis tahlil maka saya haruslah turut serta. Rasanya selepas jam 3.30, saya bebas untuk 'lari'... Maka apa kata sesiapa yang mahu datang, datanglah selepas waktu itu, kita bertemu dan kita buat perbincangan sendiri tanpa mengganggu acara ibu saudara saya. Amacam? Itupun kalau masih sudi datang kerana selepas itu susah untuk saya mendapatkan kelapangan untuk bertemu semua orang. Sekian! :]


Penat lelah mengangkut 2,200 buku dari pintu belakang tingkat 2 bangunan dan pembayaran secara on-line...

Gambar lama daripada artikel Kat beauty saloon pun ada BKA woo!!! yang dibuat Mei tahun lepas...



Ingat artikel Kat beauty saloon pun ada BKA woo!!! yang pernah dibuat semasa siri buku "Berpetualang ke Aceh" dalam proses pertengahan baru nak menapak? Sejak itu, saloon yang dimaksudkan telah menjadi tempat utama saya menyimpan baki stok buku yang ada. Maklumlah, saya bukan ada rumah milik sendiri... saya cuma hidup menumpang di rumah orang, seringkali pula keluar mengembara ke sana ke mari tanpa arah yang pasti.

Sekarang, alhamdulillah. Setelah selesai menyajikan ketiga-tiga buku dalam trilogi siri novel "Berpetualang ke Aceh" iaitu buku satu dengan sub-title "Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006), buku dua "Membela Syiar yang Asal (terbit Mei 2007) dan "Sirih Pulang ke Gagang?" (November 2007), kehidupan saya mula menjadi stabil... kiranya nak jadi manusia bertamadun balik le selepas lama hidup merempat tak tentu arah macam orang hutan musafir kelana tanpa tujuan.

Semalam, saya telah mengalihkan baki stok buku hampir 2,200 naskah daripada bahagian belakang saloon yang terletak di Bandar Tasik Selatan ke satu lokasi agak jauh tetapi lebih menyenangkan. Walaupun saya pernah seorang diri mengangkut 2,000 buku dari sebuah lori kecil di tingkat bawah untuk naik dan diatur di belakang saloon di tingkat 2, walaupun saya juga pernah mengangkut sendiri 850 naskah buku ke tingkat 17 pejabat Perpustakaan Negara dari tempat letak kereta di tingkat ketiga bawah tanah juga membawa turun 1,000 buku dari saloon masuk ke van untuk di bawah ke gudang simpanan perpustakaan, tiada yang lebih penat daripada cabaran mengalihkan buku semalam.

Sebabnya, dahulu saya dapat mengalihkan buku dengan menggunakan trolley, dan ada kerjasama pihak-pihak berkenaan yang sekurang-kurangnya sedia membuka pintu dan memudahkan laluan. Semalam, disebabkan hal tertentu melibatkan urusan perniagaan yang gagal antara satu pihak dengan pihak lain yang rapat dengan saya, saya terpaksa mengalihkan buku melalui pintu belakang tingkat 2 bangunan melalui 6-7 set anak tangga dalam satu ruangan yang sempit di dalam satu kegelapan (akibat lampu dalam bangunan rosak) yang cuma dapat diterangkan dengan lampu kereta yang disuluh masuk ke tingkat bawah!

Bayangkan mahu mengalih hampir 2,200 buku yang berat keseluruhannya hampir 1 tan metrik dengan kudrat lengan tangan dan sokongan pinggang sahaja melalui 6-7 set anak tangga dalam keadaan begitu. Hujan lebat sehingga jam 9.30 malam pula hampir membatalkan rancangan.

Nasib baik ada pertolongan pembaca blogspot saudara Raizul yang sudi berganding tenaga seraya sanggup menawarkan pengunaan kenderaan hi-lux nya untuk mengalihkan buku. Nasib baik juga pihak pemilik bangunan sudi membukakan kunci pintu belakang.

Dengan sedikit kudrat yang ada serta berbekalkan keyakinan serta tawakal pada Allah SWT kami berdua pun mula mengalih buku dari satu tingkat anak tangga turun ke tingkat seterusnya. Alhamdulillah, berjaya juga diselesaikan kerja yang pada mulanya kelihatan sedikit mustahil. Dan kini lebih senang untuk saya mendapatkan stok buku apabila timbul permintaan baru.

Maka di sini biar dimaklumkan. Siri buku "Berpetualang ke Aceh" tidak lagi dijual di saloon berkenaan. Apapun, saya tetap berterimakasih kepada pihak mereka kerana telah membenarkan saya menumpang buku di bahagian belakang saloon, walaupun bahagian belakang itu sebenarnya berada di bawah pengawasan pihak pemilik bangunan, bukan hak saloon pun.

Selain itu, baru-baru ini seorang pembaca telah mengambil inisiatif sendiri membuat belian DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" dengan bertanyakan nombor akaun Affin Islamic Bank milik saya, satu-satunya bank yang saya langgani kini lalu membuat bayaran secara on-line. Alhamdulillah tidak lama kemudian saya dapati pembayaran itu disahkan melalui e-mail saya bermakna kini anda semua boleh membuat bayaran untuk membeli buku mahupun DVD secara on-line... tanpa saya perlu membuka akaun baru di Maybank dan sebagainya.

Dengan itu, pada sesiapa yang terasa jenuh hendak membeli apa-apa hasil terbitan syarikat saya Wasilah Merah Silu Enterprise melalui wang pos mahupun susah bertemu, boleh le membuat pesanan melalui SMS di nombor telefon 013-3082131 diikuti pembayaran on-line ke akaun Affin Bank.

Sila semak, ia masuk ke akaun

Mohd. Fahrulradzi b Mohamad Sapiee,

nombor akaun Affin Islamic Bank : 20-530-011171-1

Sekian! :]


p/s: Semalam petang saya juga sudah mengepos sejumlah DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874". Kepada mereka yang berkenaan, insyaallah ia akan sampai ke tangan anda dalam tempoh 4-5 hari waktu pejabat. Selamat menonton! :]




Jalan-jalan lepas raya... Dari Muar ke Pagoh ke Melaka, entah le nak cari apa!

Assalamualaikum semua. Sampai masanya untuk kita menyambung bercerita di sini setelah senyap tidak membuat apa-apa postings selama 2 minggu, mungkin akibat 'penangan' sambutan Hari Raya Aidilfitri. Adapun tadi saya telah membuat 3 postings baru di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 2 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Sampai masanya untuk membuat posting di sini pula walaupun saya sudah rasa terlalu penat. Sebabnya saya kurang tidur, semalam keluar malam hingga lewat bertungkus-lumus mengangkut dan mengalihkan 2,200 buku dari Bandar Tasik Selatan... Nasib baik ada pertolongan saudara Raizul. Hmm, rasanya saya harus membuat satu posting cerita tentang ini nanti.

Apapun, saya dah terasa cukup penat setelah selesai mengupload dan mengatur gambar-gambar di bawah ini sehingga hilang terus gerak untuk bercerita. Lalu saya rasa mahu sahaja melelapkan mata dahulu untuk berehat. Tetapi sebelum itu harus meletakkan tajuk sebelum posting ini disimpan dalam bentuk draft untuk disambung kemudian...

Melihatkan gambar-gambar ini, timbul ilham untuk memakai tajuk cerita "Jalan-jalan lepas raya... Dari Muar ke Pagoh ke Melaka" (perkataan "entah le nak cari apa!" cuma ditambah kemudian!). Terus terasa pula tajuk itu seperti membayangkan perjalanan Sultan-sultan Melaka dahulukala, entah kenapa... Lalu biarlah saya lepaskan sahaja sedikit rasa nak bercerita walaupun mungkin tak tentu hujung pangkalnya ya. Kalau mampu, saya mahu melepaskan gerak bercerita sampai habis apa yang patut sebelum berehat. Ini dia... :]



Ini gambar di Tanjung Emas, Muar pada satu petang hampir Maghrib, pada Hari Raya ke-5 gitu...

Ini gambar bandar Muar diambil dari tengah jambatan lama menyeberangi Sungai Muar. Sila lihat artikel My latest views of Muar and some thoughts... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH ...
Aduh! Nampaknya saya betul-betul dah tak larat. Dah lah saya sebenarnya sedang demam selsema, badan pun terasa panas semacam. Biarlah saya berehat dahulu ya...



OK. Sekitar setengah jam kemudian selepas 'berehat'... jam di laptop masuk pukul 6.24 petang ketika menulis ayat ini...

Sebenarnya saya bukan pun berehat sangat... walaupun keinginan untuk melelapkan mata itu ada akibat kepenatan daripada malam semalam bercampur tubuh badan kurang sihat, saya terasa teruja pula ingin mengetahui berita semasa terutama berkenaan perkembangan politik tanah-air lalu masa berikutnya dihabiskan menelaah berbagai sumber berita dan cerita rasmi dan tidak rasmi di dunia Siber.

Berbalik pada penceritaan yang tak tentu hujung pangkal ini. Pada hari Isnin 6 Syawal, timbul gerak untuk menziarahi makam Sultan Alauddin Riayat Shah (memerintah Melaka 1477-1488) di Kampung Raja, Pagoh, satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih wujud di Malaysia. Saya pun bergegas ke sana... Apabila masuk masjid di sebelah makam, terjumpa pula imam masjid lalu selepas menunaikan solat tahiyatul masjid, kami pun bercerita.

Adapun sebaik sahaja selepas bersolat itu, timbul rasa dalam hati bahawa masjid Kampung Raja ini sebenarnya didirikan di atas tapak istana hinggap Sultan Alauddin di sini (sudah tentu istana utama terletak di sekitar bandar Melaka malah menurut sesetengah cerita di atas Bukit St. Paul sebenarnya tetapi segala kesan telah dimusnahkan penjajah Portugis!). Pelik juga saya memikirkannya. Bukan pelik sebab istana terletak di masjid ini... Malah ini sangat logik apabila memikirkan kedudukan masjid di atas satu-satunya tanah paling tinggi dalam lingkungan 1-2km di sekitarnya. Dan sudah menjadi semacam adat bahawa seorang raja dimakamkan tidak jauh daripada istananya walaupun istana hinggap.

Yang saya rasa pelik adalah kerana baru kali ini terbetik dalam hati bahawa istana Sultan Alauddin terletak di sini. Sedangkan rasanya saya sudah lebih 10 kali bertandang di sini malah pernah sekali bermalam seorang diri dalam masjid... atas kebenaran imam kedua yang mengingatkan - bersedialah untuk diganggu atau dialih jika niat saya tidak betul atau kehadiran saya tidak diterima!


Apapun, saya pun bertanya kepada imam yang baru ditemui kali ini, imam utama masjid tentang itu. Jawab pak imam, ya, memang masjid ini didirikan di atas tapak istana baginda. Malah dia cukup senang saya bertandang ke sana untuk menziarahi makam. Katanya, kalau dia dan orang sekitar itu bertandang memanglah patut kerana mereka orang sini. Kalau orang luar seperti saya sanggup bertandang, itu tanda anak cucu prihatin sanggup menyampaikan hajat tok nenek untuk diziarahi!

Saya tersenyum sahaja. Jawab saya memang saya ada kena-mengena, itu sahaja. Dalam pada itu saya tergerak untuk bertanya tentang satu bukit yang pernah saya lihat dalam satu mimpi sekitar setahun lalu. Pelik lagi memikirkan betapa lama saya telah melupakan mimpi dan pencarian bukit yang tercetus selepas itu... tetapi boleh pula ia timbul kembali di sini, pada 6 Syawal 1429 Hijrah ini...

Adapun cerita mengenai mimpi dan pencarian ini pernah saya tulis dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH yang berbahasa Inggeris hujung tahun lepas. Tajuknya ialah The hill I saw in a recent dream? . Apabila menceritakannya kembali kepada pak imam terutama apabila menyebut bahawa keluar nama tempat bernama Olak berdekatan bukit dalam mimpi, terus pak imam menyebut bukit yang dimaksudkan terletak tidak jauh dari masjid ini... berhampiran satu kawasan dipanggil Olak Sepam. Sedangkan sebelum itu saya pernah cuba mencari bukit yang dimaksudkan di Tanjung Olak yang terletak lebih hampir ke pekan Panchor menghampiri Jorak.

Kata pak imam, nama bukit itu ialah Bukit Sebabi. Hah? Bukit Sebabi? Ya, itulah namanya. Tak tahulah kenapa. Dia menerangkan jalannya... katanya kena masuk satu simpang sebelum masjid lama Olak Sepam yang terletak di tepian Sungai Muar. Selepas meminta diri untuk bertafakur dan membaca Surah Yassin di makam Sultan Alauddin, saya pun keluar mencarinya. Pesan pak imam dan seorang dewasa di sebelahnya, berjaga-jaga sedikit... tempat itu keras.

Apapun saya sampai juga ke situ, sekitar 15 minit kemudian. Jam pula sekitar 6.30 petang begitu. Bayangkan keadaan... memang kawasan itu menyeramkan. Manakan tidak? Bukan sahaja ia sunyi dengan kedudukan agak terpencil, seluruh puncak bukit dipenuhi tanah perkuburan di sebalik belukar dan pepohon getah yang menutup cahaya matahari.

Yang penting saya puas hati kerana ia memang ada ciri-ciri bukit yang dilihat dalam mimpi lebih-lebih lagi dengan kedudukan yang membolehkan saya melihat Sungai Muar dengan jelas. Lihat artikel The hill I saw in a recent dream... Is it Bukit (hill of) Sebabi at Olak Sepam? yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi.



Kemudian baru saya keluar untuk masuk ke sebuah jalan lain di tepian Sungai Muar. Tergerak untuk menziarahi masjid lama Olak Sepam.

Untuk pengetahuan, saya pernah sampai ke sini sekali awal tahun ini, dalam bahagian terakhir perjalanan mengelilingi Johor seperti yang tercatat dalam artikel Dari Segamat kembali ke Muar... Berakhirlah satu episod pengembaraan... di sini. Boleh juga lihat koleksi cerita perjalanan di bahagian tengah side-bar kanan.

Dalam perjalanan dahulu, saya setakat dapat melihat hingga keliling tetapi dari luar sahaja kerana kesuntukan masa. Dalam perjalanan kali ini baru saya dapat melihat hingga ke dalam dan ke atas. Sila lihat artikel Masjid lama (old mosque of) Olak Sepam, Pagoh, Muar yang baru dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) , juga tadi...


Dari situ, saya menurut kembali laluan yang pernah dilalui bersama seorang pembaca blogspot ini, saudara Khairul dari Segamat dalam perjalanan lalu. Walaupun dalam perjalanan terbaru ini juga sudah hampir waktu Maghrib, ia mungkin cepat sedikit sekitar 5-10 minit... lalu ada lebih sedikit cahaya matahari untuk saya melihat dan merekodkan keadaan. Lagipun kamera yang dipakai kini lebih terang berbanding kamera digital murah dahulu yang langsung tidak dapat menangkap gambar dalam samar...

Maka dapatlah saya mengambil gambar ini, gambar makam seorang pahlawan Melayu yang dikenali sebagai Panglima Mat Berani. Kalau tak salah ingatan, panglima ini berasal dari Pahang. Beliau gugur menentang Portugis ketika mempertahankan kedudukan Sultan Mahmud Melaka (anak Sultan Alauddin dari ibu berdarah Bendahara) di Pagoh, selepas Sultan berundur akibat Kota Melaka ditawan penjajah itu tahun 1511.



Sebenarnya keadaan lebih samar daripada yang kelihatan dalam gambar. Tetapi kamera lebih canggih (dan tentunya lebih mahal) memungkinkan kualiti gambar yang lebih menarik dan memberangsangkan.

Maka kelihatanlah bahawa makam ini menggunakan batu nesan Aceh. Cuba bandingkan dengan gambar yang dapat dirakamkan dengan kamera digital lama seperti terpapar dalam artikel Dari Segamat kembali ke Muar... Berakhirlah satu episod pengembaraan...



Saya juga mengulangi lawatan ke Bukit Setaki, sebuah bukit berdekatan yang terasa ada misterinya yang tersendiri. Ini sudah pun dinyatakan dalam artikel Dari Segamat kembali ke Muar... Berakhirlah satu episod pengembaraan... . Bezanya jika dahulu, saya sampai ke puncaknya berdua dengan Khairul menaiki kereta sekitar jam 8 malam dalam kegelapan, selepas menunaikan solat Maghrib di masjid berdekatan, kali ini saya sampai berseorangan dengan menaiki motosikal besar sedikit lebih awal iaitu sejurus selepas masuk waktu Magrib jam 7.30 gitu.

Maka dapatlah saya mengambil gambar di sekitar... lalu saya cuba menyelami kembali keadaan untuk mengaitkannya dengan mimpi tahun lepas tentang bukit. Sila baca artikel baru The hill I saw in a recent dream... Or is it Bukit (hill of) Setaki... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH ...



