Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Ahad, September 05, 2010

Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Takdir yang menyebabkan penambahan satu hari...

Assalamualaikum semua! Malam ini, malam 27 Ramadhan atau 7 Likur masuklah umur saya 41 tahun mengikut kiraan kalendar Hijrah Islam. Apakah ini yang menyebabkan saya rasa moody sepanjang hari sehingga malas hendak keluar, berjumpa orang mahupun membuat apa-apa penulisan? Entahlah...

Apapun, siri cerita tentang perjalanan ke Aceh penghujung Januari 2010 harus disiapkan sebelum masuk 1 Syawal. Maka itu walaupun dalam keadaan malas, biar penceritaan diteruskan. Disambung daripada artikel Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Melihat warisan Tun Sri Lanang .

Ahad 31 Januari 2010. Seperti yang telah dijadualkan, kami bersedia untuk meninggalkan Aceh dengan penerbangan tengahari. Maka itu pagi hari digunakan untuk melawat mana-mana tempat berdekatan yang belum disinggahi. Tempat pertama dituju adalah perkarangan Muzium Aceh di mana terdapat makam beberapa orang Sultan Aceh.



Di sini kaki Al-Rasyid yang ketika itu berumur 3 bulan setengah dijejakkan lagi ke tanah, setelah pertama kali ia berlaku di makam Sultan Malikus Salih 2 hari sebelumnya.



Ia dibuat dimakam Sultan Ahmad Shah Johan Berdaulat yang memerintah Aceh 1727-1735 Masihi. Ini kerana menurut cerita dari pihak tertentu inilah Sultan Aceh yang paling dekat dengan keluarga saya. Atas sebab tertentu seorang anakanda baginda membawa diri ke Patani. Kemudian anakanda kepada anakanda ini masuk ke Perak menjadi ahli keluarga bangsawan Perak yang dikenali sebagai Laksamana Raja Mahkota.


Seterusnya kami ke Kompleks Makam Sultan Iskandar Muda yang terletak bersebelahan kawasan Muzium Aceh. Oleh kerana masa semakin suntuk isteri menunggu sahaja dalam kereta bersama anak sementara saya dan teman pergi menziarahi makam. Kembali ke kereta isteri menegur. Dia terlihat satu kawasan pemakaman yang belum pernah kami ziarahi sebelum ini, letaknya di satu sudut dalam kawasan kompleks...

Rupa-rupanya ada makam beberapa orang lagi Sultan Aceh dan keluarga. Kami semua pun pergi lebih dekat. Lihat artikel Makam keluarga kerajaan (Tombs of the ruling families) yang telah disediakan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) 5 bulan lalu.



Kemudian kami ke Masjid Baiturrahman untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Aceh.








Kami juga mengambil peluang untuk menjejakkan kaki Al-Rasyid di perkarangan masjid. Kiranya ini kali terakhir dia menjejak tanah sebelum meninggalkan Aceh...



Peliknya hampir jam 5 petang kami ke tempat lain pula walhal kami sepatutnya menaiki penerbangan sebelum 1 tengahari.





Tempat yang dimaksudkan adalah makam Laksamana Kemalahayati, makam yang kami telah sampai hari sebelumnya tapi pada waktu Mahgrib. Apa yang berlaku adalah sehari dua sebelum itu kami ada mendapat SMS dari pihak Air Asia menyatakan penerbangan kembali ke Kuala Lumpur hari Ahad bakal ditunda selama sejam kerana ada masalah teknikal.






Makam Kemalahayati dilihat dari satu lereng bukit berdekatan yang ada makna tersendiri buat saya. Disebabkan SMS tersebut kami pun tidak lagi tergesa-gesa untuk mendaftar masuk di lapangan terbang. Logiknya kami boleh masuk sejam lewat kerana penerbangan ditunda sejam bukan?


Namun apabila sampai ke lapangan terbang, tempat mendaftar ataupun check-in telah ditutup Apa yang berlaku adalah mereka tidak jadi menunda penerbangan lalu kembali ke jadual asal sedangkan kami pula sampai sekitar 10 minit sebelum pesawat berlepas. Apapun kalau ikutkan pesawat masih lagi boleh menunggu dan membenarkan kami masuk dan itulah yang berlaku kepada 8 orang penumpang lain yang turut mendapat SMS menyatakan penerbangan ditunda lalu mereka turut sampai lewat. Rupa-rupanya semua penumpang mendapat SMS tentang penundaan penerbangan tetapi sejumlah termasuk kami tidak mendapat SMS baru yang menyatakan penundaan dibatalkan.

Buat seketika timbul kekecohan apabila kami semua bertekak meminta agar dibenarkan menaiki pesawat. Apabila dimaklumkan kapten kapalterbang berkeras tidak mahu menerima penumpang baru naik, saya isteri dan teman pun menerima saranan seorang pegawai agar menunggu di kaunter luar untuk tindakan lanjut. Ketika menunggu itulah kami akhirnya mendapat tahu 8 orang penumpang lain yang turut sampai lewat telah berjaya menaiki pesawat lalu berlepas. Tinggallah kami bertiga dan anak menunggu...

Sebenarnya saya tidak terperanjat kerana merasakan ada kehadiran satu kuasa yang tidak kelihatan sedang mengatur suatu keadaan. Nasib baik pihak penerbangan sudi menggantikan tiket baru untuk penerbangan esok hari tanpa apa-apa bayaran. Peliknya sebaik sahaja mendapat tiket gantian bulu roma kami semua terus meremang.

Teman kami yang sebenarnya memang menyimpan niat mahu berada di Aceh lagi satu malam lantaran tidak puas menziarahi makam Laksamana Kemalahayati (maklumlah hari sebelumnya sampai pun waktu Maghrib, tidak dapat melihat keadaan siang sepenuhnya) sudi menaja penginapan hotel kami untuk malam itu. Dari lapangan kapal terbang kami pun berlepas ke makam, dapatlah Al-Rasyid menjejakkan kaki di satu lagi tempat iaitu di lereng bukit berdekatan makam.



Kami juga mengambil peluang untuk melihat benteng Kemalahayati. Kalau tidak disebabkan masalah SMS tentang penundaan jadual penerbangan, tentu kami tidak sempat sampai ke sini.





Cuma satu sahaja hajat tambahan kami tidak kesampaian iaitu mahu melihat matahari terbenam di pantai Lampuuk, pantai terdekat dari Banda Aceh yang menghadap Lautan Hindi, kira-kira 10-15 km ke barat bandaraya itu. Ini disebabkan kami sampai di pinggir timur Banda Aceh pun dah waktu senja. Cukuplah cerita bahagian ini. Dalam rasa malas-malas yang tak tahu sebab apa ia berlaku ni pun dapat juga menyelesaikan cerita untuk Ahad 31 Januari, Alhamdulillah! Cukuplah... :]


Jumaat, September 03, 2010

Misi menjejak sang Merong hingga ke Hatyai?

Subhanallah, maha suci Allah. Sedar tak sedar tinggal tak sampai seminggu lagi kita perlu berpuasa Ramadhan dan sudah seminggu juga saya tidak membuat apa-apa artikel baru di mana-mana blogspot saya. Sebenarnya baru-baru ini saya telah membawa isteri dan anak keluar berjalan jauh lagi. Dari malam Jumaat minggu lepas hinggalah ke awal pagi Rabu 2 hari lalu kami berjalan-jalan di sebelah Utara... dari rumah ke Taiping membawa ke Selama, Kulim, Sungai Petani sempat naik Gunung Jerai sebelum 'bermarkas' di Alor Setar.

Demi memenuhi satu pesanan yang isteri dapat dalam mimpi, kami menginap 3 malam di serambi sebuah surau di tepian kubur di Langgar. Dari situ kami mengatur perjalanan... hari Sabtu masuk ke Thailand melalui Bukit Kayu Hitam hingga ke Hatyai sebelum kembali ke Malaysia melalui Padang Besar, Perlis, sempat ke Tasik Timah Taso, Kangar dan Kuala Perlis lalu berbuka puasa di Arau. Hari Ahad pula kami ke Bukit Pinang, Jitra, Gunung Keriang dan beberapa tempat sekitar Alor Setar. Hari Isnin kami meninggalkan ibunegeri Kedah lalu singgah di Yan, Tanjung Dawai, Merbok, Kota Kuala Muda dan Pantai Merdeka. Dari sana kami masuk ke Seberang Perai lalu menginap di Georgetown. Perjalanan pulang pula dimulakan hari Selasa... singgah di Bukit Juru, Pulau Aman, Tasik Bukit Merah dan Gunung Semanggol sebelum masuk ke Taiping dan Kuala Kangsar, sampai ke rumah awal pagi Rabu.

Adapun perjalanan ini asalnya dibuat semata-mata kerana satu sebab... untuk mengambil gambar terbaru makam Sultan Muzaffar Shah I di Pengkalan Bujang. Untuk makluman, sejarah rasmi menyatakan baginda adalah raja Kedah yang pertama memeluk Islam, memerintah 1136-1179 Masihi. Namun ada pihak menyatakan yang dikatakan makam Sultan Muzaffar Shah I itu adalah milik seorang raja besar yang dikenali sebagai Merong Mahawangsa dan menurut mereka raja ini datang ke Kedah sekitar tahun 770 Masihi gitu. Apapun, asbab asal mengambil gambar telah membawa saya tergerak untuk membawa isteri dan anak berjalan ke merata tempat. Sukacita dimaklumkan satu siri tentang perjalanan terbaru ini akan dipersembahkan di blogspot ini nanti, Insyaallah selepas tamat siri tentang perjalanan ke Brunei 1-8 Ogos yang dijadualkan akan menemui pembaca selepas Hari Raya nanti.

p/s:
Ini adalah artikel ke 727 di blogspot ini.

Khamis, Ogos 26, 2010

Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Empayar Khalifah Sharif yang sebenar?

Assalamualaikum semua. Sempena malam 17 Ramadhan ini juga biar ditambah lagi satu cerita Muar. Bersambung dari Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Tinggalan Aceh di hulu Muar.... Mari! :]


Pagi Ahad 15 Ogos 2010 bersamaan hari ke-5 kita berpuasa, saya, isteri dan anak pun sedia berjalan lagi.


Sasaran awal kami terletak dekat dalam kampung ibu juga...


Mula-mula ziarah kubur...


Al-Fatihah untuk Hajah Sariyah moyang saya di sebelah ibu yang berdarah Jawa.


Kemudian baru kami menuju ke sasaran, sebuah bukit kecil bernama Bukit Treh.


Seperti dalam kisah lagenda Si Tanggang, Bukit Treh juga katanya terbentuk akibat sumpahan seorang ibu yang kecewa anaknya tidak mahu mengakuinya sebagai ibu. Kapal yang dinaiki anak itu disumpah menjadi batu. Pada kaki bukit terdapat sebuah makam misteri. Lihat artikel Makam seorang puteri di Bukit Treh? (Tomb of a princess at Bukit Treh) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Walaupun bulan puasa kami begitu bersemangat untuk naik ke atas bukit. Isteri saya terasa begitu teruja... dia pertama kali sampai dan ada sesuatu yang boleh dirungkai di sini, terasa kuat melibatkan dirinya, bukan setakat diri saya sahaja...


Setelah sedikit berpenat-lelah, terpaksa pula mengelak halangan seperti pokok tumbang, kami pun sampai ke atas. Lihat artikel Climbing Bukit Treh with the wife and baby di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Perhatikan bagaimana kami mengelak pokok tumbang yang menutup laluan...



Ketika turun saya teringat bagaimana satu pihak telah menggunakan beberapa gambar yang telah saya ambil lebih 3 tahun dahulu lalu digunakan untuk membuat dakwaan bahawa di Bukit Treh pernah berdiri istana raja kedua dari bangsa Siam yang kononnya menguasai satu empayar Islam yang bukan sahaja meliputi seluruh bumi Nusantara malah jajahannya meluas sampai ke benua Australia!

