Salam petang Rabu 7 Syawal. Alhamdulillah. Setelah melepaskan sedikit rasa melalui artikel Analisis corak dan tren perjalanan - Obsesi tentang jarak tengah malam tadi baru terasa cukup lega. Walaupun obsesi mengira jarak belum lagi selesai sekurang-kurangnya terasa lebih ringan untuk menangani perkara. Maka bersambung cerita daripada artikel Analisis corak dan tren perjalanan - Zaman wartawan di New Straits Times 1996 - 2001.
Adapun perjalanan terakhir disebut dalam Analisis corak dan tren perjalanan - Zaman wartawan di New Straits Times 1996 - 2001 ada dalam Senarai 171 perjalanan menurut kronologi dari tahun 1989 hingga 2021 telah diletakkan sebegini :-
14. Kali pertama ziarah makam tahun 2001 - sekitar 780 km. Lihat Kompilasi cerita kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001.
Bila dah ziarah makam itu bermakna dah mula mencari makna diri dan erti le. Malah bunga-bunganya sudah ada sejak awal tahun 2001 apabila tergerak untuk membaca tentang hal-hal seperti konspirasi Yahudi Zionis dan Illuminati mahu menakluki dunia. Cuma ketika itu saya masih bertugas sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times. Kira-kira sebulan dua selepas membuat perjalanan pertama menziarahi makam saya dibuang kerja.
Hal ini ada dipanjangkan dalam artikel Hari-hari terakhir sebagai wartawan - Cabaran seorang idealis mahu mengangkat ketamadunan tinggi di Malaysia. Lupa tarikh tepat dibuang itu tetapi ketika itu tinggal seminggu dua sahaja sebelum raya Aidil Fitri.
Semakan dengan program Gregorian to Hijriah Converter menunjukkan 1 Syawal jatuh pada 16 Disember tahun itu. Sedangkan perjalanan pada fasa ini (selepas tidak lagi menjadi wartwan) yang ada dalam Senarai 171 perjalanan menurut kronologi dari tahun 1989 hingga 2021 cuma bermula pada satu waktu dalam tahun 2003. Biar diletakkan senarai bagi tempoh yang hendak diperkatakan iaitu dari penghujung 2001 sehingga blogspot ini dibuka penghujung 2006 menurut pernomboran dalam artikel. Selepas itu kita cuba isi kelompongan...
Kelihatan tiada apa ditunjukkan untuk tahun 2002 langsung. Apakah boleh orang seperti saya tidak keluar berjalan selama setahun? Tentu mustahil kecuali sakit teruk terlantar di hospital atau sebagainya. Malah bila diingat kembali sebelum masuk musim raya tahun 2001 iaitu selepas seminggu lebih dibuang kerja pun ada berjalan jauh. Yang timbul dalam ingatan adalah kembali ke kampung bekas isteri di Seberang Perai. Selama beberapa hari ada berjalan ke Georgetown, Bukit Mertajam dan sekeliling.
Saya sudah lupa nama kampung bekas bapa mertuau tapi ingat ada lalu tempat nama Lahar Yooi (disebut Lahaq Yooi). Dengan itu boleh dibuat lakaran mudah perjalanan seperti di atas. Taman Bukit Maluri itu adalah dari rumah bekas mertua. Lakaran mudah menunjukkan jarak 763 km sedangkan ada lagi perjalanan dibuat di sekitar lalu boleh membawa jarak menghampiri 800 km.
Takpa. Ini cuma satu contoh perjalanan jauh yang telah diabaikan juga dilupakan sekian lama. Ketika menulis baru teringat. Saya percaya ada beberapa perjalanan jauh lagi boleh dikesan kalau betul-betul hendak menggali. Kalau campur perjalanan biasa dari rumah sendiri (menyewa di Segambut) ke rumah mertua dan tempat-tempat lain di Lembah Klang saya percaya boleh melepasi purata orang biasa 2,000 km sebulan seperti disebut dalam Analisis corak dan tren perjalanan - Obsesi tentang jarak.
Kita cuba ingat perjalanan-perjalanan yang signifikan dahulu. Dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" yang terbit Jun 2006 ada disebut begini :-
Tahun 2002 adalah satu tempoh yang amat mencengkam jiwa. Tiga bulan selepas nenek pergi, adik lelaki bongsu Rasyid pula maut akibat kemalangan jalan raya. Ini berlaku sehari selepas isteri pemuda itu melahirkan anak pertama mereka. Tidak cukup itu, seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri, ibu kepada bondanya, orang yang dipanggil “Mak” kerana menjaga dan membesarkannya sejak kecil turut serta menyambut panggilan Ilahi.
Ketika itu, anak muda yang mula kelihatan seperti orang sasau dengan penampilan tidak terurus akibat terlalu taksub mengembara mencari jawaban di samping memendam rasa sedih yang mencengkam jiwa akibat musibah yang kunjung tidak putus baru setakat tahu bahawa Keramat Kuala Bidor itu mempunyai kaitan dengan Sultan Malikus Salih yang mengasaskan kerajaan Samudera Pasai abad ke 13 Masihi.
Ya. Tahun 2002 adalah tahun kesedihan buat saya. Ketika perjalanan yang diceritakan dalam
Kompilasi cerita kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 dibuat sekitar penghujung September ke awal November saya baru hendak mengenali asal usul keturunan melalui arwah Nenek, ibu kepada bapa. Dalam sebulan lebih kemudian dibuang pula kerja. Saya kembali berhari raya ke kampung bekas bapa mertua dalam keadaan muram, bekas isteri asyik bermasam muka.
Melalui maklumat yang tercatat dalam buku dapat dikenang kembali bagaimana tidak sampai tiga bulan selepas bertemu Nenek iaitu sekitar Januari 2002 beliau jatuh sakit. Tidak mampu berkata-kata, setakat mampu memberi isyarat dengan tangan dan mata. Lima bulan selepas itu, harus pada bulan Jun beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Ini berlaku dalam pangkuan saya ketika sedang dibawa kembali ke rumah dari hospital dengan ambulans. Biar dikongsikan cerita berkenaan daripada buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?" yang terbit November 2007.
Awal pagi Khamis pertengahan 2002, Rasyid mendapat panggilan telefon daripada ayah. Mereka jarang berhubung kecuali jika ada perkara penting. Ternyata panggilan itu sangat penting bagi keluarga...
“Rasyid,” kata ayah. “Nenek semakin teruk. Dia sekarang di Raub.”
Pemuda itu faham maksud ayah... Sebelum itu, ibu kepada ayahnya ini telah terlantar sakit lebih tiga bulan di Hospital Daerah Bentong... Sakit tua campur kencing manis campur darah tinggi dan entah apa-apa lagi penyakit. Selama terlantar di katil hospital, Nenek lebih banyak tidur, lemah, sakit-sakit badan dan kepala, langsung tidak boleh bersuara. Dia tahu Nenek tak mampu bertahan lagi. Sudah sampai masanya wanita berumur hampir 80 tahun itu meninggalkan dunia yang fana’ ini.
“Baiklah,” jawab Rasyid. “Saya bergerak ke Raub sekarang.”
Pemuda itu bersiap sekadar yang perlu kemudian menghantar pesanan SMS kepada isterinya yang sedang bertugas untuk memaklumkan rancangan. Enjin motosikal besarnya dihidupkan dan dia pun meninggalkan Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan itu, kata-kata Nenek dalam perbualan terakhir mereka lebih setengah tahun lalu terngiang-ngiang di telinga...
“Ingat! Kamu berasal dari keturunan orang baik-baik. Jaga nama baik keluarga. Akan ada amanah besar yang perlu kamu pikul nanti. Ingat itu!”
Ya… Saya ingat, Nenek. Tidak pernah terlupa walaupun sedetik. Sebab itu cucunda sanggup mengembara ke sana ke mari mencari dan menziarahi makam-makam lama untuk mengenali asal-usul keluarga... Sanggup bertungkus-lumus menggali kembali cerita-cerita Melayu lama, sanggup meninggalkan keselesaan hidup, kerjaya yang elok dan lumayan malah sanggup mengenepikan rumahtangga sehingga dituduh gila...
Saya tahu Nenek sengaja tidak menceritakan segala-galanya, setakat memberi sedikit sejarah keluarga supaya cucunda keluar berkelana. Sebab itu saya sanggup menempuh perjalanan hidup yang mencabar demi menyerlahkan diri sejati supaya mampu memikul amanah itu nanti.
Motosikal berkuasa tinggi yang meluncur laju 120kmj hingga 140kmj mula memasuki bahagian lebuhraya yang berliku mendaki Banjaran Titiwangsa. Tiba-tiba terdengar letupan kuat di sebalik deruan angin.
“Ah!” bisik hatinya. “Bunyi seperti tayar motosikal aku meletup!”
Kebetulan kedua-dua tayar motosikal itu sudah lama licin tanpa bunga. Tetapi dia terus menggunakannya kerana tidak mampu menukar baru. Maklumlah tayar hadapan RM300 harganya, yang belakang RM400!
Bayangkan, tayar belakang buruk yang sudah lebih tiga bulan kelihatan benang. Di sesetengah bahagian, jaringan benang yang sepatutnya tersorok di dalam getah telah menonjol keluar sehingga mengelilingi seluruh ukurlilit tayar bermakna bila-bila masa sahaja ia boleh bocor! Bayangkan...
Pemuda itu buat-buat tidak tahu apa yang berlaku dengan harapan letupan kuat yang kedengaran berasal dari sebuah lori besar yang dilepasinya tadi. Sambil itu dia tak henti-henti berzikir dalam hati memohon pertolongan Allah SWT supaya sempat sampai ke Raub dengan selamat. Kelajuan motosikal dikurangkan kepada 80kmj hingga 100 kmj kerana jalan berliku tajam. Sekitar 5km selepas melepasi terowong bawah-tanah di Genting Sempah di mana penurunan Banjaran Titiwangsa bermula, motosikal itu mula terasa ‘geylong’, tidak stabil dan susah hendak dikawal.
Ternyata tayar belakang motosikal sudah kempis kerana besi rim tayar terasa bergesel dengan jalan. Rasyid yang sedang berada di laluan pantas memberikan insyarat untuk ke tepi jalan sambil memperlahankan motosikal dengan kadar terkawal supaya tidak tergelincir. Nasib baik dia telah menghampiri simpang ke pekan Bukit Tinggi lalu dapat keluar daripada lingkungan lebuhraya yang tertutup. Pemuda ini terus menghalakan motosikal pancit itu ke kawasan kedai yang berdekatan. Kebetulan ayah dan ibu yang bergerak dari Muar baru hendak sampai ke Kuala Lumpur... Mereka dapat dihubungi lalu boleh ditumpang sampai ke Raub.
