Salam petang Jumaat. Fikirnya hari ini mahu berkongsi cerita tentang satu majlis ilmu yang berlangsung pagi hingga tengah hari Rabu. Tetapi kepala terasa begitu berat hendak memulakan artikel. Sebaliknya biar dikongsikan lagi cerita berkenaan perjalanan lama. Ini lebih santai lalu lebih mudah dilepaskan. Lagipun sebahagian besar cerita telah ditulis lebih 24 jam lalu.
Adapun selepas mempersembahkan artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Ipoh ke Gerik pagi itu baru saya dapat melihat bahawa kami berkayuh basikal pada kadar 100 hingga 140 km sehari. Ini adalah bersamaan 5 hingga 7 jam berkayuh tanpa henti. Penat woo apa lagi jarak keseluruhan yang mahu diliputi melebihi 1,200 km. Lainlah kalau dah memang pro...
Pada tengah hari itu pula seorang junior saya daripada Batch 8 di PPP/ITM telah menghubungkan saya dengan seorang junior lain yang ada terlibat sama dalam perjalanan berbasikal. Walau junior tersebut sendiri tiada bersama ada kenangan perjalanan lain yang ada kena mengena dapat dikongsikan beliau membuat saya terasa harus berkongsi gambar-gambar berikut berserta sedikit teks tentangnya.
OUTWARD BOUND TRAINING DI PULAU PANGKOR LEBIH 31 TAHUN LALU...
Haha. Junior bawah setahun saya semasa zaman kolej A Level di PPP/ITM bagi 2 gambar ini lalu ditunjukkan yang mana saya. Ia di waterfront di Lumut, katanya dalam bulan Disember 1989. Kami ada pergi ke Pulau Pangkor dari jeti Lumut untuk membuat outward bound training selama seminggu gitu. Masa tu Pangkor belum ada sangat jalan raya. Teringat dari jeti utama di timur pulau kami berjalan kaki sehingga ke penghujung utara pulau lalu berkhemah di teluk sana.
Esoknya kami memotong ke tengah pulau mendaki bukit bukau dan bermalam dalam hutan. Kami ada meredah paya sehingga ke paras pinggang kemudian mendaki bukit tertinggi di pulau (lebih 1,000 kaki tinggi dari paras laut). Teringat sampai ke puncak dalam keadaan ramai dah kena gigit lintah dan pacat sana sini. Jadi apabila dapat turun bukit lalu sampai ke pantai di barat laut alangkah gumbiranya hati dapat mandi laut seraya menghilangkan kesan gatal gigitan.
Seterusnya kami berjalan kaki ke satu teluk di bahagian selatan pulau lalu berkhemah di sana. Di situlah kali pertama saya melihat binatang yang dipanggil sebagai "kote Keling" berenang merata dengan penuh "lucah"nya. Seingat saya memang merata kami pusing pulau dengan berjalan kaki sahaja. Gambar yang ada 2 ini satu harus sebelum satu selepas keluar dari Pulau Pangkor kerana baju lain2, latar belakang sahaja sama. Cuma tak ingat yang mana dahulu yang mana kemudiannya.
------------
Gambar-gambar dan teks atas ada dikongsikan di Facebook pada hari Rabu malam Khamis. Ia relevan pada cerita perjalanan berbasikal kerana saya ada menyebut tentangnya dalam artikel
Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Shah Alam ke Ipoh iaitu artikel tentang fasa pertama perjalanan. Selain itu terdapat sekurang-kurangnya seorang selain saya dalam gambar turut sama berbasikal. Lebih penting lagi ia dikongsikan untuk menilai kembali bilakah perjalanan berbasikal itu sebenarnya berlaku.
Menurut junior yang memberikan gambar beliau pasti ia diambil pada bulan Disember tahun 1989 kerana ada merekodkannya. Oleh itu tidak mungkin perjalanan berbasikal berlaku pada waktu itu seperti disebut dalam artikel pembukaan
Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Usaha awal menggali kembali ingatan. Ini kerana baik perjalanan berbasikal mahupun
outward bound training di Pangkor memakan masa yang agak lama juga banyak tenaga. Selain itu ia memerlukan perancangan dan komitmen pelbagai pihak. Oleh itu tidak mungkin kedua-duanya dapat dilakukan dalam bulan yang sama. Harus terdapat jarak masa sekurang-kurangnya sebulan dua.
Maka berbaliklah pada kata-kata kawan sama Batch yang turut serta berbasikal seperti disentuh dalam artikel
Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Ipoh ke Gerik. Saya ada menyebut beliau sebagai memberitahu perjalanan itu berlaku beberapa bulan lebih awal iaitu sebelum Disember 1989. Sebetulnya beliau memberitahu ia adalah sekitar sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia 31 Ogos tanpa menyatakan tahun. Saya sebut lebih awal iaitu sebelum Disember 1989 kerana kalau sekitar 31 Ogos tahun kemudian iaitu pada tahun 1990 saya tiada lagi di PPP/ITM.
Saya tiada lagi kerana sudah ditendang keluar akibat sudah terlalu banyak membuat kesalahan disiplin. Saya cuma sempat mengambil satu kertas peperiksaan A Level iaitu apa yang dipanggil sebagai January Paper. Saya ditendang keluar ketika tinggal sebulan dua sahaja sebelum peperiksaan utama bermula pada bulan Jun lalu tidak dapat mendudukinya untuk melengkapkan kelulusan. Gambar sijil keputusan January Paper di atas menjadi bukti bahawa memang kertas tersebut diambil pada awal tahun 1990.
Ya. Saya tiada masalah mahupun rasa malu menyatakan ini dengan jujur kerana saya adalah jenis orang yang suka berterus terang, tidak mahu menokok tambah cerita mahupun mencantikkan lalu menambah perisa supaya kelihatan bagus sentiasa. Pada saya semua itu pengalaman yang membentuk jati diri kemudian. Masalahnya ini bercanggah dengan kenyataan bahawa pengembaraan di Pulau Pangkor berlaku Disember 1989. Ini kerana menurut junior yang memberikan gambar ia bermula daripada kampus lama kami di Damansara Utama.
Saya pasti perjalanan berbasikal bermula di Shah Alam. Di situ terletaknya kampus selepas berpindah dari Damansara Utama, Oleh itu kalau betullah perjalanan berlaku sekitar 31 Ogos ia harus pada tahun 1990. Sedangkan saya pasti sangat-sangat telah dikeluarkan dari PPP/ITM sebelum pertengahan 1990.
Saya pasti kerana ingat selepas itu tidak mahu lagi menyambung pelajaran (secara formal di mana-mana institusi) lalu cuba bekerja di beberapa tempat. Saya pernah menjadi pembantu audit di sebuah firma profesional audit di Segitiga Emas Kuala Lumpur kemudian junior editor di sebuah syarikat perisian (software) pendidikan di pinggir barat bandar raya. Gambar atas menunjukkan surat tawaran untuk bekerja sebagai pembantu audit bermula 4 Jun 1990. Sepatutnya bulan itu saya menduduki peperiksaan penuh A Level. Tetapi selepas ditendang keluar daripada PPP/ITM jiwa saya jadi lebih memberontak tidak mahu menyambung belajar.
Walau gaji permulaan sangat kecil iaitu RM330 sahaja sebulan saya yakin boleh meningkat naik cepat dengan kepandaian yang dimiliki. Namun tidak berapa lama kemudian saya mula hilang minat pada bidang berkenaan. Saya lebih banyak menghabiskan masa mengikut orang busking menyanyi dan main gitar di Pasar Seni selain duduk melepak dengan warga jalanan sehingga berhari-hari.
Gambar ini pula menunjukkan surat tawaran untuk bekerja sebagai junior editor di syarikat perisian pendidikan bermula 22 Januari 1991. Berdasarkan latar belakang boleh membuat perisian sendiri (walau secara kecil-kecilan) sejak berumur 12 tahun iaitu pada tahun 1982 saya fikir boleh bergerak maju dalam bidang berkenaan. Tidak lama kemudian terjumpa dengan seorang gadis junior Batch 8 yang membuat terasa begitu bersemangat untuk menyambung kembali pelajaran lalu menduduki peperiksaan A Level. Selepas pertengahan 1991 kami pun berlepas ke United Kingdom untuk pengajian ijazah sarjana muda. Saya ambil bidang matematik di Universiti College of London (UCL) beliau bidang ekonomi di London School of Economic (LSE).
Berbalik pada hal yang memeningkan kepala. Kalau betul perjalanan berbasikal berlaku sekitar 31 Ogos maka mustahil pada tahun 1990 kerana ketika itu saya tiada lagi di PPP/ITM. Kalau tahun 1989 pula ia harus bercanggah dengan kenyataan oleh junior saya bahawa pengembaraan di Pulau Pangkor berlaku pada Disember tahun itu kerana menurut beliau kami bergerak dari kampus lama di Damansara Utama. Tahun 1988 memang takda le kerana terlalu awal. Ketika itu junior dari Batch 8 sedang bersedia untuk mengambil peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) lalu belum dipilih untuk masuk ke PPP/ITM
Maka bilakah perjalanan berbasikal pusing separuh Semenanjung itu bermula dari Shah Alam? Buat masa ini saya tak dapat lagi menebak tempoh masa tepat kerana keliru. Mungkin selepas ini akan muncul fakta-fakta yang menjelaskan perkara? Kita tunggu dan lihat. Buat masa ini biarlah terus dianggap bahawa perjalanan berlaku pada tahun 1989 walaupun kelihatan mustahil pada 31 Ogos mahupun pada bulan Disember. Saya luahkan dan kongsikan hal supaya dapat menyambung cerita seterusnya dengan rasa lapang. Sekian buat masa ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan