Merujuk pada artikel sebelum ini
Memperhalusi kira-kira masa sebenar berdasarkan beberapa maklumat baru. Beberapa hari ini saya agak obses membuat kira-kira berkenaan menggunakan pelbagai data termasuk zaman 25 nabi dikatakan wujud menurut pandangan beberapa pihak. Ini ada cerita daripada siang semalam yang patut dipersembahkan malam tadi. Tapi disebabkan obses yang menjadikan fikiran malah badan begitu penat pagi ini baru saya dapat berkongsi tentangnya.
Pagi Sabtu 25 April 2015 saya menaiki pengangkutan awam dari Rawang ke Kuala Lumpur.
Saya mahu menghadiri satu acara di Dewan Bahasa dan Pustaka. Sepatutnya dan fikir saya awalnya mahu naik komuter dari Rawang sampai ke KL Sentral kemudian monorail ke stesyen Maharajalela. Tapi entah kenapa saya terbeli tiket komuter ke stesyen Putra pula. Dah jalan 2-3 stesyen baru tersedar...
Nasib baik teringat bahawa stesyen komuter Putra terletak berdekatan dengan stesyen LRT PWTC. Naik le LRT ke stesyen Hang Tuah sebelum berjalan kaki ke DBP. Nampaknya saya ke stesyen itu lalu berjalan kaki sepanjang Jalan Hang Tuah kerana pakaian hari itu kot? :]
OK. Inilah majlis yang dimaksudkan. Saya dapat tahu pun beberapa hari lepas melalui Facebook.
Menurut data dalam kamera saya sampai ke dewan kuliah tempat acara diadakan jam 10.32 Tak berapa ramai orang yang hadir nampaknya
Fikir saya tak mengapa le, ada sejam setengah lagi kuliah sebab iklan yang dilihat dalam FB menyebut acara berjalan sehingga jam 12. Tentang apa yang dibentangkan oleh pemberi kuliah iaitu Datuk Dr Awang Sariyan yang merupakan Ketua Pengarah DBP saya rasa tak perlulah dipanjangkan sangat. Cerita perjalanan Cheng Ho juga dikenali sebagai Zheng He banyak dah disebut orang, boleh cari kat Internet. Tentang keIslaman beliau malah ada yang percaya laksamana Cina ini seorang Ahlul Bait keturunan Nabi Muhammad SAW pun ramai orang dah tahu. Yang lain sedikit mungkin perkongsian pengalaman peribadi Awang Sariyan pergi ke Cina beberapa kali. Katanya dia dah pergi 12-13 wilayah (bersamaan negeri?) dalam negeri Cina terutama tempat yang ramai orang Islam. Secara rasmi ada 23 juta orang, tak rasmi ada banyak lagi.
Beliau memberitahu bahawa wilayah-wilayah Islam di negara China tiada masalah seperti selalu digembar-gemburkan orang. Yang bermasalah itu cuma di Sichuan (kalau tak salah itu yang saya dengar), seperti disebut orang dan Awang percaya bukanlah disebabkan keIslamannya tetapi akibat faktor lain, mungkin kerana ada usaha untuk membebaskannya daripada pemerintahan pusat China. Di lain-lain wilayah orang Islam hidup dengan aman. Malah beliau memberitahu pernah melihat beberapa pusat tariqat yang besar dan mereka boleh mengadakan acara seperti hol dan sebagainya tanpa gangguan.
OK. Lihat balik dengan teliti gambar di atas. Perenggan bawah menyebut "Kesimpulan". Tengok-tengok rupa-rupanya pembentangan dah nak habis. Jam 10.40 habis dah, tak sampai 10 minit pun saya duduk...
Awang Sariyan memberikan kata-kata akhir, satu nukilan tentang Cheng Ho dan Islam di negeri Cina daripada sebuah buku tulisan beliau kalau tak salah. Beliau memberitahu harus berkejar ke PWTC untuk menghadiri majlis perasmian Pesta Buku Antrabangsa Kuala Lumpur 2015, pesta yang telah bermula hari Jumaat. DBP tersenarai sebagai salah satu penganjur dan seorang menteri akan merasmikannya. Sebagai Ketua Pengarah DBP beliau mesti hadir semasa perasmian...
Saya sendiri memang merancang untuk ke pesta buku di PWTC lalu menumpang kereta Awang. Agaknya sebab itu saya boleh terbeli tiket komuter ke stesyen Putra pagi itu, tidak ke KL Sentral. Semasa turun di stesyen tersebut iaitu sebelum berkejar ke DBP terlihat ramai anak muda berjalan ke PWTC. Semasa itu saya dah terfikir, nanti bila tulis artikel tentang aktiviti hari Sabtu saya akan pakai tajuk "Daripada Cheng Ho ke pesta buku". Cuma fikirnya tengah hari baru ke sana. Tak sangka pula pergi lebih awal bersama Ketua Pengarah DBP...
Sampai sahaja di PWTC beliau terus berkejar ke laluan VIP di mana orang sudah sedia menunggu untuk memastikan kelancaran majlis. Saya masuk melalui pintu umum untuk meninjau keadaan seperti mana-mana pengunjung biasa.
Selepas beberapa lama baru ke ruang legar tempat pelancaran mahu diadakan. Jam kamera menunjukkan 11.05 pagi dan menteri belum kelihatan. Dah agak dah. Jarang ada majlis melibatkan menteri dan orang besar yang betul-betul punctual, dimulakan tepat pada masa yang dijadualkan.
Saya berjalan ke bahagian lain. Terjumpa seorang kawan lama semasa bertugas dengan akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times 15 tahun lalu. Kawan tersebut dahulu adalah seorang jurugambar akhbar berbahasa Melayu Berita Hairan. Pejabat kami terletak dalam satu bangunan yang sama, bawah NST Group. Beliau kini salah seorang pemilik sebuah syarikat penerbitan Melayu yang sedang meningkat maju. Nampaknya syarikat beliau iaitu Yamani Angle dah ada lebih 100 tajuk juga.
Oh. Beginilah saya berpakaian ke DBP juga ke PWTC. Seronok gak berbusana penuh naik kenderaan awam, komuter dan LRT, saya dah buat beberapa kali berjalan-jalan seorang diri. Kawan tersebut sempat mengajak saya menulis buku bersama. Saya cakap insyaallah kalau ada kelapangan, Buat masa ini saya tak boleh janji kerana sudah sibuk dengan komitmen lain, antaranya janji untuk menghasilkan 8 buah buku untuk satu syarikat sebelum tahun ini tamat (dan janji itu baru ditambah sebuah lagi buku berdasarkan ilham yang baru muncul beberapa hari kebelakangan). Selain itu saya juga terlibat dengan projek dokumentari televisyen 13 episod sepanjang sejam setiap satu. Sebagai penyelidik juga hos, saya dijangka akan membuat banyak perjalanan yang memakan masa termasuk di Eropah dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Berjalan lagi ke bahagian lain. Seronok melihat suasana dan begitu banyak buku.
Terlihat rak buku yang menarik perhatian...
Ah, Terjemahan bahasa Melayu kitab Mathnawi karangan wali besar Jalaluddin Rumi, orang Turki kalau tak silap. Saya sudah beberapa kali membaca terjemahan berbahasa Inggerisnya terutama ketika belajar di London 1991-1995. Tapi dah lama dah tak baca kerana tak tahan. Ini kerana setiap kali membaca sajak-sajak dalam Mathnawi timbul rasa kerinduan terhadap Ilahi yang amat sangat.
Kitab terjemahan bahasa Melayu ini pun saya cuma dapat baca beberapa rangkap sahaja sebelum rasa sebak hendak membawa kepada air mata menitis. Jangankan hendak membaca, sejak kebelakangan ini melihat nama Jalaluddin Rumi pun boleh terasa sebak. Saya tidak boleh meneruskan bacaan, kalau teruskan juga takut jadi majzub. fana dan lupa diri seketika itu juga. Boleh kata setiap kali menatap penulisan wali besar ini timbul rasa hendak membuang segala perkara keduniaan lalu kembali mengembara seorang diri seolah-olah tidak memiliki keluarga dan saudara-mara. Saya dah buat pun perkara ini 2002 sehinggalah kembali berkeluarga penghujung 2008. Sekarang saya belajar untuk merapatkan diri kepada Ilahi sambil berkeluarga, juga menjadi anggota masyarakat.
Pusing lagi ke bahagian lain. Meriah sungguh pesta buku. Insyaallah hari ini, Ahad 26 April saya akan ke sana lagi selepas Zuhur. Saya mahu meletakkan sejumlah buku "Berpetualang ke Aceh" di gerai buku Hijjaz Publishing, hujung dalam Dewan Tun Hussein Onn. Untuk pengetahuan saya baru sahaja bernaung di bawah syarikat tersebut, setelah diajak bersama oleh pihak pengurusan tertinggi mereka dalam satu pertemuan sekembalinya saya daripada Aceh awal Februari. Lihat
Kompilasi artikel perjalanan ke-7 di Aceh...
Sungguh berkat perjalanan yang tiba-tiba muncul tanpa dijangka itu. Lihat
Perjalanan ke-7 di Aceh - Satu lagi tawaran tak disangka. Sejurus sebelum berlepas pula saya mendapat tawaran untuk menyertai projek dokumentari yang diberi nama "Daulah Melayu", Beberapa hari setelah kembali saya dihubungi Hijjaz lalu diajak bernaung di bawah mereka. Bukan saya tidak pernah mendapat tawaran daripada pihak-pihak lain sebelum ini tetapi masa dan keadaan belum kena. Sekitar itu, sesuai dengan keberkatan perjalanan ke-7 saya ke Aceh itu saya dapat berjumpa dengan pihak yang cukup serasi dan ada misi, tidaklah semata-mata memikirkan untung rugi tetapi ada niat untuk berdakwah dan mengembangkan ilmu.
Setelah 2 bulan menyimpan hal ini saya rasa tak salah berkongsi di sini. Insyaallah bermula bulan Julai nanti iaitu selepas bulan puasa akan dikeluarkan satu siri baru buku yang diberi nama "Siri Pengembaraan Merah Silu". Enam buku pertama merupakan pengembangan atau expanded version daripada siri trilogi "Berpetualang ke Aceh" yang terbit 2006-2007 selepas itu akan diikuti beberapa cerita pengembaraan saya. Di celah-celah itu pula akan diterbitkan buku-buku di bawah apa yang dipanggil "Siri Pemikiran Merah Silu". Ini lebih pada perkongsian ilmu yang didapati juga ilham yang tercetus selepas menghadiri seminar dan sebagainya.
Insyaallah selepas Zuhur, mungkin sebelum jam 3 ini saya akan ada di PWTC, di gerai Hijjaz berbusana tradisional Melayu. Kalau nak jumpa meh le. Semasa pesta ini, buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar Yang Asal" yang harganya adalah RM25 ditawarkan menjadi RM20. Buku ketiga dengan tajuk kecil "Sirih Pulang ke Gagang?" pula daripada RM28 ditawarkan jadi RM20 juga. Meh le datang... :]
Nota tambahan (Petang Isnin 21 September 2020) : Ketika sedang meneliti artikel-artikel lama untuk menunjukkan penglibatan saya dalam aktiviti bertanjak tahun 2015-2017 terjumpa artikel ini lalu memanjangkannya kepada Prof Awang melalui WhatsApp. Sebelum itu saya telah membuat artikel tentang penglibatan lebih awal. Lihat Gerakan bertanjak yang kukenal - Dari 2012 ke 2014.
Saya hendak memberitahu bahawa pada tarikh berlaku peristiwa dalam artikellah ada menumpang kereta beliau dari DBP ke PWTC. Ini kerana saya ada menyebut tentangnya tetapi beliau tak ingat.
Untuk makluman Awang pernah menjadi pensyarah saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) bagi subjek Islam dan Melayu September 2018 hingga awal Januari 2019. Beliau pun menjawab dengan menyatakan "Xinjiang, negeri bangsa Uigur (bukan Sichuan)". Nampaknya ia adalah pembetulan bagi sesuatu yang tertulis di dalam artikel. Saya pun menyemak lalu mendapati ada perenggan berkenaan berbunyi : "Beliau memberitahu bahawa wilayah-wilayah Islam di negara China tiada masalah seperti selalu digembar-gemburkan orang. Yang bermasalah itu cuma di Sichuan (kalau tak salah itu yang saya dengar), seperti disebut orang..."
Saya pun memberitahu akan membuat pembetulan dalam bentuk nota bawah. Ini memang cara penulisan saya... boleh nampak secara organik bagaimana suatu cerita itu disampaikan dan kemudian boleh menerima pembetulan bertahun kemudian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan