Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Ogos 29, 2008

Menyusuri sejarah sekitar Perjanjian Pangkor 1874... Teluk Intan dan masalah video yang sudah selesai!

Ya! Seperti disebut pada tajuk atas, masalah video yang mengganggu usaha penceritaan perjalanan terbaru ke Perak (lihat video 'penyek dalam artikel Menyusuri sejarah sekitar Perjanjian Pangkor 1874... Akhirnya klip video pertama (walaupun sedikit cacat, hehe!)), perjalanan yang dibuat 2 minggu lalu untuk menyusuri sejarah sekitar Perjanjian Pangkor 1874 telah pun selesai... Sekali lagi setelah bertungkus-lumus berjam-jam dan hampir putus asa mengalah. Tetapi dengan rahmat Allah, dalam keadaan hampir mengalah itu saya telah membuat beberapa percubaan main-main sebenarnya... Hasilnya, secara tidak sengaja saya berjaya menyelesaikan masalah editting yang selama ini saya anggap muncul semata-mata disebabkan penggunaan komputer baru yang memakai Operating System Windows Vista! Rupa-rupanya saya cuma perlu lebih peka menggunakan dan bermain-main dengan pertukaran format video yang lebih sesuai. Maka lihatlah hasilnya di bawah ini...

---------------------------




Ini adalah video yang diambil di kawasan pemakaman keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak, di hadapan masjid lama Kampung Batak Rabit, Teluk Intan. Sejurus sampai ke sana (selepas singgah sebentar di Tanjung Malim juga Sungkai lalu naik ke Teluk Intan melalui Bidor), saya, Zaidi @ PerpatihTulus dan Dong bersolat di masjid itu sambil menunggu kedatangan para perserta lain. Tidak lama kemudian muncul saudara Zam. Ketika itu juga kami mendapat berita saudara RadenCilik dan anak buahnya baru berlepas meninggalkan Kuala Selangor sementara Puan Anggun dan 2 orang anaknya mahu menghadiri majlis kahwin di Sabak Bernam, 35km sahaja dari Teluk Intan... Alang-alang sudah ke sana, elok juga Anggun turun serta dalam program perjalanan hari ini.
Dipendekkan cerita, masuk waktu Asar baru mereka semua dapat muncul di masjid lama ini. Sebenarnya sudah ada beberapa rakaman video dibuat sementara itu tetapi rakaman video di atas ini cuma dibuat apabila kami semua selesai solat Asar lalu bersiap-siap untuk membuat perjalanan ke destinasi-destinasi seterusnya. Nikmatilah ia! :]



OK. Sebenarnya tadi saya telah meng upload klip video lain terlebih dahulu iaitu klip video paling bawah di sini menggunakan account YouTube saya yang sudah lebih setahun tidak aktif. Oleh kerana YouTube tidak membuat progress report menyatakan berapa banyak bahagian video telah di upload dan saya pun sudah lama tidak menggunakan YouTube, maka saya pun memulakan upload video di atas ini menggunakan option video di blogspot ini.

Walaupun proses uploading tetap memakan masa, sekurang-kurangnya saya lebih yakin melihat progress report yang tertera pada bawah papan skrin. Mungkin itulah kelebihan membuat upload menggunakan blogspot, cuma jangkauan klip-klip videonya mungkin tidak sepopular berbanding dengan apa yang terdapat di YouTube.

Apapun di atas ini sebenarnya versi elok klip video tentang lawatan ke Masjid Sheikh Ismail di Ulu Bernam, Selangor hampir ke Tanjung Malim, Perak. Kiranya ini adalah pembetulan bagi menggantikan video 'penyek' di artikel Menyusuri sejarah sekitar Perjanjian Pangkor 1874... Akhirnya klip video pertama (walaupun sedikit cacat, hehe!) . Terimalah ia ya...





Ini pula adalah video terawal di upload hari ini. Video apa ya... Hmm, sebenarnya saya tidak boleh bercerita panjang lagi kerana saya sepatutnya berada di sekitar perhentian bas Pekeliling untuk berjumpa orang sekitar jam 5.30 petang sedangkan saya kini (semasa menulis ini) masih berada di sebuah Internet Cafe di Taman Cahaya, Ampang dan sudah pun melepasi jam 5.20. Tetapi apa boleh buat? Membuat video upload diikuti segala proses yang perlu untuk memaparkannya memakan masa. Samada saya boleh meninggalkan kerja ini sekarang untuk berkejar ke Pekeliling lalu harus mengulangi proses uploading yang memakan masa ini malam ini atau hari lain atau selesaikannya sekarang, tetapi harus sedikit lambat untuk perjumpaan selepas ini.

Apapun, video ini adalah hasil rahmat Allah yang menyebabkan saya tiba-tiba mendapat jawaban secara spontan bagaimana hendak menangani masalah editting video yang membelenggu fikiran beberapa hari kebelakangan. Bukan itu sahaja, entah tiba-tiba juga saya mendapat gerak ilham yang mantap sehingga boleh tahu menggunakan Windows Movie Maker dengan elok (sebelum ini saya setakat tahu menggunakannya untuk memotong klip video sahaja), tergerak pula untuk menghasilkan video ringkas di atas berdasarkan koleksi gambar-gambar di Kedah (kecuali ada terselit satu gambar pekan Gemas dalam folder sama di dalam komputer. Lihat artikel Lawatan ke Jitra, penceritaan perjalanan terbaru Perak dan apa-apa perkara yang muncul ) sebagai percubaan... Percubaan untuk menunjukkan saya sekarang cukup yakin mengendalikan proses editting video walaupun seorang diri dan dengan ini dinyatakan komitmen saya untuk menerbitkan DVD perjalanan ke Perak secara professional untuk jualan kepada mereka yang berminat... Insyaallah akan saya usahakan sebaik mungkin dalam bulan Ramadhan ini. Sekian! :]



p/s: Untuk makluman, ini adalah artikel ke 393 di sini. 393 = 131 x 3. Ada apa-apa makna ke? Untuk kesinambungan cerita sila lihat juga artikel
Exploring the happenings around the 1874 Pangkor Treaty in Perak... Opening the 'act' at Tanjung Malim di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan Masjid lama (old mosque of) Sungkai, Perak di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Oh, baru teringat. Semasa di Sungkai, kami sempat berjalan-jalan di sekitar kampung Changkat Sulaiman. Entah apa le yang ada kat sana ya?

Rabu, Ogos 27, 2008

Menyusuri sejarah sekitar Perjanjian Pangkor 1874... Akhirnya klip video pertama (walaupun sedikit cacat, hehe!)

Assalamualaikum... Setelah berjam-jam bertungkus-lumus daripada tengah malam sampai ke Subuh untuk menghasilkan klip video pertama yang boleh dipaparkan ke sini, setelah mencuba beberapa jenis perisian termasuk perisian video professional mahal (tetapi versi ciplak murah) yang dicadangkan beberapa orang (penjual perisian ciplak le tu, hehe!), baru saya dapat menghasilkan sedikit sedutan atau klip video yang boleh dipaparkan di sini, hasil perjalanan ke Perak 16-18 Ogos yang dibuat untuk menyusuri kejadian, peristiwa-peristiwa dan cerita tersurat dan tersirat sekitar terjadinya Perjanjian Pangkor 1874.

Adapun jumlah keseluruhan rakaman video yang diambil menjangkau 4 jam. Mustahil semuanya dapat dipaparkan di blogspot ini kerana satu... Banyak sungguh kerja dan masa yang perlu untuk membuat uploading sahaja... Itupun kalau tak sangkut. Kedua, nanti kita dah penat-penat bagi video free dengan belanja sendiri dan segala titik-peluh malah ada masanya keringat darah, tetapi akan ada orang tidak tahu menilai segala ini malah senang-senang meremehkan usaha ini.

Maka untuk mengelakkan timbul masalah-masalah sebegini selain memudahkan kerja saya, seeloknya cuma dipaparkan beberapa sedutan terpilih sahaja ya! Ingat kerja saya menulis dalam blogspot sahaja ke? Banyak lagi kerja lain saya kena buat woo... Lain le kalau buat kerja copy and paste, tak payah bekejar sana-sini berpenat-lelah keluar belanja sendiri ambil pelbagai risiko termasuk sesekali risiko nyawa cari bahan sendiri kemudian tak payah fikir panjang nak menulis cara bagaimana, nak ulas bagaimana.

Itupun bukan senang rupanya hendak mendapatkan sedutan terpilih. Selain harus menyaksikan kembali rakaman yang dibuat dengan teliti untuk melihat bahagian mana yang sesuai, kemudian harus membuat editting... Ini boleh menjadi susah atau mudah bergantung pada alatan dan perisian yang dimiliki. Dalam keadaan sekarang di mana saya menggunakan komputer baru dengan Operating System Windows Vista, rupa-rupanya banyak masalah yang timbul pula sedangkan saya memang bukan pakar video...

Apapun, saya akhirnya membuat keputusan menukar format video daripada VOB kepada AVI. Dari situ, barulah video itu boleh di edit menggunakan Windows Movie Maker. Nampak cantik dah kat situ, tetapi apabila masuk publish movie untuk membuat fail baru yang mengandungi klip video sedutan yang telah dipilih, entah kenapa muncul pula kawasan hijau yang mengambil separuh ruang ruang bawah video sambil 'memenyekkan' klip video sebenar naik ke atas. Allah! Apa ini?

Setelah mencuba beberapa kali dalam format dan kombinasi lain dan itulah juga hasil yang dapat (mungkin disebabkan Operating System Windows Vista yang mungkin belum compatible atau serasi dengan semua perisian sedia ada?) saya membuat keputusan... Ah! Gunakan sahaja klip video 'cacat' itu. Walaupun ia 'penyek', saya boleh membetulkannya sedikit dengan mengubah parameter ketinggian paparan video untuk mengembalikan bahagian 'penyek' menjadi elok balik. Cuma bahagian hijau tetap akan kelihatan malah lebih besar! Tetapi tidak mengapalah... Sekurang-kurangnya ada juga klip video yang boleh dipaparkan.

