Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Rabu, Ogos 29, 2012

Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Cabaran menunggang ke Raub melalui Bukit Fraser

Assalamualaikum warohmatullahi ta'ala wabarakatu. Setelah membuat artikel Koleksi artikel "Pusing Pulau Jawa" pada hari terakhir bulan Ramadhan saya belum lagi mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Bathin kepada pembaca. Hari ini hari ke 11 kita merayakan bulan Syawal rasanya tidak terlambat untuk mengucapkannya. Untuk sedikit perkongsian raya lihat artikel Johan's first Hari Raya dan Second raya when the extended family gathered di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.

OK. Sebelum raya saya ada menulis artikel Akan datang cerita - Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama setelah 9 tahun memberitahu saya ketika itu baru sahaja kembali dari satu pengembaraan baru.   Sedikit pengenalan tentang pengembaraan yang dibuat 22-27 Ramadhan itu telah dibuat dalam artikel tersebut. Hari ini saya rasa sesuai untuk memulakan huraian cerita. Bismillahirrohmanirrahim... :]



Tengah hari Sabtu 11 Ogos 2012 bersamaan 22 Ramadhan 1433. Setelah menyiapkan segala barang yang perlu saya pun bersedia untuk memulakan pengembaraan baru. Adapun punat meter pada motosikal besar saya sudah lama patah lalu tidak boleh direset atau dikosongkan. Maka saya ambil gambar ini untuk mengingatkan bahawa perjalanan dimulakan dengan meter bawah menunjukkan angka 150.6 yang bermaksud 150.6 batu pada motosikal ini, bukan kilometer (motosikal ini ikut style lama).


Allah! Timbul rasa sayu ketika hendak melangkah keluar terutama apabila melihat muka anak kecil saya Muhammad Alauddin Johan yang ketika itu berumur hampir 6 bulan. Sudah disebut dalam artikel pengenalan sejak berkahwin dengan isteri sekarang penghujung 2008, paling lama saya pernah meninggalkan keluarga adalah 3 hari 2 malam. Kini saya mahu mengembara sendirian 6 hari 5 malam...


Namun sebagai seorang lelaki saya harus juga membuat pengembaraan sendirian apa lagi untuk mengambil berkat bulan puasa. Kelihatan saya sudah bersedia dengan motosikal kesayangan yang sudah berumur 15 tahun, jentera berkuasa tinggi yang dibeli setelah cukup duit hasil hampir setahun bekerja sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times 1997, motosikal yang pernah tersadai di Janda Baik akibat kerosakan 2003-2008.


Sebelum motosikal tersadai saya sering mengembara jauh ke merata pelusuk Semenanjung Malaysia. Sejak ia diperbaiki 2008 paling jauh saya pernah membawanya adalah untuk balik kampung di Muar. Lihat muka toya saya ini, muka seorang family man. Dahulu muka ini sering berkitar antara garang bermata tajam seperti hendak menelan orang, sentiasa mahu menang dan menundukkan lawan atau muka tersenyum gatal mengurat perempuan, jika tidak tersenyum angkuh kerana terlebih yakin atas kebolehan sendiri apalagi sering dipandang tinggi orang. Kini saya cuba menyembunyikan dan menahan sebak di dada untuk meninggalkan anak dan isteri walaupun cuma buat beberapa hari.


Dari rumah di Bandar Tasik Puteri motosikal pun meluncur laju ke Rawang terus melepasi Serendah menghala ke Kuala Kubu Baru. Singgah sebentar bersolat di masjid lama Ampang Pecah.

Adapun dalam perjalanan itu saya nyaris-nyaris berpatah balik apabila enjin motosikal tiba-tiba mati sebelum persimpangan ke Hulu Yam. Tak tahulah apa masalahnya. Maklumlah motosikal yang sudah lama tidak dibawa berjalan jauh. Apakah saya sudah terlupa mengisi minyak dan silap menjangka keadaan kerana motosikal ini memang dibuat tanpa meter penanda aras minyak? Kita pula yang kena pandai agak-agak berdasarkan kapisiti tangki 13.5 liter yang ketika penuh boleh membawa hingga ke sekitar 200 km atau lebih, boleh juga menjadi kurang bergantung pada cara kita membawa motosikal, memecut dan sebagainya. 

Tetapi anggaran ini terpakai jika motosikal keadaannya seperti baru. Dalam keadaan sudah berumur 15 tahun dan pernah tersadai 5 tahun, pernah rosak satu karburator hampir sepanjang hayatnya sebelum diganti  elok sekitar tahun 2010, saya tidak dapat membaca keadaan sebenar apa lagi sudah lama tidak dibawa berjalan jauh. Saya terpaksa menolak motosikal berat ini beberapa puluh meter sebelum ada penduduk tempatan bertanyakan apa masalahnya. Saya jawab tak tahu. Mungkin terlupa mengisi minyak. Dia menyuruh seorang anak muda yang kebetulan lalu berdekatan untuk membeli sedikit minyak daripada stesyen lebih kurang 1 km di hadapan sementara kami menunggu di tempat teduh. Peliknya sejurus sebelum pemuda itu kembali motosikal dapat dihidupkan. Aaah...




Apapun saya tetap mengisi minyak yang dibeli sekitar RM5 tadi. Sampai di Kuala Kubu saya mengisi lagi sehingga penuh lalu mendapati bahawa paras minyak ketika enjin mati masih setengah tangki! Maka apakah yang menyebab ia mati tadi? Apakah akibat memecut laju jauh setelah lama tidak berbuat begitu? 

Ah... hampir-hampir saya jadi pengecut apabila terfikir mahu berpatah balik ke Rawang mencari mekanik di tempat biasa saya lalu menundakan perjalanan ke tarikh lain atau membatalkannya terus. Selama bertahun dahulu saya tidak pernah risaukan itu semua namun Allah tetap menyampaikan saya ke destinasi walaupun pernah banyak kali berlaku kes enjin 'batuk' malah mati akibat karburator yang tidak lancar berfungsi. Apakah saya sudah hilang keyakinan terhadap Qada' dan Qadar serta perancangan Ilahi?


Tidak. Saya tidak boleh membiarkan diri ini ragu-ragu. Saya bukan tidak pernah tersangkut seorang diri dalam hutan dan sebagainya baik di negeri orang mahupun di tempat sendiri. Namun tetap saya cekalkan hati atas keyakinan dan tawakal kepada Yang Maha Perancang. 

Saya pernah lebih 5 tahun mengembara merata seorang diri tidur bersepah di masjid dan makam-makam tanpa memiliki apa-apa sumber pendapatan. Saya sanggup ditendang kerja, bercerai dengan anak dan isteri dan dicerca keluarga untuk mencari makna hidup yang sejati. Apakah keyakinan saya sudah luntur setelah hampir 4 tahun hidup selesa berumah-tangga kembali?

Tidak. Saya tidak boleh membiarkan ini. Sebab itulah saya mengambil keputusan untuk mengembara sendirian setelah beberapa lama. Antaranya untuk menghidupkan kembali rasa yakin dan tawakal tersebut, rasa yang tidak boleh didapati jika kita sekadar pandai berbincang dan berteori tentang kehidupan, ilmu kenal diri, ilmu Tasawuf dan sebagainya dalam keselesaan rumah dan pejabat juga di depan komputer. Selepas berpusing-pusing sedikit di pekan Kuala Kubu saya pun meneruskan perjalanan ke empangan Kuala Selangor. Lihat paras air rendah yang ditunjukkan dengan tanah merah. Dianggarkan  paras air sudah turun 25 kaki. Apakah ini berkaitan krisis air yang dikatakan bakal melanda Selangor?


Ini pula gambar di sekitar kawasan air terjun Sungai Chiling beberapa kilometer selepas itu. Kalau tidak memikirkan takut terlepas jadual turun naik Bukit Fraser harus saya turun bermandi-manda (ketika itu saya tak tahu perubahan keadaan di bukit itu).


Jalan semakin berliku menunjukkan pendakian semakin galak menaiki kawasan pergunungan Banjaran Titiwangsa.


Tidak lama kemudian sampailah ke tempat bernama Gap yang boleh dikira sebagai 'pangkal' Bukit Fraser. Ketika itu sudah jam 3.37 petang. Saya dapati tidak ada orang menjaga pondok jalan masuk. Mungkin kerana saya sampai setelah lebih setengah jam jalan dibuka untuk kenderaan mendaki ke atas?


Saya sudah banyak kali naik Bukit Fraser termasuk sekurang-kurangnya 2 kali menunggang motosikal besar. Mereka yang pernah ke sana tentu tahu bagaimana jalan ke atas yang agak sempit itu digilir-gilirkan antara jam tertentu buat kenderaan naik dan turun.


Maka saya agak terperanjat apabila melihat papan tanda menunjukkan ada jalan lain untuk turun. Bukan saya tidak pernah lalu tetapi jalan ini pernah ditutup agak lama akibat selalu sahaja dilanda tanah runtuh. Sehingga apabila kali terakhir saya naik dengan kereta bersama anak-anak dan isteri tahun 2010, kami diberitahu kemungkinan besar jalan yang dibina kurang 10 tahun  ini (kalau tak salah) akan ditutup terus buat kenderaan awam.


Selepas berpusing-pusing sebentar menikmati udara dingin di puncak Bukit Fraser saya pun turun melalui jalan tersebut. Rasanya inilah kali pertama motosikal saya dibawa melalui ini.


Sampai ke pekan kecil yang kalau tak salah ingatan dipanggil Tranum teringat bagaimana ketika kecil-kecil dahulu bapa selalu membawa kami sekeluarga menaiki kereta menggunakan jalan lama Kuala Lumpur-Pahang untuk kembali ke kampungnya di Raub. Jalan yang berliku-liku sering membuat kami pening sambil terhimpit-himpit apabila mengambil selekoh. Seringkali juga kami termuntah apabila tak tahan. Selain itu teringat juga di sekitar pekan ini selalu ada sekatan jalan yang dibuat tentera. Ini kerana sehingga tahun 70an hutan sekitar masih kawasan hitam tempat pengganas komunis beroperasi dan membuat kacau.


Di satu selekoh hampir ke Raub saya berhenti melihat satu bahagian sungai jauh ke bawah. Gambar ini sebenarnya dizoom. Kedudukan sebenar lebih jauh ke bawah. Saya seringkali tertarik untuk berhenti apabila melewati kawasan ini. Sungainya kelihatan seperti memanggil-manggil untuk kita terjun dan mandi.


Ah. Ketika menulis perenggan tadi saya teringat bagaimana kereta yang dipandu bapa boleh terjatuh masuk gaung di jalan yang sama tapi tak pasti di kilometer atau batu mana. Walhal bapa saya seorang yang agak handal mengendalikan kenderaan. Akibatnya kereta yang ketika itu baru sekitar 3 minggu dibeli rosak teruk, terus total loss, tidak boleh diperbaiki dan dipakai. Menariknya ketika itu ibu sedang mengandungkan saya tidak sampai 3 bulan. Mereka sedang menuju ke Raub untuk memberitahu almarhum Tok Chat (ayah kepada ayah) dan Nenek (ibu kepada ayah) bahawa mereka bakal mendapat cucu sulung.

Adapun ayah saya adalah anak sulung, begitu juga ibu anak sulung keluarganya. Saya adalah cucu sulung keluarga sebelah bapa juga sebelah ibu. Walaupun kemalangan berlaku agak dasyat ibu dan bapa tidak cedera malah saya yang masih berupa kandungan kecil terus melekat dengan kuasa Allah. Kini saya memasuki usia 42 tahun, kalau ikut kalender Islam sudah berumur 43 tahun apabila masuk malam tujuh likur 27 Ramadhan. Kalau ikutkan pengalaman hidup sudah berlaku banyak peristiwa di mana saya boleh sahaja mati terbunuh tanpa disedari ahli keluarga.  Tetapi atas sebab tertentu Allah masih memanjangkan umur...


Alhamdulillah akhirnya sampai juga saya ke tujuan utama hari pertama pengembaraan motosikal besar ini iaitu Raub, tempat ayah pernah membesar setelah dia mengikut almarhum Tok Chat dan Nenek berhijrah dari Teluk Intan, Perak. Teringat pula bagaimana saya baru mula hendak mengenali salasilah keluarga ketika Nenek hampir-hampir menghembuskan nafasnya yang terakhir 10 tahun lalu. Teringat bagaimana penghujung 2001 saya telah mendapat satu mimpi tertentu lalu tidak lama selepas itu berkejar menaiki motosikal besar ke rumah Nenek seorang diri untuk menanyakan maksud mimpi tersebut. Kemudian apabila mendapat tahu identiti seorang moyang utama saya pun berkejar ke Perak dengan mengambil jalan dari Raub ke Bukit Fraser lalu bermulalah proses menziarahi makam-makam lama nenek moyang.


Sesungguhnya banyak kenangan lalu bermain di fikiran ketika membuat perjalanan jauh bermotosikal besar pertama setelah 9 tahun ini. Insyaallah saya akan imbau kembali mana yang patut dan difikirkan sesuai dalam siri ini, antaranya perjalanan jauh pertama yang dibuat penghujung 1997, beberapa bulan setelah membeli motosikal itu, setahun setelah saya bekerja sebagai wartawan lalu dipastikan kedudukan dan dibenarkan mengambil cuti. Ketika itulah saya mengambil peluang menglangsaikan semua cuti 28 hari setahun seperti dibenarkan untuk wartawan yang memiliki ijazah universiti. Campur cuti hujung minggu saya akhirnya bercuti lebih sebulan di mana sebahagian besarnya digunakan untuk membuat perjalanan mengelilingi satu Semenanjung Malaysia, separuh daripadanya ketika bulan puasa.

Oh. Sementara belum sampai waktu berbuka puasa di Raub saya mengambil peluang untuk mencari makam seorang tokoh yang baru sebulan dua saya tahu wujud di sekitar itu. Lihat artikel Makam (Tomb of) Raja Billah, Kampung Sempalit di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Walaupun saya bercadang untuk bermalam di rumah almarhum Nenek yang kini dihuni seorang ibu saudara dan suaminya saya rasa mahu berbuka puasa di bandar terlebih dahulu. Saya teringin hendak makan masakan ikan keli asam rong yang nampaknya cuma terdapat di Raub. Alhamdulillah, dapat juga di bazar ramadhan lalu saya pun menunggu waktu di sebelah masjid bandar.


Ketika menunggu itulah turun hujan lebat. Alhamdulillah, Allah telah membenarkan saya mengharungi cabaran hari pertama dalam keadaan cuaca terang dan selesa. Setelah sampai dan selesai hajat untuk menziarahi makam juga mendapatkan makanan idaman, baru hujan turun lebat. Di kala itu saya sudah selesa duduk di tempat yang terlindung selamat... :]



Sabtu, Ogos 18, 2012

Koleksi artikel "Pusing Pulau Jawa"



OK. Pembaca setia blogspot ini mesti sedia maklum bagaimana lebih 3 bulan kebelakangan ini telah digunakan untuk menceritakan perjalanan saya, isteri dan anak-anak pusing ke serata tempat di Pulau Jawa 1-14 Mei 2012. Sempena hari raya Aidil Fitri bakal menjelang biar dikumpulkan links untuk semua artikel berkenaan yang sudah dibuat di ketiga-tiga blogspot saya. Semoga ia menjadi bacaan yang berguna dan menyegarkan pada cuti raya...








































































































102. Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Solo, Kediri, pendopo kerajaan Majapahit dan makam Sheikh Jamaluddin Kubro di Mojokerto

103. Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Hidung lembu di Pasar Turi


Jumaat, Ogos 17, 2012

Akan datang cerita - Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama setelah 9 tahun



Assalamualaikum. Pada akhir artikel Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Hidung lembu di Pasar Turi yang dibuat hari Jumaat, tepat seminggu lalu saya ada menyebut sudah sampai masanya untuk saya mengejar sisa-sisa 10 hari terakhir bulan Ramadhan. Biar diingatkan. Artikel tersebut merupakan penamat bagi siri "Pusing Pulau Jawa anak-beranak" yang mengambil masa lebih 3 bulan untuk diselesaikan. Dengan itu saya pun mengorak langkah untuk satu pengembaraan baru yang sudah dirancang awal bulan...

Adapun sejak berkahwin dengan isteri sekarang penghujung 2008 saya tidak pernah lagi keluar mengembara jauh seorang diri. Kecuali perjalanan-perjalanan kecil yang dibuat dalam tempoh sehari kami selalu sahaja keluar mengembara bersama ke mana-mana, kemudiannya membawa anak bernama Muhammad Al-Aminul Rasyid (lahir 13 Oktober 2009) diikuti Muhammad Alauddin Johan (lahir 17 Februari 2012) sekali. Selain itu saya cuma pernah keluar sendiri untuk membuat kerja misalnya menaiki kereta api hingga ke Hatyai, Thailand dan Tumpat, Kelantan untuk satu projek buku mewah (lihat Akhirnya... keretapi pun menuju destinasi) juga menghadiri acara. Sejak penghujung 2008 paling lama saya berpisah dengan anak dan isteri adalah 3 hari 2 malam untuk menghadiri satu kursus 4  bulan lalu. Lihat Bengkel penulisan buku kanak-kanak dan makam Parameswara di Tanjung Tuan.

Awal Ramadhan timbul rasa bahawa saya harus membuat satu perjalanan jauh sendirian dengan menaiki motosikal besar yang dimiliki sejak tahun 1997. Saya rasa setelah beberapa lama saya harus memperuntukkan beberapa hari dalam bulan yang mulia ini untuk bersendirian dengan Ilahi selain merasa kembali nikmat mengembara menaiki kenderaan kesayangan yang sudah lama tidak dikecapi. Untuk pengetahuan, motosikal tersebut pernah digunakan untuk membuat banyak perjalanan jauh ke merata tempat malah sekeliling Semenanjung Malaysia sehinggalah ia terbengkalai akibat kerosakan tahun 2003. Selepas itu saya tetap rajin mengembara tetapi dengan menaiki kenderaan awam selain hitchike atau menumpang kenderaan orang. Motosikal cuma diperbaiki hingga elok sekitar Ogos 2008 kemudian ditambah beberapa barangan baru bulan berikutnya. Lihat Wajah baru motosikal besarku, tanda satu peralihan zaman?.

Tidak lama selepas motosikal elok saya pun berkahwin dengan isteri sekarang. Bermulalah fasa baru di mana kami sering sahaja keluar mengembara bersama. Antara tempoh motosikal elok sehingga kami berkahwin saya cuma ada membawanya sendirian balik ke kampung di Muar dan berjalan di sekitar itu sahaja. Maka tidak menghairankan jika nanti timbul rasa saya harus mengembara jauh sendiri menaiki motosikal itu, mengembara mencari pengalaman baru sambil mengimbau kenangan pengembaraan-pengembaraan lama yang pernah dilalui bersama kenderaan kepercayaan yang kini berusia 15 tahun.

Asalnya saya merancang mahu keluar sebelum masuk malam Nuzul Quran 17 Ramadhan. Tetapi timbul hal-hal lain yang perlu diselesaikan sebelum saya boleh mengembara meninggalkan keluarga, antaranya kerosakan kereta sehingga perlu dilakukan top overhaul. Saya tidak boleh meninggalkan rumah selagi kereta yang menjadi kegunaan isteri tidak siap diperbaiki. Jumaat minggu lepas, selepas waktu Maghrib baru ini selesai. Sebagai tanda bersedia untuk berjalan saya pun menyiapkan artikel  Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Hidung lembu di Pasar Turi yang gambar-gambarnya telah diletakkan lebih awal petang.

Alhamdulillah, perjalanan dapat dimulakan pada tarikh yang sesuai. Saya keluar hari Sabtu di mana malamnya masuk 23 Ramadhan dengan niat cuma akan kembali 27 Ramadhan iaitu semalam. Biar diberitahu, selain malam pertama di rumah almarhum Nenek di Raub, Pahang saya telah bermalam di masjid Tanah Rata, Cameron Highlands diikuti surau di Kampung Temong, Kuala Kangsar, masjid pekan di Lumut dan masjid Kampung Bahagia di Teluk Intan. Selain singgah di beberapa lagi surau dan masjid saya mengambil peluang untuk menziarahi makam-makam termasuk beberapa yang saya tidak pernah singgah sebelum ini, antaranya makam Tok Sego Aceh di Kampung Pasir Sena, Lambor Kanan dan makam Laksamana Aceh di Kampung Pulau, Lambor Kiri.

Pada awalnya saya risau juga membawa motosikal besar berusia 15 tahun berjalan jauh kerana takut timbul masalah kerosakan di tengah jalan. Ya. Masalah memang timbul apabila enjin tiba-tiba mati tidak lama selepas meninggalkan rumah iaitu selepas Serendah. Hampir sahaja saya berpatah balik untuk mencari mekanik di Rawang kalau tidak kerana mengingatkan azam tidak pernah menyerah dan berpantang undur apabila melangkah. Dengan kuasa Allah tidak lama kemudian enjin dapat dihidupkan kembali. Perjalanan pun diteruskan dengan mendaki dahulu Bukit Fraser sebelum ke Raub. Sedar tak sedar akhirnya motosikal ini dapat menempuh jarak lebih 1,400 km malah dapat memanjat sehingga ke puncak Gunung Brinchang yang terletak pada ketinggian 2,031 meter atau 6,666 kaki dari paras laut.

Antara cabaran yang dihadapi adalah tayar belakang motosikal meletup di Kampung Batu Tiga, dekat Damar Laut, Lumut. Bayangkan. Semasa pengembaraan dimulakan pun tayar dah licin, botak. Tetapi untuk menjimatkan belanja saya sanggup memakainya untuk beberapa tempoh. Pengalaman lalu menunjukkan tayar motosikal itu boleh dipakai sehingga 3 bulan walaupun sudah botak teruk sehingga nampak benang. Cuma  kali ini saya terlebih banyak melalu tempat-tempat lasak agaknya. Selepas keluar dari satu jalan kampung yang penuh batu-batu kasar di Kuala Medang 45 km gitu ke utara Raub hari Ahad saya dapati benang tayar mula timbul di satu bahagian.

Dengan tayar sebegitulah motosikal dibawa mendaki Cameron Highlands melalui jalan baru di Sungai Koyan. Dengan tayar itulah juga ia turun ke Simpang Pulau sebelum berpusing ke Gopeng, Batu Gajah, Papan, pinggir Ipoh hingga ke Sungai Siput mengambil jalan dalam ke Trosor dan Jawang lalu ke Kuala Kangsar. Jadi apalah hendak dihairankan jika ia boleh meletup selepas mengambil beberapa lagi jalan lasak? Insyaallah cerita akan dipanjangkan selepas hari raya. Semoga dengan berkat cerita pengenalan ini dibuat Jumaat teakhir Ramadhan akan timbul semakin banyak ilham dan petunjuk yang berguna nanti. Wassalam... :]


Nota : Selepas solat Jumaat baru saya tersedar. Hari ini 17 Ogos genaplah umur anak saya Muhammad Alauddin Johan 6 bulan. Menariknya dia lahir 17 Februari pun pada hari Jumaat, awal pagi sebelum Subuh...




Jumaat, Ogos 10, 2012

Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Hidung lembu di Pasar Turi

OK. Adapun gambar-gambar artikel kali ini tentang perjalanan Pulau Jawa telah diletakkan pada siang Jumaat 21 Ramadhan. Kini awal pagi Sabtu 22 Ramadhan biarlah saya bercerita. Bersambung dari Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Solo, Kediri, pendopo kerajaan Majapahit dan makam Sheikh Jamaluddin Kubro di Mojokerto.


Pagi Isnin 14 Mei 2012. Rasyid melihat ke luar bilik hotel tempat kami menginap di Sidoarjo, pinggir selatan bandar raya Surabaya.


Tengah hari baru kami semua keluar menaiki bas untuk ke satu kawasan menghampiri pusat bandar raya.


Nama tempatnya Pasar Turi...


Kami ingin mencari buah tangan untuk dihadiahkan kepada keluarga, sanak saudara dan kawan-kawan. Kami diberitahu di sini tempat yang sesuai.


Saya tertarik melihat landasan kereta api terbuka menyeberangi jalan raya hingga lalu menembusi kompleks membeli-belah sini.


Perut pula terasa lapar. Tempat makan yang kelihatan cuma warung-warung tepian jalan ini. Nak tak nak kena hilangkan lapar sebelum mencari barangan.

Namun timbul rasa sangsi melihat hidung-hidung yang rupanya lain macam ini. Hampir saya ingin bertanya apakah orang yang menjual ini beragama Islam? Atau mungkin sahaja memakai tudung tetapi beragama lain seperti pernah diingatkan beberapa orang tentang keadaan di Indonesia? Tapi rasa segan tersilap pertanyaan  boleh mengaibkan orang pula.


Rupa-rupanya semua itu hidung lembu. Nampaknya ia makanan istimewa di sini. Saya tak ingat bagaimana timbul kepastian yang menjual ini semua orang Islam. Bila kami pesan rojak terus mahu disagat hidung lembu untuk dicampurkan. Kami terus menegah. Tak getilah makan hidung lembu. Malah apa-apa jenis hidup pun kami tak makan... setakat termakan hidung ikan bilis ada le...


Ini pula gambar kami menaiki teksi malam hari ke destinasi terakhir kami di Pulau Jawa. Maaf ya. Saya terlupa hendak mengambil gambar keadaan dalam kompleks membeli-belah. Cukuplah diberitahu kami ada membeli sedikit buah tangan termasuk 4 atau 5 belangkon, topi tradisional orang Jawa.


Perjalanan kami di Surabaya hari itu cukup ringkas. Kami harus kembali ke Malaysia menaiki pesawat sekitar jam 8 malam dan teksi membawa kami sampai cukup awal untuk bersantai di lapangan terbang. Kami sudah sangat penat dengan perjalanan 13 hari sebelumnya mengelilingi Pulau Jawa. Kalau tidak kerana membeli buah tangan untuk orang, kemungkinan besar kami tidak akan ke mana-mana.... mungkin sekadar berlegar-legar di sekitar hotel sahaja. 

Semakan melalui Google Earth menunjukkan kami anak-beranak sudah mengembara sejauh lebih 2,318 km keliling Pulau Jawa menaiki pelbagai kenderaan daripada bas, beca, ojek (motor tumpangan), van dan entah apa lagi. Dengan ini siri "Pusing Pulau Jawa anak-beranak" yang penceritaannya sudah memakan tempoh lebih 3 bulan ini ditamatkan. Kami cukup bersyukur kerana berjaya menamatkan misi walaupun membawa anak-anak kecil yang sentiasa perlu dijaga dan dipantau pergerakan dan makan-minumnya.

Semoga pembaca semua terhibur dan mendapat sedikit pengetahuan. Sekarang sampailah masanya untuk saya betul-betul mengejar sisa-sisa 10 hari terakhir bulan Ramadhan. Sekian, wassalam... :]






Khamis, Ogos 09, 2012

Mencari batu nesan Aceh di Negeri Sembilan

Kita pergi ke satu perjalanan kecil yang dibuat hujung minggu lalu.

Sabtu 4 Ogos 2012, mengambil kesempatan atas cuti Nuzul Quran hari Isnin di Selangor kami anak-beranak mengorak langkah ke selatan.


Kami mahu berbuka puasa bersama ibu bapa di kampung di Muar. Seperti biasa kami mengambil peluang untuk singgah di tempat-tempat menarik dalam perjalanan. Misi kali ini adalah mencari batu nesan Aceh di Negeri Sembilan. 


Setakat ini, di negeri ini kami cuma pernah melihatnya di satu lokasi sahaja. Lihat artikel lama Makam Raja Melewar (The tomb of Raja Melewar) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Baru-baru ini kami dapat tahu ada sekurang-kurangnya 3 lokasi lain boleh ditemui dalam lingkungan 7-8 km dari makam Raja Melewar...


Selain itu kami diingatkan akan kewujudan mimbar lama menarik di sekitar ini. Masjidnya saya pernah singgahi sekurang-kurangnya sekali lama dahulu. Tetapi saya tidak berapa mengambil perhatian ketika itu. Sekarang baru hendak melihat betul-betul. Lihat Masjid (Mosque of) Nerasau, Rembau.


Rumah-rumah tradisional di sini juga cantik-cantik...


Dari masjid kami mengambil jalan kampung menyusuri sebuah sungai.


Kami dapat tahu ada kampung yang memakai nama Aceh. Terlihat pula bangunan  ini. Lihat Surau (Small praying hall of) Kampung Pulau Aceh, Rembau.


Di sekitarnya kami dapat merasakan semacam aura yang menenangkan dan mempunyai makna.


Terlihat sebongkah batu di perdu pokok. Apakah ia menandakan wujud makam seorang tokoh dahulukala? 


Nama jalan di sebelah membayangkan di sini pernah ada seorang tokoh yang dikenali sebagai Tok Pulau. Namun batu nesan Aceh yang kami cari berdasarkan maklumat yang diperolehi dari website seorang kenalan yang gigih mengkaji sejarah tersembunyi Negeri Sembilan bukan terletak di sini.


Kami perlu bergerak sekitar 8 km ke lokasi lain...


Setelah mengambil masa berpusing-pusing mencari dan bertanyakan orang alhamdulillah jumpa satu makam. Lihat Makam berbatu nesan Aceh (Tomb with Aceh tombstones), Kampung Tanah Datar, Gadong, Rembau. Adapun gambar ini diambil selepas 6 petang.Walaupun masih ada 2 lokasi yang mahu dijejaki kami terpaksa menundanya ke hari lain kerana harus berkejar kembali ke Muar untuk berbuka puasa bersama keluarga. 


Menariknya meter kereta menunjukkan nombor 131.1 (km) di hadapan makam. Biar diberitahu sejak hari sebelumnya kereta kami menghadapi masalah satu silinder kurang berfungsi lalu kurang daya tujahan ataupun pick-up ketika berjalan. Selepas keluar menuju ke selatan tengah hari Sabtu kami terus berjumpa mekanik yang merupakan saudara isteri di Selayang. Selepas diperiksa dengan teliti dia percaya mungkin ada valve atau injap terbakar.

Kerja membaiki harus memakan masa tidak kurang 3 hari kerana enjin harus dibuka. Oleh kerana sudah berjanji hendak berbuka puasa bersama keluarga di Muar kami bertawakal sahaja berjalan jauh denga enjin sebegitu rupa. Selepas meninggalkan rumah mekanik kami ada mengisi minyak di lebuh raya MRR II. Meter di bawah dikosongkan agar saya dapat menjangka konsumsi yang dijangka meningkat kerana perjalanan enjin yang kurang lancar.

Dari titik itulah meter membawa ke nombor 131.1 di hadapan makam berbatu nesan Aceh di lokasi Rembau ini. Adapun nombor 131 membawa maksud home sweet home buat kami sekeluarga.  Tanpa dirancang artikel Surau (Small praying hall of) Kampung Pulau Aceh, Rembau pula siap dipersembahkan pada jam 11.33 pagi tadi, artikel Makam berbatu nesan Aceh (Tomb with Aceh tombstones), Kampung Tanah Datar, Gadong, Rembau terbit 11.55. Semua nombor ini membawa makna buat kami. Semoga ia  petunjuk kepada suatu keadaan yang lebih baik tidak lama lagi.


Rabu, Ogos 08, 2012

Tapak kota Portugis di Muar?

Beralih sebentar ke Muar.


Tadi saya terlihat kembali sebuah peta lama Muar hasil lakaran Portugis oleh Emanuel Godinho de Eredia tahun 1604. Peta itu menujukkan bentuk dan kedudukan kota Portugis yang dipanggil Fortaleza de Muar. Sesetengah pihak percaya ia dimusnahkan oleh tentera Aceh dalam perang 1629 yang berlanjutan selama 2 tahun, perang yang meratah lokasi-lokasi di sekitar Sungai Muar hingga ke kawasan Bandar Hilir di Melaka sekarang. Kini tidak ada lagi apa-apa kesan yang boleh lihat, tidak seperti Kota A Famosa di Melaka yang pintu gerbangnya masih berdiri megah...



Kali ini saya terasa mahu memadankan lakaran dengan bentuk muka bumi sebenar Muar menggunakan gambar satelit dari program Google Earth. Untuk itu saya harus menyendengkan sedikit gambar. Perhatikan kedudukan huruf N di sudut atas kanan yang menunjukkan arah ke utara ataupun North.


Zoom in. Baru saya tersedar wujud jalan-jalan moden yang kedudukannya boleh dipadankan dengan bentuk segitiga tembok kota lama yang sudah lama tiada.


Zoom in lagi. Sebenarnya ada dua jalan selari yang boleh membentuk tembok timur kota tetapi kita ambil yang lebih pendek.


Nah. Jalan-jalan sebut setelah ditanda merah. Nampak tak persamaan dengan lakaran pada gambar paling atas? Apakah ini kedudukan sebenar kota yang samada sengaja atau tidak 'diabadikan' melalui kedudukan jalan-jalan moden? Hmm...