Assalamualaikum semua. Rasanya masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat menyambut tahun baru 2011 kepada semua juga tahniah kepada pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia kerana berjaya memenangi Piala Suzuki AFF baru-baru ini. Saya pula sudah hampir 2 minggu tidak menulis apa-apa di mana-mana
blogspots saya. Ini disebabkan saya pergi berjalan jauh lagi bersama keluarga, baru malam semalam kembali ke rumah di Bandar Tasik Puteri.
Cukuplah diberitahu kami telah berjalan 11 malam 10 hari ke merata tempat di Pantai Timur Semenanjung hingga ke selatan Thailand. Saya telah memandu kereta sejauh 2,367 km dan mengambil 4,743 gambar. Ini adalah satu rekod peribadi. Sebelum ini rasanya saya cuma pernah memandu kereta paling jauhpun 1,700 km untuk satu perjalanan dan mengambil gambar sekitar 1,500 keping.
Walaupun pernah berjalan sejauh hampir 6,000 km dengan pelbagai kenderaan di Eropah juga bermotosikal besar lebih 3,000 km pusing Semenanjung selain membuat pelbagai pengembaraan yang memakan jarak lebih 1,000 km sekali jalan, itu semua dibuat secara bersendirian ketika zaman bujang dan lebih muda dahulu. Perjalanan terbaru ke Pantai Timur dibuat seluruhnya bersama anak dan isteri, 7 hari daripadanya disertai 2 orang anak tiri menjadikannya lebih bermakna lagi. Tentang gambar pula pernah disebut dalam artikel terdahulu bahawa saya cuma mula mengambil gambar secara serius selepas menghadiri majlis pengkebumian kembali seorang moyang iaitu Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di kawasan pemakaman diraja Perak 9 September 2006. Sebelum itu saya jarang sekali mengambil gambar, untuk perjalanan di Eropah pertengahan tahun 1995 yang memakan masa sebulan pun saya cuma mengambil 5 roll gambar... itupun 1 roll hilang apabila kamera murah yang dibeli di London dicuri orang di bandaraya Prague.
Satu roll ketika itu bersamaan 32 keping gambar, dapatlah 128 kesemuanya gitu. Tadi siang saya terjumpa kembali gambar-gambar di Eropah, itupun satu album kecil hilang bersama beberapa keping gambar lagi, tinggal sekitar 80 keping gitu. Kini dengan adanya kamera digital saya boleh mengambil berapa banyak gambar yang suka. Tapi takkan semua benda kita nak tangkap ya tak? Kecuali ia cukup menarik dan ada kena-mengena dengan jalan cerita yang mahu dirakamkan.
Sejak 2-3 tahun ini saya sudah biasa mengambil beratus hingga ke maksimum 1,500 keping gambar sekali membuat pengembaraan. Tetapi pengembaraan terbaru ini mendorong saya untuk mengambil lebih banyak apabila menyedari bahawa walaupun saya sudah pergi ke Kelantan banyak kali, saya cuma pernah menyajikan 4 buah artikel sahaja tentang masjid-masjid di sana dalam
blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Perkara ini cuma disedari apabila mula membuat kompilasi
links artikel menurut negara/negeri untuk
blogspot tersebut pertengahan tahun lepas, kompilasi yang mula dimuat-turun seminggu sebelum keluar membuat pengembaraan terbaru pagi Krismas. Saya juga mendapati kurang membuat artikel bagi beberapa buah lagi negeri lalu sejak itu berazam akan mengenengahkan seberapa banyak masjid dan makam yang boleh apabila berpeluang melawat negeri-negeri itu lagi.
Adapun perjalanan terbaru ke Pantai Timur dibuat dengan 2 tujuan utama... satu berjumpa anak tiri di Kelantan lalu membawa mereka berjalan dan kedua menyahut pelawaan seorang kenalan baru untuk pergi bersama melihat sekolah-sekolah pondok dan masjid di wilayah Islam Patani yang kini berada di dalam negara Thailand. Cukuplah ditambah saya telah merakamkan gambar luar dan dalam hampir 70 buah masjid dan 30 makam baru. Semuanya akan diketengahkan bersama banyak lagi tempat yang dilawati seperti bandar, pekan, sungai, gua dan pantai apabila perjalanan dijadikan cerita.
Sebelum itu biar dibuat dahulu cerita perjalanan ke Utara Ramadhan tahun lepas sampailah selesai. Rujuk pada artikel
Misi menjejak sang Merong hingga ke Hatyai? yang dibuat 4 bulan lalu. Insyaallah kalau tiada aral melintang saya akan mula bercerita tentangnya minggu hadapan. Sekian buat masa ini... :]
Ralat (14 Januari 2011): Merujuk pada perenggan kedua artikel di mana ada disebut saya cuma pernah mengambil gambar paling banyak pun sekitar 1,500 keping untuk setiap satu perjalanan iaitu sebelum perjalanan 2,367 km ke Pantai Timur dibuat. Semalam saya telah membelek-belek file kumpulan gambar untuk perjalanan ke utara yang berlangsung bulan Ramadhan tahun 2010 iaitu 4 bulan lebih awal, perjalanan yang ceritanya baru sahaja dimulakan semalam. Ternyata saya telah mengambil lebih 1,900 gambar. Harap maklum.
2 ulasan:
Salam ..
Pertama kali saya menjejak kaki ke sini ...
Menarik ... satu siri travellog yang menarik ...dan berilmu ...
Teruskan ... dan saya akan terus membaca tulisan saudara ....
Wassalam. OK, teruskan membaca...
Catat Ulasan