Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Thursday, June 27, 2013

Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Sampai ke Makassar setelah 2 tahun menyimpan hajat

Subhanallah. Hampir sebulan setengah lalu saya ada membuat sebuah artikel bertajuk Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Satu pengenalan pagi Jumaat, menceritakan secara ringkas satu perjalanan ke wilayah itu yang dibuat 3-12 Mei. Ketika itu saya masih dalam proses membuat penceritaan perjalanan ke Tanah Arab untuk ziarah dan umrah 1-12 April. Maka cadangnya selepas tamat penceritaan tersebut baru saya akan memulakan cerita lebih mendalam tentang perjalanan ke Tanah Bugis.

Lebih kurang 3 minggu lalu cerita perjalanan Tanah Arab itu pun berjaya diselesaikan. Lihat Ziarah dan umrah 2013 - Dari mula sampai ke tamat.... Namun selepas itu saya terasa begitu malas hendak membuat cerita baru. Selain itu saya rasa wajib menyelesaikan beberapa perkara sebelum dapat menulis tentang Tanah Bugis. 

Hari ini, setelah begitu lama menangguhkannya baru saya mendapat gerak dan kekuatan untuk membuka siri baru. Mungkin ini gerak selepas Nisfu Syaaban yang akan berlanjutan sehingga ke penghujung Ramadhan? Saya rasa ada hikmah tertentu yang saya tak pasti apa. Kena tulis dahulu baru ia akan menjelma...


Jumaat 3 Mei 2013, saya dan isteri bersedia untuk ke luar negara lagi selepas baru 3 minggu kembali dari  ziarah dan umrah di Tanah Arab.


Kali ini kami membawa bersama dua anak kecil kami, Rasyid (kiri) dan Johan yang kami tinggalkan di rumah ibu saudara mereka sepanjang kami berada di Tanah Arab. Nampak tak kerusi roda di belakang?


Tidak seperti biasa, isteri harus memandu kerana saya mengalami kecederaan kaki yang agak serius. Rujuk artikel Car Book Sale, Hari buku sedunia dan kaki terpele'ot  yang ditulis pada hari berlaku kecederaan iaitu 23 April 2013. Sebelum kecederaan saya tidak pernah membenarkan isteri memandu kalau saya ada sama. Tapi bila dah cedera apa boleh buat?


Perjalanan dibuat dari rumah kami di Bandar Tasik Puteri lebih kurang 90 km ke rumah abang sulung isteri di Bukit Changgang. Semenjak setahun dua kebelakangan kami selalu menyimpan kereta di rumah beliau apabila ke luar negara. Dari rumah beliau cuma 16 km ke terminal utama KLIA, 20 km ke terminal tambang murah di LCCT. Abang sulung menghantar kemudian mengambil kami apabila kembali. 


Kami pergi meninggalkan hiruk-pikuk sekitar pilihanraya atau PRU-13 yang hari pembuangan undinya jatuh Ahad 5 Mei. Ketika itu pihak-pihak yang berlawanan sudah lama berkempen untuk memenangkan parti atau sekutu masing-masing, adakalanya hingga menjaja fitnah yang sangat jijik lagi menggusarkan mereka yang berfikiran sihat dan mahukan keamanan. Sungguh ini satu kebetulan yang menepati pendirian kami tidak mahu terlibat dengan sistem demokrasi yang pada kami adalah alat ciptaan Yahudi untuk memecah-belahkan umat. Mana kami tahu  akan berada di luar negara ketika ramai orang berpusu-pusu mahu menentukan siapa yang bakal memerintah negara? 

Mana kami tahu akan berada di Tanah Bugis untuk menjalankan misi tersendiri di kala ramai berebut-rebut untuk menjadi orang berkuasa? Oh. Lupa pula. Selain menyebut nama Tanah Bugis pada  perenggan pertama artikel ini saya harus memberitahu destinasi kami kali ini adalah kota Makassar, pintu masuk ke Tanah Bugis, bandar raya utama di Sulawesi malah kota terbesar di timur Indonesia. Tiket untuk ke situ sudah kami beli sejak awal tahun lagi. Ketika itu tiada siapa pun tahu bilakah PRU-13 akan diadakan.

Jangankan itu. Semasa awal tahun orang masih lagi tertunggu-tunggu dan berteka-teki bilakah pembubaran parlimen akan diumumkan. Bila ini akhirnya berlaku 3 April, saya dan isteri baru sahaja sejam dua sampai di Madinah lalu pergi ke Masjid Nabawi untuk menziarahi makam junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Tempahan untuk ziarah dan umrah telah kami buat lebih awal sebelum mendapatkan tiket ke Makassar. Maka memang telah ditentukan oleh Yang Maha Kuasa kami tidak harus terlibat langsung dalam proses demokrasi yang penuh penipuan ini.

Kalau ikutkan kami juga harus ada saham dalam PRU-13 ini. Seorang daripada ramai abang isteri saya adalah salah seorang calon ADUN atau Ahli Dewan Undangan Negeri di Selangor. Namun saya beritahu isteri, selain mendoakan kejayaan abangnya biarlah kita mengambil sikap berkecuali. Kami tidak ada kepentingan kepartian. Yang kami mahu adalah penyatuan orang-orang Melayu demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara apalagi saya telah menerajui badan longgar tapi agak berpengaruh yang dipanggil HIKMAH, Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman, sejak mengasaskan ia 12 Oktober 2012. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Sebaik sahaja selesai menghimpun barangan iaitu selepas turun dari kereta di LCCT kami berposing sebentar. Kesian isteri, dalam keadaan saya cedera begini beliaulah yang harus mengatur dan mengangkat segala barangan. Ya lah, nak angkat bagaimana sedangkan untuk berdiri pun saya perlu bertongkat kiri dan kanan? Nasib baik ada kerusi roda peninggalan almarhum nenek saudara yang diambil dari rumah seorang makcik di Ampang beberapa hari sebelum membuat perjalanan. Kalau tak lagilah susah hendak bergerak ke mana-mana. 


Kalau ikutkan saya dan isteri masih penat, sangatlah penat. Bayangkan. Sejak mengasaskan HIKMAH kami berturut-turut mengatur acara. Tiga minggu selepas ia diasaskan kami mengadakan acara pertama di Shah Alam 4 November. Tiga minggu kemudian ada acara susulan di Melaka 25 November. Ini diikuti acara ketiga di Lumut, Perak 27 Januari. Awal bulan Mac saya bermotosikal besar seorang diri dalam keadaan demam meredah musim tengkujuh untuk ke Kelantan mengatur penganjuran acara ke-4.

Pada 16 Mac acara tersebut pun diadakan di Kandis, Bachok. Walaupun masih baru acara kami bukan calang-calang. Selain disertai masyarakat awam dari pelbagai peringkat dan taraf hidup kami menghimpunkan cendekiawan bertaraf profesor dan para VIP dari seluruh pelusuk Malaysia malah negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia. Dua minggu selepas acara keempat pula kami ke Tanah Arab 1-12 April.


Di Tanah Arab kami bukan sekadar berjalan kaki dari hotel ke masjid malah ke merata tempat yang bukannya terletak dekat. Lihat sahaja cerita-cerita yang sudah dikumpulkan pada artikel Ziarah dan umrah 2013 - Dari mula sampai ke tamat.... Pada hari pertama di Madinah sahaja saya sudah berjalan kaki lebih 11 km, isteri pula cuma mengikut perjalanan sejauh itu hari kemudiannya. Kalau dicampur berjalan kaki dari hari ke hari campur proses membuat umrah di Mekah itu sendiri selain panjat bukit tinggi yang dipanggil Jabal Nur, entah berapa jauh kami sudah berjalan. Tu yang agaknya menyebabkan kami susah nak baik dari demam yang melanda di Madinah apabila sudah kembali ke tanah air, demam yang sedikit sebanyak menyumbang kepada berlakunya kecederaan kaki yang berlaku 23 April, 11 hari setelah kembali ke tanah air.

OK. Kalau ikutkan pada kecederaan tentu tidak elok untuk saya berjalan lagi. Bayangkan 10 hari selepas retak tulang kaki, kecederaan yang kemudian saya dapat tahu ditambah koyak ligamen, saya mahu ke Tanah Bugis menjejak sejumlah tempat yang ada kaitan tersendiri dengan keluarga. Tempat yang mahu dijejaki bukan dekat. Naik penerbangan sahaja 3 jam. Itu dari KLIA ke Makassar. Kemudian ada kampung halaman tertentu yang saya perlu jejaki dan letaknya 6 jam berkereta dari Makassar.

Namun saya rasa tetap mahu meneruskan perjalanan. Itu adalah antara sebab sebenar saya tidak mahu kaki dibedah masuk besi apabila doktor mencadangkan berbuat begitu, selepas kaki diimbas x-ray 24 April. Kalau mahu dibedah pun mungkin paling cepat 3 hari selepas itu baru dapat dibuat kerana keadaan kaki yang sedang teruk bengkak, perlu menunggu masa untuk surut. Selepas pembedahan pula saya harus menunggu 3 hari lagi sebelum dapat keluar hospital, itupun kalau tiada apa-apa masalah. Kalau ada masalah bagaimana? Sempat ke saya menaiki kapal terbang 3 Mei?


Sesungguhnya saya sudah lama menunggu peluang dan kelapangan untuk Tanah Bugis. Semenjak kembali dari perjalanan ke-5 saya ke Aceh Nov 2011, saya sudah terfikir untuk menurut jejak leluhur di Tanah Bugis. Perjalanan itu adalah yang ke-4 buat isteri, ke-3 buat Rasyid di Aceh. Rujuk artikel Koleksi "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'". Selama lebih 10 tahun saya lebih taksub untuk menjejak leluhur dari belah Aceh. Inilah yang membuat saya kali pertama masuk sana melalui laluan darat dari Medan Januari 2004, ketika ia masih lagi dilanda darurat akibat peperangan antara TNI (Tentera Nasional Indonesia) dan puak pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka).

Perjalanan tersebut kemudian dijadikan latar belakang cerita trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" (terbit 2006-2007). Perjalanan-perjalanan seterusnya lebih banyak abadikan di blogspot. Biar disenaraikan begini :-

a) Perjalanan Jun 2009, kali pertama dibuat bersama isteri dan ketika itu Aceh sudah aman, selepas ia dibuka untuk pertolongan dari luar demi menangani masalah selepas Tsunami 26 Disember 2004. Ketika itu isteri sedang 6 bulan mengandungkan Rasyid.  Ia adalah kali pertama beliau menjejakkan kaki di Aceh. Lihat artikel Koleksi cerita perjalanan Aceh yang lebih teratur.....

b) Perjalanan penghujung Januari 2010, kali kedua bersama isteri, pertama kali bersama Rasyid yang sudah berumur lebih 3 bulan. Lihat Segala macam ragam petualangan Al-Rasyid ke Aceh. Turut ikut sama adalah seorang kawan kami yang merupakan seorang pelakon wanita. Sambil berjalan kami ada membuat rakaman dengan tujuan mahu menerbitkan satu siri rencana sejarah kedatangan Islam.  Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...

c) Perjalanan yang dibuat sebulan selepas perjalanan b). Ini atas tajaan kawan untuk menyambut Maulidur Rasul di sebuah masjid yang dibina beliau. Lihat Maulidur Rasul di Aceh dari mula hingga tamat....

Hampir 2 tahun selepas itu berlakulah perjalanan Nov 2011 seperti disebut di atas. Dalam perjalanan itu kami telah menziarahi maka seorang leluhur yang bernama Daeng Mansur. Baginda adalah orang yang menurunkan Raja-raja Aceh abad ke 18 hinggalah kesultanan Aceh ditamatkan Belanda 1903. Mereka ini disebut sebagai Raja-raja Aceh Dinasti Bugis kerana Daeng Mansur dikatakan berasal dari Tanah Bugis.


Selepas perjalanan Aceh Nov 2011 itu saya ada memberitahu isteri akan ke Aceh lagi cuma SELEPAS menjejakkan kaki sekurang-kurangnya sekali di Tanah Bugis. Biar diberitahu selain Daeng Mansur yang merupakan leluhur saya sebelah ayah, leluhur yang turut memiliki darah Sultan Aceh, Melaka dan Pasai, kami ada seorang moyang yang dikenali sebagai Nakhoda Hitam juga dari Tanah Bugis. Daeng Mansur hidup abad ke 16 Masihi sedangkan Nakhoda Hitam lebih dekat kepada kami kerana muncul di Perak abad ke 18. Dalam salasilah keluarga, hubungan dengan Nakhoda Hitam juga lebih nyata kerana direkodkan sebagai pemegang pertama jawatan Laksamana Raja Mahkota, jawatan yang masih wujud di istana Perak hingga kini tetapi tidaklah sekuat kuasanya seperti dahulu.

Selain itu ayah kepada ibu memang diketahui berdarah Bugis. Rujuk artikel Jejak Bugis di Pontian - Dari Parit Raja ke Parit Betak yang dibuat 4 hari lalu untuk butiran lanjut. Maka ikrar untuk ke Tanah Bugis itu boleh dikira satu "Aku Janji". Selagi tak jejak Tanah Bugis, selagi itu kami tidak boleh ke Aceh lagi. 

Seperti biasa kami pun menunggu peluang tambang murah pesawat muncul di Internet pada harga terendah. Tapi selepas beberapa lama ia tak juga muncul-muncul. Sebaliknya kami terlihat tawaran sangat menarik ke Surabaya. Itu yang membawa kami anak-beranak untuk ke Pulau Jawa Mei 2012, ketika anak kecil kami Johan baru berumur 2 bulan setengah. Lihat Koleksi artikel "Pusing Pulau Jawa". Kiranya kami terbawa untuk menjejak leluhur belah ibu kepada ibu yang berdarah Jawa.

Sekitar itu atau selepasnya kalau tak salah ingatan baru kami mendapat jemputan seorang rakan, seorang profesor dari Makassar agar datang bertandang ke rumahnya. Di sana kami boleh menginap secara percuma dan menggunakan kereta juga pemandunya. Namun kami tetap menunggu jika ada harga terendah seperti biasa kami dapat untuk ke Aceh. Kami terlupa perjalanan ke Makassar adalah hampir atau sekitar tiga kali ganda jauh berbanding ke Aceh, setengah jam lebih lama berbanding perjalanan ke Surabaya. Akhirnya kami harus akur bahawa harga terendah untuk Makassar memang mahal sedikit. Namun kami sekurang-kurangnya sudah ada jaminan tempat penginapan dan kenderaan. 


Maka itulah tiket kami beli awal tahun tidak lama selepas membuat tempahan untuk ziarah dan umrah di Tanah Arab. Sebab itu saya tidak sanggup membatalkan perjalanan walaupun kaki cedera teruk. Kami bukan orang kaya, nak menunggu peluang muncul pun memakan masa tiba-tiba nak batalkan sahaja lalu rugi sejumlah duit yang telah dibayar untuk penerbangan pergi balik. Lagipun selain berjanji dengan kawan di Makassar untuk datang, kawan yang bekerja di Malaysia tapi sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menyambut kami sekeluarga, saya telah berjanji dengan anak-anak mahu membawa mereka berjalan menaiki kapal terbang. Semasa kami di Tanah Arab, hampir 2 minggu mereka ditinggalkan. Perjalanan ke Tanah Bugis ini boleh dikira sebagai penebus masa bersama yang hilang. 

Sekarang hal-hal yang membawa kepada perjalanan telah diluahkan agak panjang lebar bolehlah saya memberikan penerangan tentang beberapa gambar. Pertama, gambar di ruang menunggu. Setelah beberapa lama menunggu tiba-tiba muncul seorang gadis duduk 2-3 kerusi dari saya. Ketika itu isteri sedang berada di bilik air bersama anak. Apabila isteri kembali gadis itu pun menegurnya lalu memulakan perbualan.

Saya pula terfikir apakah dia ini orang Sulawesi Selatan lalu bertanya. Jawabnya tidak, dia orang Malaysia tetapi pernah belajar di Universiti Hasanuddin (UnHas) di Makassar selama beberapa tahun. Cerita punya cerita baru kami tahu gadis bertudung ini seorang doktor muda yang baru 2 tahun tamat pengajian lalu mula bertugas di sebuah hospital di Selangor untuk housemanship atau tempoh pengenalan. Menariknya bidang pengkhususan beliau adalah sakit-sakit berkenaan tulang atau orthopedik. Memang pun masalah kaki saya adalah di bawah pakar orthopedik. Kata beliau UnHas memiliki fakulti perubatan yang baik di mana terdapat ramai juga pelajar dari Malaysia. Salah seorang pensyarahnya adalah antara pakar orthopedik terbaik di dunia.


Itulah gadis yang bergambar bersama kami di luar pesawat. Oleh kerana kami perlu menaiki tangga beliau  menolong membawa tongkat-tongkat saya ke atas. Kerusi roda yang digunakan untuk saya bergerak sendiri dari luar terminal hingga ke tempat menunggu dan bawah pesawat harus diserahkan kepada kaki tangan untuk dibawa masuk melalui jalan lain.  Saya tiada pilihan kecuali meloncat-loncat sebelah kaki sambil tangan memegang railing atau landasan tangga untuk masuk ke pesawat. 

Inilah yang memberikan ilham untuk saya memakai tajuk besar "Terhencot-hencot ke Tanah Bugis" untuk siri ini. Kerana perbuatan serupa terloncat-loncat juga jalan terhencot-hencot harus saya ulangi beberapa kali terutama ketika melawat tempat-tempat. Oh. Saya sebenarnya bernasib baik kerana pesawat cuma separuh penuh. Lalu saya boleh mendapat satu barisan kosong membolehkan saya meletakkan kaki dengan selesa di atas tempat duduk. 

Kalau tak tentu menjadi masalah buat saya kerana tidak cukup ruang. Rasanya ramai sudah tahu bukan bahawa tempat duduk ekonomi dalam penerbangan murah adalah rapat-rapat. Kaki saya sedang disimen separuh (maksudnya simen bahagian bawah, bahagian atas kaki cuma ditutup dengan balutan) sampai ke paras peha. Mana boleh dibengkok-bengkokkan? Kalau dapat satu tempat duduk sahaja, tidak mungkin kaki dapat dimuatkan kerana berlaga dengan tempat duduk hadapan. Apapun kaki seeloknya diletakkan ke atas agar darah dan apa-apa cecair dalaman yang timbul akibat kecederaan tidak tertumpu turun ke bawah lalu menambah bengkak.

Kalau ikut saranan syarikat seperti ditunjukkan di Internet, orang dengan kaki bersimen seperti saya harus membeli satu lagi tempat duduk untuk memuatkan kaki. Manalah saya mampu apalagi tempahan saat akhir  harus dibuat pada harga penuh yang berkali-kali ganda lebih mahal dari harga tawaran murah yang cuma boleh ditempah 2-3 bulan lebih awal? Di atas adalah gambar ketika pesawat mendarat hampir jam 5.50 waktu tempatan. Sebaik sahaja melihat gunung-ganang di luar timbul rasa sayu yang amat sangat sepertimana halnya ketika kali pertama mendarat di Banda Aceh tahun 2009 (perjalanan pertama saya ke Aceh Januari 2004 adalah melalui jalan darat dari Medan). Lihat Flight to Makassar di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Saya bukan sekadar harus terhencot-hencot menaiki pesawat, masa turun di Bandara (lapangan terbang) Sultan Hasanuddin di Makassar pun kena ulang lagi malah lebih teruk. Apa yang berlaku adalah kami telah turun  tangga dari pintu belakang bersama sejumlah penumpang lain. Selepas itu baru kami tahu sebenarnya ada 'belalai' yang menyambungkan pesawat dengan bangunan tetapi melalui pintu hadapan.

Ah. Sebelum mendarat saya ada bertanya petugas apakah di Makassar ada 'belalai'? Mereka kata tak tahu. Kebetulan tempat duduk sebaris kosong yang saya dapat untuk memudahkan letak kaki adalah paling belakang dalam pesawat. Itu yang saya terus ikut penumpang keluar dari belakang apatah lagi isteri, anak-anak dan kenalan baru kami juga keluar dari situ.

Bila dah sampai ke bawah baru kami terlihat 'belalai' di hadapan. Kemudian apabila ditanya pasal kerusi roda kata petugas ia ada menunggu saya dalam 'belalai'! Allah. Laluan untuk penumpang memerlukan kami masuk ke tingkat atas bangunan. Lalu saya tiada pilihan. Harus berjalan bertongkat ke tangga yang kelihatan di kanan gambar kemudian terhencot-hencot terlompat-lompat sebelah kaki naik ke atas. Aduh! Allah sahaja yang tahu bagaimanakah keadaan sakit bercampur penat...


Apapun kami telah selamat sampai ke Makassar. Alhamdulillah pemandu kepada rakan kami sudah siap menunggu begitu juga kawan kepada kenalan baru kami, doktor muda yang menegur di LCCT. Kami pun berpisah arah. Ni posing sebentar sementara menunggu pemandu membawa kereta ke tempat menunggu luar.


Oh. Apabila kami keluar lapangan terbang hari sudah senja. Kelihatan patung gergasi berupa sosok badan dan wajah yang katanya milik  Sultan Hassanuddin, raja dan pahlawan kebanggaan tempatan. Gambar ini diambil jam 6.14 petang waktu Sulawesi Selatan. Untuk pengetahuan waktu di wilayah ini sama dengan di Malaysia sedangkan kedudukan kota Makassar adalah hampir atau sekitar 1,800 km ke timur Kuala Lumpur. Maka itu ia lebih cepat menerima matahari naik juga turun, sejam lebih cepat.


4 comments:

Akal Sari said...

Alhamdulillah... hajat menjejak ke tanah leluhur dipermudahkan laluannya. Walaupun secara zahirnya berdepan kesukaran (kaki bersimen yang menyukarkan pergerakan), namun tercapai jua apa yang dicitakan.

Payah terkandung HIKMAH! Segalanya dilalui dengan tabah.

Radzi Sapiee said...

Alhamdulillah. Salinan buku yang awak beri tu amat membantu, sekurang2 untuk tempat2 di sekitar Makassar dan Goa. Terima kasih ya...

mohd yosdi mat said...

saya teringin juga nk pergi sana,nak lihat tempat leluhur "kita"disana.apa boleh buat,belum ada rezeki lagi loo. .

Riko Adryansyah said...

Assalamualaikum Tuan/Puan.

Salam dari Kita Holidays Travel & Tour Indonesia.
Kalau Tuan/Puan nak melawat ke Indonesia, jangan risau hati sila hubungi :

KITA HOLIDAYS TRAVEL & TOUR INDONESIA
Tour operator & Travel Agency

Apa bila Tuan/Puan ingin melawat bersama family atau rakan-rakan kat Padang - Bukittinggi dan memerlukan kenderaan jangan risau hati, KITA HOLIDAYS INDONESIA menyediakan PAKET TOUR dan PENGKHIDMATAN KENDERAAN dengan harga yang sangat berpatutan, dan dengan driver yang mesra, educated, baik hati,sopan dan sudah lama berpengalaman dalam memberikan pelayanan pada pelancong dari Malaysia. Menjadikan lawatan Tuan/Puan sangat berbaloi dan bermakna.

Contact person :
RIKO ADRYANSYAH

Mobile : +62 813 6565 4104 ( WhatsApp )
E_mail : riko_kitaholidays@yahoo.com