Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, November 12, 2009

Ke Tanjung Malim bersama Al-Rasyid... untuk mendapatkan 'feel' jejak Raja Kamala. Apa pula 'kebetulan' nombor yang berlaku?

Assalamualaikum. Satu catatan sisipan akibat satu perjalanan spontan... sementara belum mendapat gerak untuk memulakan cerita perjalanan ke Pantai Timur pertengahan bulan Ramadhan lalu seperti yang dijanjikan pada penghujung artikel Cerita perjalanan Linggi/ Kuala Linggi. Baru ditemui makam yang dicari... lebih sebulan kemudian! . Mari... :]

Siang tadi setelah sebulan asyik terperuk di rumah dan sekitarnya, saya dan isteri telah membuat perjalanan spontan ke Tanjung Malim...

Perjalanan ini agak istimewa kerana inilah kali pertama anak kami Muhammad Al-Aminul Rasyid turut serta...

Maklumlah, walaupun dia juga pernah mengikut kami berjalan hingga beribu kilometer, itu semua dibuat ketika Al-Rasyid masih berada di dalam perut (Nota - this is no exaggeration. Perjalanan Pantai Timur bulan Ramadhan sendiri melepasi jarak 1,700 km, campur lagi perjalanan 4-5 kali pergi balik Muar dengan laluan 'mencapah' ke Linggi, Pagoh dan sebagainya yang setiap kali jalan tidak kurang 400 km selain perjalanan ke Perak, Pahang, apalagi ke Aceh dengan menaiki kapalterbang juga perjalanan menaiki kereta di sana dan lain-lain pengembaraan bersama isteri dalam tempoh 9 bulan). Elok aje dia ikut berjalan sebagai bayi yang baru sebulan keluar dari perut baring diam-diam dalam kereta. Peliknya dia cuma bising apabila kereta berhenti dan mula terbuai lena apabila kereta berjalan. Apakah ini akibat sudah biasa ikut mengembara ke sana ke mari ketika masih dalam perut?



Dari Lebuhraya PLUS, perjalanan ke Tanjung Malim membawa kami melalui Hulu Bernam. Tersergam indah sebuah masjid baru yang belum pernah saya lihat dalam perjalanan lalu. Baca artikel Masjid jamek (Main mosque of) Ar-Rahman, Hulu Bernam... yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) awal tadi.


Seterusnya saya masuk kiri di persimpangan berhadapan masjid lama Sheikh Ismail untuk meninjau-ninjau keadaan sekitar sebelum berpatah balik untuk kembali menghala ke Tanjung Malim. Nampak tak masjid dalam gambar?



Pandangan masjid lebih dekat. Cantik... sudah bercat baru sempena bulan Ramadhan lalu.


Boleh kata setiap kali lalu di sini saya mesti singgah untuk sekurang-kurangnya bersolat tahiyatul masjid. Tetapi kali terakhir saya singgah rasanya mungkin lebih setahun lalu. Untuk mengetahui apa yang istimewa tentang masjid ini, sila lihat artikel Masjid Sheikh Ismail di Ulu Bernam (The mosque of Sheikh Ismail in Ulu Bernam) yang ditulis di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) lebih 2 tahun lepas...

Dari masjid jaraknya cuma 200 meter sahaja gitu untuk melepasi sempadan negeri Selangor lalu masuk ke bandar Tanjung Malim yang terletak di dalam negeri Perak. Inilah kali pertama Al-Rasyid sampai ke Perak, negeri asal nenek-moyangnya sebelah bapa. Selama sebulan ini, selain di hospital dan klinik, dia cuma duduk di rumah Bandar Tasik Puteri, Selangor, negeri keluarga sebelah ibunya!


Selain berjalan-jalan di bandar Tanjung Malim, kami juga pusing-pusing di sekitarnya. OK, apa yang sebenarnya berlaku sebelum itu ialah saya sudah tidak tahan lagi duduk berlegar di sekitar rumah. Selama sebulan langkah saya terbatas akibat perlu menjaga isteri sedang dalam pantang dan bayi yang baru lahir sedangkan semangat mengembara dalam diri meronta-ronta ingin pergi jauh. Saya pun memberitahu bahawa hari ini mungkin saya akan keluar agak jauh sedikit dari rumah. Isteri saya pula susah hati. Semenjak dua menjak ini pula dia selalu terasa takut yang saya cuma mahu keluar untuk berhubung dengan buah hati lama... walhal saya setakat mahu melayan naluri ingin mengembara yang sekian lama 'dibekukan'...

Saya pun mengajak isteri turut keluar sama. Walaupun dia masih dalam pantang, rasanya sudah sampai masa juga dia mula menghirup udara luar kembali seperti biasa. Ini bermakna anak kami Al-Rasyid yang baru nak masuk umur sebulan pun harus dibawa sama. Bagus juga itu. Selepas tamat pantang, saya harus ke Muar, Batu Pahat, Johor Bahru dan Singapura untuk menunaikan satu kerja. Dan saya telah berjanji untuk membawa isteri dan anak juga... kiranya ini trial run le, first time bawa anak keluar sekali...

Asalnya saya cuma berfikir mahu berjalan ke Kuala Selangor. Tapi bila difikirkan kembali rasa jemu pula, sudah selalu sangat ke situ. Seterusnya saya memikirkan Kuala Kubu atau mana-mana tempat yang sedikit jauh dari rumah kami di Bandar Tasik Puteri, tempat yang kami sudah lama tidak pergi. Secara spontan isteri mencadangkan Tanjung Malim. Saya pun bersetuju lebih-lebih lagi kerana ia adalah bahagian dalam negeri Perak yang terdekat untuk kami pergi...







Sambil menyelam minum air... perjalanan ke Tanjung Malim ini turut dibuat untuk mendapatkan 'feel' atau gerak rasa untuk menjejak sejarah seorang tokoh tertentu bernama Raja Kamala. Untuk pengetahuan, ada tercatat bahawa Tanjung Malim didirikan oleh seorang berbangsa Rawa bernama Haji Mustafa bin Raja Kamala, katanya datang dari Gali di Raub membawa satu komuniti orang Rawa yang membentuk masyarakat Tanjung Malim penghujung abad ke 19 Masihi. Sebelum itu Tanjung Malim dikenali sebagai Tanjung Jambu yang dipelopori masyarakat Bugis, katanya diketuai 6 orang pahlawan Bugis bermula 100 tahun sebelum itu. Sejarah rasmi menambah masyarakat Bugis ini berpindah ke tempat lain setelah kedatangan orang Rawa.

Nama Haji Mustafa bin Raja Kamala terus diingat sekurang-kurangnya sebagai nama jalan seperti terpapar dalam gambar di atas. Tetapi saya lebih tertarik dengan nama bapanya Raja Kamala kerana ia mengingatkan saya tentang seorang pahlawan wanita Aceh dahulukala yang berkuasa 400 tahun lalu iaitu Laksamana Kemala Hayati. Lihat artikel Benteng Laksamana Malahayati, kerajaan lama Lamuri dan satu rahsia yang tersembunyi... yang dibuat pada 16 September, satu tarikh yang sudah diisytiharkan sebagai hari Malaysia! Rupa-rupanya memang ada kaitan. Dan kaitan yang baru saya ketahui 2-3 hari ini nampaknya turut membawa kami ke Tanjung Malim walaupun zahirnya ia berlaku setelah saya tidak tahan mahu mengembara sedangkan isteri secara spontan pula mencadangkan kami ke sini. Gambar-gambar terbaru Tanjung Malim dan sekitarnya telah diletakkan di dalam artikel Recent views of Tanjung Malim and around di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi.



Sebenarnya kami ada bercadang untuk bermalam di Tanjung Malim. Segala barangan yang perlu termasuk keperluan bayi sudah disiapkan di dalam kereta. Malah dalam perjalanan ke situ melalui Lebuhraya PLUS timbul rasa gembira dan amat selesa (maklumlah sudah sebulan terperap di rumah...) hingga terfikir juga mahu terus ke Ipoh dan Kuala Kangsar malah lebih jauh ke Kedah. Tetapi Al-Rasyid perlu dibawa ke klinik berdekatan rumah untuk suntikan antibodi siang Khamis. Nak tak nak kami perlu kembali ke Bandar Tasik Puteri sebelum itu.

Maka apabila saya terasa sudah cukup puas berjalan di sekitar Tanjung Malim, timbul pula rasa untuk ke Kuala Kubu Baru dengan niat mungkin bermalam di sana. Semasa zaman saya suka mengembara seorang diri berjalan kaki jauh-jauh, menaiki bas atau hitchiking menahan dan menumpang kenderaan orang yang lalu-lalang, saya selalu singgah dan bermalam di hotel murahnya apabila lalu berdekatan. Kuala Kubu Baru sering terasa nyaman dan menenangkan, mungkin juga kerana udara dari Bukit Fraser yang turun menyapa...








Perjalanan melalui jalan lama membawa kami ke Kalumpang di mana kelihatan sebuah rumah lama terbiar tetapi buatannya cukup indah di tepian jalan.. Ini membawa kepada sambungan cerita tentang jejak Raja Kamala yang dimulakan tadi...

OK. Umumnya mereka yang pernah membaca sejarah Tanjung Malim menyebut Haji Mustafa sebagai orang Rawa yang datang dari belah Pahang sedangkan ayahnya Raja Kamala pula berasal dari Kota Raja di Rao berhampiran Tanah Minangkabau di Sumatera. Tetapi seorang kenalan baru telah membuat penemuan bahawa beliau (atau baginda sebenarnya!) berasal dari Aceh dan ayahnya bernama Tuanku Hashim. Terus berderau darah saya... apabila melihat satu salasilah Aceh yang berada dalam tangan memang tercatat nama Tuanku Raja Kamala anakanda Tuanku Hashim yang mana Tuanku Hashim ini turut dikenali sebagai Abangta Muda dan Laksamana merangkap pemangku raja yang memerintah Aceh 1874-1897.

Semasa itu Aceh sedang hangat berperang dengan penjajah Belanda. Selepas beberapa percubaan dan serangan bermula April 1873, Belanda akhirnya berjaya menawan pusat pemerintahan Aceh di Banda Aceh. Ini memaksa Sultan ketika itu, Sultan Mahmud Shah berundur ke pendalaman lalu meneruskan perjuangan dari celah-celah hutan. Baginda akhirnya mangkat kerana sakit taun... katanya ini berlaku pada 28 Januari 1874,. cukup dekat tarikh Perjanjian Pangkor iaitu 20 Januari 1874, 'perjanjian' yang menandakan bermulanya Perak dijajah Inggeris. Lalu naiklah Sultan Muhammad Daud. Siapa sangka baginda akan mencipta sejarah sebagai Sultan terakhir Aceh?









Sultan Muhammad Daud menaiki takhta ketika masih kanak-kanak. Tidak seperti Sultan-sultan Aceh sebelumnya yang ditabalkan di Masjid Raya Baitur-Rahman, Banda Aceh, baginda ditabalkan di Masjid Indrapuri sekitar 40 km di pendalaman gitu. Oleh kerana baginda belum cukup matang, tugas sebenar mentadbir negara walaupun dari hutan dan pendalaman dipangku oleh seorang kerabat diraja lain yang jauh lebih tua iaitu Tuanku Hashim. Tuanku Hashim inilah yang disebut kenalan baru saya sebagai ayahanda kepada Raja Kamala, bapa kepada Haji Mustafa yang memajukan Tanjung Malim di Perak.

Berbalik pada rumah lama tinggal di Kalumpang, dalam perjalanan dari Tanjung Malim ke Kuala Kubu Baru. Lihat rekabentuknya dengan ukiran seperti lidah terjulur di setiap hujung sudut bumbung. Memang banyak terdapat rumah lama sebegini di sekitar Tanjung Malim.

Dalam pada itu saya teringat sebuah rumah dengan rekabentuk dan ukiran yang agak serupa di Kampung Kepayang, antara bandaraya Ipoh dan pekan Gopeng. Di situ juga terdapat banyak rumah lama dengan ukiran 'lidah terjulur' (panggilan saya itu...) sama juga di sekitar Teluk Intan, Bagan Datoh dan Sabah Bernam hingga ke sekitar Lumut dan banyak lagi tempat di Perak. Saya pernah diberitahu kampung itu dipelopori oleh seorang bangsawan bernama Daeng Mustafa (ke Mustapha? Lebih kurang aje le, asalnya pun nama ditulis dalam Jawi daaa...). Cuma Daeng Mustafa yang katanya seorang anakanda kepada Maharajalela pertama Perak Daeng Selili, satu watak yang menurut sesetengah orang sebenarnya adalah seorang raja besar bertaraf Yang di Pertuan Agung di Tanah Bugis hidup lebih awal, sekitar tahun 1750an gitu...






Sambil menghampiri Kuala Kubu Bahru, saya memikirkan implikasi yang terbit jika benar Raja Kamala ayahanda kepada Haji Mustafa itu memang anakanda kepada Tuanku Hashim yang pernah memangku pemerintahan Aceh. Satu catatan Barat menyebut...

Tuanku Raja Kamala ibnu Tuanku Hashim Abangta Muda. A leading opponent of the Dutch annexation, he carried on the fight for independence until defeated in 1903. He was allowed to resume his position after swearing fielty to Queen Wilhelmina.

Terjemahannya: Tuanku Raja Kamala ibnu Tuanku Hashim Abangta Muda. Seorang lawan terkemuka pada usaha penjajahan Belanda, beliau meneruskan perjuangan untuk kemerdekaan hingga dikalahkan pada 1903 (tahun Sultan Muhammad Daud dipaksa turun takhta). Beliau dibenarkan untuk mengambil kembali kedudukan setelah membuat sumpah taat setia kepada Ratu Wilhelmina (pemerintah Belanda).

Mungkin selepas itu Raja Kamala berhijrah ke Kota Raja Rao. Tak mustahil juga beliau sudah lama bermastautin di sana sambil meneruskan perjuangan melawan Belanda di Aceh. Ketika itulah anakandanya Haji Mustafa berhijrah ke Pahang sebelum berpindah je Tanjung Malim lalu memajukannya penghujung abad ke 19. Tetapi implikasinya sangat besar jika ini benar. Satu, Raja Kamala sebenarnya adalah seorang kerabat diraja Aceh. Implikasi lebih besar pula ialah tokoh yang sangat dibangga-banggakan orang Rawa ini sebenarnya berdarah Aceh-Bugis! Kerana ayahandanya Tuanku Hashim berturunan Sultan-sultan Aceh dari satu cabang darah yang dikenali sebagai Dinasti Raja.

Lihat artikel Apa cerita bangsawan Bugis pula boleh menjadi raja Aceh? yang dibuat lebih 4 bulan lalu. Di sini letaknya kaitan Raja Kamala ini dengan pahlawan perempuan terkemuka Aceh 400 tahun lalu iaitu Laksamana Raja Kemalahayati seperti ada disebut awal tadi.





Mungkin juga Raja Kamala ada berdarah Rawa? Tetapi beliau dicatatkan sebagai anakanda Tuanku Hashim dengan seorang puteri Raja Langkat. Mungkin juga Raja Kamala telah berkahwin dengan seorang wanita Rawa untuk menerbitkan Haji Mustafa. Jika begitu, Haji Mustafa boleh dikira sebagai orang Rawa. Namun induk keturunannya iaitu dari belah lelaki atau bapa atas bapa tetap berdarah Aceh-Bugis!
Mungkin ini boleh menerangkan kenapa di Tanjung Malim terdapat banyak rumah lama dengan ukiran 'lidah terjulur', satu rekabentuk yang cuma dikaitkan dengan rumah lama Perak yang menurut satu kajian berasal dari pengaruh Aceh dan Bugis. Setahu saya rekabentuk ini tiada kena-mengena langsung dengan budaya Rawa. Jadi kenapa ia banyak terdapat di Tanjung Malim sedangkan ia dikatakan dikuasai orang Rawa?

Mungkin juga ini sebabnya Haji Mustafa dapat membawa orang Rawa dari Pahang untuk menetap di Tanjung Malim, sebelum itu bernama Tanjung Jambu yang dikuasai orang Bugis. Mungkin orang Bugis yang sedia ada memberikan laluan kerana kenal susur-galur keturunan Haji Mustafa yang sebenar? Bukan senang untuk menghalau atau mengenepikan orang Bugis. Siapa tidak pernah dengar penangan orang Bugis dahulukala yang rata-rata berani mati lagi bersifat pahlawan walaupun agak bengis dan boleh jadi ganas semacam...

Dah. Selesai bab Raja Kamala juga Haji Mustafa. Kembali kepada kisah perjalanan siang... oh. lupa nak beritahu. Kami meninggalkan rumah untuk ke Tanjung Malim sekitar 3.30 petang gitu. Selepas puas berjalan-jalan sampai pula ke Kuala Kubu Baru sekitar jam 6.30 petang.





Kami tidak risau sampai lambat kerana boleh bermalam di Kuala Kubu. Dari sana sudah tidak begitu jauh untuk kembali ke rumah di Bandar Tasik Puteri hari Khamis untuk mengejar appointment di klinik. Seronok dengan udara segar Kuala Kubu, saya pun bersedia untuk mengeluarkan pram atau kereta bayi (agaknya le...). Maaf, saya tidak tahu apakah perkataan yang sesuai dalam bahasa Melayu. Sebaliknya hujan mula rintik dan Al-Rasyid pula mula menangis lalu saya mengambil ini sebagai tanda agar kami terus bergerak meninggalkan Kuala Kubu...




Saya mengambil kesempatan ini untuk terus menziarahi masjid lama di Ampang Pecah, lokasi asal pekan atau bandar Kuala Kubu sebelum ia beralih ke lokasi sekarang. Untuk mengetahui sedikit sejarah masjid ini dan kenapa Kuala Kubu boleh beralih (itu yang muncul nama Kuala Kubu Baru) sila lihat artikel Masjid (mosque of) Ampang Pecah yang telah dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) lebih 2 tahun lalu.













Di sini di hadapan masjid baru saya tergerak untuk mengambil satu gambar Al-Rasyid di luar kereta. Sedar tak sedar, ini adalah gambar ke 44 yang diambil untuk perjalanan ini... saya tahu dan pasti kerana sebelum meninggalkan rumah, saya telah mengosongkan memory card kamera. Lalu terjadilah satu siri 'kebetulan' nombor yang mengujakan... saya kan ada gila-gila nombor? Bukan nombor ekor ya tetapi corak 'kebetulan' yang selalunya membawa makna. Nanti dipanjangkan ceritanya pada penghujung artikel...

Kami meninggalkan Kuala Kubu dan persekitarannya hampir waktu senja...



Kebetulan sebaik sahaja masuk ke jalan utama kembali ke selatan dan Lembah Kelang kami terlihat masjid ini, terus kedengaran azan Maghrib! Saya pun singgah sebentar untuk bersolat. Kebetulan masjid ini merupakan sebuah pusat tariqat Naqshabandiah... kata orang le. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Al-Khalidiah, Rasa.





Dalam masjid terlihat pula tarikh hari perjalanan ini iaitu 11/11/2009. Ada 2 kali nombor 11, satu nombor yang entah kenapa sering saya kaitkan dengan diri sendiri (pada mereka yang biasa membaca tulisan saya, 131 itu adalah nombor home sweet home, rumahku syurgaku sedangkan 11 adalah nombor peribadi diri...).



Kami sempat singgah di Rawang sebelum sampai ke Bandar Tasik Puteri sejurus selepas jam 8 malam... singgah pula di pasar malam, barulah betul-betul dapat membawa Al-Rasyid berjalan-jalan menaiki pram.

Di sini baru boleh diceritakan 'kebetulan-kebetulan' nombor yang berlaku. Lihat balik gambar atas persimpangan jalan dengan Masjid Sheikh Ismail di belakang. Nampak tak pada papantanda ada disebut Tg atau Tanjung Malim B44 (nombor jalan)? OK, sekarang lihat gambar isteri saya mendokong anak di hadapan masjid lama di Ampang Pecah. Kan sudah disebut ia adalah gambar ke 44 untuk perjalanan ini?
Tidak cukup itu, di hadapan masjid tertera pula poskod Kuala Kubu iaitu 44000... cuma tak jelas sahaja dalam gambar. Malamnya di pasar malam pula, tanpa dirancang isteri saya memilih beberapa biji buah untuk dimakan. Jumlah yang perlu dibayar... RM4.40.

Sekarang lihat gambar pertengahan yang menunjukkan simpang masuk ke Kuala Kubu. Lihat nombor jalan iaitu 55. Apakah cuma kebetulan sahaja yang gambar terakhir diambil dalam perjalanan ini iaitu gambar isteri dengan anak dalam pram di pasar malam adalah gambar ke 55?

'Kebetulan' juga nombor 55 adalah nombor yang entah kenapa saya kaitkan dengan isteri sepertimana nombor 11 itu untuk saya. Saya juga ada memberitahu isteri bahawa nombor 55 juga adalah nombor untuk buah hati lama. Berbalik pada nombor 44, ia adalah nombor yang saya kaitkan dengan bekas isteri. Kaitan nombor 55 dan 44 dengan nombor saya iaitu 11 pula adalah masing-masing merupakan gandaan bagi 11. Sedangkan perjalanan ini dibuat pada tarikh 11/11! Sekian, selamat malam. :]



p/s: Baru tersedar saya telah menggunakan 22 gambar untuk penceritaan ini. 22 = 2 x 11, juga 11 + 11. Nampaknya ada juga kaitan dengan tarikh 11/11. Heh!



4 ulasan:

Radzi Sapiee berkata...

Tadi isteri saya baru menegur. Katanya kami ada singgah di Tanjung Malim bulan Ramadhan lalu di mana saya berhenti di masjid jamek Tanjung Malim kemudian masjid Sheikh Ismail di Hulu Bernam, sempat menghabiskan beberapa surah Al-Quran di kedua-dua tempat.

Baru saya ingat. Ketika itu kami baru pulang dari perjalanan ke Pantai Timur... dari Gua Musang kami naik ke Cameron Highlands lalu bermalam di sana. Esok sempat pergi ke Tapah, Chenderiang dan Lata Kinjang sebelum turun ke selatan.

Tapi kami sampai ke Tanjung Malim tengah malam. Bukannya nampak apa sangat. Agaknya sebab itu saya tak ingat?

emilio berkata...

I think 44 and 55 is equal to 99, 99 and 11 is equal to 110, hmmm, I'm a numbers freak too but not good in maths, just have my own intuition which is nearly always right. The numbers which I equate myself with will tell me something good or bad that's about to happen eventhough its not absolute. What I think your numbers meant here is that may be both your ex and your present wife could either become good friends or may be theirs is a synergy of strength that could augur well for your offsprings.Well..as I said, its not absolute..

Budak Minang berkata...

Bak kata rakan saya yang juga selalu dipertemukan dengan no. 11 atau 11.11

"Mungkin gelombang 11.11 itu dekat dan kerap pula menyelubungi diri"

Pernah juga terbaca mengenai kelompok yang obses dengan teori 11.11 ini.

Apakah punya kaitan dengan akhir zaman? Hmm...masih menunggu ilham.

HEM berkata...

em...sy pulak lahir pada 11/5/1981