Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Ogos 27, 2022

Misi keluarga Laksamana part IV - Antara Besout dan panggilan persekitaran Lumut

Salam. Dalam artikel Melayu Timur Tengah : Menelusuri Melayu di bumi Anbiya' pada malam Jumaat ada diberitahu bahawa pada malam sebelumnya saya baru sahaja kembali daripada satu lagi perjalanan ke Perak. Sekarang biar dikongsikan cerita perjalanan terbaru tersebut.



Perjalanan ini secara rasminya bermula apabila saya keluar untuk menghantar anak ke sekolah di Kampung Sungai Buaya sebelum jam 7.30 pagi Isnin 22 Oktober 2022. Ini kerana barang dan pakaian sudah diisi  ke dalam kereta lalu bersedia untuk keluar mengembara. Cuma isteri mengajak untuk bersarapan di warung tidak jauh dari sekolah. Maka ke sanalah kami terlebih dahulu kemudian harus menghantar isteri kembali ke rumah kerana perlu masuk bekerja walaupun work from home iaitu berkerja dari rumah.




Disebabkan itu selepas jam 8.15 baru saya berada di Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke utara.




Namun seperti perjalanan terdahulu iaitu pada 2 minggu lebih awal yang mana isteri dan anak turut ikut sama tetapi cuma bagi hari pertama saya keluar lebuh raya melalui Bukit Tagar untuk meneruskan perjalanan melalui Sungai Tengi. Lihat Misi Keluarga Laksamana part III - Mencari makam di Sungai Durian.




Bezanya dahulu ke Lubuk Pusing lalu secara rasminya masuk negeri Perak melalui Sabak Bernam (kerana sebenarnya sudah masuk Perak di Pulau Ganda Suli dekat Lubuk Pusing) kali ini mengambil jalan berdekatan Felda Gedangsa untuk masuk negeri kelahiran ayah saya itu melalui Kuala Slim.




Sebetulnya saya mahu mencuba masuk melalui jambatan lain menyeberangi Sungai Bernam ke gugusan Felda Besout iaitu sebelum Kuala Slim. 




Tetapi jambatan tersebut sudah rosak. Mungkin akibat banjir yang melanda banyak tempat di Malaysia penghujung tahun lalu. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel  Pantai Timur penghujung 2021 - Cabaran akibat hujan lebat luar biasa dan Pantai Timur penghujung 2021 - Merentas baki banjir dan tanah runtuh di tengah Pahang  kemudian lihat artikel Bridge to Besout di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Adapun laluan ke Kuala Slim ini sebahagiannya terdiri daripada jalan persendirian dalam ladang.




Menariknya terdapat sebuah landasan kapal terbang. Dahulu ketika pertama kali mengambil laluan yang sama tetapi daripada arah berlawanan pada bulan April (lihat  Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - Antara Best Out dengan pelita tembaga warisan) nampak dalam Google Map ada menyebut tentang landasan tetapi tidak sedar kedudukannya betul-betul di tepi jalan.




Menyeberang Sungai Bernam masuk ke negeri Perak melalui Kuala Slim.




Kali ini ambil sedikit masa untuk singgah di masjidnya kemudian cuba mencari kuala Sungai Slim. Lihat artikel  Masjid (Mosque of) Kuala Slim di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) diikuti The bridge close to Slim river mouth.



Kali ini juga saya ada lebih masa untuk menjelajah sistem Felda Besout yang terdiri daripada beberapa gugusan ladang dan penempatan. 




Pergilah sehingga yang paling jauh iaitu Felda Besout 5.




Pusing-pusing melihat keadaan malah beriktikaf sebentar juga membaca Quran di masjid sana. Lihat Masjid (Mosque of) Felda Besout 5.



Ini pula di luar masjid Changkat Jong menghampiri Teluk Intan. Sudah singgah banyak kali tapi baru tersedar ada papan maklumat menyatakan ia sebagai titik tengah perjalanan antara Kuala Lumpur dan Lumut. Macam tau-tau sahaja hendak ke sana...




Perjalanan ke Lumut kalau dari arah selatan Tanjung Malim memang biasa dibuat melalui Teluk Intan. Di Teluk Intan singgah makan nasi kandar di Padang Speedy.



Kemudian pergi ke tanah perkuburan Islam di Durian Sebatang untuk mencari sebuah kubur yang didakwa adalah milik seorang anak kepada moyang kepada datuk saya iaitu Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Tetapi saya dan ahli keluarga terdekat ada sebab untuk menduga yang ini adalah anak kepada Muhammad Amin yang lain, bukan Laksamana.



Kebetulan pada zaman keberadaan Laksamana Muhammad Amin yang meliputi tempoh masa beliau dibuang ke Pulau Seychelles tahun 1877 hingga 1891 sebelum dialih ke Singapura di mana beliau meninggal dunia tahun 1904 memang ada orang dengan nama sama di Perak iaitu Penghulu Muhammad Amin. Malah ada rekod kewangan British bermula dari tahun 1879 menyatakan beliau adalah Penghulu Batak Rabit di mana terdapat masjid keluarga saya dalam gambar ini. Maka itu tidak mustahil telah terjadi kekeliruan bahawa ada anak Muhammad Amin dinyatakan oleh orang atau keturunan kemudian sebagai anak Laksamana. Dan tak mustahil juga ia bukan kekeliruan tetapi disengajakan. Supaya dapat menumpang nama besar Laksamana malah menuntut harta peninggalan beliau bahkan boleh menyelit supaya ada peluang boleh menjadi Laksamana...

Perkara ini tidak mustahil kerana dalam tempoh 2-3 tahun kebelakangan ada saudara mara kami diganggu oleh pihak luar yang menuntut agar keluarganya diiktiraf sebagai anak cucu Laksamana Muhammad Amin. Alasannya ada moyang bernama Muhammad Amin dengan anak bernama sekian sekian berkahwin dengan si fulan bin si fulan. Walhal orang-orang yang disebut itu tidak wujud dalam rekod keluarga kami. Bahkan pihak tersebut masih bertegas hingga kini dengan dakwaan tersebut lalu segala macam salasilah berkenaan yang boleh dipengaruhi dan disuntingnya diletakkan Muhammad Amin tersebut sebagai Laksamana. Walhal saya pernah menerima salinan salasilah besar keluarga berkenaan yang telah dicetak lebih awal yang mana iya, nama Muhammad Amin itu ada tetapi bukanlah Laksamana.



Penipuan salasilah boleh sahaja berlaku kalau tidak ada ahli keluarga seperti saya yang cukup peka sejarah dan nasab keturunan lalu boleh mencegah lebih awal. Tetapi itu kalau ada orang seperti saya, menangani suatu percubaan menyusup masuk ke dalam salasilah ketika saya ada lalu boleh meneliti dan menyanggahnya. Bagaimana kalau penyusupan seperti itu dilakukan 100 tahun lalu tanpa disedari dan dibantah orang? Maka salasilah selepas itu dapatlah diselit masuk nama orang lain yang asalnya bukan anak Laksamana Muhammad Amin, cuma anak kepada seorang yang namanya serupa, hidup pada zaman sama. Susah bukan hendak menggali kebenaran kalau sudah berlaku begitu lalu diterima sekian lama? Namun Allah SWT ada. Apabila datang yang haq yang bathil tetap akan tersirna dengan sendirinya.




Oh. Tadi tu saya ada singgah di masjid Batak Rabit lagi kemudian menuju ke Lumut lalu mengambil satu jalan kampung selepas Lekir. Terlihat masjid ini saya pun singgah. Lihat Masjid (Mosque of) Wataniah, Pasir Panjang Laut.



Dengan mengambil laluan berkenaan juga dapat sampai ke pusat janakuasa yang kelihatan di selatan Lumut.




Kali terakhir berjalan-jalan  di sekitar ini rasanya adalah dalam 11-12 tahun lalu. Tak pasti apakah janakuasa ini sudah ada ketika itu.




Yang pasti di bukit yang kelihatan ini, bukit terdekat dengan janakuasa dahulu ada kelab golf di sebaliknya.




Dahulu umum boleh masuk ke kelab golf lalu sampai ke tempat tepi laut (Selat Melaka) yang dikenali sebagai Teluk Rubiah. Sekarang sudah ditutup kerana jadi kilang dan tempat mencari suatu macam galian apa entah...



Dahulu juga perlu berpatah balik ke arah Sitiawan sebelum boleh menghala kembali ke Lumut. Kini boleh memotong terus menghala ke Teluk Muroh dan Teluk Batik.




Ambil angin sebentar di pantai Teluk Batik. Lihat Latest visit to the beach of Teluk Batik. Kelihatan dalam gambar lereng bukit di hujung selatan pantai yang mana dari situ saya pernah berjalan kaki seorang diri mendaki sebelum keluar di padang golf dan Teluk Rubiah kemudian mendaki pula hingga ke puncak bukit yang ditunjukkan dalam gambar dari janakuasa tadi. Semata-mata untuk mencari lokasi sebuah masjid atas lereng menghampiri puncak yang dilihat dalam mimpi. Lihat cerita berkenaan dalam artikel Jalan-jalan Perak sebelah barat : Persekitaran Lumut dan kombinasi nombor 55 sebagai petunjuk?




Sudah lama saya tidak ke tempat-tempat ini. Ambillah masa untuk masuk ke pulau buatan Marina Island.



Teringat ketika pulau ini baru sahaja dibuka kepada umum beberapa bulan kalau tak salah. Saya dan sejumlah aktivis secara efektiknya merasmikan apabila diadakan satu acara keMelayuan yang mana saya adalah ketua hampir 10 tahun lalu. Lihat artikel Acara ketiga HIKMAH di Marina Hall, Lumut 27 Jan 2013 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).




Oh. Sebetulnya saya bercadang untuk singgah di Lumut semasa perjalanan ke Perak (yang turut membawa ke Pulau Pinang) 2 minggu lebih awal. Tetapi terpaksa melupakannya kerana harus berkejar ke Taiping untuk membuat kajian di perpustakaan muzium sana sementara ia masih dibuka petang hari itu. Lihat Misi Keluarga Laksamana part III - Ke Taiping sebelum ke Pulau Pinang. Cuma ketika itu fikirnya mahu berlegar-legar di pekan Lumut sahaja. Kali ini pergi ke seberapa banyak tempat menarik dalam perjalanan ke Lumut termasuk jeti di Pulau Marina menghadap Pulau Pangkor ini.




Keluar dari pulau buatan singgah pula di masjid ini. Lihat Masjid (Mosque of) Sultan Idris II, Teluk Muroh.




Selepas itu baru masuk pekan Lumut lalu terus ke kaki bukit ini, Bukit Engku Busu.




Sebetulnya saya bercadang untuk mendaki ke puncaknya yang melebihi paras 1,000 kaki tinggi dari paras laut.




Tetapi disebabkan sampai lawat eloklah ditunda ke pagi esoknya. Lalu melepak pula di pantai kecil berdekatan ini. Lihat The stretch of beach just before TLDM Lumut at dusk.




Masuk waktu Maghrib bergerak ke masjid jamek pekan Lumut. Ia pernah menjadi tempat saya bermalam beberapa kali dalam perjalanan-perjalanan terdahulu terutama pada zaman rajin mengembara seorang diri naik kenderaan awam juga hitchike selain berjalan kaki berbatu-batu tahun 2002 hingga 2008. Sebetulnya banyak perkara juga ilmu dibuka dan diterima kerana sanggup menjalani kehidupan sebegitu walaupun menurut kelulusan, lingkungan keluarga, kenalan dan taraf pemikiran saya  sepatutnya hidup sebagai seorang jutawan dalam kalangan bangsawan (memang pun saya keturunan bangsawan yang berasal daripada lingkungan istana). Bukan hendak menunjuk-nunjukkan mahupun bercakap besar. Sekadar menyatakan inilah antara pengorbanan supaya dapat meneruskan perjuangan demi memartabatkan Melayu dan Islam tanpa terpalit dengan kehendak-kehendak duniawi yang menyebabkan ramai bertempik sorak mengaku berjuang tetapi sebenarnya penipu, kaki sakau harta awam, kaki perempuan tapi berlagak alim muka suci tidak bersalah dan sebagainya.


Tiada ulasan: