Selama ini saya fikir pernah menyebut tentangnya walau sepintas lalu dalam siri trilogi buku "Berpetualang ke Aceh" yang ditulis lalu diterbitkan sendiri tahun 2006 hingga 2007. Bila disemak betul-betul melalui carian kata kunci rupa-rupanya tidak ada. Nampaknya begitu banyak perkara yang perlu diingati untuk menerbitkan penceritaan yang bermakna. Oleh itu biar artikel mukadimah atau pengenalan ini menjadi medan awal bagi menggali ingatan setakat yang mampu.
--------------
Dalam artikel Akibat PKP - Persediaan untuk senarai 50 perjalanan terjauh dalam ingatan saya menyebut perjalanan berlaku sekitar tahun 1990 sedangkan dalam artikel Kuala Terengganu dan makam-makam lamanya... Tapak untuk cerita ke Kuala Berang... disebut pula sekitar tahun 1988. Sekarang biar dicari tempoh waktu sebenar. Ini boleh dibuat berdasarkan perkara-perkara berikut :-
2. Ketika perjalanan berlaku tempat kami belajar terletak di Seksyen 17, Shah Alam sedangkan kami duduk asrama di Seksyen 18. Perjalanan bermula dari asrama dan berakhir di situ. Semasa mula masuk program tahun 1988 kampus kami adalah sejumlah rumah kedai sewa di Damansara Utama, Kuala Lumpur. Lebih setahun kemudian baru berpindah ke Shah Alam.
3. Perjalanan dibuat bersama sejumlah pelajar junior yang menyertai program selepas pertengahan tahun 1989. Saya adalah dari Batch 7, mereka Batch 8. Ketika mereka masuk kami semua masih lagi di Damansara Utama.
4. Saya sempat mengambil satu kertas awal peperiksaan A Level iaitu bagi apa yang dipanggil sebagai January Paper pada bulan Januari tahun 1990. Ketika itu kami telah berpindah ke Shah Alam. Sekitar sebulan dua kemudian saya dibuang keluar daripada program akibat telah melakukan terlalu banyak kesalahan disiplin.
5. Satu perkara yang baru diingati dalam seminggu lalu sedangkan penceritaan kenangan sudah mula bermain dalam kepala sejak lebih sebulan lalu adalah kami ada singgah di pantai sekitar Cherating di Kuantan kalau tak salah lalu mendapati kedai-kedai ditutup, seingat saya sebab musim tengkujuh. Sedangkan musim tersebut cuma berlaku sekitar bulan Disember.
6. Perjalanan berlaku pada waktu cuti panjang, nampaknya cuti semester. Dalam setahun cuma ada dua kali sahaja cuti semester iaitu pada pertengahan diikuti hujung tahun.
Mengambil kira semua ini boleh dianggarkan bahawa perjalanan berlaku pada penghujung tahun 1989, besar kemungkinan bulan Disember. Rasanya ketika itu cuti sebulan. Satu perkara yang baru teringat sekitar waktu Maghrib malam Jumaat tadi adalah terdapat seorang daripada batch saya turut bersama dan beliau dikenali sebagai Kawi. Yang lain semua adalah junior Batch 8. Mengenangkan ini teringat bagaimana ketika menginap sebilik di sebuah hotel di Kelantan (atau mungkin di Terengganu? yang pasti selepas menjejakkan kaki ke Kelantan) saya seronok berbual mengajuk loghat Kelantan. Ini memandangkan ketika itulah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Kelantan (juga di Terengganu) lalu mendengar orang ramai bercakap dalam loghat itu. Sebelum itu setakat pernah mendengar orang bercakap loghat Kelantan di Kuala Lumpur tetapi tidaklah ramai.
Sebelum itu juga kawasan Pantai Timur yang pernah dijejaki seingat saya adalah cuma di Kuantan, Pahang juga Mersing dan Desaru di Johor. Ke Kuantan itu untuk melawat saudara mara, ke Mersing mewakili sekolah (Sekolah Menengah Sains Johor tahun 1983-1986) dan daerah Kluang bermain ragbi. Ke Desaru pula pada zaman kanak-kanak untuk mandi laut bersama keluarga. Jangkauan perjalanan saya ketika itu lebih pada Muar (tempat lahir dan membesar) membawa ke Johor Bahru kemudian masuk ke Singapura, Muar ke Kluang, Muar ke Kuala Lumpur juga ke Raub, Pahang. Semua ini untuk melawat saudara mara. Sesekali dan jarang-jarang ke Teluk Intan, Perak yang ada rumah saudara juga. Pernah ke Cameron Highlands sekali sahaja kalau tak salah untuk makan angin. Sementara perjalanan paling jauh pula adalah apabila dibawa bapa bersama ibu dan adik-naik naik ke utara sehingga masuk ke sempadan Thailand (di Bukit Kayu Hitam ke di Padang Besar, saya kurang pasti).
Tetapi itu semua cerita sebelum tamat Tingkatan Lima. Selepas itu saya masuk ke PPP/ITM sedangkan untuk senarai 50 perjalan terjauh dan 11 istimewa ini tumpuan harus hanya diberikan pada perjalanan-perjalanan selepas meninggalkan sekolah menengah penghujung tahun 1987. Yang pasti perjalanan berbasikal tahun 1989 itu adalah perjalanan darat paling jauh pernah dibuat sehingga beberapa tahun selepas itu. Ini kerana ia meliputi separuh Semenanjung dan lakaran ringkas menggunakan Google Map menunjukkan jaraknya adalah 1,263 km. Lihat peta atas.
Ini adalah lakaran ringkas berdasarkan had maksimum sehingga 10 titik tempat sahaja boleh dihubungkan dalam satu peta Google Map. Kalau dicampur jarak berpusing ke sana sini dalam suatu bandar harus melebihi 1,300 km. Apapun perjalanan melibatkan berbelas basikal lumba. Walaupun sudah lama lupa perkara hati menyatakan ia melibatkan lebih 13 buah basikal tapi tak sampai 20. Terbit nombor 18 dalam kepala. Selain itu kami diiringi sekurang-kurangnya sebuah van panjang.
Sebanyak mungkin butiran akan cuba diingati apabila cerita dipanjangkan nanti. Buat masa ini tempat bermalam yang masih ingat dalam kepala cuma rumah seorang peserta di Tanah Merah, Kelantan. Bab hotel di Kelantan (ke Terengganu?) yang mana saya seronok mengajuk loghat Kelantan bersama kawan yang dikenali sebagai Kawi pula baru teringat Maghrib tadi. Entah di manakah lagi kami ada menginap sedangkan perjalanan memakan masa lebih seminggu? Insyaallah akan dikongsikan apabila ada kelapangan dan ilham. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke-2,002 di blogspot ini. Sekian wassalam.
Nota tambahan (ditulis jam 1.31 pagi) - Selepas memuatnaik artikel baru tersedar bahawa peta yang diberikan awal tadi kurang tepat. Ini kerana Google Map secara automatik telah meletakkan laluan pantai dari Seksyen 18, Shah Alam ke Ipoh sedangkan yang digunakan adalah laluan utama berupa jalan lama Kuala Lumpur ke Ipoh di pendalaman. Begitu juga halnya dari Kuala Terengganu ke Kuantan. Seingat saya kami mengambil laluan pantai sedangkan Google Map meletakkan laluan pendalaman. Selain itu saya sebetulnya kurang pasti laluan manakah yang digunakan untuk bergerak dari Tanah Merah ke Kota Bharu kemudian Kota Bharu ke Kuala Terengganu. Peta baru di atas ini harus cukup dekat pada kebenaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan