Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Saturday, December 15, 2012

Arka - Satu tribute untuk pejuang bangsa, Raja Haji Fi Sabilillah

OK. Sebelum jiwa dan tumpuan saya diisi oleh satu lagi acara berkaitan kedaulatan Melayu dan Islam pagi karang baik dilepaskan yang ini. Kiranya sempena 1 Safar 1434 Hijrah...



Dalam blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) terutama pada artikel Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Dari pembukaan ke makan tengah hari ada disebut bagaimana syarikat penerbitan filem dan drama Pesona Pictures yang diterajui pengarah terkenal Datin Paduka Shuhaimi Baba menghantar satu krew untuk mengikuti acara yang dilaksanakan HIKMAH di Melaka 25 Nov. Ini berlaku setelah beliau melihat dan mendengar bacaan wasiat Raja Haji seperti dikongsikan pada artikel Video klip sekitar HIKMAH 4 Nov. Tadi saya  memenuhi jemputan pihak beliau agar membawa isteri dan anak-anak ke majlis doa selamat dan tahlil di pejabat mereka di Taman Tun Dr. Ismail. Kami sampai agak lewat tapi sempatlah mendengar tazkirah yang diberikan seorang ustaz sebelum bersolat jemaah Isyaq.


Selepas itu kami pun menikmati juadah nasi briyani yang enak. Setelah beberapa waktu baru saya tergerak untuk mengambil gambar.


Kalau ikutkan saya tidak terfikir pun untuk bercerita tentang majlis ini. Terlalu banyak perkara sedang bermain di kepala... tentang majlis permasyhuran Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur yang akan dihadiri pagi Ahad ini, tentang penulisan berkenaan HIKMAH 25 Nov yang belum disiapkan lagi, penulisan yang akan digabungkan dengan hasil kerja sejumlah pembentang lain untuk membentuk sebuah buku baru yang bakal diterbitkan kerajaan negeri Melaka dengan sokongan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP). Tentang acara terbaru HIKMAH yang bakal diadakan di Lumut, Perak 27 Januari 2013 bersamaan 16 Rabiulawal, musim sambutan Maulidur Rasul, insyaallah dihadiri oleh baginda Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Namun saya diminta untuk bercerita sedikit tentang majlis ini. Itu yang baru saya mengambil gambar...


Adapun majlis tahlil dan doa selamat ini diadakan sempena projek terbaru Shuhaimi iaitu sebuah drama bersiri tentang pejuang Melayu terkenal berketurunan Bugis, Raja Haji Fi Sabilillah. Turut dijemput adalah sahabat saya dari Pulau Bentan, kekanda Raja Syukri yang merupakan keturunan langsung belah lelaki pejuang ini. Beliaulah orang yang membaca wasiat pada HIKMAH 4 Nov sehingga menarik perhatian Shuhaimi dan Pesona Pictures untuk menghubungi saya. Namun Raja Syukri yang sudah agak lama berlegar-legar di Semenanjung untuk menghadiri 3 acara melibatkan HIKMAH sambil menziarahi saudara mara di merata pelusuk negara sudah kembali ke tanah airnya. Semasa saya menghubunginya malam Jumaat beliau berada di Pulau Penyengat lalu memberitahu akan menziarahi makam Raja Haji pada siangnya seraya mendoakan kejayaan projek Shuhaimi.


Saya pun membuat temu duga ringkas dengan Shuhaimi. Saya diberitahu ini adalah drama bersiri lapan episod untuk Astro sepanjang sejam setiap episod. Penggambaran akan dimulakan 19 Disember dengan seorang pelakon yang baru saya tahu bernama Syed Nahar (saya pernah melihat mukanya di kaca TV tetapi tidak tahu namanya) bakal memegang watak Raja Haji. Cerita akan bermula pada zaman Daeng Kemboja ibni Daeng Parani menjadi Yamtuan Muda Riau ketiga (moyang saya sebelah ibu ini) dan Raja Haji menjadi pembantu yang dikenali sebagai Kelana Jaya Putra. 

Walaupun semasa itu Raja Haji diketahui menjelajah ke serata ceruk rantau Alam Melayu melakukan pelbagai pekerjaan dan terlibat dengan beberapa peperangan, kata Shuhaimi mereka mahu bermula dengan cerita Raja Haji pergi ke Melaka menuntut beberapa hal tentang pembahagian pendapatan daripada gabernor Melaka yang berbangsa Belanda. Dari situ akan terbit beberapa hal lagi yang membawa kepada perselisihan dengan penjajah Barat itu. Saya pada mulanya menduga siri akan ditamatkan dengan kisah Raja Haji mangkat syahid dibedil di Teluk Ketapang 1784, selepas lama dapat mengepung Kota Melaka dan hampir mengalahkan terus kuasa kuffar itu. Namun menurut Shuhaimi cerita akan diteruskan dengan kisah nasib kerabat diraja Bugis selepas kemangkatan Raja Haji di mana Sultan Mahmud III (bukan Sultan Mahmud yang mangkat dijulang tahun 1699 ya, sultan ini adalah daripada keturunan bendahara dan memerintah 1761-1811) dipaksa oleh Belanda agar menghalau orang Bugis keluar daripada Bentan.

Tumpuan diberikan kepada puteri Raja Haji, Engku Hamidah yang bakal dikahwini Sultan Mahmud  sehingga Pulau Penyengat, pulau kecil yang terletak berhadapan kota Tanjung Pinang di Bentan diserahkan kepada kerabat Raja Haji sebagai satu bentuk maskahwin. Kata Shuhaimi, Engku Hamidah dan ahli keluarganya disorokkan di Selangor yang sedang diperintah sepupu Raja Haji iaitu Sultan Ibrahim ibni Sultan Salehuddin ibni Daeng Chelak. Seingat saya pula Engku Hamidah dan keluarga dibawa berlindung ke Kalimantan oleh Raja Ali ibni Daeng Kemboja yang bakal menjadi Yamtuan Muda Riau kelima. Tak mengapa. Mungkin mereka disorok di beberapa tempat sebelum Raja Ali (rasa nak sebut... moyang saya sebelah ibu juga) dapat mengemblengkan kembali kekuatan orang Bugis lalu mendapat kembali kedudukan di Bentan setelah diperkecilkan buat beberapa lama akibat kemangkatan Raja Haji. 

Oh. Tentang pelakon Syed Nahar yang bakal membawa watak Raja Haji ibni Daeng Chelak. Saya ada bertanya beliau berasal dari marga mana? Jawab beliau bapanya dari keluarga Al-Bukhari yang merupakan keturunan Saidina Hassan, ibunya daripada keluarga Jamalulail. Mendengarkan ini saya merasakan agak tepat beliau diamanahkan membawa watak Raja Haji kerana saya percaya raja-raja Bugis juga adalah darah Ahlul Bait Rasulullah SAW daripada nasab Al-Hasani selain dikatakan keturunan Ratu Balqis dan Nabi Sulaiman. Rekod sejarah pula menyatakan anak beranak Lima Daeng Bersaudara (Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi) ramai berkahwin silang dengan keluarga Sayyid dari marga Al-Qudsi yang diketahui memang berdarah Saidina Hassan.

Tentang tajuk "Arka" pada artikel ini pula saya diberitahu ia adalah tajuk drama bersiri. Tetapi saya terlupa hendak memastikan dengan Shuhaimi, saya cuma diberitahu oleh kakitangan Pesona Pictures. Arka adalah perkataan yang agak pelik kedengaran bagi saya. Kata seorang kakitangan ia bermaksud cahaya. Saya menyemak Kamus Dewan lalu mendapati ia bermakna "cahaya yang berkilau yang terhasil di udara akibat ternyahnya cas eletrik di antara dua elektrod atau litar elektrik bertekanan tinggi yang terputus". 

Semasa mahu meninggalkan majlis saya sempat menegur pelakon Rusdi Ramli tentang watak apakah yang dimainkannya. Beliau menjawab ringkas : "Sultan". Saya kira sultan yang dimaksudkan haruslah Sultan Mahmud III yang ditabalkan oleh Daeng Kemboja, sultan yang bakal mengahwini Engku Hamidah ibni Raja Haji. Boleh rujuk artikel lama saya Kembara Johor-Riau - Dari Tanjung Pinang ke Pulau Penyengat.


p/s : Saya ada bertanya sedikit kepada Shuhaimi tentang hal filem Tanda Putera yang masih tidak dapat ditayangkan di pawagam, dipercayai kerana isinya tentang peristiwa 13 Mei 1969 boleh menyinggung sesetengah pihak. Tapi tak payahlah diceritakan ya kerana saya dah kata off the record. :]


2 comments:

Along Usop said...

BILA TARIKH ARKA DITAYANGKAN?

Anonymous said...

assalamualaikum.. sya merupakan keturunan kukuh drpd raja haji.. sy berminat dgn ceritq awk n awk juga sebahagian dr keluarga ini..
saya nk menjemput awk ke rumah sy di melaka..
harap awk boleh hubungi sya 0106681014 atau emailkan butiran awk di nurulaswani93@gmail.com..terima kasih