Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, Mac 12, 2019

Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan yang meliputi banyak perkara mengujakan

Salam semua. Ada rasa keterujaan yang ingin dikongsikan daripada satu majlis ilmu pagi semalam.



Merujuk pada artikel Menerbitkan sistem pengajaran matematik dan sains yang bebas daripada belenggu pemikiran Barat yang dipersembahkan Sabtu lalu. Dalam majlis ilmu berkenaan iaitu pada pagi Jumaat 8 Mac 2019 Sheikhul Kulliyah ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar memberitahu bahawa ada pelajar telah meminta beliau untuk membuat satu siri syarahan tentang buku beliau yang bertajuk "Classification of Knowledge in Islam". Buku berbahasa Inggeris ini pertama kali diterbitkan tahun 1992 oleh Institut Kajian Dasar di Kuala Lumpur. Di atas adalah kulit edisi kemudian terbitan The Islamic Text Society di United Kingdom tahun 1998.

Ia sebenarnya adalah hasil kajian berupa tesis PhD Osman di Temple University, Amerika Syarikat tahun 1988 yang dibukukan untuk bacaan awam. Dalam satu pertemuan awal tahun Osman yang kini menyelia tesis saya di ISTAC memberitahu bahawa isi buku dibuat sama seperti tesis tanpa apa-apa perubahan teks lalu mencadangkan agar dilakukan perkara sama dengan tesis saya iaitu jadikan ia dalam bentuk yang sedia boleh dijadikan buku terus. Ketika itu saya sudah berjaya mengkhatamkan buku tersebut daripada muka surat pertama (betul-betul yang pertama, bukan yang ditandakan muka surat 1 ya) hingga muka surat paling belakang tetapi dalam bentuk PDF. Saya pertama kali mendapat tahu tentang buku dalam pertemuan pertama dengan Osman di ISTAC bulan September tahun lepas.

Saya menjadi tertarik apabila diberitahu tesis yang dijadikan buku adalah di bawah seliaan Seyyed Hossein Nasr. Untuk makluman beliau adalah tokoh Islam terkemuka peringkat dunia yang buku-bukunya tentang Sufi dan Tasawuf rajin saya telaah ketika mengaji sarjana muda Matematik di University College of London tahun 1991-1995. Cuma komen saya adalah format setiap bab meletakkan end notes (nota-nota akhir pada setiap bab) agak mengganggu aliran pembacaan. Ini kerana nombor rujukan (yang ada nombor kecil pada ayat-ayat pilihan sebagai nombor rujukan nota) diletakkan pada suatu muka surat sedangkan rujukan atau notanya terletak beberapa muka surat selepas itu. Kalau nak rujuk dah kena cari muka surat akhir bagi setiap bab kemudian patah balik ke muka surat yang sedang dibaca untuk menyambung pembacaan dan pencernaan ilmu.




Pada saya kalau nak buat nombor rujukan maka biarlah nota dan rujukannya terletak dalam muka surat sama berupa nota kaki. Beliau bersetuju dengan cadangan lalu menyuruh saya menulis tesis dengan format tersebut. Cuma ada kemusykilan kerana ISTAC terletak di bawah pentadbiran UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) yang mana semua tesis haruslah menurut format rasmi UIAM. Ia adalah menurut format APA (American Psychological Association) di mana nombor nota tidak digunakan lalu tiada nota kaki mahupun nota akhir pada setiap bab. 

Yang dipakai adalah rujukan dalam bentuk nama akhir (last name) pada hujung ayat terpilih, misalnya (Sapiee, 2018) jika satu buku saya  atas nama pena/penulis Radzi Sapiee yang terbitkan tahun 2018 dirujuk. Maklumat penuh rujukan seperti tajuk buku, penerbit, tempat buku diterbitkan dan sebagainya akan dilonggokkan pada bahagian akhir tesis atas nama rujukan ataupun references. Kata Osman tak mengapa. ISTAC akan mendapat autonomi untuk mengikut format sendiri, bukan menurut format rasmi UIAM lagi. Apapun biar diberikan ulasan ringkas buku berdasarkan paparan pada kulit belakang buku. Saya terjemahkan terus tanpa menambah atau mengubah apa-apa :-


Klasifikasi ilmu pengetahuan adalah suatu tema yang berulang dalam kesarjaaan Islam. Berturut-turut generasi sarjana Islam, daripada al-Kindi pada abad kesembilan hingga Shah Waliallah Delhi pada abad kelapan belas, telah mengabdikan usaha yang tidak sedikit untuk mendalami tema ini. Kehidupan dan buah fikiran tiga orang pemikir dibincangkan dalam Klasifikasi Ilmu Pengetahuan Dalam Islam - al-Farabi (870-950 Masihi), al-Ghazzali (1058-1111M) dan Qutb al-Din al-Shirazi (1236-1311) - meliputi zaman-zaman tunggak dalam sejarah Islam daripada kali pertama mekarnya ilmu sains falsafah hingga Baghdad dihancurkan oleh orang Mongol. Sebagai tambahan, setiap pemikir merupakan sama ada pengasas atau ahli terkemuka suatu aliran pemikiran besar Islam. al-Farabi adalah pengasas dan salah seorang wakil terkemuka aliran ahli falsafah-saintis Mashsha'I (Peripatetic). al-Ghazzali masih diakui sebagai ahli teologi/sufi paling terkenal Islam. Qutb al-Din al-Shirazi mewakili aliran falasah Ishraqi (kumpulan iluminasi). Klasifikasi Ilmu Pengetahuan Osman Bakar ialah hasil kerja pertama sepertinya dalam bahasa Inggeris, dan ini berdasarkan kesarjanaan meluas dengan rujukan kepada teks-teks asli.

'Buku ini mesti dipertimbangkan sebagai satu sumbangan penting untuk memahami dengan lebih baik aspek-aspek ketara tertentu tentang pemikiran Islam. Hasil kerja ini adalah juga satu sumbangan penting terhadap falsafah sains Islam...' - Daripada kata pengantar Seyyed Hossein Nasr.




Ini pula kulit buku suatu edisi lain. Osman memberitahu saya bahawa ia adalah terbitan ISTAC ketika ia masih berpengkalan di satu bangunan kecil dalam kampus lama UIAM di Petaling Jaya. Lupa nak tanya tahun berapa. Berdasarkan sejarah ISTAC diasaskan tahun 1987 sebelum dirasmikan tahun 1991 oleh Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad mungkin edisi ini dicetak dalam tempoh waktu tersebut. Apapun buku ini telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa utama dunia Islam. Maka sangat sesuailah diadakan kelas-kelas syarahan tentangnya.



Cuma saya tidak menyangka kelas diadakan begitu cepat selepas cadangan mengadakannya disuarakan kepada umum pagi Jumaat 8 Mac. Sebelum solat Jumaat para pelajar mendapat berita Osman mahu mengadakan kelas pada jam 10 pagi Isnin 11 Mac. Pagi Sabtu keesokan harinya keluar poster atas berserta undangan terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu mengikutinya.


Sampai waktu pagi semalam saya pun bergegas ke bilik syarahan. Ia adalah bilik sama saya mengambil tiga kelas wajib untuk pelajar ISTAC pada semester lalu. Adapun para pelajar Masters seperti saya harus mengambil tiga kelas tersebut, pelajar PhD tambah lagi satu kelas wajib. Kelas mesti diikuti dalam tempoh pengajian (2 tahun untuk Masters, 3 tahun atau lebih untuk PhD) lalu boleh diagih-agihkan iaitu ambil satu kelas sahaja bagi satu semester. Tetapi saya memilih untuk mengambil ketiga-tiga kelas wajib semester supaya dapat memberikan tumpuan penuh  pada kajian dan penulisan tesis bermula semester sekarang. Lihat Sedikit perkongsian setelah sebulan setengah menyambung pengajian di ISTAC.



Osman membuka dengan sedikit pengenalan tentang buku. Disebutlah hal ia asalnya tesis PhD beliau di Temple University di bawah seliaan Seyyed Hossein Nasr, Diberitahu bahawa beliau akan membuat syarahan menggunakan isi buku menurut makna sebenar syarah. Ini bermaksud isi buku akan diteliti ayat demi ayat lalu diberikan penerangan dan dihuraikan maksud setiap ayat. Kemudian ditambah apa yang terasa patut ditambah

Pembelajaran bergantung kepada maklum balas dan penyertaan aktif pelajar. Ini bukan komunikasi sehala Osman mengingatkan. Ia harus dua hala. Jika pelajar tidak bertanya apa-apa atau tidak memberikan maklum balas maka pendeklah penerangan. Dianggap pelajar sudah cukup tahu. Tapi kalau diberikan penyertaan dua hala yang sepatutnya maka banyaklah ilmu yang boleh digali dan diperolehi.


Setiap pelajar  diberikan salinan satu bahagian terpilih isi buku. Sebetulnya ada sejumlah hadirin  orang luar yang bukan pelajar kerana syarahan diadakan secara terbuka dan percuma kepada sesiapa sahaja yang berminat. Tapi bila masuk kelas bolehlah dikira sebagai pelajar.



Ia merupakan bab pengenalan tentang kenapa perlunya dibuat klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam.















 
Ada 5 muka surat teks dan 1 muka surat akhir bab mengandungi rujukan yang dipanggil Endnotes - nota-nota akhir. Ia mengandungi senarai buku-buku, tulisan, jurnal dan sebagainya yang dirujuk untuk membentuk bab berserta sedikit ulasan.


Kiranya syarahan ini, syarahan pembukaan tentang buku Classification of Knowledge in Islam atau Klasifikasi Ilmu Pengetahuan Dalam Islam disasarkan untuk meliputi semua yang diperkatakan dalam bab pengenalan atau mukadimah. Untuk itu masa 2 jam telah diperuntukkan. Tetapi Osman mengingatkan. Pengalaman beliau bersyarah di Brunei (beliau terikat dengan Universiti Brunei Darussalam selama beberapa tahun sebelum menyertai ISTAC September tahun lepas) menunjukkan satu syarahan yang cukup bermakna cuma dapat meliputi satu sahaja muka surat buku.

Masuk perenggan pertama mukadimah diterangkan tentang tajuk perkara 1 atau sub-topik yang berbunyi General Domain of Study - Lingkungan Umum Pengkajian (terjemahan saya). Pemilihan tajuk dan duduk letak dalam mukadimah diterangkan sebagai satu cara menyusun tesis. Penerangan pun melompat kepada tajuk-tajuk untuk sub-sub-topik seterusnya dalam bab sama seperti berikut.  Rujuk pada muka-muka surat yang tertera di atas :-


2. Classification Chosen for Study (Klasifikasi Yang Dipilih Untuk Kajian)

3. The Nature and Scope of the Present Study (Hal dan Jangkauan Kajian yang Dibuat - merujuk kepada kajian tesis Osman)

4. Contemporaray Scholarship on the Subject (Kesarjanaan Semasa Tentang Perkara - iaitu pada sekitar zaman penulisan tesis dibuat)


Jika perkara 1 dan 2 merupakan penerangan-penerangan tentang pengenalan buku perkara 3  merujuk kepada bagaimana subjek besar buku iaitu klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam akan ditangani oleh Osman.. Perkara 4 pula merujuk kepada setakat mana ia telah ditangani oleh para pengkaji lain jika ada. Dalam penulisan tesis perkara 4 itu boleh disamakan dengan apa yang biasa dipanggil sebagai literature review atau sorotan literatur. Ia boleh jadi panjang atau pendek bergantung kepada tahap mana kajian sudah dibuat tentang suatu perkara.

Dalam kes tesis PhD Osman didapati tidak ada lagi apa-apa penulisan tentang klasifikasi ilmu Islam telah dibuat pada zaman moden. Maka perkara 4 dapat dirangkumkan dalam 3 perenggan ayat yang tak sampai pun satu muka surat. Perkara 3 pula merujuk kepada kajian Osman sendiri dalam tesis. Ia adalah ringkasan bagi skop kajian beliau dan perkara-perkara yang akan diketengahkan dalam bab-bab seterus buku.



Sekarang baru penumpuan dapat dibuat kepada perkara 1 dan tajuknya dalam mukadimah. Baru dimulakan penerangan ayat demi ayat. Ayat pertama dalam perkara boleh terjemahkan seperti berikut  :--


Satu tema berulang dalam kesarjanaan tradisi Islam adalah klasifikasi dan penerangan terhadap sains-sains (al-'ulum).


Ayat belum lagi habis Osman dah masuk pada penerangan panjang tentang apakah tradisi kesarjanaan Islam yang dimaksudkan. Ini untuk membezakan kefahaman tentang tradisi seperti budaya, adat, pemakaian dan sebagainya dengan tradisi yang disentuh dalam buku. Kata Osman bila bercakap tentang tradisi keilmuan Islam maka yang dimaksudkan adalah ilmu berdasarkan atau bersumberkan Al-Quran juga hadis atau sunnah perbuatan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Dalam erti kata lain ada tradisi buatan manusia, ada pula tradisi berdasarkan wahyu.

Kemudian baru masuk penerangan tentang bahagian akhir ayat. Apa itu klasifikasi? Apakah sekadar pembahagian jenis-jenis ilmu atau bagaimana? Ilmu bagaimanakah yang harus dimasukkan ke dalam senarai klasifikasi? Secara rata tesis dan buku Osman cuba menggapai kesemua jenis ilmu yang pernah dikaji atau dihasilkan para sarjana Islam dahulukala. Maka itu digunakan perkataan Inggeris sciences (banyak jenis sains) juga perkataan Arab al-u'lum yang membawa maksud pelbagai jenis ilmu.

Masuk bab bahasa Arab ini harus diakui ia adalah kelemahan saya. Sesungguhnya sejumlah yang hadir terutama mereka yang pernah bersama UIAM sejak sarjana muda boleh menulis dan bertutur dalam bahasa Arab yang baik malah ada yang menulis tesis dalam bahasa Al-Quran itu. Ada yang memang hafiz Quran pun dan saya lihat Osman sendiri pandai berbahasa Arab. Saya pula setakat pernah pernah belajar bahasa Arab semasa bersekolah agama di Muar tahun 1980an tapi selalu ponteng kelas dan main-main.

Pun begitu saya faham apa yang dihuraikan Osman seraya disambut pelajar-pelajar yang tahu bahasa Arab. Cuma tak ingat dan tak hafal lalu tidak dapat mengulangi penerangan . Cukuplah dikatakan hal ini dibincangkan cukup panjang lebar untuk menjawab kenapa Osman memilih tajuk tesis (yang menjadi tajuk buku) iaitu "Klasifikasi Ilmu Pengetahuan dalam Islam". Habis penerangan berkenaan baru beliau berhenti sejenak untuk membuka ruang soal jawab. Sebelum itu setakat ada pelajar mencelah untuk mendapatkan kepastian tentang penggunaan beberapa terma.

Seorang pelajar terus bertanya bagaimanakah tahap pengkajian klasifikasi ilmu Islam ini. Baru Osman masuk ke ayat kedua. Ia boleh diterjemahkan seperti berikut :-


Daripada al-Kindi pada abad ketiga/kesembilan hingga Shah Waliallah Delhi pada abad ke dua belas/kelapan belas, berturut-turut generasi sarjana Islam telah mengabdikan tidak sedikit bakat intelek dan kegeniusan mereka untuk mendalami tema ini. 


Maka diterangkan bagaimana usaha mengklasifikan  ilmu dalam Islam itu bermula akibat perkembangan zaman. Abad ketiga/kesembilan bermaksud ketiga Hijriah/kesembilan Masihi. Dikesan usaha sebegini menjadi mekar apabila kerajaan Daulah Abbasiyah mula mencapai kegemilangan di ibu kotanya Baghdad. Banyak kitab-kitab lama ilmu warisan sarjana Yunani diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Ini adalah atas inisiatif khalifah yang sayangkan ilmu selain menyedari status empayar Islam yang sudah meliputi banyak wilayah ketamadunan lama seperti Mesir dan Parsi memerlukan mereka cakna dengan pelbagai jenis ilmu yang diwarisi daripada tamadun-tamadun lama tersebut. 





Terkeluarlah sekali bab Bait al-Hikmah atau Baitul Hikmah iaitu suatu badan penterjemahan di Baghdad yang membawa kepada kewujudan perpustakaan terawal dalam dunia Islam diikuti kajian dan pengembangan ilmu-ilmu berkenaan. Bayangkan dua ayat awal daripada perenggan pertama bab mukadimah tesis atau buku pun sudah boleh membawa kepada begitu banyak huraian. Apatah lagi ayat-ayat seterusnya. Maka diterangkanlah kenapa ulamak-ulamak Islam zaman itu begitu berminat dengan karya-karya pemikiran tokoh-tokoh besar Yunani seperti Plato dan Aristotle. Ini kerana mereka dapat melihat kebenaran yang wujud di sebalik ajaran-ajaran mereka.

Bukan semua karya dan pemikiran tokoh Yunani dijadikan pelajaran lalu dikembangkan. Mana-mana yang dilihat ada bersifat keberhalaan atau tidak selari dengan pemahaman Islam ditolak melalui tapisan. Kata Osman justifikasi dibuat berdasarkan ayat Al-Quran menyatakan bahawa setiap umat pada setiap zaman ada menerima nabi atau pemberi ingatan tentang kebenaran. Maka kebenaran boleh wujud daripada mana-mana pihak kerana boleh berasal daripada ajaran atau syariat nabi-nabi terdahulu.

Perkara ini ditapis luar dalam oleh para sarjana Islam sebelum digunapakai dan dikembangkan. al-Farabi (870-950 Masihi) yang merupakan seorang tokoh Islam yang menjadi seorang daripada tiga tokoh utama rujukan dalam tesis menjadi pengasas aliran ahli falsafah-saintis yang dipanggil sebagai Mashsha'I. Ia adalah bahasa Arab merujuk kepada golongan atau pengikut aliran pemikiran Peripatetic yang diasaskan oleh Aristotle di Yunani purba pada abad ke-empat sebelum Masihi. Nama Mashsha'I atau Peripatetic itu merujuk kepada cara Aristotle mengajar iaitu dengan membawa anak-anak muridnya berjalan-jalan ke dalam taman sambil berdialog mengenai ilmu atau suatu kejadian. Tokoh perubatan terkenal, Ibnu Sina juga termasuk dalam golongan ini.




Menurut Osman usaha pengaplikasian ilmu-ilmu Yunani purba terutama berbentuk falsafah masuk ke dalam dunia Islam itu adalah usaha pertama Islamisasi ilmu pengetahuan. Terma Islamisasi ini mula terkenal tahun 1970an melalui gagasan pemikir besar tempatan bertaraf dunia, Tan Sri Profesor Syed Naquib al-Attas yang merupakan pengasas ISTAC. Namun proses yang dimaksudkan iaitu menerima dan mengembangkan apa-apa sahaja ilmu, daripada apa sekali sumber asalkan berguna dan tidak melanggar konsep ketauhidan dan ajaran Islam sudah dilakukan sejak sebelum Farabi lagi. Osman memberitahu penyair terkenal Omar Khayyam yang juga seorang pakar matematik Islam adalah orang yang memulakan kerja klasifikasi ilmu (Allah! Saya sangat minat koleksi syair beliau yang dipanggil sebagai Rubaiyat ketika belajar di London tahun 1991-1995 dahulu)


Begitu banyak ilmu terkeluar melalui syarahan dan perbincangan, begitu banyak dicurahkan sehingga saya terasa hendak menangis terharu. Terkeluar kupasan al-Ghazzali tentang falsafah dan ilmu, bantahan Ibnu Rusd dan berbagai lagi yang tidak larat untuk dipanjangkan dalam artikel ini. Saya begitu terharu  kerana mengingatkan betapa diri ini begitu sayangkan ilmu sejak sekolah tadika lagi sehingga sanggup membuka 6 jilid ensaiklopedia orang dewasa sekali gus untuk membuat rujukan silang. Tetapi apabila ke sekolah rendah dan seterusnya berurusan dengan orang ramai pemahaman dan rasa cinta tentang ilmu didapati sangat berlainan sehingga saya selalu mengalami konflik dalaman. 

Keadaan inilah yang menyebabkan saya menjadi rebel atau pemberontak sehingga beberapa kali dibuang sekolah juga kolej. Kini di ISTAC saya merasa selesa menjadi pelajar kembali malah tidak pernah ponteng kelas kecuali ketika harus membuat satu perjalanan ke luar negara yang sudah dirancang lama sebelum memasuki institusi (rujuk Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - The compilation). Syarahan ini pula membuat saya terasa begitu puas dan gembira sehingga buat pertama kali sejak mengenali Osman saya ke hadapan selepas syarahan semata-mata untuk mencium tangan beliau lalu menyatakan rasa seraya mengakui beliau sebagai Sheikh dalam pembelajaran.

Untuk perkongsian ini cukuplah ditambah sedikit lagi. Antaranya bahawa klasifikasi ilmu pengetahuan harus dibuat supaya jelas keutamaan juga dapat dikelompokkan beberapa jenis ilmu yang berkaitan. Osman memberitahu al-Farabi mengambil pendekatan begini :-


1. Klasifikasi ilmu yang pertama adalah melibatkan bahasa. Tanpa bahasa kita tidak boleh menangkap atau memahami apa-apa ilmu.

2. Logik. Dengan aturan logik baru suatu ilmu boleh difahami dengan baik.

3. Matematik. Selepas bahasa dan logik ia adalah cabang ilmu terbaik untuk menggapai segala sesuatu. Cuma kaedah pengajaran matematik yang digunakan semasa zaman kegemilangan Islam tidak lagi dipakai pada zaman moden (rujuk perbincangan berkenaan dalam artikel Menerbitkan sistem pengajaran matematik dan sains yang bebas daripada belenggu pemikiran Barat).

Menariknya matematik dikatakan seiring dengan muzik. Menurut Osman begitulah halnya dahulukala sehingga hampir zaman moden pun mereka yang hendak mendaftar untuk pengajian muzik  di University of Oxford juga University of Cambridge (dua universiti paling terkemuka di United Kingdom malah di dunia) harus melakukannya di jabatan matematik. Ini disebabkan muzik secara rasmi termasuk dalam cabang ilmu matematik.


Begitu banyak perkara dan ilmu terkeluar dalam syarahan 2 jam ini sehingga peringatan Osman tentang pengalaman mengupas buku di Brunei menjadi kenyataan. Ini baru kupasan daripada muka surat pertama iaitu permulaan bab mukadimah. Itupun belum cukup satu muka surat sebenarnya kerana belum masuk kupasan perkara atau sub-topik ke-2 yang perenggannya bermula pada bawah muka surat sama. Cuma memang ada lompat melompat campur aduk perkara daripada tajuk-tajuk dan perkara-perkara seterusnya muncul dalam kupasan sub-topik 1 itu kerana memang saling berkaitan.

Begitu senang dan rasa kenyang jiwa sehingga saya orang pertama menyatakan kelas syarahan kupasan buku "Klasifikasi Ilmu Pengetahuan Dalam Islam" ini harus diadakan setiap minggu. Dengan itu tetaplah masa syarahan di bilik sama, bilik kuliah 8 ISTAC pada setiap hari Isnin jam 10 pagi hingga 12 tengah hari. Selepas itu bolehlah diadakan perbincangan secara empat mata dengan Osman untuk menangani tesis saya. Sekian perkongsian daripada saya tentang syarahan yang begitu mengujakan ini.




Tiada ulasan: