Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, Julai 16, 2007

Danau Tok Uban pula...

Masa semakin suntuk sedangkan saya ada lagi 2-3 cerita untuk diluahkan sebelum mendapat rasa lega. Ah... Buat aje le...

Adapun selepas meninggalkan Bukit Panau pada Rabu lalu, saya telah mendapatkan bas sampai ke simpang untuk masuk ke Tok Uban... Tak sangka pula rupanya Danau Tok Uban, destinasi penuh misteri yang mahu dilawati seterusnya terletak agak jauh daripada situ, hampir 10 km atau lebih jauhnya sedangkan saya tidak nampak apa-apa kenderaan awam masuk ke situ. Maka terpaksalah saya berjalan jauh mengheret segala barangan yang dibawa.... Lama kemudian baru dapat menumpang sebuah lori yang katanya hendak ke Danau Tok Uban...

Dalam perjalanan, si pemandu lori memberitahu perlu singgah di sebuah kampung untuk mengambil beberapa pekerja. Katanya selepas itu baru ke Danau Tok Uban.

Saya menurut sahaja. Rupanya bukan sahaja saya perlu menunggu lama sebelum pekerja-pekerja yang dimaksudkan muncul. Saya telah dibawa ke sebuah kampung lain di mana mereka hendak memotong sebuah pokok getah tua untuk dijadikan kayu perabot. Kalau nak tunggu kayu dipotong kecil sehingga boleh dibawa naik ke lori, entah bila pula siapnya... Maka terpaksalah saya berjalan kaki jauh lagi...

Jalan punya jalan, lalu lah di pekan Tok Uban... Pelik orang-orang melihat saya berjalan seorang diri mengusung rucksack besar serta menarik 'kereta' membawa kit promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" dalam panas terik matahari...


Posing seketika di depan sekolah... Selepas beberapa lama barulah ada orang menumpangkan saya ke Danau Tok Uban... Daripada sekolah ini, saya telah berjalan hampir 2 km sebelum mendapatkan kenderaan... Rupa-rupanya ada lagi 3km sebelum sampai ke sana!


Lihat pokok-pokok di sekitar Danau Tok Uban ini... Rasa macam di luar negeri pula! Kata orang sebab banyak pokok Tembusu. Saya mengangguk sahaja... Bukan saya tahu pun yang mana satu pokok Tembusu yang mana bukan... Yang saya tahu, memang pokok-pokok di sini kelihatan lain macam!

Adapun saya pertama kali sampai di sini tahun 2003 apabila mengikut seorang kawan membuat shooting drama... Kononnya, cerita yang dilakonkan itu sedang berlaku di England. Maka Danau Tok Uban dipilih sebagai salah satu lokasi 'luar negeri'...


Tu dia, tasik luas yang dikenali sebagai Danau Tok Uban... Tapi mungkin orang tak sedar keluasan sebenarnya disebabkan kebanyakan permukaan tasik diselaputi pokok kiambang...

Kelihatan di belakang Bukit Panau dalam jajahan Tanah Merah. Danau ini pula terletak di dalam wilayah Pasir Mas.


Masjid putih yang dibina Sultan Brunei di seberang danau meninggalkan banyak tanda-tanya... Mengapa pula dibina di situ? Apakah ada rahsia tertentu?


Danau dilihat daripada sudut lain...


Sebahagian daripada satu-satunya restoran di kawasan ini...


Poster "Berpetualang ke Aceh" 'bersidai' di sebelah jeti...

Restoran dilihat daripada jauh...



Gambar yang diambil daripada bahagian restoran yang terapung di atas air, sebaik sahaja bangun daripada tidur petang...


Ambik gambar pokok sat... Kit promosi pun nak posing sama, hehe!


Gambar atas dan bawah ini diambil daripada Masjid Brunei tapi ini cerita lain.... :]



Hmm... Pada mulanya saya mahu membuat cerita bergambar tentang Masjid Brunei pada hari ini juga demi meluahkan apa yang terbuku. Memang ada sesuatu yang menarik tentang masjid ini melibatkan sejarah lama para wali dan anak cucu Nabi dahulukala. Malah saya beritahu, sebuah kota lama masih ada tetapi wujud di alam ghaib pula! Tetapi apabila difikirkan balik, biarlah dahulu ya... Bagi suspense sikit, lagipun saya perlu bersolat kemudian bekerja ke Langgar, Kedah. Salam!



BKA Tour Run: Jale-jale Kota Bahru, Kelantan

OK! Saya terus bercerita aje k...


Saya sampai di Kota Bahru dari Pasir Mas hari Rabu petang... Badan sudah begitu penat akibat pengembaraan hari itu di Bukit Panau seterusnya Danau Tok Uban (ini akan diceritakan nanti) sedangkan ada pakaian yang perlu dibasuh akibat kotor dan peluh. Maka saya ambil keputusan menyewa hotel murah berdekatan stesyen bas di tengah bandar. Rasa tidak selesa bermalam di mana-mana masjid dalam keadaan begitu, apalagi di Masjid Tok Kenali, tempat saya biasa bermalam di Kota Bahru...

Gambar di atas diambil pagi Khamis. Saya telah menggantungkan poster promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" di hadapan hotel tempat saya menetap. Kelihatan di gambar, bangunan pusat batik dan kraftangan (kalau tak salah ingatan, begitu le namanya)...




Seorang pembaca buku BKA, Kak Tim sempat menghubungi saya lalu bertemu di Kota Bahru. Kebetulan Kak Tim yang menetap di Ketereh ada kerja di Nilam Puri... Saya pun menumpang kereta Kak Tim untuk ke Masjid Kampung Laut di sana.

Adapun masjid ini dikatakan berusia 300 tahun. Kata sesetengah orang, ia merupakan salah satu tempat persinggahan utama para wali di sebelah sini, Wallahualam! Tapak asalnya adalah di Kampung Laut sebelum dialih ke Nilam Puri, lebih 10km jalan menghala ke Tanah Merah.



Poster digantung di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (Eh... Ke UM? Lupa plak) di hadapan Masjid Kampung Laut.

Tiang lampu di tengah bandar pun jadi!


Ini pula berdekatan pintu gerbang bersejarah Kota Bahru bandaraya Islam... Perhatikan pula gambar di bawah...

Tu dia... Kat sini pun boleh 'tersesat' poster BKA!


'Rehat' sat kat depan kedai Muda Osman...

Ini pula antara stesyen bas dengan gedung utama Muda Osman kat tengah bandar...



Posing sat kat Masjid Tok Kenali... Sempat le bermalam di sana malam Jumaat. Pagi tu pula ada majlis cukur jambul budak dengan kenduri makan... Ramai waris-waris Tok Kenali turut serta.


Depan pasar Siti Khadijah...


Sementara menunggu solat Jumaat kat masjid jamek Muhammdiyah, sempat juga poster BKA 'menyerikan' suasana lalu menimbulkan tanda-tanya! :]

Mendaki Bukit Panau

Bukit Panau, bukit penuh lagenda di Kelantan.


Biar saya bercerita ringkas... Saya sedang kesuntukan masa kerana merancang untuk ke Langgar, Kedah petang ini. Dan saya juga sedang kepenatan akibat sudah lebih seminggu mengembara ke sana ke mari termasuk berjalan kaki berbatu-batu, kalau dijumlahkan, rasanya tak kurang 30km!

Adapun Bukit Panau terletak di dalam jajahan Tanah Merah, Kelantan. Di kalangan orang lama tempatan, ia terkenal sebagai tempat orang dahulukala meningkatkan ilmu persilatan selain membuat pertapaan. Malah ada yang percaya, Bukit Panau itulah sebenarnya Bukit Pancalusa yang disebut dalam kitab Hikayat Hang Tuah sebagai salah satu tempat Laksamana Hang Tuah belajar ilmu perang. katanya dengan seorang mahaguru bernama Adi Putra.

Menurut sumber-sumber tertentu, Adi Putra juga dikenali sebagai Sheikh Samman atau Sayyid Thanauddin yang merupakan salah seorang ahli rombongan Wali Tujuh. Rombongan yang diketuai seorang Ahlul Bait anak cucu Rasulullah bernama Sayyid Hussein Jamadil Kubra ini dianggarkan datang ke Tanah Melayu dalam abad ke 14 Masihi begitu.

Ada orang menyebut, Bukit Panau juga merupakan tempat duduk Puteri Sa'adong yang terkenal dalam cerita rakyat Kelantan. Pihak lain menyebut, Puteri Sa'adong bersemayam di Bukit Marak (saya pun tak tahu kat mana), ada pula menyebut memang baginda pernah bersemayam di Bukit Marak sebelum berpindah ke Bukit Panau pula.

Mungkin sang puteri menurut jejak ibu angkatnya Chek Siti Wan Kembang yang pernah bersemayam di sekitar Tanah Merah, dalam sebuah negeri lama yang dikenali sebagai Tanah Sekebun Bunga Cherang Tenggayong sebelum 'bersara' lalu duduk di kawasan Gunung Stong Gunung Ayam di Ulu Kelantan? Apapun, biar saya bercerita perkara yang senang... Tentang apa yang saya rasa apabila mendaki bukit lagenda setinggi 234 meter ini!



Sebaik sahaja sampai ke Tanah Merah dengan menaiki keretapi 5.30 pagi daripada Gua Musang, saya terus disapa pemandu teksi... Tanyanya hendak ke mana, kata saya Bukit Panau. Berapa tambangnya? RM12. Jawab saya tak payahlah, biar saya cari bas... Lainlah kalau berkongsi tambang dengan orang lain kerana saya perlu berjimat belanja...

Saya baru sahaja hendak meninggalkan kawasan stesyen keretapi... Tiba-tiba dipanggil pemandu teksi, ada orang lain juga hendak ke sana, tapi setakat sampai di perkampungan di kaki bukit sahaja. Saya pun menurut sahaja... Dipendekkan cerita, saya ditinggalkan di kaki bukit sebelum memulakan pendakian.

Kalau diikutkan, stamina saya bukanlah kuat sangat kerana sudah lama tidak bersukan... Umur pun sudah menghampiri 40 dan saya sebenarnya kurang sihat kerana gangguan-gangguan tertentu, tak payahlah dipanjangkan gangguan apa itu...

Alhamdulillah, saya masih ada kekuatan semangat yang kental serta sedikit petua orang lama yang diamalkan menyebabkan saya mampu bertahan memikul beban tubuh badan serta jiwa yang berat-berat... Dapatlah juga meneruskan pendakian walaupun nafas sudah mula kencang.


Bila melihat sahaja pada jalan bercerun sebegini, boleh rasa patah semangat untuk meneruskan pendakian terutama apabila nafas dah tercungap-cungap...


Syukur ke hadrat Ilahi, pendakian dapat diteruskan... Sekitar 15-20 minit begitu, sampailah ke stesyen pemancar menandakan kemuncak hampir dekat.


Dari stesyen tadi, saya tergerak mengambil sebuah denai ke kanan jalan lalu sampai ke tebing curam dengan pemandangan Sungai Kelantan yang sungguh indah ini... Masyaallah! Subhanallah!


Tu dia! Cantik bukan!


Bila diperhatikan dengan teliti cerun tadi, tenyata batu-batunya telah dicat berwarna-warni... Rasanya ini kerja orang Hindu yang ingin memuja sesuatu. Saya pula sempat menunaikan solat Dhuha di atas batu dengan menggunakan wudhuk yang diambil daripada kolam di kaki bukit tadi.


Tiang pemancar kecil ini menandakan puncak sebenar Bukit Panau. Cukuplah setakat ini ya!


BKA Tour Run: Dari Raub ke Gua Musang

Subhanallah! Saya sebenarnya mula terasa berat hendak meneruskan penulisan kerana satu, saya sangat kepenatan setelah lebih seminggu mengembara jauh sambil mengheret rucksack besar dan kit promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" ke pelbagai ceruk rantau. Lagipun saya sedang berpuasa 1 Rejab dan tidak lama lagi perlu berkejar ke Langgar, Kedah pula.
Apapun, demi kepuasan kawan-kawan dan pembaca, rasa tidak sedap jika tidak meninggalkan sedikit 'buah tangan'... Oleh kerana terlalu banyak yang terbuku tetapi tidak sempat atau tidak ada daya dan upaya untuk diceritakan di sini agar dapat dikongsi bersama, biar saya sertakan mana yang dapat dengan gambar-gambarnya...
Seperti kata pepatah Mat Saleh, a picture tells a thousand words... Sebuah gambar menceritakan seribu perkataan... Biar gambar-gambar ini yang menceritakan lebih lanjut untuk saya... Saya akan tambah mana yang sempat dan patut. Sila! :]


Selepas membuat sejumlah posting di Raub Isnin minggu lepas, saya sempat menggantungkan poster promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" di hadapan masjid jamek lama Raub.


Keesokannya, di hadapan masjid lama Kuala Lipis yang dibina tahun 1888


Ini pula di sebuah bangunan (lupa bangunan apa) bersebelahan stesyen keretapi Kuala Lipis.


Gambar sudah cukup terang menceritakan keadaan...


Malam itu sempat sampai ke Gua Musang menaiki bas daripada Kuala Lipis. Kemudian tidur di sebuah surau berdekatan stesyen keretapi Gua Musang sementara menunggu keretapi jam 5.30 pagi untuk ke Tanah Merah.


Ini pula di Danau Tok Uban, dalam jajahan Tanah Merah, Kelantan. Cerita lanjut akan dibuat nanti, Insyaallah!

Kuala Lipis, bandar yang comel!

Assalamualaikum kawan-kawan dan para pembaca sekalian. Adapun akhir sekali saya ada membuat posting dalam blogspot-blogspot saya adalah pada Isnin minggu lepas di Raub, posting yang ke 141 di CATATAN SI MERAH SILU, ke 66 di BERPETUALANG KE ACEH dan ke 33 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Keesokannya di Kuala Lipis, saya ada membuat sedikit pembetulan serta penambahan dalam penulisan tetapi bukannya posting baru.

Seperti diterangkan dalam posting terakhir di CATATAN SI MERAH SILU iaitu artikel bertajuk, Ketinggalan dua buah bas... saya ada sedikit kegilaan tentang nombor. Maka setelah membuat sejumlah posting dengan nombor-nombor yang ada makna tertentu buat diri ini, saya berazam tidak akan membuat apa-apa posting baru sehingga sampai tarikh yang sesuai.

Hari ini sudah masuk 1 Rejab, bulan Islam yang juga dikatakan bulan Allah. Sampailah masanya untuk memecahkan 'kebuntuan'. Untuk makluman, saya kini berada di Baling, Kedah... Semalam sempat menziarahi beberapa tempat yang dikaitkan dengan lagenda Raja Bersiong, setelah bermalam 5 hari di Kelantan termasuk di Masjid Brunei, Danau Tok Uban dan Masjid Tok Kenali di Kubang Kerian.

Di sini, saya akan mula bercerita kembali. Biar dimulakan dengan sedikit cerita bergambar tentang Kuala Lipis ya, bandar terakhir di mana saya ada membuat penambahan dalam isi blogspot (tetapi bukan posting baru, setakat penambahan cerita dalam Ketinggalan dua buah bas...) Ini dia...

Oh! Untuk makluman, Kuala Lipis dikatakan sebagai ibunegeri pertama Pahang 'moden'. Yang dimaksudkan moden di sini adalah ibunegeri setelah Pahang berjaya dikuasai Inggeris, bermula tahun 1880an begitu, satu tempoh masa yang menyaksikan Bendahara Wan Ahmad diangkat menjadi Sultan dengan sokongan penjajah.

Adapun Kuala Lipis ini terletak sekitar 60km daripada Raub. Ia mendapat nama sempena kuala Sungai Lipis yang terletak tidak jauh daripada situ, kuala yang bertemu Sungai Jelai, salah sebuah sungai utama di Pahang.

Pada saya, Kuala Lipis mempunyai tarikan yang tersendiri terutama kerana kehadiran bangunan-bangunan lama sebelum Perang Dunia Kedua yang agak comel. Hmm... Kita sambung cerita dengan gambar ya...





Ini adalah gambar pertama yang diambil sebaik sahaja sampai ke Kuala Lipis. Kereta Mercedes dengan plet nombor WGW 3300 yang diletakkan setentang dengan menara masjid lama Kuala Lipis seakan mempunyai satu makna yang tersirat buat diri saya.

Perhatikan dengan teliti. Aras ketinggian tempat letak kereta ini sama dengan perhentian bas tempat saya turun daripada Raub. Masjid lama yang dibina tahun 1888 ini pula terletak lebih kurang 15 kaki ke bawah sementara di belakang masjid pula terdapat Sungai Jelai dengan aras biasa airnya sekitar 20 kaki lagi ke bawah.

Menurut cerita tempatan, Kuala Lipis pernah dilanda banjir besar sehingga meliputi stesyen bas. Yang peliknya, masjid lama pula tidak tenggelami air sedangkan kedudukan lebih ke bawah!

Masjid jamek Kuala Lipis dilihat daripada stesyen keretapi...




Stesyen keretapi Kuala Lipis. Pada awalnya, saya bercadang untuk menaiki keretapi jam 2.30 atau 3.15 petang untuk ke Kelantan. Selepas itu tidak ada lagi perkhidmatan sehingga jam 3 pagi! Tetapi saya terleka membuat pembetulan dan penambahan yang patut dalam blogspot di sebuah Internet Cafe sehingga tertinggal kedua-dua keretapi!




Ini adalah medan makan berhadapan dengan lorong masuk ke stesyen keretapi... Suasana di sini agak meriah, saya pun singgah untuk minum kopi sebentar.

Tidak lama kemudian, timbul rasa untuk mengambil gambar. Sebaik sahaja gambar diambil, lelaki India di dalam gambar (yang memalingkan muka) itu meminta supaya gambarnya jangan dimasukkan dalam suratkhabar! Apa? Dia ingat saya ini wartawan ke? Heh! :]



Ini pula stesyen bas Kuala Lipis. Sempatlah menggantung poster promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" di bawah papan tanda stesyen bas...



Saya singgah makan petang di satu dereten warung... Kelihatan pula seorang lelaki India menolak begitu banyak barangan. Terasa mahu merakamkan...



Orang menjual durian di hadapan stesyen bas




Kelihatan lagi lelaki India tua tadi menarik barangan lain pula!



Ini pula gambar jambatan merentangi Sungai Jelai yang diambil daripada bas jam 6 ke Gua Musang, Kelantan. Selepas tertinggal keretapi petang, saya harus memilih samada menunggu sehingga pagi buta untuk perkhidmatan keretapi seterusnya, bermalam di Kuala Lipis atau mencari kenderaan lain ke Kelantan. Rasanya tidak sabar mahu Kelantan... Kebetulan masih sempat untuk mengejar satu-satunya bas ke Gua Musang... Maka ke situlah saya hari itu! Bye! :]



Isnin, Julai 09, 2007

Ketinggalan dua buah bas sebelum mendapat sebuah teksi ke Raub. Apakah yang tersirat?

Lihat gambar di atas... Kit promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" 'parking' di tepian jalan di Genting Sempah, tidak jauh daripada terowong bawah tanah. Di sinilah tempat saya menunggu kenderaan awam untuk ke Raub semalam, setelah menumpang kereta seorang kawan untuk keluar daripada kawasan Janda Baik lalu pergi ke Genting Sempah di mana terdapat tempat perhentian, stesyen minyak serta tempat makan bagi para pengguna lebuhraya Karak.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa saya memilih tajuk yang agak pelik ini... "Ketinggalan dua buah bas sebelum mendapat sebuah teksi ke Raub. Apakah yang tersirat?". Memanglah itu yang berlaku semalam tetapi kenapa tidak sahaja dipilih tajuk yang lebih pendek sebelum memanjangkan apa yang telah berlaku di bawahnya...
Sebelum itu, biar saya berterus-terang. Adapun mereka yang telah lama mengenali saya terutama melalui forum mungkin tahu bagaimana saya ada sedikit 'kegilaan' yang melibatkan nombor... Maklumlah, bekas graduan bidang Matematik. Tapi bukan kegilaan membeli nombor ekor ya... Saya memang tidak suka dan tidak pernah berjudi sejak kecil, kecuali apabila 'tersampuk' penyakit main mesin sodok duit di London di mana saya akhirnya kehilangan lebih 200 Pound Sterling (lebih RM1000) dalam tempoh 2 hari!
Kegilaan saya mengenai nombor adalah kegilaan untuk menafsir atau mengaitkan sesuatu dengan nombor. Tak semestinya saya akan mengkaji begitu dalam tetapi saya selalu mengikut gerak hati berkaitan nombor dalam hal-hal tertentu. Contohnya, apabila membuat posting mengenai Janda Baik dalam ketiga-ketiga blogspot saya, satu dalam Bahasa Melayu di sini, satu dalam Bahasa Inggeris di BERPETUALANG KE ACEH dan lagi satu dalam kedua-dua bahasa di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART), maka saya sebenarnya telah membuat posting ke 137 di sini, ke 66 di blogspot Bahasa Inggeris dan 33 di blogspot dwi-bahasa.
Adapun sejak kecil lagi, saya suka nombor 11 dan sering mengaitkannya dengan diri sendiri, tak pasti mengapa. Hmm... Mungkin sebab Nabi Yusuf adalah anak ke 11 Nabi Ya'akob. Eh... Tapi apa kena-mengenanya dengan saya ya tak. Entah apa-apa le si Merah Silu ini...
Apapun, nombor 66 dan 33 masing-masing adalah gandaan nombor 11. Jadi saya rasa perlu mengaitkan jumlah posting di blogspot ini dengan nombor 11. Jawaban yang saya dapat, jadikan jumlah posting sehingga 141... Nombor 4 diapit 1 dan 1... Kira ada juga kaitan dengan 11 ya tak (mungkin untuk menyedapkan hati sendiri? Sukati engkau le Labu, janji puas... Heh!)
Maka jadilah posting ini, artikel ke 141 dalam blogspot ini. Tapi bukan buat cerita semata-mata untuk memenuhi ruang. Ada le sebabnya.
Semalam, selepas keluar daripada Janda Baik lalu ke Genting Sempah, saya berehat sebentar di kawasan makan-minum sebelum tergerak untuk melangkah. Rakan saya menyuruh menunggu lagi kerana hujan belum betul-betul berhenti. Jawab saya, jika bergerak ketika itu juga, mungkin akan sempat berselisih dengan bas Kuala Lumpur-Raub yang berlepas daripada bandaraya jam 4.30 petang.
Untuk pengetahuan, perkhidmatan bas yang melalui Bentong ini diadakan setengah jam sekali. Ketika itu, jam menunjukkan pukul 5.10 petang dan saya merasakan bas 4.30 akan lalu sebentar lagi.
Telahan saya ternyata tepat sekali. Setelah mengheret kit promosi berserta membawa rucksack besar di belakang berjalan sejauh lebih 200 meter lalu menyeberangi lebuh-raya dengan penghadang di tengah seperti kelihatan di gambar atas, saya dapat melihat bas merah ke Raub baru sahaja keluar daripada terowong.
Terus saya buat isyarat menahan. Kalau diikutkan, memang bas itu boleh berhenti kerana cukup ruang dan masa. Sebaliknya pemandu bas terus meninggalkan saya seraya membuat isyarat bahawa akan ada bas lain di belakang.
Ah... Perlukan saya menunggu lagi setengah jam?


Tempat rehat di Genting Sempah kelihatan di atas... Ternyata memang ada sebuah lagi bas di belakang muncul sekitar 15 minit kemudian. Maka tidaklah perlu menunggu setengah jam kalau mengikut anggaran berdasarkan jadual perjalanan. Malangnya bas ini juga agak penuh dengan penumpang dan tidak mahu berhenti. Ah... Apa ini?
Saya mula mengira-ngira keadaan. Kenapakah semua ini berlaku? Apakah saya tersilap waktu, menunggu di situ ketika orang-ramai mahu balik bekerja dari Kuala Lumpur? Tetapi hari itu hari Ahad, kenapa pula ramai orang? Timbul pula sedikit rasa penyesalan. Mungkin saya sepatutnya menunggu keesokan harinya sebelum meninggalkan Janda Baik atau saya sepatutnya menunggu bas di Bukit Tinggi, bukannya di Genting Sempah yang sebenarnya tidak ada pondok menunggu bas...
Saya sebenarnya sangat kepenatan dan sudah mengidam mahu tidur di dalam bas sebaik sahaja dapat tetapi ternyata saya terpaksa menahan penat memikul beg besar mengheret beban kit promosi jalanan. Langit pula masih mendung dan ada titisan hujan. Kalau tiba-tiba jadi lebat, terpaksalah berlari mengheret segala beban menyeberangi lebuhraya yang sering ada kenderaan laju lalu-lalang untuk berteduh di bawah jejantas, itupun kalau sempat...
Hmm... Saya tak dapat memanjangkan cerita kerana kedai komputer ini akan tutup 5 minit lagi... Lihat gambar di bawah ini pula...

Dalam gambar ini kelihatan sebuah kepala lori berwarna kuning. Lori kuning ini sebenarnya adalah sebuah lori pick-up yang mahu digunakan untuk menarik sebuah lori kertas yang telah terbakar hari sebelumnya. Mungkin kedudukannya yang menghalang jalan menyebabkan bas-bas tadi tidak mahu berhenti?
Apapun, tidak lama kemudian, datang sebuah teksi berhenti tanpa ditahan. Ternyata teksi itu mahu ke Raub malah melalu jalan ke rumah almarhum nenek, maka sampai le saya ke sana.
OK... Terpaksa berhenti dah. Sekurang-kurangnya dah siap posting ke 141... Selamat!

------------------------

OK... Tambahan cerita dibuat daripada Kuala Lipis, Selasa 10 Jun 2007. Itupun mungkin terpaksa terkejar juga kerana saya telah menghabiskan agak banyak masa membuat beberapa pembetulan ejaan dan silap taip untuk artikel-artikel lain dan saya sebenarnya merancang untuk mendapatkan keretapi jam 2.30 petang ke Kelantan... Nampaknya dah terlambat kerana ketika menulis ini, sudah masuk jam 2.23 dah sedangkan saya mula masuk Internet tadi jam 12! Mungkin boleh mendapatkan keretapi jam 3.30 pula, itupun kalau betul ada keretapi untuk ke Kelantan pada waktu itu... Kalau tidak, mungkin perlu bermalam di sini.

Hmm... Biar saya berterus-terang akan rasa hati berkaitan peristiwa ditinggalkan dua buah bas kemudian baru mendapat sebuah teksi ke Raub. Adapun pada awalnya hati yang masih belum suci sepenuhnya ini mula hendak menyumpah-nyumpah keadaan. Nasib baik terbetik juga fikiran akan semua ini cuma ujian Allah hendak menduga keyakinan kita akan rancangannya. Mesti ada sebab kenapa bas itu tidak mahu berhenti. Lalu saya bertahan walaupun begitu penat dengan harapan akan terbukti sekali lagi akan aturan Allah itu atas sifat tawakal diri ini...

Sekitar jam 5.40 petang begitu, muncul sebuah teksi lalu berhenti tanpa diundang. Kalau diikutkan, saya tak terfikir pun nak naik teksi kerana memikirkan tambangnya mesti mahal lebih-lebih lagi kerana teksi itu sedang kosong bermakna semua kos perjalanan akan ditanggung saya seorang diri. Dalam pada itu, ada bisikan hati menyatakan apa salahnya bertanya. Lalu saya berlari anak mengejar teksi yang berhenti jauh sedikit ke hadapan akibat kelajuannya ketika cuba berhenti dan bertanyakan harga jika ingin ke Bentong. Jawab pemandunya, seorang Cina yang agak tua, RM5 sahaja... Hmm... Kalau begitu, boleh le... Tambang bas ke Bentong pun hampir RM4.

Dalam perjalanan itu, pemandu Cina itu bertanya lagi... Sebetulnya saya mahu ke mana? Jawab saya ke Raub... Raub? Dia tersenyum. Rupanya dia hendak ke situ juga.

"Kalau itu macam, kenapa tak naik terus sampai Raub?"

Jawab saya: "Takut mahal la apek... Saya mahu jimat belanja. Tengok ni, saya jalan pun bawak tikar buruk tunggu bas..."

Kata si pemandu: "Lu bagi RM10 cukuplah, sampai Raub..."

Elok juga tu... Kalau tak salah ingatan, tambang bas daripada Bukit Tinggi ke Raub pun ada dalam RM7 begitu. Ini lebih sedikit je dan lebih selesa serta cepat sampai. Saya pun bersetuju. Dia terus memandu...

Selepas melepasi Bentong, sekali lagi pemandu bertanya... "You betul-betul Raub mana mau pergi?"

Jawab saya: "Batu 3 jalan pegi Cheroh?"

"Cheroh?" katanya dengan nada agak terperanjat. Rupa-rupanya dia orang Cheroh dan memang mahu menuju balik ke rumah.

Dipendekkan cerita, saya sampai ke rumah almarhum nenek lebih-kurang jam 6.30 petang dengan selesa. Cuma perlu bayar lebih sedikit sahaja iaitu RM12. Jika naik bas yang pasti akan melalui jalan lama Bentong-Raub berliku-liku melalui kawasan bukit, kemungkinan besar saya akan sampai ke Raub selepas jam 7 sedangkan bas terakhir untuk ke rumah nenek habis jam 6... Maknanya terpaksalah naik teksi dan membayar RM6, paling kurang pun RM5...

Semasa baru berada di dalam teksi tersebut, saya terfikir... Peristiwa ditinggalkan 2 buah bas sebelum dapat naik teksi yang lebih selesa ini mungkin bermakna saya perlu bermalam sekurang-kurang 2 hari di Raub dan cuma menyambung langkah hari ke 3. Ternyata ini ada juga kebenarannya... Asalnya saya mahu pergi ke Kuala Lipis hari Isnin selepas berada di rumah nenek satu malam. Tetapi pagi itu, saya diserang demam sementara pakaian yang dibasuh malam sebelumnya belum kering.

Seorang teman wanita yang menalifon bertanyakan khabar menasihatkan saya supaya berehat sehari lagi di Raub. Lalu saya gunakan masa itu untuk ke kedai komputer membuat sejumlah posting baru untuk blogspot-blogspot saya.

Semasa hendak menunggu bas daripada rumah nenek untuk ke Raub seterusnya Kuala Lipis pagi tadi, tiba-tiba hati ini terbetik... Apakah ketinggalan dua bas sebelum mendapat sebuah teksi lalu selamat sampai ke destinasi dengan lebih laju dan selesa bermakna saya perlu bersabar lagi sedikit dengan segala perit jerih kerenah menerbit serta menjayakan dua buah buku siri "Berpetualang ke Aceh"?

Kadang-kadang saya rasa tak tertahan lagi dengan segala penat-lelah yang memakan begitu banyak masa dan tenaga di samping segala tekanan jiwa yang menyebabkan saya selalu sakit-sakit badan dan kepala sedangkan keluarga sendiri pun masih memandang remeh usaha ini kerana belum begitu nampak hasilnya, apalagi daripada segi duit... Orang lain pula gelak di belakang apabila saya berkata sanggup menanggung kesusahan ini demi melestarikan satu perjuangan... Mana ada perjuangan, ejek mereka... Itu cuma angan-angan engkau sahaja! Angan-angan orang yang sebenarnya nak kan duit tapi tak mampu sebab takda peluang... Maka engkau topengkan angan-angan itu dengan kata-kata perjuangan demi menyedapkan hati sendiri dan meraih perhatian orang lain!

Hati ini sebenarnya perit, sering menangis sendirian malam-malam akibat kata nista yang dilemparkan sedangkan diri ini selalu keseorangan, ada anak perempuan seorang pun begitu susah hendak bertemu kerana saya tidak mampu lagi menanggung keluarga... Ada teman-teman wanita pun tidak dapat betul-betul bersama kerana halangan yang dihadapi serta keadaan saya yang masih dhaif ini. Mungkin selepas siap buku ketiga, baru saya akan mendapat jalan yang lebih laju dan selesa untuk menuju ke home sweet home yang didambakan selama ini?

Insyaallah! Itulah harapan saya. Minta kawan-kawan dan para pembaca doakan kesejahteraan diri ini dan kejayaan mengharungi segala cabaran sambil memikul amanah demi memartabatkan bangsa Melayu Islam dengan cara tersendiri ya!

OK... Saya mesti bersedia untuk pergi. Kalau boleh mahu masuk ke Kelantan hari ini juga, kalau tak dapat pergi terus ke Danau Tok Uban dan Bukit Panau, dapat ke Tanah Merah pun jadilah. Wassalam! :] (Lega sungguh rasa dapat meluahkan semua ini, Alhamdulillah!)