Malam itu, selepas menghampiri pekan Panchor melalui jalan estet dari Bukit Setaki, saya cuba meneroka laluan kecil jalan kampung dengan harapan dapat sampai ke Jorak tanpa perlu keluar balik jalan utama sekitar Pagoh. Sampai le saya ke lorong menyeberangi bawah Lebuhraya Utara-Selatan membawa ke kawasan rehat Pagoh... singgah sebentar untuk minum kopi sebelum bersolat kemudian menyambung perjalanan melalui laluan semakin kecil yang pecah-pecah jadi tanah merah berbatu-batu. Alahai betul ke jalan ini atau aku sudah tersilap? Nak patah balik terasa rugi pula... jauh, mahu patah balik 5-6km ke belakang...

Nasib baik kelihatan sebuah kereta mengambil laluan yang sama walaupun harus bergerak perlahan. Walaupun saya terpaksa mengharungi serpihan batu dan habuk tanah merah dengan laluan pecah-pecah yang tidak patut dilalui motosikal besar langsung, sekurang-kurangnya saya yakin ada jalan keluar...

Sekitar 15 minit kemudian baru saya tersedar bahawa jalan tanah merah yang dilalui itu adalah jalan untuk ke kawasan kuari bukit-bukit dalam perjalanan dari Pagoh ke Bukit Pasir tetapi dari arah lain. Saya kenal laluan ini kerana pernah pertama kali masuk bersama adik saya Khairi penghujung tahun lepas untuk mencari bukit dalam mimpi seperti disebut dalam artikel The hill I saw in a recent dream? . Dan saya pernah masuk kembali laluan ini bersama Khairul selepas singgah sebentar di Bukit Setaki dan Panchor!

Apapun, saya dapat keluar balik ke jalan besar lalu berhenti rehat di Bukit Pasir. Keesokannya, 7 Syawal, saya pun bersedia untuk kembali ke Lembah Kelang meninggalkan rumah keluarga di Muar.
Oh... Terlupa nak beritahu. Adapun sejak beberapa hari lepas di rumah ayah dan ibu, entah kenapa, datang dari mana (sebab ibu pun tertanya-tanya daripada mana pula muncul benda alah ini!), terdapat sebuah majalah apa entah nama, lupa pula namanya. Tetapi seperti Mastika yang ada memaparkan cerita-cerita misteri yang diyakini benar. Gerak hati saya pula menyebut, ia muncul di situ, tak kiralah mungkin ditinggalkan salah seorang saudara yang bertandang kerana ada sesuatu di dalamnya yang perlu diteliti. Untuk pengetahuan, majalah ini adalah edisi lama tahun 1999! Jadi apa logiknya majalah lama berusia 9 tahun harus tertinggal di situ?

Apapun, dalam majalah itulah saya mendapat tahu akan apa yang ada di Bukit Senjuang, selatan bandaraya Melaka. Sedangkan selama ini saya sering lalu di kawasan itu apabila lalu di Melaka tetapi belum tergerak untuk singgah di sana.

Apa yang ada di sana? Sila lihat artikel Bukit (Hill of) Senjuang, Melaka yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) petang tadi. Sekarang lepaslah gerak penceritaan awal di blogspot ini untuk sesi penceritaan terbaru, yang pertama selepas kita menyambut Hari Raya Aidilfitri 1429 Hijrah ini. Insyaallah akan saya sambung cerita lain di sini, selepas solat Maghrib sebentar lagi ya! Wassalam... :]

p/s: Peh... Dalam penat-penat tadi asyik rasa nak terlelap mata, dapat juga melepaskan cerita ini. Alhamdulillah... Lega!


Isnin, Oktober 06, 2008

Jualan DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" kini dibuka...



Assalamualaikum... Kini sudah hampir seminggu kita menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri. Alhamdulillah, semuanya selamat, dapat berjumpa sanak-saudara jauh dan dekat. Kini kembalilah kita kepada rutin harian seperti bersekolah, bekerja, berniaga dan sebagainya walaupun Hari Raya tetap akan disambut di celah-celah itu sehingga penghujung bulan.

Dalam pada itu, sudah ramai menyatakan minat mahu mendapatkan DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" malah sudah ada yang membelinya terus dari saya. Saya pula akan kembali ke Lembah Kelang esok maka sukacita dimaklumkan pembelian DVD ini kini dibuka kepada umum.

Adapun butir-butir harga dan cara pembelian boleh dilihat dalam artikel Perjalanan ke Perak: DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" dah siap! Maaf ya, jika kos penghantaran yang menyebabkan harga promosi RM9.90 untuk sekeping DVD bertambah jadi RM15. Rasanya ia perlu. Lagipun harga RM15 itu sendiri boleh dikira murah dibandingkan dengan kos penyediaan dan usaha yang terlibat untuk menyediakan DVD ini apalagi nilai pengalaman dan ilmu yang tercurah samada yang tersirat mahupun tersurat melaluinya!

Kalau ada yang mahu menjimatkan kos, bolehlah membelinya secara terus daripada tangan saya dengan harga RM9.90 sekeping sementara stok masih ada. Tetapi perlulah bertandang ke alamat rumah yang ada disebut dalam artikel Perjalanan ke Perak: DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" dah siap! , itupun kalau saya ada di sekitar rumah.

Untuk makluman, selain merayap-rayap tak tentu arah seperti kebiasaan perangai gila saya, saya juga bakal memulakan tugasan baru yang memerlukan saya mengembara ke seluruh Semenanjung (mungkin juga seluruh Malaysia sehingga ke Singapura dan Brunei?) mulai tempoh terdekat ini. Di celah-celah itu, selain berhari-raya melawat rumah sanak-saudara dan sahabat-handai, saya juga harus membuat beberapa urusan keluarga demi mahu menamatkan zaman duda, insyaallah sebelum masuk tahun Hijriah akan datang.

Yang pasti, di sebalik dan celah-celah kesibukan semua ini, saya akan tetap kembali ke rumah ibu saudara Ampang, antara lainnya untuk menyemak surat-surat yang datang. Maka itu, mulai hari ini, sesiapa yang berminat untuk mendapatkan DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor" boleh mula menghantar surat dan wang pos seperti disebut dalam artikel Perjalanan ke Perak: DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" dah siap!

Keutamaan diberikan kepada mereka yang telah membuat tempahan melalui blogspot juga e-mail. Ingat, harga promosi RM9.90 terhad kepada 100 keping DVD terawal (yang kini kurang sedikit kerana ada yang sudah dibeli, ada telah dihadiahkan kepada ahli keluarga). Selepas itu ada kemungkinan harga akan meningkat jadi RM15 sekeping tanpa kos pos (campur pos jadi le RM20 sekeping)!

Sekian... Teruskan beraya dalam suasana harmoni. Wassalam! :]

Selasa, September 30, 2008

Perjalanan berliku untuk kembali berhari raya: Bermalam di Masjid Kampung Hulu lalu sampai masa kembali ke Muar...

Alhamdulillah... Akhirnya sampai masa untuk menutup sessi penceritaan malam ini yang merupakan bekalan 'bacaan' buat semua dalam tempoh perayaan ini. Hmm... Tadi rupanya harus buat lagi satu artikel untuk blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Tetapi tak mengapalah, dah selesai pun. Maka mari kita bercerita! :]

Artikel Perjalanan berliku untuk kembali berhari raya: Bermalam di Masjid Naning pula, sebelah makam Dol Said! ditamatkan dengan lawatan ke Muzium Islam Melaka. Dengan itu tamat juga apa-apa persinggahan yang perlu dibuat hari itu (semalam sebenarnya), bolehlah saya ke destinasi bermalam seterusnya iaitu Masjid Kampung Hulu, di tengah bandaraya Melaka.

Walaupun saya sudah banyak kali bertandang ke sana termasuk datang pagi buta jam 2-3 pagi begitu lalu berehat melelapkan mata, hakikatnya saya belum pernah betul-betul bermalam di sana. Kali ini baru saya tidur (atau terjaga...) hingga Subuh. Malah saya selepas Subuh kemudian berbual lama dengan Pak Imam di sini hingga jam 8 pagi, saya menyambung tidur hingga jam 11 pagi! Dan lagi, inilah kali pertama saya berbuka puasa di masjid ini!

Sebenarnya banyak lagi yang berlaku di masjid yang dikatakan ada karamah ini tetapi biarkanlah... Saya sudah penat menulis... Saya memulakan sessi menulis sebelum jam 5.30 petang tadi dan kini jam 11.30 malam saya baru sampai ke ayat ini, belum pun habis cerita! Dan lagi tadi saya cuma berbuka puasa satu tin air Cincau, sampai kini belum mengisi perut dengan apa-apa makanan atau minuman lain semata-mata untuk melepaskan gerak penceritaan kali ini.

Oh... Sila lihat juga artikel Melaka old city centre at night and the nostalgia around it... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH ... Sedikit pandangan dan nostalgia pusat bandaraya Melaka di waktu malam...



Puas berehat di Masjid Kampung Hulu, sampailah masa untuk betul-betul melangkah kembali ke Muar. Apapun, alang-alang sudah berada di Melaka, rasa perlu juga untuk singgah ke Masjid Peringgit, masjid tertua di Melaka. Itu yang baru dijadikan posting Masjid (mosque of) Peringgit, Melaka di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tadi...


Masjid Peringgit terletak berhadapan Hospital Melaka, berhampiran juga dengan Masjid Negeri Melaka. Tetapi saya tidak singgah di masjid negeri, setakat ambil gambar dari luar jadilah...


Saya mahu terus ke Duyung, melawat perigi Hang Tuah...

Kemudian singgah di Masjid Kampung Duyung...


Selesai semua itu, baru saya masuk jalan lama ke Muar. Di Telok Mas, saya singgah di masjid ini, di tepinya terdapat Jalan Raja Haji sempena pahlawan Bugis terkenal yang gagah berani abad ke 18 Masihi itu.

Kenapa saya singgah di sini? Untuk pengetahuan, di sekitar kawasan inilah Raja Haji gugur ketika cuba memerdekakan Kota Melaka daripada tangan penjajah Belanda 1784...


Beberapa makam lama di tepian jalan berhadapan masjid, dihadapan sekolah ini menjadi bukti betapa orang-orang Melayu pernah syahid menentang penjajah di sini.


Seterusnya saya singgah di Masjid Umbai, juga dikenali sebagai Masjid Baginda Ali. Nak tahu apa ceritanya, buatlah search di blogspots saya...


Dengan itu, bolehlah saya menutup "perjalanan berliku untuk kembali berhari raya" ini di Masjid Muar... Saya sampai di Muar sekitar jam 3 petang...


Di satu sudut masjid, saya memasukkan segala gambar yang diambil sepanjang perjalanan ini, hampir 120 buah semuanya ke dalam komputer agar dapat dialih masuk ke thumb-drive sebagai persediaan untuk sesi bercerita hari ini... Agar saya tidak rasa terkilan atau terbawa-bawa ingatan, agar saya dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri esok dengan lebih tenang. Hasilnya, jadilah sejumlah 4 postings ataupun artikel di blogspot BERPETUALANG KE ACEH , 7 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan 5 (termasuk cerita penutup ini) di sini! 16 kesemuanya wooo... Dari jam 5 sampai jam 12 tengah malam dah ni!

Maka satu perkara terakhir mahu diluahkan... Sebenarnya 2-3 bulan lalu saya tidak menyangka pun akan kembali ke Muar untuk Hari Raya. Malah saya asalnya bercadang untuk menyambutnya di mana-mana seorang diri kerana rasa terkilan dengan apa yang berlaku dengan bapa saya hujung hingga awal tahun lalu! Lalu sejak itu saya tidak pernah kembali ke Muar dan tidak pernah bersua dengan ibu bapa, sampailah dalam 3 bulan lepas ketika ibu bapa saya bertandang ke Kuala Lumpur dan saya berjumpa dengan mereka.

Dalam tempoh itu hingga kini, pernah sekali sahaja saya kembali ke Muar iaitu untuk awal bulan Ramadhan. Alhamdulillah hubungan dengan keluarga saya semakin baik, terimakasih kerana kehadiran Nur kedua yang banyak menolong menenangkan saya setahun dua kebelakangan dalam mengharungi pahit manis kehidupan setelah lama hidup seperti orang terbuang... Malah Nur kedua berperanan secara hadapan merapatkan kembali hubungan saya dengan orang tua!

Dengan kata-kata ini, selesailah sesi penceritaan yang sudah masuk tengah malam ini. Untuk pengetahuan, saya menulis semua ini dari sebuah Cyber-Cafe di bandar Muar... Belum pun balik rumah. Dah sampai masa untuk saya balik ke rumah seperti orang lain... Selamat malam dan yang lebih penting, selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin untuk semua! Wassalam... :]