Saya tahu ramai sudah menunggu klip video perjalanan terbaru ke Perak ini dipaparkan. Terutama kerana inilah pertama kali pengembaraan saya dibuka kepada mana-mana peserta yang ingin turut sama terutama warga dan pengunjung setia blogspot ini dan ternyata dapatlah juga sehingga 14 peserta termasuk saya walaupun bukan semua muncul pada waktu yang sama.
Maka apapun, terimalah persembahan video klip pertama perjalanan ini dari saya. Sekurang-kurangnya ada lah juga sementara masalah membuat sedutan ini cuba diselesaikan seminggu dua ini, insyaallah!

Oh... Seperti disebut awal tadi, ia cuma sedutan terpilih sahaja ya. Adapun seluruh rakaman perjalanan ini boleh dirangkumkan kepada 8 set video (setiap satu boleh merekod sehingga 30 minit). Baca balik artikel Laporan ringkas perjalanan terbaru ke Perak... Meriah woo tapi penat! untuk mendapat gambaran jangkauan peristiwa dan himpunan variasi tempat-tempat dalam perjalanan ini...

Untuk makluman, ini adalah satu-satunya sedutan daripada set rakaman video pertama. Video ini sebenarnya bermula dengan penggambaran dalam kereta dari Kuala Lumpur sambil menerangkan objektif dan pelan perjalanan sehingga singgah di kawasan rehat Sungai Buloh, masuk balik ke Lebuhraya Utara Selatan sebelum masuk ke jalan biasa melalui Tanjung Malim.

Klip video ini setakat memaparkan ziarah ke Masjid Sheikh Ismail di Ulu Bernam, 200 meter daripada sempadan negeri Selangor-Perak yang membawa masuk ke bandar Tanjung Malim. Sedangkan di Tanjung Malim sendiri, ada rakaman video dibuat di sempadan iaitu di jambatan menyeberangi Sungai Bernam, seterusnya masjid jamek Tanjung Malim, di hadapan UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris) kemudian di Sungkai membawa ke Bidor sebelum masuk ke masjid lama Kampung Batak Rabit, Teluk Intan.

Begitu juga keadaannya untuk set rakaman video akan datang.... Saya cuma akan memaparkan paling banyak pun mungkin 3 sedutan daripada satu set video, setiap sedutan mungkin maksimum pun 5 minit. Maka untuk menikmati hasil penuh rakaman video ini, tunggulah set DVD yang akan kami keluarkan nanti. Kenalah beli nanti ya... Selamat malam! :]




p/s: Waduh waduh waduh! Ingatkan boleh betulkan masalah 'penyek' ini dong dengan mengubah parameter ketinggian video. Masa dalam mode create post untuk artikel ni memang nampak boleh. Ubah sahaja parameter dan saiz video pun ikut sama. Tapi apabila di publish atau disiarkan masuk blogspot, lain pula jadinya... Yang penyek tetap penyek... Yang jadi panjang cuma bahagian kotak hitam sahaja... Allah!

Ahad, Ogos 24, 2008

Lawatan ke Jitra, penceritaan perjalanan terbaru Perak dan apa-apa perkara yang muncul

Hmm... Sementara penceritaan perjalanan terbaru ke Perak belum dapat dibuat kerana masalah editting klip video, biar dilepaskan luahan rasa mewakili cerita terkini saya ya. Ini dia...


OK... Ini adalah gambar poster yang diambil daripada http://radencilik.blogspot.com/, dalam posting bertajuk Pengembaraan Merah Silu & Team - Preview . Seperti disebut di sana...

Buat sahabat-sahabat yang tak sabar menunggu, saya kirimkan gambar ini buat penyejuk hati sementara menunggu hidangan menu utama.

Maka biar gambar ini turut dipaparkan di sini sebagai sebahagian daripada langkah 'pembukaan' sebelum penceritaan sebenar dapat dimulakan.

Ya... Saya sendiri tidak dapat menjamin bilakah artikel-artikel tentang perjalanan terbaru ke Perak yang disertai sejumlah 14 orang itu dapat dipaparkan... Seperti disebut dalam artikel Laporan ringkas perjalanan terbaru ke Perak... Meriah woo tapi penat! Selasa lalu, keseluruhan penggambaran video yang diambil menjangkau 4 jam. Mustahil semuanya dapat dipaparkan, harus dipilih bahagian mana yang sesuai...

Kemudian muncul pula masalah editting untuk mengambil sedutan atau bahagian yang sesuai. Adapun komputer baru saya juga komputer baru Zaidi @ PerpatihTulus menggunakan Windows Vista maka perisian-perisian percuma yang sebelum ini kami ambil daripada Internet untuk membuat editting ternyata tidak dapat menjalankan tugas sepatutnya sepertimana ketika kami menggunakan komputer lama berasaskan Operating System Windows HP. Lagipun penat perjalanan masih belum belum hilang... Setelah perjalanan ke Perak, saya kembali ke Kuala Lumpur untuk menyelesaikan hal-hal tertentu kemudian bergegas ke Jitra, Kedah lalu kembali juga untuk menyelesaikan lagi hal-hal tertunda... Baru semalam saya dapat berehat sedikit di Ampang.

Apapun, biar kita turut sahaja gerak penceritaan di hadapan mata. Cerita-cerita Perak Insyaallah akan saya cuba paparkan tidak lama lagi. Sekarang biar saya bercerita tentang perjalanan ke Jitra pula ya. Mari! :]



Ini adalah gambar Menara Alor Setar setinggi 100 meter gitu, diambil waktu senja Rabu. Adapun selepas kembali dari perjalanan Perak petang Isnin, saya turun di pinggiran Lembah Kelang kerana ada hal. Esok tengahari baru kembali ke rumah ibu saudara tempat saya menumpang di Ampang, tidur 1-2 jam sebelum bangun bersiap-siap lalu ke rumah seorang ibu saudara lain di Petaling Jaya kerana saya sudah berjanji akan bertindak sebagai supir ataupun driver untuk membawa ibu saudara ini, seorang anak perempuannya dan seorang ibu saudara lain ke Jitra, Kedah untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang sepupu.

Sebenarnya sepupu ini, puteri kepada adik lelaki sulung ibu saya telah berkahwin setahun lepas. Cuma baru ini mahu diadakan majlis sebelah keluarga si suami yang sedang menuntut di Madinah dan sedang kembali bercuti... Selesai majlis terbaru ini, baru mereka suami isteri akan berlepas untuk bermastautin di Tanah Arab. Adapun majlis itu mahu diadakan hari Khamis sedangkan ramai saudara-mara saya sedang bekerja hari itu lalu tidak dapat turut sama. Sudah lah Jitra terletak jauh lebih 400km nun di utara Lembah Kelang, Sabtu ini pula seorang ahli keluarga terdekat kami akan mengadakan majlis kahwin juga tetapi di Muar, 200km ke selatan. Jadi tak ramai yang dapat pergi ke Jitra...

Oh... Untuk melihat sejumlah gambar-gambar menarik daripada atas menara Alor Setar ini, sila masuk artikel Views on top Alor Setar's telecommunication tower.... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH


Kawasan rumah kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) di Jitra tempat kami menginap sebelum menghadiri majlis. Gambar ini diambil pagi Khamis.

Kalau diikutkan penat jiwa dan raga, saya sendiri tidak mahu ke Jitra. Tanyalah sesiapa yang turut pergi ke Perak hujung minggu lepas, penat ke tidak kami berjalan. Kalau anda rasa itu penat maka cuba bayangkan penat saya yang boleh dikatakan sudah lebih 7 tahun hidup dalam perjalanan, sejak meninggalkan kehidupan dan pekerjaan stabil penghujung 2001. Seumur hidup saya belum mendapat rasa rehat yang betul-betul dapat mengembalikan seluruh kesihatan jiwa dan raga... Sebab itu saya selalu juga merintih memohon agar diberikan home seweet home atau rumahku syurgaku yang selalu didamba-dambakan...

Apapun itu cerita lain. Cukuplah jika seseorang itu dapat membayangkan kepenatan setelah membuat perjalanan ke Perak... Lalu dalam kepenatan itu, 2-3 hari kemudian anda harus memandu kereta pergi-balik 1,000km. Pancit woo... Tetapi apabila memikirkan tidak ramai ahli keluarga belah kami yang akan ke Jitra, saya gagahkan jua... Kalau saya tak pergi, silap-silap makcik-makcik saya yang dua orang inipun tidak dapat pergi.

Sebagai seorang lelaki, saya tidak boleh menghampakan permintaan mereka meminta saya menemani dan menjadi pemandu. Walaupun mereka boleh memandu sendiri, hakikatnya banyak beza tenaga dan kudrat seorang lelaki berbanding seorang perempuan.. Kalau ada orang berniat jahat nak mengacau pun mungkin berfikir dua tiga kali apabila ada seorang lelaki dewasa turut sama...


Rupa-rupanya bahagian luar kampus UUM di Jitra ini (kampus utama terletak jauh sedikit di Sintok menghala ke sempadan Thailand) terletak tidak jauh dari makam seorang ulamak besar Kedah dahulukala, rasanya setakat 1-2km sahaja dari sini. Cuma saya tidak sempat menziarahi kerana harus menurut program keluarga. Sila lihat artikel Makam Datuk Maharaja Khadi Sheikh Abdul Jalil yang dibuat di sini setengah tahun lalu...

Oh... Malam sebelum itu, ketika bertemu bapa pengantin lelaki yang memang orang Jitra tapi bertugas di Putrajaya sebagai seorang pegawai agama, saya telah bertanya tentang makam ini. Dia pun sebenarnya tak tahu tentang kewujudannya... Sampai saya menyebut bahawa inilah makam bapa kepada ulamak Melayu terkenal bertaraf wali iaitu Sheikh Abdul Samad al-Falimbani. Baru dia mengangguk-anggukkan kepala pernah membaca kitab-kitab Sheikh itu!

Rombongan keluarga saya sampai di kampung pengantin lelaki hampir jam 1 tengahari, lupa nama kampungnya, Kampung Teluk Gelam ke hapa... Saya meletakkan kereta di kanan teksi ini... Tak kelihatan pula banyak kereta... Ait??? Mana majlisnya?

Apapun, rombongan kami iaitu rombongan keluarga perempuan rupa-rupanya terdiri daripada 7 orang sahaja. Saya sebagai sebagai orang lelaki paling tua bersama dua orang makcik (keduanya adik ibu saya) dan seorang anak makcik dalam satu kereta... Satu lagi kereta pula mengandungi ibu pengantin perempuan, seorang adik lelaki pengantin dan seorang abang. Bayangkan, 7 orang sahaja! Bagaimana kalau saya tidak dapat pergi atas alasan penat kerana baru kembali dari Perak? Memang saya penat tetapi demi keluarga, biarlah sekurang-kurangnya ada wakil dari belah saya atau belah ibu-bapa saya...

Pengantin perempuan iaitu sepupu saya sendiri ada 2 orang abang dan seorang kakak yang tidak dapat turut serta. Inikan lagi ahli keluarga lain! Dua orang abang itu katanya tidak dapat cuti kerja, si akak pula ada masalah kecatatan yang mengekang pergerakannya. Rasanya susah juga nak duduk dalam kereta berjalan lebih 1000km pergi balik untuk menghadiri majlis ini...

Rupa-rupanya majlis diadakan sekitar 100 meter dari tempat saya meletak kereta tadi. Kereta terpaksa diletak lebih jauh kerana jalan kampung ini sempit dan ruangan meletak kereta terhad. Ternyata majlis ini amat meriah walaupun keluarga pengantin lelaki agak terperanjat melihat pengantin perempuan cuma dihantar 7 orang ahli keluarga!

Apapun saya rasa tentu pengantin perempuan iaitu saudara sepupu saya ini terharu dengan kehadiran sedikit ahli keluarga itu... Adapun dia telah kematian ayahnya (adik lelaki sulung ibu saya) setahun lepas. Maka kehadiran kami dari keluarga ayahnya tentulah amat dialu-alukan lebih-lebih lagi kerana 3 orang adik-beradiknya sendiri tidak dapat hadir sedangkan tidak seorang pun daripada keluarga ibunya dapat turut serta. Atas kesedaran inilah saya bersyukur dapat hadir walau kepenatan. Saya tak mahu cerita lebih-lebih. Cukuplah dikatakan keluarga pengantin perempuan dahulu ada sedikit masalah. Apa yang saudara lain seperti saya dapat buat adalah tolong meringankannya di mana boleh. Maka kehadiran kami jadi sangat bermakna Insyaallah lebih-lebih lagi kerana sepupu ini suami isteri akan berlepas ke Madinah.

Pemandangan sawah padi di belakang rumah keluarga pengantin lelaki...


Petang itu kami singgah di Masjid Zahir, Alor Setar untuk bersolat sebelum kembali ke Kuala Lumpur. Untuk sedikit gambar-gambar sekitar masjid, sila lihat artikel Masjid (mosque of) Zahir di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ...


Saya sukakan rekabentuk masjid yang terletak di tepian Sungai Kedah ini. Insyaallah setiap kali sampai ke Alor Setar saya mesti singgah di sini...


Selepas menjamakkan solat Zuhur dan Asar, saya mendongak ke atas lalu tergerak mengambil gambar ini iaitu bahagian atas siling hadapan ruangan utama masjid...


Malam itu, di kawasan perhentian atau rehat Ulu Bernam di Lebuhraya Utara-Selatan lebih kurang 60km sebelum sampai ke KL, saya tergerak pula mengambil gambar Ka'abah di sejadah ini selepas menjamakkan solat Maghrib dan Isyak...


Saya juga tertarik pada bentuk ukiran bingkai di beberapa tempat di kawasan perhentian Ulu Bernam ini. Hmm... Teringat pula bahawa perjalanan Perak baru ini dibuka dengan menziarahi masjid Sheikh Ismail di Ulu Bernam, sebelum "memberi salam" kepada negeri itu di sempadan negeri Selangor-Perak, sekitar 200 meter di utara masjid itu.

Insyaallah saya akan usahakan untuk menyelesaikan masalah editting klip video perjalanan Perak secepat mungkin agar dapat ditatap pembaca semua. Cuma kali ini biar diberitahu bahawa saya cuba akan memaparkan segmen-segmen tertentu sahaja ya. Untuk cerita keseluruhan, Insyaallah anda boleh membeli VCD atau DVD yang akan disediakan nanti, bergantung pada permintaan. Selamat malam! :]



Selasa, Ogos 19, 2008

Laporan ringkas perjalanan terbaru ke Perak... Meriah woo tapi penat!


Gambar makam Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin seperti yang tertera dalam artikel In Perak's royal mausoleum to give justice to Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di blogspot BERPETUALANG KE ACEH yang dibuat setengah tahun lalu . Tiada beza dengan gambar yang diambil dalam lawatan terbaru Ahad lalu sempena perjalanan keliling Perak kecuali kini terdapat satu papan kecil tertera nama Laksamana dalam tulisan Rumi...

Assalamualaikum dan alhamdulillah. Sukacita dimaklumkan bahawa perjalanan terbaru ke Perak yang dilakukan sambil membuat klip video hujung minggu ini telah selamat selesai dengan penyertaan ramai juga warga setia blogspot ini. Maka di sini biar diberi sedikit laporan ringkas ya... Ringkas kerana saya sebenarnya belum kembali ke rumah lagi kerana bermalam di pinggiran Lembah Kelang sedangkan selepas ini, saya kembali pun cuma dapat berehat sebentar sebelum harus bersiap untuk pergi ke rumah seorang ibu saudara... Esok, saya perlu menjadi supir membawa kereta untuk menghadiri satu majlis perkahwinan di Jitra, Kedah...

Rasanya paling cepat saya boleh membuat apa-apa bentuk ulasan lebih panjang mungkin hujung minggu ini, silap-silap minggu depan! Begitu juga paparan klip-klip video yang ambil... Perlu di edit sedikit, ambil sedutan mana yang patut kerana jumlah keseluruhan rakaman menjangkau 4 jam! Mana nak letak semua woo? Rasanya kena pilih yang sesuai. Itupun satu kerja tu... Nak potong pun satu hal. Rasanya untuk rakaman video lengkap, perlu dapatkan DVD ringkas yang kami akan buat dan jual nanti ya! Sementara itu dipersilakan mereka-mereka yang turut serta untuk membuat posting-posting berkenaan di blogspot sendiri. Tak apa... Tak perlu tunggu saya. (Saya dah lihat http://radencilik.blogspot.com/. Tahniah... Ada gambar-gambar yang cantik).

OK... Ini cerita ringkas perjalanan ya...

Saudara Zaidi @ PerpatihTulus yang bertindak sebagai cameraman rasmi datang mengambil saya di Kajang selepas jam 8.30 pagi. Kami pun berkejar ke hadapan stesyen bas Pekiling di pusat bandaraya Kuala Lumpur untuk mengambil seorang lagi peserta dan warga setia blogspot ini, saudara Dong lalu masuk ke Lebuhraya Utara-Selatan melalui Jalan Duta. Sampai ke persimpangan Tanjung Malim, kami keluar dari lebuhraya. Singgah sebentar mengambil berkat di Masjid Sheikh Ismail, Ulu Bernam, Selangor sebelum bergerak 200 meter sahaja ke hadapan untuk ke jambatan menyeberangi Sungai Bernam yang menjadi sempadan negeri sebelum masuk ke Tanjung Malim, Perak.

Seterusnya kami singgah di hadapan (hadapan saja, tak masuk pun), masjid jamek lama Tanjung Malim sebelum berhenti di hadapan UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris) sebelum terus menyusuri jalan lama untuk ke Teluk Intan. Dalam perjalanan, kami singgah di masjid lama Sungkai setelah tergerak untuk masuk ke kawasan Kampung Changkat Sulaiman, sebelum masuk balik ke jalan utama untuk ke Teluk Intan melalui Bidor.

Apapun, kami sampai di Teluk Intan sekitar jam 1.45 tengahari begitu, terus menuju ke masjid lama Kampung Batak Rabit. Semasa menunaikan solat Zuhur dan Asar, muncul seorang lagi peserta iaitu saudara Zam yang bekerja di Shah Alam tetapi kembali ke kampungnya di Chenderong Balai, 20km dari Teluk Intan untuk menghadiri satu majlis keluarga. Di situ kami mendapat berita saudara RadenCilik dan seorang anak buahnya juga mahu turut sama tetapi baru berlepas dari Kuala Selangor kerana ada masalah teknikal. Kebetulan pula saudari Anggun dan 2 orang anaknya dalam perjalanan ke Sabak Bernam untuk menghadiri satu majlis perkahwinan. Oleh kerana Sabak Bernam terletak cuma 35km sahaja daripada Teluk Intan, tanpa dirancang dia pun turut serta bersaing dengan RadenCilik untuk ke Batak Rabit sementara saya, PerpatihTulus, Dong dan Zam makan.

Dipendekkan cerita mereka sampai waktu Asar, sempat bersolat jemaah sebelum perjalanan sebenar dimulakan. Maka sekitar jam 5 petang, selepas membuat klip video di hadapan masjid dan kawasan pemakaman keluarga Laksamana Raja Mahkota di sebelah, kami pun bergegas ke Teluk Intan.

Hmm... Panjang juga cerita 'ringkas' ni... Tapi kalau diringkaskan lagi, takut hilang langsung pula rasa mood pengembaraan. Ah... Bantai aje lah! :]

Kami singgah ke Menara Condong Teluk Intan sebelum pergi ke makam Sultan Perak ke 22, Sultan Abdullah Muhammad Shah I di Durian Sebatang. Kemudian ke makam Keramat Kuala Bidor di Kampung Bahagia sebelum masuk ke kawasan "jin bertendang" untuk ke masjid lama (seperti terpapar dalam posting Perjalanan ke Perak hujung minggu ini... Mari bersiap-sedia memeriahkannya! , juga di http://radencilik.blogspot.com/ baru tadi) di Teluk Memali, makam Sultan ke 19 Perak, Sultan Abdul Malik Mansur Shah dan kawasan perkuburan J.W.W. Birch masuk waktu Maghrib. Kemudian kami menziarahi makam Raja Ahmad (lihat side-bar kanan blogspot) waktu malam sebelum berehat dan bermalam di masjid jamek baru Kampung Gajah, Masjid Sultan Azlan Shah sementara Zam balik ke Chenderong Balai dan Anggun dan anak-anaknya ke kampung di Banting, Selangor.

Esoknya saya, PerpatihTulus, Dong, RadenCilik dan anak buahnya pergi ke rumah Zam untuk menyimpan kereta Raden yang ada masalah sedikit. Lalu perjalanan disambung dengan kami berlima (Zam tak ikut kerana ada majlis) naik kereta PerpatihTulus menghala kembali ke Kampung Gajah, singgah sebentar di Pulau Juar untuk menziarahi makam Sultan ke 23 Perak, Sultan Jaafar. Selesai itu baru ke Kampung Gajah balik untuk menyeberang Sungai Perak ke Pasir Salak. Jalan-jalan sebentar di sekitar Kampung Bandar Tua sebelum melihat kesan sejarah di Kompleks Sejarah Pasir Salak.

Selesai itu, kami memulakan perjalanan ke Taiping untuk ke Kota Ngah Ibrahim. Dalam perjalanan, singgah di Muzium Beruas sebelum ke Kampung Kota melawat makam Raja-raja Beruas dan berhenti berehat di masjid Kampung Kota. Hujan yang turun lebat mengganggu sedikit perjalanan. Apabila sampai ke Kota Ngah Ibrahim, ngam-ngam jam 5 petang... Ternyata kota yang telah dijadikan muzium itu telah tutup tetapi dengan kuasa Allah, penjaganya yang baru sahaja hendak menunggang motosikal keluar sanggup membukanya kembali untuk rombongan kami!

Seterusnya kami ke pusat bandar Taiping dengan niat nak makam kuey teoy Doli... Dah, kedai tu pula sibuk sampai tak cukup meja dan ramai orang menunggu, maka kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya, bandar diraja Kuala Kangsar. Singgah di Bukit Berapit baru kami makan tengahari (makan tengahari hapa... Dah jam 6.15 petang gitu!), sampai di makam Sheikh Abdul Qadir (lihat Makam Sheikh Abdul Qadir al-Jilani di Kuala Kangsar, Perak?) jam 7 di mana saudara Badrul @ Wak Tempe dari Ipoh dan Syahir @ Ultraman dari Sungai Siput sedia menunggu. Alhamdulillah sempat pula kami masuk ke makam diraja untuk menziarahi makam Sultan Perak ke 26, Sultan Abdullah Muhammad Shah I dan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang sama-sama pernah dibuang ke Pulau Seychelles akibat terlibat dalam pembunuhan Birch 1875.

Malam itu kami bersolat di Masjid Ubudiyah, Bukit Chandan dengan perasan yang amat lega. Di situ juga saya ditegur saudara Raizul yang baru dikenali melalui talifon beberapa hari sebelum itu... Asalnya Raizul yang bekerja di Petaling Jaya mahu bertemu saya di Kuala Lumpur Isnin (hari ini) atau Selasa. Siapa sangka boleh bertemu di Bukit Chandan pula ! Rupa.-rupanya dia dalam perjalanan untuk kembali ke KL dari kampung di Taiping bersama dua orang saudara.

Kami semua pun membuat perjalanan tambahan, pergi ke makam Daeng Selili di Kampung Padang Changkat dengan menggunakan lampu kereta sebagai penyuluh makam... Meriah! Sempat singgah ke rumah Pak Mazin, seorang pandai besi dan tukang membuat keris yang terkenal sebelum ke makam kemudian Wak Tempe dan Ultraman harus berlepas kerana ada hal lain.

Seterusnya kami kembali ke makam Sheikh Abdul Qadir sebelum ke makam Tok Temong di Kampung Temong lalu melihat batu tanda Sultan kedua Perak, Sultan Mansur Shah di dalam masjid Kota Lama Kanan, tempat baginda dikatakan ghaib ketika bersolat Jumaat... Sempat juga ke makam Sultan ke 24 Perak, Sultan Ali di Sayong Tengah dan makam Sultan ke 27 Perak, Sultan Yusuf di sebelah masjid Sayong di mana rombongan Raizul berpecah untuk kembali ke KL, saya, PerpatihTulus, Dong, RadenCilik dan anak buahnya menghala ke Chenderong Balai.

Oleh kerana perjalanan ke Chenderong Balai itu melalui Bota Kanan, kami singgah sebentar ke makam Sultan ke 13 Perak, Sultan Muzaffar Shah III. Malam itu hampir jam 1, baru RadenCilik dan anak buahnya berpecah menaiki kereta sendiri kembali ke Kuala Selangor, tinggal saya, PerpatihTulus dan Dong pergi bermalam di masjid Kampung Bahagia sebelum kembali ke Kuala Lumpur hari Isnin (semalam), sempat singgah di Sungkai.

OK. Rasanya itu sahaja ya... Boleh tahan panjang pula laporan 'ringkas' ini sedangkan saya harus kembali ke rumah untuk berehat sebentar sebelum bersiap untuk ke Jitra, Kedah. Selamat! :]

Jumaat, Ogos 15, 2008

Perjalanan ke Perak hujung minggu ini... Mari bersiap-sedia memeriahkannya!

Entah kenapa saya terasa mahu menggunakan gambar senget ini sebagai hiasan. Daripada artikel Perjalanan terbaru ke Perak... Ke Beting Beras Basah, tempat pertabalan Sultan Perak! yang dibuat 2 bulan lalu.


Alhamdulillah, dalam tempoh 36 jam begitu saya dapat menyiapkan beberapa artikel di blogspot-blogspot saya yang dapat menutup gerak bercerita yang terasa patut dilepaskan sebelum dapat pergi untuk perjalanan terbaru ke Perak hujung minggu ini dengan aman. Maka kini, hampir jam 3 pagi ini bolehlah saya membuat satu artikel sebagai wadah perbincangan terakhir atau last minute untuk perjalanan akan datang ini.

Adapun perjalanan tak disangka ke Negeri Sembilan yang dibuat Rabu minggu lepas menyebabkan saya terasa patut juga bercerita. Lalu dalam tempoh 36 ini, 3 cerita terakhir berjaya dilepaskan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dengan tajuk-tajuk ini:-

Istana lama (the old palace of) Seri Menanti...

Makam diraja (royal mausoleum of) Negeri Sembilan, Seri Menanti

Makam (Tomb of) Tuan Tulis

Blogspot BERPETUALANG KE ACEH pula menyaksikan 2 cerita terakhir sebagai ulasan atau summation untuk perjalanan ke Negeri Sembilan itu. Tajuk-tajuknya ialah:-

The unexpected Negeri Sembilan trip: Around Seri Menanti and on...

The unexpected Negeri Sembilan trip: From Kuala Talang on to Seremban to close the trip!

Sementara itu, blogspot ini menyaksikan 2 gerak cerita berasingan ditutup... Satu tentang perjalanan tak disangka ke Singapura penghujung 2006, satu lagi adalah sedutan-sedutan daripada Bab 12 buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" yang boleh dijadikan panduan untuk sesiapa yang ingin mengikuti perjalanan terbaru ke Perak yang akan bermula Insyaallah esok pagi! Ini tajuk-tajuknya:-

Lawatan ke Singapura 2006. Makam Habib Nuh dan segala macam makam di sana...

Bab 12, perebutan takhta dan harta di Perak yang membawa kepada keadaan negara hari ini...



OK. Sekarang baru saya boleh umumkan pelan perjalanan terbaru ke Perak.

Adapun jika tiada aral melintang, saya dan saudara Zaidi @ Perpatih Tulus yang bertindak sebagai cameraman yang akan merakamkan apa-apa cerita yang akan muncul daripada perjalanan ini akan meninggalkan Kuala Lumpur sekitar jam 10 pagi... Melalui lebuhraya Utara-Selatan. Saya tak tahu jika ada sesiapa yang mahu mengekori kami dari KL, kalau ada sila beritahu cepat. Satu pertemuan boleh diatur di kawasan rehat tergantung Sungai Buloh... Kalau tidak kami akan terus ke Tanjung Malim untuk singgah sebentar di Masjid Sheikh Ismail yang terletak di bahagian Selangor sebelum "memberi salam" kepada negeri Perak di jambatan Sungai Bernam yang merupakan sempadan negeri.

Dari situ kami akan terus ke Teluk Intan, samada melalui lebuhraya atau jalan biasa bergantung pada keadaan, masa dan gerak rasa. Matlamat kami adalah untuk sampai ke kawasan masjid lama Batak Rabit tengahari, Insyaallah sebelum Zuhur.

Saya difahamkan saudara Zam akan bertemu kami di sana. Saya juga difahamkan saudara RadenCilik mungkin datang dengan Dong dari arah Kuala Selangor. Jika jadi, eloklah bertemu kami di Batak Rabit juga...

Selesai apa-apa kerja di Batak Rabit, Insyaallah kami akan singgah sejenak di Menara Condong Teluk Intan sebelum menziarahi makam Sultan ke 22 Perak, Sultan Abdullah Muhammad I di Durian Sebatang. Di situ juga dikatakan terletak makam Laksamana Tuk Janggut... Atau mereka sebenarnya orang yang sama? Hehe! :]

Kemudian kami akan pergi ke Kampung Bahagia untuk menziarahi makam Keramat Kuala Bidor. Selesai itu baru ke tempat yang dikenali sebagai Bandar Baru di mana terdapat masjid lama misteri seperti yang terpapar pada kulit buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang!".

Sila lihat artikel Masjid lama misteri (The mysterious old mosque) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Hmm... Terasa nak letak kat sini pula... Sat.



OK, settle!

Adapun tidak jauh daripada masjid ini terdapat makam Sultan ke 19 Perak. Tidak jauh dari situ pula terdapat kawasan perkuburan Kristian yang mengandungi kubur Residen pertama British ke Perak J.W.W. Birch serta kubur kuncu-kuncu penjajah yang terbunuh akibat serangan orang Melayu 1875. Haa... Tentu menarik bukan? Nak tahu apa yang menarik, elok dibaca balik artikel ini... Laksamana pulang ke Perak: Bandar Melayu yang hilang!

Selesai kerja di situ (kerja apa lagi, buat klip video le... Sila baca artikel Program berjalan sambil buat video cerita Perak sekitar Perjanjian Pangkor 1874 dan pembunuhan Birch, apa sebenarnya berlaku... Jemputan untuk semua! ) kami akan pergi ke makam Raja Ahmad. Baginda dikatakan anak Sultan Abdul Malik tetapi ada pihak menyebut menantu!

Apapun Raja Ahmad adalah moyang kepada semua kerabat diraja terdekat dalam tempoh lebih 100 tahun kebelakangan., Baginda juga dikatakan sebagai orang yang menjaga jin-jin di Beting Beras Basah, kuala Sungai Perak...

Selesai itu baru kita ke Kampung Gajah lalu ke Pasir Salak, tempat yang dikatakan tapak peristiwa Birch dibunuh Datuk Maharajalela, Datuk Sagor dan orang-orangnya. Jika kita selesai segalanya di situ sebelum jam 6, Insyaallah kita akan berlepas ke Taiping dan bermalam di sana. Kalau tidak, mungkin harus bermalam di sekitar Kampung Gajah sebelum pergi ke Taiping esoknya.

Ingat, Sabtu malam Ahad ialah Nisfu Sya'aban. Insyaallah seboleh-boleh kita cuba menghabiskan waktu Maghrib hingga Isyak di sebuah masjid yang terasa elok tak kiralah belah mana.

Di Taiping, kita akan pergi ke Kota Ngah Ibrahim. Selesai itu baru ke Kuala Kangsar, Insyaallah singgah ke satu makam tepi jalan yang dikatakan makam Sheikh Abdul Qadir al-Jilani (lihat Makam Sheikh Abdul Qadir al-Jilani di Kuala Kangsar, Perak? ) sebelum naik ke Bukit Chandan untuk ke makam Daeng Selili, moyang kepada Datuk Maharajalela lalu ke Masjid Ubudiyah dan kawasan pemakaman diraja Perak... Untuk menziarahi makam Sultan Abdullah II yang dibuang ke Pulau Seychelles juga makam Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin.

Hmm... Rasanya cukuplah apa yang disebut ini. Lain-lain tambahan mungkin terjadi secara spontan. Kepada semua terutama mereka yang bercadang untuk menyertai perjalanan ini, sila berikan feedback di ruangan komen di bawah ini ya . Selamat malam eh... Selamat pagi Jumaat! :]

Khamis, Ogos 14, 2008

Lawatan ke Singapura 2006. Makam Habib Nuh dan segala macam makam di sana...

Salam. Sementara ada masa ni kita tutup terus aje le cerita Singapura ni ya... Sat lagi saya perlu berkejar untuk buka puasa. Mari! :]



Dari atas Mount Faber seperti terpapar dalam artikel Lawatan ke Singapura 2006. 'Melawan' penjajah di atas Mount Faber! , saya dan SS turun ke kaki bukit iaitu di kawasan Teluk Belanga. Ternyata di bawah situ ada satu masjid lama berkaitan keluarga Temenggung Johor yang mula naik menjadi Sultan-sultan Johor apabila Temenggung Abu Bakar mengisytiharkan dirinya Maharaja seterusnya Sultan penghujung abad ke 19 Masihi...


Di sebelah masjid adalah kawasan pemakaman keluarga Temenggung.. Maka di sinilah makam-makam moyang keluarga diraja Johor sekarang!


Sayangnya ketika itu bateri video kamera SS hampir tamat. Sempat merakam 2 gambar makam Teluk Belanga sahaja di atas. Kemudian kami bergerak ke tempat lain lalu SS membelikan sebiji kamera boleh-buang atau disposable camera, iaitu kamera sekali-pakai... Apabila habis filem di dalamnya, habislah jangka-hayat kamera murah yang dibuat dari plastik itu.


Dengan disposable camera itulah saya dapat mengambil gambar bangunan makam terkenal di Singapura ini iaitu makam Habib Nuh, seorang Ahlul Bait anak cucu Nabi Muhammad SAW yang bertaraf wali. Gambar ini discan daripada gambar hasil cucian filem....

Sebenarnya saya telah pergi ke sini hari sebelum itu malah saya pergi dua kali hari itu kerana setelah meninggalkan makam untuk ke berjalan-jalan ke pusat bandar, baru saya sedar jacket saya tertinggal dalam bangunan makam. Keesokannya baru saya dapat mengambil gambar kerana pada hari sebelumnya, saya cuma dibawa SS ke Singapura tanpa dirancang.


Inilah makam Habib Nuh. Al-Fatihah!

Saya tak pasti jika pernah ke sini sebelum itu. Yang pasti, semasa zaman kanak-kanak sehingga remaja, saya dan keluarga akan ke Singapura sekurang-kurangnya setahun sekali. Rasa macam pernah sampai ke sini tapi tak pasti. Entah lah...

Apapun, lawatan ke sini menambahkan lagi jumlah lawatan ke makam wali-wali terutama apa yang dipanggil sesetengah orang sebagai 7 Wali Melayu, berdasarkan satu koleksi wali-wali besar Tanah Melayu penghujung abad ke 19 hingga abad ke 20 yang diabadikan dalam sebuah buku dengan tajuk itu.

Dengan lawatan ini, maka saya telah pergi ke makam 6 dari 7 wali yang tersebut... Yang tinggal cuma seorang di Kedah sahaja yang setakat ini saya belum tergerak untuk menziarahinya. Mungkin sebelum hujung tahun ini baru saya pergi?

Apapun, di dalam bangunan makam Habib Nuh terdapat satu lagi makam...


Saya sudah lupa makam siapa. Yang pasti, milik seorang ahli keluarga terdekat Habib Nuh.


Kemudian saya pergi ke tanah perkuburan Al-Junid di mana terdapat banyak juga makam yang terserlah...


Saya tak tahu makam milik siapa, saya main ambil gambar sahaja!

Yang pasti, makam-makam ini milik orang bukan sembarangan, rasanya para ulamak besar dan kerabat diraja...


Dari tanah perkuburan Al-Junied, saya berjalan kaki ke Masjid Sultan...


Di kawasan hadapan masjid ini terdapat makam seorang kerabat diraja Johor-Riau-Lingga...


Tak jauh dari situ, terdapat pula kawasan Kampung Gelam yang pernah menempatkan Sultan Johor (sebelum keluarga Temenggung naik jadi raja) yang bersemayam di Singapura. Kini ia telah dijadikan sebuah muzium...


Saya pula seronok 'menonjolkan' diri di atas replika kapal Bugis ni...


Seterusnya saya pergi ke pusat bandaraya Singapura lalu naik ke bukit berdekatan di mana terdapat Fort Canning, bekas kota Inggeris yang pernah memerintah Singapura...


Di sini terdapat beberapa tinggalan kerajaan Singapura dahulukala... Sebenarnya lebih tinggal tapak sahaja...


Nasib baik ada juga makam ini, katanya makam Sultan Iskandar Shah yang pernah memerintah Singapura sebelum muncul keSultanan Melaka penghujung abad ke 14 membawa ke awal abad ke 15 Masihi. Malah di sini ia dinyatakan sebagai sebuah makam keramat!


Keramat ke tak keramat, saya pula tengah penat. Maka saya layan le lelap kejap!

OK... Dah nak buka puasa ni. Dengan ini habislah cerita-cerita kenangan perjalanan ke Singapura dahulu. Selamats! :]

Bab 12, perebutan takhta dan harta di Perak yang membawa kepada keadaan negara hari ini...

OK... Kita sambung bahagian akhir dari Bab 12 buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" yang berkaitan sekitar Perjanjian Pangkor 1874 serta perjalanan ke Perak yang akan dibuat hujung minggu ini. Mari! :]


Gambar hiasan, peristiwa dakwaan di mahkamah terhadap pahlawan-pahlawan Melayu yang menentang Inggeris di Perak. Daripada artikel The main players of the Perak-British war as depicted at the fort of Ngah Ibrahim... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH yang dibuat setengah tahun lalu


Sejarah mencatatkan, Ngah Ibrahim pernah menubuhkan satu pasukan polis sekitar 40 orang Melayu untuk mengawal keamanan Larut tapi gagal. Lalu beliau mengupah (atas cadangan siapakah agaknya ya?) seorang pegawai British, Kapten Speedy untuk membentuk pasukan lebih mantap. Pada 1873 pegawai itu kembali dari India membawa 110 orang Punjabi dan Pathan bersenjata berperanan sebagai polis. Pasukan inilah yang akan berkembang menjadi Polis Tanah Melayu mengandungi segerombolan pengkhianat yang akan bertanggungjawab memburu dan membunuh ramai pejuang Melayu nanti.

