Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Januari 26, 2018

Menyelesaikan isu 'kemusnahan' kesan sejarah Melayu Islam awal di Kuala Lumpur

Salam Jumaat. Merujuk pada artikel Musnahnya satu bukti penempatan awal Islam di Kuala Lumpur yang dipersembahkan Ahad lalu. Tak sangka ia menjadi viral sehingga menarik perhatian ramai pihak. Antara yang tertarik adalah rakan-rakan pengkaji sejarah di Aceh. Ini menyebabkan datang sejumlah wakil dari Indonesia mahu melihat apa yang berlaku di Kuala Lumpur. Dengan tidak disangka ini membawa kepada penerangan yang harus dapat menyelesaikan isu yang timbul sekurang-kurangnya buat sementara waktu. Ini ceritanya...


Artikel saya tentang perkara 5 hari lalu telah menyebabkan seorang rakan pengkaji di Aceh menulis satu artikel sendiri masuk dalam media sana menyatakan keprihatin dan kerisauan kumpulan beliau terhadap 'kemusnahan' yang berlaku. Kenapa saya letak tanda quote unquote pada perkataan kemusnahan? Itu akan diterangkan nanti. Mereka yang telah membaca artikel saya itu harus tahu ia merujuk kepada dua buah makam yang katanya milik dua orang ulamak dahulukala di Sri Sentosa, dekat Jalan Klang Lama. Kemudian baru ada pihak menyatakan ia sebenarnya milik pemegang jawatan Dato Engku Kelang iaitu orang besar jajahan yang berkuasa ke atas bahagian darat kawan Lembah Sungai Kelang hingga ke Banjaran Titiwangsa.


Artikel di Aceh itu membawa seorang aktivis sana untuk mendorong satu kumpulan lain datang melihat keadaan di lokasi. Begini pesan Whatsapp yang saya terima daripada beliau Selasa lalu...


Saya mendapat info tentang makam ulama Aceh Habib Pinang Tunggal yg telah ditimbun sampah. Info tersebut telah Saya teruskan kepada DMDI (Dunia Melayu Dunia Islam) dan beberapa pengurus DMDI termasuk dari Indonesia kini telah berada di KL.

Mohon Kak Nor Afidah dan Abang Fahrul Radzi menghubungi mereka untuk memberi sekilas informasi tentang keadaan terbaru makam tersebut.

Mereka berencana untuk berziarah ke makam tersebut, maka kami mohon perkenan bantuan Kak Nor Afidah dan Bang Fahrul Radzi untuk menunjukkan makam tersebut kepada perwakilan DMDI tersebut, agar dapat kita perjuangkan bersama supaya situs makam bukti sejarah tersebut dapat lestari.


Kelihatannya ada kekeliruan kerana menyangkakan yang ditimbus atau 'musnah' itu makam ulamak Aceh. Yang sebenarnya saya cuma menyebut makam-makam mereka berbatu nesan Aceh. Asal usul tidak disebut kerana saya tak tahu. Tak mengapa. Orang nak datang tengok saya boleh tunjukkan. Semoga muncul suatu yang baik daripada hal ini.



Pagi Rabu apabila menghidupkan telefon bimbit isteri saya mendapati ada sejumlah panggilan Whatsapp daripada ketua rombongan yang dimaksudkan. Beliau pun menghubunginya. Baru kami tahu ada sekitar 15 orang datang atas nama DMDI (Dunia Melayu Dunia Islam) untuk program di UTM (Universiti Teknologi Malaysia) kampus Jalan Semarak KL hari itu. Oleh itu saya pun mencadangkan agar kami berjumpa di satu kompleks makam di Sentul. Letaknya sudah tidak berapa jauh dari Jalan Semarak. 

Makam itu berbatu nesan Aceh serupa dengan yang 'musnah' di Sri Sentosa atau disebut sebagai makam di Pinang Tunggal itu. Selepas itu baru ke Sri Sentosa. Tapi kami kemudian diberitahu program di UTM akan berlanjutan sehingga lewat petang. Khamis iaitu semalam pula ada program di ISTAC (International Institute of Islamic Thought and Civilization) di Bukit Tunku. Maka itu apabila sudah jelas bila ada kelapangan ketua rombongan akan menghubungi balik saya dan/atau isteri.



Pagi semalam baru dapat dinyatakan dengan jelas bilakah masa yang sesuai. Kata ketua rombongan mari jumpa di makam Sentul jam 4. Saya terus menghubungi (Prof) Dato' Dr Othman Yatim, ahli akademik Malaysia yang terkenal sebagai orang yang memperkenalkan kajian batu nesan Aceh ke peringkat antarabangsa. Beliau pun menyatakan komitmen untuk bersama.


Tidak lama kemudian muncul rasa untuk mengajak sesiapa sahaja yang berminat untuk bersama. Saya pun membuat status update berikut di Facebook... ini diambil secara screenshot tadi di FB ya...


Ketika itu saya menyangkakan semua ahli rombongan adalah dari Aceh. Walaupun apabila diteliti Whatsapp dari aktivis di sana ternyata ia tidak pernah menyebut begitu tetapi ada rakan lain Aceh menyebut begitu apabila menghubungi saya tentang hajat mereka mahu melihat makam. Kemudian baru saya tahu ia sebenarnya dibuat atas nama DMDI Indonesia - ada ahli dari beberapa wilayah termasuk dari Aceh. Apa pun pengumuman saya itu mendapat sambutan yang menggalakkan. Akibat daripada itu seorang wartawan dari Bernama turut muncul di makam. Seorang wartawan dari Sinar Harian juga muncul tetapi bukan akibat pengumuman. Kebetulan beliau menghubungi saya pagi Khamis untuk bertanya tentang makam Pinang Tunggal... setelah terbaca artikel Musnahnya satu bukti penempatan awal Islam di Kuala Lumpur yang menjadi viral itu. Lalu saya minta beliau turut serta di Sentul.


Jam 4 petang, setelah mengambil Prof Othman di rumahnya di Batu Caves kami pun ke Sentul. Rombongan DMDI juga wartawan Sinar Harian menghadapi sedikit masalah mencari tempat lalu saya harus mencari mereka terlebih dahulu di sekitar itu sebelum membawa mereka ke lokasi. Wartawan dari Bernama sahaja tiada masalah mencari sendiri.

Ketika kami sampai pintu makam sedang berkunci. Saya memberikan penerangan tentang makam dan kenapa ia penting untuk dipertahankan sebagai bukti wujud penempatan awal Islam di Kuala Lumpur. Dari luar kami dapat melihat makam dan batu nesan Aceh di dalam dengan jelas. Othman pun mengesahkan ia harus berumur 200 tahun ke atas.  

Setelah beberapa lama berlegar-legar termasuk bertahlil sedikit dan berdoa di luar kami pun bersedia untuk meninggalkan tempat. Tengok-tengok penjaga makam sampai lalu membukakan kunci masuk melalui surau yang bersambung di sebelah. Itu yang kami dapat melihat lebih dekat. Kalau tidak makam selalunya dibuka pada waktu malam...


Bergambar di hadapan makam. Oh, cuma separuh daripada ahli DMDI Indonesia yang datang kerana program-program di Malaysia itu sahaja dapat bersama dalam lawatan makam impromptu atau secara spontan ini. Baki mereka memanjangkan program di ISTAC...


Selepas solat Asar dan sedikit sesi wawancara bersama wartawan baru kami menuju ke Sri Sentosa. Kami harus meredah kesesakan lalu lintas orang balik kerja bersama hujan lebat hampir sepanjang perjalanan 16 km.


Sampai ke makam jam 6.30 petang. Ketika itu seorang rakan pengkaji sejarah yang mendapat tahu tentang program melalui hebahan saya di FB sudah beberapa lama menunggu lalu turut serta melihat makam.


Beginilah keadaan makam, sama seperti ditunjukkan dalam artikel Musnahnya satu bukti penempatan awal Islam di Kuala Lumpur


Kawan pengkaji memberitahu sudah menerima penjelasan daripada warga tempatan bahawa apa yang berlaku sebenarnya adalah proses penebusan tanah iaitu mengangkat makam naik ke paras yang sama dengan jalan. Ini kerana makam asalnya terletak rendah sekitar 8-10 kaki ke bawah.


Cuma cara sahaja kelihatan tidak kena. Nampak seperti ditimbun sampah kiri dan kanan.


Selepas beberapa lama melihat makam dalam keadaan kena hujan (saya basah lokos membiarkan payung-payung yang dibawa dalam kereta digunakan orang lain) kami menyambung perbincangan tentang hal makam di khemah sebelah. Ketika itulah muncul seorang lagi kawan pengkaji akibat melihat hebahan saya di FB.


Beliau berkongsi pengamatan sendiri menjejak makam-makam berbatu nesan Aceh di kampungnya di Batu Pahat. Teringin untuk melihat batu-batu Aceh pada makam yang sudah tertimbus di Sri Sentosa (Pinang Tunggal itu nama kampung lama Melayu yang pernah wujud di sini) beliau berusaha untuk menghubungi pihak berkenaan.
'

Melalui jaringan orang Indian Muslim tempatan yang sudah biasa dengan makam pihak berkenaan dapat dihubungi.


Hampir masuk waktu Maghrib muncul sepasang suami isteri. Mereka mengaku bertanggungjawab menimbus makam. Katanya setelah beberapa lama ada pihak melakukan satu projek pembangunan berdekatan makam ia mula selalu dilanda banjir kilat sehingga ke paras lutut. Mereka pun melakukan inisiatif sendiri untuk menaikkan makam ke paras yang sama dengan tepian jalan. Empat biji batu nesan Aceh yang menghiasi makam telah mereka cabut dan simpan sejak bulan Oktober lagi. Ini kerana tiada pihak lain sanggup melakukan apa yang ingin mereka lakukan.


Kami diajak bertandang ke rumah mereka untuk melihat batu nesan...


Singgah dahulu solat Maghrib berjemaah di masjid berdekatan rumah.


Sekitar jam 8.15 kami pun sampai ke rumah. Terus ditunjukkan batu-batu nesan yang diambil dari makam.


Ia harus disimpan sementara proses menaikkan tanah belum selesai. Tanah yang ditambak perlukan masa untuk menjadi cukup padat dan kuat.


Tentang sisa-sisa bangunan yang kelihatan seperti sampah dijadikan bahan untuk menimbus atau menambak tanah mereka menerangkan itu di bahagian luar lingkungan terdekat makam. Bahagian sekeliling makam itu sendiri diisi dengan tanah merah. Saya dapat mengesahkan ini setelah melihat betul-betul keadaan di lokasi.


Cuma keadaan sekeliling makam itu kelihatan tidak enak seolah-olah dilonggokkan sampah sarap. Saya pun memberitahu ada eloknya didirikan satu papan tanda atau kain rentang/bunting untuk memberitahu  orang ramai bahawa makam dalam proses pembaikan supaya tidak menjadi salah faham dan fitnah.  Supaya orang luar tidak menganggap ia telah dijadikan tempat timbunan sampah... atau diambil alih untuk satu projek bangunan dan sebagainya menggantikan makam.


Turut  dibincangkan bagaimana boleh berlaku makam-makam(dikatakan ada dua di Pinang Tunggal./Sri Sentosa) itu dinyatakan oleh masyarakat India Muslim setempat sebagai milik dua orang ulamak bernama Tuan Guru al-Sheikh Abu Bakar dan anak muridnya, al-Sheikh Syed Mukmin Mukhtar Ali. Sedangkan ada pihak lain menyebut ia milik Dato' Engku Kelang pertama dan anaknya Dato' Engku Kelang kedua (rujuk bahagian akhir iaitu nota tambahan artikel Musnahnya satu bukti penempatan awal Islam di Kuala Lumpur). Saya menyatakan pendapat bahawa boleh jadi ada semacam pertindihan kerana di situ sebenarnya pernah wujud lebih daripada dua buah makam. Ini berdasarkan ada orang mendapat mimpi bahawa terdapat banyak lagi kubur atau makam suatu masa dahulu di sekitar itu tetapi sudah hilang kesan.


Suami isteri yang menyimpan batu nesan pun bercerita memang semasa mereka kecil dahulu ada 7 lagi makam berdekatan. Tetapi entah bagaimana ia telah hilang. Prof Othman pula seperti mengesahkan kemungkinan pertindihan telah berlaku. Beliau mendapati ada dua buah batu nesan yang selama ini dianggap sepasang iaitu satu untuk bahagian kepala satu untuk kaki sebenarnya berlainan saiz. Sedangkan batu nesan Aceh memang dibuat sama saiz dan bentuk kaki dengan kepala. Yang berbeza adalah tulisan seperti syair Sufi dan ayat Al-Quran  juga maklumat tentang si mati (kalau ada)

Kami pun meneliti lagi, siap mengukur dengan pembaris lagi lalu mendapat memang benar ia berlainan saiz. Hal ini sebetulnya dapat dilihat dengan mata kasar. Tetapi saya sendiri misalnya menganggap biasalah kalau ada sedikit perbezaan saiz. Asalkan tidak terlalu ketara misalnya apabila dibandingkan dengan dua lagi batu nesan Aceh yang ada di situ juga. Nampaknya perkara ini harus diteliti dengan lebih mendalam lagi oleh mereka yang memiliki pengetahuan atau ada kebolehan untuk menilik lebih jauh...

Maka pada malam Jumaat semalam yang berkat, ketika hal ini diberikan suluhan dalam mencari penyelesaian yang afdhal sambil menghadap 4 batang batu nesan Aceh yang diambil dari makam bolehlah saya menyimpulkan perkara seperti berikut :-

1. Makam yang menjadi bukti sejarah wujudnya penempatan Islam dan Melayu bukanlah dimusnahkan (hari itu saya sebut Islam sahaja kerana tidak pasti apakah pemilik makam orang Melayu atau bukan). Ia sedang mengalami proses diangkat naik kedudukan supaya sama paras dengan tepian jalan.

2. Cuma cara ia dibuat itu tidak kemas. Tetapi pihak yang membuat dengan belanja dan inisiatif sendiri itu berniat baik. Maka eloklah diletak papan tanda atau kain rentang menerangkan keadaan, sekurang-kurangnya untuk menyatakan ia sedang dibaik pulih.

3.  Ia akan memakan masa beberapa waktu lagi sebelum batu nesan dapat dipasang untuk menerbitkan rupa makam yang jelas. Ini kerana kita harus menunggu tanah tambah/timbusan betul-betul mendap dan padat.

4. Pihak mereka/komuniti  India Muslim yang biasa menjaga makam harus berbincang dan bekerjasama dengan waris-waris Dato' Engku Klang yang masih wujud hari ini untuk mendapatkan jalan terbaik memelihara bukti sejarah dan warisan.

5. Prof Othman menyatakan batu nesan Aceh sini berumur sekurang-kurangnya 300 tahun. Ini bertepatan dengan zaman kehidupan Dato Engku Klang pertama dan kedua yang diperkirakan berlaku sekitar tahun 1600-1700.

6. Penelitian juga harus dibuat supaya tidak timbul pertelagahan tentang manakah sebenarnya makam dua Dato' Engku Klang terawal itu, manakah pula makam dua orang ulamak.  Kalau bertindih bagaimana? Kalau tidak dapat dijelaskan pertindihannya bagaimana biar dapat dicapai kata harmoni yang menyenangkan semua pihak.

7.  Bila semua hal atas dah selesai lalu batu nesan Aceh dapat dipacakkan untuk menerbitkan rupa baru makam biar didirikan papan tanda memberikan maklumat terperinci tentang tokoh-tokoh yang dimakamkan, apa sejarah mereka juga sejarah kawasan itu sendiri.

Dengan ini biarlah  isu 'kemusnahan' kesan sejarah Melayu dan Islam awal Kuala Lumpur di bahagian itu dianggap selesai buat suatu waktu. Namun ia harus dipanjangkan nanti dalam konteks untuk menggali kembali sejarah awal KL atau lebih tepat, Lembah Kelang yang hilang. Kalau boleh biar digali sekali cerita-cerita tentang penempatan seawal zaman Bendahara Melaka terkenal Tun Perak pernah menjadi penghulu Kelang (disebut dalam kitab Sulalatus Salatin) lebih 500 tahun lalu. Biar ia bersambung dengan sejarah mula terciptanya gelaran Dato Engku Klang (diperkirakan pada tahun 1600an ketika kawasan ini merupakan satu jajahan takluk Empayar Johor Lama) lalu dapat disambungkan dengan sejarah moden Kuala Lumpur yang bermula tahun 1850an.

Ini boleh dilakukan dengan menimbulkan polemik berkenaan. Saya pernah menyarankan ini dalam artikel Menjejak kembali sejarah sebenar keberadaan awal Melayu di Kuala Lumpur - Sampai masanya segala penemuan terkini diwacanakan, diambil tahu dan diguna pakai... hujung tahun lalu. Biar dibuat seminar melibatkan tokoh-tokoh seperti Prof Othman yang juga seorang ahli arkeologi, pakar sejarah seperti Profesor Emeritus Dato' Dr Abdullah Zakarian Ghazali dan budayawan terkenal asal dari KL, Profesor Dr Siti Zainon Ismail.  Harus dikaitkan juga dengan penemuan batu nesan Aceh di Masjid Jamek KL seperti dinyatakan dalam artikel Tentang perkuburan lama Islam dan batu nesan Aceh di Masjid Jamek Kuala Lumpur2 tahun lalu. Semoga ada pihak dapat mengadakan polemik dan/atau seminar berkenaan. Mungkin Arkib Negara, mungkin Muzium Negara,  mungkin Jabatan Warisan atau mana-mana universiti yang berwibawa?


1 ulasan:

anakberingin berkata...

alhamdulillah....pencerahan yg baik lahir dari usaha yg tulus murni.. moga moga usaha baik diperkemaskan lagi.. pohon maaf jika timbul perkara yg x baik atau x sedap didengar