Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1, Buku 2 dan Buku 3.


Saturday, February 04, 2012

La Galigo dan makna Daeng buat orang Bugis

Cerita Bugis lagi. Bersambung dari Kota-kota Bugis di Kuala Linggi dan Lukut.



Semalam Jumaat pagi saya pergi lagi ke PWTC untuk menghadiri persidangan buku antarabangsa yang diadakan bersama Ekspo Buku 1 Malaysia.



Asalnya saya cuma mahu berlegar di sekitar kawasan rumah di Bandar Tasik Puteri. Tetapi apabila datang pada hari pertama persidangan dan ekspo Rabu 1 Februari saya tertinggal kamera lalu tidak dapat merakamkan beberapa perkara...



Perkara pertama, sebaik sahaja meletakkan kereta di Hentian Putra, sebelah PWTC saya mendapati meter bawah menunjukkan nombor 333.3 (km). Seolah ada kesinambungan 'restu' daripada Ilahi kerana artikel terakhir ditulis di blogspot ketika itu bertajuk Kembara Johor-Riau - 333 tahun Hulu Riau menjadi pusat empayar. Kemudian apabila masuk ke dewan untuk persidangan saya dapati satu suasana kontras yang agak menarik - pembentangan tajuk melibatkan kedaulatan orang Melayu melalu etnik atau suku Bugis sedangkan dewan begitu terserlah merahnya kerana masih ada 'tinggalan' dari sambutan Tahun Baru Cina 2 minggu lepas.



Tapi itu cerita Rabu di mana saya datang semata-mata untuk mendengar pembentangan bertajuk "Pengaruh naskah La Galigo dalam pembentukan jatidiri orang Bugis menuju minda kelas pertama" oleh Professor Dr. Nurhayati Rahman dari Fakulti Sastera, Universiti Hassanuddin di Makassar, Sulawesi Selatan. Untuk pengetahuan La Galigo adalah sebuah epik sastera Bugis yang dipercayai menceritakan ketamadunan Bugis abad ke 7 hingga ke 13/14 Masihi. Ditulis dalam aksara tempatan yang dipanggil Lontara, ia telah diiktiraf dunia sebagai teks sastera terbesar dan terpanjang kerana mengandungi tidak kurang 300,000 bait cerita. Sedangkan kitab yang diakui terbesar dan terpanjang sebelum itu, Mahabaratha daripada India Purba mengandungi 150,000.



La Galigo menceritakan keberadaan beberapa kerajaan awal Bugis serta tokoh-tokoh mitos seperti La Sawerigading yang jatuh cinta kepada adik kembarnya yang lama terpisah lalu disuruh mencari jodoh serupa jauh di perantauan. Dari segi isi ia turut mengatasi Ramayana yang seperti Mahabaratha sangat terkenal mewakili pemikiran Hindu awal, ceritanya yang mengandungi pelbagai mesej kemanusiaan boleh menenggelamkan kisah percintaan hebat Rama dan Sita dalam Ramayana. Turut dikalahkan adalah Iliad oleh pujangga besar Yunani (bukan Yunan China tetapi Greece ya) bernama Homer. Itupun menurut Dr Nurhayati, ada sarjana menyebut La Galigo yang berjaya ditemui setakat ini cuma 1/3 sahaja daripada keseluruhan karya yang mungkin telah hilang atau berteraburan entah di mana.

Barat begitu menghargai La Galigo sebagai epik besar sehingga mereka rupa-rupanya telah mementaskan adaptasi teater ke serata dunia sejak tahun 2004 lagi. Klik sini. Bagi masyarakat Bugis pula ceritanya mengandungi nilai-nilai murni yang boleh diangkat sebagai contoh untuk menjadi manusia unggul apalagi dalam perantauan. Klik sini. Maka itu Dr Nurhayati mengaitkan pengaruh La Galigo dalam pembentukan jatidiri orang Bugis menuju apa yang dipanggil minda kelas pertama.



Petang selepas habis pembentangan Dr Nurhayati memberitahu bahawa satu naskah La Galigo yang dibawa dari Sulawesi akan dipamerkan esoknya Khamis. Tetapi saya ada hal lain lalu tidak dapat datang. Maka itu semalam pagi Jumaat saya muncul dengan anggapan ia akan terus dipamerkan hingga ekspo tamat hari Isnin. Rupa-rupanya saya tersilap. Akibat kekangan ruang ia cuma dapat dipamerkan Khamis itu sahaja...



Namun kedatangan saya ke PWTC tetap langkah kanan. Saya masuk ke dewan dengan niat sekadar mahu mengisi masa sebelum melihat buku-buku di ekspo... kerana tajuk kertas pagi itu "Dari karya menjadi kaya" oleh motivator terkenal Dr H.M. Tuah Iskandar Al-Haj bukanlah minat saya, "not my cup of tea" kata orang Inggeris. Rupa-rupanya ada pembentang dari Sulawesi Selatan menyambung cerita tentang La Galigo sedangkan ini tidak ada dalam program asal. Ia diikuti pembentangan rakan setempat tentang senibina rumah masyarakat sana.

Oh, biar diberitahu orang Sulawesi terbahagi kepada 4 suku besar - Bugis, Makassar, Toraja dan Mandar. Bugis dan Makassar hampir serupa budaya dan bahasanya sehingga kita yang tidak mengetahui hakikat sebenar sering menyerkap jarang kedua-duanya sebagai Bugis belaka. Maka itu apabila merujuk tentang diri mereka kepada orang luar, dua suku kaum ini menggunakan terma Bugis-Makassar untuk meliputi keduanya. Namun mereka tidaklah marah jika kita memanggil semua sebagai Bugis sahaja.

Apapun jika hari Rabu saya mengambil peluang untuk bertanya sedikit sebanyak tentang La Galigo, siang tadi pula (kerana pembentangan berlanjutan sehingga ke tengahari) saya tergerak untuk bertanya tentang apa itu Daeng. Bagi kita di Malaysia, Daeng dianggap merujuk kepada keturunan bangsawan terutama raja-raja Bugis. Tetapi tahun lepas saya diberitahu bahawa di Sulawesi Selatan sendiri Daeng digunakan untuk merujuk kepada orang kebanyakan.

Saya teringat bagaimana di Aceh gelaran Teungku diberi kepada mana-mana pemuka agama tanpa mengira asal-usul keturunan. Sedangkan di Malaysia gelaran berbunyi sama iaitu Tengku khusus untuk keturunan raja. Atas perbezaan yang tidak diketahui ramai ini kita boleh tertipu. Datang seorang hamba Allah menyebut dirinya Tengku lalu kita menyangkakan dia tentu kerabat diraja. Sedangkan dia cuma Teungku umum yang memakai gelaran mengikut cara Aceh.

Apabila terdengar sahaja nama Daeng pula, orang Malaysia cenderung untuk mengaitkannya dengan Daeng Lima Bersaudara - Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambun, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi. Mereka adalah anak-anak raja Bugis yang banyak mencorakkan suasana sosio-politik kerajaan-kerajaan di Tanah Melayu sejak abad ke 18 Masihi sehingga ada di antara mereka dan anak cucu menjadi raja-raja, antaranya kerabat Sultan Selangor hingga sekarang. Bagi kebanyakan orang, nama Daeng adalah lambang kebesaran keturunan Bugis dan setiap yang bernama Daeng itu harus dapat dihubungkan nasabnya dengan salah satu Daeng Lima Bersaudara yang dikira sebagai raja-raja tertinggi dari Tanah Bugis. Kemudian baru saya tahu Lima Daeng Bersaudara yang sering disebut sebagai adik-beradik belaka, anak-anak kepada Daeng Rilaga ibni La Madusalat itu sebenarnya bukanlah adik-beradik dalam erti kata sebenar. Mereka memang bersaudara tetapi sepupu atau dua pupu, beripai duai.

Saya ditunjukkan salasilah sebesar permaidani yang boleh memenuhi suku ruang tamu rumah sederhana besar. Dalamnya disenarai dan diaturkan hubungkait nama raja-raja dan bangsawan Bugis-Makassar dari zaman awal yang diceritakan dalam kitab La Galigo membawa ke zaman sekarang. Baru saya faham struktur kebangsawanan yang ada raja atasan, raja bawahan dan bangsawan-bangsawan lain. Baru saya tahu kerajaan Luwuk yang disebut sebagai asal-usul Lima Daeng Bersaudara itu sudah jadi kerajaan kecil apabila Lima Daeng Bersaudara muncul...jajahan-jajahan takluknya ditelan kerajaan-kerajaan Bugis lain seperti Bone dan Wajo.

Dalam rangka kerja yang lebih besar Daeng Lima Bersaudara bertaraf bangsawan menengah kerana ada bangsawan dan raja-raja yang lebih tinggi kedudukannya. Kalau di dalam kerajaan-kerajaan suku Bugis seperti Bone, Soppeng dan Wajo mereka dipanggil Arung, kalau di kerajaan Makassar seperti Gowa dan Tallo pula dipanggil Karaeng. Daeng Lima Bersaudara dikatakan bergelar Opu iatu warisan gelaran diraja daripada Luwu sedangkan kerajaan itu tidak segah dulu ketika itu. Cuma namanya tetap dipandang tinggi sebagai kerajaan awal Sulawesi Selatan yang turut mencakupi tengah pulau hingga ke tenggara. Dan memang semua bangsawan baik belah Bugis mahupun Makassar boleh ditelusuri leluhurnya sampai ke Luwu.

Yang menjadi masalah adalah apabila orang memberitahu di Tanah Bugis sendiri panggilan Daeng boleh digunakan untuk sesiapa sahaja sehingga tidak menunjukkan taraf kebangsawanan langsung. Namun saya dapati ada individu yang ternyata memang raja besar dalam sejarah memakai gelaran Daeng. Misalnya Arung Palakka yang pernah menjadi raja terbesar Bone memakai nama La Tenritata Arung Palakka Daeng Serang. Raja besar Gowa yang dikatakan pertama kali memeluk Islam adalah Sultan Alauddin Daeng Manrabia. Jadi bagaimanakan sebenarnya kedudukan Daeng di kacamata orang Bugis dan Makassar?



Alhamdulillah semalam sebelum solat Jumaat saya mendapat jawaban. Awalnya tidak ada gelaran Daeng di Sulawesi Selatan kata seorang pembentang dari sana. Yang ada gelaran La untuk lelaki dan We untuk perempuan seperti diceritakan dalam La Galigo. Umumnya mana-mana lelaki boleh dipanggil La, mana-mana perempuan We. Tetapi La Galigo sendiri menceritakan tentang perjalanan dan asal-usul bangsawan. Maka jadilah dua itu panggilan bangsawan.

Kemudian muncul panggilan Daeng yang dia pun tak pasti bila bermula. Boleh diperkirakan ini muncul abad ke 16 atau 17 Masihi di mana Daeng memang merujuk kepada golongan bangsawan yang dihormati sahaja. Masuk zaman moden pula Daeng merujuk pada mana-mana orang yang lebih tua. Tetapi itu di Tanah Bugis kata pembentang. Kalau di Makassar pembawa beca malah anak kecil yang tidak diketahui asal-usul pun boleh dipanggil Daeng kerana ia tidak langsung merujuk pada pangkat baik dari segi kebangsawanan mahupun umur tetapi sekadar panggilan. Yang penting kita sendiri kenal kepada siapa ia merujuk. Maka Dr Nurhayati mengingatkan sekali lagi... untuk Lima Daeng Bersaudara, panggilannya adalah Opu Daeng yang menunjukkan taraf diraja.



Oh. Keluar dari dewan saya terserempak beberapa orang wakil dari Sulawesi Selatan sedang membelek-belek naskah La Galigo yang dibawa. Memang kalau boleh mereka mahu ia dipamerkan lebih lama jika tidak kerana kekangan ruang. Nasib baiklah saya terjumpa mereka lalu dapat mengambil gambar. Di atas ini pula adalah satu antara beberapa kepingan papirus yang menunjukkan watak-watak Mesir purba. Ia lah yang mula mengambi ruang pameran semalam.

Menariknya semasa ditunjukkan kepingan-kepingan ini beberapa pekerja yang sedang menyediakannya untuk pameran memberitahu ia papirus asal daripada beribu tahun lalu. Saya pun menjadi teruja namun pelik melihat kondisinya yang langsung tidak pudar dan menunjukkan apa-apa unsur dimakan waktu. Kata pekerja-pekerja itu, mungkin ini akibat teknologi lama tetapi berkesan yang dimiliki Mesir purba. "Kalau tak percaya baca nota yang disertakan," kata seorang daripada mereka.

Saya pun membaca nota. Rupa-rupanya ia dalam bahasa Inggeris yang kurang difahami mereka. Nota memberitahu papirus yang ada itu dibuat menurut keadaan kimia serupa dengan yang asal. Ah! Patutlah tiada kesan dimakan usia. Rupa-rupanya ia memang barang baru yang cuba meniru barang purba asal. Agaknya sama halnya dengan nama Daeng yang boleh digunakan secara umur untuk sesiapa sahaja tidak mengira kedudukan dan usia di Makassar atau untuk orang yang lebih tua di Tanah Bugis. Berapa ramaikah yang tahu menilai makna kebangsawanan yang dimiliki seorang Daeng sebenar? Oh. Ini adalah artikel ke 949 di blogspot ini.




2 comments:

Anonymous said...

terima kasih dengan maklumat di atas.

Anonymous said...

Was curious to find out how the name 'Daeng' came about;whether its royal or just a keturunan. Know a litle more about it after reading your article

Seorang kenalan bernama Daeng sendiri tidak tahu.

Terima kasih atas keterangan. Ringkas dan menarik.