Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Saturday, February 04, 2012

Rekod Dinasti Ming tidak boleh menafikan kewujudan Hang Tuah

Assalamualaikum. Bersambung cerita daripada La Galigo dan makna Daeng buat orang Bugis. Dari segi tema pula ini boleh dianggap kesinambungan daripada artikel Hang Tuah dan percubaan memperkecilkan sejarah orang Melayu yang dibuat 16 hari lalu. Mari... :]



Selepas selesai bercakap hal Bugis saya berjalan-jalan di tapak ekspo buku 1 Malaysia yang terus berlangsung sehingga hari Isnin di PWTC. Sampai di sebuah gerai terlihat buku di atas ini. Allah! Ini sumber baik dan agak komprehensif tentang Dinasti Ming yang dicatatkan memerintah Cina 1368-1644 Masihi. Dinasti ini terbit sebagai reaksi daripada usaha menghalau penjajah kerana sebelum itu negara mereka diperintah Dinasti Yuan (1271-1368) yang diasaskan Kublai Khan, cucu Ghengiz Khan dari padang rumput Mongolia yang berjaya menakluki Cina.

Adapun saya tertarik melihat buku ini kerana difahamkan salah satu alasan seorang profesor kangkung menafikan kewujudan pahlawan besar Melayu, Hang Tuah ialah kerana namanya tidak disebut di dalam rekod-rekod Dinasti Ming. Begitu juga halnya Puteri Hang Li Po yang dikatakan berkahwin dengan Sultan Mansur Shah Melaka. Diakui cerita Hang Tuah ada yang melanggar logik akal lantaran terlalu tinggi ilmu persilatannya zahir dan batin sehingga kelihatan seperti dongeng. Kemudian ada percanggahan fakta. Ada yang diceritakan dalam kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Bendahara Johor, Tun Sri Lanang tidak sama dengan apa yang terdapat di dalam Hikayat Hang Tuah yang penulisnya tidak diketahui siapa.

Kitab Sejarah Melayu sendiri ada perbezaan cerita antara versi. Saya tidak ingat apa yang dikatakan versi Shellabear yang pernah menjadi rujukan utama saya ketika mula menulis siri novel "Berpetualang ke Aceh" 8 tahun yang lepas, versi yang telah dirumikan lalu menjadi teks sastera tingkatan 6 tahun 70-80an kalau tak salah ingatan. Sejak setahun dua kebelakangan pula ramai membincangkan versi Raffles Malay 18 yang lebih teliti peristiwa dan catatan tempoh pemerintahan raja-rajanya, kini lebih dikenali sebagai versi Raja Bongsu. Versi yang telah dirumikan lalu diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2009 inilah yang digunakan untuk membuat kira-kira baru bahawa kerajaan Melayu Melaka itu didirikan tahun 1262 Masihi bukan 1400an.

Namun versi ini tidak menyebut langsung nama Hang Tuah sebagai antara ahli rombongan Melaka yang pergi ke negeri Cina kemudian membawa balik seorang anak Raja Cina untuk dikahwinkan dengan Sultan Mansur. Nama yang disebut mengetuai rombongan lalu mengadakan muslihat agar dapat melihat wajah Raja Cina (dalam buku tidak disebut sebagai maharaja yang wajahnya dilarang daripada ditatap orang ramai) adalah Tun Perpatih Putih, bukannya Hang Tuah! Nama Puteri Hang Li Po juga tiada. Sebaliknya muncul perdana menteri Cina bernama Li Po yang menjadi perantaraan antara rombongan Melaka dengan Raja Cina dan puteri raja yang dibawa ke Melaka pula dipanggil Puteri Hang Liu.

Adapun cerita-cerita tentang kehebatan Hang Tuah bersilat sehingga melangkaui logik akal bukanlah alasan untuk menolak kewujudannya. Bagi mereka yang sudah bergelumang jauh dengan ilmu persilatan batin dan perubatan apalagi telah melangkah ke alam misteri Tasawuf, tiada apa yang mustahil tentang cerita-cerita kehebatan sebegitu. Bagi yang tetap tidak boleh menerima kita boleh memberikan ruang dengan mengatakan cerita memang 'ditokok-tambah' untuk menambah perisa. Tetapi janganlah sehingga menafikan kewujudan seseorang. Alangkan cerita-cerita dongeng melampau di Barat malah di Cina pun dipercayai banyak dibuat berdasarkan watak yang benar-benar pernah hidup.

Kembali pada hal profesor kangkung menyebut Hang Tuah tidak wujud dalam rekod Dinasti Ming. Rekod dinasti itu disebut sebagai rujukan silang kerana tempoh kewujudan kerajaan Melayu Melaka yang masih dikira ramai sebagai 1400an-1511 (tahun Kota Melaka tumbang ke tangan Portugis) boleh dipadankan dengan tempoh kewujudan Dinasti Ming 1368-1644. Kalau diambil Melaka mula wujud 1262 mungkin agak rumit sedikit kerana rujukan silang harus dibuat dengan rekod Dinasti Song (960-1279) dan Dinasti Yuan (1279-1368) sekali. Salah satu sebab nama Hang Tuah tidak wujud dalam rekod Dinasti Ming adalah mungkin kerana beliau tidak pergi ke Cina ketika terjadi peristiwa puteri raja Cina dibawa balik ke Melaka... yang pergi adalah Tun Perpatih Putih yang saya tidak tahu siapa.

Mungkin ada yang menyoal... kalau ia pun Hang Tuah tak pergi takkanlah namanya tidak pernah disebut langsung dalam rekod Dinasti Ming yang berdiri selama hampir 300 tahun ya tak? Kalau benar Melaka kerajaan besar sehingga menerima penghormatan Cina dan Hang Tuah pahlawan utamanya, mesti wujud dalam rekod sana sekurang-kurangnya dalam bentuk gelaran, atau sebutan nama lain tapi tetap membayangkan orang yang sama. Gerak hati saya menyebut masalah sebenar adalah rekod Dinasti tidak lengkap. Atas sebab-sebab tertentu ada cerita yang dihilangkan, ada yang diputar-belit.

Alangkah gembiranya saya apabila terlihat buku tentang Dinasti Ming yang kelihatan agak komprehensif petang Jumaat. Namun saya tiada wang untuk membelinya. Tak pula saya tanya harga tapi agak-agaklah. Terbitan Universiti Malaya, kulit keras diliputi bahan seperti plastik, kertas cantik, dua buah buku sebenarnya... jilid 1 dan 2 masing-masing setebal 3 inci gitu. Tentu mahal bukan? Apa yang saya boleh buat adalah cuba menelaah buku seketika itu juga. Tetapi bagaimana mahu mencari bahagian yang boleh menyokong telahan saya bahawa rekod Dinasti Ming memang tidak lengkap. Bagaimana mahu dicari dalam masa terhad sedangkan buku begitu tebal dan banyak maklumat?



Dalam senyap saya memohon pertolongan Ilahi lalu mula membelek-belek jilid 1 buku. Dengan kuasa Allah tak sampai setengah minit terjumpa bahagian berkaitan. Saya pun mengambil gambar. Tapi baru tadi tersedar nombor mukasurat tidak kelihatan. Kalau tak salah ingatan ini adalah mukasurat 46. Buka dalam windows baru. Baca dan teliti sendiri.




Sekarang biar saya pecahkan kepada 3 bahagian dan terjemahkan sehampir asal yang boleh dengan penekanan diberikan pada ayat-ayat yang digariskan...



1. Keadaan penyelidikan masa kini
Sehingga agak baru-baru ini Dinasti Ming (1368-1644) adalah satu daripada zaman yang paling tidak dipedulikan dalam pengajian sejarah Cina. Terdapat pelbagai sebab ketidakpedulian ini. Sarjana Cina di bawah Dinasti Qing (1644-1911) sangat keberatan untuk berurusan dengan sejarah zaman sebelumnya. Para pemerintah Manchu, kerana asing di China, adalah begitu sensitif terhadap para sarjana yang simpati terhadap pemberontakan regim telah jatuh yang melawan orang Manchu gasar dan oleh itu berlawanan dengan, atau sekurang-kurangnya kritikal terhadap dinasti yang memerintah. Penyiasatan yang terkenal jahat oleh pemerintah Qian-long (1736-1795) adalah secara utamanya ditujukan dengan ganas terhadap kumpulan sarjana ini. Oleh itu,kebanyakan sejarawan abad ke lapan belas dan sembilan belas, memilih untuk berada di pihak selamat, mengalih tumpuan pada zaman-zaman lebih awal dan mengelakkan Dinasti Ming yang problematik. Zaman pemerintahan Ming beransur-ansur dianggap sebagai kabur dan zaman kemelesetan yang tidak menimbulkan minat yang daripada mana tidak ada nilai boleh didapati. Sikap ini masih berleluasa di kalangan sarjana Cina selepas revolusi 1911, ketika mana tiada kesan buruk politik harus ditakuti oleh mereka yang mengkritik rejim Manchu, dan ini sangatlah mempengaruhi sarjana Jepun dan Barat.



Apa yang disebut di sini adalah sudah berapa lama pengkajian sejarah Dinasti Ming tidak dipedulikan. Ini disebabkan selepas menjatuhkan Ming, Dinasti Qing yang didirikan oleh orang-orang Manchu yang berasal dari luar Cina tidak suka sarjana menunjukkan simpati terhadap dinasti musuhnya dan saki-baki perjuangan mereka. Keadaan begitu teruk sehingga seorang pemerintah Qing yang bernama Qian-long menjalankan siasatan secara ganas untuk menakut-nakutkan kumpulan sarjana yang mungkin bersimpati dengan Ming. Akibatnya sejarawan abad ke 18 dan 19 mengelakkan bercerita tentang Dinasti Ming untuk selamat malah begitulah keadaan selepas revolusi 1911 di mana Dinasti Qing dan kerajaan orang Manchu akhirnya dijatuhkan.

Logiknya selepas itu sarjana dan sejarawan tidak patut lagi takut untuk berbincang tentang Dinasti Ming tetapi realitinya tidak begitu. Realitinya, selepas Dinasti Qing dijatuhkan pergerakan demokrasi republikan pimpinan Sut Yat Sen, tidak lama kemudian naik pemerintahan komunis yang lebih membencikan pemerintahan beraja. Bayangkan sejak Dinasti Ming jatuh 1644 hingga abad ke 20, selama 300 tahun atau lebih dinasti ini dilupakan dan dianggap tiada nilai, tidak pernah mencapai apa-apa yang mahu dibanggakan. Dalam keadaan begitu agak-agaklah sendiri betapa banyak kisah yang sudah hilang...

Apakah tidak mungkin nama Hang Tuah, cerita tentang betapa rapatnya Melaka dengan Cina, kisah Puteri Hang Li Po yang disebut kitab Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu sebagai Puteri Hang Liu termasuk fakta yang hilang? Sikap mengabaikan sejarah Dinasti Ming ini kemudian ditiru oleh sejarawan Jepun dan Barat. Maknanya apa? Maknanya sejarawan Jepun dan Barat turut mengabaikan sejarah sebenar Ming. Mereka mengambil sumber daripada orang yang menolak sejarah Ming. Maka mana mungkin mereka ada rekod yang bebas daripada pengaruh pihak berkepentingan?





Zaman Ming, kelihatan dari segala segi, tidak menghasilkan pencapaian yang nyata seperti tamadun Cina pada zaman-zaman lebih awal, dan maka itu ia kelihatan tidak menawarkan tarikan apa-apa untuk kajian. Kuasa politik Ming tidak boleh dibandingkan dengan apa yang dimiliki Han (206 Sebelum Masihi - 220 Selepas Masihi) and Dinasti-dinasti Tang (618-907) dan wilayah empayar Ming jauh lebih kecil daripada yang dimiliki Yuan (1279-1368) and Dinasti-dinasti Qing. Dari segi pencapaian kebudayaan pula, Ming tidak boleh berbangga dengan hasil pemikiran falsafah yang asli sepertimana zaman sebelum Tang, atau pencapaian dalam bidang puisi dan seni seperti Tang dan Song (960-1129), atau dalam bidang ilmu bahasa seperti Qing.



Nah. Zaman Ming diperkecilkan begitu sekali sehingga ia betul-betul kelihatan tidak memiliki apa-apa. Walhal kita sekarang tahu, pada zaman Minglah angkatan laut terbesar Cina lama wujud... dipimpin Laksamana Cheng Ho yang kini sudah diketahui dan diakui ISLAM! Malah dipercayai beliau sebenarnya adalah seorang Ahlul Bait keturunan Nabi Muhammad SAW yang keluarganya masuk ke Cina dari arah Bukhara.

Armada Cheng Ho dikatakan terdiri daripada 300 kapal pelbagai saiz yang mana kapal-kapal besarnya beberapa kali lebih besar daripada kapal terbesar Barat. Angkatannya terdiri daripada 30,000 orang dan mereka melakukan 7 misi besar pelayaran termasuk untuk menunaikan haji di Mekah. Angkatan ini turun singgah di banyak pusat pemerintahan Islam terutama Melaka dan kerajaan Samudera Pasai tanpa berusaha pun untuk menundukkan mana-mana kerajaan. Ini tidak lain adalah misi dakwah dan silaturrahim antara Muslim yang menunjukkan besar kemungkinan DINASTI MING ITU ADALAH KERAJAAN ISLAM!

Apakah ini yang cuba dipadam dari sejarah sehingga Dinasti Ming dipandang begitu hina dan sejarahnya dikaburkan selama 300 tahun atau lebih? Bukankah apabila Dinasti Qing berjaya menjatuhkan Dinasti Ming, mereka terus mengamalkan dasar tertutup yang mengharamkan rakyat Cina berhubung dengan dunia luar? Apakah yang ditakuti mereka? Atau siapakah yang sebenarnya menggerakkan Dinasti Qing hingga berjaya menutup syiar Islam Dinasti Ming? APAKAH MUNGKIN ADA AJEN ZIONIS BERGERAK MENURUT JADUAL DAJJAL?






Sebab ketiga yang tidak menggalakkan sebahagian sarjana teliti daripada berurusan dengan zaman Ming juga berkenaan dengan yang pertama, dan boleh, mungkin, dapat diperhalusi dari segi kompleksiti dan melimpahnya bahan sejarah berkaitan zaman itu. Oleh kerana penulis Ming lebih berminat terhadap sejarah mereka sendiri, mungkin terdapat lebih banyak bahan berkenaan sejarah Ming berbanding mana-mana zaman Cina yang lampau, kecuali di kemudian abad ke sembilan belas dan awal dua puluh. Tetapi disebabkan penyiasatan sastera abad ke lapan belas, kebanyakan buku yang berurusan dengan sejarah Ming ditulis semasa zaman Ming dan awal Qing telah dimusnahkan, dan banyak hasil kerja lain yang dapat melepaskan diri dari kemusnahan wujud hari ini dalam satu atau sedikit naskah. Oleh itu seorang sarjana yang teliti boleh hilang semangat daripada mengkaji satu zaman tertentu atau menangani sesuatu masalah jika dia tahu ada terdapat bahan penting tentang subjeknya yang wujud tetapi tidak boleh dicapai olehnya....




Untuk perenggan terakhir ini saya terjemahkan setakat sampai barisan merah terakhir ya. Di sini dikatakan sarjana boleh hilang minat untuk mengkaji akibat terlalu banyak bahan! Pelik kedengaran bunyinya tetapi terlalu banyak bahan boleh menyebabkan sesuatu itu menjadi lebih kompleks dan rumit. Namun disebabkan usaha siasat abad ke 18 yang bertindak ganas terhadap para sarjana yang simpati terhadap Dinasti Ming, banyak buku YANG DITULIS TENTANG ZAMAN MING PADA ZAMAN MING dan awal Qing (berbanding buku yang ditulis 300 tahun kemudian yang isinya mungkin tersasar jauh daripada kebenaran) telah dimusnahkan. Mana yang selamat pula tinggal satu atau sedikit sahaja naskah yang entah disimpan di mana, disembunyikan di mana (untuk apa? untuk menutup kebenaran yang saya percaya boleh menunjukkan KEISLAMAN DINASTI MING). Ini boleh menyebabkan sarjana yang teliti hilang minat kerana bahan (walaupun asalnya begitu banyak) tidak dapat diperolehi (kerana hilang atau disorokkan).

Dua ayat terakhir perenggan menyebut halangan-halangan ini sedikit demi sedikit dapat diatasi. Namun setelah 300 tahun atau lebih sejarah sebenar digelapkan, buku-buku dimusnahkan, setakat mana rekod yang diperolehi sekarang cukup lengkap untuk menerangkan realiti sejarah dan keadaan sebenar? Jawab saya, sebanyak mana pun rekod diperolehi dan dikaji kembali sehingga dapat dijadikan dua jilid buku bersaiz hampir kertas A4 yang bila digabungkan menjadi setebal 6 inci atau lebih, belum tentu ia dapat menjawab segala persoalan. Masih ada perkara yang digelapkan atau diputar-belit langsung untuk menutup kebenaran apalagi dalam keadaan akhir zaman di mana cahaya syumul Islam semakin galak cuba dihilangkan...

Dalam keadaan ini saya dengan penuh yakin menyatakan -Sesungguhnya REKOD DINASTI MING TIDAK BOLEH MENAFIKAN KEWUJUDAN HANG TUAH, penafian yang dibuat untuk menjatuhkan kepentingan kerajaan-kerajaan lama kita terutama Melaka dalam rangka kerja untuk melemahkan jatidiri orang Melayu. Ia adalah penafian yang kalau berjaya ditegakkan benang basahnya akan menyebabkan kurikulum sejarah wajib lulus untuk SPM bermula 2013 ditulis oleh tangan-tangan jahat yang galak mahu menafikan keunggulan Islam dan hak kita orang Melayu terhadap tanah tumpah darah kita ini. Cukup.


p/s: Hari Sabtu 4 Februari saya pergi lagi ke ekspo lalu singgah ke tempat buku tentang Ming ini. Baru saya tahu harganya adalah RM450! Boleh dapat diskaun 20% menjadi RM360. Tengahari Ahad 5 Februari pula saya menyunting dan memperbaiki sedikit artikel ini. Harap maklum. :]





6 comments:

Anonymous said...

menarik...tetapi rasanya memang ada saya terbaca dinasti ming adalah diperintah oleh raja yang beragama Islam....masih ada kesan sejarahnya jika melawat ke Beijing...ke kawasan istana lama mereka....

Radzi Sapiee said...

Memang hal Dinasti Ming Islam ini ada diceritakan beberapa pihak terutama orang Cina yang Islam. Tetapi ia cuba dinafikan oleh mereka yang bukan Islam. Sebab itu agaknya Dinasti Qing yang memerintah kemudian mahu menutup sejarah Ming tetapi tiada masalah mengangkat sejarah dinasti-dinasti sebelumnya seperti Yuan dan Song. Sebab itu juga selepas Qing jatuh akibat revolusi 1911 sejarawan Cina masih lagi keberatan untuk menggali sejarah sebenar Ming sampailah beberapa dekad kebelakangan.

Ingat. Cerita kehebatan armada Cheng Ho pun bukan keluar 'selonggok' tetapi sedikit demi sedikit. Rasanya ia bermula baru sekitar tahun 1980an apabila pemerintah komunis Cina mula bersifat terbuka. Sambil ekonomi Cina berkembang untuk menyaingi Barat sambil itu pula sejarah digali untuk memperkasakan jatidiri mereka di mata dunia. Mungkin disebabkan dinasti2 lain tidak ada cerita kehebatan dan kebesaran armada laut maka nak tak nak cerita armada Cheng Ho pun diwar-warkan dalam konteks yang sesuai... betapa armada Cheng Ho telah membelah Laut Cina Selatan (dahulu sebenarnya bernama Laut Champa) masuk ke Selat Melaka terus ke Lautan Hinda sejak tahun 1407 lagi sedangkan sejarah menyebut kapal2 Barat belum melepasi pantai barat Afrika hinggalah Bartholomew Diaz berjaya belayar melepasi Tanjung Harapan (Cape of Good Hope) di Afrika Selatan 1488.

Ketika itu Cheng Ho sudah melakukan 7 ekspedisi besar termasuk belayar untuk menunaikan haji di Mekah. Tetapi kehebatan armada Cheng Ho yang terdiri daripada 300 kapal pelabagai saiz yang mana kapal besarnya beberapa kali lebih besar daripada kapal terbesar Barat zaman itu dan angkatan 30,000 orang diceritakan panjang lebar untuk menaikkan kembali maruah orang Cina di mata dunia, bukan maruah Islam. Kemudian baru pihak lain menggali lalu mendapati bahawa Cheng Ho itu Islam dan ini menunjukkan tanda2 bahawa Dinasti Ming itu memang sebenarnya Islam.

Anonymous said...

Salam, saya terpanggil dan musykil dari mana munculnya pepatah "TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA"....Adakah kata-kata keramat ini hanya ciptaan penjajah atau para pengkaji ilmiah yang berfikir secara kangkung...

Neutronboy said...

Tuan yg baik hati, boleh x tolong jawabkan soalan2 ni, hasil pertanyaan org Melayu yg menafikan kewujudannya :

Baca Balik Hikayat Hang Tuah, adakah itu fakta atau cuma CERITA?? kalau fakta siapa penulisnya?? Dan bagaimana penulis boleh menceritakan satu persatu tentang hidup Hang Tuah?? Dan siapakah penulis dizaman Hang Tuah??

kisah Hang Tuah, menculik anak dara orang?? Membunuh saudara sendiri?? Berzina??

yang menculik Tun Teja siapa?? sy tak berapa pastilah samaada Tun Teja itu masih dara atau tak, atau sudah dizinakan Hang Tuah..

Tolong jawabkan ye.. Saya serahkan kpd yang benar2 layak untuk jawab soalan ni. Terima kasih ^^

lolsomany said...

apa yang saya pernah baca dari blog zahariz.com bahawa orang cina muslim digelar Hui manakala bukan muslim digelar han.

orang hui ramai jadi menteri sewaktu dinasti ming tetapi maharaja bukan islam. sama ada maharaja dinasti ming islam atau tidak wallahualam.

sampai hari ini orang hui tidak suka bercampur dengan orang han sehingga melarang bloger zahariz untuk tinggal di kawasan orang han

ewan said...

Pada pandangan dan firasat saya tun perpatih putih itu adalah hang tuah. Dan mengikut sejarah, kemungkinan hang tuah adalah nama gelaran sahaja. Dan mungkin juga, pada masa itu hang tuah menemankan Tun perpatih putih @ bendahara raja ke tiongkok, dinasti ming. zaman dahulu bila istiadat penting bendahara akan menjadi utusan raja untuk membincangkan hal hal penting raja.