Salam. Berkongsi aktiviti hujung minggu baru ini...
Sabtu malam Ahad 23 Januari baru acara tersebut berlangsung. Saya pun bergegas ke lokasi.
Lihat dahulu jualan buku di luar dewan.
Antaranya adalah buku yang akan diperkatakan atau disyarahkan. Tajuknya adalah "On Justice and the Nature of Man" tulisan cendekiawan besar, Tan Sri Professor Syed Naquib al-Attas.
Buku ini telah dilancarkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah tepat sebulan sebelum syarahan. Majlis pelancaran boleh dikatakan kemunculan pertama Prof Syed Naquib pada mata umum selepas 2 tahun seperti menyepikan diri daripada perhatian orang ramai...
Beliau pernah menganjurkan satu siri syarahan pada tahun 2013. Tahun 2014 membawa ke tahun 2015 suara beliau tidak lagi kedengaran. Cuma anak-anak muridnya yang menjadi para cendekiawan susulan meneruskan tugas membawa pemikiran dan gagasan besar beliau ke mata dunia.
Maka syarahan terbaru beliau ini amat ditunggu ramai.
Tentang tajuk syarahan yang juga merupakan tajuk buku, ia boleh diterjemahkan menjadi "Tentang Keadilan dan Fitrah Manusia".
Kalau tak salah Syed Naquib kini berumur 85 tahun. Masuk jam 9 malam beliau (kiri) mengambil tempat diiringi murid kanan beliau, Profesor Wan Mohd Nor Wan Daud. Prof Wan adalah pengasas dan pengarah CASIS, Center for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (pusat kajian lanjutan tentang islam, sains dan ketamadunan) di UTM. Sukatan pelajaran di sana rata-rata dibuat mengikut gagasan pemikiran Syed Naquib.
Untuk menangani tajuk dengan baik Syed Naquib memberikan definisi apa itu manusia dan fitrahnya menurut Islam. Kata beliau kita harus jelas tentang itu agar tidak terpengaruh atau terpesong dengan definisi manusia menurut saintis Barat yang meletakkan kita sebagai satu jenis binatang. Apabila manusia telah diletakkan sebagai binatang, cuma lebih pandai dan berakal daripada yang lain maka kita akan senang terpengaruh dengan konsep keadilan berlandaskan keperluan hawa nafsu yang tidak terdidik dan dikawal. Tetapi bila kita sudah jelas bahawa manusia itu adalah satu kejadian istimewa yang menggabungkan ciptaan tubuh badan daripada tanah dan sehina-hina kejadian (air mani) yang ditiupkan roh oleh Allah maka konsep keadilan juga akan menurut amanah yang diberikan kepada manusia sebagai khalifah di muka bumi.
OK. Saya harus berterus-terang. Sepertimana keadaan ketika pertama kali mendengar syarahan beliau tetapi di dewan yang lebih kecil 2 tahun lalu saya mula mengalami kebosanan. Ini disebabkan apa yang diceritakan sudah sedia berada dalam pengetahuan saya sejak lebih 20 tahun lalu. Ada rasa mahu keluar meninggalkan dewan. Nasib baik tidak diturutkan atas rasa hormat terhadap susuk diri beliau yang diangkat begitu tinggi oleh ramai orang.
Lihat tulisan saya dalam bahasa Inggeris 2 tahun lalu. Rujuk artikel
An evening with the eminent Professor Syed Naquib Al-Attas di
blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Seperti pada ketika itu, saya merasakan, secara rata syarahan beliau masih berkitar dalam wilayah falsafah akal demi meyakinkan mereka yang sebenarnya masih terjebak dalam cara pemikiran Barat. Pada mereka yang sudah melepaskan diri daripada wilayah pembuktian dan mantiq falsafah lalu menceburkan diri kedalam ketidak-pastian wilayah Tasawuf yang cuma dapat dipandu dengan keyakinan yang tinggi terhadap keagungan rahsia ilmu Allah, apa yang diceritakan adalah biasa-biasa sahaja. Apa yang diperkatakan sudah lama saya kutip dalam kitab-kitab Tasawuf malah diperkatakan oleh orang-orang tua yang dibuka hijab di kampung-kampung. Cuma terma-terma yang digunakan samada dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Arab kedengaran begitu tinggi taraf keintelektualan. Itulah yang disukai oleh mereka yang merasakan dirinya terpelajar....
Saya cuma merasakan dapat ilmu baru apabila Syed Naquib menyuakan kajian dan kiraan beliau tentang tahun-tahun wujud dan hidupnya sejumlah nabi dan rasul. Kebetulan saya sedang membuat kajian sendiri tentang perkara tersebut agar dapat dipadankan dengan kajian DNA yang mengatakan orang Melayu sudah wujud seawal 60,000 hingga 70,000 tahun dahulu. Saya dapati ada sedikit percanggahan daripada pelbagai sumber. Jadi apabila Syed Naquib mengemukakan kajiannya, saya rasa sekurang-kurangnya dapat satu rujukan yang berotoriti tinggi.
Daripada setakat mendengar syarahan, saya mula membuka laptop untuk membuat catatan. Ketika itulah anak muda di sebelah kanan saya memberitahu apa yang disebut Syed Naquib sudah ditulis dalam buku beliau. Kebetulan anak muda itu ada memiliki senaskah. Saya pun meminjam lalu mencari muka surat yang berpatutan.
Akhirnya saya mengambil gambar semua muka surat yang berkenaan. Untuk artikel ini biar ditunjukkan 3 muka surat yang kelihatan...
Oh, biar diingatkan. Syarahan dan buku dibuat dalam bahasa Inggeris. Jika dahulu saya tergerak untuk mengulas syarahannya dalam bahasa Inggeris (merujuk pada artikel
An evening with the eminent Professor Syed Naquib Al-Attas) kali ini biar diulas dalam bahasa Melayu. Tak perlulah diterjemahkan muka surat yang ditunjukkan ya. Cukuplah disebut, mengikut kajian beliau Nabi Adam diturunkan 7165 tahun lalu (buku diterbitkan tahun 2015 lalu ini bersamaan 5150 tahun Sebelum Masihi). Beliau menegaskan ini sambil menolak kajian Antropologi Barat yang menyebut manusia sudah wujud beratus ribu tahun dahulu.
Saya rasa ada 1,000 orang datang menghadiri syarahan ini. Di sini biar ditambah ulasan tentang syarahan yang dikutip daripada Facebook...
Daripada Prof Wan Nor...
Posted on January 24 at 7:55am
Alhamdulillah Special CASIS Sat Night Lectures dgn kerjasama AKEPT KPT oleh salah seorang guru terbilang umat ini, Tan Sri Prof SMN al-Attas mengenai buku terbarunya, On Justice and the Nature of Man, berlangsung dgn sangat baik. Dlm iklim ekonomi yg getir, pergolakan politik bangsa yg sangat mencabar, dan kecelaruan pemikiran yg semakin bersimpang siur, umat akan dapat diperkuatkan dgn ilmu yg teguh, mendalam dan melangkaui disiplin dan kepentingan2 sempit. Pertama sekali dlm hidupku selama 60 tahun, aku menyaksikan dewan seminar sebesar ini dibanjiri pecinta ilmu serius dari pelbagai negara, institusi, aliran politik dan umur: 50 peratus anak tangga dewan menjadi kerusi tambahan, ada yg bersila di belakang.
Semoga Allah swt akan terus memberkati Prof al-Attas, keluarganya serta semua yg ikhlas berjuang bersamanya menjejaki ajaran Allah dan RasulNya serta ulama muktabar. Saya pernah menyatakan kpd Prof al-Attas selepas membaca draft terakhir buku ini, bahwa karyanya ini bersama beberapa yg terdahulu, blh membina satu displin ilmu kemanusiaan yg baru berteraskan Islam yg blh mendasari ilmu2 pendidikan, psikologi, sosiologi, pembangunan, perundangan dsbnya. Inilah satu lagi karya sarjana tempatan yg berimpak global. Kita teruskan perjuangan murni ini!!!
Daripada Prof Madya Khalif Muammar, seorang lagi anak murid Syed Naquib...
Posted January 24 at 9:08am
Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahannya Tentang Keadilan dan Hakikat Manusia (On Justice and the Nature of Man) malam tadi membicarakan tentang asal usul kejadian manusia menurut Islam, menyangkal teori evolusi Darwin yang mengatakan bahawa manusia adalah sejenis binatang (animal) yang berbeza dengan binatang lain dari segi genus atau spesiesnya. Al-Attas menegaskan bahawa perbezaan manusia dengan binatang bukanlah perbezaan genus, seperti yang diajarkan di universiti-universiti sekarang, tetapi berbeza dari segi jenis (kind) juga. Manusia adalah makhluk yang berbeza daripada binatang, makhluk baru yang Allah ciptakan, yang memiliki unsur bashariyyah (jasadi) dan insaniyyah (ruhi, spiritual) sehingga mampu mengemban amanah sebagai khalifah Allah. Beliau juga membuktikan bahawa manusia pertama, Nabi Adam as, bukanlah homo sapien yang muncul sejak ratusan ribu tahun yang lalu, tetapi beliau telah diciptakan dan diturunkan ke bumi sekitar 7000 tahun yang lalu. Penguasaannya terhadap sejarah dunia di bantu dengan penelitiannya terhadap penemuan para ahli arkeologi serta ilmu nasab membolehkan beliau untuk membuat anggaran ini. Manusia oleh kerana itu bukan termasuk dalam 3 kerajaan alam tabi'i (Three kingdoms of nature), ia berada di atas tiga kerajaan itu.
Sebelum ini Profesor al-Attas telahpun menegaskan bahawa manusia sejak awal lagi adalah makhluk yang bertamadun, berakal dan berilmu. Ini bertepatan dengan penjelasan al-Qur'an. Manusia menurut Prof. Al-Attas, setiap orang, diberikan amanah dan kepercayaan (trust) oleh Allah SWT untuk mengemban tugas besar di muka bumi. Insan ini pada hakikatnya adalah gabungan antara realiti fizikal dan spiritual, yang mana unsur spiritualnya merupakan unsur yang dominan dan kekal. Insan ini hidup di dunia sebagai suatu percubaan, untuk dihisab di hari perhitungan.
Syarahan beliau ini menunjukkan bahawa umat Islam masih memiliki seorang ilmuwan Islam yang benar-benar ulung, seorang polymath, manusia universal, ulama' yang bukan sahaja memahami teks (wahyu) tetapi juga konteks (al-waqi'), ilmuwan yang bukan sahaja menguasai ilmu agama tetapi juga ilmu dunia. Syarahan malam tadi sememangnya cukup luar biasa, ramai yang menyatakan sangat terkesan dengan hujah-hujah ilmiah yang dikemukakan, pemikirannya yang tajam, meskipun umur beliau telah mencecah 85 tahun.
Mungkin ada yang berkata kami taassub dan fanatik terhadap beliau, terlalu mengagungkan beliau. Saya anggapnya suatu tuduhan yang tidak berasas dan buruk sangka yang seringkali kedengaran yang timbul akibat kejahilan. Hakikatnya sosok seperti ini susah untuk dicari ganti, payah ditemui di mana-mana pada zaman sekarang, kita amat beruntung kerana Allah telah anugerahkan kepada kita seorang ulama' besar dan sempat menimba ilmu walaupun sedikit untuk mendapat pencerahan dalam persoalan-persoalan besar yang menimpa umat Islam.
Nota : Khalif menterjemahkan Nature pada tajuk buku dan syarahan sebagai Hakikat. Pada pemahaman saya Hakikat dalam bahasa Inggeris adalah Reality. Nature adalah Fitrah. Oh, saya telah membeli senaskah buku. Selesai beberapa hal
insyaallah saya akan mula menelaah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan