OK. Keluar lagi daripada cerita-cerita perjalanan. Masuk bab majlis ilmu.
Dua hari lalu berlangsunglah majlis ke-empat dalam siri syarahan penglibatan masyarakat oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Syarahan diadakan sebulan sekali sejak November tahun lalu. Lihat artikel-artikel berikut :-
1. Islam sebagai satu jalan ilmu (Nov 2020)
2. Islam sebagai jalan berkasih sayang (Dis 2020).
Tajuk bahasa Inggeris syarahan kali ini boleh diterjemahkan sebagai "Islam Sebagai Jalan Pertengahan, Keseimbangan dan Kelestarian". Tidak seperti dua syarahan terdahulu di mana saya terlepas akibat terlupa masa lalu harus mengikuti melalui rakaman kali ini saya lebih bersedia di hadapan komputer.
Kelihatan Osman yang sudah berumur 75 tahun memulakan bicara. Rindu juga rasanya sudah lama tidak bersemuka secara berhadapan di ISTAC. Kali terakhir adalah ketika menghadiri syarahan beliau dalam siri "Classification of Knowledge in Islam" pada 11 Mac 2020. Seminggu selepas itu iaitu bermula pada 18 Mac seluruh negara Malaysia berada dalam perintah pergerakan terhad (restricted movement) akibat wabak virus Covid-19. Lihat Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Antara fakulti universiti dan fakulti yang wujud dalam diri manusia.
Sejak itu bangunan ISTAC ditutup kecuali untuk urusan penting di pejabat lalu tidak ada lagi syarahan diadakan secara berhadapan di sana malah hendak bertandang pun tak dapat. Untuk pengetahuan syarahan bersiri tersebut secara rata diadakan seminggu sekali bermula Mac 2019. Ia dibuat berdasarkan buku dengan tajuk berkenaan daripada penulisan PhD beliau lebih 30 tahun lalu.
Satu paparan menunjukkan beberapa orang yang mengikuti syarahan. Antara yang kelihatan adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dan pengarah FINAS (Perbadanan Filem Nasional Malaysia) Ahmad Idham (sudah bergelar Doktor Falsafah rupanya, dahulu pelakon dan pengarah filem). Turut kelihatan nama Ramli Ngah Talib (Tan Sri, mantan Menteri Besar Perak) tapi kali ini tidak dibuka paparan video muka. Untuk makluman syarahan-syarahan Osman sering diikuti orang-orang ternama dan berkedudukan tinggi di Malaysia juga dari luar negara.
Terus pada isi syarahan. Saya kongsikan secara 'lebih kurang' ya. Disebutlah tentang perkataan bahasa Inggeris "middleness" yang secara harfiahnya bermaksud pertengahan dalam bahasa Melayu. Perkataan Arab popular yang digunakan untuk membawa maksud ini adalah Wasatiyah. Oh, sebenarnya konsep middleness dalam syarahan (kerana diadakan dalam bahasa Inggeris) itu sendiri merujuk pada perkataan Wasatiyah.
Ia turut diberikan terjemahan bahasa Inggeris "moderation" oleh beberapa pihak (saya tidak pasti apakah perkataan bahasa Melayu yang sesuai). Cendekiawan Islam terkenal antarabangsa, almarhum Profesor Ismail al-Faruqi pula menterjemahkannya sebagai "golden mean". Ini merujuk pada satu istilah bersifat matematik yang diperkenalkan melalui dunia falsafah Yunani purba sekitar 2,500 tahun lalu. Ia membawa maksud satu titik pertengahan yang tidak semestinya betul-betul di tengah tetapi membawa keseimbangan pada suatu objek mahupun perkara.
Kata al-Faruqi, Islam adalah agama "golden mean". Beliau juga menyebut Islam adalah agama keseimbangan. Osman sendiri lebih menyukai perkataan "middleness" selain "golden mean" berbanding "moderation". Kata beliau perkataan moderation sudah sering disalahgunakan lalu disilap erti.
Tambahnya middleness yang boleh diterjemahkan sebagai pertengahan boleh terpakai daripada sudut geografi dan fizikal. Surah Al-Baqarah ayat 142 yang terkait dengan ayat 143 pun dirujuk. Ia menyatakan tentang peristiwa pertukaran kiblat umat Islam dari Baitul Maqdis ke Mekah (ketika itu umat Islam sedang berpusat di Madinah lalu pertukaran adalah sangat drastik iaitu daripada menghadap ke utara terus berpusing ke arah selatan). Ini dikaitkan dengan cerita-cerita tradisi yang meletakkan Mekah sebagai pusat fizikal bumi.
Yang pasti Mekah memang pusat spiritual atau kerohanian bumi. Maka dikaitkanlah dengan middleness atau pertengahan sebagai makna Wasatiyah. Disebut pula tentang pentingnya menjaga solat pertengahan (Solatan Wusta) diikuti apakah yang ideal tentang pertengahan. Ini membawa pada konsep keseimbangan yang terkandung dalam makna Wasatiyah.
Disebutlah bahawa Al-Quran ada menyatakan orang Islam sebagai "umat pertengahan". Diterangkan tentang jangkauan semantik perkataan Wasatiyah atau Wasatah yang membawa makna sangat luas, antaranya adalah untuk menjadi yang terbaik dalam sesuatu, bukan sekadar biasa-biasa. Disebut 4 ideal Wasatiyah serta ulasan yang saya ringkaskan seperti berikut :-
1. Memimpin semangat Wasatiyah - Dengan cara selalu dekat pada pusat. Mekah sebagai pusat spiritual bumi dirujuk. Ia adalah fungsi jiwa (saikologikal) yang sangat penting bagi umat Islam.
Dalam ilmu fizik ada konsep pusat graviti (centre of gravity). Dalam dunia kerohanian juga ada pusat graviti yang tidak lain adalah hati. Sehingga dikatakan hati itulah tempatnya Arash Allah. Dengan itu wujudnya keseimbangan yang sesetengah ulamak kaitkan dengan perkataan Arab Tawazun. Secara teologi (ilmu keTuhanan) Tuhan adalah pusat segala sesuatu. Oleh itu Wasatiyah bermakna harus berada di pusat, dekat dengan Tuhan...
2. Menjadi adil - Cintakan keadilan. Rasulullah SAW pernah ditanya tentang erti Wasatiyah lalu baginda menjawab, menjadi adil. Jadi amalkan keadilan.
3. Al-Khiarah - Menjadi yang terbaik. Terbaik dalam sesuatu. Menjadi yang utama dalam masyarakat (to be cream of society) - khairun ummah (umat terbaik). Menjadi cemerlang.
4. Ini terkait dengan perkara 1. To be endowed with sense of proportion (terjemahan saya, memiliki rasa kesesuaian suatu perkara). Osman memberi contoh peribahasa Melayu "Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali." Disebut pula bahawa perkataan Pada itu berasal daripada bahasa Pali (bahasa lama benua Hindi) yang memiliki cangkupan makna yang sangat luas (pervasive word). Ini termasuk memahami keutamaan - Tahu apa yang patut didahulukan, apa yang patut dikemudiankan.
Maka disebutlah tentang perkataan Arab Tawazun (yang membawa makna keseimbangan itu). Kata Osman daripada segi linguistik ataupun bahasa ia membawa makna bergerak ke pusat. Sesungguhnya untuk menjaga kedudukan pusat graviti spiritual kita adalah sangat susah. Ia adalah satu proses dinamik yang sentiasa berjalan.
Ummatan Wasatan (umat pertengahan merujuk pada umat Islam) harus selalu memiliki sifat pertengahan. Oleh itu kita juga harus tahu apakah sifat berlawanan yang boleh menarik kita keluar menjauh dari pusat.
Ini boleh disimpulkan kepada 2 bentuk halangan :-
1. Keadaan dunia luar - Terlalu banyak maksiat, terlalu banyak perkara negatif menarik kita ke banyak arah berlainan.
2. Keadaan roh (dalaman) - Hawa nafsu, syahwat yang boleh membawa kepada perbuatan maksiat. Imaginasi (khayalan). Fikiran yang tidak tetap, selalu melayang. Ini berlaga dengan keperluan sebenar diri.
Dua perkara ini saling berinteraksi. Ia boleh membawa kepada ketidakseimbangan diri. Kalau teruk boleh menjadi penyakit mental. Hal ini sedang meningkat. Manusia malah boleh membunuh diri. Ini akibat runtuhnya sistem individu.
Jadi bagaimana hendak mencapai 'pertengahan'? Kita tidak boleh berharap pada diri sendiri, Kita perlukan agama, Tuhan. Bukan sebarang agama tetapi yang dapat membawa pada pertengahan. Bagi orang Islam kita mengikut Al-Quran, Syariah. Saya rasa cukuplah perkongsian. Untuk penerangan lebih lanjut sila ikuti rakaman majlis di
sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan