Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Monday, May 30, 2016

Jadi 'Chef Wan' di Bentong sebelum mencari jejak Dato' Bahaman di Lanchang

Salam semua. Ini ada penceritaan daripada hujung minggu lalu, ketika cuti sekolah seluruh negara Malaysia baru sahaja bermula...


Awal pagi Sabtu 28 Mei 2016. Pekan Bentong di Pahang baru mula hidup...


Adapun saya dan isteri telah membawa 4 orang anak bermalam di sebuah hotel di tengah pekan. Selepas jam 8 kami keluar berjalan kaki meninggalkan anak-anak menuju ke padang utama pekan dengan berbusana tradisional Melayu penuh. Selfie sat...


Ini mungkin sesuatu yang kedengaran amat pelik. Kami datang ke Bentong kerana saya diminta menyertai satu pertanding memasak sambil memakai busana tradisional.


Nah. Saya seorang sahaja laki-laki yang berpakaian begini.


Penyertaan saya sebenarnya sekadar gimik untuk membantu satu kumpulan menyerlahkan persembahan masakan. Lihat artikel Playing a gimmick at a Bentong cooking contest di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Kami tak tunggu sehingga majlis selesai kerana tujuan utama kami datang ke Pahang adalah untuk membawa anak-anak bercuti melihat gajah di pusat perlindungan Kuala Gandah. Selepas berehat sekitar sejam di hotel kami meninggalkan Bentong jam 11.30 lalu masuk ke Lebuh Raya Karak.


Dari Lebuh Raya Karak boleh masuk Lebuh Raya Pantai Timur lalu boleh ambil susur keluar Lanchang untuk ke Kuala Gandah.


Tetapi tidak lama kemudian anak kecil pula hendak membuang air. Ini membuat kami keluar daripada lebuh raya masuk ke sebuah jalan kampung.


Bila dah masuk jalan kampung tergerak pula untuk terus mengikut laluan tersebut sampai ke Kuala Gandah.


Kami sampai sekitar jam 12.40 tengah hari lalu berlegar-legar menyertai pelbagai aktiviti tentang gajah sehingga jam 3 petang. Lihat artikel Bringing the kids to Kuala Gandah elephant sanctuary.


Walaupun memang tujuan utama perjalanan ke Pahang kali ini adalah untuk membawa anak-anak melihat gajah saya mengambil peluang untuk mencari jejak pejuang Melayu Pahang, Dato' Bahaman yang pernah memegang jawatan Orang Kaya Semantan. Setelah beberapa lama baru saya tahu Lanchang dan sekitarnya adalah tempat 'permainan' beliau. Daripada Kuala Gandah saya menghala ke Kampung Mempateh yang dikatakan banyak terkait dengan perjuangan Dato' Bahaman lalu singgah solat di masjid yang kelihatan. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Mempateh, Pahang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Di Mempateh ini ada jambatan menyeberangi Sungai Semantan. Lihat Semantan river near the bridge at Mempatih. Saya ada terbaca di Internet bahawa berdekatan sini terdapat tempat bernama Lubuk Teruam tempat pertama orang Melayu Pahang memulakan pemberontakan terhadap pendudukan British dengan  dipimpin oleh Dato' Bahaman.


Tetapi saya diberitahu oleh seorang anak tempatan Lubuk Terua bukan terletak berdekatan jambatan tetapi di satu bahagian sungai sedikit ke hulu lagi. Berpandukan tunjuk arah beliau saya mengambil satu simpang lain lalu mencari sehingga sampai ke tempat yang kelihatan. Saya tak pasti jika di sinilah Lubuk Terua. Yang pasti saya ada berjalan kaki melepasi satu tanah perkuburan lama sedangkan di simpang ada papan tanda menyebut lorong yang diambil boleh membawa ke tanah perkuburan Lubuk Terua.



Kalau saya berjalan seorang diri tentu saya akan mengambil lebih banyak masa untuk mendapatkan kepastian. Tapi saya berjalan membawa isteri dan 4 orang anak untuk berjalan-jalan cuti sekolah. Jadi tak bolehlah ikut kepala saya sahaja, kena fikir juga masa dan keselesaan mereka. Sekitar jam 4.45 kami pun meninggalkam Mempateh lalu masuk ke pekan Lanchang. Dari situ terus ambil jalan lama menuju ke Kuala Lumpur untuk kembali ke rumah.


Sebelum sampai ke terowong di Genting Sempah kami masuk ke Janda Baik melalui pekan Bukit Tinggi. Bawalah anak-anak mandi sungai sat sebelum makan sup tulang enak di sebuah warung kegemaran. Adapun sungai-sungai yang banyak terdapat di Janda Baik semuanya bertemu aliran masuk ke Sungai Benus. Sungai ini masuk satu  lubang di hutan Janda Baik sebelum keluar di Hutan Lipur Lentang kemudian masuk Sungai Bentong sebelum masuk Sungai Semantan. Air Sungai Semantan pula masuk ke Sungai Pahang di Temerloh.

Adapun perjuangan Dato' Bahaman, si Orang Kaya Semantan menentang British kemudian membesar apabila disertai lain-lain pahlawan Melayu Pahang yang terkenal seperti Tok Gajah dan Mat Kilau. Sedikit sebanyak perjalanan ini dirasakan terkait juga dengan perjalanan 3 hari 3 malam yang dibuat di keliling Pahang 10-13 Mei lalu. Dengan ini biar dipautkan artikel-artikel berkenaan. Perjalanan dahulu, 3 malam di Pahang turut dibuka dengan bermalam di Bentong, campur 1 malam lagi di Bentong untuk perjalanan baru Sabtu lepas. Ada makna yang tersurat dan tersirat ini...








3 comments:

Radzi Sapiee said...

Copas daripada FB. Menariknya, Dato' Bahaman dikatakan lahir di Aceh...


‎Lanchangboy Razak‎ to I ♥ PAHANG

October 7, 2015 ·

tanpa edit..

Kredit untuk tuan haji sulaiman...

MENILAI KEMBALI SEJARAH BAHAMAN DI SEMANTAN

Oleh : Haji Sulaiman binn Haji Konit , PJK .

1. Semangat perjuangan Bahaman di Semantan boleh di ubah kepada (di eksploit kearah kebaikan ), terutama kepada semangat dan dedikasi pelajar untuk menimba ilmu pengetahuan. Tapi bagaimana semangat perjuangan tersebut dapat di aplikasikan kerana ramai daripada kita tidak berminat untuk mempelajari sejarah terutama sejarah negara, seperti yang berlaku di tahun-tahun selepas kemerdekaan 1960-1970 han . Kepentingan sejarah di katakan tidak nampak jelas kepada bangsa dan negara terutama di zaman sains, teknologi , dan internet ini . Syukur lah mulai tahun 2013 nanti , subjek sejarah akan di wajibkan semula dalam kurikulum di sekolah kita.

Sebenar nya dari segi pembentukan negara bangsa, sejarah memainkan peranan sebagai pembentukan sikap patriotisme terhadap negara . Kalau Bahasa Melayu / Malaysia dapat di anggap sebagai alat perpaduan bangsa, maka sejarah pula dapat di anggap sebagai pembentuk jati diri bangsa sesebuah negara.

2. Semasa saya di tugaskan meneraju Sekolah Kebangsaan Lubok Terua Lanchang, Pahang 1979-1985, saya telah mengambil peluang mengkaji sejarah Bahaman di Semantan, secara lebih terperinci , kerana lokasi sekolah tersebut terletak di kawasan perjuangan Bahaman menentang Inggeris di Semantan dalam tahun 1888-1895 .

Saya telah menyelidik dan bertanya dan menemu-bual jenerasi lama yang masih lagi ingat kisah-kisah Bahaman yang di ceritakan kepada nya oleh orang terdahulu (datuk nenek / waris / dan peminat sejarah ) dan masih segar dalam ingatan nya , seperti : Abdullah Kari Sulaiman (74 tahun) Kampung Tedung; Omar Kasim (87 tahun ) , Kampung Chempaka ; Haji Said Muhamad (75 tahun ), Kampung Indah Lanchang ; dan terbaharu Haji Abd Rashid Saad di Temerloh . Saya juga telah membaca dan mengkaji tulisan Azhar Abd Rahman (Pustaka Azam 1982 ) , Ishak Muhamad (majalah Viriasi 1984) , Othman Putih ( Siri Wawasan 1980 ) , dan Sidang Pengarang Akino, Pulau Pinang ( 1981 ) .

Setelah itu , saya telah mengumpulkan dan menjadikan nya risalah kecil mempunyai beberapa helaian muka surat. Sempena dengan itu juga saya telah mengadakan pameran khas mengenai *Menilai Kembali Sejarah Bahaman di Semantan* bersempena dengan Hari Pendidikan Sekolah di akhir tahun , pada 8.11.1984. Di pameran tersebut telah di pamerkan sedikit bekas peninggalan Bahaman, yang di pinjamkan oleh cucu-cucu nya. Sebelum hari pendidikan tersebut juga pasukan pengakap dan pandu puteri, telah di bawa melawat ke Lubok Sengarat, tempat pasukan Bahaman mengalahkan sepoi / mata-mata yang hendak menangkap Bahaman di Semantan , terletak kira-kira 1.5 km menghilir dari jambatan sekarang. Kemudian di bawa juga melawat sebuah perigi / telaga peninggalan lama yang di gunakan oleh mata-mata di rumah pasung / balai polis , yang di bangunkan oleh Inggeris .

Perasmian Hari Pendidikan tersebut telah di lakukan oleh Encik Hamzah Zakaria, Ketua Penolong Pengarah Unit Sekolah Rendah Negeri Pahang . Beliau sangat tertarik dengan pameran pendidikan tersebut, dan berterima kasih kepada masyarakat setempat mengadakan pameran tersebut . Apatah lagi , kata nya semangat juang Datuk Bahaman dapat di pindah ke arah perjuangan menuntut ilmu dengan lebih gigih . Kalau di katakan , Bahaman dapat melompat sungai Semantan di Lubok Sengarat, pelajar pula sepatut nya pula sanggup berjuang apa saja , demi untuk mencapai pendidikan setinggi mungkin . Ubah pradigma cerita Bahaman tersebut ke arah perjuangan yang di kehendaki pada masa sekarang .

3. Itu lah sebenar nya tujuan mengingat dan menilai kembali sejarah perjuangan Bahaman di Semantan ini, yang mana Sekolah Lubok Terua merupakan lokasi yang tepat . Dapat kah kita mengeksploit cerita dan sejarah Bahaman kepada para pelajar semua dalam pelajaran mereka …? .

Radzi Sapiee said...

Sambungan...

4. Siapakah Datuk Bahaman … ? . Nama sebenar Datuk Bahaman ialah Abd Rahman bin Nong (Tok Noh ) . Beliau telah di lahirkan kira-kira dalam tahun 1824 di Kota Raja Aceh, Sumatera Utara . Bila beliau berumur kira-kira 30 tahun beliau merantau ke Negeri Sembilan kemudian ke Pahang . Pada masa itu negeri Pahang dalam perebutan kuasa antara Wan Ahmad dengan Wan Mutahir . Akhir nya dengan bantuan rakyat termasuk Bahaman, Wan Ahmad telah menang. Sebagai membalas jasa , Wan Ahmad telah memberi kuasa kepada Bahaman mengutip cukai di kawasan Semantan , bemula dari kuala hingga ke Lembah Klau dan Bukit Tinggi, yang bersempadan dengan negeri Selangor . Bahaman telah di beri gelaran; Datuk Setia Perkasa Pahlawan atau Orang Kaya Setia Perkasa Pahlawan .

Di antara anak nya yang banyak bersama berperang menentang Inggeris dengan nya di Semantan ialah Mat Lela . Sahingga ketika saya berada di Lubok Terua / Mempateh Lancang , terdapat lagi anak cucu Bahaman . Contoh nya Haji Saad yang tinggal di Mempateh . Beliau adalah anak kepada Mat Lela , dan seorang lagi ialah Cikgu Kamaruddin Jantan , yang tinggal di Durian Tawar,Temerloh .

5. Pada penghujung tahun 1800 terdapat kira-kira 300 orang tinggal di kawasan Semantan . Apabila Inggeris masuk campur dalam pemerintahan Pahang tahun 1888, pembesar Pahang tidak di benarkan lagi mengutip cukai , seperti di Semantan atau di kawasan Jelai , Kuala Lipis ; oleh Orang kaya Perba Jelai . Datuk Bahaman tidak mematuhi arahan Inggeris , maka Semantan di anggap kawasan hitam oleh orang Inggeris .

6. Dalam bulan Disember 1890 kerajaan Inggeris telah melantik Kapten Wise menjadi Pegawai Daerah Temerloh . Wise telah mendirikan sebuah Balai Polis / Rumah Pasung di Mempateh. (tempat nya tidak jauh dari jambatan sekarang ) . Orang Semantan di bawah Bahaman amat marah kepada Inggeris yang cuba mengganggu keadaan di Semantan . Atas nasihat Sir Hugh Clifford, Sultan Ahmad telah melucutkan gelaran Orang Kaya Semantan yang di berikan kepada Bahaman . Mata-mata di Balai Polis Mempateh seramai 25 orang yang di ketuai oleh Mat Bugis di arahkan supaya menangkap Bahaman .

Tindakan Inggeris itu telah menaikkan kemarahan Datuk Bahaman, lalu mereka membuat serangan balas, terhadap orang Inggeris di Lubok Terua . Orang Inggeris terpaksa berundur ke Temerloh, dan rumah pasung Mempateh di tawan oleh pengikut Bahaman . Kemudian selepas itu , satu pasukan Inggeris kira-kira bulan Disember 1891, beberapa buah perahu telah mudik Sungai Semantan dengan tujuan hendak menangkap Bahaman. Mereka terdiri dari 2 orang Inggeris , 15 orang askar / sepoi Sikh dan 6 orang Melayu . Orang-orang Bahaman telah membuat jerat di Lubok Sengarat, dengan merentang tali / rotan di di sungai yang sempit itu. Apabila pasukan Inggeris sampai mereka menarik tali tersebut , yang menyebabkan perahu mata-mata Inggeris, terbalik dan jatuh ke sungai dan ramai yang mati lemas . Mereka yang hidup lari ke Temerloh . Dari sejak itu lah peperangan menentang Inggeris di Semantan di lakukan secara perang gerila …
Tempat-tempat yang pernah berlaku peperangan seperti di : Pasir Rawa Mentakab, Batu Hampar dan Kelubi di Batu Lima , Kuala Dal dan Linggam di Rantau Panjang . Tempat lain ialah di Jeram Temeriak tidak jauh dari Bentong. Saya telah bertanya kepada orang yang tahu mengenai nya. Jeram Temeriak sekarang terletak tidak jauh dari Sungai Dua, sungai di situ sempit dan terletak berhampiran lereng bukit yang curam . Orang-orang Bahaman telah menggolekkan batu-batu besar, apabila sahaja perahu mata–mata Inggeris melalui jeram tersebut . Tektik perang gurila ini di gunakan oleh pengikut Bahaman apabila berdepan dan tahu mata-mata Inggeris hendak menyerang nya .

Radzi Sapiee said...

Lagi...

7. Bahaman mempunyai pembesar atau ketua tempatan sendiri untuk membantu nya ,seperti :Penglima Besar Abd Majid ( Rantau Panjang ),Imam Perang Yaman ( Kuala Kaung ), Penglima Raja Awang Sabak ( Mempateh ) Imam Perang Weh ( Chempaka ), Tok Muda Bidin ( Teris ) , Tok Pemangku Din ( Bolok ) . Di katakan Imam Perang Weh dan Khatib Bidin telah mati dalam peperangan di Kelubi, Batu Lima .

8. Dalam bulan Mac 1892, sekali lagi orang-orang Bahaman meneyerang rumah pasung Lubok Terua / Mempateh . Selepas itu Bahaman meninggalkan Lubok Terua . Inggeris telah menawarkan kepada sesiapa sahaja yang dapat menangkap Bahaman, dengan tawaran RM 1,000 /. Selepas peristiwa tersebut pasukan Bahaman terus berundur ke Ulu Pahang,Kelantan dan seterus nya ke Siam. Sebab-sebab berundur di katakan , antara nya : tidak mahu bertempur dengan pasukan Inggeris yang terdiri juga dari orang Wan Ahmad . Tambahan pula Inggeris telah menambah kekuatan mata-mata nya. Yang masih bersemangat untuk menentang Inggeris hanyalah : Bahaman, Mat Kilau dan Orang Kaya Haji sahaja .

9. Satu perjanjian sulit antara Bahaman dengan Wan Ahmad di adakan di Pasir Tok Anjang (tidak jauh dari pam air Mempateh) sekarang . Perkara yang di bincangkan tidak di ketahui, kerana di buat antara empat mata sahaja .

10. Peperangan terakhir menentang Inggeris berlaku pada penghujung tahun 1895 di Kelubi, Batu Lima Mentakab . Di katakan Bahaman berpindah ke Siam dan menyerah diri di sana . Semasa di Mempateh, tiga kali Bahaman menawan Rumah Pasung Lubok Terua, kerana mempertahankan tanah air nya . Datuk Bahaman dapat di anggap sebagai pejuang kemerdekaan tanah air. Beliau telah dapat menyatukan orang Melayu pada masa itu untuk menentang Inggeris yang hendak menjajah , sebahgian dari negeri Pahang .

11. Sekali lagi para pelajar sepatut nya mengambil ikhtibar dalam peristiwa Bahaman menentang Inggeris di Semantan ,Temerloh, Pahang. Jadi kan motivasi diri untuk berjuang mencipta kejayaan dalam pelajaran, walau pun susah sekali pun . Bila sudah besar dan dewasa, sepatut nya anda sanggup pula mempertahan kedaulatan tanah air sendiri dari pencerobohan dari dalam dalam dan luar juga .

Ingat lah *sejarah * boleh membentuk patriotisme terhadap negara dan jati diri kepada bangsa …! .

Penulis : Bekas Guru Besar SK Lubok Terua Lancang ( 1979-1985 ) & Bekas Guru Besar SK Bandar Temerloh ( 1985- 1992 ) & Tokoh Guru Temerloh 1998 .

Selasa 22 Mac 2011 / 17 Rabiul Akhir 1432 .