Salam malam Jumaat. Ada cerita berkenaan motosikal. Sudah lama tidak berkongsi apa-apa cerita melibatkan motosikal.
Pagi tadi 12 November 2024 ada majlis ilmu menarik tentang merenung kembali usaha Islamisasi ilmu pengetahuan (Islamization of knowledge), di kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak. Saya ada ikuti sedikit secara atas talian melalui Zoom. Tetapi tidak dapat memberikan tumpuan kerana harus melakukan beberapa perkara. Antaranya, menghidupkan kembali insurans dan cukai kenderaan bagi motosikal besar kesayangan yang sudah 2 tahun, mungkin lebih tidak ditunggang kerana ada masalah enjin.
Memandangkan tarikh cantik 12/12/24 itu yang mahu dikongsikan cerita. Kiranya menyambung gerak berkenaan daripada artikel sebelum ini iaitu
Mengingati tarikh-tarikh penting - Satu catatan sisipan. Tak sangka dan tak dirancang ada membuat persinggahan ke tempat menyambung pengajian peringkat pascasiswazah, dahulu Master sekarang PhD iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku. Apa yang berlaku adalah pagi itu saya keluar bersama isteri ke cawangan pejabat beliau di Rawang. Selepas beliau dapat menyelesaikan sejumlah kerja pergi agensi berkenaan bagi menghidupkan insurans dan cukai jalan.
Selesai itu pergi ke bengkel untuk mengambil motosikal kesayangan. Rancangan asal adalah beliau kembali ke tempat kerja dengan kereta saya balik ke rumah dengan motosikal. Tiba-tiba isteri mengajak berjalan-jalan dengan motosikal. Saya pun mengajak ke Sentul untuk melihat jika ada aksesori sesuai untuk ditambah. Nampak jejantas membawa ke jalan yang boleh menyambung ke ISTAC timbul rasa spontan untuk singgah.
Di situlah diambil gambar-gambar yang ada ini, selepas menunaikan solat Zohor berjemaah di masjidnya. Untuk pengetahuan motosikal telah diletakkan di bengkel sejak April 2023. Tetapi penghujung Oktober 2024 baru dimulakan usaha untuk membaik pulih. Ini kerana banyak modal diperlukan akibat banyak yang sudah rosak. Setelah beberapa lama baru terasa ada cukup untuk membuat bayaran awal supaya dapat dimulakan kerja membaik pulih.
Sebetulnya sebelum dihantar ke bengkel pun motosikal sudah beberapa bulan tak hidup. Walaupun dibeli bateri baru lalu suis dapat dihidupkan enjin tetap asyik mati. Kelihatan seperti minyak tidak dapat ditarik masuk ke enjin. Selain itu memang ada beberapa masalah tetapi tetap dapat menghidupkan motosikal. Ada le dibawa ke sana ke mari. Cuma beberapa tahun kebelakangan itu banyak di kawasan perumahan termasuk untuk menghantar anak pergi balik sekolah.
Walaupun perjalanan tersebut memakan jarak lebih 700 km ia tidak direkodkan sebagai jauh. Pada Ogos 2012 baru dibuat perjalanan yang terasa layak disebut begitu kerana melebihi 1,400 km. Lihat Compiled - Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama setelah 9 tahun. Bulan berikutnya buat lagi satu perjalanan melebih 1,400 km. Lihat Explorasi bermotosikal besar Pantai Timur bersama rakan - Complete. Tahun berikutnya baru berlaku perjalanan seperti dinyatakan dalam Misi penganjuran HIKMAH IV - Dari perjalanan bermotosikal besar hingga kembali berkereta 2,700 km. Empat tahun kemudian iaitu pada 2017 baru berlaku seperti diceritakan dalam Antara kenangan pengembaraan bermotosikal dan naik gunung dengan pusing separuh Semenanjung bersama ibu bapa.
Insyaallah tahun 2025 akan dibuat perjalanan jauh seterusnya. Kali ini bersama isteri. Beliau belum pernah ikut saya berjalan jauh dengan motosikal besar walaupun sudah 16 tahun kami bergelar suami isteri. Dahulu saya ada mengajak. Tetapi beliau disibukkan dengan kerja selain rasa tak larat. Beberapa bulan kebelakangan beliau yang beriya-iya mengajak. Mungkin kerana seorang kakaknya agak selalu berjalan begitu, semenjak suaminya membeli motosikal besar sekitar 4-5 tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan