Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Monday, April 23, 2018

Pelancaran rasmi buku berkembar Nabi Adam dan Benua Tua Melayu di kedai buku Khazanah Fathaniyah

Merujuk kepada artikel Tentang pelancaran rasmi buku berkembar Nabi Adam dan Benua Tua Melayu akan datang serta beberapa hal berkaitan yang dipersembahkan hampir sebulan lalu. Artikel itu berkongsi secara ringkas tentang beberapa program saya yang dijadualkan berlangsung sehingga sebulan kemudian. Sekarang semua program yang disebut itu sudah selamat dijayakan. Dua daripadanya telah pun dikongsikan cerita-ceritanya. Lihat artikel-artikel berikut :-





Tidak disebut dalam cerita adalah satu syarahan yang dilakukan Khamis lalu. Tetapi ia telah diceritakan melalui artikel Syarahan "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" di Politeknik Tun Syed Nasir, Pagoh, Muar pada 2 hari lepas. Sekarang tinggal satu cerita harus dikongsikan berdasarkan jadual program. Ia adalah tentang pelancaran buku yang disebut-sebut itu...


Adapun majlis pelancaran tersebut telah dirancang seawal 2 bulan lalu. Satu majlis awal berkenaan  buku telah diadakan penghujung bulan Februari sebagai 'pembuka rasa'. Lihat artikel Soft launch buku Nabi Adam dan Orang Melayu dengan Benua Tua Melayu berserta sedikit hal susulan yang dipaparkan 25 Februari. Selepas itu saya disibukkan dengan pelbagai perkara menyebabkan pelancaran rasmi buku baru dapat dipromosikan sekitar seminggu lalu. Timbullah poster yang kelihatan lalu mula dikongsikan di alam maya baru Rabu 18 April. Sedangkan majlis mahu diadakan pagi Sabtu 21 April...


Apapun sampailah masanya untuk melaksanakan majlis yang dimaksudkan. Dalam keadaan badan begitu penat selepas aktiviti demi aktiviti dilakukan hampir tak putus dalam tempoh sebulan dua kebelakangan saya membawa isteri dan anak-anak ke lokasi iaitu kedai buku Khazanah Fathaniyah di Setiawangsa, Kuala Lumpur. 


Adapun awal tahun sehingga Februari saya disibukkan dengan pelbagai urusan penerbitan buku. Selepas itu sibuk dengan urusan penjualan, pengedaran dan promosi juga pengeposan buku. Pada 19-25 Mac saya memandu kereta sendiri sejauh lebih 1,500 km untuk membawa keluarga melihat tempat-tempat menarik dan bersejarah di Patani, selatan Thailand. Sempat memberikan syarahan di Prince of Songkla University tentang pentingnya turun ke padang membuat kajian lapangan. Lihat Jejak Wasilah Patani - The compilation

Balik daripada itu kena mempersiapkan diri untuk memberikan syarahan di sebuah institusi pengajian tinggi tersohor di tanah air yang memiliki kedudukan tinggi dalam dunia Islam antarabangsa iaitu pada 3 April. Rujuk Syarahan "Prophet Adam and the Malays 60,000 Years Ago - Aligment of Time, Revealed Knowledge and Science" di ISTAC.. Hujung minggu itu pula kena memandu ke Jelai di Negeri Sembilan untuk satu urusan keluarga sebelah isteri. Ini tidak diceritakan langsung di blogspot mahupun di mana-mana, baik Facebook atau WhatsApp, baru kini saya menyebutnya ... 


Minggu seterusnya saya membawa isteri dan anak-anak ke Yan, Kedah untuk majlis hol 14 April di mana saya juga harus memberikan satu syarahan ilmu tentang Melayu. Itu yang membawa kepada terbitnya cerita Misteri 'kehilangan' Laksamana Raja Mahkota Muhammad Arshad dan makna tersirat di sebalik nombor 1918. Kembali dari sana di mana jarak pemanduan keseluruhan mencapai hampir 1,000 km kami sampai kembali ke rumah awal pagi Isnin sekitar jam 1 pagi, Rabunya 18 April dah keluar memandu pula seorang diri ke Muar untuk mengambil ibu bapa agar dapat hadir pada majlis pelancaran buku di Kuala Lumpur pagi Sabtu 21 April. Itu yang diambil kesempatan bersyarah tentang isi buku di Pagoh pagi Khamis seperti diceritakan dalam artikel Syarahan "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" di Politeknik Tun Syed Nasir, Pagoh, Muar. Petang itu sempat bermesyuarat dengan tuan kadi daerah Muar yang meminta nasihat saya untuk memulakan satu projek penerbitan buku...



Tengah hari Jumaat bertolaklah kami ke arah Lembah Klang, singgah di rumah adik saya di Melaka di mana kami bersolat Jumaat. Selepas makan tengah hari lewat baru menyambung perjalanan. Selepas Isyak baru sampai ke rumah. Malam itu saya menghadapi masalah untuk tidur lelap. Tekak pula buat pasal sejak beberapa hari kebelakangan, pagi esoknya dah nak kena berucap malah saya bercadang untuk mendendangkan sebuah lagu yang melambangkan semangat perjuangan tinggi dan kecintaan terhadap ilmu dan peradaban. Bukan sahaja itu, sebagai pihak penganjur kami perlu melakukan banyak perkara termasuk bersama pemilik kedai menyiapkan tempat untuk menerima hadirin. Kami juga perlu menyediakan cenderahati berupa buku-buku tulisan saya dan beberapa barangan lain untuk mereka yang patut menerimanya. Isteri saya bangun sebelum Subuh untuk memasak dan menyediakan makanan juga minuman yang harus dibawa ke majlis...

Lewat malam sekembalinya dari Muar itu juga baru saya mendapat ilham bagaimana sebaiknya meletakkan atur cara majlis, komponen mana harus didahulukan, yang mana harus dikemudiankan. Panggilan-panggilan telefon dibuat untuk mengingatkan juga memastikan kehadiran mereka yang akan membuat persembahan juga yang merasmikan majlis dan sebagainya. Awal pagi, Sabtu dalam keadaan tidak dapat tidur nyenyak dan begitu penat harus bersiap-siap untuk bertolak ke lokasi majlis yang jaraknya 50 km dari rumah. Kena siapkan, masuk dalam kereta semua barangan yang perlu dibawa, sampai pakai 2 buah kereta. Kena tunggu kedua ibu bapa saya yang kedua-duanya sudah berumur 76 tahun betul-betul siap baru boleh bergerak. Kena pula hantar seorang anak remaja untuk bertemu kawan-kawannya di Rawang sebelum menuju ke destinasi.


Majlis dijadualkan bermula jam 10 pagi. Alhamdulillah kami sampai jam 9.15 lalu membuat persiapan yang perlu. Pun begitu kami harus menunggu cukup ramai orang sampai sebelum memulakan majlis. Saya pula diganggu masalah perut yang menyebabkan harus ke masjid berdekatan untuk melepaskan hajat. Hampir jam 11 baru majlis dimulakan dengan sahabat baik saya, saudara Tengku Ahmad Ridhauddin sebagai MC atau pengacara memberikan pengenalan tentang majlis.








Beliau yang bertanggungjawab mengatur syarahan pertama saya tentang isi buku  dan kira-kira penyelerasan masa di ISTAC kemudian memanggil bapa saya, tuan Haji Mohd Sapiee bin Mohamad Arshad untuk membacakan doa selamat.


Sebagai seorang anak terasa keberkatan apabila bapa sendiri membacakan doa untuk majlis sambil ibu yang melahirkan saya 48 tahun lalu turut berada sama mengaminkan doa. Sesungguhnya tidak akan jadi saya sebagai sesiapa pun kalau tidak kerana mereka. Jika sedikit kepandaian yang dimiliki menyebabkan saya dapat melaksanakan pelbagai perkara termasuk menghasilkan buku-buku terbaru yang mahu dilancarakan ini, buku ke-11dan ke-12 saya maka kebolehan itu semua saya warisi daripada mereka jua...


Tengku Ahmad kemudian memanggil Ustaz Abdul Halim Muhamed sebagai wakil pemilik tempat dan organisasi iaitu Khazanah Fathaniyah untuk memberikan kata-kata aluan.


Beliau pun bercerita tentang sejarah organisasi yang diasaskan oleh almarhum Ustaz Wan Mohd Shagir sebelum berkongsi bagaimana saya sendiri boleh mula terlibat dengan Khazanah Fathaniyah kira-kira 11 tahun lalu.


Turut dikongsikan apa yang Ustaz Halim kenal tentang saya secara peribadi termasuk cerita-cerita pengembaraan dalam mencari dan menjejaki sejarah Alam Melayu juga penglibatan beliau dan Khazanah Fathaniyah dalam beberapa majlis anjuran saya atas nama HIKMAH. Sila rujuk  blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).






Sambil itu jumlah hadirin bertambah sedikit demi sedikit. Turut sampai lewat adalah satu keluarga dari Aceh yang kami kenali sejak beberapa tahun lalu. Mereka datang bercuti ke Kuala Lumpur buat beberapa hari...


Selesai ucapan Ustaz Halim hadirin disajikan dengan sedikit petikan gambus oleh saudara Zulkifli Ramli daripada Persatuan Gambus Malaysia. Beliau mewakili sahabat lama saya, saudara Raja Zulkarnain Raja Mohd. Yusof yang merupakan presiden persatuan. Sepatutnya Raja Zulkarnain bermain pada majlis. Tetapi beliau terpaksa menghantar wakil akibat mendapat panggilan saat akhir kena balik kampung di Muar untuk satu urusan keluarga,


Petikan gambus dibuat sebagai pengenalan untuk membawa perasmi majlis mula berucap.


Beliau adalah Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali, pakar sejarah daripada Universiti Malaya. Dikenali ramai sebagai Prof Abdullah beliau boleh dikatakan antara tokoh ilmu sejarah paling berwibawa di Malaysia lalu menjadi rujukan ramai pihak. Kehadiran beliau menunjukkan isi buku dan perjuangan saya sendiri tentang sejarah tanah air bukan perkara remeh malah diakui mereka yang betul-betul berkaliber dalam bidang.


Prof Abdullah membuka dengan menyatakan tidak pernah melancarkan atau lebih tepat, meluncurkan buku pada mana-mana majlis. Pun begitu beliau sanggup datang dan melakukannya atas permintaan saya kerana kami sudah lama saling mengenali, seringkali berbincang tentang sejarah di majlis-majlis berkenaan di sekitar Lembah Klang dan lain-lain tempat selain di pejabat beliau di UM.


Beliau kemudian berkongsi apa yang diketahuinya tentang wilayah Patani dan selatan Thailand, juga bagaimana beliau dahulu beberapa kali juga berbincang dengan almarhum Ustaz Wan Saghir iaitu pengasas Khazanah Fathaniyah tentang sejarah. Selepas itu baru disorot perkenalan dengan saya dan bagaimana beliau tahu saya sering keluar mengembara menjejak sejarah sambil dikaitkan dengan pengalaman beliau sendiri pergi merata ke Alam Melayu.


Setelah beberapa lama baru masuk bab buku yang mahu diluncurkan, buku berkembar dengan tajuk "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" bersama "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia". Sebetulnya beliau telah membeli kedua-dua buku ketika saya bertandang ke pejabatnya lebih sebulan lalu. Tetapi beliau baru membaca bahagian-bahagian tertentu terutama bab kiraan penyelarasan masa. Katanya apa yang disuakan itu sudah boleh dikira sebagai satu teori. Cuma perlu diperkemaskan lagi dan diangkat lebih tinggi supaya dapat diterima masyarakat antarbangsa. Dengan itu beliau pun melancarkan atau meluncurkan buku...


Selesai peluncuran oleh Prof Abdullah bapa saya dipanggil untuk menyampaikan cenderahati berupa satu set buku berkembar Nabi Adam dan Benua Tua Melayu serta satu naskah buku tulisan saya tahun 2011 iaitu "Jejak Keluarga Yakin : Satu Sketsa Sejarah"...


Maka sampai giliran seorang lagi sahabat baik saya saudara Mohd Zahamri Nizar untuk ke hadapan membaca syair tentang ilmu diiringi petikan gambus...





Selepas itu baru saya sendiri ke hadapan untuk memberikan sedikit kata-kata tentang buku. Diulang dan diulas kenapa ia diusahakan dengan penuh penat lelah demi menjawab persoalan berkenaan yang bermain dalam kepala sejak bertahun-tahun..


Ketika saya ke hadapan itu sudah jam 12.40 gitu. Sudah terlewat lebih setengah jam kerana majlis dijadualkan berlangsung jam 10 pagi sehingga 12 tengah hari sahaja. Saya bercakap sekitar 24 minit untuk menerangkan keadaan. Dapatlah menambah sedikit sebanyak daripada apa yang orang lain sudah perkenalkan tentang buku...


Cuma sepatutnya selepas itu saya mendendangkan sebuah lagu diringi petikan gambus. Tetapi disebabkan kelewatan pemain gambus harus meninggalkan majlis buat suatu masa kerana hendak mengambil anak balik dari sekolah (ke tusyen?). Oleh itu saya mengajak hadirin menikmati juadah yang disediakan oleh isteri.





Maka bersantailah kami makan minum sambil menyambung cerita...








Setelah beberapa lama muncullah pemain gambus kembali ke lokasi. Beri sedikit masa untuk beliau makan lalu persembahan iaitu nyanyian lagu Andalusia ciptaan M. Nasir diringi petikan gambus pun dimulakan. Lihat video atas...


Selepas jam 2 baru majlis betul-betul sedia untuk ditutup. Ustaz Halim meminta agar disampaikan cenderahati dari pihak Khazanah Fathaniyah kepada Prof Abdullah juga kepada saya sendiri.





Saya mengambil kesempatan untuk menyampaikan cenderahati kepada pemain gambus iaitu saudara Zulkifli berupa satu set buku berkembar Nabi Adam dan Benua Tua Melayu, Turut disampaikan sekali kepada beliau ialah satu lagi set untuk saudara Raja Zulkarnain yang merupakan guru gambusnya.


Saya turut menyampaikan satu lagi set cenderahati kepada Prof Abdullah sebagai tambahan kepada cenderahati yang sudah disampaikan lebih awal...


Kemudian kami bergambar beramai-ramai untuk kenangan. Ketika ini separuh hadirin sudah meninggalkan majlis kerana urusan masing-masing. Maklumlah gambar pun diambil jam 2.11 petang, sudah lebih 2 jam melewati tempoh masa cadangan asal majlis. Itupun mereka yang kelihatan rata-rata masih mahu berlegar berbual-bual. bertukar-tukar fikiran Kalau tidak kerana kedai ini sendiri biasanya tutup jam 12 pada hari Sabtu, kalau tidak kerana saya dan keluarga pun perlu mengejar satu urusan lain walaupun sudah terlewat tentu kami akan berada lebih lama bercerita macam-macam. 

Dengan selesainya majlis ini terlepaslah sudah suatu macam beban komitmen yang dirancang sejak buku berada dalam proses akhir penerbitan hampir 4 bulan lalu. Selepas ini penumpuan bolehlah diberikan kepada hal-hal lain termasuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2018 yang dijadualkan berlangsung 27 April sehingga 6 Mei. Namun komitmen tentang buku tetap berjalan terus kerana isinya terutama berkenaan kira-kira penyelarasan masa perlu diangkat kepada khalayak yang lebih besar dan berwibawa. Dengan itu bolehlah dikongsikan dalam artikel ini sepertimana disebut kepada khalayak pada majlis bahawa saya sudah memohon untuk menyambung pelajaran di ISTAC dengan niat mahu mengangkat kajian berkenaan menjadi tesis peringkat Masters dan PhD. Doakam semoga usaha ini mendapat keberkatan dan kejayaan dunia dan akhirat... :]



Tambahan : Jam 5.34 pagi Selasa 24 April 2018



OK. Isteri saya telah membuat rakaman yang agak lengkap cukup untuk menunjukkan perjalanan sepanjang majlis. Beberapa klip video dirakamkan menunjukkan keadaan daripada persediaan awal pagi sekitar jam 9.15 sampai kami sedia untuk betul-betul bersurai selepas jam 2 petang. Tetapi rata-rata dirakamkan pendek kecuali satu ini panjangnya 2 jam 16 minit. Ia cukup jelas untuk menunjukkan bahawa apa yang mahu disampaikan dalam buku Nabi Adam dan Benua Tua Melayu itu adalah satu usaha besar yang patut diketahui oleh semua yang mahu mencari kebenaran. Insyaallah... :]