Sementara itu, perebutan takhta Perak menyebabkan Raja Abdullah menulis surat kepada Gabenor Negeri-negeri Selat iaitu Andrew Clarke 31 Disember 1873 dan 9 Januari 1874 memohon bantuan. Maka strategi serampang dua mata Inggeris yang bermula sekitar 1853 apabila Raja Jaafar mencabar Sultan Abdullah Muhammad I pun mula mengena. Ramai tak sedar suku-suku Cina yang dibawa masuk ke Perak diketahui Inggeris telah lama bersengketa di tanah-air mereka sendiri lalu senang diapi-apikan untuk menghuru-harakan negeri. Sepertimana mereka juga telah mengkaji sifat dan sejarah berbagai sukubangsa Melayu seperti Bugis, Rawa, Batubara, Jawa dan Aceh supaya boleh diporak-porandakan secukup rasa, boleh dilaga-lagakan apabila perlu.

Pada 20 Januari 1874, Raja Abdullah menandatangani Perjanjian Pangkor di hadapan Andrew Clarke, wakil Inggeris juga pembesar Perak seperti Bendahara, Temenggung, Syahbandar, Datuk Sagor, Ngah Ibrahim dan bapa mertuanya Laksamana Muhammad Amin. Pada hari yang sama, kapal perang Inggeris HMS Pluto yang menjadi medan perjanjian di perairan Pangkor turut menyaksikan wakil kumpulan-kumpulan kongsi gelap yang terlibat dalam Perang Larut terutama Ghee Hin dan Hai San ‘berteguh janji’ lalu berdamai antara mereka!

Maka itu dengan ‘kebijaksanaan’ pihak Inggeris yang ‘berjaya’ membawa semua pihak ke meja perundingan, ‘tamatlah’ segala persengketaan dan Perak pun ‘aman’. Lalu sejarah mencatatkan Larut yang mengambil sempena nama gajah milik Long Jaafar yang secara tak sengaja telah membawa penemuan simpanan bijih timah terkaya di dunia zaman itu, nama bahasa Melayu (larut dalam air, bahan larut dan sebagainya…) telah ditukar menjadi Taiping... Dari perkataan Cina yang bermaksud “keamanan yang berkekalan”.

Ya. Memang aman, cukup aman bagi pihak-pihak berkepentingan… Di kala Sultan ‘dipaksa secara lembut’ untuk menerima seorang Residen yang akan menyelenggarakan segala hasil maksyul bumi Perak dan urusan politiknya sehingga kuasa raja dihadkan pada hal-ehwal agama Islam dan adat-istiadat Melayu sahaja, di kala para pembesar termasuk Ngah Ibrahim kehilangan kuasa untuk memungut cukai di wilayah pentadbiran sendiri, para kepala gangster, ketua kongsi gelap pula diangkat menjadi Kapitan atau ketua masyarakat orang Cina.

Juga menarik selepas perjanjian, Kapten Speedy yang pernah diupah Menteri Larut menjadi setiausaha peribadi beliau dan pernah ditugaskan untuk menubuhkan satu pasukan polis peribadi mengawal keamanan wilayah pentadbirannya diangkat menjadi penolong Residen British. Malah tugasan pertamanya adalah menubuhkan sebuah pasukan polis yang lebih kuat dan mantap untuk mencengkam Perak!

Untuk makluman, selain di Negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang, Melaka dan Singapura yang telah lebih dulu dikuasai Inggeris, Taiping adalah bandar pertama rantau ini menyaksikan mereka melakukan projek social engineering untuk mengubah struktur masyarakat Tanah Melayu buat selamanya.... Satu tapak yang akan menyaksikan lebih ramai orang Cina, kemudian India dimasukkan untuk menghakis ketuanan malah takrif bangsa Melayu itu sendiri! Kesan social engineering ini masih terasa hingga kini. Orang Melayu masih merangkak untuk mendapatkan 30 peratus bahagian ekonomi di tanah bertuah ini sedangkan ramai anak bangsa keliru makna sebenar Melayu...

Sekarang, fikirkan... Siapa memainkan siapa? Berapa ramaikah dalang terlibat sehingga berlakunya Perjanjian Pangkor yang menjajah bangsa Melayu? Siapakah yang duduk paling atas bermain catur memperbodohkan pihak-pihak berkepentingan yang bertelagah?

Wahai bangsa Melayu! Bangkitlah dari tidurmu! Bukan untuk menyemarakkan rasa perkauman tapi menyedarkan tentang permainan pihak tertentu yang berkepentingan. Fikirkanlah wahai anak bangsaku… Bangkit dari khayal pelbagai rancangan hiburan di kaca TV yang membius minda... Sedarlah... Penjajahan Barat tak pernah terhenti. Yang bertukar cuma kaedah sehingga ramai tidak menyedari!



——————————


Rasyid ingat sebahagian isi Perjanjian Pangkor yang terpampang di Istana Hinggap keSultanan Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar yang sudah menjadi sebuah muzium... Bunyinya lebih kurang begini:

“Pihak Inggeris bersetuju mengangkat Sultan Abdullah menjadi Sultan Perak sementara Sultan ketika itu, Sultan Ismail Mu’abuddin diturunkan dan diberi pencen, dengan syarat Perak mesti menerima seorang Residen Inggeris sebagai Penasihat dalam semua hal bersangkutan negeri Perak, kecuali hal-ehwal Islam dan adat istiadat Melayu. Sultan MESTI MENERIMA nasihat Residen. Segala hasil bumi Perak pula mesti digunakan pertama-tamanya untuk menanggung kos dan sara hidup Residen dan orangnya kemudian (maknanya baki atau sisa-sisalah itu) baru untuk menyara Sultan dan negeri...”

Paling menyakitkan hati, tercatat syarat-syarat ini berjalan “selagi ada bulan dan bintang.” Apakah Sultan Abdullah tak berfikir panjang ketika menandatangani perjanjian atau baginda rasa boleh menipu Inggeris dengan tidak mematuhinya setelah mendapat kuasa?

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya apalagi terlajak menandatangi kontrak Syaitan… Sultan Abdullah terpaksa menerima J.W.W. Birch sebagai Residen lalu disuruh menurut segala katanya. Orang Putih ini ternyata tidak sensitif terhadap hati perasan orang Melayu malah amat kurang ajar pula, selalu melanggar adat-istiadat tempatan sehingga berani mengkritik Sultan di hadapan umum. Keadaan ini menyebabkan orang Melayu merasa amat tertipu. Lalu buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun, semua waris takhta dan pembesar berpakat sama untuk menghapuskan ancaman ini!

Pada 1875, Birch diserang dan ditikam hingga mati ketika mandi di tebing Sungai Perak di Pasir Salak, mukim Kampung Gajah. Tahun 1877 pula menyaksikan Sultan Abdullah dan beberapa pembesar disahkan terlibat dalam pakatan sulit yang menyebabkan Orang Putih itu dibunuh. Datuk Maharalela, Datuk Sagor serta beberapa pengikut dihukum gantung sampai mati di Taiping 20 Jun 1877. Sultan Abdullah, Ngah Ibrahim, Laksamana Muhammad Amin dan Shahbandar pula dibuang negeri ke Pulau Seychelles, jauh di perairan Afrika (kata almarhum Nenek Pulau Sisek), Raja Ismail ke Singapura. Mereka yang hidup terpaksa menghabiskan hari-hari tua dalam kehinaan sementara ketuanan Melayu semakin teruk ditekan...

Raja Yusuf yang patut naik takhta selepas Sultan Ali mangkat 1871 (jika gilirannya tak ‘dikacau’ Sultan Jaafar) diangkat menjadi pemerintah baru Perak dengan bidang-kuasa terhad. Baginda bergelar Raja Muda saja, 10 tahun kemudian, 11 Mei 1887 baru dapat jadi Sultan!

Ramai pihak memandang serong peranan baginda dalam perbicaraan pembunuhan Birch. Sebenarnya Raja Yusuf juga jadi mangsa apabila ‘dilantik’ Inggeris jadi hakim yang bakal menimbulkan kemarahan orang Melayu... Jika tak baginda, tetap akan ada waris takhta lain ‘diangkat’ untuk mendengar perbicaraan lalu disuruh membuat keputusan yang memihak pada penjajah. Dalam keadaan mana pun, akan ada kerabat diraja Perak dikambing-hitamkan kerana inilah taktik mereka untuk menunjukkan ‘keadilan’ sambil memecah-belahkan masyarakat.

Raja Yusuf sempat jadi Sultan selama dua bulan. Baginda mangkat 26 Julai 1887. Lalu dalam tempoh 10 tahun sebelum itu, siapakah sebenarnya memerintah? Bukankah Inggeris laknat yang memaksa Raja Muda jadi boneka? Maka jadilah Perak negeri berdaulat warisan keSultanan Melaka yang memiliki titisan darah diraja Samudera Pasai, Aceh, juga keSultanan Perlak tak beraja buat beberapa waktu. Hal ehwalnya jatuh bulat-bulat bawah telunjuk Mat Saleh kurang ajar.

Fuh... tersirap darah Rasyid memikirkan…. Ah! Sabar, sabar…. Mungkin dalam tempoh itu, Sultan Abdullah dan semua yang terlibat insaf atas apa yang berlaku. Baginda akhirnya mangkat di Singapura 1922 lalu dimakamkan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Al Fatihah untuk baginda… Semoga Raja-raja Melayu juga para pemimpin Melayu sekarang mengambil iktibar lalu tidak mengulangi kesilapan serupa.

Apapun, peristiwa ini menyaksikan cengkaman Inggeris semakin kukuh. Pembunuhan J.W.W. Birch telah menghalalkan campurtangan lebih keras dalam hal-ehwal orang Melayu. Dengan menggunakan taktik serupa, negeri-negeri Melayu lain di Semenanjung turut dipaksa menerima sistem Residen yang membuat para Sultan jadi patung! Sebab itu kata Mak Uda, plet nombor kereta Perak bermula dengan huruf A... Kerana ia negeri Melayu pertama memakai Residen British...

“Kemudian baru Selangor di mana plet kereta yang didaftarkan di sana bermula dengan huruf B diikuti Pahang dengan huruf C!”

----------- (Cerita melompat ke lawatan ke Batubara, Sumatera sebelum bersambung balik ke Perak) -------------


Menurut satu catatan, Raja Yusuf yang sempat menjadi Sultan Perak selama dua bulan telah lama menderita penyakit barah otak. Mengikut satu cerita pula ini berlaku kerana baginda disihir seseorang bernama Megat Pandia. Mungkin kerana dia merasakan Raja Yusuf adalah ‘pengkhianat’ Melayu yang bertanggungjawab membawa Datuk Maharajalela dan Datuk Sagor ke tali gantung sementara Sultan Abdullah, bekas Sultan Raja Ismail, Ngah Ibrahim, Laksamana Muhammad Amin dan Shahbandar pula dibuang negeri?

Apapun, baginda digantikan menantunya, Sultan Idris Murshidul Azam Shah ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar. Sultan yang memerintah Perak 1887-1916 ini membuat pelbagai pembaharuan sehingga diiktiraf Inggeris sebagai Raja Melayu paling berpandangan jauh kerana berjaya memodenkan Perak mengikut model Barat. Sultan inilah yang namanya diabadikan pada maktab perguruan moden pertama di Tanah Melayu, Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), kini sudah dinaik-taraf menjadi Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI). Pada zamannya juga terdiri Kolej Melayu Kuala Kangsar atau Malay College (MCKK), kolej menengah paling elit Tanah Melayu yang ‘memBaratkan’ ramai anak raja serta bijak-pandai Melayu yang akan menerajui negara... Suatu yang amat dialu-alukan Inggeris tapi ditentang orang Melayu tradisional yang sayangkan agama dan bangsa...

Sultan Idris juga memecah tradisi lama keSultanan Perak apabila menjadi Sultan Perak pertama bersemayam di mudik kiri Sungai Perak. Menurut perjanjian asal keSultanan antara Sultan Muzaffar Shah dengan pembesar yang dikenali sebagai Tok Temong, wilayah ini berada di bawah kekuasaan anak cucu Tok Temong. Maka, semua Sultan Perak bersemayam di mudik kanan sungai... Sultan Yusuf sendiri mendirikan pusat kerajaan di Sayong sedangkan Sultan Idris pula membina istana di Bukit Chandan yang letaknya setentang lalu menjadi tempat Sultan-sultan Perak seterusnya bersemayam...

Mengikut ceritanya, sebelum naik takhta, baginda terjumpa seorang tua ketika memburu di kaki Gunung Bubu. Orang tua itu memberitahu baginda bakal menjadi Sultan lalu menyuruhnya bersemayam di Bukit Chandan. Sultan Idris pun mendirikan sebuah istana (kemudian digantikan dengan Istana Iskandariah di tempat sama). Tak lama kemudian Kuala Kangsar diisytiharkan sebagai bandar diraja.

Sultan Idris juga dikatakan telah memperolehi Keris Taming Sari yang pernah dimiliki pahlawan Melayu tersohor, Laksamana Hang Tuah yang hidup pada zaman kegemilangan Melaka abad ke 15 Masihi. Menurut kitab Hikayat Hang Tuah, keris itu hilang disambar buaya.Cerita lain pula menyebut pahlawan ini telah membuangnya ke laut.

Kitab Sejarah Melayu menyatakan keris sakti itu diberikan kepada Tun Mamat untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka setelah Hang Tuah gagal meminang Puteri Gunung Ledang. Sejak itu, ia hilang dari lipatan sejarah… Entah bagaimana pula boleh timbul di Perak?
Apapun, keris kerajaan Perak yang dikatakan Taming Sari ini ternyata amat ‘berbisa’. Mengikut satu cerita, pengasas dan mahaguru persatuan seni Silat Gayung, Meor Abdul Rahman yang berdarah keturunan Daeng atau Raja Bugis dari pihak bapa dan keturunan Sayyid dari pihak ibu pernah terkena bisa keris itu lalu menanggung beban.

Mahaguru ini pernah diakui sebagai orang paling kuat dan pahlawan terhandal di Tanah Melayu semasa zaman kegemilangannya 1920an... Tetapi apabila Sultan Perak ketika itu, Sultan Alang Iskandar anakanda Sultan Idris menyentuh bahunya dengan keris ini, Meor Abdul Rahman jatuh demam bisa-bisa badan sehingga berhari-hari!

Di sini, terdapat sedikit kemusykilan... Menurut sistem giliran waris takhta yang telah diamalkan sekurang-kurangnya sejak abad ke 18, jarang terdapat putera raja terus menggantikan ayahandanya sebagai Sultan. Mesti ada waris dari keluarga lain sempat menaiki takhta sebelum tiba giliran seorang anak raja menggantikan bapanya. Tetapi selepas Sultan Idris, seorang puteranya naik takhta lalu diikuti seorang putera lain pula! Kenapa ini boleh berlaku?










Kajian peribadi Rasyid menunjukkan sistem penggiliran takhta Perak diwujudkan sekitar 300 tahun lalu untuk memuaskan semua kerabat diraja terdekat. Sebelum itu, sistemnya sama seperti di negeri-negeri Melayu lain - seorang Sultan digantikan anak lelaki sulung... Jika anak ini kurang layak kerana tak cukup akal atau kurang sempurna sifat, baru takhta diberikan kepada anak lelaki muda. Kalau anak inipun tak layak, baru diberi kepada anak lelaki seterusnya. Jika tiada juga waris lelaki sesuai daripada adik-beradiknya, baru takhta diserahkan kepada adinda Sultan. Jika ini pun tiada, teraju pemerintahan boleh diberi kepada sepupu atau mana-mana kerabat terdekat.

Masalahnya, ada masa seorang Sultan mangkat awal meninggalkan anak lelaki yang layak menaiki takhta tapi belum cukup umur. Maka takhta diberikan kepada adinda Sultan sebagai pemangku... Hakikatnya, takhta itu tetap hak anak Sultan yang mangkat. Tapi sering terjadi bapa saudara tamakkan kuasa lalu mengekalkan cengkaman atau anaknya iaitu sepupu kepada waris sebenar pula teringin menjadi Sultan atas alasan berhak ke atas takhta kerana bapanya pernah jadi ‘Sultan’.

Pada mulanya, mungkin terdapat dua cabang keluarga saja yang bersengketa tapi makin lama terdapat semakin banyak pecahan susur-galur dengan ‘wakil’ masing-masing merasa layak menjadi pemerintah. Seorang Sultan mungkin mempunyai tiga orang anak daripada tiga orang isteri dan tiap seorang anak mungkin mempunyai beberapa orang anak lagi. Jika Sultan ini mempunyai sembilan orang cucu lelaki, adakah ini bermakna kesemua sembilan berhak ke atas takhta?

Sistem penggiliran unik di Perak diwujudkan untuk menangani masalah ini. Jika dipatuhi sepenuhnya seorang Sultan akan dibantu Raja Muda dari cabang keluarga kedua, kemudian Raja Hilir dari keluarga ketiga. Anak Sultan pula diletakkan sebagai Raja Kechil Besar. Apabila Sultan mangkat, Raja Muda menjadi Sultan dan Raja di Hilir menjadi Raja Muda. Anak Sultan yang mangkat tadi boleh menjadi Raja di Hilir yang baru pula. Maka di bawah sistem ini, anak seseorang Sultan cuma akan dapat menaiki takhta apabila dua orang waris dari keluarga lain sudah berpeluang menjadi Sultan. Keadaan cuma berubah jika waris-waris ini meninggal dunia lebih awal. Itu sahaja...



————————

Ada sesuatu yang tidak kena bila Sultan Idris mangkat 1916 digantikan anak sulungnya, Sultan Abdul Jalil. Apabila Sultan ini mangkat 1918, adindanya Sultan Alang Iskandar Shah (1918-1938) pula menaiki takhta. Lebih pelik, Sultan Iskandar adalah anak lelaki ketujuh Sultan Idris... Antaranya dengan Sultan Abdul Jalil, terdapat lima anak lelaki lebih kanan iaitu Raja Harun Al-Rasyid, Raja Abdul Hamid, Raja Abdul Rasyid, Raja Shuaib dan Raja Shaharuddin. Kenapa sistem penggiliran Perak dilanggar sampai begitu sekali?

Mungkin Sultan Abdul Jalil boleh dikira istimewa kerana bondanya, Raja Nuteh Aishah adalah puteri Sultan Yusuf yang menjadi permaisuri pertama Sultan Idris. Maka baginda boleh dianggap sebagai penyatu dua buah keluarga pemerintah. Tapi apakah menyebabkan Alang Iskandar yang beribukan seorang wanita bernama Ngah Manah lebih layak menaiki takhta berbanding empat orang abang yang beribukan Che Uteh Maria yang sempat menjadi permaisuri selepas Raja Nuteh mangkat? Apakah tiada waris keluarga lain layak menaiki takhta?

Ada orang memberitahu, sepatutnya seorang waris dari Teluk Intan menaiki takhta 1918 tapi mati dibunuh! Apapun, Rasyid percaya, masih terdapat cabang lain keSultanan Perak yang lebih layak menerajui kerajaan tetapi telah lama meninggalkan istana. Sultan kedua Perak, Sultan Mansur Shah yang dikatakan ghaib di Masjid Kota Lama Kanan 1577 mempunyai seorang anak sulung tapi dirajakan di Aceh selepas beberapa waris kerajaan negeri berebut takhta sehingga sanggup berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Baginda adalah seorang alim lagi warak dan disukai ramai lalu ditabal 1580 menjadi Sultan Aceh yang dikenali sebagai Sultan Alauddin Mansur Shah Perak. Adindanya pula menjadi Sultan Perak ketiga, Sultan Ahmad Tajuddin...

Sultan Alauddin inilah yang dikenali sejarah bumi Serambi Mekah sebagai raja yang sangat memberatkan Syariat dan Sunnah Nabi... Baginda menyuruh semua pembesar dan hulubalang memakai jubah dan menyimpan janggut. Malangnya, ada juga pihak tak senang lalu baginda dibunuh di Banda Aceh 1585, mengikut satu cerita, oleh seorang panglimanya! Yang menarik, ini berlaku ketika baginda sedang bersiap-sedia memimpin sebuah angkatan perang menyerang Portugis di Melaka… Kenapa ini berlaku? Apakah ada tangan cemar Barat terlibat sama membantutkan rancangan Aceh menyerang Portugis?

Salasilah kerabat diraja Aceh hasil kajian Barat yang perolehi Rasyid menyatakan Sultan Alauddin Perak memiliki dua isteri, Permaisuri Al Khana yang dikenali sebagai Raja Perempuan Aceh dan Putri Ratnawangsa, anak Sultan Alauddin Riayat Shah Alam Sayyid Al-Mukammil. Baginda juga meninggalkan dua puteri, seorang bernama Puteri Hijau berkahwin dengan Sultan Johor, Sultan Abdul Jalil.

Seorang lagi puteri (tak diketahui nama) menjadi isteri Sultan Munawar Shah ibnu Almarhum Sultan Ahmad Shah, Raja Muda Indrapura, satu jajahan takluk Aceh. Dari perkahwinan ini, terbit Raja Mahkota Bujang yang sempat menggantikan nendanya di atas takhta Aceh memakai nama Sultan Alauddin Riayat Shah... Tapi sejarah rasmi mencatatkan Sultan yang masih muda ini seorang pemarah lagi zalim sedangkan kerajaan pula tidak aman kerana ramai pihak mengidamkan takhta. Baginda dibunuh selepas empat tahun memerintah... Lalu moyangnya yang merupakan bapa mertua Sultan Alauddin Perak iaitu Sayyid a-Mukammil yang usianya telah melangkaui 80 tahun pula diangkat para pembesar dan hulubalang untuk menerajui Aceh!
Hasil kajian lain pula menyatakan Sultan Alauddin Perak juga mempunyai seorang lagi puteri yang tak diketahui nama, dikatakan bernikah dengan Sayyid Abdullah Al-Aidrus dari Kampung Pasir, Aceh. Perkahwinan ini menerbitkan Sayyid Zainal Abidin yang beristerikan puteri kepada penulis kitab Sulalatus Salatin, Bendahara Johor yang dibawa ke Aceh, Tun Sri Lanang. Sayyid Zainal Abidin adalah nenda kepada Bendahara Johor Tun Habib Abdul Majid, moyang Sultan-sultan Johor, Terengganu, Pahang dan Lingga hingga kini.

Melihat kajian yang menunjukkan zuriat Sultan Alauddin Perak masih ramai melata malah memegang takhta beberapa buah negeri, Rasyid tertanya apakah mungkin Sultan ini juga mempunyai seorang waris lelaki yang mempunyai hak ke atas takhta Perak jika bukan Aceh? Walaupun sejarah rasmi mencatatkan baginda cuma meninggalkan beberapa orang puteri, mungkin ada putera terpaksa lari menghilangkan diri apabila ayahandanya dibunuh lalu ceritanya digelapkan? Mungkin waris inilah yang menerbitkan keturunan berdarah raja yang bertapak di Batubara, 400km di selatan sempadan bumi Serambi Mekah?

Selasa, Ogos 12, 2008

Lawatan ke Singapura 2006. 'Melawan' penjajah di atas Mount Faber!

OK, cerita Singapura lagi. Kiranya bersambung daripada artikel bertajuk Lawatan ke Singapura 2006. Rupa-rupanya untuk ke satu makam yang ada kena-mengena dengan kekasih lama! .

Adapun dalam artikel itu saya menyebut tentang makam Radin Mas tanpa menyebut lokasinya. Maka kini biar saya sebut, letaknya ialah di satu lereng bukit dipanggil Mount Faber, dulu dikenali sebagai Bukit Teluk Belanga kalau tak salah ingat... Yang pasti Teluk Belanga yang pernah menjadi pusat pentadbiran keluarga Temenggung Johor (kini sudah naik jadi Sultan Johor) terletak di kaki bukit itu.

Selepas menziarahi makam Radin Mas, saya tergerak untuk naik ke puncak Mount Faber. Di atas sana rupa-rupanya terdapat banyak hasil kerja tembaga dalam bentuk mural yang melambangkan sejarah penubuhan Singapura... Dari kacamata Barat dan mereka yang menyokong pandangan itu, termasuk pihak-pihak dan tidak suka akan kedaulatan Melayu (faham-faham aje le siapa mereka itu, hehe! :])

Saya pula apabila melihat mural-mural sebegini terus timbul rasa nakal... Dah lah saya amat membenci penjajah celaka... Agak-agak apakah reaksi saya ya apabila melihat mural-mural ini?

Di bawah adalah hasilnya, gambar-gambar diambil oleh saudari SS dari Singapura. Untuk pengetahuan, gambar-gambar ini pernah dipaparkan dalam forum kegemaran saya, dalam satu thread yang saya buka bertajuk "Berpetualang ke Aceh" (boleh klik sini... Forum Rawatan Alternatif... Soal-jawab Berpetualang ke Aceh... ).

Ketika itu ia memiliki sekitar 120 mukasurat sedangkan kini sudah masuk 324. Entah kenapa pada satu hari tiba-tiba berlaku satu masalah teknikal yang mengganggu seluruh forum. Lalu thread ini kehilangan terus 11 mukasurat termasuk gambar-gambar yang dipaparkan di bawah ini juga gambar-gambar lain di Singapura. Apakah kerana ada isi sensitif? Entah le Dol...

Sekarang biar saya paparkan kembali ini sambil cuba mengikut rentak penulisan ringkas yang pernah saya buat di thread itu dahulu ya. Mari! :]



Ini adalah satu mural menggambarkan satu rundingan melibatkan penjajah Inggeris. Agak-agak posing apa yang saya sedang buat itu. Agak-agak apakah maknanya, hehe! :]


Oleh kerana berani menghina 'ketuanan' bangsa Omputih seraya mempersoalkan hak kaum lain menguasai Singapura, saya pun ditangkap lalu dipaksa membuat kerja berat...


Tetapi dengan kuasa Allah, saya dapat melepaskan diri lalu mencucuk hidung Stamford Raffles...


Rupa-rupanya penjajah tidak puasa hati... Lalu dihantarnya satu bentuk jembalang Singa untuk menggigit kepala saya!


Sekali lagi saya dapat melepaskan diri... Lalu melepaskan satu 'zas' jurusan Ultraman Taro kepada jembalang Singa yang nampaknya begitu marah...


Hasilnya saya dapat melepaskan diri daripada cengkaman penjajah dan kaum pendatang khianat. Tetapi pergelutan untuk melepaskan diri telah memakan banyak tenaga. Lalu saya cuba mengembalikan kesihatan dengan menyedut tenaga dalam di atas puncak bukit...


Setelah tenaga pulih, saya cuba mengalirkannya kepada penduduk Singapura terutama kaum Melayu agar sedar dari selimut lena yang memekup pemikiran mereka setelah lama hidup di bawah ketiak penjajah dan segala versi sejarah ciptaan mereka...


Ternyata ia bukan senang. Saya harus memeras otak... Bagaimana mahu menyedarkan golongan yang tidak menyedari malah tidak mahu menerima pun yang mereka telah dicucuk hidung oleh bangsa lain... Sepertimana juga ramai remaja Melayu begitu berbangga dengan budaya muzik entah apa-apa Mat Saleh sehingga tak tahupun bahawa minda mereka sudah begitu terjajah...

Mereka ini terasa cool dengan apa yang ada, sepertimana ada warga Melayu Singapura tidak dapat menerima apabila disebut bahawa hakikatnya di sana mereka hidup sebagai second-class citizen atau warga kelas dua kerana telah dihalang daripada memegang apa-apa kedudukan strategik negara... Kerana dikhuatiri akan menyokong negara-negara majoriti Melayu seperti Malaysia dan Indonesia jika berlaku apa-apa bentuk konfrontasi!


Nampaknya, tidak ada banyak yang saya boleh lakukan buat masa itu. Lalu saya pun membuat laporan ke headquarters menggunakan komputer laptop lama yang sering di bawah ke sana ke mari... Terpaksa dibungkus dengan baju kerana cahaya terang matahari menyebabkan susah membaca paparan skrin... Mungkin juga kerana gangguan anasir-anasir jahat pro Barat dan Yahudi Zionis yang mahu menghalang proses pengembalian kedaulatan bangsa Melayu khusus, umat Islam seluruh dunia amnya?


Ah... Sekali lagi pihak musuh cuba menutup jalan. Nasib baik saya sedar menggunakan alatan yang ada. Walaupun mereka belum sampai, saya sudah dapat mengesan kehadiran mereka lalu sedia beredar melalui satu jalan sulit...


Alhamdulillah, nasib baik saya dapat melepaskan diri. Kebetulan, gambar yang diambil oleh saudari SS menggunakan kamera video ini mempunyai filename DVCO0131. Ada apa-apa makna ke ni? Sekian! :]

p/s: Fuh... Dengan ini jadilah artikel ini yang ke 777 sebagai total untuk ketiga-tiga blogspot saya (blogspot ini sekarang sudah 386 artikel ada campur 234 di BERPETUALANG KE ACEH dan 157 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Yes! )