Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...

Dari artikel Bertungkus-lumus ke Beting Beras Basah

.

Dari artikel Makam Syiah Kuala... dan makam Maharajalela Abdul Rahim...

.

Dari artikel Masjid lama misteri, makam Sultan Abdul Malik dan kubur Birch

-------------------------

-------------------------

Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan siri buku BKA dan DVD.... Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...

Ini pula adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.

-------------------------

Terbaru : Siri novel "Berpetualang ke Aceh" kini boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan pergi ke mukasurat 4. Anda juga boleh taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1, Buku 2 dan Buku 3.

Thursday, October 07, 2010

Al-Rasyid berhari raya : Asbab yang membawa ke makam Raja Melewar dan menjejak makna mimpi lama di Putrajaya

Hmm. Kalau ikut penat dan malas mahu sahaja ditamatkan siri "Al-Rasyid berhari-raya" dengan melompat terus pada apa yang berlaku hujung minggu baru ini, satu majlis makan hari raya terbuka sekolah lama saya, Sekolah Menengah Sains Johor (SMSJ), Kluang yang dihadiri oleh para pelajar dari perintis MCE 1975 (sebelum ditukar menjadi SPM) sehinggalah ke SPM tahun 2000an. Selepas itu bolehlah dimulakan siri baru tentang perjalanan ke Brunei yang dibuat sebelum bulan Ramadhan seperti yang telah dijanjikan dahulu. Namun saya tidak boleh menipu aliran gerak bercerita yang timbul. Saya percaya desakan yang muncul dalam hati ada sebabnya dan Insyaallah akan muncul hikmah seperti ilham baru yang berguna untuk saya juga untuk para pembaca yang dibukakan hati dan kotak fikiran. Maka biar diceritakan apa yang berlaku seterusnya selepas beberapa hari asyik menyambut perkahwinan sepupu seperti disebut dalam dua artikel terakhir siri...

Pagi Isnin 20 September 2010 bersamaan hari raya ke 11, saya, isteri berserta ibu dan bapa meninggalkan rumah di Bandar Tasik Puteri menghala ke selatan. Dalam artikel Al-Rasyid berhari raya : Cabaran majlis nikah seorang sepupu ada disebut akan masalah yang melanda van bapa sehingga memaksa beliau, ibu dan adik saya bermalam Jumaat di sebuah kedai makan di pekan kecil Kota, Negeri Sembilan. Sebenarnya selepas menghadiri majlis persandingan di Taman Tun hari Sabtu bapa telah mendapat panggilan dari Kota mengatakan masalah enjin van telah berjaya diselesaikan di bengkel berdekatan. Van pun diambil... tetapi terpaksa ditinggalkan di rumah adik ipar berdekatan Nilai kerana timbul pula masalah lain kemudian...


Gambar berdekatan makam Raja Melewar di Astana Raja, Negeri Sembilan. Apa yang berlaku hari Sabtu adalah sebaik sahaja mendapat tahu van sudah siap diperbaiki, saya bercadang untuk membawa bapa dan ibu ke bengkel. Kebetulan suami kepada adik bongsu saya yang hadir di majlis persandingan sepupu mahu kembali ke rumah bapanya berdekatan Nilai lalu menawarkan diri untuk membawa mereka ke Kota. Setelah meninggalkan adik bongsu saya dan anak-anaknya di rumah itu, van pun diambil. Ketika mengorak langkah menghala kembali ke utara bapa mendapati lampu van pula tidak hidup malah muncul tanda amaran pada dashboard yang menunjukkan ada kemungkinan masalah lain timbul.

Van pun terpaksa ditinggalkan di rumah bapa kepada adik ipar saya ini. Ibu dan bapa saya terpaksa menaiki keretanya kembali ke Kuala Lumpur di mana kami bertemu kembali di rumah seorang ibu saudara saya di Bukit Damansara.

Malam itu dan malam berikutnya bapa dan ibu tidur di rumah saya. Mereka ikut sama saya, isteri dan anak apabila menghadiri majlis-majlis lanjutan sempena perkahwinan sepupu yang berlangsung sehingga malam Ahad. Pagi Isnin kami mengorak langkah untuk menyelesaikan sama-sekali masalah van. Selepas menghantar anak kecil kami Al-Rasyid ke rumah pengasuh, bapa dan ibu ikut sama ke pejabat isteri di Kuala Lumpur untuk menurunkannya.


Masuk sahaja ke pejabat timbul gerak isteri untuk terus mengikut menyelesaikan masalah van. Dia pun meminta kebenaran untuk keluar sehingga selepas Zuhur. Kami pergi mengambil van yang ditinggalkan di rumah berdekatan Nilai.

Seharusnya selepas itu saya dan isteri boleh kembali ke Kuala Lumpur tetapi entah kenapa saya terasa berat untuk melepaskan ibu dan bapa begitu sahaja. Saya terasa harus menemani mereka hingga ke Kota untuk memastikan mereka selamat dan van tidak menghadapi masalah dalam perjalanan.


Sebenarnya bukanlah van itu tidak boleh berjalan langsung. Masalah lampu tidak hidup ketika hampir gelap petang Sabtu berjaya diatasi bapa yang tahu sedikit-sebanyak tentang kereta tetapi tanda amaran yang timbul di dashboard menyebabkan bapa takut meneruskan perjalanan apabila malam. Bapa takut ada masalah dalaman yang menyebabkan bateri tidak dicas. Kalau dihidupkan lampu dalam keadaan begini takut bateri kehabisan kuasa lalu van boleh terkandas di tengah jalan.

Lainlah siang hari, tak perlu buka lampu. Sekurang-kurangnya bapa yakin boleh sampai ke bengkel di Kota di mana boleh cuba diselesaikan masalah baru yang melanda. Itupun saya terasa harus memastikan mereka sampai ke sana. Maka pergilah kami bersama, saya dan isteri dengan kereta, bapa dan ibu dengan van.


Adapun dalam perjalanan itu berlaku hujan lebat dan sebagainya yang melambatkan perjalanan. Maka kami keluar dari lebuhraya di plaza tol Linggi-Pedas sekitar jam 1 sedangkan isteri saya telah menyebut akan kembali ke pejabat selepas Zuhur, paling lambat pun jam 2. Masalahnya dari tol ke Kota masih ada jarak sekitar 20 km melalui jalan sempit yang dilambatkan lagi dengan kereta-kereta yang dibawa perlahan. Isteri menjadi gelisah menyebabkan saya sendiri terasa tidak selesa lalu terkejar-kejar.


Dalam keadaan terkejar masa itulah saya telah melakukan kesilapan. Kereta-kereta yang dipandu perlahan di hadapan menyebabkan saya sentiasa mahu mencari ruang untuk memotong. Sambil itu saya harus memikirkan van bapa yang mengekori di belakang. Sampai di satu bahagian jalan ke Rembau saya melihat ruang yang sesuai untuk memotong 3 atau 4 kereta di hadapan. Kereta pun dipecut lalu namun sebaik melepasi 2 kereta sudah masuk double-line...


Sambil itu sebuah kereta muncul laju dari arah bertentangan. Saya cuma ada 2 pilihan... samada memperlahankan kereta lalu kembali berada di belakang 2 kereta yang telah dipotong tadi, satu perkara yang sebenarnya mengundang lebih bahaya kerana jika berbuat demikian kereta dari arah bertentangan akan lebih rapat... atau memecut laju memotong satu atau 2 buah kenderaan lagi di hadapan (saya sudah lupa ada 3 atau 4 kereta yang mahu dipotong kesemuanya). Saya memilih tindakan kedua lalu selamat sampai ke hadapan. Ternyata kenderaan paling hadapan yang dipotong adalah sebuah van polis tempatan!


Dipendekkan cerita saya pun ditahan, Kelihatan ada 5-6 orang polis dalam van, mungkin baru kembali dari makan dan seorang yang paling tua pun mula memberikan khutbah. Sementara saya cuba merayu agar dilepaskan sambil menceritakan keadaan yang membuat saya tergesa-gesa sehingga memotong double-line, polis itu berkhutbah agak panjang lalu menyebut bahawa Ops Sikap masih berjalan. Sedangkan mereka bukan sedang membuat operasi dan saya tahu Ops Sikap sudah pun tamat hari Jumaat.

Agak pelik juga tindakan polis yang lebih banyak berkhutbah sebelum memanggil saya keluar kereta ke sisi van untuk menyambung khutbah. Melihat saya masih ditahan bapa pun turun melihat, ketika itulah polis mengeluarkan surat saman. Itupun tidak ditulis terus... ditambah lagi sedikit khutbah sebelum menulis butiran dengan perlahan sambil menyebut perkara ini boleh dirujuk pada polis Bukit Aman. Bila saya bertanya berapa agaknya saman yang perlu dibayar, katanya berapa-berapa pun boleh...

Tidak terfikir pun saya ketika itu bahawa ada kemungkinan dia memberi khutbah lalu membawa saya ke sisi van agar dapat dibuat 'penyelesaian' cara lain. Selepas itu baru isteri saya menyatakan rasa curiga akan tindak-tanduk polis apalagi ketika itu bukannya waktu membuat operasi. Apapun saya akhirnya disaman lalu meneruskan perjalanan bersama bapa dan ibu ke Kota. Kali ini saya tidak membawa laju lagi. Isteri pula membuat keputusan untuk meminta cuti kecemasan kerana tahu tidak akan dapat sampai ke pejabat dalam waktu terdekat...


Alhamdulillah dapat juga saya memastikan bapa dan ibu selamat sampai membawa van hingga ke bengkel di Kota, Negeri Sembilan walaupun dalam keadaan lebat hujan mencurah-curah yang bermula ketika melepasi Rembau. Rasanya saya dapat melihat mereka merasa terharu kerana sudi menemankan hingga ke sana walaupun sehingga mendapat bahana disaman. Saya pula merasa terharu apabila meninggalkan mereka. Memang kebelakangan ini saya terasa semakin sayang pada ibu dan bapa. Maklumlah, dahulu lama bertahun saya asyik bergaduh dengan mereka sehingga lari rumah dan sebagainya... dewasa ini baru saya terasa kembali rapat terutama selepas berkahwin dengan isteri sekarang, apalagi setelah muncul anak kecil kami Al-Rasyid.



OK. Sekarang cerita bab menemani bapa dan ibu ke Kota sudah selesai diluahkan dapatlah diterangkan apa yang berlaku sehingga muncul gambar makam Raja Melewar. Adapun semasa kembali dari berhari raya di Muar seminggu sebelum itu timbul rasa dalam hati isteri saya untuk melawat makam raja yang disebut sebagai pemerintah pertama Negeri Sembilan ini. Ketika itu kami baru melihat makam di Tanjung Bidara yang disebut sebagai makam Daeng Chelak. Lihat artikel Al-Rasyid berhari raya : Sedikit bab politik dan sejarah sambil menjejak legasi Bugis Daeng Chelak.... Namun oleh kerana sudah penat dan hari sudah malam, hasrat itupun dilupakan. Siapa sangka kami akan ke sana selepas menghantar bapa dan ibu ke Kota?




Semasa mendapat tahu van bapa rosak di Kota sehingga harus tidur di kedai makan malam Jumaat isteri saya menyebut mungkin ini akibat 'panggilan' Raja Melewar. Ibu saya mengiyakan sahaja kerana memang dia ada terlihat papan-tanda menunjukkan arah ke makam raja ini sebelum sampai ke Kota (letak makam cuma 6 km dari simpang jalan utama). Selepas menghantar mereka ke bengkel tengahari Isnin kami pun mengambil peluang ke sana. Siapa sangka hari itu juga kami terjumpa sejumlah makam lama tidak jauh dari makam Raja Melewar?





Maka itu dapatlah diatur kembali penceritaan mengikut gambar. Jika pada gambar kedua artikel ini telah disebut bahawa ia diambil berdekatan makam Raja Melewar, maka tidak susah untuk meneka bahawa gambar ketiga adalah di hadapan makam, gambar ke empat di makam itu sendiri. Gambar ke lima di mana kelihatan barisan pokok getah menunjukkan makam-makam lama yang baru ditemui tidak jauh dari situ. Saya sudah ke makam Raja Melewar tidak kurang 5 kali, mungkin hampir 10 kali tetapi tidak pernah menyedari kewujudan makam-makam lain itu. Entah kenapa kali ini baru boleh ternampak. Lihat artikel Makam-makam lama berdekatan makam Raja Melewar (Old tombs close-by to the tomb of Raja Melewar) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).

Biarlah diberitahu juga sejak pertama kali sampai ke makam Raja Melewar lebih 2 tahun lalu hati saya sering menyebut baginda sebenarnya berbangsa Bugis bukannya Minangkabau dari Pagar Ruyung seperti disebut dalam sejarah rasmi yang diketahui ramai. Kalau tak salah ingatan perkara ini pernah diberitahu kepada saya oleh seorang penduduk tempatan dari Linggi atau Rembau sekitar waktu itu. Namun yang lebih saya ingat adalah cerita yang menyebut Raja Melewar tidak diterima di Rembau dan akhirnya dibunuh, katanya kerana zalim dan suka main perempuan, satu cerita yang mungkin boleh menimbulkan kemarahan kerabat diraja Negeri Sembilan.





Saya tidak berani mengesahkan cerita itu. Setakat itulah yang saya ingat maka takut juga tersilap ingatan. Apapun baru ini saya mendapat tahu ada asas untuk menyebut Raja Melewar yang disebut sebagai raja pertama Negeri Sembilan itu memang berdarah Bugis. Menurut cerita yang baru saya dapat memang Raja Melewar yang sebenar berasal dari Pagar Ruyung. Namun semasa dalam perjalanan untuk pergi ke Negeri Sembilan baginda telah diserang di laut oleh satu angkatan Bugis lalu terbunuh. Ketua angkatan itu pula yang muncul lalu mengisytiharkan diri sebagai Raja Melewar. Cukup...

Berbalik pada penceritaan menurut gambar. Selepas menziarahi makam Raja Melewar dan makam-makam lama berdekatan kami pun menghala kembali ke Rembau. Kelihatan rumah tradisional yang ditunjukkan pada gambar ke 6 artikel. Lihat Sebuah rumah lama di Astana Raja (An old house at Astana Raja). Gambar seterusnya pula menunjukkan perjalanan ke Putrajaya. Setelah isteri membuat keputusan untuk membuat cuti kecemasan agar tidak perlu lagi berkejar kembali ke tempat kerja di Kuala Lumpur, saya sekadar memandu santai. Ketika itulah isteri teringat akan seorang abangnya yang baru dimasukkan beberapa hari ke Hospital Putrajaya. Elok juga kami pergi melawat.







Oleh kerana waktu melawat petang bermula jam 4 kami berjalan-jalan dahulu ditempat lain di Putrajaya. Mula-mula melihat bukit kecil di Presint 4 yang dikatakan menjadi pusat sebuah kerajaan ghaib. Lihat artikel lama Artikel ke 535 di sini, jalan di Putrajaya dan kaitan kerajaan lama dengan kerajaan akhir zaman?. Kemudian mahu ke bangunan mahkamah utama yang dipanggil Istana Kehakiman kerana mahu mendapatkan feel atau rasa, semoga dapat menolong menghuraikan dengan lebih tepat makna sebuah mimpi yang berlaku lebih sedekad lalu... apalagi selepas pertama kali sampai ke Masjid Tuanku Mizan atau Masjid Besi dan mendapat tahu ada persiaran jalan kaki yang menyambungkannya dengan Istana Kehakiman (lihat Petunjuk baru tentang kerajaan lama di Putrajaya?), saya menyimpan hajat mahu berjalan kaki ke masjid dari bangunan mahkamah.

Namun kami ketika itu sangat lapar dan tidak tahu jika ada kedai makan berdekatan. Itu yang membuat kami pergi dahulu ke Masjid Putrajaya lalu mengambil sekali gambar kompleks Jabatan Perdana Menteri. Di tepian tasik bersebelahan masjid kami makan sebelum kembali semula ke Istana Kehakiman. Itupun kami nyaris-nyaris membatalkan lawatan kerana masing-masing kepenatan. Mahu sahaja kembali terus ke rumah jika tidak memikirkan selagi perjalanan dari Istana Kehakiman ke Masjid Besi tidak dibuat, selagi itu akan ada satu perkara tergantung sedangkan tempatnya sudah kelihatan di hadapan mata... jika ditunggu lagi belum tentu bila masa lagi kami akan sampai ke Putrajaya untuk menunaikan hajat...








Isteri menunjukkan ukiran besi Al-Rasyid iaitu salah satu Asmaul Husna, nama-nama indah Allah Subhanahuwata'ala yang terdapat pada pintu gerbang masuk ke masjid besi. Walaupun anak kecil kami Al-Rasyid tidak ikut sama dalam perjalanan ini, dia tetap ikut di hati. Lihat artikel baru From Malaysia's Palais de Justice to the steel mosque.

Dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" yang terbit Jun 2006, pada satu bahagian Bab 1 yang ingin memperkenalkan kecenderungan watak utama novel yang diberi-nama Muhammad Al-Aminul Rasyid ada disebut:


Anak muda ini juga mempunyai cita-cita yang agak pelik. Sejak berumur 18 tahun, dia mengidam untuk hidup di dalam sebuah negara berperadaban tinggi dengan rakyat yang sayangkan ilmu. Sebuah negara yang aman, tiada masalah sosial dan jenayah dengan penduduk yang tidak gilakan harta, tidak suka bercakap perkara yang remeh-temeh malah lebih suka berbincang tentang ilmu tinggi, kejadian alam, keTuhanan dan sebagainya. Tidak tahulah bagaimana rupa negara ini tetapi apa yang dapat dibayangkan, suasananya lebih kurang seperti Andalusia, sekarang dalam Sepanyol sekitar Cordova, semasa zaman kegemilangan Islam di bumi Eropah, ketika tokoh Tasawuf Ibnul Arabi masih hidup 800 tahun dahulu.

Memang Andalusia terkenal dengan peradaban keilmuan yang tinggi. Penuh dengan bangunan-bangunan seni dan indah, dihuni pula manusia yang tinggi budi pekerti. Kemasyhurannya mengatasi Baghdad, pusat ketamadunan Islam zaman itu. Peradaban tingginya bakal menjadi contoh yang akan menyemarakkan kebangkitan tamadun Eropah, gerakan yang dikenali sebagai renaissance nanti. Tetapi di manakah hendak dicari negara seperti itu sekarang? Dalam mimpi? Atau angan-angan di siang hari?

Sebenarnya, sejak zaman kanak-kanak lagi Rasyid selalu mengimpikan sebuah dunia utopia yang serba sempurna, seperti Andalusia yang dibayangkannya. Tetapi di ambang dewasa ini, barulah ia menjadi satu cita-cita gila yang menghantui fikiran dan jiwa...


Untuk mereka yang belum tahu, biar diberitahu bahawa watak Muhammad Al-Aminul Rasyid dalam buku dibuat berdasarkan diri dan pengalaman sebenar hidup saya. Nama itu muncul secara tiba-tiba dalam hati ketika menyeberangi Sungai Perak, selepas menamatkan perjalanan pertama seumur hidup menziarahi makam-makam lama iaitu di Perak tahun 2001. Lapan tahun kemudian, setelah kembali berumahtangga lagi (rumahtangga lama runtuh tidak lama selepas ziarah tahun 2001 itu) saya mendapat seorang anak laki-laki. Maka muncullah Muhammad Al-Aminul Rasyid sebagai watak hidup yang sudah terkeluar dari novel...

Pada artikel Artikel ke 535 di sini, jalan di Putrajaya dan kaitan kerajaan lama dengan kerajaan akhir zaman? yang dibuat pada 13 Julai 2009 iaitu tepat 3 bulan sebelum Al-Rasyid lahir, merujuk pada gambar yang menunjukkan Istana Kehakiman ada disebut begini...


Dari Presint 4 kami mengambil jalan besar menghala ke Putrajaya. Kelihatan tersergam gagah dalam perjalanan bangunan mahkamah di atas ini. Terfikir pula saya bahawa bentuk bangunan ini dibuat berdasarkan bentuk bangunan lama yang memang pernah wujud entah di mana dalam dunia Islam. Yang pasti, saya teringat sebuah mimpi lama di mana saya terbang naik ke langit lalu terbentang di hadapan saya sebuah kota tamadun gemilang Islam. Dan bangunan utama dalam mimpi itu yang kelihatan betul-betul di hadapan dan bawah saya hampir serupa dengan bangunan mahkamah ini!


Pada artikel Petunjuk baru tentang kerajaan lama di Putrajaya? yang dibuat 31 Julai 2010 pula disebut:


Bangunan Istana Kehakiman yang ada 3 buah kubah terserlah mengingatkan pada satu mimpi lebih 10 tahun lalu. Dalam mimpi itu saya berdiri seorang diri dalam kegelapan lalu timbul rasa untuk bertakbir. Entah kenapa saya terasa nikmat yang amat sangat semasa bertakbir lalu jasad saya mula terapung naik ke udara. Kelihatanlah sebuah bandar terbentang di bawah dengan bangunannya banyak berkubah. Bangunan paling dekat betul-betul bawah saya rupanya saling tak tumpah seperti Istana Kehakiman!



Sekarang biar diceritakan lebih terperinci mimpi yang berlaku lebih 10 tahun lalu sejujur yang boleh.

Apa yang berlaku adalah pada satu malam, ketika tidur berseorangan di sebuah rumah milik bapa di Kajang saya telah mendapat mimpi 'meluangkan masa' dengan 3 wanita berlainan... pada 3 babak ya, bukan serentak! :] Kemudian saya mendapati diri saya berada pada satu ruang yang kosong, gelap tiba-tiba timbul rasa untuk bertakbir... Allahuakbar... Allahuakbar... sambil bertakbir terasa nikmat seluruh jiwa dan raga yang amat sangat...

Seketika itu juga badan saya mula terapung. Sambil bertakbir sambil merasa nikmat sambil naik ke atas meninggi sehingga terbentang di bawah sebuah bandar yang terasa seperti sebuah kota lama dengan banyak kubah. Yang paling nyata adalah sebuah bangunan dengan 3 buah kubah betul-betul di hadapan bawah saya. Ketika itu saya terfikir mungkin ia sebuah bangunan di Andalusia, tidak terfikir pun akan terjumpa bangunan serupa secara nyata di Putrajaya nanti.

Saya terapung semakin meninggi di atas kota. Tiba-tiba bahagian sulit terasa disentuh 3 kali. Seketika itu juga saya terbangun dari tidur. Peliknya kelihatan satu makhluk berbentuk bayang hitam dengan tubuh langsing seorang perempuan duduk di hadapan atas katil.

Ya. Ini bukan mimpi lagi tetapi kenyataan di hadapan mata. Satu lembaga dengan tubuh langsing perempuan sedang berada memghadap saya. Saya pula terpinga-pinga, nak menyebut: "Siapa kamu?" pun suara asyik tersangkut di kerongkong.

Kemudian terasa tangannya memegang tangan saya. Saya tidak ingat apakah dia telah memegang tangan saya sejak mula. Yang pasti setelah beberapa minit cuba bertanya "Siapa kamu?" dan "Apa yang kamu mahu?" tetapi tidak terkeluar baru saya terasa tangan dipegang. Itupun setelah makhluk ini menyebut: "Marilah!" seraya mengajak untuk ke satu tempat...

Sekali lagi suara tersangkut di kerongkong apabila saya cuba bertanya: "Hendak ke mana?". Namun dalam hati ketika itu memang tersimpan hasrat mahu meninggalkan dunia ini untuk masuk ke dunia lain. Terus saya mendapati roh saya keluar dari badan. Tubuh halus dari pinggang ke kepala sudah bangun menegak meninggalkan tubuh nyata yang masih terbaring di katil, cuma bahagian pinggang ke bawah sahaja yang masih bersatu zahir dan batin.

Dalam pada ada keinginan untuk keluar meninggalkan jasad timbul pula tanda tanya jika saya keluar bolehkah kembali ke dalam jasad. Seketika itu juga roh saya kembali bersatu terbaring dengan jasad... tangan lembaga itu pula masih terasa menggenggam tangan saya.

Lembaga itu berseru lagi "Marilah!" rasanya ada 2-3 kali. Namun saya terus mendiamkan diri. Setelah seminit dua ini berlaku ia pun hilang seperti asap ditiup angin. Selesailah penceritaan tentang mimpi dan pengalaman nyata yang mungkin ada kaitan dengan Putrajaya ini.

Ya Allah ya Tuhanku. Dari jam 10 malam tadi aku berhempas-pulas hingga hampir selepas tengah malam untuk membuat 2 artikel di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan 1 di BERPETUALANG KE ACEH agar dapat dijadikan sokongan untuk apa yang mahu diluahkan pada artikel ini. Sehingga timbul rasa lapar yang amat sangat lalu aku keluar makan seraya merehatkan fikiran, satu perbuatan yang menjadi asbab timbul sedikit perkara kurang enak yang kemudian mengganggu kelancaran kerja. Jam 2 pagi baru aku memulakan artikel ini dan kini masuk 5:30 sampai ke ayat ini. Semoga usaha dan luahanku tidak sia-sia... semoga diberi petunjuk-petunjuk baru yang dapat merungkai kemusykilan yang masih bersarang di dada.

Untuk aku sampai pada luahan di artikel ini, aku harus sahaja menurut rasa menceritakan apa yang berlaku secara jujur sepanjang raya dalam siri "Al-Rasyid berhari raya" ini. Sebelum sampai ke siri ini pula telah diluahkan pengalaman berjalan ke Aceh bulan Januari 2010, kali pertama anak kecilku Al-Rasyid sampai ke sana, melalui siri "Petualangan Al-Rasyid ke Aceh". Ketika menulis siri itu timbul jugak gerak untuk menulis siri lain bertajuk "Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar" secara seling-seli. Seharusnya kemudian aku memulakan siri baru tentang perjalanan ke Brunei yang dibuat sebelum Ramadhan tetapi tergerak untuk memulakan siri "Al-Rasyid berhari raya" ini pula, siri yang pada mulanya dianggap kecil kerana dijangka cuma bakal menjangkau paling kuat pun 4 artikel tetapi kini sudah masuk 7... mungkin memerlukan 3 atau 4 lagi sebelum ia betul-betul selesai.

Ya Allah ya Tuhanku. Semuanya kubuat menurut gerak dengan harapan terlepas apa-apa beban di dada, diberi keringanan untuk lebih kuat dan cergas menangani cabaran hidup serta mendapat jawaban... jawaban yang dapat menolong menyelesaikan persoalan dalam diri sambil menimbulkan faedah kepada yang lain. Dengan ini aku mohon ya Allah, sekurang-kurangnya dapat diterangkan dengan seterang-terangnya apakah makna mimpi yang melibatkan bangunan seperti Istana Kehakiman yang berlaku lebih 10 tahun lalu. Kenapa pula muncul makhluk bertubuh langsing perempuan dan apa makna semua yang berlaku.

Nota: Artikel ini adalah yang ke 743 di blogspot ini. Nombor ini mengingatkan pada tahun 1743 Masihi di mana sejarah negeri Perak menyebut Sultan Muhammad Shah yang cuba merampas takta pemerintahan Perak daripada kekandanya Sultan Muzaffar Shah III akhirnya mengalah setelah dapat memerintah sejak 1742. Sejarah menyebut ketika itu pemerintahan Perak terpecah 2. Sejarah juga menyebut pada tahun 1743, seorang Raja Bugis bernama Daeng Selili telah mengalahkan lanun di Pulau Sembilan sehingga Perak kembali aman.

Memandangkan sejarah rasmi menyebut Sultan Muhammad Shah yang tercatit sebagai Sultan ke 14 Perak disokong oleh Daeng Chelak untuk menyerang kedudukan Sultan Muzaffar Shah III timbul pertanyaan dalam diri saya, apakah ketua 'lanun' yang dimaksudkan adalah Sultan Muhammad Shah? Sekian buat masa ini. Dah masuk Subuh... :]


Tuesday, October 05, 2010

Al-Rasyid berhari-raya : Upacara teh Cina, pengalaman lucu di penthouse dan majlis gilang-gemilang di Shang...

OK.Kita kembali ke cerita raya. Mari... :]




Dalam artikel Al-Rasyid berhari raya : Cabaran majlis nikah seorang sepupu telah diceritakan tentang majlis penikahan seorang sepupu dan majlis persandingan siang harinya. Keesokannya hari Ahad 19 September 2010 pula diadakan upacara teh Cina. Ini kerana sepupu saya ini separuh Cina, bapanya adalah seorang mualaf dari Singapura.


Namun bapanya ini telah berbakti kepada negara Malaysia sekian lama. Setelah menamatkan pengajian di universiti tempatan (Universiti Malaya kalau tak salah ingatan) beliau menyambung pelajaran di University of Harvard, Amerika. Saya tak ingat apakah jawatan yang pernah dipegangnya zaman itu, tapi saya ingat beliau pernah mengepalai Guthrie sebelum menjadi pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia seterusnya Mesdaq. Semua ini adalah badan-badan yang menolong memacu ekonomi negara kita. Beliau juga pernah mengetuai operasi Kuwait Finance House di Malaysia dan sekarang menjadi pengerusi Pantai Holdings.

Kepada yang mengenali beliau secara jujur, beliau dianggap salah seorang paling cerdas dalam dunia pengurusan ekonomi di Malaysia tetapi bagi mereka yang suka bermain politik, nama beliau mungkin kurang digemari. Apapun, saya cuma hendak memberitahu bahawa bapa saudara berbangsa Cina dari Singapura ini adalah seorang yang telah mencurahkan banyak bakti. Beliau pernah dianiaya kumpulan politikus tertentu sehingga lama duduk termangu tidak bekerja di rumah tetapi alhamdulillah dapat juga kembali ke persada.

Di atas adalah gambar isteri saya dan anak kecil kami Al-Rasyid. Kalau ada yang bertanya kenapa saya suka letak gambar isteri dan anak, jawab saya senang je. Blogspot saya... saya punya suka le. Lagipun memang saya sangat sayangkan mereka dan untuk hari raya ini saya suka bercerita pasal keluarga kerana hari raya jadi lebih bermakna apabila bersama mereka. Jadilah kaya atau berkuasa sampai ke mana sekalipun, tanpa keluarga kita sebenarnya adalah orang yang sangat sengsara lagi papa kedana...


Isteri dan anak bersama seorang sepupu lain (bukan anak bapa saudara berbangsa Cina yang disebut tadi). Bapa sepupu ini turut banyak mencurahkan bakti kepada negara. Karier beliau juga pernah cuba dipadamkan oleh pihak tertentu kerana iri hati. Namun hingga kini perkhidmatannya dicari kerana kepakaran yang dimiliki dan diyakini...


Ini pula saya bersama Al-Rasyid yang tidak mahu duduk diam. Saya dah sebut tentang bapa-bapa saudara yang karier mereka cuba dipadamkan kan? Well... karier saya sendiri memang dah lama padam. Heh! Kalau ada sesiapa nak tahu apa yang berlaku, bacalah luahan pengalaman dan perasaan pada artikel Mereka yang menjual agama sehingga sanggup menjatuhkan negara... dan Hati-hati terhadap pengkhianat yang mengaku pejuang agama, bangsa dan negara . Namun apa yang berlaku akhirnya membawa saya untuk menulis siri buku "Berpetualang ke Aceh"... (Hmm. Bahagian ini asalnya cuma nak bercerita pasal upacara teh Cina sahaja tetapi dah terkeluar pula pasal bab karier yang dikacau. Dah tu, saya menulis secara spontan... itu pula yang terkeluar dahulu...) :]



OK. Berbalik pada upacara teh Cina. Oleh kerana sepupu yang baru berkahwin (lelaki) ini bapanya berbangsa Cina, tradisi keluarga sebelah itu mahu dihidupkan. Bukan melanggar akidah pun atau bertentangan dengan Islam. Cuma tradisi ni mungkin agak 'mengerikan' bagi kita yang tak biasa kerana setiap seorang yang dipanggil, orang yang telah berkahwin untuk menerima hidangan teh dari pengantin harus memberi duit paling kurang pun beberapa ratus Ringgit kepada tiap seorang mereka sebelum pengantin pula memberikan sedikit duit kepada saudara-mara yang masih bujang atau anak dara juga budak kecil. Lihat video klip pada artikel My first taste of a Chinese tea ceremony for newly-weds... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Selepas upacara teh kami naik ke penthouse di tingkat 27. Oh, kami berada hotel Shangri-La di tengah bandaraya Kuala Lumpur, juga sering dipanggil sebagai Shang...





Di penthouse berlaku sesuatu yang lucu apabila siapa entah samada sengaja atau tidak telah membuka tirai di ruang tamu lalu kelihatan orang baru turun dari tingkat atas mahu mencuci tingkap... terus tergelak besar mereka yang lebih dewasa...






Kanak-kanak kecil seperti Al-Rasyid pula terus tercegat terpaku lama di lantai. Pelik agaknya melihat apa yang dibuat orang di luar tingkap. Lihat video klip bawah. Lihat juga artikel The antics at the Sharing-La penthouse. :]







Malam itu pula diadakan acara makan malam penuh gemilang di dewan lain hotel Shangri-La...





Isteri saya bersama Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah. Turut hadir adalah isteri Raja Nazrin iaitu Raja Puan Besar Zara Salim Davidson, Sultan Kedah dan Sultanah, Raja Perlis dan Raja Muda berserta isteri masing-masing, Tuanku Najihah (isteri almarhum Yamtuan Jaafar Negeri Sembilan) dan kerabat juga politikus seperti Ali Rustam, Syed Hamid Albar, Anuar Musa, ahli perniagaan dan ramai lagi.

