Jika cerita dalam artikel Cerita perjalanan Linggi/ Kuala Linggi. Siapa pula Tok Bali? berlaku pada awal bulan puasa, cerita sambungan ini pula berlaku lebih sebulan kemudian iaitu pada pertengahan bulan Syawal atau bulan raya. Apa yang berlaku ialah setelah kembali ke Lembah Kelang seterusnya rumah awal bulan puasa, baru tersedar makam-makam di Kuala Linggi yang ditemui sebelum itu bukanlah makam yang dicari. Oleh itu saya harus ke Kuala Linggi lagi dan peluang ini cuma muncul agak lama kemudian...
Rujuk pada artikel
Lahirnya anakku Muhammad Al-Aminul Rasyid dan 131... yang dibuat sejurus selepas anak itu lahir 13 Oktober. Disebabkan beberapa perkara termasuk isteri yang semakin sarat mengandung, saya tidak lagi berjalan-jalan ke mana-mana kecuali sekitar Lembah Kelang selepas beberapa hari masuk bulan Syawal. Malah saya membatalkan rancangan untuk kembali ke Muar hujung minggu pertama raya apabila isteri mula mengalami
contraction atau pengecutan rahim yang menunjukkan dia mungkin akan melahirkan anak tidak lama lagi. Cuma apabila tak jadi apa-apa hari berikutnya sehingga terpaksa keluar hospital, dan setelah menunggu 2 minggu masih juga tak jadi apa-apa, baru membuat keputusan nekad membawa isteri yang semakin sarat kembali ke kampung di Muar.
Perjalanan kembali dari Muar itulah yang digunakan untuk singgah di Kuala Linggi lagi. Di atas adalah gambar-gambar gerai tepian jalan di satu kawasan ladang kelapa sawit ketika menghampiri Masjid Tanah. Walaupun saya telah beberapa kali melalui jalan ini, baru kali ini tergerak untuk singgah makan. Ternyata makanan yang ada boleh tahan sedap dengan harga berpatutan. Dan lagi ia memiliki suasana tersendiri yang menyebabkan saya terasa akan singgah lagi kemudian hari....
Saya juga mengambil peluang ini untuk singgah lagi di masjid lama yang menjadi punca munculnya nama Masjid Tanah. Lihat artikel Masjid Tanah, the mosque made from soil yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH lebih awal tadi.
Kemudian baru pergi ke kawasan tepian pantai di Kuala Linggi yang membawa ke Bukit Supai di mana terletaknya Kota Kuala Linggi. Oh, sebelum itu sempat berhari-raya di rumah seorang adik kepada ayah... rupa-rupanya tak jauh dari sini, sekitar 10 km sahaja gitu dan letaknya dalam perjalanan dari Masjid Tanah tadi. Cuma mungkin saya kurang rapat dengan keluarga sebelah ayah berbanding ibu. Rasanya kali terakhir berjumpa bapa saudara yang ini mungkin 3 tahun lalu, bapa saudara yang suatu masa dahulu juga sibuk menelusuri jejak salasilah keluarga tetapi menurut Nenek, ibu kepada ayah, perjalanannya tidak dapat disempurnakan kerana bersahabat dengan jin.
Maka sampailah di Bukit Supai lagi, ketika itu sudah hampir senja. Isteri yang sedang sarat menunggu sahaja dalam kereta sementara saya terus berlari untuk masuk ke kawasan dan naik ke atas bukit. Kalau tidak, kemungkinan besar dia akan ikut sekali! Kali ini saya tidak mahu tersilap langkah lagi. Semasa di Muar awal sebelum itu, saya telah pergi ke sebuah Cyber-Cafe untuk meneliti balik pesanan seorang pembaca yang ditinggalkan dalam blogspot ini.
Rujuk balik pada penulisan awal dalam artikel pembuka siri kecil ini bertajuk Akhirnya, baru bercerita tentang perjalanan di Linggi... juga Kuala Linggi... di mana saya ada memberitahu bahawa perjalanan ke Linggi/ Kuala Linggi ini dibuat berdasarkan komen dalam blogspot. Kali ini saya turut mencatitkan komen itu ke dalam kertas. Untuk pengetahuan, komen itu dibuat pada artikel Peranan Ahlul Bait lawan propaganda Zionis Illuminati! yang ditulis di sini lebih setengah tahun lalu! Biar dicopy and paste...
Salam Sayd,
Circuit tuan di port dickson serta kawasan sekitarnya perlu di sambung di kota kuala linggi. Di atas tembok dinding kota kuala linggi tuan berdiri menghadap laut dan lihat sebelah kanan dinding kota yang menghadap sungai linggi lihat lagi di luar dinding kota dan turun curam sedikit dan akan nampak satu makam yang agak terbiar (as at 2005)di luar kota. Buat lah apa yang patut. Sewaktu balik dari kota kuala linggi jgn lupa mesti banyak banyak bersabar, jangan lupa bersabar! Selepas itu teruskan ke masjid lama linggi yang banyak makam lama tu tapi kali ni pergi jauh ke dalam kawasan kebun getah di atas bukit belakang masjid. Di celah celah pokok getah tu ada makam makam lama dan salah satu dari nya adalah makam Sheikh Jamaluddin Al Linggi. Buatlah apa yang patut. Sambong lagi next time.
Sheikh Ahmad Qadri Alawi
Setelah sampai di dataran atas bukit saya pun berdiri menghadap laut...
Kemudian baru melihat ke kanan.
Dengan berjalan di atas tembok saya terus menghala ke kuala sungai. Sampai ke hujung tembok baru terlihat kewujudan makam di satu bahagian lereng!
MasyaAllah! Saya telah pergi ke bukit ini tidak kurang 5 kali. Baru kali ini menyedari akan kewujudan makam.
Saya pun pergi lebih dekat lalu membuat apa yang patut.
Melihat pada kain kuning di batu nisan, kemungkinan besar ia milik seorang kerabat diraja dahulukala. Mungkin kerabat diraja Bugis? Kerana setahu saya Kota Kuala Linggi ini didirikan oleh mereka sebelum diambil-alih oleh Belanda. Mungkin sebab itu komen atau pesanan dalam
blogspot meminta saya agar pergi ke makam Sheikh Jamaluddin Al-Linggi seterusnya?
Saya turun dari bukit ketika sudah masuk waktu Maghrib... sampai di Masjid Qariah Linggi ketika sudah gelap, sudah masuk jam 8 malam begitu. Namun terus pergi ke makam Sheikh Jamaluddin yang terletak sekitar 200 meter di kawasan belakang luar masjid yang lebih merupakan sebuah belukar dengan tanah perkuburan lama. Untuk makluman, masjid itu sendiri dikelilingi tanah perkuburan baik di hadapan mahupun di sini!
Perjalanan seperti sudah diatur. Sebaik sahaja selesai meletakkan kereta di perkarangan masjid dan memastikan isteri dapat masuk ke ruangan solat wanita saya terus ke belakang di mana terdapat tempat mengambil wudhuk kerana perlu mengikut pintu pagar belakang masjid untuk sampai ke makam. Seketika itu juga lampu di belakang dibuka oleh satu-satunya orang yang ada ketika itu kerana masjid lama ini sudah jarang digunakan untuk solat berjemaah.
Hmm. Nak kata penjaga masjid pun tak pasti, biar disebut pakcik sahaja ya. Pakcik itu membuka pintu belakang bangunan masjid lalu menjenguk keluar. Terlihat sahaja kelibat saya terus dia bertanya: "Mahu ke mana ini?". Terus saya jawab: "Mahu ziarah makam".
Peliknya dia tidak bertanya apa-apa lagi. Lampu dibiarkan terus menyala. Dapat juga menerangkan sehingga 30 meter gitu di sekitar. Kalau tidak, lagi teruk saya harus mencari makam dalam kegelapan tanpa membawa apa-apa lampu mahupun pelita.
Kali ini juga berlaku sesuatu yang baru. Walaupun saya juga telah pergi menziarahi makam Sheikh Jamaluddin sekurang-kurangnya 5 kali, baru kali ini tergerak dan dapat masuk ke dalam lingkungan pagar besi lalu menyentuh batu nesan. Sebelum ini saya tidak menyedari dan tidak terjumpa pun pintu masuk ke dalam, setakat melihat dari luar pagar. Tetapi dalam gelap-gelita kali ini pula dapat menemui pintu masuk dan membukanya. Walhal cahaya lampu masjid tidak sampai ke situ, harus menggunakan cahaya telefon bimbit untuk melihat dalam samar-samar... walhal dahulu sudah beberapa kali sampai ke makam waktu siang tetapi tidak menemui pun pintu!
Setelah membuat apa-apa yang patut baru masuk ke masjid. Selepas bersolat jamak Maghrib dan Isyaq saya membaca Al-Quran dan berwirid sedikit. Lega rasanya berjaya menyelesaikan perjalanan yang sudah lama disarankan melalui komen iaitu sejak bulan Mei lagi. Tak tahu apakah makna sebenar membuat perjalanan ini kecuali meneka-meneka pertalian Sheikh Jamaluddin Al-Linggi yang memang ada darah kerabat diraja Bugis mungkin kena-mengena dengan diri saya sendiri.
Mungkin akan keluar petunjuk lebih nyata setelah selesai menamatkan cerita?
Oh... Pada penghujung artikel
Cerita perjalanan Linggi/ Kuala Linggi. Siapa pula Tok Bali? ada disebut
"Dengan ini, tamatlah penggunaan koleksi gambar-gambar perjalanan bulan Ogos...". Sebenarnya saya tersilap. Masih ada banyak lagi gambar-gambar perjalanan bulan Ogos, cuma telah dikumpulkan dalam satu
folder tersendiri. Untuk makluman, ia adalah gambar-gambar perjalanan ke Pantai Timur yang dibuat hujung bulan itu. Gambar-gambar inilah yang akan menjadi asas kepada satu siri artikel baru yang akan dibuat selepas ini. Selamat malam! :]
4 ulasan:
wow .. ini pun menarik..
Apa lagi... survey le, hehe! :]
Assalamualaikum
Assalamualaikum
Catat Ulasan