Lihat artikel Pictures in Muar 3. Lihat tinggalan tembok yang ada pada gambar 4, 5 dan 7. Gambar-gambar itulah yang didakwa oleh pihak tersebut dalam blogspot mereka sebagai bekas tinggalan istana raja lama bangsa Siam mereka yang kononnya wujud sekitar 1,200 tahun lalu. Perhatikan dengan teliti. Walaupun saya sendiri sering ke sana ke mari mencari kesan sejarah lama, saya tidak berani membuat dakwaan sebegitu apalagi jika bukan berdasarkan gambar yang diambil sendiri. Takut tersilap membuat jangkaan. Tinggalan tembok yang mungkin sebenarnya didirikan British awal abad ke 19 kita kata sebagai bukti tinggalan istana nenek-moyang kita abad ke 9. Kan dah jadi bahan gelak ketawa?


Merujuk balik pada Climbing Bukit Treh with the wife and baby yang merupakan artikel sokongan untuk penceritaan di sini. Ada ditunjukkan pokok tumbang yang menghalang laluan biasa. Ini memaksa kami memilih laluan lain yang sedikit ke bawah lalu terlihatlah binaan lama ini...


Apakah ia binaan buatan British untuk menyokong infrastuktur sokongan seperti paip untuk loji air yang dibina di atas Bukit Treh? Apakah ia memang satu tinggalan yang lebih lama? Seketika itu juga terbetik di hati, memang dahulu pernah berdiri sebuah istana raja di Bukit Treh, memang sekitar 1,200 tahun lalu.


Jadi apakah dakwaan pihak pro-Siam itu benar? Hati saya menjawab ia separuh benar. Sebelum itu biar disebut. Semasa meletakkan link untuk artikel Pictures in Muar 3 pada gambar yang menunjukkan tangga turun dari puncak Bukit Treh baru saya teringat... gambar-gambar dalam artikel yang dibuat lebih 3 tahun lalu ini sebenarnya diatur untuk kegunaan seorang sahabat agar dapat digabungkan dengan artikel terbaru saya untuk sebuah akhbar tabloid bernama Kencana.

Sayangnya artikel tersebut tidak dapat menemui pembaca apabila Kencana menghadapi masalah. Yang sempat keluar adalah artikel sebelumnya, boleh dilihat pada posting bertajuk Jalan-jalan Perak sebelah barat : Atlantis Gangganegara? dengan isi asal tanpa disunting dipersembahkan di Laksamana pulang ke Perak: Menyusuri cerita lama Muar. Namun saya ada meletakkan tulisan yang tidak sempat keluar di Kencana itu pada artikel Laksamana pulang ke Perak: Kota Portugis, Si Tanggang dan Raja Temenggung Muar . Bacalah, Insyaallah akan membuka minda bagaimana Muar juga menjadi satu titik untuk mengembangkan perjuangan Islam akhir zaman... :]


Selepas Bukit Treh saya pergi ke satu kawasan berhampiran kuala Sungai Muar.


Selain merehatkan minda melihat monyet-monyet hutan kayu bakau yang ada, saya mahu menjejakkan kaki untuk mendapatkan gerak rasa seterusnya. Lihat Monkeying around in Muar.


Saya pun pergi ke satu bahagian lain yang dekat dengan kuala Sungai Muar...


Perhatikan pada hujung bumbung bangunan, sebuah jeti sebenarnya. Lihat bentuk yang saya suka sebut sebagai lidah tergantung atau terjulur, bentuk yang secara rasmi disebut dalam pengajian senireka lama sebagai motif papan kepala cicak.

Dalam sejumlah artikel lama di blogspot ini juga blogspots saya yang lain sudah disebut bagaimana bentuk ukiran ini biasa terdapat pada rumah-rumah lama di Perak juga sebahagian Kedah dan Pulau Pinang. Tetapi ia bukan bentuk yang biasa dipakai di Muar juga di bahagian lain selatan Semenanjung. Jadi mengapakah jeti di kuala sungai Muar ini memakai bentuk ini? Walhal sepanjang membesar di Muar, sejak dilahirkan hinggalah umur 18 apabila betul-betul meninggalkan Muar (saya pernah bersekolah asrama penuh di Kluang sejak berumur 13 tapi belum boleh dikira meninggalkan Muar), sepanjang sering mengembara ke sana ke mari sehingga hampir masuk umur 40 tahun kini (kalau ikut kalender Islam, saya sudah pun berumur 40 sejak 27 Ramadhan tahun lepas) di jeti ini sahaja terdapat bentuk lidah tergantung. Kenapa? Adakah ia sekadar dibuat suka-suka atau menjadi tanda?


Adalah menjadi kepercayaan peribadi saya bahawa bentuk lidah tergantung ini berasal dari Aceh lama. Peliknya, setelah 4 kali ke Aceh baru saya terjumpa ia dipakai di sana, itupun pada satu tempat sahaja lalu saya pun menulis artikel Dah jumpa dah di Aceh! Bentuk "lidah terjulur" yang mengaitkannya dengan Perak.... Seminggu kemudian saya mendapatkan gerak baru dalam mengupas asal-usul bentuk ini. Dengan pertolongan seorang rakan yang lebih arif meninjau melalui alam ghaib saya pun dapat memutuskan sedikit sebanyak keadaan. Artikel Kepala naga Merong Mahawangsa dan legasi Saidina Salman Al-Farisi, satu petanda daripada era lebih 1,200 tahun lalu? pun ditulis awal Mac.


OK. Di sini saya ingin melepaskan sesuatu. Adapun di antara negeri-negeri yang ada di Malaysia, cuma Terengganu sahaja yang rumah tradisionalnya rata-rata memakai satu jenis ukiran yang dipanggil buah potong. Ukiran berbentuk batang dengan hujung tajam menunjuk ke atas ini diletak pada hujung atas bumbung iaitu pada bucu atas bentuk V terbalik bumbung. Dalam pengajian senireka saya difahamkan ia dipanggil kayu buton. Namun saya dapati rumah-rumah tradisional Muar juga rata-rata memiliki bentuk buah potong yang sama. Apakah kena-mengena Muar dengan Terengganu? Apakah ada cerita lama yang selama ini terpendam?


Berbalik pada bentuk lidah terjulur pula. Seperti di Muar, ia bukan bentuk yang boleh didapati di Terengganu. Namun seperti jeti di kuala Sungai Muar yang dibina dalam tempoh 10 tahun kebelakangan kalau tak salah ingatan, ada satu sahaja tempat di Terengganu di mana saya pernah terjumpa bentuk lidah terjulur. Peliknya ia ada pada banglo-banglo baru yang dibina berdekatan Masjid Kristal Wan Man. Lihat artikel Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Menyelesaikan 'bil tertunggak' bagi sekitar Kuala Terengganu... dan fikirkan kenapa...


OK, saya tidak boleh menulis panjang lagi. Selepas ini saya harus bersiap untuk memandu jauh ke utara. Walaupun informasi di bawah menyebut artikel ini ditulis jam 11:37 malam, itu cuma waktu penulisan dibuka. Ketika menulis ayat ini sudah jam 1:43 pagi.


Biar disebut semasa turun dari Bukit Treh saya mendapat jawaban di hati bahawa kewujudan sebuah empayar Islam besar di Nusantara yang diterajui para Sharif berketurunan Nabi itu benar... sangatlah benar. Namun ia tidaklah seperti disebut pihak yang taksub dengan teori Siam Islam. Kemungkinan besar mereka dan nenek-moyang mereka tahu akan kewujudan empayar tersebut. Tetapi disebabkan ingin sangat menaikkan kaum keluarga sendiri sebagai peneraju empayar konon mereka telah tersilap tafsir, atau sengaja membuat salah tafsir lalu segala rujukan yang ada jadi berbelit-belit untuk menyokong teori sendiri.


Di atas adalah gambar satelit sekitar bandar Muar dilihat dengan program Google Earth. Perhatikan mana kedudukan jeti juga Bukit Treh...


Ini adalah gambar yang sama setelah dibuat sedikit pengubah-suaian. Berpandukan pada cerita bahawa kapal yang disumpah menjadi batu (sehingga timbul Bukit Treh) itu sedang berlabuh di laut lepas berdekatan pantai, saya membuat anggaran beginilah rupa-bentuk geografi Muar ketika sumpah berlaku. Cuma saya tidak melebarkan Sungai Muar yang sepatutnya lebih lebar kerana tidak pasti bagaimanakah alirannya waktu itu. Lebih elok kita mengaku tak tahu daripada berlagak pandai, tahu ilmu yang 'mutlak', 'pewaris takhta mutlak' dan sebagainya... takut nanti jadi bahan ketawa dan kita pula tidak dipercayai orang lagi apabila ternyata apa yang kita yakin sangat itu menyimpang akhirnya.


Ini bukanlah bermakna kita tidak boleh mengemukakan pendapat mahupun teori. Tetapi lebih elok dan sopan jika kita menggunakan kata-kata yang merendah diri misalnya : "Pada pendapat saya beginilah rupa kerajaan lama itu..." atau "menurut wasiat keluarga kami orang inilah waris terbaik tetapi itu dari pihak kami... pihak lain mungkin tidak bersetuju". Jangan mudah menggunakan perkataan 'mutlak' kerana tiada yang 'mutlak' selain Allah Ta'ala. Janganlah kita memakai pakaian kebesaran Allah. Tiada yang layak merasa sombong kecuali Dia sahaja...


Hikayat Malim Dewa juga Hikayat Malim Deman ada menyebut tentang kedatangan Malim Dewa dari Aceh ke Muar di satu zaman di mana "Muar belum bernama Muar, Muar bernama Teluk Dalam." Jika gerak rasa saya betul bahawa di Bukit Treh itu pernah berdiri sebuah istana ketika Malim Deman anakanda kepada Malim Dewa itu wujud maka seharusnya muka-bumi Muar telah berubah dengan air surut sehingga Bukit Treh terletak sedikit jauh dari laut. Sekali lagi saya tidak berani mengubah bentuk Sungai Muar yang seharusnya lebih besar kerana tidak tahu bagaimanakah aliran sebenarnya zaman itu. Kalau tahu mungkin dapat menjawab kenapa ada peta-peta lama menunjukkan Sungai Muar terus sahaja bersambung dengan Sungai Pahang, bukan seperti kemudian di mana kapal yang masuk dari Pantai Barat boleh ke Pantai Timur melalui Sungai Muar tetapi harus masuk dahulu ke Sungai Jempol kemudian ditarik atas darat sejauh lebih kurang 300 meter sebelum masuk air balik di Sungai Serting untuk pergi ke Sungai Pahang, laluan yang dipanggil sebagai Jalan Penarikan. Lihat artikel Kembara terbaru ke Pantai Timur... Sesi dibuka dengan menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan! dan Sambungan cerita "Menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan!"... Menyusuri juga makna sebuah mimpi lebih 10 tahun lalu dan kehadiran hantu Siam? yang dibuat lebih 2 tahun lalu.


Untuk artikel akan datang Insyaallah akan saya cuba kupas siapakah Khalifah Sharif yang sebenar memerintah empayar Islam besar di Nusantara sambil memecah persoalan bagaimana pihak pro Siam boleh tersasar samada sengaja atau tidak ketika meneliti persoalan ini. Seharusnya nama Sharif itu menunjukkan si pemakainya itu berketurunan Nabi Muhammad SAW daripada nasab Saidina Hassan. Keturunannya harus bersambung lelaki atas lelaki (patrilineal) hingga ke cucu sulung Rasulullah SAW yang pernah menjadi khalifah ke-5 umat Islam seluruh dunia itu kerana tidak pantas dan tidak diterima dalam hukum nasab Ahlul Bait bahawa seorang lelaki yang ibunya berketurunan Nabi tapi ayahnya bukan terus memakai gelaran Sharif mahupun Sayyid dan itulah petunjuk awal yang paling terang agar kita tidak termasuk dalam golongan yang mengada-adakan cerita mahupun suka membuat dakwaan palsu.


Oh. Sebagai persediaan kepada apa yang akan dipersembahkan akan datang sila baca-baca artikel-artikel lalu ini...


KeSultanan Perlak: Bermulanya sebuah cerita

Akhirnya... Membuka misteri identiti Nakhoda Khalifah!

Petunjuk baru tentang kerajaan lama di Putrajaya?


Sekian! :]



Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Melihat warisan Tun Sri Lanang

Malam ini sudah masuk 17 Ramadhan tarikh yang disebut ramai sebagai Nuzul Quran iaitu hari pertama turunnya wahyu yang membentuk ayat-ayat Al-Quran. Namun saya ada terbaca ada pihak berpendapat ayat-ayat pertama Al-Quran iaitu dari Surah Al Alaq (Iqraq... bacalah...) diturunkan kepada Rasulullah SAW pada malam Lailatul Qadar iaitu pada salah satu malam ganjil 10 hari terakhir bulam Ramadhan. Ada yang menambah ini berlaku pada 27 Ramadhan. Apapun kita ikut sahajalah apa yang sudah diterima umum iaitu Nuzul Quran berlaku pada 17 Ramadhan. Dengan itu juga biar disambung penceritaan dari artikel Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Ke tasik 4,000 kaki tinggi dari paras laut dan satu bab mengenai penipuan degil Batak .

Pagi Sabtu 30 Januari 2010, selepas bermalam di sebuah hotel di kota Takengon kami pun bersedia untuk menyambung perjalanan.


Kalau ikutkan mahu sahaja kami duduk lama. Maklumlah kota di ketinggian 4,000 kaki dari paras laut ini cantik dan nyaman. Lihat artikel Morning views of Takengon and Danau Laut Tawar di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Namun tengahari Ahad kami harus kembali ke Malaysia dengan kapalterbang dari Banda Aceh. Perlulah mengorak langkah kerana dari Takengon untuk ke Banda Aceh pun memakan masa tidak kurang 6 jam.



Perjalanan turun terasa lebih santai. Lihat The journey down Takengon....


Kami sempat singgah di satu tempat yang kelihatan seperti kawasan burung unta atau makhluk sewaktu dengannya berkumpul.



Ia berdekatan sebuah warung makan kira-kira di tengah perjalanan turun dari pergunungan. Kelihatan Al-Rasyid didukung pemilik warung. Lihat A strange 'emu farm'....




Tidak lama kemudian sampailah kami ke bawah...





Singgah sebentar di satu kawasan dalam daerah Samalanga.






Di sinilah terdapat makam Tun Sri Lanang, Bendahara Johor yang menulis kitab "Sulalatus Salatin" atau "Sejarah Melayu". Lihat artikel Makam (Tomb of) Tun Sri Lanang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).







Ini pula istana Ampon Sheikh Samalanga, satu jawatan raja bawahan yang pernah dipegang Tun Sri Lanang. Lihat Istana (Palace of) Ampon Sheikh Samalanga.








Tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid lama yang diasaskan oleh beliau. Lihat Masjid (Mosque of ) Kota Blang, Samalanga.






Di satu sisi terdapat sebuah perigi yang airnya dikatakan memiliki khasiat oleh warga tempatan. Katanya ia sudah wujud lebih lama seiring dengan sebuah makam di hadapan. Lihat Makam (Tomb of) Sheikh Abdul Jalil, Kota Blang, Samalanga .






Setelah puas berlegar di Samalanga kami pun berkejar untuk kembali ke Banda Aceh.






Sebenarnya kami ada singgah lagi di Masjid Indrapuri, lebih kurang 25 km sebelum Banda Aceh. Kemudian kami cuma lalu di pinggir bandaraya sebelum berlepas ke satu tempat lain sekitar 40 km ke timur Banda Aceh... untuk menziarahi makam seorang srikandi wanita terkenal bernama Laksamana Kemalahayati. Cerita tentangnya akan dipanjangkan lagi nanti. Buat malam ini cukuplah bercerita tentang Aceh...