Salam. Adapun malam semalam saya baru sahaja kembali daripada satu lagi perjalanan di Perak. Kalau ikutkan rancangan asal malam ini baru kembali. Tetapi disebabkan mahu mengikuti satu majlis ilmu di Muzium Negara, Kuala Lumpur pagi tadi saya kembali lebih awal. Ini cerita tentang majlis.
Kemudian baru terfikir. Majlis ini mahu bercakap tentang orang Melayu di Timur Tengah. Sedangkan hal keluarga Laksamana itu melibatkan tanah yang pernah dibeli oleh moyang kepada datuk saya, Laksamana Muhammad Amin di sekitar Masjidil Haram. Mungkin boleh mendapat maklumat berkenaan dari majlis. Saya pun memutuskan untuk pergi.
Maka sampailah ke lokasi tepat majlis iaitu di Dataran Muzium Negara pada jam 9.20 dengan membawa isteri. Beliau juga berminat dengan tajuk sehingga sanggup mengambil cuti kerja lalu mengajak beberapa orang kawan untuk bersama.
Penat perjalanan terbaru di Perak masih belum habis lagi. Selain memandu seorang diri ke sana ke mari sehingga hampir 680 km saya juga ada memanjat sebuah bukit yang memiliki ketinggian hampir 1,100 kaki dari paras laut dan dua bukit lain yang lebih rendah. Tetapi disebabkan teruja dengan tajuk berserta kemungkinan dapat memperolehi maklumat baru melibatkan hal nenek moyang diketepikan dahulu rasa penat ini.
Majlis secara rasminya bermula pada jam 10 pagi. Biar dimaklumkan bahawa ketika menulis ayat ini pada jam 8.23 malam Jumaat saya sebetulnya terasa hendak berbaring kalau tidak pun tidur terus. Tetapi saya cuba usahakan juga untuk menulis kerana tidak mahu backlog atau banyak penulisan tertunda. Ikutkan giliran penulisan saya sepatutnya berkongsi cerita satu majlis ilmu yang diikuti secara atas talian pada hari Sabtu malam Ahad 20 Ogos, kemudian baru cerita tentang perjalanan di Perak 22 hingga 24 Ogos.
Namun apabila difikirkan kembali elok dilepaskan cerita tentang majlis pagi tadi terlebih dahulu kerana masih segar dalam ingatan. Kelihatan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Kamarul Bahrin bin A. Kasim memberikan kata-kata aluan majlis. Antara yang saya ingat beliau menyatakan kajian terhadap keberadaan orang Melayu secara umum dibahagikan kepada tiga. Biar diterangkan mengikut apa yang saya sudah sedia faham tentang perkara :-
1) Melayu inti - Ini merujuk pada orang Melayu yang menetap di dunia Melayu/Kepulauan Melayu seperti di Malaysia dan Indonesia
2) Melayu diaspora - Mereka yang telah berhijrah lalu membentuk komuniti-komuniti di negara-negara luar yang bukan dalam lingkungan Alam Melayu.
3) Melayu Polynesia - Ini merujuk kepada rumpun besar Melayu yang telah menduduki lalu menjadi penduduk asal di tempat-tempat jauh seperti di New Zealand (orang Maori) dan Hawaii. Dalam takrif besar keMelayuan tempat-tempat ini boleh dikira termasuk dalam Alam Melayu, iaitu selain takrif lebih kecil yang cuma meliputi Asia Tenggara.
Adapun majlis ini termasuk dalam program besar "Bicara Muzium" yang telah diadakan sejak beberapa tahun lalu untuk mengenengahkan pelbagai perkara. Kali ini tajuknya adalah "Melayu Timur Tengah : Menelusuri Melayu di Bumi Anbiya'". Dalam gambar ini kelihatan ada persembahan gambar dan lagu ala Timur Tengah. Tengok-tengok yang bermain gambus itu seorang kawan lama saya di Muar daripada zaman sekolah rendah dan menengah...
Sampai masanya moderator atau pemudah cara pun naik ke pentas diikuti dua orang pembicara.
Moderator adalah puan Nor Hanisah binti Ahmad. Difahamkan beliau baru sahaja menjadi pengarah Muzium Etnologi Dunia Melayu iaitu satu muzium tersendiri dalam kawasan besar Muzium Negara. Pembicara ataupun pembentang pula adalah Profesor Emeritus Dato' Dr Wan Hashim Wan Teh, satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia pengkajian Melayu. Seorang lagi pembentang adalah saudara Astora Jabat, satu nama yang agak terkenal suatu masa dahulu kerana banyak menulis hal-hal kontroversial tentang agama Islam dalam surat khabar Utusan Malaysia.
Dengan Wan Hashim ni saya dah kira biasa dah sebab sudah banyak kali mengikuti pembentangan-pembentangan beliau. Sehingga semasa membuka bicara beliau menyatakan gembira kerana ada kawan-kawan datang lalu menyebut nama saya sebagai Merah Silu sebagai antara kawan yang hadir itu.
Selepas itu beliau berkongsi pengalaman sebenar turun ke lapangan dalam menjejak orang Melayu yang telah bermukim dan beranak pinak di luar negara. Dimulakan dengan 'long lost cousin' (saudara yang sudah lama hilang) di Sri Lanka sebelum ke negara-negara lain membawa ke Tanah Arab.
Cuma dinyatakan kajian beliau di Tanah Arab kurang lengkap kerana menghadapi kekangan birokasi. Setelah itu baru bicara disokong dengan slaid lalu dikongsikanlah sejarah orang Melayu bergerak ke sana ke mari daripada seawal tahun 4000 hingga 5000 Sebelum Masihi.
Kemudian disebut tentang apa yang dipanggil sebagai Melayu diaspora iaitu kelompok-kelompok yang membawa diri, atau dipaksa membawa diri atas sebab tertentu. Antaranya akibat dibuat oleh penjajah seperti para pejuang di Tanah Bugis (termasuk ulamak terkenal abad ke-18, Syeikh Yusuf al-Makasari) ke Afrika Selatan dibuang oleh Belanda lalu orang sana masuk Islam disebabkan mereka. Pada zaman kemudian pula disebabkan pilihan sendiri. Misalnya mahu rapat dengan Masjid Haram di Tanah Arab.
Disebut urutan hubungan yang menyebabkan orang Melayu sudah lama biasa ke Timur Tengah lalu ada yang membentuk komuniti di Tanah Arab...
Tidak perlulah diterangkan apa yang diperkatakan bagi setiap slaid ya.
Cukuplah dikongsikan gambar-gambar berkenaan. Sesekali ada sedikit penerangan. Penat wooo kalau semua perkara perlu diterangkan panjang lebar.
Tentang lingkungan besar Alam Melayu...
Tentang Melayu di Lautan Pasifik...
Tentang Melayu di lain-lain tempat.
Tentang Melayu di Tanah Arab...
Tentang bagaimana Melayu yang telah beranak pinak di luar negara terlibat dalam gerakan gerila menentang Komunis di Semenanjung Tanah Melayu...
Tentang Melayu di England...
Ingatkan dah habis. Rupanya ada tambahan tentang Melayu di Tanah Arab...
Sehingga ada yang terlibat dalam pembinaan barangan-barangan di Kaabah seperti pintu...
Selepas beberapa lama sampai giliran Astora Jabat berbicara. Beliau turut diperkenalkan sebagai Astora Toramae. Moderator ada menyebut nama sebenar beliau adalah Hassan Abdul Rahman. Bila disebut dengan loghat ala Kelantan orang di selatan Thailand jadi bunyi yang kedengaran seperti Astora Toramae itu.
Baru saya tahu beliau sebenarnya adalah rakyat Thailand. Beliau adalah orang Melayu Patani dari pekan bernama Jabat dekat Narathiwat. Astora membuka dengan menceritakan pengalaman beliau belajar dan merantau di beberapa buah negara Arab sejak zaman muda. Sebagai seorang yang sendiri suka mengembara saya harus menyatakan boleh tahan hebat pengalaman hidup beliau.
Masyaallah. Sebetulnya saya pernah ada buruk sangka tentang Astora. Suatu masa dahulu saya selalu mengikut tulisan-tulisan beliau yang selalu penuh kontroversi tetapi tinggi nilai ilmiah dan intelektual tentang agama Islam di Utusan Malaysia. Tetapi sampai satu peringkat terasa beliau seperti menyokong Arab Saudi dan gerakan Wahabi lalu sejak itu saya tidak lagi mengikuti penulisannya. Rupa-rupanya tidak. Beliau pernah belajar Kairouan, Tunisi dan Kourauiyine, Maghribi yang mana setahu saya kedua-dua tempat ini mengangkat tinggi para Ahlul Bait keturunan Nabi lalu memang tidak selari dengan pemikiran Wahabi yang sanggup merendahkan malah menghancurkan pelbagai warisan keNabian, apa lagi warisan anak cucu baginda yang ada di Tanah Arab.
Beliau berkongsi cerita bagaimana sebagai seorang pelajar yang mengikuti perjuangan mahu mengangkat agama sering menulis tulisan-tulisan yang bersifat revolusioner. Walaupun asalnya ditegur kerana tulisan bersifat keras namun bakat penulisannya dapat dikenali orang lalu diminta menulis bagi Utusan Malaysia sambil menjadi wartawan secara semulajadi (tanpa latihan rasmi) yang menulis dari Kaherah di Mesir.
Beliau pun berkongsi dapatan tentang Melayu di Timur Tengah berdasarkan pengalaman sebenar berpuluh tahun sering berkelana di negara-negara Arab (yang termasuk Mesir, Tunisia, Maghribi, Algeria dan sebagainya di utara Afrika). Oh. Walaupun sudah berumur 69 tahun beliau masih rajin berkelana. Astora yang kini berpusat di Bangkok ada menceritakan bagaimana sebelum wabak Covid-19 menghadkan pergerakan beliau malah sering berbasikal di Thailand membawa ke Laos lalu dapat mengenali orang Melayu di tempat-tempat terpencil yang mana ada di antara mereka menjalani kehidupan seperti Orang Asli.
Sekali lagi. Saya merasa tidak perlu dipanjangkan penerangan. Cukuplah dengan apa yang dikongsikan melalui slaid...
Cukuplah dikatakan saya merasakan keputusan untuk hadir ke majlis walau dalam kepenatan mengembara, walau asalnya saya merancang mahu kembali dari Perak pada malam ini adalah tepat dan sangat berbaloi. Baru saya tahu Astora Jabat ini sebenarnya orang yang bagaimana. Baru dapat melihat beliau rupanya seorag pejuang yang berusaha untuk mengembalikan kegemilangan orang Melayu Patani dengan cara yang tersendiri.
Oh. Sebelum majlis bermula saya sempat bertanya kepada Prof Wan Hashim beliau Wan dari belah mana? Sebabnya saya tahu beliau dari Grik di Perak. Kalau di Perak, ada Wan belah keluarga Temenggung, Wan belah keluarga Menteri Ngah Ibrahim, ada juga termasuk Wan dari Kedah. Jawab beliau Wan dari belah Patani.
Ah. Nampaknya begitulah aturan Allah SWT. Kedua-dua pembentang adalah berketurunan Patani. Saya tahu Wan Hashim memang memperjuangkan Melayu sejak dahulu lagi, dalam erti kata makna Melayu yang lebih luas melalui jalan akademik. Astora pula memperjuangkan Melayu melalui penulisan dalam jalan kewartawanan. Untuk mengikuti sendiri perjalanan majlis lihat video bawah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan