Lagi cerita majlis ilmu. Kali ini lebih jauh sikit ke utara.
Semalan iaitu awal pagi Sabtu 3 Oktober 2015, saya memandu kereta seorang diri meredah jerebu yang kelihatan makin teruk berbanding sebulan lebih kebelakangan...
Selepas 2 jam sampailah ke tempat yang dituju, satu bangunan yang agak unik berhampirian pusat bandar raya Ipoh.
Dipanggil PORT, singkatan untuk People Of Remarkable Talent (mereka yang memiliki bakat yang patut diperhatikan) ia adalah tempat perkumpulan anak seni khas untuk warga Perak terutama anak muda.
Inilah kali pertama saya sampai ke tempat ini. Ada majlis yang dipanggil Wacana Pawang Ana merujuk kepada seorang tokoh penglipur lara yang saya baru tahu hidup abad ke-19. Sebelum ini saya setakat mengenali nama Pawang Anak sebagai pencerita Hikayat Malim Dewa juga Hikayat Malim Deman. Dua buah hikayat ini agak dekat dalam hati kerana menyebut Muar, daerah kelahiran saya sebagai pusat dalam cerita tetapi pada satu zaman yang lampau.
Saya datang untuk mendapatkan kepastian setakat mana cerita dalam hikayat memiliki kebenaran. Masuk ke dalam saya lihat sudah ramai mengikuti majlis. Menurut atur cara, ia harus bermula jam 10 pagi tapi saya sampai setengah jam lewat.
Kemudian baru saya sedar ramai yang datang itu adalah para pelajar daripada Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan di Kuala Lumpur. Program dianjurkan pihak mereka. Ketika saya sampai, dekan fakulti, Encik Zakaria Ariffin sedang memberikan ucapan perasmian.
Turut kelihatan sejumlah muka orang-orang lama. Saya cuma kenal dua orang sahaja namun boleh mengagak rata-rata generasi tua yang hadir adalah daripada Persatuan Karyawan Perak.
Selesai ucapan muncul dua orang ke hadapan memberikan cerita ringkas tentang Pawang Ana dengan irama musik tradisional seperti tiupan serunai silat.
Kertas atur cara menyebut ini sebagai persembahan oleh Encik Rashidi Abdul Kharis dan kumpulan Badan Budaya Perak.
Dia dan seorang yang saya tak tahu nama ini sambut menyambut cerita secara berlagu dalam loghat yang kedengaran seperti dialek Minang orang Negeri Sembilan. Kemudian baru saya tahu ia sebenarnya dialek orang Rawa, dipersembahkan begitu kerana Pawang Anak berdarah Rawa...
Jam 10.50 sesi wacana pun dimulakan selepas para pembentang mengambil tempat. Kelihatan membuka sesi, moderator Dato' Rahman Shaari. Menurut maklumat yang ditemui di Internet sebentar tadi, beliau adalah seorang sasterawan yang berasal dari Perlis.
Rahman katanya pernah menerimah anugerah sastera Sea Write Award daripada kerajaan Thailand 2007 dan Anugerah Penyair GAPENA (2013). Mantan profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya. ini kini lebih aktif mengulas tentang senario politk negara. Beliau adalah kolumnis di akhbar Sinar Harian.
Pembentang pertama adalah Sasterawan Negara, Dato' Anwar Ridhwan. Nama ini juga saya baru kenal semalam, Rupa-rupanya beliau adalah orang ke-10 menerimah anugerah tahunan tersebut sejak ia diperkenalkan tahun 1991. Selama ini saya cuma biasa dengan nama-nama seperti Shanon Ahmad, Usman Awang, A. Samad Said, Abdullah Hussain dan Muhammad Haji Salleh sebagai para Sasterawan Negara. Senarai yang diperolehi dari Internet...
1981 : (Dr) Kamaludin Muhammad atau Keris Mas
1982 : Prof. Emeritus Dato' Dr. Shahnon Ahmad
1983 : Datuk (Dr.) Usman Awang
1985 : Datuk (Dr.) A. Samad Said
1987 : (Dr.) Muhammad Dahlan Abdul Biang atau Arena Wati
1991 : Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh
1993 : Datuk Noordin Hassan
1996 : Datuk Abdullah Hussain
2003 : Prof. Madya Dr. Syed Othman Syed Omar atau S. Othman Kelantan
2009 : Dato' Dr. Anwar Ridhwan
2011 : Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala
2013 : Datuk Baha Zain
Anwar membawa tajuk yang agak berat. Nampaknya beliau cuba membedah sebab-musabab dalam jiwa yang membentuk arah tuju hikayat yang diceritakan Pawang Ana.
Ada beberapa hikayat dinisbahkan kepada Pawang Ana. Anwar merujuk khusus kepada dua, Cerita (Hikayat) Malim Dewa dan Cerita Anggun Cik Tunggal. Saya cuma biasa dengan Malim Dewa. Hikayat Anggun Cik Tunggal mungkin pernah saya baca lama dahulu tetapi kurang ambil peduli.
Oh, Sudah disebut tadi Hikayat Malim Dewa menarik perhatian saya kerana ia menyebut nama Muar, tempat kelahiran saya sebagai pusat penceritaan. Punyalah tertarik terhadapnya sehingga pernah saya membuat kajian agak mendalam mencari perkaitan dengan sejarah sebenar lalu membentangkan haslinya pada acara ke-11 HIKMAH di Pagoh, Muar. Lihat artikel-artikel berikut yang pernah dipersembahkan dalam
blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)...
2.
Malim Dewa dan Dinasti al-Kamil - Kaitan Aceh-Muar dan keistimewaan Bukit Treh
3.
Malim Dewa dan Dinasti al-Kamil - Balai Gambang dan aliran Sungai Muar
Untuk mengupas keadaan jiwa yang dipercayai membentuk isi dan misi dalam cerita Malim Dewa dan Anggun Cik Tunggal, Anwar memperkenalkan dahulu apa yang ditakrifkan sebagai penjajahan Ia merupakan penguasaan satu negara ke atas negara yang lain, tidak semestinya melalui ketenteraan, boleh jadi melalui ekonomu. Motif yang menyebabkan penjajahan pula boleh jadi akibat sifat perkauman dan keinginan untuk mengembangkan kuasa ke peringkat antarabangsa.
Kita sudah sedia tahu bagaimana Kota Melaka ditakluki oleh Portugis tahun 1511 akibat keinginan Barat untuk mengembangkan kuasa. Di samping itu ada faktor ekonomi iaitu mahu menguasai jaringan perdagangan juga faktor agama (Kritian lawan Islam) sebagai pendorong. Di sini Anwar menunjukkan gambaran sebuah kapal Portugis yang datang ke Melaka. Menurut beliau Portugis datang dengan kapal-kapal besar dan kukuh yang tidak mampu ditandingi orang Melayu (tidak benar menurut sesetengah orang. Hal ini akan dipersoalkan kemudian)...
Seterusnya Anwar membawa masuk konsep pascakolonial iaitu corak pemikiran yang terbit akibat penjajahan setelah sekian lama.
Memberikan beberapa contoh penulisan yang terbit di luar alam Melayu tetapi oleh mereka yang membesar dalam negara yang juga pernah dijajah, beliau melihat ada corak pemikiran yang melambangkan diri yang mahu keluar daripada kepompong yang dibentuk Barat.
Seterusnya Anwar menerangkan apa itu Oksidentalisme, perkataan utama yang membentuk tajuk pembentangan beliau iaitu "Oksidentalisme : Wacana Balas Terhadap Superioriti Barat dalam Dua Karya Pawang Ana". Berasal daripada perkataan Inggeris Occidentalism ia bermakna persepsi orang lain terhadap dunia Barat.
Sebelum meneruskan cerita saya rasa harus berterus terang. Saya menghadapi sedikit masalah untuk mempersembahkan artikel ini sebaik mungkin. Satu, saya dapati ada gambar-gambar yang apabila dibuka dalam Windows baru masih mengekalkan saiz seperti paparan kecil dalam artikel. Sepatutnya apabila dibuat begitu, gambar yang terhasil adalah 2 x 2 (2 x panjang, 2 x lebar) iaitu saiz gambar yang dimuatnaik (upload), Dengan itu tulisan yang kelihatn kecil boleh dibaca dengan senang dalam paparan baru. Tapi bila saiznya sama sahaja seperti dalam artikel setakat itulah orang boleh baca. Mintak maaflah jika ini menganggu. Saya pun tak tahu nak buat bagaimana sebab inilah yang saya dapat daripada program blogger hari ini. Sebelum ini tak pernah kena...
Kedua, saya sebenarnya sedikit rimas dengan pembentangan ini. Walaupun faham apa yang ingin diutarakan saya kurang gemar dengan terma-terma dan kata-kata yang seperti hendak menunjukkan taraf keintelektualan tinggi. Walaupun saya lepasan ijazah matematik tulen daripada Universiti College of London, salah sebuah universiti paling terkemuka di dunia, saya telah diajar untuk menulis dalam bahasa mudah semasa menjadi wartawan di akhbar The New Straits Times. Bila dah tak jumpa perkataan mudah untuk meringkaskan suatu perkara, baru boleh gunakan perkataan yang berat-berat. Secara rata tulisan-tulisan saya boleh dikatakan down to earth walaupun sesekali apa yang diperbincangkan itu mungkin berada dalam dimensi tinggi.
OK. Sekarang baru masuk tentang sosok tubuh orang yang dikenali sebagai Pawang Ana. Tak perlulah mengulang apa yang terpapar dalam gambar walau tulisannya kecil ya (sebab itu saya nyatakan dahulu bagaimana diri rasa terganggu apabila paparan tidak muncul besar dalam Windows baru). Cukup dinyatakan Pawang Ana adalah orang yang bertanggungjawab menemukan tubuh residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch yang dibunuh di Pasir Salak tahun 1875 kemudian tenggelam ke dalam Sungai Perak.
Oh. OK. Saya dah jumpa penyelesaian tentang paparan kecil dan tulisan yang mungkin susah hendak dibaca. Buka sahaja dalam Windows baru. Kemudian gunakan Ctrl + untuk membesarkan paparan, Ctrl - untuk mengecilkan kembali. Harus dah boleh baca kecuali anda buta huruf, buta betul atau rabun teruk... :]
Nampak dah kan secara ringkas siapakah Pawang Ana dan apa cerita-cerita yang terbit daripada beliau? Secara rata Anwar menyatakan cerita-cerita penglipur lara ini direkodkan oleh pegawai British pada tahun 1886. Sekarang baru saya tambah apa yang disebut dalam pembentanga tapi tak kelihatan dalam slaid - Bahawa Pawang Ana cuma bercerita secara lisan, yang menulis atau merekodkan adalah seorang kerabat diraja Perak bernama Raja Haji Yahya bin Raja Muhammad Ali, penghulu kawasan Chenderiang (dekat dengan Tapah, tak jauh daripada air terjun tinggi Lata Kinjang yang boleh kelihatan daripada Lebuh Raya PLUS). Pegawai British yang datang sama cuma mendengar tanpa mencatat...
Lalu Anwar menzahirkan persoalan - Bagaimanakah Raja Haji Yahaya dapat merekodkan penceritaan gaya penglipur lara Pawang Ana yang kalau mengikut panjangnya teks harus memakan masa sehingga berhari-hari itu? Bagaimana dia dapat mengikut segala macam lenggok bahasa sastera hikayat yang diceritakan dengan baik, kelihatannya tidak ada apa-apa yang tertinggal. Takkan kena mintak Pawang Ana berhenti apabila tak jelas lalu diulang sampai dapat? Apakah pegawai British telah membawa alat perakam lama yang sudah bertahun-tahun wujud ketika itu?
Sekarang baru dikupas isi penulisan ataupun hikayat. Apa yang mahu ditekankan di sini adalah wujudnya watak jahat bernama "Maharaja Pertukal". Nampaknya ia merujuk pada pemerintah Portugal, negara asal orang Portugis iaitu di penghujung barat benua Eropah...
Turut disebut dalam hikayat/cerita adalah watak bernama Tuan Puteri Cahaya Laut. Menurut Anwar, kalau diterjemahkan ke dalam bahasa Portugis ia akan berbunyi Princesa do Mar. Apakah ini merujuk pada Princess Maria Manuela?
Dalam cerita Anggun Cik Tunggal pun Portugis muncul. Saya tak pasti apakah dalam hikayat memang disebut Portugis ke Pertukal... atau apa-apa perkataan lain yang ada bunyi seperti Portugis/Portugal.
Apapuan, Anwar mahu menyatakan hikayat itu juga menunjukkan perlawanan terhadap Portugis...
Hmm. Saya lupa jika beliau ada menyebut begini. Yang pasti saya pernah berjumpa nama Raja Berdurai Putih dalam hikayat lain dan ini harus meujuk pada perkataan Wizurai, sebutan orang Melayu untuk perkataan Inggeris Viceroy yang bermaksud gabernur atau pemerintah satu kawasan yang mewakili pemerintahan lebih tinggi (misalnya gabernor Portugis di Melaka sebagai wakil raja di Portugal).
Mengulangi kesimpulan yang pernah dibuat oleh Dr. Jelani Haron (dikenali sebagai penyelenggara kitab Bustan al-Salatin terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2009 dengan versi Inggeris terbitan Universiti Sains Malaysia 2008), cerita-cerita kehebatan hero juga heroin dalam Hikayat Malim Dewa dan Hikaya Anggun Cik Tunggal pun ditafsirkan sebagai sastera protes orang Melayu terhadap penjajahan Barat.
Sayangnya, walaupun Malaysia sudah lama merdeka, masih ada yang jiwanya terjajah. Lalu Anwar memberikan beberapa contoh, paling menjolok fikiran adalah Merdeka Award Ceremony yang katanya diselenggarakan sepenuhnya di dalam Bahasa Inggeris.
Lalu beliau mengingatkan tentang Hang Tuah. Kuasailah sebanyak bahasa yang mungkin. Tapi jangan sesekali hilang jiwa bahasa asal.
2 ulasan:
Adakah Pawang Ana berketurunan diraja/ hidup dalam lingkungan istana/ cerita sampai kepadanya secara turun temurun memandangkan beliau berasal dari Sumatera Barat? Adakah Pawang Ana bercerita berdasarkan ilham memandangkan dia adalah seorang dukun, pendekar/ hulu balang? Bermaksud Pawang Ana juga bukan sebarang org.
Adakah Pawang Ana berketurunan diraja/ hidup dalam lingkungan istana/ cerita sampai kepadanya secara turun temurun memandangkan beliau berasal dari Sumatera Barat? Adakah Pawang Ana bercerita berdasarkan ilham memandangkan dia adalah seorang dukun, pendekar/ hulu balang? Bermaksud Pawang Ana juga bukan sebarang org.
Catat Ulasan