Hmm... entah kenapa saya terperanjat melihat kelibat Tan Sri Saleh Sulong yang pernah menerajui DRB-Hicom selepas Tan Sri Yahya Ahmad terbunuh akibat kemalangan helikopter. Lama tak mendengar berita tentangnya agaknya. Lihat The lavish night reception at Shangri-La. Cukuplah bab perkahwinan sepupu...

Saturday, October 02, 2010

Misteri identiti Raja Ahmad dan berbagai teori...

Gambar batu peringatan merangkap 'makam' Raja Ahmad diambil dari artikel Keadaan terbaru makam Raja Ahmad dan sekitarnya... yang dibuat lebih setahun lalu


Subhanallah. Sudah lama saya tidak menyebut tentang almarhum Raja Ahmad di Perak yang makamnya, sebenarnya sebuah batu tanda boleh dilihat di satu bahagian tepian Sungai Perak antara Teluk Intan dengan Kampung Gajah. Pernah satu ketika dahulu saya agak obses mengkaji perkara berkaitan Raja Ahmad sehingga melakukan pencarian yang dijadikan beberapa buah artikel 4 tahun lalu. Artikel-artikel itu kemudian diletakkan di bawah tajuk "Siapakah sebenarnya Raja Ahmad?" pada sidebar kanan blogspot. Biar diletakkan linksnya di sini...

Mencari Makam Raja Ahmad bahagian 1

Mencari Makam Raja Ahmad bahagian 2

Mencari Makam Raja Ahmad bahagian 3

Selingan Mencari Makam Raja Ahmad...

Sampai bila berpetualang (kira selingan jugalah ini...)

Tok Temong (Selingan terakhir, He! He!...)

Akhirnya! Sambung... Mencari Makam Raja Ahmad bahagian 4

Mencari Makam Raja Ahmad bahagian 5

Habis dah... Bahagian 6 Mencari Makam Raja Ahmad.....

Untuk pengetahuan Raja Ahmad ini disebut sebagai penjaga jin di Beting Beras Basah, kuala Sungai Perak. Baginda ialah ayahanda kepada Sultan ke 23 Perak Sultan Jaafar Muazam Shah (memerintah 1857-1865) sedangkan Sultan Jaafar adalah kekanda kepada Raja Bendahara Alang Iskandar yang merupakan bapa kepada Sultan ke 28, Sultan Idris I (memerintah 1887-1916). Sultan Idris bertanggungjawab membuka Bukit Chandan lalu memecah tradisi lama di mana semua pusat pemerintahan Sultan Perak sebelumnya terletak di mudik kanan Sungai Perak. Salasilah diraja turut mencatatkan Sultan ke 26 Perak, Sultan Abdullah yang memerintah selepas Perjanjian Pangkor 1874 sebelum dibuang ke Pulau Seychelles di Afrika 1877 adalah anakanda Sultan Jaafar.

Malah semua Sultan Perak bermula Sultan Jaafar adalah anak cucu Raja Ahmad dari pihak laki-laki... kecuali Sultan ke 24, 25 dan 27 (Perak mempunyai 34 orang Sultan termasuk Sultan Azlan Shah yang memerintah sekarang). Ini bermakna 9 orang anak cucu Raja Ahmad telah menjadi Sultan dan kemungkinan besar anak cucu baginda akan terus memerintah Perak selagi institusi diraja masih dapat bertahan. Yang menariknya ada salasilah menyebut Raja Ahmad sebagai anak angkat kemudian menantu kepada Sultan ke 19 Perak, Sultan Abdul Malik Mansur Shah (memerintah 1806-1818). Walaupun salasilah rasmi cuba menyebut baginda sebagai anakanda Sultan Abdul Malik, kenyataan yang menyebut baginda sebenarnya menantu telah disahkan ramai pihak lalu saya lebih mempercayai yang ini.

Maka timbul persoalan. Jika Raja Ahmad adalah menantu, apakah sebenarnya asal-usul baginda? Jika baginda bukan darah-daging Sultan Abdul Malik bukankah ini berlawanan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak yang menyebut bahawa Sultan harus dipilih pertama sekali dari keturunan laki-laki Sultan ke 18 (Sultan Ahmaduddin, bapa kepada Sultan Abdul Malik)? Atau undang-undang ini dicipta lama setelah anak cucu Raja Ahmad dapat menaiki takhta dengan nama baginda dinasabkan sebagai anakanda kepada Sultan Abdul Malik, bukannya menantu atas sebab tertentu?

Apapun, nasab keturunan Raja Ahmad mestilah amat berdaulat sehingga anak cucu baginda dapat terus merajai Perak. Walaupun sejarah menyebut baginda sendiri tidak pernah menjadi Sultan Perak, cuma sempat memegang beberapa jawatan raja bergelar di dalam sistem penggiliran takhta Perak lalu turut dikenali sebagai Sultan Muda yang berperanan sebagai pawang diraja, adalah menarik untuk difikirkan kenapa baginda turut dikenali sebagai Sultan Ahmad Johan Berdaulat. Kenapa tidak dipanggil Sultan Muda Ahmad?

Kenapa pula ditambah Johan Berdaulat, satu gelaran besar yang setakat dapat saya lihat cuma pernah dipakai seorang sahaja Sultan Perak, Sultan ke 15, Sultan Iskandar Zulkarnain Johan Berdaulat (1754-1765). Selain itu, gelaran Johan Berdaulat cuma pernah dipakai beberapa orang Sultan Aceh juga kerajaan lama Perlak. Walaupun ada menyebut Sultan Melaka juga turut memakai gelaran Johan Berdaulat, pada saya maklumat yang ada tentang ini kabur. Yang pasti gelaran itu memang dipakai sejumlah Sultan Aceh dan Perlak terutama Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Johan Berdaulat yang memerintah Aceh 1607-1636.

Ketika mula-mula cuba mencari identiti sebenar Raja Ahmad, terbetik juga di fikiran apakah baginda orang yang sama dengan Raja Ahmad ibni Raja Haji ibni Daeng Chelak? Untuk makluman, Raja Ahmad ibni Raja Haji merupakan satu nama besar Bugis terutama di Johor dan Riau. Baginda adalah ayahanda kepada Raja Ali Haji yang menulis kitab Tuhfat Al-Nafis dan dikenali sebagai seorang pahlawan juga orang alim agama. Kemudian saya terbaca ada pihak dari Kerian, Perak mendakwa Raja Ahmad yang dikatakan penjaga jin Beting Beras Basah telah pergi ke Kerian lalu meninggalkan waris. Oh, terlupa hendak memberitahu... sejarah rasmi menyebut Raja Ahmad ghaib selepas jatuh di kuala Sungai Terus berdekatan Sungai Perak. Sebab itu didirikan batu tanda seperti dalam gambar di atas.

Namun pihak dari Kerian itu menyebut baginda tidak ghaib sebaliknya meninggalkan istana kerana kecewa dengan keadaan tertentu. Perkara ini boleh diterima kerana sudah banyak kali berlaku raja atau anak raja meninggalkan takhta dan istana kerana merajuk, kecewa dan sebagainya lalu hidup menyamar sebagai orang kebanyakan sebelum anak cucu menyedari asal-usul sebenar mereka. Cuma yang menjadi persoalan bagi saya adalah dakwaan pihak dari Kerian bahawa Raja Ahmad adalah anakanda kepada Sultan Ibrahim, Sultan kedua Selangor (memerintah 1778-1828). Ia dibuat berdasarkan kenyataan yang disebut dalam kajian salasilah secara ilmiah di website Royal Ark bahawa Raja Ahmad merupakan puteri ke-5 Sultan Ibrahim dan ada berkahwin dengan anak kepada seseorang yang dikenali sebagai Encik Malik.

Mereka seterusnya menyebut Raja Ahmad sebagai panglima perang Selangor yang datang ke Perak untuk membantu Sultan Abdul Malik. Lalu Encik Malik itu disebut sebagai orang yang sama dengan Sultan Abdul Malik. Namun pemerhatian saya terhadap kenyataan di Royal Ark mendapati pihak dari Kerian mungkin sudah tersilap tafsir. Lihat http://www.royalark.net/Malaysia/selang3.htm. Biar saya copy and paste...



5) Y.A.M. Raja Ahmad ibni al-Marhum Sultan Ibrahim. m. a daughter of Encik Malik, Panglima Perang of Selangor.



Apabila diteliti balik aturan ayat ternyata yang dikatakan panglima perang Selangor itu adalah Encik Malik, bukannya Raja Ahmad. Perhatikan ini pula, dari http://www.royalark.net/Indonesia/riau4.htm.



4) Y.M. Raja Haji Ahmad Hitam bin Raja Haji, Engku Haji Tua. b. on the island of Biram Dewa, July/August 1779 (s/o Encik Mariam of Riau). m. (first) Encik Hamida binti Malik, daughter of Encik Malik, Panglima Perang Besar of Selangor. m. (second) Y.M. Raja Hawa binti al-Marhum Sultan 'Ali 'Ala ud-din Shah, fourth daughter of H.H. Paduka Sri Sultan 'Ali 'Ala ud-din Shah ibni al-Marhum Raja Kamboja, Yang di-Pertuan Muda of Riau. m. (third) Encik Khalija binti Dato' Ibrahim, daughter of Dato' Ibrahim bin Dato' Bandar Hasan, Dato' Salawatang of Lingga. m. (fourth) Encik Aisha, daughter of the Temenggong of Indragiri. m. (fifth) Y.M. Raja Ampuk [Empok], daughter of the Yang di-Pertuan of Indragiri. m. (sixth) Encik Fatima. He d. 31st March 1874, having had issue, ten sons and nine daughters.


Untuk makluman, salasilah Riau ini menyebut tentang seorang lagi Raja Ahmad iaitu anakanda kepada Raja Haji ibni Daeng Chelak. Namun di sini, baginda turut disebut sebagai mengahwini seorang anak kepada Encik Malik, panglima perang Selangor.

Untuk pengetahuan, Raja Haji dan Sultan pertama Selangor iaitu Sultan Salehuddin @ Raja Lumu adalah adik-beradik. Maka Raja Ahmad ibni Raja Haji adalah sepupu kepada Sultan Ibrahim ibni Sultan Salehuddin bermakna baginda adalah bapa saudara kepada Raja Ahmad ibni Sultan Ibrahim yang didakwa oleh pihak dari Kerian sebagai Raja Ahmad yang menjadi menantu Sultan Abdul Malik Mansur Shah di Perak.

Rasanya ramai sedia maklum nama Raja Ahmad adalah nama yang sangat general, umum. Maka ia memungkinkan banyak kekeliruan akibat nama yang sama dipakai ramai orang. Dalam kes ini, dapat ditunjukkan bahawa ada seorang Raja Ahmad dengan anak saudaranya juga bernama Raja Ahmad berkahwin dengan adik-beradik anak orang yang sama kerana mereka semua hidup sezaman. Yang pasti, apabila diteliti bapa mertua mereka Encik Malik ADALAH PANGLIMA PERANG SELANGOR, maka beliau adalah LAIN ORANG dengan Sultan Abdul Malik yang merajai Perak. Kecuali ada dalil baru menyebut Sultan Abdul Malik pernah menjadi panglima perang Selangor, satu perkara yang pada saya adalah mustahil memandangkan kedudukan tinggi baginda sebagai anak raja di Perak sebelum menaiki takhta.

Dengan ini cukuplah luahan yang terkeluar dari saya untuk malam ini tentang Raja Ahmad. Saya ada teori tersendiri tentang identiti sebenar baginda yang dapat dikaitkan dengan keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak apalagi gelaran Johan Berdaulat itu sering dipakai Sultan-sultan Aceh dan Raja Ahmad penjaga Beting Beras Basah dikatakan ghaib di kuala Sungai Terus, sempadan utara wilayah di bawah kekuasaan Laksamana. Namun biarlah teori itu yang telah ditahkikkan beberapa orang melalui jalan ghaib disimpan sementara pihak lain mengemukakan pelbagai dakwaan. Mana tahu saya tersilap dan dakwaan mereka tepat? Atau teori saya yang betul maka ia harus terus dirahsiakan agar tidak timbul pergolakan?

Oh. Biar ditambah satu lagi perkara. Ketika cuba mencari maklumat tentang Raja Ahmad saya terjumpa satu maklumat menarik di Intenet. Rupa-rupanya, seorang sepupu kepada datuk saya, Datuk Mohd. Razalli bin Mohd. Ali Wasi pernah menjadi Menteri Besar kedua Perlis (1948-1954) selain Laksamana Perak. Saya juga dapat tahu Menteri Besar pertama sehingga ketiga Perlis adalah dari Perak. Apakah ini ada kena-mengena dengan petunjuk baru yang saya dapat ketika berjalan ke utara bulan Ramadhan bahawa keluarga Sayyid Jamalulail Perlis sebenarnya berasal dari keturunan lelaki atas lelaki yang sampai kepada Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani, bukan dari keluarga Ba' Alawi Hadramaut yang berketurunan Saidina Hussein? :]


Friday, October 01, 2010

Al-Rasyid berhari raya : Cabaran majlis nikah seorang sepupu

Assalamualaikum semua. Sedar tak sedar hari ini Jumaat sudah masuk 22 Syawal. Lewat petang nak masuk 23 Syawal pula baru saya dapat menambah lagi cerita untuk siri "Al-Rasyid berhari raya". Jika 4 artikel terdahulu menceritakan apa yang berlaku pada minggu pertama raya, sekarang kita melompat terus pada minggu kedua.


Jumaat 17 September 2010 bersamaan 8 Syawal, saya bersolat Jumaat di Masjid Kampung Tunku.




Selesai solat Jumaat baru terlihat masjid ini ada faktor 131... kerana terletak di Jalan SS 1/31. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Kampung Tunku, Petaling Jaya di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Sebenarnya saya berada di sekitar ini kerana bertandang di rumah seorang ibu saudara di Taman Aman, Petaling Jaya. Sepupu saya akan bernikah malam itu dan kami sekeluarga sedang bersiap untuk acara.

Seharusnya sebelum jam 6 petang keluarga semua sudah berkumpul untuk majlis doa selamat. Namun majlis terpaksa dilupakan apabila ramai tidak dapat datang awal kerana masing-masing ada hal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu... maklumlah Jumaat itu ramai sudah masuk bekerja sedangkan anak-anak pula telah tamat cuti dan mula bersekolah. Kemudian ada yang menghadapi masalah lain. Misalnya bapa saya yang menjadi ketua rombongan pengantin belum lagi sampai kerana ada masalah kereta.


Berkumpul di Masjid Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur berdekatan rumah pengantin perempuan sebelum melangkah ke sana. Sebenarnya bapa telah mula bertolak untuk ke sini sejak malam sebelumnya iaitu malam Jumaat. Tetapi masalah yang dialami menyebabkan mereka berserta seorang adik lelaki saya yang ikut sama terpaksa bermalam di pekan Kota, Negeri Sembilan.


Mengorak langkah ke rumah pengantin perempuan. Apa yang berlaku ialah van yang dipandu bapa tiba-tiba mati enjin dan tidak dapat dihidupkan. Perkara ini berlaku hampir jam 1 pagi Jumaat. Adik saya ada menghantar SMS memaklumkan masalah. Saya pun menelefon bapa bertanyakan duduk letak perkara.

Kalau ikutkan mahu sahaja saya memandu kereta mengambil mereka semua. Tetapi ini tidak akan menyelesaikan masalah van yang tetap tidak mahu hidup sedangkan untuk saya ke Kota memakan jarak tidak kurang 140 km dan sudah terlalu lewat malam. Bapa meminta pendapat apa yang patut dibuat. Apabila mendapat tahu ada kedai makan berdekatan milik orang Melayu yang masih dibuka saya pun meminta bapa supaya duduk berehat makan, mana tahu selepas itu van dapat dihidupkan?


Rumah pengantin perempuan di Taman Tun cukup dekat dengan kompleks membeli-belah One Utama. Tidak lama kemudian bapa menelefon saya. Katanya tuan punya kedai makan mengajak mereka bermalam sahaja di bilik yang ada di kedai itu dan esoknya bolehlah diuruskan agar van dihantar ke bengkel berdekatan. Alhamdulillah, kami semua dapat menarik nafas lega. Maklumlah siang Jumaat harus bersiap untuk majlis nikah sepupu.

Ikut rancangan asal saya sebenarnya tidak perlu datang ke majlis nikah. Ini kerana pihak pengantin perempuan telah meletakkan syarat agar pihak keluarga kami tidak membawa anak kecil ke majlis sedangkan baik saya mahupun isteri tidak boleh meninggalkan anak kecil kami Al-Rasyid kecuali pada waktu bekerja di mana dia biasa ditinggalkan di rumah seorang pengasuh. Namun disebabkan saya mahu bapa dan ibu bermalam di rumah kami saya harus menghadiri majlis kerana perlu menunjukkan jalan. Maka tengahari Jumaat saya datang ke rumah ibu saudara menunggu bapa, ibu dan adik yang tak juga sampai-sampai.

Gambar di atas menunjukkan sepupu membaca surat syarat selepas nikah. Sebelum pernikahan dilangsungkan, bapa sempat menceritakan kepada semua cabaran yang dihadapi untuk menghadiri majlis nikah ini. Apa yang berlaku, selepas bermalam di Kota bapa, ibu dan adik menunggu mekanik datang tetapi hingga tengahari tak muncul-muncul. Bapa pun menelefon seorang adik lelaki kepada ibu yang turut mahu menghadiri majlis tetapi bertolak lambat sedikit. Adik ibu mengambil mereka di Kota di mana mereka menunaikan solat Jumaat sebelum bertolak ke Lembah Kelang sekitar jam 3.


Al-Rasyid didokong adik bongsu saya pagi Sabtu keesokannya di rumah seorang ibu saudara lain di Ampang. Adik ini dan suami serta 3 orang anak muncul untuk menghadiri majlis persandingan tengahari.

Berbalik pada cerita bapa, ibu dan adik selepas meninggalkan Kota petang Jumaat. Rupa-rupanya timbul masalah lain pula. Sampai di Semenyih, Selangor tiba-tiba cermin kereta adik kepada ibu retak seribu, tak tahulah pasal apa. Terpaksalah kereta dipandu sangat perlahan... itu yang menyebabkan mereka sampai ke rumah pengantin lelaki masuk Maghrib.

Apapun, dapat juga mereka menghadiri majlis nikah. Saya pula terpaksa memanggil isteri datang selepas pernikahan tamat... maklumlah, van bapa terpaksa ditinggalkan di Kota, Negeri Sembilan sedangkan kereta adik kepada ibu pula cerminnya retak seribu, tak dapat lagi dibawa berjalan apalagi waktu malam. Dipendekkan cerita malam itu kami membuat keputusan untuk bermalam di rumah ibu saudara di Ampang kerana lebih dekat untuk menghadiri majlis persandingan tengahari Sabtu. Sebelum berkumpul lagi berdekatan rumah pengantin perempuan siang itu, saya singgah lagi di Masjid Taman Tun untuk bersiap, kali ini bersama isteri dan Al-Rasyid. Lihat Masjid (Mosque of) Taman Tun, Kuala Lumpur.


Saudara-mara mula berkumpul berdekatan rumah pengantin perempuan.


Setelah cukup jumlah kami pun mula berarak.


Saya bersama Al-Rasyid... sesekali berpakaian lengkap seronok juga rasanya...


Yang menarik, kami menggunakan lorong khas pejalan kaki dan basikal. Lihat video klip di bawah...





Rombongan kami memasuki perkarangan rumah.



Sempatlah makan sebelum acara menepung-tawar dimulakan. Lihat The bride's home wedding reception on Saturday.



Isteri saya bersama tetamu kehormat Tun Dr Mahathir selepas majlis tepung-tawar...



Petang sedikit Tun M dan isteri Tun Dr Siti Hasmah mendendangkan satu lagu untuk semua. Lihat video klip bawah...




Ini pula Al-Rasyid bermain-main di kolam ikan di rumah seorang lagi ibu saudara di Bukit Damansara.


Selepas majlis persandingan kami datang beraya di rumah ibu saudara ini. Adik-adik ibu pula bila dah berkumpul ramai mula le buat aktiviti... dah diaorang pun nak menyanyi. Lihat video klip...