Rasyid sampai ke Hospital Besar Raub lebih kurang dua jam kemudian. Ketika itu beberapa orang saudara-mara telah berkumpul mengelilingi katil di mana Nenek sudah lebih tiga hari tidak sedarkan diri... Dapat bernafas pun dengan sokongan alat life-support machine... Pemuda itu terus meluru ke sisi lalu menggenggam tangannya. Nadinya sangat lemah menandakan nyawanya sedang berada di hujung tanduk…
Seorang sepupu mendapat tahu apa yang berlaku tadi lalu menawarkan diri untuk menolong membawa motosikal pemuda itu kembali ke Raub.
“Kamu tidak boleh meninggalkannya di Bukit Tinggi,” dia memberitahu. “Di situ lori-lori besar biasa keluar masuk. Takut ada yang berniat jahat lalu mengangkut dan membawa motosikal kamu pergi.”
Rasyid termenung panjang. Perlukah ke sana meninggalkan Nenek yang sedang nazak? Pemuda ini bertafakur sebentar... Lalu hati kecilnya berkata, nenda akan bertahan sedikit lagi sekurang-kurangnya untuk menunggu kesemua anak-anaknya yang bertebaran di Semenanjung kembali ke sisi.
Anak muda itupun mengangguk bersetuju. Kata sepupunya, mereka boleh pergi ke kedai di Bentong yang menjual barangan motosikal besar dan meminta pihak kedai supaya membawa van ke Bukit Tinggi untuk mengangkut motosikal lalu ditukarkan tayar. Cuma satu sahaja masalah... Dia tidak ada wang untuk membeli tayar baru. Nasib baik ayah sedia menolong. Sejak mula bekerja enam tahun lalu, Rasyid tidak pernah meminta duit daripada orang tuanya tetapi kali ini dia tiada pilihan... Ayah faham keadaannya lalu menghulurkan RM400 daripada poket baju.
Dipendekkan cerita, motosikal itu dapat diangkut ke Bentong dan ditukarkan tayar serta dilengkapi getah tiub baru dengan jumlah harga RM380. Sepupu Rasyid pula menggeleng-gelengkan kepala apabila melihat tayar lama yang koyak berlubang besar...
“Nasib baik tak tergolek,” katanya. “Kamu memang beruntung dapat selamat kerana Tuhan memang mahu menemukan dengan Nenek.”
Bayangkan... Tayar itu bukan sahaja telah terkoyak berlubang besar malah tiub yang terletak di dalam pun boleh terkeluar terbang! Plet nombor di belakang pula berkecai tinggal serpihan yang dikunci dengan skru, mungkin kerana dihentam tiub yang terkeluar. Sebab itu boleh terdengar bunyi letupan kuat... Rupa-rupanya bunyi tayar pecah campur plet belakang yang dihentam. Dalam keadaan itu, Rasyid bukan sahaja selamat malah berjaya menunggang motosikal mendaki lebuhraya berliku dan agak curam di beberapa tempat pada kelajuan 80kmj hingga 100kmj, terus berjalan 10km lagi untuk sampai ke simpang keluar yang membolehkannya berehat!
Pagi Jumaat sekitar jam 9, Nenek sudah begitu nazak. Pihak hospital menasihatkan supaya dibawa kembali sahaja ke rumah. Tiada apa lagi mampu dilakukan, tidak ada guna nafasnya terus disokong alat. Rasyid terdiam menerima hakikat. Dia tahu Nenek sudah lama merana akibat kencing manis, darah tinggi, rasanya sakit jantung sekali. Elok juga dilepaskan pergi, biarlah dia berehat setelah lama menanggung derita.
Cuma pemuda ini terkilan kerana tidak dapat mengenalinya seperti sepatutnya. Selama ini dia lebih rapat dengan keluarga sebelah ibu, kali terakhir berbual dengan Nenek pun setelah lebih tiga tahun tidak menziarahinya. Pencarian untuk memahami diri pula masih jauh sedangkan Neneklah satu-satunya ahli keluarga yang arif tentang keadaannya.
Tanpa dipinta, Rasyid menjadi satu-satunya ahli keluarga yang menemani Nenek di dalam ambulans menghantarnya kembali ke rumah. Peluang itu digunakan untuk mengadu betapa perit keadaan hidupnya setahun kebelakangan... Betapa dia mengharapkan Nenek dapat memberikan sedikit lagi petunjuk dan menerangkan keadaan kepada ahli keluarga lain terutama ayah supaya tidak terus dipandang serong.
Rasyid memeluk rapat tubuh Nenek yang terkulai layu apabila jalan pintas berbonggol menyebabkan tubuh itu melambung. Dia mula tersedu-sedan menahan air mata... Apabila memasuki kawasan rumah, terasa semacam getaran elektrik mengalir daripada tubuh Nenek disertai hawa panas dan rasa seram-sejuk. Ah! Apakah ini hembusan nafasnya yang terakhir? Ya Allah, berilah aku kekuatan. Apakah satu-satunya ahli keluarga yang mampu memahami keadaanku sudah tiada lagi?
Sebaik sahaja ambulans berhenti, saudara-mara lain bergegas mendapatkan tubuh Nenek lalu diangkat menaiki tangga masuk ke dalam rumah yang sudah penuh dengan ahli keluarga dan pengunjung, Kata mereka, Nenek sempat hidup sampai ke muka pintu. Apapun, pemuda itu dapat mengangkat tubuh Nenek sampai ke permandian di dapur... Sempat melihat mukanya senyum berseri-seri setelah selesai dibasuh...
Al Fatihah untuk Nenek. Semoga berkekalan bahagia di sisi Pencipta… Dalam diam, Rasyid berazam akan mematuhi segala pesanan nenda. Insyallah, dia akan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan beramanah sebaik mungkin dengan zat dan darah yang mengalir di dalam tubuhnya.
----------
Saya tidak mahu merenung sangat hal ini kerana setiap kali teringat Nenek mudah betul mengalir air mata. Jadi biar dilayan obsesi jarak untuk menunjukkan ia pun termasuk antara sekian banyak perjalanan penting tetapi tidak dikira. Disebut dalam sedutan atas selepas sampai ke Raub lalu melihat Nenek di hospital motosikal yang meletup tayar dapat dibawa ke Bentong. Apa yang berlaku adalah dari Raub saya menumpang motosikal seorang sepupu mencari kedai yang ada jual tayar motosikal besar lalu menaiki van kedai ke tempat motosikal ditinggalkan dekat pekan Bukit Tinggi untuk diangkut ke Bentong tukar tayar. Selepas itu baru dibawa ke Raub.
Sebelum Nenek meninggal dunia saya ada mengikut sepupu masuk ke Lembah Klang dengan kereta untuk mengambil isteri di Segambut kemudian ke IKBN (Institut Kemahiran Belia Negara) di Dusun Tua, Hulu Langat untuk mengambil seorang adik sepupu. Bawa ke Raub berkumpul untuk melihat Nenek. Selepas Nenek meninggal saya menginap beberapa malam lagi di Raub sementara isteri kembali lebih awal dengan ibu bapa. Ada le berjalan-jalan dengan sepupu sehingga naik ke lereng Gunung Benom untuk mandi di Lata Berembun...
Saya pun cuba melakarkan laluan dalam Google Map. Tengok-tengok nak masuk Lata Berembun pun tak dapat sebab jalannya off road selepas Sungai Ruan. Perjalanan ini kalau ditelusuri betul-betul harus memakan jarak hampir 800 km. Boleh jadi lagi satu siri atau sekurang-kurangnya satu artikel.
Sebulan selepas Nenek meninggal dunia saya ke Raub lagi berseorangan. Biar dikongsikan cerita berkenaan daripada buku "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?"...
----------
Rasyid masih ingat lawatan pertama ke rumah peninggalan Nenek setelah beliau kembali menyahut panggilan Ilahi. Atas saranan ibu saudaranya, Mak Uda, satu-satunya ahli keluarga yang menetap di sana hampir seumur hidup membesarkan anak-anaknya yang juga dijaga Nenek, pemuda itu buat pertama kalinya tidur di bilik almarhum nenda...
“Kamu pakailah bilik ini,” kata wanita berumur awal 50an itu. “Mana tahu kamu akan mendapat petunjuk baru untuk perjalanan kamu?”
Rasyid meletakkan beg galasnya di satu sudut lalu melabuhkan punggung di atas katil. Di sebelahnya terletak satu-satunya tingkap bilik... Tidak jauh dari kaki katil ada sebuah mesin jahit lama Singer milik Nenek diikuti sebuah almari buruk dan meja solek usang dengan sebuah cermin. Semuanya kelihatan ‘terbengkalai’, sudah lama tidak digunakan...
Pemuda itu memandang ke arah beberapa naskah Quran buruk di atas mesin jahit. Sayu rasa hati mengenangkan almarhum nenda yang telah pergi ketika si cucu sulung sedang sibuk mencari-cari diri dan erti hidup... Dia tergerak untuk bangun membuka almari yang mengandungi pakaian orang tua itu. Tersusun cantik beberapa helai baju kurung potongan Kedah kegemaran Nenek bersama kain-kain batik berbagai corak dan warna.
Sambil itu kedengaran bunyi ayam berketok di luar diselang-seli bunyi itik serati seperti orang melengas susah hendak bernafas. Itik serati kesayangan Nenek itu dijaga oleh anak lelaki Mak Uda yang juga menetap di rumah ini menemani ibu yang sering berulang-alik bekerja di Bentong.
Rasyid tergerak untuk keluar rumah menuruni beberapa anak tangga bercat merah. Di sebelah halaman, terdapat dua pohon kelapa dengan jarak 15 kaki antara satu sama lain, dua pohon yang tinggal tunggul sahaja akibat dipanah sebiji petir tunggal dalam cuaca terang beberapa tahun lepas. Di bawah rumah yang disokong beberapa tiang tinggi masih terdapat sebuah sofa lama yang diletakkan untuk pelawat yang datang menziarahi semasa Nenek meninggal dahulu. Pemuda itu duduk sebentar di sofa... Terpandang pula sebuah tikar mengkuang buruk tersidai elok di tepi...
Entah kenapa, Rasyid terasa seperti ada sesuatu yang begitu istimewa tentang tikar mengkuang buruk itu yang telah digunting sedikit pada satu sudut. Dia terus berlari kembali masuk ke dalam rumah lalu mencari Mak Uda untuk bertanyakan tentang tikar itu. Kata ibu saudaranya, tikar tersebut sering digunakan sebagai tempat berbaring oleh almarhum Nenek terutama apabila jatuh sakit. Kalau tidak salah ingatan, tikar buruk itu juga digunakan semasa memandikan jasad Nenek dahulu! Rasyid pun terus meminta izin untuk mengambilnya. Mak Uda kata ambillah, bukannya ada orang yang hendak menggunakannya lagi...
“Tapi jangan pula gunakan untuk perkara yang bukan-bukan,” dia berpesan sambil tersenyum penuh makna… Hmm... Apakah tikar buruk itu boleh digunakan selain untuk duduk dan baring merehatkan badan?
Petang itu, semasa memerhatikan gelagat ayam dan itik di luar dapur, Rasyid ternampak sebatang kayu rambutan yang telah dipotong elok, cukup ukuran untuk dijadikan tongkat. Dia terus tertarik pada kayu itu lalu bertanyakan kepada Mak Uda. Wanita ini memberitahu kayu itulah yang digunakan nenek untuk menghalau ayam yang cuba masuk ke dapur.
Rasyid meminta kayu itu untuk dibuat tongkat. Ibu saudaranya menjawab: “Sukahati kamulah… Kayu seperti inipun kamu mahu.”
Malam itu, buat pertama kali dalam hidupnya, pemuda itu tidur di bilik almarhum nenda. Tikar buruk yang digulung elok siap dengan tongkat kayu rambutan terselit di dalam turut ‘tidur’ sama. Dan benar seperti disebut Mak Uda, tiga hari kemudian Rasyid pun mendapat ilham...
Dahulu, tahun 2001, tiga hari selepas pertama kali bertanyakan Nenek tentang cerita-cerita lama Perak, Rasyid tergerak untuk berkelana memudiki kanan Sungai Perak. Ketika itu dia mahu mencari kaitan sebuah mimpi yang dialami dengan keSultanan Perak, mimpi awal yang mencetuskan pencariannya sehingga dia mengembara jauh ke berbagai tempat.
Kini tahun 2002, tiga hari selepas kembali ke rumah ini, sebulan selepas almarhum Nenek meninggal dunia, pemuda itu tergerak lagi untuk ke Perak. Kali ini dia harus mudik kiri Sungai Perak dengan membawa tikar mengkuang buruk dan kayu rambutan peninggalan Nenek untuk meliputi sebuah wilayah yang mengikut perjanjian lama keSultanan Perak adalah di bawah kekuasaan seorang pemimpin perempuan bernama Tok Temong...
——————————
Perjalanan yang dilakukan dalam tempoh beberapa hari itu boleh diringkaskan begini... Ia dibuka dengan menziarahi Makam Keramat Kuala Bidor di sebuah ladang kelapa sawit di Teluk Intan. Kalau tak salah ingatan itu adalah lawatan keduanya... Lawatan pertama dibuat semasa mula-mula mencari kaitan keluarga dengan kerabat diraja Perak 2001. Seterusnya, Rasyid bergegas ke makam keluarga Laksamana bersebelahan sebuah masjid lama yang didirikan di atas tanah wakaf keluarga. Pemuda itu bermalam di rumah seorang ibu saudara yang berdekatan sebelum bergerak keesokan harinya ke Lumut untuk beriktikaf di masjid jamek pekan itu, tidak jauh daripada Sungai Dinding dan jeti ke Pulau Pangkor.
Selepas semalaman di masjid, sempat pula bersantai sebentar di tepian Sungai Dinding yang agak luas, dia menaiki feri bot kecil menyeberangi sungai untuk ke Damar Laut. Inilah kali pertama anak muda ini sampai ke kawasan itu, juga beberapa kawasan seterusnya... Dari sana, Rasyid mengambil bas buruk ke Pantau Remis kemudian ke Beruas. Keesokannya, dia pergi pula ke Kuala Kangsar, singgah lagi di makam diraja Perak di Bukit Chandan dan Masjid Kota Lama Kanan sebelum menutup perjalanan di makam Tok Temong di Kampung Temong, utara Kuala Kangsar.
Sepanjang perjalanan itu, pemuda ini sempat menziarahi beberapa buah masjid dan surau yang dipilih mengikut gerak rasa dan keperluan semasa. Contoh mengikut gerak rasa, tiba-tiba terasa mahu masuk ke suatu masjid walaupun bukan waktu bersolat. Kalau ikut keperluan pula, kebetulan kita sampai di suatu tempat ketika masuk waktu solat atau terasa mahu buang air... Maka singgahlah kita untuk menunaikan hajat...
Ternyata dalam banyak-banyak masjid dan surau malah dalam banyak-banyak tempat beribadat yang pernah diziarahinya dewasa ini, ada sebuah sahaja yang masih menggunakan tikar mengkuang seperti tikar Nenek yang dibawa bersama. Itulah Masjid Kampung Kota di Beruas...
Di situlah Rasyid mendapat petunjuk susur galur keluarga Laksamana Perak sampai kepada Sultan Malikus Salih melalui cucu keduanya Sultan Malikul Mansur yang mewarisi kerajaan Samudera, bukan melalui Malikul Mahmud yang mewarisi Pasai. Cerita-cerita lama pula menyebut kerajaan lama Beruas telah diasaskan oleh Malikul Mansur selepas dibuang negeri atas kesalahan mengambil perempuan daripada Istana Pasai.
Perjalanan ini boleh dilakarkan laluannya secara mudah seperti di atas. Perjalanan sebenar harus lebih 850 km kerana ada butiran tidak dapat dimasukkan dalam lakaran mudah. Tidak beberapa lama kemudian saya pertama kali pergi ke Pulau Besar di Melaka. Hal ini ada disebut dalam ketiga-tiga buku di bawah trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" (terbit Jun 2006 - Jun 2007).
Dalam buku pertama ia diceritakan begini. Ia adalah dalam konteks mahu mengesan jejak anak cucu Sultan Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani :-
Rasyid juga pernah beberapa kali mengunjungi Pulau Besar di Melaka, sebuah pulau yang dianggap sangat keramat, bukan boleh diziarahi secara sembarangan, untuk mencari makna sebuah mimpi yang pernah dialaminya lebih enam tahun lalu. Pemuda ini sudah lama mendengar cerita-cerita tentang kekeramatan dan ‘keras’nya pulau itu, salah satunya, orang yang berniat buruk atau tidak bersih seperti cuba membawa arak masuk ke sana atau ingin berzina akan tenggelam dipukul ombak. Rasyid dilahirkan dan dibesarkan di Muar, kampung ibu, boleh nampak pulau itu dari Tanjung Emas, tempatnya selalu bersantai dahulu. Tetapi dia cuma mendapat “panggilan pulau”, tergerak untuk ke sana selepas lama mencari tempat yang dapat memenuhi ciri-ciri yang terdapat dalam mimpi yang dialaminya tahun 1998, mimpi yang menunjukkan Semenanjung Tanah Melayu pernah bersambung dengan Sumatera suatu masa dahulu.
Kebetulan pula mimpi yang sama telah membawanya untuk mengenali siapa itu Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani. Maka apabila sampai masanya, pemuda inipun bergegas ke Anjung Batu, Melaka untuk menaiki feri ke pulau itu. Barulah Rasyid tahu tentang kewujudan sebuah makam keramat yang dianggap paling utama di antara banyak makam keramat di sana. Itulah makam Sultan Ariffin Sheikh Ismail yang menonjol dengan panjangnya yang luar biasa, dikunjungi beribu malah berpuluh ribu orang terutama pengikut Tariqat Qadiriyah dari seluruh Nusantara. Lalu terjumpalah sirah menyatakan nama sebenarnya ialah Ismail bin Abdul Qadir bin Abdul Jabbar bin Saleh bin Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani...
Dalam buku kedua diceritakan begini. Ia dalam konteks bertemu seorang wanita yang ada kepakaran untuk menilik perkara-perkara ghaib. Tapi ada yang tak kena apabila dia menurun mengaku masuk roh Sheikh Ismail tapi bersuara garau memakai loghat Jawa :-
Rasyid terjumpa wanita tersebut ketika menziarahi Makam Seribu di Pulau Besar, Melaka sebuah kawasan yang dikatakan mengandungi lebih 1000 makam tidak bertanda para pejuang Islam yang mati syahid sekitar abad ke 16 hingga 18 Masihi dalam usaha membebaskan Melaka daripada cengkaman penjajah Barat. Wanita berumur sekitar 40an itu mendakwa dia tahu apakah masalah yang sedang membelenggu anak muda yang rajin menziarahi makam-makam lama itu lalu menjemput Rasyid ikut balik ke rumahnya di sebuah kawasan perumahan di Melaka.
Dalam buku ketiga ia disebut sangat ringkas dalam konteks sebuah mimpi panjang yang merupakan satu pengembaraan rohani :-
Pemuda itu meneliti permaidani yang membawa mereka ke destinasi dan zaman seterusnya. Eh… Rupanya saling tidak tumpah seperti tikar mengkuang buruk yang pernah digunakan Nenek untuk berbaring semasa sakit dahulu, tikar usang yang pernah diambilnya selepas Nenek mangkat lalu dibawa berkelana mengelilingi Perak. Teringat pula ketika pertama kali sampai ke Pulau Besar, Melaka dengan membawa tikar buruk Nenek... Entah kenapa, beberapa orang yang ditemuinya mendakwa, tikar itu boleh dijadikan permaidani terbang jika Rasyid tahu cara menggunakannya!
Ini adalah lakaran mudah perjalanan pergi balik ke Pulau Besar. Cuma ia boleh dilakarkan setakat ke jeti di Anjung Batu. Naik feri ada jarak 6 km balik 6 km pergi. Saya ada berjalan pusing pulau 2 kali dan pergi lagi ke sana ke mari kemudian ke rumah wanita yang pandai menilik itu. Harus mencapai jumlah tak kurang 380 km.
Selain itu, sepanjang tahun 2002 saya ada berjalan ke sana ke mari dengan motosikal besar tapi tak ingat butirannya. OK. Ada satu baru teringat isteri ajak bertemu orang untuk menilik keadaan saya yang mula terpalit dengan benda-benda ghaib. Tempatnya dekat Sungai Pelek menghampiri sempadan Negeri Sembilan. Ada le berjalan pergi balik pusing sana sini dalam 200 km gitu.
Keadaan saya ketika itu memang kelihatan seperti orang sasau. Sejak keluar dari Pulau Besar saya selalu di'temani' bau-bau seperti bau kemenyan, bunga melor, minyak attar selain dapat merasakan kehadiran makhluk-makhluk ghaib. Ketika itu saya suka memakai baju kurta dengan seluar cerut menaiki motosikal besar sambil membawa rucksack mengandungi pakaian berserta tikar buruk mengkuang digulung dengan tongkat kayu rambutan yang diambil dari rumah Nenek. Sehingga pernah sekali selepas berjalan kaki di sekitar Masjid India lalu kembali ke motosikal tiba-tiba ada orang perempuan peminta sedekah terlihat lalu menggeleng-gelengkan kepala. Kedengaran dia berkata : "Kesian. Muda-muda lagi dah gila..."
Mahu saya menjawab dengan menunjuk pada motosikal besar lalu mengatakan "Aku ada ni le." Tapi seketika itu teringat ini cuma ego mahu melawan balik. Sedangkan saya sedang mengambil jalan kerohanian untuk mengenal makna diri dan erti. Lalu hasrat untuk membalas kata-kata pun dilupakan dengan berlalu pergi.
Oh. Ketika Nenek meninggal dunia itu isteri sudah mengandungkan anak pertama kami sekitar 5 bulan. Namun saya kurang dapat mengecapi rasa gembira mahupun memberikan perhatian kepada isteri akibat keadaan semasa itu. Apa lagi apabila terasa beliau kurang faham dan tidak menyokong malah membuat lebih banyak sakit kepala lagi. Saya pula yang banyak menangis memendam rasa. Mungkin beliau juga begitu tetapi saya dalam keadaan teruk tidak mampu memikirkan maslahat orang lain.
Dalam keadaan itulah saya menghubungi seorang teman wanita lama setelah 3 tahun memutuskan hubungan. Saya putuskan kerana sudah berjanji dengan isteri tidak akan menjalin apa-apa perhubungan dengan wanita lain selepas kami bernikah. Saya mengotakan janji walaupun terus dihidangkan peluang demi peluang untuk bersama ramai wanita cantik terutama ketika zaman bertugas sebagai wartawan. Kali ini saya menjalinkan kembali dengan teman wanita lama bukan disebabkan kecantikan atau kehendak nafsu bawah tetapi disebabkan memerlukan orang yang dapat memahami keadaan.
Beliau inilah yang membawa saya ke Janda Baik lalu diperkenalkan dengan penulis buku politik terkenal Syed Hussein Al-Attas/S.H.Alattas/Pak Habib. Hmm bila difikirkan balik ini harus berlaku selepas dua peristiwa lagi yang merobek hati dan perasan. Biar disoroti kembali menurut kronologi.
Oh. Ketika isteri sudah mengandung (lupa waktu tepat) saya ada bekerja dengan bapa saudara untuk menghidupkan kembali satu yayasan yang diasaskan beliau dengan tujuan untuk membina hospital Islam pertama di Malaysia. Tetapi projek itu terbengkalai akibat ramai yang diberi amanah rupa-rupanya sibuk makan duit sahaja. Ketika yayasan dibuka ia menerima dana sokongan kalau tak salah RM4 juta selain tanah lebih 14 ekar di Bukit Jalil untuk didirikan hospital. Ketika menerima tugasan lalu menyemak semua akaun bank yang ada tinggal RM20,000 lebih sahaja jumlah.
Nasib baik masih ada tanah lebih 14 ekar itu lalu saya diminta merangka strategi untuk menghidupkan kembali yayasan. Tetapi saya menarik diri selepas 3 bulan gitu. Ini disebabkan rasa kecewa bapa saudara tidak mahu mendengar nasihat bahawa seorang pengarah yang amat dipercayainya, setiausaha politik kepada seorang menteri kabinet (tak nak sebut siapa) sebenarnya berusaha untuk menyeleweng baki aset yayasan. Saya sebagai pentadbir pula hendak dikambinghitamkan agar menjadi orang yang meluluskan projek baru yang ada unsur-unsur penyelewengan (ia ada kena mengena dengan terbinanya markas besar Freemason di Bukit Jalil).
Sekadar melayan obsesi tentang jarak. Dalam tempoh 3 bulan itu 5 kali saya berulang-alik dari rumah sewa di Segambut ke pejabat di Bangsar. Sekali dua sebulan ke Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya untuk berurusan secara berhadapan dengan pengarah lain yang kelihatan zahirnya orang kuat agama tetapi pada saya sebenarnya seorang manusia keji bertopengkan perjuangan Abata (Agama, bangsa dan negara). Perjalanan ulang alik ke pejabat memakan jarak 25 km. Darab 5 seminggu jadi 125 km. Darab 13 untuk 3 bulan dapat 1,625 km. Pergi balik ke JPM pula dalam 100 km. Sekali sebulan dalam 3 bulan maka darab 3 jadi 300 km.
Rasanya lebih 3 kali saya harus ke sana untuk 'menghadap' pengarah tersebut tapi cukuplah dianggap 3. Campur jarak pergi balik jadi 1,925 km. Dalam tempoh waktu itu tentu ada keluar ke kedai mencari makan dan sebagainya. Maka boleh dibulatkan menjadi lebih 2,000 km.
Hampir penghujung September isteri melahirkan anak. Dalam tempoh waktu sekitar itu selalu ke hospital di Selayang juga pergi balik ke rumah mertua. Semua ini memakan jarak tapi tak perlulah diambil kira. Sebaliknya apa yang hendak diceritakan keesokan hari selepas anak lahir tiba-tiba mendapat berita adik laki-laki bongsu saya kemalangan.
Ketika itu saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah sewa, isteri di rumah mertua. Apabila diberitahu anak asyik menangis tak henti-henti saya pun bergegas ke rumah mertua. Seingat saya belum masuk rumah, masih di halaman lagi mendapat panggilan telefon memberitahu adik kemalangan. Ketika itu kedengaran anak menangis lagi kuat. Tak lama kemudian dapat panggilan telefon lagi mengatakan adik sudah meninggal dunia. Luruh hati saya mendengarnya. Peliknya anak terus berhenti menangis.
Mungkin saya tidak rasional apabila kurang mempedulikan isteri dan anak. Bagaimana hendak rasa peduli sedangkan beliau sudah lama bermasam muka sejak saya dibuang kerja? Maka saya terus bergerak ke Hospital Klang di mana post mortem untuk jenazah diadakan. Saya dan bapa yang membasuh mayat kemudian ikut balik ke Muar untuk pengkebumian.
Itu cerita bulan September tahun 2002. Masuk bulan puasa November pula saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah seorang ibu saudara di Petaling Jaya. Ketika itu ibu kepada ibu yang dipanggil Mak kerana membesarkan saya sedang sakit lalu berada di situ. Saya yang sudah tawar hati dengan isteri cuma sekali dua sahaja kembali ke rumah. Apabila Mak meninggal dunia selepas raya saya ikut ke Muar untuk pengkebumian.
Kalau tak salah ingatan untuk arwah adik juga arwah Mak saya naik van duduk sebelah jenazah dari Kuala Lumpur ke Muar. Bila difikirkan balik semasa ini saya belum berhubung kembali dengan teman wanita lama. Saya berhubung selepas terasa tiada siapa lagi boleh memahami dan mendengar rintihan diri.
Saya tidak mahu mengira jarak perjalanan yang ada kena mengena dengan kematian dua orang tersayang. Saya cuma mahu mengira sedikit perjalanan yang dapat diberikan butiran sebelum penceritaan masuk pada tahun 2003...
1. Berhari raya ke kampung bapa mertua di Seberang Perai penghujung 2001 - hampir 800 km.
2. Ke Raub sebelum Nenek meninggal sekitar Jun 2002 - keseluruhan perjalanan berkenaan juga menghampiri 800 km.
3. Ke Perak dengan tikar mengkuang dan tongkat kayu rambutan Nenek - lebih 850 km.
4. Pertama kali ke Pulau Besar tidak lama selepas itu - tak kurang 380 km.
5. Ke Sungai Pelek menilik hal ghaib - dalam 200 km.
6. Perjalanan ketika bekerja di yayasan bawah bapa saudara - lebih 2,000 km.
Jumlahkan 800 + 800 + 850 +380 +200 + 2,000 jadi 5,030 km.
Berbalik pada cerita menjalin kembali hubungan dengan teman wanita lama lalu beliau membawa ke Janda Baik untuk diperkenalkan dengan Pak Habib. Saya pun duduk beberapa hari di situ. Selepas itu Pak Habib membawa ke pejabatnya di Gombak untuk membantu penulisan buku-bukunya. Mulalah tempoh yang mana saya kadangkala berada di Gombak, kadangkala di Janda Baik, di celah-celah itu ada berjalan ke sana ke mari, kadangkala naik motosikal besar kadangkala naik pengangkut awam.
Ketika itu motosikal itu sudah selalu mengalami masalah. Setelah beberapa lama dalam tahun 2003, lupa bilakah masa yang tepat, ia ditinggalkan tersadai di rumah Pak Habib di Janda Baik. Lalu perjalanan seterusnya rata-rata dibuat dengan pengangkutan awam. Cuma sesekali sahaja ada berjalan dengan kereta orang.
Dengan itu gambar meter motosikal yang baru diambil tadi boleh dirujuk. Pada ketika ini (sekarang Mei 2021) sudah lebih 3 bulan tidak ditunggang kerana ada masalah. Rasanya pam minyak tidak berfungsi untuk menarik minyak naik lalu motosikal tidak dapat dihidupkan.
Merujuk kembali pada hal motosikal pada tahun 2003. Setelah 5 tahun tersadai iaitu pada sekitar bulan September 2008 baru dapat dipulihkan sepenuhnya lalu berlakulah beberapa perjalanan dengan motosikal. Namun tak lama kemudian meter motosikal mati lalu tidak bergerak terus. Dengan itu boleh dibuat anggaran berapa jauhkah motosikal sudah berjalan sejak dimiliki 12 Jun 1997.
Adapun motosikal ini adalah buatan Jepun, Yamaha Virago 535 cc tetapi dibuat secara klasik meniru motosikal easy rider buat Amerika. Maka meternya sebenarnya dikira dalam batu iaitu miles. Tukarannya adalah 60 batu bersamaan 100 km. Seingat saya ketika dipulihkan meter sudah melepasi jarak 70,000 batu. Ini adalah bersamaan 116,666 km. Tak salah untuk membulatkan jadi 117,000 km.
Oleh kerana motosikal tersadar sejak tahun 2003, rasanya dalam pertengahan tahun maka boleh dianggap 117,000 km itu meliputi tempoh masa 6 tahun 1997 hingga 2003. Kalau berdasarkan jarak purata pemandu biasa 2,000 sebulan bersamaan 24,000 setahun, sepatutnya motosikal telah meliputi jarak 144,000 km. Ah. Nampaknya memang saya 'kalah' dengan pemandu biasa walaupun kelihatan sudah merantau jauh ke sana ke mari. Tak mengapalah. Suka-suka buat kira-kira. :]
Saya meletakkan cut off point pada waktu blogspot ini dibuka penghujung 2006 kerana sejak itulah mula rajin mencatat sehingga terbit artikel-artikel berkenaan di blogspot. Lalu lebih jelas perjalanan-perjalanan yang dilakukan sejak itu kerana rata-rata direkodkan... kecuali yang memang tidak mahu dikongsi kepada umum kerana ada unsur kerahsiaan juga yang boleh diabaikan (ya lah, takkan semua benda nak cerita kecuali ada sedikit unsur lain dari kebiasaan kan?). Apa yang dapat diingati tentang tahun 2002 tetapi tidak masuk dalam senarai menunjukkan bahawa bagi tahun 2003 hingga 2006 itu juga terdapat banyak perjalanan bermakna tetapi tidak diceritakan. Dah tak larat dah hendak digali, nanti jadi terlalu panjang cerita dan sangat memenatkan. Cukuplah diberitahu semua perjalanan yang tersenarai di atas ini dibuat dengan pengangkutan awam, celah-celah itu ada naik kereta orang.
Dan semua perjalanan ini melibatkan pencarian makna diri walaupun ada yang lebih santai. Apabila buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" terbit Jun 2006 baru kurang sedikit beban dalaman. Tapi masih lagi tak selesai selagi belum keluar semua cerita dalam siri trilogi. Dan lagi pencarian tidak pernah berakhir kerana ada sahaja penemuan baru dapat dibuat dalam perjalanan. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,177 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan