Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Ahad, Februari 13, 2011

Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...

Assalamualaikumwarahmatullahhita'alawabarakatu. Dalam artikel Balik Muar Raya Cina : Perjalanan malam dan bukti kewujudan istana lama? yang dibuat sekitar 24 jam lalu ada disebut tentang video yang sedang dimuatnaik memakan masa 6 jam. Merujuk pula pada siri "Petualangan Al-Rasyid" yang linksnya telah dikumpulkan pada artikel Segala macam ragam petualangan Al-Rasyid ke Aceh 5 bulan lalu. Mereka yang pernah membaca siri itu dan masih ingat sedikit cerita tentu tahu ia merujuk pada perjalanan ke Aceh yang dibuat penghujung Januari 2010 bersama isteri, anak kecil kami Al-Rasyid yang ketika itu berumur 3 bulan setengah dan seorang teman. Apa yang tidak diberitahu adalah selain untuk menziarahi makam-makam lama dan tempat bersejarah kami mahu membuat sendiri satu pilot documentary atau rencana pengenalan untuk dicadangkan pada mana-mana stesyen televisyen yang berminat. Konsep kami adalah menjejak setiap lokasi secara kembara jalanan dan mengaitkan ia dengan keberadaan atau ketamadunan Melayu Islam.

Dengan menggunakan kamera video model lama Sony milik sahabat kami PerpatihTulus atau Zaidi, saya pun bertindak sebagai penyelidik, pengarah dan jurukamera juga penyunting video untuk apa yang dipanggil "Kembara Sejarah Islam Nusantara". Hujung bulan Februari saya, isteri dan anak pergi lagi ke Aceh, kali ini bersama penulis buku "Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu", Suzana Othman dan suaminya Muzaffar. Sekembali dari sana Suzana atau Kak Nana terasa bersemangat untuk cuba membuat dokumentari televisyen sejarah dengan kerjasama kami. Dengan penyertaan adiknya, pengarah drama dan filem terkenal Zulkifli Othman kami pun mula membuat rangkakerja. Setelah melihat pilot documentary "Kembara Sejarah Islam Nusantara", mereka rasa tertarik untuk mengembangkannya. Satu kertaskerja pun mula dibuat dengan kami semua bekerjasama lalu dibawa kepada Finas. Secara umumnya mereka pun suka.

Tidak lama kemudian saya diberitahu Finas tidak lagi berminat. Mungkin saya tersilap dengar tetapi difahamkan ada pihak menegur dan tidak senang dengan konsep kami mengenengahkan makam-makam lama. Selain itu ada juga yang tidak berapa selesa dengan apa-apa usaha yang kelihatan terlalu memperjuangkan Melayu dan Islam. Difahamkan, disebabkan keadaan sosio-politik sekarang, mereka mahu sesuatu yang 'mengharmonikan' sumbangan setiap kaum konon, kiranya atas nama 1Malaysia.

Tak mengapa. Saya tetap percaya konsep "Kembara Sejarah Islam Nusantara" yang awalnya hanya meliputi Aceh tapi dicadangkan akan meliputi setiap tempat yang ada sejarah hebat Melayu dan Islam di Nusantara akan mendapat perhatian yang sewajarnya apabila sampai masanya. Sambil itu teman yang dimaksudkan cuba mencari pihak yang berminat. Hmm... rasanya elok diperkenalkan. Dia yang menjadi hos dalam pilot documentary kami adalah pelakon dan pengacara Sharifah Haslinda.

Baru-baru ini beliau memberitahu saya dan isteri yang beliau telah menunjukkan pilot documentary itu kepada wakil sebuah stesyen televisyen yang sedang meningkat naik atas nama program-program berorientasikan Islam. Menurutnya, setelah melihat rencana itu wakil tersebut kemudiannya menolak. Peliknya tidak lama kemudian Haslinda mendapat tahu stesyen televisyen itu telah menghantar krew membuat penggambaran ke Aceh. Adiknya, pelakon dan pelawak (kini DJ radio juga) Sharifah Shahirah telah melihat hasil yang diterbitkan lalu mendapati isi dan konsepnya serupa dengan "Kembara Sejarah Islam Nusantara".

Difahamkan perkara sebegini adalah biasa dalam dunia penerbitan malah apa-apa bidang. Kertas cadangan yang dihantar tidak diterima atas alasan tidak cukup menarik dan sebagainya tetapi kemudian didapati ditiru dengan sedikit pengubahsuaian. Walaupun sedikit terkilan kami dapat menerima itu sebagai lumrah alam. Lagipun yang penting bagi kami adalah isi dan maksud dapat disampaikan pada orang ramai walaupun bukan terbit dari pihak kami. Yang penting umat di luar sana dapat mengambil manfaat.

Namun kami tidak mahu usaha penat-lelah kami hilang begitu sahaja. Lebih penting lagi, kami tidak mahu jika pada masa hadapan kami berjaya membuat satu siri dengan konsep kami sendiri, orang yang tidak tahu pucuk-pangkal sebenar akan menuduh kami menciplaknya semata-mata kerana konsep kami yang diambil orang telah dipersembahkan oleh mereka lebih dahulu di televisyen. Selama ini saya telah menyimpan video yang dibuat hanya untuk tontonan beberapa kenalan rapat juga digunakan Haslinda untuk mencari peluang mengangkatnya ke persada yang lebih tinggi. Sekarang konsep kami telah pun digunakan orang. Entah bila akan muncul di kaca televisyen kerana hingga sekarang saya belum lagi menonton siaran yang dimaksudkan.

Maka di sini biar dipersembahkan kepada ramai pilot documentary yang kami buat sendiri dengan kamera Sony lama. Kamera model lama milik PerpatihTulus itu terjatuh di akhir penggambaran sehingga rosak lalu jadilah kesan yang pernah ditunjukkan melalui artikel Aura misteri di Aceh? lebih setahun lalu. Pilot documentary ini cuma kurang musik dan suara latarbelakang atau VO (voice over) kerana kami disibukkan dengan banyak kerja lain sehingga tiada masa untuk menyiapkan sepenuhnya. Apapun video sepanjang hampir 30 minit sudah cukup untuk menerangkan konsep. Ini jauh lebih baik daripada mereka yang datang membuat cadangan hanya dengan kertaskerja sahaja...

Biar diberitahu pilot documentary ini agak padat atau compact kerana cuba menonjolkan banyak isi dalam tempoh kurang 30 minit. Kiranya format ini seakan siri buku "Berpetualang ke Aceh" yang kalau dibuat menurut format biasa yang lebih senang diterima mata mungkin akan menyebabkan setiap buku bertambah mukasurat dari 300 menjadi 500. Tapi ini pilot documentary sahaja yang cuba mengenengahkan konsep. Seandainya kami dapat menjadikan "Kembara Sejarah Islam Nusantara" satu siri di televisyen, percayalah saya ada cukup rakaman untuk mengembangkan isi pilot documentary ini menjadi 3 rencana awal yang setiap satunya sepanjang hampir 30 minit.



Sebagai ganti kepada muzik latarbelakang mungkin anda boleh memainkan sendiri muzik kegemaran. Sebagai ganti kepada VO yang perlu untuk menerangkan keadaan apabila tiada dialog dalam video biar diletakkan skrip yang telah disiapkan hampir setahun lalu tanpa apa-apa suntingan. Anda boleh mengikutinya dengan melihat masa (minit dan saat) waktu sesuatu dialog patut dipertuturkan dan memadankannya dengan isi video. Kalau mahu, anda boleh menggunakan ini untuk berlatih membuat VO. Untuk makluman ini adalah artikel ke 808 di sini.

------------------


Skrip VO Aceh


1. Dari airport ke Banda Aceh

a) Dalam perjalanan

2:31
“Perjalanan dari lapangan terbang Iskandar Muda ke Banda Aceh yang merupakan kota utama provinsi Aceh jauhnya seperti perjalanan dari Subang ke Kuala Lumpur.

2:38
“Tetapi perjalanan di sini terasa lebih damai dengan adanya banyak sawah padi yang menghijau walaupun ketika menghampiri kawasan bandar apalagi dengan pemandangan pergunungan di latar belakang.”

b) Stop sebentar di perkuburan massal

2:53
“Dalam perjalanan juga terdapat satu kawasan yang menggamit kenangan pahit ombak besar Tsunami yang melanda Aceh 26 Disember 2004. Peristiwa ini mengorbankan lebih 200,000 nyawa yang tidak berdosa. Setelah beberapa lama, baru semua mayat dapat dikumpulkan. Ini merupakan salah satu tempat mereka disemadikan...”

c) Hadapan sekolah dengan banner Tsunami

3:16
“Peristiwa ngeri Tsunami meninggalkan kesan yang besar lagi dasyat terhadap jiwa masyarakat Aceh. Ramai menganggap ia adalah peringatan dari Tuhan agar mereka kembali menghidupkan syiar Islam sejati yang pernah menyebabkan Aceh dikenali seantero dunia sebagai bumi Serambi Mekah...”

2. Bersedia di Bandar Aceh

a) Hotel lobi

3:33
“Apapun sebelum kita bercerita lebih panjang biarlah check-in di hotel terlebih dahulu...”

b) Jalan keluar ke tempat makan

3:38
“Kemudian kita cari tempat makan”

c) Kedai makan

3:45
“Dah selesai makan baru kita sambung cerita...”




3. Ulee Lheue

(Cari lagu Olelee P. Ramlee, letak kat 3:48)

a) Masjid Baitul Rahim,

4:19
“Selain pemandangan tepi laut yang cantik, di Ulee Lheue juga terdapat masjid lama Baitur Rahim. Masjid yang bangunan asal kayunya sudah wujud sekurang-kurangnya 400 tahun lalu ini merupakan salah satu rumah ibadah di Aceh yang paling teruk dilanda Tsunami 2004. Namun seperti semua masjid bumi Serambi Mekah yang dilanda ombak ganas itu, ia tetap mampu berdiri tegak menjadi satu tanda kebesaran Ilahi”

4. Kembali ke pusat Banda Aceh

a) Selepas shot Sungai Aceh,

4:43
“Sekarang kita kembali ke pusat Banda Aceh”

b)

4:55
“Di satu bahagian sedikit ke timur-laut terdapat satu peninggalan Tsunami yang menjadi semacam kenangan ‘manis’ buat sesetengah pihak”

5:21
“Bot ini menjadi penyelamat sejumlah penduduk yang berlindung di atas...”

5. Makam Syiah Kuala

a) Pantai,

5:25
“Ombak Tsunami turut merubah rupabumi tempatan. Daratan sekitar kuala Sungai Aceh ini dahulu mengunjur lagi setengah kilometer ke laut tetapi ombak ganas menghakis masuk ke dalam.”

b) Makam,

5:35
“Sekarang, mari kita lihat tempat di kuala yang sangat bermakna bagi masyarakat Aceh...”

c)

6:06
“Sheikh Abdul Rauf sangat dihormati kerana menjadi guru agama kepada ramai ulamak besar Nusantara termasuk dari Semenanjung Tanah Melayu. Beliau juga menjadi mufti kerajaan yang menerangkan jalan kepada 4 orang Raja Perempuan Aceh yang memerintah berturut-turut dari tahun 1641 hingga 1699 Masihi. Lalu beliau terus diingati, makam atau kubur beliau sering diziarahi hingga ke hari ini”


6. Ke Lhokseumawe

a)

6.56
“Perjalanan diteruskan keesokan harinya keluar untuk ke satu lokasi di Lhoksuemawe, 270 km ke tenggara Banda Aceh.”

b)

7.03
“Rehat sebentar untuk minum kopi di pekan Saree”

c)

7:15
“Terletak pada ketinggian 1,600 kaki dari paras laut, pekan kecil di lereng Gunung Seulawah Agam ini menjadi satu tempat pelancungan yang tersendiri...”

d)

7:20
“Perjalanan ke tenggara diteruskan...”

e)

7:37
“Setelah berjam dalam kereta sampailah ke lokasi yang dimaksudkan”

7. Makam Sultan Malikus Saleh

a)

8:53
“Setelah beberapa lama sampailah perkhabaran kepada Sharif atau Raja Mekah tentang kemunculan negeri yang bernama Samudera. Baginda pun menghantar satu rombongan kapal untuk memenuhi wasiat Rasulullah lalu mencari raja kerajaan itu...”

c)

10:01
“Sultan ini adalah orang pertama yang dicari rombongan dari Mekah sebaik sahaja sampai ke Samudera. Baginda yang asalnya bernama Merah Silu pun diIslamkan lalu ditabalkan kembali dengan alat-alat kebesaran yang dibawa dari sana. Sejak itu Samudera dan kerajaan kembarnya Pasai yang turut diasaskan baginda menjadi pusat penyebaran Islam ke seluruh Nusantara. Dua kerajaan ini kemudian digabungkan untuk dikenali sebagai Pasai sahaja. Ia terus menjadi pusat utama keilmuan Islam sehingga keSultanan Melayu Melaka yang muncul kemudian turut merujuk kepadanya apabila timbul apa-apa perkara yang tidak dapat diputuskan di Melaka... ”

d) Makam Teungku Peut Ploh Peut

11:01
“Kerajaan Pasai yang bertahan 300 tahun sebelum diserapkan ke dalam Aceh meninggalkan banyak sejarah. Antaranya ialah Makam Teungku Peut Ploh Peut, Makam 44 ulamak yang dibunuh raja kerana menyanggah hasrat baginda untuk mengahwini puterinya sendiri.”

8. Makam Ratu Nahrisyah

a)

11.10
“Kemunculan raja zalim itu menjadi satu titik hitam dalam sejarah Pasai. Namun nama baik kerajaan cepat dipulihkan dengan naiknya kembali raja yang adil. Antaranya ialah seorang raja perempuan yang terkenal...”

b)

11:27
“Ini adalah kompleks pemakaman Ratu Nahrisyah, raja perempuan yang memerintah Pasai pertengahan awal abad ke 15 Masihi. Anak cucu Sultan Malikus Salih ini dikenali sebagai seorang raja yang memerintah dengan penuh kasih sayang dan semangat keibuan. Baginda turut bertanggungjawab meluaskan syiar agama Islam, menunjukkan peranan perempuan sangat dihargai di Pasai. “

c)

11.46
“Kompleks ini turut mengandungi sejumlah makam kerabat diraja dan para pembesar. Turut disemadikan ialah jasad ayahanda baginda katanya bernama Sultan Al-Hidayah ibni Sultan Zainal Abidin”

9. Menghala kembali ke Banda Aceh

a)

12:10
“Perjalanan disambung lagi menghala ke Banda Aceh. Namun sampai ke Biruen, kami belok ke kiri untuk naik ke satu lagi lokasi”

b)

12:21
“Berhenti sebentar melihat sawah di tepian jalan. Bukan apa... seronok melihat orang bertani cara lama...”

c)

12.29
“Perjalanan yang diambil mula mendaki bukit berliku-liku, hampir menyerupai perjalanan dari Tapah mendaki ke Cameron Highlands tetapi lebih jauh. Lokasi apakah yang hendak dituju? Kita sambung cerita setelah sampai nanti!”

10. Danau Laut Tawar, Takengon

a)

12:47
“Sampai dah kita ke lokasi seterusnya Danau Laut Tawar, tasik luas semulajadi di atas pergunungan bahagian tengah Aceh. Tasik dan tanah tinggi sekitarnya juga dikenali sebagai Tanah Orang Gayo, satu sukukaum asli orang di Aceh. Tanah Gayo turut memiliki sejarah lama yang boleh dikaitkan dengan kemunculan kerajaan Pasai, juga Aceh dahulukala. Tetapi buat masa ini biar kita tolak tepi sejarah... kita nikmati sahaja keindahan alam yang ada...”

b) Hotel di Takengon

13:30
“Bermalam di sekitar Danau Laut Tawar merupakan satu pengalaman yang menyegarkan. Di satu tepian tasik terdapat sebuah bandar sederhana besar dan di situlah kami merehatkan badan sambil mengembalikan kekuatan. “

13:45
“Bandar bernama Takengon juga Danau Laut Tawar di hadapannya terletak pada ketinggian 4,100 kaki dari paras laut. Bayangkan sebuah bandar berserta tasik besar 100 kaki di atas puncak Gunung Jerai kebanggaan Kedah, begitulah kira-kira kedudukannya.

11. Turun dari Takengon

a)

13:59
“Puas berehat di Takengon perjalanan turun untuk kembali ke persimpangan di Bireun pun dimulakan. Oh, kali ini kami ingin menunjukkan sesuatu di tepian jalan. Perhatikan dengan teliti kiri dan kanan selain pemandangan pergunungan yang menakjubkan...”

b)

14:23
“Nampak tak apa yang kami maksudkan? Lihat betul-betul...”

c)

14:35
“OK. Kita lihat lebih dekat...”

d)

14:42
“Nampak dah?”

e)

14:46
“Ya, buah kopi. Untuk pengetahuan tanah tinggi naik ke Takengon menghasilkan antara biji kopi Arabika yang terbaik di dunia. Sebuah rangkaian kedai kopi mewah antarabangsa yang berpengkalan di Amerika merupakan salah satu pengguna setianya...”

12. Bireun ke Samalanga

a)

14:55
“Kami melepasi Bireun terus mengambil jalan kembali ke Banda Aceh yang jauhnya masih sekitar 200 km lagi. Sebelum kembali ke Banda Aceh ada 2-3 lokasi yang ingin disinggahi. Setiap satu memiliki sejarahnya yang tersendiri...”

b)

15:06
“Lokasi pertama terletak di kawasan perkampungan di Samalanga, satu jam perjalanan dari Bireun. Selepas melalui sebuah sawah padi sampailah kami tempat yang dituju”

13. Makam Tun Sri Lanang

a)

16:02
“Sejarah menyebut selepas Aceh mengalahkan Johor tahun 1613 seluruh kerabat diraja dan pembesar Johor termasuk Tun Sri Lanang ditawan ke Aceh. Kajian lanjut menunjukkan beliau kemudian diangkat menjadi raja Samalanga yang bergelar Ampon Sheikh. Istana yang masih ada juga masjid berdekatan menjadi bukti kewibawaan beliau”.

14. Ke Masjid Indrapuri

a)

16:22
“Seterusnya kami berkejar ke satu lokasi yang terletak kira-kira 20 km di tenggara Banda Aceh. Lokasi di Indrapuri ini mengandungi satu peninggalan menarik yang mungkin dapat mengaitkan hakikat sebenar agama Hindu dengan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.”

b)

16:44
“Perhatikan dengan teliti. Bahagian asas bawah lokasi yang dibina seluruhnya daripada batu adalah peninggalan candi lebih 800 tahun lalu, ketika masyarakat di sini dikatakan masih menganut agama Hindu.”

c)

16:55
“Bahagian atas daripada kayu pula merupakan masjid yang dibina semasa zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda yang pernah menawan Johor tahun 1613.”

d)

17:05
“Sekarang biar dibuat satu perbandingan di dalam...”

e)

17:17
“Perhatikan. Mihrab dan bangunan asas batu nampak selari dengan bangunan kayu masjid menghadap kiblat. Apakah ini bermakna candi Hindu yang dibina lebih lama dahulu memang menghadap Ka’abah di Mekah? Tak mustahil jika kita tahu agama Hindu sebenarnya berasal daripada syariat Nabi Ibrahim...”

15. Ke Krueng Raya

a)

17:33
“Perjalanan diteruskan ke satu lokasi lain 40 km ke timur Banda Aceh. Lokasi ini menggamit kenangan zaman kegemilangan Aceh dengan angkatan perang besar yang pernah ditakuti kuasa kuffar Portugis dan Belanda juga kuasa-kuasa Barat yang lain.”

b)

18:06
“Ini adalah Teluk Lamreh atau Teluk Lamuri yang pernah menjadi pusat awal kerajaan Aceh 800 tahun lalu.

c)

18:18
“Di sini terdapat makam seorang laksamana perempuan yang disegani, seorang panglima yang pernah memimpin satu angkatan 2,000 orang janda lalu mengalahkan armada Belanda yang cuba menceroboh Aceh...”

16. Makam Laksamana Keumalahayati dan benteng

a) Makam

18:37
“Ada sesuatu yang agak istimewa tentang kedudukan makam di atas lereng bukit. Ia seolah-olah ingin menyatakan laksamana perempuan yang disemadikan bukan sekadar seorang panglima perang malah memiliki kedudukan lebih tinggi di dalam hieraki pemerintahan Aceh. Apapun pahlawan yang dimaksudkan iaitu Laksamana Malahayati atau lebih tepat Laksamana Raja Keumalahayati sudah cukup terkenal dalam sejarah Aceh mahupun sejarah dunia sebagai seorang pemimpin wanita yang berani lagi berjaya dalam menjalankan tugasnya. Selain memimpin armada perang Aceh, beliau juga diamanahkan menjadi pengawal peribadi Sultan juga ketua protokol istana yang mengatur adat-istiadat pada zamannya...

b) Benteng

19:16
“Benteng Malahayati yang terletak kira-kira 2 km daripada makam menggambarkan keberanian sang laksamana perempuan dengan angkatan para janda yang pernah diketuainya. Walaupun apa yang tinggal mungkin tidak seberapa ia sudah cukup untuk menggambarkan betapa wanita juga amat berperanan dalam membina juga mempertahankan sebuah negara berdaulat yang pernah dikenali sebagai bumi Serambi Mekah.”

17. Banda Aceh

a) Taman Putroe Phang dan Pintu Khop

19:35
“Keesokan harinya baru kami kembali melihat lokasi-lokasi bersejarah di Banda Aceh. Misalnya Taman Putroe Phang, mengenangkan kisah Puteri Kamaliah dari Pahang yang dijadikan permaisuri Sultan Aceh. Di sini terdapat satu struktur lama yang dipanggil Pintu Khop, dibina 400 tahun lalu. Ia menjadi pintu utama masuk dari laman istana ke taman permainan diraja... ”

b) Pintu Khop ke Gunongan...

20:04
“Dari Pintu Khop baru puteri Pahang atau Bahasa Acehnyai Putroe Phang pergi ke sebuah struktur khas yang dibina untuknya. Biar diceritakan dahulu... jika penaklukan Aceh ke atas Johor membawa kepada perlantikan Tun Sri Lanang sebagai Ampon Sheikh, penaklukan Aceh ke atas Pahang tahun berikutnya pula menyaksikan Puteri Kamaliah diambil sebagai isteri Sultan Iskandar Muda. Untuk menghiburkan hati isteri yang selalu teringatkan kampung halaman bergunung-ganang sesuatu pun dibina...”

20:40
“Selepas puas bermain air membasuh rambut di pancuran, baru sang puteri naik ke struktur ini untuk berseronok berjemur menghilangkan kebasahan. Inilah dia Gunongan, struktur khas yang dibina Sultan untuk Putroe Phang mengenangkan kampung halaman. Di sebelahnya terdapat Makam Sultan Iskandar Thani, anak Raja Pahang yang menaiki takhta Aceh apabila Sultan Iskandar Muda mangkat 1636.

“Begitulah keterbukaan Aceh dapat menerima anak raja luar. Pada tahun 1580, anak Raja Perak dijadikan Sultan, 1699 seorang Sayyid dari Mekah. Tahun 1727 pula menyaksikan kenaikan seorang bangsawan Bugis.”

18. Muzium Aceh dan Kompleks makam Iskandar Muda

a) Cakra Donya

21:06
“Tidak jauh dari Gunongan terdapat Muzium Aceh dengan loceng raksasa Cakra Donya dipamirkan di halaman. Loceng ini adalah hadiah persahabatan kerajaan Dinasti Ming China yang disampaikan oleh Laksamana Cheng Ho kepada Sultan Pasai 600 tahun lalu. Ia kemudian dialih ke Banda Aceh untuk menjadi salah satu lambang kebesaran kerajaan Aceh, sering dibawa bersama ketika berperang di perantauan...”

b) Rumoh Aceh

21:26
“Turut dipamirkan adalah contoh rumah tradisional Aceh yang dipanggil Rumoh Aceh. Senibina ini dikatakan berasal dari tanah tinggi tempat sukukaum Gayo menetap. Ingat lagi Danau Laut Tawar dan bandar Takengon yang kami kunjungi sebelum ini? Itulah salah satu pusat utama kebudayaan Gayo...”

c) Makam Dinasti Raja Bugis

21.44
“Muzium Aceh yang terletak di tengah bandar nampaknya sengaja dibina berdekatan sebuah kawasan pemakaman diraja. Terdapat di halaman ialah makam 3 orang Sultan Aceh dan kerabat, paling utama adalah makam Sultan Alauddin Ahmad Syah Johan Berdaulat yang memerintah tahun 1727...”

22:07
“Apa yang menarik adalah kenyataan di sisi pemakaman. Lihatlah sendiri... ia menyebutnya sebagai Kompleks Makam Raja-raja Dinasti Bugis!”

d) Kompleks makam Sultan Iskandar Muda

22:19
“Bersebelahan Muzium Aceh pula terdapat kompleks makam Sultan Iskandar Muda, pemerintah agung Aceh yang namanya sudah disebut beberapa kali tetapi baru sekarang kami lawati. Namun pemerhatian terhadap makam dengan bentuk batu nesan yang kelihatan mengundang satu persoalan. Apakah ini cuma makam pertunjukan untuk mengaburi mata musuh? Maklumlah, ada disebut dalam sejarah bahawa sebaik sahaja Belanda dapat menawan Banda Aceh tahun 1873, mereka telah menggali makam lalu membuang isinya ke dalam lautan akibat kebencian yang melampau terhadap orang Aceh yang amat susah dijajah.

“Seharusnya makam seorang pemerintah yang dianggap teragung dalam sejarah Aceh bukan sebegitu mudah dicerobohi apalagi baginda disebut sesetengah pihak sebagai bertaraf wali. Apakah mungkin Sultan Iskandar Muda disemadikan di tempat lain dengan makam di sini cuma sebagai lambang?”

23:00
“Nasib baik dalam kawasan kompleks masih terdapat sejumlah makam diraja yang dapat dipastikan keasliannya sekurang-kurang melalui ukiran lama kepuk dan batu nesan yang tidak dibuat lagi zaman sekarang. Misalnya makam Kandang Meuh...

“Lebih menarik adalah sejumlah makam di sisi lain kompleks. Bentuk kepuk dan batu nesannya lebih terserlah, maklumlah, ia adalah makam keluarga kerajaan yang menempatkan jasad beberapa orang pemerintah dan keluarga abad terdekat.

23:32
“Sayangnya Sultan terakhir yang disebut namanya di sini disemadi kan jauh di luar lingkungan. Itulah Sultan Alauddin Muhammad Daud Syah yang mangkat tahun 1939. Baginda dipaksa turun takhta oleh Belanda. Akibatnya Aceh tidak beraja dan hilang penaungnya hinggalah ke hari ini!”

19. Masjid raya Baitur Rahman

a)

23.53
“Selesai ziarah ke segala macam makam sambil menjejaki sejarah kami pun pergi ke sebuah masjid yang boleh dikatakan ikon utama Aceh. Sebenarnya kami sudah menjejakkan kaki ke sini sejak sampai ke Aceh tempoh hari. Tetapi kami sengaja memaparkannya kemudian...”

24:11
“Selain menjadi tempat beribadah, masjid yang terletak di pusat Banda Aceh ini menjadi tumpuan masyarakat bertemu dan berinteraksi. Di hadapannya terdapat sebuah menara rekreasi yang merupakan bangunan tertinggi di Banda Aceh...”

24:30
“Sekarang mari kita melihat ke masjid...”

24:57
“Bahagian masjid yang kita lihat ini iaitu bahagian tengah dibina kembali oleh Belanda yang membakarnya tahun 1873, setelah berjaya menawan Banda Aceh. Nampaknya mereka hendak melepaskan geram setelah beberapa percubaan awal menaklukinya gagal. Namun mereka berusaha membinanya kembali menggunakan senibina yang dibawa dari Timur Tengah untuk memenangi hati penduduk tempatan yang dijajah. Setelah beberapa lama baru dibesarkan kiri dan kanan dengan kubah tambahan diikuti beberapa perkembangan lain. Itulah bentuk yang boleh dilihat sekarang...”

25:25
“Masjid Baitur Rahman menjadi saksi sejarah panjang kerajaan Islam Aceh. Ia dipercayai telah wujud dalam bentuk kayu yang lebih ringkas seawal 800 tahun lalu, selepas seorang anak raja yang dikenali sebagai Johan Syah mengIslamkan kerajaan Lamuri di Teluk Lamreh, kemudian membuka kerajaan baru dekat di Kandang Aceh. Johan Syah disebut sebagai anakanda Meurah Adi Genali, raja berketurunan Arab yang memerintah kerajaan Linge kebanggaan masyarakat Gayo di Aceh tengah. Kerajaan ini meliputi Danau Laut Tawar tempat kami berehat tempoh hari. Termaktublah satu kaitan sambil rupa masjid berubah menurut zaman.

25:48
“Kerajaan Samudera-Pasai yang diasaskan Sultan Malikus Salih menjadi sebahagian dari Aceh setelah Sultan Ali Mughayat Shah memerdekakan Pasai dari cengkaman Portugis yang menaklukinya sejurus selepas menawan Kota Melaka 1511. Zaman Sultan Iskandar Muda seabad kemudian menyaksikan Masjid Baitur Rahman lebih terserlah, seiring dengan zaman kegemilangan kerajaan.



5 ulasan:

Harleny Abd Arif berkata...

Salaam Radzi...

Agak lama tidak berkongsi pandangan di sini...jadual yg agak ketat dgn tugasan ilmiah menjadi kekangan buat masa ini.

Tamat juga pembacaan saya untuk siri Skrip VO Aceh yang dipaparkan Radzi. Terbayang rentetan perjalanan yang lalu di Bumi Serambi Mekah. Skrip video ini umpama "kembara ilusi" yang membawa saya meneroka semula ke lokasi-lokasi yg pernah dikunjungi.

Semoga segala usaha yang dijalankan beroleh kejayaan...

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam. Terima kasih Harleny. :]

syahir berkata...

oasis ke? xlama lagi jd padang jarak padang terkukur ler penerbit trsebut.

Radzi Sapiee berkata...

Bukan. Tak payah sebut le. Tak pa. Harap mereka dapat kembangkan konsep tu dengan baik dan buka mata orang tentang sejarah Melayu dan Islam. Anggaplah ini kerja Tuhan menyampaikan... :]

Al Mahadaya berkata...

Menurut kitab al Anabaya, bangsa Peringgi merujuk kpd kaum2 di eropah selepas banjir besar dan bukan merujuk kpd Portugis. Jadi, terdpt beberapa penipuan yg dicipta bagi menghilangkan jejak kaum eropah apabila mengaitkan portugis dgn peringgi. Jika kita fahami sebenarnya bangsa eropah ini termasuklah british, belanda, german, dll. Sejarah yg cuba dipadamkan serta di seleweng supaya kejahatan dpt di tutup. Apakah kita akan tunduk di bwh British jika kita ketahui merekalah yg meruntuhkan empayar Malaka?