Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Sunday, March 09, 2008

Salam daripada Bukit Melawati... Salam untuk kesejahteraan rakyat terutama di Selangor

Rumah api di puncak Bukit Melawati, Kuala Selangor...






Peta daerah Kuala Selangor...


Assalamualaikum para pembaca sekalian. Adapun pada mulanya saya tidak pasti apakah mahu membuat apa-apa posting baru di mana-mana blogspot saya hari ini. Ini kerana mungkin apa yang telah disajikan dalam tempoh 2-3 hari lalu seperti artikel Perjalanan pusing Perak daripada Sungai Siput... Penat-lelah menyajikan satu perjuangan untuk semua. di blogspot ini, The ancient kingdom of Beruas and its ties with the more ancient kingdom of Gangganegara! di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan Makam 3 Muzaffar (Tombs of the 3 Muzaffars)... di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) belum dimanfaatkan sepenuhnya. Maklumlah, dalam tempoh itu semua orang rasanya sedang sibuk dengan pilihanraya ke 12 Malaysia, sibuk dengan siapakah yang perlu diundi semalam seterusnya apakah kesannya kemudian... Lebih-lebih lagi apabila keputusan pilihanraya yang telah muktamad awal pagi tadi menunjukkan sesuatu yang memeranjatkan, satu perubahan besar dalam sejarah negara apabila Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor beralih pemerintahan.
Daripada satu segi, kalau boleh saya mahu meluahkan dan menghabiskan segala cerita yang terbuku berkaitan perjalanan di Perak yang telah selesai lebih sebulan lalu. Maka dengan itu saya boleh membuat perjalanan seterusnya ke Pantai Timur, Insyaallah dalam tempoh seminggu ini dengan lebih tenang kerana beban pengetahuan dan penceritaan untuk perjalanan yang lalu sudah dilepaskan. Tapi daripada segi penyampaian demi untuk faedah semua, penceritaan itu perlulah dicatu dalam kadar yang tertentu supaya boleh masuk ke dalam minda pembaca tanpa terburu-buru.
Apapun, terus terang saya kata walaupun saya tidak suka dengan dunia politik, saya amat teruja dengan keputusan pilihanraya terbaru ini lebih-lebih lagi apabila majoriti 2/3 kerajaan yang memerintah telah berjaya dibatalkan. Ini kerana saya mempunyai banyak pengalaman peribadi berinteraksi dengan mereka yang kononnya pendokong kerajaan yang memerintah... Ternyata mereka ini banyak yang lupa diri dan angkuh kerana sudah biasa dengan keadaan parti mereka menang mudah dan apa yang mereka buat hatta betapa jengkel dan zalim sekalipun dapat dilaksanakan sewenang-wenangnya disebabkan sokongan kekuasaan yang memihak pada mereka.
Nah! Sekarang terimalah akibatnya... Tidak lama lagi akan ada lebih ramai kamu-kamu di luar sana yang selama ini begitu angkuh sehingga dengan senang-senangnya boleh mempermainkan ayat-ayat Al-Quran berlagak sebagai ustaz pembela rakyat sedangkan kamu adalah pemakan besar rasuh, kaki perempuan dan penjual negara akan gugur ditelan arus perubahan zaman. Semoga kamu semua insaf... Walaupun kamu-kamu ini layak sahaja disula di hadapan ramai, disebabkan contoh yang ditunjukkan baginda Rasulullah SAW, pembawa rahmat yang lagi pemaaf, saya tidak mahu menjatuhkan hukuman laknat... Harap saya apa yang berlaku betul-betul membawa kamu-kamu semua kembali pada Allah. Itu sahaja...
OK, berbalik pada intipati sebenar posting ini dibuat... Pertama, saya sebenarnya sedang menulis daripada sebuah Cyber-Cafe di Kajang tetapi sengaja memilih tajuk "Salam daripada Bukit Melawati" kerana teringat lawatan singkat di bukit tersebut di Kuala Selangor semalam. Saya membuat posting in kerana 3 sebab... Satu kerana melihat di chat-box tadi ada yang bertanya bagaimanakah keadaan pernikahan seorang sahabat kita iaitu Azmi di sekitar Kuala Selangor semalam, pada tarikh ketika orang lain semuanya sedang sibuk mengundi... Kedua kerana merasa teruja dengan keputusan pilihanraya yang pada saya amat menggembirakan, terutama apabila Selangor turut bertukar pemerintahan... Ketiga kerana baru mendapati bahawa tarikh hari ini adalah bersamaan 1 Rabiulawal 1429, permulaan kepada bulan yang akan membawa kepada hari kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW nanti.
Untuk kes satu, sukacita dimaklumkan pernikahan saudara Azmi yang sebenarnya diadakan di Jeram, 15km sebelum sampai ke Kuala Selangor daripada Kuala Lumpur telah berjalan dengan lancar. Tahniah kepada Azmi dan syukur kepada Ilahi. Saya rasa tidak salah jika saya mewakili Azmi untuk mewar-warkan akan berita baik ini kepada semua.
Tentang bab pilihanraya pula, sebaik sahaja mendapati Selangor telah bertukar tangan, terus saya teringat lawatan yang dibuat ke Kuala Selangor semalam ketika semua orang sedang sibuk mengundi. Selepas selesai menghadiri majlis pernikahan Azmi, saya rasa elok juga ke sana... Sebelum itu, kali terakhir ke sana adalah lebih setahun lalu, dalam perjalanan daripada Teluk Intan ke KL begitu...
Adapun kejatuhan Kedah dan Pulau Pinang ke tangan gabungan parti lain rasanya sudah dijangka ramai terutama dalam tempoh seminggu kebelakangan berdasarkan sentimen akar umbi yang dipantau mereka yang berkebolehan. Kejatuhan Perak juga tidak menghairankan dalam suasana ini kerana kedudukannya di utara yang boleh dikira di bawah lingkungan para pengundi akar umbi yang semakin peka akan semangat ingin menerbitkan pemerintahan Islam sebenar yang tidak berdolak-dalik menipu rakyat lagi menjual negara... Tetapi kejatuhan Selangor, sebuah negeri yang dikira paling moden di Malaysia, di mana masyarakatnya dikira lebih progresif, ramai yang "terlalu" maju sehingga menjadi keBaratan... Nah... Itu adalah sesuatu yang membawa makna begitu besar dalam sejarah negara.
Dalam hal ini saya terfikir akan baginda Sultan Selangor sekarang iaitu Sultan Sharafuddin Shah. Saya tidaklah mengenali baginda secara peribadi tetapi saya pernah terserempak secara berhadapan 2-3 kali dalam majlis-majlis rasmi malah pernah diperkenalkan secara one to one semasa bertandang di kelab layar diraja Selangor beberapa tahun lalu. Terus terang saya cakap, setakat yang saya lihat sendiri bercampur apa yang didengar daripada kenalan yang lebih mengenali baginda Sultan secara peribadi, maka Sultan Selangor boleh dikira agak keBaratan.
Dalam pada itu baginda dikira telah memberikan teladan yang baik apabila menarik balik gelaran Datuk yang diberi Selangor kepada individu yang kelakuan dan peribadinya tidak layak disandarkan pada gelaran yang sepatutnya diberi kepada mereka yang betul-betul berbakti. Dan dalam beberapa tahun ini ada juga kelihatan kepekaan baginda dalam menangani masalah umat Islam di Selangor. Mungkin di sebalik keadaan Sultan Selangor yang lahir dan membesar dalam suasana lebih keBaratan akibat perancangan British yang cuba memBaratkan semua raja-raja dan pembesar Melayu sejak tahun 1880an, sudah timbul cahaya syumul Islam yang ada di dalam darah keturunan yang membawa kepada Sultan pertama Selangor, Sultan Salehuddin @ Raja Lumu ibni Opu Daeng Chelak?
Allah... Panjang pula luahan kata-kata yang mahu terkeluar... Begitu teruja saya melihat perubahan pemerintahan yang berlaku selepas pilihanraya ke 12 terutama di Selangor... Sehingga saya terasa apa yang berlaku ini ada kaitan tersendiri dengan lawatan yang dibuat di Kuala Selangor semalam.
Oh... Mula-mula saya ke Bukit Keramat yang menempatkan Makam Anak Dara, sebuah makam tanda. Cerita-cerita lama menyebut di bukit inilah seorang gadis yang alim agama telah ghaib, ghaib setelah dipaksa untuk berkahwin dengan seorang pemuda yang tidak disukainya lagi jahat semata-mata disebabkan pemuda ini berasal daripada keluarga pembesar yang berkuasa. Di belakang Bukit Keramat ini terletak sebuah tasik. Seterusnya terdapat sebuah lagi bukit, bukit yang pernah dikenali sebagai Bukit Belanda apabila ditawan Belanda semasa zaman pemerintahan Sultan kedua Selangor, Sultan Ibrahim (memerintah 1778 - 1826).
Sebenarnya Bukit Keramat dan Bukit Belanda ini asalnya sebuah bukit jua. Tetapi bahagian tengahnya telah dipecah dan diletupkan, kalau tak salah ingatan oleh British yang mahu menggunakan batu-batunya untuk membuat jalan. Saya pula percaya ini dilakukan untuk menghilang beberapa kesan sejarah Melayu yang penting, tak pastilah kenapa... Yang pasti di atas Bukit Belanda masih terdapat kesan-kesan kubu lama yang pernah digunakan oleh orang-orang Melayu Selangor juga orang Belanda.
Kemudian baru saya naik ke Bukit Melawati yang lebih tinggi dan terletak lebih dekat ke bandar. Sebenarnya saya sudah beberapa kali naik ke bukit ini tetapi baru kali ini terasa saya datang sebagai seorang saudara, bukan orang luar atau sekadar seorang pelawat sahaja.
Adapun moyang utama saya di Perak, Laksamana Raja Mahkota Nakhoda Hitam @ Daeng Hanasah beribukan Ratu Sedinding ibni Opu Payung Luwuk ibni Opu La Madusalat @ Saleh... Sultan pertama Selangor iaitu Sultan Salehuddin adalah anak kepada Opu Daeng Chelak bin Opu Tanderi Buring Daeng Rilaka ibni Opu La Madusalat.
Opu Payung Luwuk adalah abang kepada Opu Tanderi Buring bermakna Ratu Sedinding adalah sepupu Daeng Chelak sementara Nakhoda Hitam @ Daeng Hanasah adalah saudara dua pupu Sultan Salehuddin! Lebih menarik lagi, Sultan Salehuddin mula mendapat mandat untuk memerintah Selangor setelah ditabalkan Sultan ke 13 Perak, Sultan Muzaffar Shah III. Ini kerana Selangor termasuk di dalam lingkungan empayar keSultanan Melaka dahulukala sedangkan Sultan Muzaffar adalah dari keturunan Melaka itu.
Adapun Sultan Muzaffar mempunyai seorang pengawal peribadi, mufti negeri dan pahlawan handal bernama Daeng Selili yang turut menjadi adik-ipar baginda. Daeng Selili adalah adik kepada Daeng Hanasah, maka baginda juga adalah saudara dua pupu Sultan Salehuddin. Nampak sudah kaitan rapat mereka?
Adapun susur-galur ibu saya pula sampai kepada Raja Haji ibni Daeng Chelak. Maka lari tak lari, tetap ada kaitan juga. Ini belum dicampur beberapa hasil kajian saya yang menunjukkan betapa Raja-Raja Bugis dan Raja-raja Aceh itu ada hubungan kekerabatan yang sangat rapat sejak zaman-berzaman, hubungan kekerabatan yang sebenarnya membawa kepada susur-galur tertentu keturunan Ahlul Bait anak cucu Rasulullah SAW.
Cuma selama ini saya lebih memberatkan nasab sebelah bapa yang membawa kepada keluarga diraja lama Perak dan Aceh lalu tidak beberapa mempedulikan akan susur-galur diraja lain. Tetapi semalam, buat pertama kalinya saya menaiki Bukit Melawati dengan rasa sebagai seorang saudara dan buat pertama kali juga saya pergi menziarahi makam diraja Selangor di sana yang mengandungi makam Sultan Salehuddin, anakanda baginda Sultan Ibrahim dan cucunda Sultan Muhammad.
Jadi malamnya saya terasa begitu seronok apabila mendapati Selangor sudah bertukar pemerintahan. Saya seolah-olah merasakan apa yang berlaku mendapat restu roh para almarhum yang berasal daripada keturunan para pejuang agama yang sungguh berani mati syahid demi memperjuangkan dakwah serta makna Islam yang syumul... Semoga anak cucu mereka sekarang terutama Sultan Selangor kini dapat menjiwai kembali perjuangan nenda dan semoga segala yang berlaku dalam pilihanraya ini menjadi titik-tolak kita menolak semua para penipu bangsa dan penjual agama! Lalu kita kembalikan semula kedaulatan negara yang cuba ditelan sebuah negara pengkalan Zionis melalui para proksi mereka yang cukup pandai bermain-main dengan makna perjuangan, sanggup menggunakan segala saluran yang ada termasuk jabatan agama untuk mengaburi niat buruk mereka demi memperkayakan diri sendiri sambil menjual-lelong segala hak-hak bangsa.
Lalu baru saya boleh sebut sebab ketiga membuat posting ini iaitu tarikh... Kerana tarikh Islam menunjukkan hari ini hari Ahad, masuklah 1 Rabiulawal, bulan yang akan membawa kepada tarikh Maulud Nabi 12 Rabiulawal tidak lama lagi. Walaupun kalender hijriah di blogspot saya sendiri menunjukkan Ahad ini sebagai 2 Rabiulawal (ya lah, saya ambik kalender ni pun free daripada website orang), saya dapat melihat di website Berita Harian tarikhnya 1 Rabiulawal dan kemudian saya semak pula di http://www.rabiah.com/convert/ dan mendapat keputusan yang sama.
OK lah. Rasanya cukup apa yang terluah. Sebenarnya tadi saya mahu meletakkan sedikit gambar masjid di Sungai Siput untuk blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) kemudian sedikit gambar sekitar bandar itu di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Insyaallah dengan cara ini, saya boleh mendapat gerak penulisan untuk menyambung cerita perjalanan di Perak dalam blogspot ini, iaitu beralih pula kepada apa yang berlaku di Lenggong. Tetapi saya boleh pula tertinggal pen-drive yang mengandungi gambar-gambar yang diperlukan di rumah. Lalu saya setakat dapat duduk membaca cerita-cerita yang terdapat dalam Internet sebelum tarikh 1 Rabiulawal itu menerbitkan rasa agar membuat satu posting yang sesuai sempena tarikh tersebut, tanpa perlu menggunakan apa-apa gambar koleksi sendiri...
Oh... Baru teringat, kawasan Jeram tempat Azmi bernikah itu ada disebut dalam kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu sebagai tempat di mana anakanda Sultan Mansur Shah Melaka (memerintah pertengahan abad ke 15 Masihi) dengan Puteri Hang Li Po iaitu Paduka Mimat diberi pemerintahan. Ketika mahu keluar daripada Jeram ke Kuala Selangor pula saya dengan tak sengaja telah terikut jalan melalui Sungai Buloh (bukan Sungai Buloh berdekatan Kuala Lumpur ya) lalu semasa melawat Muzium Sejarah Selangor di Bukit Melawati, baru saya tahu tempat-tempat ini sangat bermakna dalam sejarah lama Selangor. Sekian! :]

8 comments:

Anonymous said...

Salam Ms,

sampai jugak ke kawasan permainan saya waktu kecil2 dahulu. Akhir tahun lepas saya ada kembali menjejaki kawasan ini, mencari perkaitan kerajaan Melaka dgn penduduk sekitar Melawati dan Jeram. Tak banyak yg dapat saya gali, kerana generasi tua yg saya temui tak banyak mengetahui perkaitan ini. Tapi dari segi gaya pertuturan, sangat mirip orang2 lama ini dgn gaya org Melaka.
Beberapa makam lama saya selusuri namun belum punya jawapan. Perkaitan org bugis yg telah mendiami kaw. K.S'gor sebelum kedatangan Opu Daeng Chelak tak dapat saya gali. Apa komen MS dgn info sejarah di laman ini:
http://www.mdks.gov.my/v2/index.php?option=com_content&task=view&id=40&Itemid=80

Salam
-awanbadai-

Dumuro said...

See Here

Radzi Sapiee said...

Hmm... Bagus le link yang AwanBadai beri tu. Rasanya elok gak saya copy n paste kat sini supaya semua orang boleh follow. Ini dia...

Sejarah Kesultanan
Sebagaimana yang tertulis di atas bahawa sebelum Kuala Selangor mempunyai sultan tempat ini telah pun didiami oleh orang laut diketuai oleh Upu Chendera Burung. Kisah ini berlainan jika dikaitkan dengan Selangor seluruhnya. Kalau berpandukan kepada kesultanan pertama memanglah tiada siapa dapat menafikan bahawa Raja Lumu yang bergelar Sultan Salahuddin itu merupakan Yang DiPertuan Kuala Selangor (Selangor) pertama.




Walaupun ada setengah pendapat mengatakan bahawa Raja Lumu bukannya sultan pertama di Selangor kerana sebelum Raja Lumu datang di Selangor telah ada yang memerintahnya. Malah keterangan itu mendakwa di Klang telah lebih awal mempunyai ketua, Datuk Engku Klang.


Datuk Engku Klang dikatakan berasal dari Negeri Sembilan, anak Sultan Johor. Dalam keterangan yang sama juga menjelaskan bahawa di Kuala Selangor telah ditadbir oleh Datuk Penggawa, Langat Datuk Aru, Ulu Langat dipimpin oleh Datuk Engku Kelang dan Klang pula ditadbir oleh En Chik Yang Tujuh.


Berpandukan dari keterangan ini nyatalah bahawa pimpinan Datuk Engku Klang tidak meliputi Kuala Selangor, beliau hanya berkuasa di sepanjang Sungai Klang sahaja.

Kesultanan Awal
Kesultanan awal Selangor juga bermula dari Kuala Selangor kerana kesa-kesan yang membuktikan pendapat ini masih terdapat di Kuala Selangor hingga sekarang ini. Akhir K.M 17 di Kuala Selangor telah mempunyai Yam Tuan iaitu seorang raja dari negeri Gua Tanah Bugis bernama Arang Pasarai dan anaknyalah yang berkahwin dengan Daeng Perani, salah seorang anak raja Bugis lima bersaudara kemudiannya mendapat puteri Berima.

Daeng Perani dengan bantuan saudara-saudaranya pergi membantu Sultan Kedah kerana rebutan kuasa. Dalam pertempuran ini Daeng Perani mangkat kena tembak. Seorang lagi dari Raja Bugis itu ialah Daeng Chelak berkahwin dengan Tengku Mandak adinda kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah ( 1722-1760) Johor. Apakala Daeng Chelak bertugas ke Riau sebagai Yam Tuan Muda Riau ke 11 dalam tahun 1730an, seorang Bugis bernamaDaeng Mateko yang berbaik dengan Raja Siak mengacau ketenteraman Selangor.


Ini menjadikan Daeng Chelak datang ke Kuala Selangor dengan angkatan perang dari Riau. Daeng Mateko dapat dikalahkan kemudiannya beliau lari ke Siak. Dari semenjak itulah daeng Chelak sentiasa berulang-alik dari Riau ke Kuala Selangor. Lalu berkahwin dengan Daeng Masik Arang Pala kemudian dibawa ke Riau.


Tahun 1742 Daeng Chelak ke Kuala Selangor dengan orang Bugis menyerang Perak dan beberapa ketika disana kemudian ke Selangor. Waktu inilah datang rombongan anak buahnya dari Riau memanggil Daeng Chelak pulang ke Riau dan mangkat dalam tahun 1745.


Ketika Daeng Chelak berada di Kuala Selangor penduduk Kuala Selangor memohon kepada beliau supaya terus menetap di situ sahaja. Walau bagaimana pun Daeng Chelak telah menamakan salah seorang daripada puteranya iaitu Raja Lumu datang ke Kuala Selangor.


Pendapat yang lain pula menyebut, dalam tahun 1743 Raja Lumu telah belayar dari Riau untuk mencari negeri batu ke utara Melaka. Turut serta dalam rombongan itu ialah Daeng Loklokdan beberapa orang pengikutnya. Disebabkan keputusan air minum, rombongan ini pun singgah di sebuah pulau kononnya itu ialah Pulau Angsa sekarang ini. Di situ tidak terdapat air tawar untuk dijadikan minuman lalu singgah dan masuk menyusur ke Sungai Selangor. Setelah sampai ke suatu gelanggang menyabung ayam, jong pun berlabuh. Kedatangan Raja Lumu ini disambut baik oleh anak-anak tempatan kerana beliau dari keturunan Bugis, sebagaimana sumpahan mereka.


Hasrat untuk mencari air tawar untuk miniman itupun luput dari fikiran Raja Lumu bila penduduk tempatan meminta baginda menjadi ketua mereka. Permintaan ini dipersetujui oleh Raja Lumu. Sebagai menyampaikan hajat Raja Lumu, sebuah kolam air tawar di kaki bukit di pinggir Sungai Selangor telah ditunjukkan kepada baginda. Pengakuan dari Raja Lumu inilah berpuncanya kesultanan awal di Kuala Selangor. Raja Lumu dilantik menjadi Yang DiPertuan Selangor pertama, Daeng Loklok dilantik menjadi Datuk Maharaja Lela.


Berita yang mengatakan Raja Lumu anak Daeng Chelak dari Bugis menjadi Yang DiPertuan Selangor itu sampai pula dari pendengaran Sultan Muzaffar Syah di Perak, ketika itu bersemayam di Beruas.


Sultan Muzaffar Syah pun menghantar utusan untuk mempersilakan Raja Lumu barangkat ke Kuala Bernam sebagai pertemuan dengan baginda. Ketibaan Raja Lumu disambut dengan penuh istiadat raja besar-besaran dengan pukulan nobat dan tiupan nefiri. Acara ini dilakukan dengan tujuan sebagai ujian kepada Raja Lumu, adakah beliau benar-benar berketurunan raja yang berdaulat.
Setelah semua ujian itu tidak mendatangkan apa-apa bencana terhadap Raja Lumu, baginda Sultan Muzaffar Syah pun mengesahkan perlantikan tersebut. Seterusnya dinobatkan dan bergelar Sultan Salehuddin Syah, sementara Daeng Loklok digelar Datuk Maharaja Lela Husin.


Pertabalan penuh sejarah itu dilakukan di Pulau Pangkor dalam tahun 1756. Selesai sahaja pertabalan, Sultan Salehuddin Syah pulang ke Kuala Selangor. Itulah Sultan Selangor yang pertama bersemayam di atas Bukit Selangor yang dikenal dengan nama Bukit Malawati.


Menurut Tuffatul al Nafis karangan Almarhum Raja Ali Al Haji, Riau, disitu ketika Tengku Raja Selangor (Raja Lumu) pergi bermain ke Pulau Pangkor, Raja Lumu dijemput oleh Yang DiPertuan Perak untuk mengadap. Dalam perundingan di antara kedua pihak itu bersetuju melantik Tengku Raja Selangor menjadi Yang DiPertuan Besar Selangor digelar Sultan Salehuddin. Kemudian Sultan Salehuddin pun berangkat pulang ke Kuala Selangor diiringi sendiri oleh Yang Dipertuan Besar Perak.


Setelah sampai ke Kuala Selangor Sultan Salehuddin pun ditabalkan dihadapan rakyak Selangor dengan penuh istiadat. Dari sejak itu antara keduanya menjadi sahabat baik sentiasa berutusan. Malangnya dalam buku ini tidak menyebutkan siapakah nama Yang DiPertuan Perak pada ketika itu, tetapi jika memandangkan kepada nama Yang DiPertuan Selangor yang ditabalkan itu ialah sultan Salehuddin memerintah tahun 1756 hingga 1778.


Tetapi Sejarah Melayu v ditulis oleh Buyong Adil dalam The Malay School Series 1952 menyebut Sultan Selangor itu memerintah dalam tahun 1743-1770. Ketika itu baginda berangkat ke Perak dan dinobatkan oleh Sultan Perak bergelar Sultan Salehuddin

Begitu juga dalam sebuah buku cenderamata Selangor 1939 yang bertulis dalam tulisan jawi, diruangan salahsila Sultan Selangor bertulis Siltan Salehuddin memerintah dalam tahun 1743.


Walau bagaimanapun sekiranya benar yang dinobatkan Raja Lumu, memanglah jelas penabalan baginda berkisar dari tahun 1743-1756. Memandangkan pada tarikh ini nyatalah pula Yang DiPertuan Perak ketika itu Raja Inu bergelar Sultan Muzaffar Shah 111 memerintah 1728-1756.


Mengikut buku Misa Melayu yang ditulis oleh Raja Chulan bin Raja Ab. Hamid, semasa Perak diperintah oleh Sultan Mahmud Syah, Raja Selangor datang mengadap ke Perak. Ketika ini Raja Selangor dinobatkan dan terus dikurniakan gelaran Sultan Salehuddin dengan mengurniakan cap mohor.


Kenyataan dari buku Misa Melayu ini agak berbeza dengan pendapat-pendapat lain, tetapi kemungkinan ada sedikit persamaannya dengan keterangan buku yang ditulis oleh Barbara Watson Andaya, Perak bertajuk The Abode of Grace, terbitan Oxford University Press 1979.


Buku ini menyebut Raja Kimas atau Sultan Mahmud Syah Perak yang mengistiharkan Raja Lumu sebagai pemerintah bebas Selangor. Tetapi kenyataan ini boleh juga dianggap pengistiharannya sebagai pemerintah bebas sahaja dilakukan oleh Sultan Mahmud, sebagai mengukuhkan kedudukan Raja Lumu Selangor. Kemungkinan juga pengistiharan penabalan ini dilakukan sebagai membebaskan diri Raja Lumu dari cenkaman Johor dan Riau pada ketika itu.


Keterangan ini berkemungkinan ada benarnya kerana memandangkan tarikh yang disebut di atas tadi, Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah Johor dan Riau apabila berkirim surat kepada Raja Lumu, baginda menggunakan gelaran Sultan Salehuddin.
Sejarah Johor ini juga ada mengatakan pada 30hb. January, 1756, Sultan Sulaiman (Johor) berangkat ke Riau. Pada tahun itu juga didapati bermulanya gelaran raja pemerintah Selangor itu Sultan Salehuddin iaitu abang Raja Haji, putera Daeng Chelak Yamtuan Muda Riau Kedua.


Memandangkan dari keterangan-keterangan tadi jelaslah bahawa Raja Lumu dinobatkan oleh Sultan Muzaffar Syah 111 Perak kira-kira sebelum tahun 1756. Menyentuh mengenai kepulangan Sultan Salehuddin Selangor selepas diistiharkan menjadi Yang DiPertuan Selangor juga terdapat beberapa perbezaan : Mengikut Tuhfakul al Nafis kepulangannya diiringi oleh Yang DiPertuan Perak. Sementara dalam buku Misa Melayu pula mengatakan selepas Raja Lumu dinobatkan bergelar Sultan Salehuddin, baginda kemudiannya berangkat mendapatka Rja Haji yang sedang berperang ke negeri Kedah.


Begitu juga dalam Sejarah Alam Melayu V menyebut, Raja Lumu Selangor datang ke Perak dan meminta gelaran kepada Yang DiPertuan Perak, tetapi tidak menyebut siapakah pengiringnya waktu pulang ke Selangor.


Mengikut suatu pendapat cara lisan jika menganalisa dari peribadi Raja Lumu, sebelum dianya bergelar baginda telah berkahwin dengan salah seorang puteri Perak. Jika ini benar tidaklah syak lagi ada kebenarannya Yang Dipertuan perak mengiringi baginda pulang ke Selangor. Lebih-lebih lagi Raja Lumu semasa berada di Perak hanya menerima gelaran sahaja, sedangkan penobatannya berlangsung di Kuala Selangor, yakni di hadapan rakyat Selangor. Memang ada kemungkinan Yang DiPertuan Perak turut menyertai upacara itu.


DARI UNSUR-UNSUR LAIN

Di Klang ketika itu ada empat orang datuk yang sama sahaja jawatannya iaitu Datuk Engku , Datuk Aru, Datuk Penggawa dan Datuk Kecil Yang Tujuh (Anak Encik Kuning) yang menggelar dirinya Orang Kaya Klang setelah mendapat persetujuan dari Datuk Engku, selaku pemimpin utama ketika itu.


Disebabkan keempat-empat mereka ini mempunyai tanggungjawab yang sama, mereka pun mengambil keputusan supaya menjemput seorang raja sebagai penaung. Dari sebab-sebab inilah Raja Lumu dijemput khas datang ke Selangor menjadi Yang DiPertuan pertama bertempat di Bukit Selangor dengan persetujuan ayahandanya, Daeng Chelak.


Keterangan ini juga diikuti pula satu keterangan lain itu sebelumnya Raja Lumu datang, Selangor telah ada mempunyai ketua atau orang besar bergelar Datuk Engku Pinang Tunggal. Makamnya masih ada di Sungai Way, Selangor. Datuk Engku Klang ini lima beradik berasal dari Johor, mendapat arahan dari ayahandanya, Bendahara Sekudai supaya datang ke Selangor. Empat orang adiknya yang lain ialah Datuk Kelana, Datuk Jelebu, Datuk Johol dan Datuk rembau. Kesemuanya bertapak di Negeri Sembilan.


Setelah empat keturunan dari Datuk Engku iaitu di zaman Datuk Engku naga Menghulur, ketika inilah orang ramai berkehendakan seorang raja sebagai payung. Oleh kerana ketika itu Selangor berada dalam pengaruh Bugis, terpaksalah raja ini diambil daripada kaum Bugis yang telah sedia ada di Selangor.


Pilihan ini jatuh kepada seorang Bugis bernama Harun pasarai dalam tahun 1700 dengan tabal oleh Datuk Engku Klang serta menyerahkan mohor. Beliau mangkat pada tahun 1723, kemudian digantikan oleh adiknya bernama Raja Siti, bertempat di Klang. Raja Siti mangkat dalam tahun 1743, juga tidak meninggalkan seorang zuriat pun. Inilah yang menyebabkan Raja Lumu diminta menjadi Yang DiPertuan Selangor, di Kuala Selangor.


Dari keterangan tersebut dapatlah suatu kesimpulan bahawa sebelumnya Raja Lumu menjadi Yang DiPertuan, Selangor (Klang) telah mempunyai ketua, tetapi kuasanya tidak melibatkan Kuala Selangor.


Cerita ini agak bercanggah dengan apa yang dituliskan oleh R.O Wenstedt mengenai Negeri Sembilan JMBRSS Vol X11, pt 3 1935, menyebut Raja Lumu tidak diterima oleh Datuk Engku Klang sebagai Yang DiPertuan Selangor terkecuali sesudah Raja Lumu dinobatkan oleh Sultan Perak.


Menurut dari buku Cenderamata Selangor mengatakan kira-kira tahun 1643, Raja Lumu (Lumun) seorang putera Daeng Chelak Raja Bugis telah datang ke Selangor dan menjadi Sultan Selangor Pertama bergelar Sultan Salehuddin Syah.

SULTAN-SULTAN SELANGOR YG BERTAKHTA DI KUALA SELANGOR


SULTAN SALEHUDDIN (1756 - 1778)
Buku sejarah mengenai Selangor menyebut bahawa Raja Lumu hanya mempunyai seorang adik lelaki bernama Raja Haji yang dianggap Panglima Bugis paling perkasa ketika itu, terutamanya menentang Belanda.


Tetapi ada pendapat lisan mengatakan Raja Lumu mempunyai dua orang adik, Raja Haji dan seorang lagi perempuan bernama Raja (Daeng) Hafsah, yang berkahwin dengan Daeng Lakani, kemudiannya membuat tempat di Api-api.


Dari keluarga yang tertua inilah menjadi Yang DiPertua Selangor bergelar Sultan Salehuddin Syah bersemayam di atas Bukit Selangor. Baginda di atas kerajaan dari tahun 1743 (1756) hingga 1778. Apabila mangkat dikebumikan di bukit tersebut dan dinamakan Marhum Salleh.


Baginda juga telah melantikseorang Bugis bernama Daeng Loklok bergelar Datuk Maharaja Lela Husin. Seorang daripada anak perempuannya bernama Cik Long Halijah berkahwin dengan Raja Ibrahim, putera Raja Lumu dan juga Sultan Selangor kedua.
Di zaman pemerintahan Sultan Salehuddin inilah negeri Selangor masuk ke kancah peperangan menentang Belanda yang dibantu oleh Tun Dalam Raja Kecil Yang DiPertuan Trengganu. Inilah juga masanya Selangor berperang dengan Kedah.
Penglibatan Sultan Salehuddin dalam peperangan membantu adiknya Raja Haji inilah membawakan Belanda mengarah pandangan dan bercita-cita menakluk Selangor (Kuala Selangor).


Kemangkatan Sultan salehuddin meninggalkan empat orang putera iaitu Raja Ibrahim, Raja Nala, Raja Idris dan Raja Ja'afar.

SULTAN IBRAHIM (1778 - 1826)
Raja Ibrahim putera sulong Sultan Salehuddin dilantik menjadi Sultan Selangor kedua, adiknya Raja Nala dilantik menjadi Raja Muda dan dua orang yang lain menjadi Orang Besar bergelar di Selangor.


Sultan Ibrahim dianggap seorang Sultan yang berani berhati waja di samping mempunyai pengalaman yang melalui percampurannya semasa dari kanak-kanak lagi. Baginda sering mengikut ayahandanya dalam setiap lawatan seperti ke Riau, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.


Bunga peperangan dan perang kecil sentiasa berlaku antara orang Bugis dengan orang Belanda sejak tahun 1740an lagi. Api ini terus menyala selepas 14hb. January, 1784. Peperangan inilah yang mengakibatkan mangkatnya Raja Haji oleh Belanda, kemudiannya dimakamkan di Teluk Ketapang digelar Marhum Ketapang.


Kemangkatan Raja Haji menimbulkan kemarahan Sultan Ibrahim menyebabkan Selangor terlibat secara langsung dari persengkitaan antara Belanda dengan Johor itu. Sebagai persiapan berjaga-jaga dari serangan Belanda terhadap Selangor,Sultan Ibrahim telah membina dua buah kota. Kota batu atas Bukit Selangor dan kota tanah di atas Bukit Tanjung.


Sangkaan ini tepat, pada 2hb. Ogos, 1784, Belanda meyerang dan menakluki kedua-duanya kota tadi. Sultan Ibrahim dengan menakluki kedua-dua kota tadi. Sultan Ibrahim dengan orang-orangnya lari ke Ulu Selangor,lalu ke Pahang menemui Bendehara Ab. Majid meminta bantuan. Semasa di Pahang Sultan Ibrahim sempat berkahwin dengan Tun Selamah, anak Bendahara Ab. Majid.


Selama Belanda di Kuala Selangor dia telah memperbaiki kota batu di Bukit Selangor. Diberinya nama Kota Altings burg sempena nama Gebenor Jeneral Belanda pada masa itu.


Begitu juga kota tanah di Bukit Tanjung dinamakan Kota Utrecht iaitu mengikut nama kapal Jacob Pieter van Braam, kemudiannya kota ini dipanggil Kota Belanda oleh Orang Melayu.


Ketika inilah Belanda melantik Raja Muhammad Ali memangku jawatan Sultan Selangor dengan dibantu anak saudaranya, Syed Ali. Kedua-duanya dari Siak. Berundurnya Sultan Ibrahim ke Pahang tidak bererti tewas terus-menerus, malah baginda menyusun pasukan tentera dan memperkemaskan segala kelengkapan di samping azam dan semangat yang berkobar-kobar.


Dengan satu tekad menuju ke matlamatnya, pada 27hb.Jun, 1785, angkatan Sultan Ibrahim berjaya menghalau Belanda yang berada di Kuala Selangor. Setelah Kuala Selangor ditadbir oleh Sultan Ibrahim baginda cuba mententeramkan Selangor dengan membuat dua perjanjian dengan Belanda iaitu pada 29hb. Julai, 1786 dan 29hb. Julai, 1790. Kemudiannya berbaik-baik dengan Kompeni Inggeris di Pulau Pinang serta membuat perjanjian perniagaan pada 23hb. Ogos, 1818.


Di zaman pemerintahan baginda jugalah Raja Hasan dihantar k Kuala Bidor sebagai pemungut cukai bijih timah yakni sebagai suatu tanda bahawa wilayah ini tertakluk ke Selangor. Kemudian pada 11hb. Julai, 1823, sultan menandatangani perjanjian dengan Perak mengenai bijih timah.


Ketika itulah juga Siam berazam untuk menakluki Selangor. Hasil daripada perkara tersebut lahirlah pula Perjanjian Burnai pada 20hb. Jun, 1826. Akhirnya pada 27hb. Oktober, 1826 Sultan Ibrahim mangkat kemudiannya dimakamkan di atas Bukit Selangor.


Almarhum meninggalkan tujuh orang putera dan beberapa orang puteri. Mereka-mereka itu Raja Muhammad, Raja Hasan, Husain, Ahmad, Abdullah, Said dan Raja Ismail.



KUALA SELANGOR DALAM PENTADBIRAN BELANDA
Belanda menduduki di kedua-dua buah kota di Kuala Selangor dari 2hb. Ogos, 1784 hingga 28hb. Jun, 1785. Mengikut ceritanya Belanda dikalahkan hanya dalam tempuh semalam sahaja.


Tuhfat al Nafis menyebut Yamtuan Muhammad Ali membantu Belanda menyerang Kuala Selangor, kemudiannya merampas harta orang-orang di Kuala Selangor dan dibawanya pulang ke Siak.


Tinggallah Syed Ali menggelar dirinya Yang DiPertuan Selangor, tinggal di atas Bukit Kota iaitu istana Sultan Ibrahim. Dari semenjak itu tetaplah Syed Ali menjadi Yang DiPertuan Selangor dalam pemerintahan Belanda.


Sejarah Selangor pula menyebut, setelah Belanda menawan Kuala Selangor mereka telah mengangkat Raja Muhammad Ali jadi pemangku Yang DiPertuan Selangor dibantu oleh Syed Ali. Raja Muhammad Ali tidak lama di Selangor dengan Syed Ali menggantikannya tetapi tidak akui oleh pembesar-pembesar Selangor.


Sementara Sejarah Alam Melayu pula mengatakan pada 2hb. Ogos, 1784, Belanda menakluki Kuala Selangor. Sultan Ibrahim berlepas ke Bernam sementara itu Belanda di Kuala Selangor melantik Raja Muhammad Ali , anak Raja Alam dan cucu Raja Kecil Siak jadi Sultan Selangor. Tidak lama lepas itu Raja Muhammad Ali pun keluar dari Kuala Selangor.


Buku ini tidak pula menyebut apakala Raja Muhammad Ali keluar dari Kuala Selangor tempatnya diambil alih oleh Syed Ali, sebagaimana yang terdapat dalam keterangan sebelumnya.


Belanda gagal memujuk penduduk Kuala Selangor walaupun dijanjikanhendak memberikan pengampunan beramai-ramai supaya mereka pulang ke rumah masing-masing. Orang-orang besarnya enggan mengiktiraf sultan yang dilantik oleh Belanda sebagai Yang DiPertuan Selangor.


Orang ramai pula tidak mahu menjalankan perniagaan bijih timah dengan Belanda, selagi raja yang berhak tidak ditabalkan. Perdagang yang lain dibekukan terus sementara Syed Ali menghabiskan masanya dengan merompak dan membinasakan daerah ini.

Belanda melantik Raja Muhammad Ali sebagai pemangku Yang DiPertuan Selangor kerana untuk membalas jasa beliau yang membantu Belanda menentang Riau, Johor dan Selangor.


Di antara tiga orang Sultan Selangor yang bersemayam di Kuala Selangor, Sultan Ibrahimlah yang paling lama memerintah. Baginda juga dipandang oleh rakyat sebagai seorang sultan yang paling gigih.

SULTAN MOHAMMAD (1778 - 1836)
Sebagai ganti Sultan Ibrahim ditabalkan Raja Muhammad iaitu Raja Muda. Walaupun baginda bukan anak isteri pertama bergelar Sultan Muhammad bersemayam di Kuala Selangor juga.


Pentadbiran baginda yang lemah itu menyebabkan Kuala Selangor menjadi sarang perompak. Buktinya peristiwa pembunuhan beramai-ramai terhadap Orang Melayu ioleh Cina di Lukut tidak diambil tindakan, sedangkan baginda sendiri banyak berhutang kepada saudagar-saudagar di Melaka.


Perbuatan berhutang ini hingga melibatkan baginda sendiri hendak dicolek oleh saudagar-saudagar di Melaka. Nasib baginda agak baik, menantu Raja Juma'at memberikan jaminan akan melangsaikan segala hutang-hutang tersebut.

Dari kelemahan baginda inilah juga yang menyebabkan seorang keluarga Diraja Selangor bernama Raja Busu dengan sewenang-wenangnya membuka Lukut kerana bijih timahnya tetapi tidak membayar ufti kepada Sultan Muhammad. Kelemahan-kelemahan baginda ini juga membuka luas pintu perang saudara di Selangor. Baginda juga terlalu suka memberikan sesuatu kawasan di bawahnya itu kepada menantu tidak kepada anak lelaki baginda.


Seperti mana yang terdapat Kuala Lumpur diserahkan kepada Raja Abdullah, Klang pada mulanya diberikan kepada anak lelakinya, Raja Sulaiman, tetapi apabila berlaku sesuatu Klang diserahkan pula kepada menantunya. Sementara Lukut pula diserahkan kepada Raja Juma'at iaitu menantu baginda.


Sikap memberikan kuasa Selangor dari anak kepada menantu ini menimbulkan perang saudara antara Raja Mahadi (anak saudara) menentang beliau. Begitu juga kuasa mentadbirkan negeri Selangor sendiri juga diserahkan kepada Raja Ab. Samad suami Tengku Atfah, turut membangkitkan peperangan saudara.


Kuasa menantu ini lebih meluas dan menjadi kemarahan rakyat, apabila pentadbiran Selangor diserahkan oleh Sultan Ab. Samad kepada menantunya Tengku Kudin. Kesemua perang saudara ini secara tidak langsung melibatkan Kuala Selangor. Dari pergolakan ke pergolakan yang lain menyebabkan Selangor dalam keadaan kacau-bilau. Akhirnya baginda mangkat dalam keadaan negara yang tidak stabil pentadbirannya. Baginda dimakamkan di tempat yang sama di atas Bukit Selangor.

Dengan kemangkatan sultan Muhammad, Sultan Selangor tidak lagi bersemayam di Jugra. Perpindahan tersebut berlaku kerana pergeseran antara orang-orang besar di Kuala Selangor mengenai penggantian sultan.


Pergolakan antara Raja Muhammad, putera Sultan Muhammad dengan Tengku Ampuan basik yang masih kecil dilantik sebagai Raja Muda dan dipangku oleh Raja Juma'at (Lukut) berterusan kepada perang saudara. Ketiga-tiga makam almarhum tersebut masih terdapat hingga ke hari ini dan terpelihara dengan baik di atas Bukit Selangor bersama pusara yang lain.


Setelah pentadbiran Selangor berpindah ke Jugra, di Kuala Selangor hanya tinggal seorang wakil sultan untuk memungut cukai di Sungai Selangor iaitu Raja Musa, putera Sultan Ab. Samad.
Apakala wakil sultan ini dihapuskan, Kuala Selangor hanya tinggal di bawah pempinan seorang besar daerah berjawatan Yang Dihormati Datuk Penggawa Paduka Mahabijaya Permatang dan Kuala Selangor, iaitu salah seorang dari empat orang besar Selangor.

ORANG BESAR KUALA SELANGOR
Jawatan ini bermula pada tahun 1785 semasa Selangor diperintahkan oleh Sultan Ibrahim. Orang yang pertama tidak diketahui tetapi nyata jawatan tersebut diteruskan hingga ke pemerintahan Sultan Alauddin Sulaiman Syah yang bersemayam di Klang. Pada 20hb. Oktober, 1898, Sultan Sulaiman telah melantik seorang besar Penggawa Permatang iaitu :

Datuk Haji Ahmad bin Baba, bergelar Datuk Penggawa Tua Permatang Paduka Mahabijaya.

Datuk Haji Mohd. Shah, digelar pada tahun 1916.

Datuk Ismail bin Mohd. Shah, digelar pada 13hb. Mei, 1948.

Datuk Hj. Ibrahim bin Datuk Ismail, dilantik pada 13hb. Mei, 1958 bergelar Paduka Mahabijaya Permatang dan Kuala Selangor. Masih bertugas.

Mengikut setengah pendapat, di Jeram dahulunya ada seorang ketua bernama Datuk Mafak dikatakan mati tertembak peluru emas, lepas itu digantikan oleh adiknya bernama Datuk Sulaiman. Dari keturunan inilah yang digelar oleh Sultan Sulaiman sebagai Penggawa Permatang itu.
Disebabkan Permatang merupakan sebuah kampung Diraja Selangor, itulah sebabnya orang besar daerah tersebut diminta berada atau disebut Penggawa Permatang.

Radzi Sapiee said...

OK... Baru selesai baca semua. Memang menarik info di sini. Adapun tentang kawasan Kuala Selangor diperintah Bugis sejak dahulu memang diketahui. Cuma officialnya baru bermula apabila Raja Lumu dinobatkan oleh Raja Perak.
Apa yang saya masih cuba mencari adalah kaitan lama Bugis-Aceh sekitar 1,000 tahun lalu. Rasanya ada kena-mengena dengan bangsa Bugis Kembayat dan kerajaan lama Kembayat Negara juga.
Lagi satu teringat, dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu, bab cerita todak menyerang Singapura, ada disebut bahawa Tun Jana Khatib datang daripada Pasai bersama beberap orang sahabat. Salah satunya adalah Tuan di Samarlingga yang juga dikenali sebagai Tuan di Selangor.
Samarlingga ini terletak di Aceh sekarang, satu kawasan yang kemudian pernah diperintah Bendahara Johor Tun Sri Lanang selepas beliau ditawan bersama Sultan Johor oleh Sultan Iskandar Muda Aceh. Samarlingga atau Semelenga juga adalah tempat yang dinyatakan dalam Hikayat Raja-raja Pasai di mana 2 adik-beradik Raja Ahmad dan Raja Muhammad masing-masing mendapat anak angkat, seorang puteri daripada buluh betong dan seorang putera yang dibela seekor gajah tunggal. Anak-anak ini kemudian dikahwinkan, lalu mendapat Merah Silu, pengasas kerajaan Samudera-Pasai.
Di sini saya terfikir apakah cerita tentang Tun Jana Khatib yang berlaku lama sebelum Melaka diasaskan tahun 1400an dengan menyebut Tuan di Samarlingga itu juga dikenali sebagai Tuan di Selangor menunjukkan satu kaitan lama Selangor dengan Aceh, mungkin juga bermakna Bugis dengan Aceh?

Anonymous said...

MS,

hmmm ... menarik pasal kembayat negara tu. Kena cari info pasal kembayat negara ni. Arigatou MS.

Sebelum ni saya ada diberitakan, makam Upu Chendera Burung ni ada di Bukit Hospital, puas saya pusing2 .... belum terjumpa. MS ada info ke pasal ni? Mcm kawasan ni dah bertukar nama sebab anak tempatan situ pun tak pasti dimana bukit hospital.

-awanbadai-

NORAINI SUHOR said...

Assalamualaikum,

Saya tertarik dengan satu kenyataan..
"Tetapi ada pendapat lisan mengatakan Raja Lumu mempunyai dua orang adik, Raja Haji dan seorang lagi perempuan bernama Raja (Daeng) Hafsah, yang berkahwin dengan Daeng Lakani, kemudiannya membuat tempat di Api-api."

Boleh saya tahu saudara dapat maklumat lisan tersebut dari siapa. Thanks

Radzi Sapiee said...

Wassalam. Saya dah lupa dapat dari mana. Mungkin dari bekas YB Kuala Selangor (lupa nama) yang ada tulis buku pasal Kuala Selangor. Yang pasti Raja Lumu dan Raja Haji memang adik beradik dan adik beradik perempuan bernama Daeng Hafsah yang berkahwin dengan Daeng Lakani.

Anonymous said...

Daeng hafsah aminah(cik long hafsah) Dan daeng lakani itulah keturunan hamba..