Lihat ini... Banjir kilat di Janda Baik. Gambar ini diambil tidak lama selepas meninggalkan rumah seorang rakan di mana terletaknya motosikal besar saya, kiranya sejurus selepas mengambil gambar-gambar yang dihidangkan dalam posting bertajuk Apakah ada esok lagi untuk motosikal besar kesayanganku ini? yang siap dibuat hampir jam 4.30 pagi tadi!
Sepanjang saya mengenali Janda Baik bermula dengan lawatan pertama ke daerah ini sekitar tahun 1997, inilah kali pertama saya melihat banjir kilat ini berlaku. Menurut penduduk tempat, memang sesekali sungai-sungai di Janda Baik dilimpahi air lebihan akibat hujan lebat di kawasan pergunungan Banjaran Titiwangsa... Tetapi kalau berlaku pun selalunya selepas beberapa tahun baru terjadi sedangkan kata mereka sekarang ini sekarang ini lebih kerap berlaku... Mungkin kerana pembukaan hutan secara besar-besaran di atas lereng pergunungan sana?
Oh, lupa hendak beritahu... Gambar di atas tadi diambil daripada hadapan surau buruk di Sungai Chemperoh tempat saya selalu menginap hampir setiap kali bertandang di Janda Baik... Sejak awal 2005, sejak saya keluar daripada rumah penulis buku politik Syed Hussein Al-Attas @ S.H. Alattas @ Pak Habib.
Gambar yang ini juga di ambil daripada hadapan surau tetapi menghadap sedikit ke sungai... Adapun Sungai Chemperoh boleh kelihatan di sebalik batang pokok di tengah gambar dan airnya melimpah keluar memenuhi halaman dan jalan...
Ini pula gambar sungai diambil lebih dekat... Daripada pondok tepian sungai yang dahulu selalu riuh dengan para pengunjung terutama para pengikut Tabligh yang selalu datang beriktikaf ke surau itu untuk berhari-hari malah berbulan-bulan pun ada, kini agak lengang...
Selalunya apabila datang ke sini, saya mesti terserempak dengan An, seorang pemuda yang berasal daripada Parit Buntar, Perak... Beliau menjadi salah seorang "penunggu" surau, sekurang-kurangnya sejak tahun 2003 di mana saya juga menjadi "warga angkat" Janda Baik apabila mula menumpang di rumah Pak Habib.
Tetapi kali ini kelibatnya sudah tiada lagi... Saya diberitahu, beliau baru sahaja sebulan berkahwin dengan gadis Terengganu, katanya anak orang kaya yang memiliki supermarket sendiri!
Alhamdulillah, saya cukup bersyukur mendengar ini... Saya tahu umur An juga sekitar umur saya, menghampir 40 tahun kalau pun tidak melepasi itu... Tetapi setahu saya, An belum pernah merasai hidup berumah-tangga...
Saya tidak tahu apakah sebabnya meninggalkan Parit Buntar lalu duduk di Janda Baik dan tidak mahu mengoreknya. Rasanya tentu ada sebab besar kerana ketika Hari Raya pun dia masih ada di situ... Apapun saya tahu beliau tidak ada kerja tetap kecuali sesekali membuat kerja kampung, lain masa pula keluar berjemaah beberapa hari sehingga berbulan pun ada dengan ahli-ahli Tabligh lain.
Sesunggunyah jodoh pertemuan di tangan Tuhan... An bukannya orang yang tahu mengurat perempuan, apabila dia tidak berharta dan tiada kerja tetap. Tetapi dengan kuasa Allah, beliau bertemu jodoh ketika sedang keluar berjemaah di Terengganu... Menurut ceritanya, bapa mertuanya berkenan melihat perangai An yang kuat beragama lalu menawarkan anaknya untuk dipinang... Begitulah takdir Allah, siapa yang menyangka?
Lihat, air yang melimpah keluar sungai sehingga masuk pula ke tandas-tandas surau... Hmm... Lupa juga nak beritahu... Adapun pada hari-hari biasa, pondok di tepi sungai tadi terletak lebih kurang 15 kaki daripada tebing sungai... Kedudukannya juga sedikit tinggi daripada tebing. Maka dengan melihat limpahan pada aras ini, saya boleh menganggarkan bahawa air sungai sudah naik lebih 3 kaki daripada paras biasa, mungkin lebih!
Dari hadapan surau, saya memandang pula ke jalan menghala ke jambatan menyeberangi Sungai Chemperoh. Saya diberitahu bahawa sebelum saya sampai ke sini daripada rumah rakan tempat meletak motor tadi (kira-kira 1.5 km daripada sini), air sungai sempat naik sehingga melimpah memasuki jambatan konkrit yang kelihatan di sebelah kanan...
Untuk pengetahuan, gambar-gambar ini semua diambil hampir waktu Magrib... Kalau guna kamera digital murah saya, tentu saya tidak dapat menangkapnya kerana sudah kekurangan cahaya... Nasib baik kamera handphone saya lebih elok dari segi penerimaan cahaya!
Inilah surau tempat saya menginap... Nasib baik air tidak melimpah masuk ke dalam!
Tuan-tuan dan puan-puan kejadian banjir kilat bukanlah sesuatu yang luar biasa di Malaysia ini... Cuma apabila difikirkan akan kedudukan sesuatu tempat, mungkin kita terasa pelik...
Contohnya apabila Kota Tinggi dilanda banjir besar tahun lepas... Ramai yang merasa pelik kerana Kota Tinggi jarang atau tidak pernah dilanda banjir, sekadar yang orang boleh ingat dalam sejarah le... Sebab kedudukannya dikira tinggi, sebab itu namanya pun Kota Tinggi lalu siapa sangka air boleh melimpah merata sehingga menenggelamkannya?
Sekarang fikirkan pula kedudukan Janda Baik.... Surau tempat saya menginap ini terletak lebih 1,400 kaki daripada paras laut... Kalau hendak dibanding dengan ketinggian menara berkembar Petronas di KLCC, maka anda boleh meletakkan surau ini sedikit ke bawah tiang tinggi di atas menara berkembar itu, iaitu di sekitar satu bahagian yang berbentuk seperti bola besi yang boleh kelihatan terang daripada jauh... Tetapi tempat sebegitu tinggi pun kena juga banjir... Dunia, dunia! Apa nak jadi akhir zaman ini agaknya?
Saya naik ke jambatan untuk melihat aliran sungai yang seperti mengaum laju... Telah beberapa kali hujan lebat menyebabkan airnya jadi begitu penuh dan arus begitu laju tetapi inilah pertama kali saya melihatnya sebesar begini...
Adapun, atas masalah entah apa-apa entah, saya dapat tahu surau di Sungai Chemperoh telah lebih sebulan dipotong airnya oleh orang kampung tertentu... Nak harap air sungai buat mandi buat masa ini, air pula sedang keroh.... Saya pun melangkah pergi ke rumah Pak Habib, dalam perjalanan terlihat keadaan sungai daripada arah seberang surau... Fuh, berombak-ombak bagai di tepian laut pula!
Masuk sahaja ke kawasan rumah Pak Habib, saya lihat lumpur dan pasir memenuhi sebahagian besar halaman... Saya tumpang mandi kemudian bersolat di dewan... Inilah keadaan yang saya lihat di dalamnya... Kalau beginilah masuknya air tadi, berdasarkan pada aras biasa sungai yang saya kenali di sekitar rumah Pak Habib, maka Sungai Chemperoh tadi sudah naik sekurang-kurangnya 5 kaki! Mungkin pihak JPS harus berbuat sesuatu agar perkara ini tidak berulang lagi...
Lihat sahaja lapik plastik di lantai dipenuhi lumpur... Nasib baik carpet serta beberapa alat sempat diangkat oleh penjaga rumah ke tempat yang lebih tinggi...
Terpandang pula gambar yang menunjukkan bangunan Ka'abah di Mekah ketika dilanda banjir suatu ketika dahulu terpampang di dinding dewan... Jika tanah padang pasir di Mekah yang jarang sekali hujan itupun boleh dilanda banjir, apalagi tempat-tempat di Tanah Melayu ini! Sekian... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan