Meneruskan gerak penceritaan berkenaan. Bersambung daripada Ke Pesta Buku KL 2026 bersama anak-anak.
Dalam menanggapi makna sesuatu benda kita boleh menggunakan deria pancaindera. Asalkan ia tidak rosak deria boleh digunakan untuk mencapai maksud sesuatu perkara. Apabila deria sampai pada hadnya boleh digunakan pula minda. Dalam minda itu sendiri ada beberapa tahap.
Hmm. Setakat ini nampaknya dapat diingati secara spontan. Lain-lain sudah masuk dalam minda bawah sedar sepertimana halnya makanan yang sudah dikunyah masuk ke dalam perut kemudian dihadam hilang rupa asal. Tetapi zatnya tetap sudah masuk dalam tubuh badan membentuk sebahagian daripada jati diri ini yang turut terkandung zat ilmu daripada pelbagai sumber, bukan semata-mata daripada 'mazhab al-Attas' sahaja, insyaallah.
Artikel-artikel lama tentang syarahan di CASIS yang pernah dihadiri dahulu boleh membantu. Lihat :-
1. An evening with the eminent Professor Syed Naquib Al-Attas (2013. Dalam blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEH)
2. Tentang keadilan dan fitrah manusia - Satu syarahan Prof Syed Naquib al-Attas (2016)
3. Santapan ilmu CASIS - Perjuangan yang diteruskan daripada ISTAC asal dan awal (2019)
Tambahan (dibuat jam 5.05 petang Selasa 2 Jun) :
Saya telah memanjangkan pautan bagi artikel ini kepada seorang anak murid almarhum. Ini kerana beliau yang memberitahu saya tentang acara. Tidak lama kemudian beliau memberikan maklum balas. Biar dikongsikan secara ad vertabim iaitu sepertimana disampaikan kepada saya tanpa suntingan.
Sdr Radzi,
1.Saya fikir elok usah guna 'mazhab al-Attas.' It can be misleading.
2.Makna ilmu itu ada dalam Islam and Secularism.
3.Sumber/punca ilmu ada tiga: pancaindera, khabar yg benar, dan aqal.
Ini dirakamkan oleh tokoh hebat Umar Abu Hafs al-Nasafi dlm kitab beliau, Aqa'id al-Nasafi:
Dia tulis,
Haqa'iq al-ashya' thabitah, wa al-'ilm biha mutahaqqiq, khilaafan li al-sufasta'iyyah.
Thumma asbab al-'ilm lil-khalq thalathah, al-hawwas al-khams wa al-khabr al-saadiq wa al-'aql.
"The realities of things are established in their existence, & t knowledge of them is certain, in contradiction to the sophists.
The means of obtaining knowledge for t creatures are three: 1st, t five senses; 2nd, true report; and 3rd, reason."
Kitab yg dah diajar di nusantara alam melayu kita pd prtengahan/hjg abad ke 16 ini (1580an) diajar & diulang2 di ISTAC di zaman Prof al-Attas oleh bbrp Profesor, trmasuk beliau sendiri.
Sdr Radzi mgkn boleh baca balik buku Prof Attas, The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Century Malay Translation of the Aqa'id of al-Nasafi (1988).
Maksudnya, tiga sumber @ punca ilmu itu sebenarnya sbhgn drpd aqidah kita kaum muslimin..
--------
Dengan itu biar dinyatakan saya ambil maklum atas teguran. Namun saya juga ada fikiran sendiri dalam menelaah keadaan. Saya bertegas untuk mengekalkan perkataan "mazhab" dalam tajuk. Cuma ditambah letak tanda koma atas kiri dan kanan.
Ini kerana memang apa yang dibawa oleh al-Attas boleh dikatakan satu mazhab. Bukan mazhab feqah seperti mazhab Shafiee, Hanbali. Itu yang boleh membuat salah faham, tetapi hanya kepada yang berfikiran jumud sahaja dan tidak cukup pendidikan. Yang saya dimaksudkan adalah mazhab pemikiran.
Sesungguhnya makna mazhab itu sendiri adalah aliran, fahaman, atau ajaran dalam bidang-bidang tertentu. Dalam bahasa Inggeris ini disebut sebagai school of thought, sekolah aliran fikiran. Apa yang dibawa oleh Syed Naquib al-Attas, sehingga sangat bersungguh-sungguh dipertahankan dan mahu dikembangkan oleh anak-anak muridnya, sehingga sering kelihatan mereka seperti menolak aliran fikiran lain memang bersifat mazhab.
Asalnya ada kritikan ingin disampaikan dalam artikel ini terhadap mereka yang terlampau mengangkat pemikiran almarhum. Sehingga ISTAC dituduh tidak berfungsi langsung sejak almarhum dikeluarkan tahun 2002. Sehingga dikatakan kampus besarnya di Bukit Tunku setakat jadi tempat orang mengadakan majlis kerja kahwin dan bergambar video bagai suka-suka buat content. Walhal sudah banyak majlis ilmu diadakan. Lihat sahaja artikel lama saya Majlis-majlis ISTAC sejak mula terlibat tahun 2016 yang dipersembahkan Oktober 2024. Ia mengandungi pautan bagi 140 artikel majlis ilmu, hampir semua bersifat syarahan umum anjuran ISTAC yang saya sempat sertai.
Kritikan ingin disampaikan kerana meluat melihat ada pihak asyik meratib agar ISTAC 'dipulangkan' kepada almarhum (ketika hidup) atau 'waris-waris'nya. Saya faham ada yang ingin mempertahankan guru mereka. Semua termasuk saya sendiri pun mengakui betapa besarnya sumbangan almarhum dalam mendirikan ISTAC. Tetapi apabila dibuat seperti hak peribadi yang cuma boleh di'warisi' oleh orang-orang tertentu sahaja? Bukankah ini menafikan peranan orang lain dalam mendirikan ISTAC? Duit belanja berjuta, tanah besar berekar di kawasan elit untuk mendirikan kampus awal di Bukit Damansara kemudian kampus sekarang di Bukit Tunku itu datang dari mana? Siapakah yang membuka jalan? Siapakah yang memberi kebenaran?
Bagaimana pula peranan ilmuwan besar lain seperti almarhum Profesor Dr Tan Sri Mohd Kamal Hassan yang pernah membantu membentuk pengisian ISTAC selepas almarhum Syed Naquib dikeluarkan? Bagaimana tentang Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, pemegang Kursi Al-Ghazali di ISTAC sejak tahun 2019, sekarang turut menjadi Rektor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) iaitu sejak hampir penghujung tahun 2024. Apakah pemikiran beliau tiada makna langsung dalam membentuk ISTAC? Itu guru saya, penyelia tesis sarjana saya di ISTAC, sekarang penyelia PhD. Apakah anak murid Syed Naquib sahaja layak mempertahankan guru dan sumbangan, orang lain tidak?










Tiada ulasan:
Catat Ulasan