Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Januari 19, 2012

Hang Tuah dan percubaan memperkecilkan sejarah orang Melayu

Keluar lagi daripada penceritaan perjalanan Medan-Banda Aceh November 2-13 juga perjalanan selatan Disember 10-18 yang membawa ke Pulau Bentan, tempat di mana Laksamana Hang Tuah dikatakan pernah membesar sebelum berpindah ke pusat kerajaan Melaka.



Tak Melayu hilang di dunia...




Assalamualaikum para pembaca yang dihormati sekalian. Hari ini 19 Januari 2012, tarikh yang ada unsur 191 (19/1/2012... lihat 911, 119 dan 191 (Hmm... Apa pula ini?)) saya terasa ingin bercakap sedikit tentang satu perkara yang menggelisahkan kita orang Melayu. Selalunya saya jarang mahu memberi komen atau bercakap tentang isu-isu semasa. Namun dalam keadaan dunia yang terasa semakin meruncing ke arah peperangan besar, dengan Iran menunggu masa untuk diserang, dengan senjata pengubah cuaca milik Amerika yang dipanggil HAARP dipercayai sedang dalam proses dibawa ke tempat tertentu untuk menimbulkan hura-hara lagi demi mengalih perhatian dunia, saya rasa harus bercakap sesuatu yang melibatkan sejarah. Kebetulan lama dahulu saya pernah menulis hal berkaitan yang masih relevan. Maka biar dikongsikan.

Kecuali mereka yang sudah buta hati, marahkan nyamuk kelambu mahu dibakarnya, masyarakat kita secara umumnya sedar bagaimana percubaan menghakis hak-hak Melayu Islam di Malaysia ini semakin galak dipelopori pihak tertentu. Dalam konteks itulah ikon kebanggaan kita, pahlawan tersohor kerajaan lama Melayu Melaka iaitu Hang Tuah diserang dengan mengatakannya berbangsa Cina. Baru ini pula seorang profesor kangkung telah membuat dakwaan di media massa bahawa Hang Tuah tidak pernah wujud kerana tidak disebut dalam rekod-rekod kerajaan Ming Cina. Walhal seperti diketahui pengkaji 'kurang akademik' seperti saya banyak rekod kerajaan Ming telah dihilangkan oleh dinasti kemudian kerana Ming itu adalah kerajaan Islam sedangkan dinasti seterusnya bukan. Dan kita sedia tahu bagaimana sejarah melibatkan Islam itu sering diperkecilkan, didalangi gerakan besar Yahudi Zionis dalam rangka kerja mereka untuk menakluki dunia, seperti digariskan dalam dokumen syaitan Protocols of the Elders of Zion.

Pada saya dakwaan bahawa Hang Tuah tidak wujud mungkin mengandungi strategi serampang dua mata oleh musuh. Bagi kami yang mengaji serba sedikit hal-hal ghaib, keberadaan sebenar Hang Tuah merangkumi banyak rahsia yang merupakan kekuatan sebenar orang Melayu. Dalam keghairahan untuk membuktikan kepada orang-orang 'akademik' seperti profesor kangkung itu mereka yang tidak sedar mungkin sanggup menggali jauh pelbagai perkara lalu didedahkan kepada umum. Dengan itu tahulah musuh akan beberapa hal strategik melibatkan bangsa kita. Dapatlah mereka menggerakkan fasa seterusnya untuk memastikan Islam tidak dapat bangkit daripada Timur seperti disabdakan Nabi Muhammad SAW untuk akhir zaman.

Strategi kedua pula adalah untuk menjatuhkan sejarah Melayu buat selama-lamanya. Kita sedia tahu bahawa sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus untuk SPM bermula tahun 2013 dan saya faham ini dibuat agar bangsa keturunan pendatang sedar akan duduk letak perkara supaya tidak terus menuntut yang bukan-bukan sehingga menafikan hak orang Melayu sebagai penduduk asal di Malaysia seperti yang banyak berlaku semasa Pak Lah menjadi Perdana Menteri dan menantunya dapat menentukan hala tuju yang kelihatan begitu menjaga kepentingan musuh. Pada awalnya para cendekiawan bukan Melayu cuba menepis usaha untuk menjadikan sejarah subjek wajib lulus. Tetapi apabila tidak berjaya, mereka menukar taktik. Biar sejarah dijadikan subjek wajib lulus tetapi ia haruslah sejarah yang menonjolkan peranan bangsa bukan Melayu dalam membina Malaysia sambil memperkecilkan hak orang Melayu.

Kita sedia tahu bangsa bukan Melayu cuma mula dibawa berbondong-bondong masuk ke Tanah Melayu oleh Inggeris selepas Perjanjian Pangkor 1874. Apa yang tidak diceritakan, ini dilakukan untuk memecah komposisi penduduk bumi ini. Selepas perang Perak-Inggeris 1876 yang tercetus akibat pembunuhan residen pertama Inggeris di Perak J.W.W. Birch banyak bandar-bandar asal orang Melayu dihancurkan, bandar-bandar baru yang berpaksikan kaum pendatang seperti Taiping pula dibina dan dinaikkan. Hakikatnya bangsa lain ini tidak ada kepentingan untuk memajukan Tanah Melayu. Mereka bekerja keras untuk mengaut keuntungan sendiri sahaja sedangkan di negara asal mereka yang sangat sarat penduduk, mereka tidak dipandang. Tetapi dengan campur tangan dan galakan Inggeris mereka dapat maju sementara hak orang Melayu untuk maju disekat dan mereka dipinggirkan di kampung-kampung.

Sehingga tahun 1957, bangsa pendatang dan anak cucu mereka masih dikira sebagai rakyat Inggeris... sehinggalah kita diberi syarat, kalau mahu merdeka perlulah menerima mereka sebagai warga negara. Bangsa bukan Melayu ini dapat maju dan jadi kaya raya akibat hampir seabad polisi Inggeris mahu menjatuhkan orang Melayu dan Islam. Saya tak mahu bercerita panjang sehingga melibatkan apa yang berlaku pada 13 Mei 1969 juga bagaimana boleh terbitnya DEB atau Dasar Ekonomi Melayu. Pada mereka yang sedar akan keadaan sebenar orang Melayu memang patut ditolong dan diberi kelebihan terus-menerus kerana tanah ini memang asal hak kita. Inggerislah yang memanipulasikan keadaan sehingga kita jauh ketinggalan lalu perlu menerbitkan polisi tertentu untuk mencapai keseimbangan yang patut.

Sebaliknya kaum tak sedar diuntung ini merasakan duit mereka, cukai yang dibayar, sistem perniagaan mereka yang berjalan sekian lama sehingga dapat berakar-umbi di seluruh negara dan membesar melangit itulah yang kononnya memajukan negara semata. Walhal mereka mampu membuat semua itu akibat polisi Inggeris yang melebihkan mereka sambil memaksa kita terus ke belakang. Dengan infrastuktur awal yang diwujudkan penjajah bangsa bukan Melayu dapat meloncat jauh ke hadapan lalu memonopoli perniagaan dan perusahaan utama negara. Apabila ada syarikat Melayu cuba memecah monopoli mereka akan cuba menghancurkannya. Lihat sahaja kes roti Gardenia yang telah dibeli Bernas. Apabila Gardenia tidak mahu lagi membeli tepung membuat roti daripada seorang hartawan Cina beliau terus membuat jenama roti baru untuk bersaing. Sambil itu iklan dibuat dalam suratkhabar Cina agar membeli rotinya dan memboikot Gardenia atas alasan ia milik kroni (baca yang tersiratnya : kepentingan orang Melayu). Sampai begitu sekali...


Tuan-tuan dan puan-puan. Sejarah kerajaan Melayu dan kewujudan Hang Tuah menunjukkan kita sebenarnya sudah lama maju. Orang kita telah pergi ke serata dunia dan kita memang pandai berniaga, sebelum penjajahan mengubah segalanya sehingga dikatakan orang Melayu buat jarum pun tak tahu. Mengatakan Hang Tuah tidak wujud adalah usaha untuk menafikan kemampuan sebenar kita. Kalau penafian ini berjaya, seterusnya sejarah Melaka pula akan diperkecilkan. Ini dibuat supaya kurikulum sejarah dapat diolah agar bermula dengan kedatangan berbondong-bondong orang bukan Melayu selepas 1874. Hal ini sama seperti kurikulum sejarah Singapura di mana Stamford Raffles dikatakan 'menemuinya' 1824. Seolah-olah pulau itu tidak pernah diduduki orang dan sangat mundur sebelum itu. Walhal kita tahu kerajaan lama Singapura yang diperintah Sang Nila Utama wujud lebih awal sebelum kerajaan Melayu Melaka.

Ah. Tadi nak bercakap pendek sahaja tapi dah jadi panjang. Tak mengapa. Biar artikel ini disambung dengan sedutan daripada bab pembukaan buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" (terbit November 2007), bab yang ditulis hampir 7 tahun lalu. Biar ditandakan bahagian-bahagian tertentu agar lebih mudah membacanya...



MUKADIMAH:
SEDIKIT CATATAN MENGENAI
TARIKH
DAN
PERISTIWA
YANG BERCANGGAH
Satu ketika dahulu, pertengahan bulan Rejab, semasa penulisan asal buku “Berpetualang ke Aceh” hampir separuh siap (sebelum dipecahkan kepada tiga jilid), ayah angkat Rasyid, Pak Syed pernah masuk ke bilik tempatnya menulis di pejabat mereka di Gombak bertanyakan perkembangan terbaru penulisan buku. Alhamdulillah jawab pemuda itu, sudah 50 peratus siap… Dia telah merancang untuk meletakkan 29 bab termasuk mukadimah dan penutup, kerana gerak hatinya menyuruh memilih jumlah ini. Dan ketika itu, 15 bab telah pun berjaya disiapkan.
Ayah angkatnya berpesan: “Buatlah elok-elok. Kamu tu ada pelajaran tinggi, ada standard. Jangan ikut macam aku, tulis main ikut sedap sahaja, ikut sukahati apa yang aku rasa. Aku tingkatan tiga pun tak lepas...”
Jawab Rasyid: “Alah ayah, saya tak kisah pun samada saya ada pelajaran tinggi atau tidak. Pada saya tidak ada bezanya. Sama sahaja...”
Pak Syed menegur: “Eh tak boleh begitu! Kamu ada ijazah Matematik daripada London. Kena ingat itu. Penulisan kamu mestilah lebih logik, tak boleh menulis sembarangan seperti orang sastera yang tak perlu berfikir masuk akal ataupun tidak. Setiap yang kamu tulis mesti ada backing fakta yang kuat. Mesti jaga reputation kamu sebagai graduan Matematik!”
Rasyid terdiam sejenak. Memang suatu masa dahulu dia mempunyai reputation, sedikit nama sebagai seorang wartawan sebuah akhbar harian terkemuka berbahasa Inggeris yang berpusat di ibukota. Pemuda ini telah diajar bahawa setiap penulisan, setiap rencana dan artikel mesti mempunyai sokongan fakta kukuh yang boleh dipertanggungjawabkan secara ilmiah... Kerana ia akan dibaca beratus ribu, mungkin berjuta orang manusia!
Sebagai satu-satunya wartawan tanah-air yang diketahui memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang Matematik, anak kelahiran Muar, Johor ini juga mesti menunjukkan kebolehan yang setimpal dengan kelulusan dan taraf pemikirannya. Boleh dikatakan rata-rata wartawan lain jika mempunyai ijazah adalah di dalam bidang yang berkaitan dengan bahasa dan kesusasteraan. Kalau lain sedikit pun dalam bidang perundangan. Ramai yang tidak memiliki kelulusan tinggi kerana ini bukan keutamaan dalam bidang kewartawanan. Pendek kata, susah mahu mencari wartawan berkelulusan tinggi di dalam bidang sains apalagi Matematik, satu subjek yang paling kurang disenangi pelajar-pelajar Melayu di Malaysia.
Lagipun sejak kecil Rasyid dilatih berfikir secara logik. Latarbelakang Matematik yang memerlukan pemikiran kritis, berisi dan tajam pula memberikan pemuda itu kelebihan untuk menghuraikan sesuatu perkara sehingga ke akar umbi, di kala kebanyakan wartawan menemui jalan buntu... Atau tidak terlintas di benak fikiran mereka pun ada lagi perkara yang boleh digali mengenai sesuatu peristiwa untuk dibuat bahan berita.
Walaupun anak kelahiran Muar, Johor ini kemudiannya diletakkan ke meja sukan kerana perangainya yang suka berpakaian santai ke tempat kerja, dia mampu mengarang artikel-artikel harian yang melangkaui skop biasa liputan sukan. Lalu keadaan politik semasa, perancangan ekonomi negara dan wawasan Malaysia menuju taraf negara maju dapat dianalisa dan disatukan bersama karangan mengenai sesuatu acara sukan menjadi artikel padat yang boleh mendapat tempat di ruangan pojok pengarang.
Contohnya, di kala kebanyakan wartawan sukan sibuk membincangkan kehangatan dan kemeriahan yang bakal timbul apabila Malaysia buat pertama kalinya menjadi tuan rumah sukan lumba kereta Formula One di Sepang tahun 1999, Rasyid pula telah menganalisa kesan dan faedah acara besar ini untuk merancakkan pertumbuhan industri automobil, juga perolehan teknologi kejuruteraan tinggi demi melompatkan Malaysia menjadi negara maju seperti yang diimpikan dalam Wawasan 2020.
Di kala ramai mengkritik pembinaan litar-lumba antarabangsa Sepang yang menelan belanja hampir RM300 juta, juga kos penganjuran Malaysian Grand Prix yang memakan belanja berjuta Ringgit lagi sebagai projek gajah putih yang tidak membawa faedah, pemuda itu pula berjaya menghasilkan sebuah artikel sukan yang menyenarai serta menghuraikan kesan jangka panjang acara tersebut terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia, baik dari segi perkembangan industri permotoran, kesan penganjuran perlumbaan sebesar itu kepada golongan belia, juga faedahnya terhadap sektor perkhidmatan seperti perhotelan dan pelancungan. Sedangkan analisis sebegini biasanya cuma mampu dihasilkan wartawan perniagaan ataupun mereka di meja berita nasional yang jauh lebih berpengalaman.
Kelulusan Rasyid dalam bidang Matematik memberikannya sedikit kelebihan untuk melihat dan melangkaui sesuatu perkara jauh dari kebiasaan. Semuanya kerana kemampuan berfikir tinggi yang disokong latihan dalam kaedah analisis menggunakan prinsip-prinsip logik yang diterima-pakai pengajian sains. Tetapi dia tidak boleh terlalu berpegang kepada logik dalam menulis bukunya mengenai Aceh... Kerana separuh daripada perkara yang ingin diketengahkan melangkaui logik dan pemikiran akal biasa hingga ke tahap ‘gila’! Hingga ke tahap yang tidak layak disandarkan kepada mana-mana manusia yang mengaku mempunyai pendidikan tinggi apalagi di dalam bidang Sains dan Matematik. Contohnya kisah-kisah berkaitan para wali yang melibatkan perkara karamah juga beberapa cerita yang lebih senang dianggap sebagai legenda. Dan sesetengah ‘fakta’ yang dibongkar adalah dengan secara tidak sengaja, dengan mendapat ilham, mimpi serta alamat dan petunjuk menurut ‘gerak hati’.
Rasyid juga menggunakan cerita-cerita lama yang masih dipegang dan diyakini orang tertentu... Cerita-cerita yang rasanya memang tidak boleh diterima para pengkaji atau sejarahwan yang mengagung-agungkan kaedah ilmiah seperti yang disokong dokumentasi dan bahan bukti yang diterima umum. Pemuda ini ada sebab tersendiri untuk mengemukakan cerita-cerita sebegini, sekurang-kurangnya supaya ia tidak akan terkubur di telan zaman. Maka itu, hendak tidak hendak, dia terpaksa melangkaui logik akal biasa jika mahu menceritakan sejarah berkenaan bumi Aceh dan perkara berkaitan seperti yang terbuku dalam hati... Walaupun ia boleh menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang berpelajaran tinggi yang memiliki ijazah Matematik dari London seperti diingatkan Pak Syed.



Akal logik vs. pemikiran bersumberkan ghaib


Suatu masa dahulu Rasyid juga kurang percaya terhadap perkara-perkara ghaib kerana terlalu menyanjung tinggi logik serta cara pemikiran rasional. Pemuda ini cuma mahu percaya apa yang dapat dibuktikan dengan lima pancaindera zahir, atau istilah ilmiahnya empirical science - ilmu Sains yang terbukti apabila sesuatu percubaan kajian ataupun eksperimen boleh diulang kembali dan dibuktikan hasilnya dengan konsisten di mana-mana makmal di mukabumi... Atau apa yang dapat dibahaskan di dalam dunia pemikiran mengikut hukum logik akal yang berasaskan apa yang dikenali sebagai Aristotlelian Logic, kaedah mencari kebenaran sesuatu perkara mengikut cara pemikiran ahli falsafah Yunani purba terkenal, Aristotle.
Anak Melayu jati ini pernah memandang remeh sejarah bangsa sendiri yang mengandungi banyak cerita-cerita pelik tidak masuk akal. Seperti kebanyakan anak berpendidikan Barat, Rasyid turut mempersoalkan kewujudan Hang Tuah... Apakah ia cuma satu mitos yang dicipta untuk menaikkan semangat orang Melayu yang hilang arah apabila dijajah? Sebagai orang yang kononnya telah mengkaji berbagai jenis sistem politik dan yakin terhadap sistem demokrasi, pemuda ini pernah mempersoalkan apakah relevannya sistem beraja. Lalu dia juga terperdaya dengan dakyah Barat yang mendakwa Raja-raja Melayu kononnya berasal daripada lanun yang mendapat kuasa dan takhta hanya kerana mereka kuat...
Sampai suatu masa, Allah SWT menunjukkan pemikiran logik yang amat diagung-agungkannya itu tidak sampai pun ke mana... Kepandaian akal fikiran yang pernah didewa-dewakan sehingga sanggup cuba merungkai masalah keTuhanan melalui sudut pandangan ilmu Sains peringkat tinggi seperti Quantum Physics, Theory of Relativity, Unified Field Theory dan sebagainya tidak mampu menggapai kebenaran yang hakiki. Malah bila direnung kembali apa yang telah berlaku, Rasyid bukan sahaja telah tersilap arah malah nyaris-nyaris jatuh kafir! Pemuda ini mulai sedar, banyak lagi perkara yang tidak diketahuinya... Begitu luas lagi rahsia alam ini dan kebanyakan jawaban bagi persoalan yang membelenggu fikirannya selama ini sebenarnya terletak di dalam lingkungan apa yang dipanggil sebagai perkara-perkara ghaib yang cuma boleh disusuri melalui ilmu Tasawuf dan hati yang murni. Ingat. Bukankah kita disuruh beriman dengan Allah SWT dan para malaikat? Dengan Hari Kiamat, Qada dan Qadar, Syurga dan Neraka yang kita tidak boleh nampak atau rasa dengan pancaindera zahir yang lima? Hal-hal yang tidak dapat diukur dengan akal fikiran biasa?
Apapun, ini tidak bermakna anak muda ini cuba mengetepikan logik langsung. Dalam menulis buku ini, dia cuba mengikut fakta yang diterima logik sedapat mungkin seperti yang dipersetujui secara umum oleh para pengkaji sejarah yang mana hasil kajian mereka telah diterima ramai lalu dijadikan bahan buku teks sejarah... Begitu juga sumber pengkajian yang lebih tinggi seperti thesis dan kertas-kerja sejarah peringkat universiti digunakan untuk memahami apa yang pernah berlaku di bumi Timur walaupun ia belum lagi sampai pada masyarakat umum untuk diteliti semua pihak... Cuma kita mesti ingat, fakta-fakta yang dikemukakan secara ilmiah oleh para pengkaji yang diiktiraf ramai pun tidak semestinya tepat. Sebagai manusia biasa yang tidak sempurna, mereka boleh sahaja berlaku khilaf dan membuat kesalahan yang tidak disengajakan... Kerana perkara-perkara yang dikaji melibatkan peristiwa yang telah berlaku beratus tahun dahulu, ada masanya beribu tahun sebelum dunia yang dikenali sekarang wujud...
Kadang-kadang sesuatu peristiwa itu boleh disimpulkan menggunakan akal pemikiran tinggi tetapi kurang pula bahan bukti untuk menyokong hujah. Maka adakalanya kesimpulan yang dibuat satu pihak bercanggah dengan kesimpulan pihak lain. Contohnya bilakah Sultan Ali Mughayat Shah yang diterima ramai sebagai pengasas Aceh besar yang meliputi beberapa kerajaan lain seperti Aceh lama, Daya, Pedir dan Pasai, menaiki takhta kerajaan itu? Apakah tarikh tepat yang tidak boleh lagi disanggah?
Menurut satu pihak, catatan di makam Sultan itu menunjukkan baginda mangkat 12 Zulhijah 936 Hijrah bersamaan 7 Ogos 1530 Masihi. Berdasarkan kitab Bustanus Salatin, Sultan Ali Mughayat memerintah selama 14 tahun. Maka boleh disimpulkan, baginda telah dinobatkan pada tahun 1516 Masihi (1530 tolak 14 tahun)... Tetapi ada pula kajian Barat menunjukkan baginda menjadi Sultan sejak tahun 1514 malah telah memegang tampuk kekuasaan kerajaan sejak tahun 1511 Masihi lagi!
Bagaimana pula kedudukan pusat pemerintahan Aceh yang asal? Apakah Aceh dahulukala dan negeri Lamri atau Lamuri adalah negeri yang sama? Kajian peribadi Rasyid berdasarkan bahan bacaan yang boleh diperolehi di Perpustakaan Negara serta rencana di Internet menunjukkan, dalam persoalan ini, banyak pengkaji sejarah menggunakan catatan utusan Raja Portugal ke Cina, Tome Pires yang dikatakan pernah singgah di beberapa negeri di Nusantara selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis 1511. Apakah ini muktamad atau sekadar satu sudut pandangan?
Pires ada menyebut di pantai utara Sumatera terdapat beberapa wilayah berkerajaan iaitu Reino de Achey e Lambry, Terra de Biar, Reino de Pedir, Terra de Aeilabu, Reino de Lide, Reino de Pirada dan Reino de Pacee. Senarai ini dapat dikenali sebagai Aceh dan Lamri, Biheue, Pidie atau Pedir, Ie Leubeu, Peudada atau Pidada dan akhir sekali Pasai yang juga meliputi Perlak.
Perkataan Aceh dan Lamri yang diletakkan sebagai nama sebuah wilayah boleh ditafsirkan sebagai menunjukkan ia adalah negeri yang sama. Tetapi mengikut perspektif lain pula, ia boleh juga dikatakan sebagai dua negeri yang berlainan tetapi letaknya begitu dekat sebelah-menyebelah lalu dikira sebagai berada di dalam lingkungan wilayah yang sama. Ibarat negeri Kelantan dan Terengganu boleh disatukan sebagai wilayah Pantai Timur... Bergantung pada sudut mana kita mahu melihat sesuatu perkara. Atau mungkin juga Lamuri itu adalah sebuah kota di dalam wilayah Aceh? Atau sebaliknya, Aceh lama (sebelum muncul Aceh besar hasil penyatuan beberapa buah kerajaan kecil oleh Sultan Ali Mughayat Shah) merupakan sebuah kota di dalam negeri Lamuri? Ini tidak mustahil kerana perubahan zaman sering menyaksikan sempadan sesuatu wilayah berubah-rubah...
Perhatikan bagaimana kerajaan Melaka dahulukala diketahui meliputi seluruh Semenanjung Malaysia... Sehingga orang zaman itu memanggil seluruh Semenanjung Malaysia sebagai Semenanjung Melaka! Sebab itu kawasan perairan yang memisahkan Pulau Sumatera dengan Semenanjung dikenali sebagai Selat Melaka. Maka itu perkataan Hulu Melaka boleh sahaja merujuk kepada mana-mana wilayah yang terletak paling jauh daripada pusat pemerintahan di selatan, misalnya mukim Ulu Melaka jauh ke utara di Pulau Langkawi sekarang sedangkan Melaka yang dikenali sekarang cuma sebuah wilayah kecil di antara Negeri Sembilan dan Johor.
Mungkin perkara serupa juga berlaku di Sumatera sehingga ada pihak mengatakan Lamuri itulah Aceh dan Aceh itu Lamuri? Cuma nama-nama ini digunakan dalam zaman berbeza, sepertimana Johor Bahru itu dahulu dikenali sebagai Tanjung Puteri... Sebelum itu entah apa pula namanya? Adakah Ujung Tanah seperti yang tersebut dalam kitab-kitab lama?
Sekarang fikirkan... Jika pengkajian yang boleh dianggap ikhlas mencari kebenaran sejarah pun boleh jadi khilaf akibat terdapat berbagai sudut pandangan, apatah lagi jika ada pihak yang berkepentingan terlibat?


Sejarah boleh diubah menurut kepentingan


Realiti kehidupan dan lumrah alam menyaksikan ramai pihak sanggup berbuat apa sahaja untuk memastikan kepentingan mereka diutamakan. Demi menutup kebenaran yang haq, “fakta-fakta ilmiah” sengaja dicipta dengan penuh kreatif agar pihak yang dimusuhi dipandang serong sementara pihak berkepentingan diangkat sebagai pejuang kebenaran!
Ambil contoh satu catatan Barat (sudah lupa apakah daripada pihak Portugis, Belanda ataupun Inggeris) yang menyatakan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (memerintah Aceh 1607-1636) sebagai seorang pemabuk, kaki betina dan korup. Segala sifat buruknya diceritakan dengan begitu terperinci sehingga baginda dikatakan pernah menghantar surat ke England, kalau tidak salah kepada King James meminta supaya dihantar beberapa gadis Barat yang cantik-cantik supaya baginda dapat “menurunkan” raja-raja keturunan kulit putih. Apakah catatan ini benar sedangkan semua orang Aceh tahu, baginda ialah seorang raja yang warak dan amat perihatan dalam menjaga Syariat Islam. Malah baginda sanggup menjalankan hukuman bunuh terhadap putera kandung sendiri, anak yang sepatutnya menaiki takhta Aceh kerana kesalahan berzina dengan isteri orang! Apakah ini sifat seorang kaki betina yang gilakan wanita Barat?
Lagipun, Sultan Iskandar Muda sendiri adalah seorang “Orang Putih”. Seperti sesetengah warga Aceh sehingga sekarang, baginda sebenarnya berasal daripada keturunan Arab campur Parsi yang memiliki ciri-ciri rupa-paras orang Timur Tengah seperti berhidung mancung serta berkulit bersih putih merah! Maka apalah yang hendak dihairankan tentang gadis-gadis kulit putih dari England? Di Aceh sendiri, terdapat ramai wanita cantik berkulit putih merah dengan rupa-paras “Orang Putih” yang berasal dari keturunan bangsawan Arab,Parsi juga Hindi, malah ramai pula baka terhormat yang berasal daripada keturunan anak cucu Rasulullah SAW!
Kita mesti ingat, kebanyakan pengkaji sejarah yang kononnya berpegang dengan kajian ilmiah adalah wakil pihak penjajah yang memiliki motif tertentu. Maka tidak hairanlah jika mereka sering mengagung-agungkan tamadun Barat di samping memperkecil dan memperlekehkan pencapaian orang lain termasuk orang Melayu. Hasil kajian mereka yang “lebih logik dan sistematik, mengikut kaedah-kaedah yang dipersetujui para cendekiawan” adalah berat sebelah. Lebih malang lagi apabila sudut pandangan serong Barat turut dijadikan rujukan mutlak oleh bangsa kita sendiri dalam menentukan peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku di Nusantara!
Rasyid percaya, hasil kajian ‘ilmiah ‘ Barat banyak mengandungi unsur-unsur penipuan untuk menggelapkan sejarah warga tempatan supaya orang Melayu hilang tunjang kekuatan... Sepertimana mereka telah memburuk-burukkan orang Islam sebagai bangsa tidak bertamadun, barbarian sejak bermulanya Perang Salib merebut Baitul Maqdis lebih 1,000 tahun dahulu sedangkan tentera Islam begitu menghormati etika-etika perang seperti tidak memburu atau mengacau, apalagi membunuh orang-orang tua, wanita, kanak-kanak dan mereka yang berlindung di dalam rumah kediaman dan tempat ibadah. Begitu juga Islam digambarkan sebagai agama militan yang disebarkan melalui mata pedang. Rasulullah SAW yang amat mulia akhlaknya pula dituduh sebagai pembohong besar dan kaki perempuan kerana mempunyai ramai isteri, juga cradle snatcher (mengambil perempuan yang belum cukup umur) kerana mengahwini Siti Aishah binti Saidina Abu Bakar as-Siddiq yang baru berumur 9 tahun.
Apapun, ini kata-kata orang Barat yang ternyata musuh Islam. Bagaimana pula tentang orang Islam yang sanggup menggelapkan sejarah sendiri untuk menjatuhkan orang Islam yang lain? Bagaimana cerita tentang Khalifah Bani Umaiyah yang pertama, Muawiyah bin Abu Suffian yang dianggap dan dipercayai ramai umat Islam sebagai seorang penulis wahyu?
Walaupun ada pihak menyebutnya sebagai seorang daripada sepuluh sahabat Rasulullah SAW yang dijanjikan syurga, pihak lain pula tertanya-tanya... Bagaimana Muawiyah boleh diberi penghormatan sebegini tinggi sedangkan dia memerangi sepupu dan menantu Rasulullah SAW, Saidina Ali Karamallahuwajha, kemudian merampas takhta keKhalifahan secara tipu helah dari tangan cucu Rasulullah SAW, Saidina Hassan? Bagaimana hamba Allah yang sanggup mengupah orang untuk meracuni Saidina Hassan sehingga mati ini boleh dikira sebagai sahabat setia Nabi? Kemudian anaknya Yazid pula bertanggungjawab membunuh dan memenggal kepala cucu Rasulullah SAW yang seorang lagi, Saidina Hussein1
Tidak cukup itu, ada kisah-kisah menyebut betapa rata-rata para pemerintah Bani Umaiyah amat membenci anak cucu Nabi, para Ahlul Bait. Begitu juga sikap para pemerintah Bani Abbasiyah yang memegang takhta keKhalifahan umat Islam selama 500 tahun. Agak-agaklah, berapa banyakkah fakta sejarah yang telah digelapkan untuk menghalalkan pemerintahan mereka? Berapa banyak pula ‘fakta’ dicipta supaya zaman keKhalifahan mereka akan diagung-agungkan generasi kemudian?
Di alam Melayu sendiri, kenapa cerita tentang Sultan Melaka yang sangat terkenal kerana keberanian dan sifat warak iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah meninggalkan Istana Melaka lalu mangkat di Pagoh tidak wujud dalam kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang? Kenapa kitab itu tidak menceritakan tentang Raja Iskandar masuk Islam dan mengahwini puteri Raja Pasai sedangkan ini diketahui orang-orang negeri Cina dahulukala? Mengapa pula ia meletakkan hampir kesemua Sultan-sultan Melaka sebagai beribukan anak Bendahara sedangkan ini bukan hakikatnya? Kenapa ia tidak menceritakan kehebatan kerajaan Aceh sedangkan banyak kisah-kisah kerajaan besar di Nusantara ada dinukilkan di dalamnya... Sedangkan Tun Sri Lanang sendiri pernah diketahui duduk lama di sana malah meninggal dunia di Aceh?
Tak mengapalah, tidak perlu mahu gaduh sangat tentang ini. Cuma pada Rasyid, sampai bilakah orang Melayu di sebelah sini mahu menafikan keagungan kerajaan Aceh dan pengaruhnya terhadap bumi Timur? Sedangkan keagungan kesusteraan Melayu banyak bermula dan berkembang di Aceh abad ke 17 Masihi, melalui pelbagai hasil penulisan Sheikh Hamzah Fansuri serta mereka yang sezaman dengannya.
Kajilah salasilah keSultananan Terengganu, Pahang dan Johor sekarang juga beberapa keluarga bangsawan yang berkaitan… Anda akan dapati mereka semua berasal daripada keturunan seorang Bendahara Johor bernama Tun Habib Abdul Majid atau dikenali juga dengan nama Bendahara Padang Saujana yang merupakan cicit lelaki atas lelaki, kepada seseorang yang dikenali sebagai Sayyid Al Aidrus daripada Kampung Pasir, Aceh... Melalui perkahwinannya dengan seorang puteri Sultan Aceh.
Sebab itu makam Bendahara Johor ini dan kebanyakan kaum kerabatnya di Johor iaitu Sultan-sultan Johor selepas Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (memerintah abad ke 17 Masihi) ditanda dengan batu nesan Aceh, menunjukkan mereka memang ada titisan darah bangsawan Aceh. Nak tahu lebih lanjut lagi tentang pengaruh Aceh ke atas Semenanjung Tanah Melayu ini, bacalah bab: “Tok Pulau Manis, batu bersurat dan beberapa warisan Aceh”. Apa lagi yang mahu diragukan? Kenapa mahu dinafikan peranan bumi Serambi Mekah dalam penyebaran Islam? Bukankah ia tempat syariat Nabi Muhammad SAW berkembang-biak ke merata tempat?


Peristiwa yang direkodkan vs. cerita-cerita lisan



Pengalaman sebagai wartawan mengajar Rasyid bagaimana sesuatu peristiwa boleh diubah untuk memenuhi citarasa tertentu supaya boleh dihidangkan kepada khalayak ramai dengan tujuan mempengaruhi fikiran mereka ke arah mempercayai sesuatu perkara. Contohnya, selepas pulang daripada sebuah perhimpunan yang dianjurkan pihak tertentu, dia pernah ditanya berapa ramaikah manusia yang menghadiri perhimpunan itu...
Pemuda yang telah mempunyai banyak pengalaman menghadiri pelbagai acara besar melibatkan pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat itupun menjawab 3,000 orang, mengikut anggaran mata kasarnya... Lalu diarahkan supaya meletakkan angka 1,000 dalam laporan berita untuk menggambarkan penyokong perhimpunan itu tidaklah seramai mana.
Pada ketika lain pula, perhimpunan yang dihadiri 3,000 orang disuruh “tingkatkan” menjadi 5,000 supaya mereka yang membaca laporan akhbar itu percaya, perhimpunan tersebut mendapat sokongan ramai. Pada pihak pengarang, ini adalah satu perkara biasa di dalam dunia kewartawanan... Sesuatu peristiwa itu boleh sahaja dilihat daripada berbagai sudut. Maka terpulanglah kepada kita untuk mengetengahkan yang mana…
Rasyid faham ada masanya suatu laporan itu perlu di”adjust”, diubah-suai demi kepentingan negara... Salah satunya supaya tidak wujud huru-hara yang boleh menakutkan pelabur luar yang telah menyuntikkan berbillion Ringgit ke dalam ekonomi Malaysia. Hakikatnya, samada kita suka atau tidak, keutuhan kewangan negara juga bergantung kepada mereka.
Keadaan ini boleh diibaratkan begini: Jika diketahui ada pengganas telah menanam bom di dalam lapangan terbang, pihak keselamatan tidak boleh membuat pengumuman “lurus bendul” mengatakan terdapat sebiji bom menunggu masa untuk meletus. Ini akan menyebabkan orang-ramai panik, lagi susah hendak memperbetulkan keadaan. Maka sebuah alasan yang “lebih lembut” akan dikemukakan untuk mengajak mereka beredar ke tempat selamat sementara pihak yang berkebolehan mencari bom.
Tetapi pemuda itu tetap percaya, jika kita betul-betul jujur, betul-betul orang Islam, maka kita tahu sudut mana yang perlu diambil, sesuai dengan agama yang menyuruh kita menyampaikan apa yang benar mengikut kadar yang sesuai. Kalau untuk kepentingan orang ramai, untuk kemaslahatan umum dia tiada masalah untuk menyembunyikan sesetengah fakta. Tetapi kalau untuk menyelamatkan individu tertentu seperti yang sering terjadi di dalam realiti, hmm... Ini memang masalah...
Apapun, hakikatnya, samada anda suka atau tidak, whether you like it or not, itulah kenyataan hidup, realiti dunia hari ini… Bukan semua manusia bersifat jujur malah zaman sekarang ini cukup susah untuk mencari orang yang sanggup mengotakan perkara yang benar. Seringkali manusia cuma mahu menaikkan orang yang disokong sehingga membelakangkan atau menjatuhkan langsung orang yang tidak disukai. Wujud pula pertimbangan politik, wang ringgit serta untung rugi menyebabkan sesuatu artikel itu boleh diwarnai secukup rasa demi menjaga periuk nasi sendiri.
Sesuatu laporan, artikel ataupun rencana yang keluar di dada akhbar seringkali diterima sebagai kebenaran tanpa banyak soal. Sampai satu masa, ia akan menjadi dokumen sejarah serta sumber rujukan generasi akan datang lalu menjadi “bukti ilmiah” kerana telah didokumentasikan mengikut garis panduan yang boleh diterima ahli sejarah.
Ramai tidak sedar, jika asas sesuatu cerita itu sudah lari daripada kebenaran, apatah lagi bila ia menjadi rujukan sejarah? Lalu cerita-cerita yang telah diwarnai pihak berkepentingan boleh diterima masyarakat umum yang tidak sedar mereka telah ditipu bulat-bulat secara “lmiah”. Tidak hairanlah nanti akan timbul cerita-cerita yang bercanggah.
Interpretasi sesuatu peristiwa siaran akhbar-akhbar rasmi yang mempunyai ramai pembaca lebih senang diterima sebagai cerita yang ‘sahih’ sedangkan pihak yang tertindas, yang ceritanya telah digelapkan pula tidak diendahkan. Mereka terpaksa “makan hati”, disisih daripada pandangan serta sokongan majoriti. Maka pihak yang tertindas cuma dapat menyatakan kebenaran sesuatu peristiwa itu kepada orang-orang yang tertentu, mungkin di kalangan keluarga dan sahabat handai terdekat.
Begitu juga yang telah berlaku dahulukala... Sementara cerita ‘rasmi’ yang dijaja pihak yang berkuasa mewarnai sesuatu peristiwa diakui sebagai fakta sejarah yang tidak boleh disanggah, kebenaran yang disimpan pihak yang terpinggir pula cuma dapat dikekalkan turun-temurun melalui lisan dan ingatan.Lalu timbullah apa yang dinamakan atau dikenali sebagai cerita-cerita lisan atau cerita orang tua-tua, cerita-cerita yang selalunya dianggap sebagai mitos ataupun legenda sahaja oleh para pengkaji sejarah yang menggunakan “kaedah-kaedah ilmiah” apalagi jika cerita itu mengandungi peristiwa-peristiwa yang tidak masuk akal...

Kesilapan berlaku kerana tidak tahu keadaan sebenar zaman

Berbalik kepada pengkajian jujur tanpa motif untuk menggelapkan sesuatu peristiwa atau menonjolkan yang lain... Kekhilafan juga boleh berlaku kerana sejak berlaku sesuatu peristiwa, telah terjadi perubahan besar geografi ataupun bentuk muka-bumi yang menyebabkan kedudukan sesuatu tempat berubah jauh daripada apa yang terdapat sekarang.
Contohnya cerita Melayu dahulukala ada menyebut Gunung Jerai pernah dikenali sebagai Pulau Serai kerana dikelilingi laut sehingga lerengnya menjadi tepian pantai. Tetapi para pengkaji “ilmiah” pula percaya mukabumi ini tidak banyak berubah seribu dua ribu tahun kebelakangan lalu menganggap timbunan kulit siput dan kerang yang pernah ditemui di lereng Gunung Jerai adalah sisa makanan orang purba... Seolah-olah mereka itu bodoh sangat, sanggup berulang-alik ke pantai yang berapa batu jauhnya semata-mata untuk menikmati makanan laut di atas gunung.
Begitu juga yang pernah berlaku di Pulau Manis, Kuala Terengganu yang terletak lebih 20km ke pendalaman. Kalau mengikut cerita-cerita lama, ia masih lagi sebuah pulau pada abad ke 17 juga awal abad ke 18... Semasa Terengganu sedang diperintah Sultan Zainal Abidin I yang pernah berguru dan menjadi menantu Wali Allah bergelar Tok Pulau Manis.
Sebab itu ada catatan lama yang diakui para sejarahwan menyatakan telah wujud sebuah kerajaan juga pelabuhan utama di Kuala Berang sekitar 700 tahun lalu. Mengikut peta dan geografi sekarang, sesebuah kapal perlu belayar 50km memudiki Sungai Terengganu sebelum sampai ke Kuala Berang. Mengapa pula perlu didirikan sebuah pelabuhan di tempat yang begitu jauh ke pendalaman? Mengapa kerajaan itu tidak berpusat di Kemaman atau mana-mana kawasan pantai sekarang?
Atas kesedaran inilah sebuah bab telah ditulis semata-mata untuk memberi sedikit keterangan kenapa boleh terjadi percanggahan dalam tarikh atau cerita mengenai sesuatu peristiwa. Jika para pengkaji sejarah yang amat terpelajar dalam bidang mereka, ada sokongan fakta-fakta “ilmiah” yang tidak boleh disanggah pun boleh bercanggah sesama sendiri dalam memperkatakan sesuatu peristiwa dahulukala, apakan lagi kita yang cuma mampu menumpang hasil kajian mereka?
Radzi Sapiee
21 Oktober 2005 bersamaan 17 Ramadhan (Nuzul Al-Quran) 1426,
Ampang, Kuala Lumpur.



Selasa, Januari 17, 2012

Kembara Johor-Riau - Makam-makam di Hulu Riau dan alamat salasilah ibu

OK. Kembali ke Pulau Bentan. Bersambung dari Kembara Johor-Riau - Dari Tanjung Pinang ke Pulau Penyengat.


Pagi Rabu 14 Disember 2011 kami sudah bersedia untuk berjalan lagi.


Mula-mula sekadar berjalan kaki ke tepian laut Tanjung Pinang.





Dekat satu monumen yang memaparkan semua rangkap Gurindam 12 karangan Raja Ali Haji, cucu kepada pahlawan Bugis terkenal Raja Haji dan orang yang menulis kitab besar Tuhfat Al-Nafis, kitab rujukan ramai sejarawan kerana memaparkan secara rinci perhubungan Raja-raja Melayu dengan Raja-raja Bugis di Empayar Johor-Riau-Lingga.





Melihat Pulau Penyengat yang pernah menjadi pusat pentadbiran beberapa orang Yang Dipertuan Muda Riau dan tempat sejumlah kerabat mereka dimakamkan.





Selepas Zuhur baru dimulakan perjalanan jauh. Saya menyewa motosikal membawa isteri dan anak sementara Raja Syukri membawa motosikal sendiri dengan anak muda dari Kedah, Asyraf membonceng. Kelihatan dalam gambar kami sudah jauh meninggalkan Tanjung Pinang memasuki kawasan pendalaman yang dikenali sebagai Hulu Riau. Kelihatan juga papan tanda ke dua buah makam nama-nama besar...


Mula-mula ke makam ini.



Inilah makam Daeng Chelak salah seorang daripada Daeng Lima Bersaudara yang sangat terkenal dalam sejarah. Baginda yang merupakan ayahanda kepada Raja Haji, juga ayahanda Raja Lumu @ Sultan Salehuddin, Sultan pertama Selangor menjadi Yang Dipertuan Muda Riau ke 2 tahun 1728 Masihi.



Makamnya ditanda batu nesan Aceh, begitu juga beberapa makam di kawasan halamannya. Lihat artikel Makam (Tomb of) Daeng Chelak di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Rupa-rupanya ada banyak lagi makam berbatu nesan Aceh di sekitar ini. Ia boleh dilihat apabila memasuki lorong di belakang makam Daeng Chelak. Lihat Makam (Tomb of) Daeng Bunga dan Makam di belakang Daeng Bunga (Tomb behind Daeng Bunga). Saya mula mengalami deja vu di sana.



Ini pula di kawasan sungai berdekatan, salah satu sungai yang membentuk Sungai Riau.



Saya deja vu lagi melihat keadaan. Malah rasa itu berlanjutan apabila kami singgah di rumah berdekatan sungai untuk berbual-bual dengan seorang pakcik yang agak berilmu. Cuma ilmunya tidak sesuai buat saya kerana pakcik yang berasal dari Jawa ini nampaknya kurang memerhatikan syariat dan suka melebihkan unsur-unsur Kejawen... ilmu kebatinan Jawa yang unsurnya menghampiri pemahaman orang Hindu.




Selepas itu baru kami kembali ke jalan raya terdekat. Masuk satu denai tepi untuk menziarahi makam seorang ulamak berdarah Ahlul Bait. Lihat Makam (Tomb of) Habib Ali Al-Aidid.


Perjalanan diteruskan ke makam Yang Dipertuan Muda Riau yang pertama.



Di sinilah saya mengalama deja vu paling panjang hari itu. Pemandangan sekeliling daripada makam, suasananya yang terasa nyaman dan aman damai semuanya pernah dilihat dalam satu mimpi beberapa tahun lalu. Lihat Makam (Tomb of) Daeng Merewah.



Difahamkan kawasan sekitar ini merupakan kota semasa Daeng Merewah menjadi Yang Dipertuan Muda 300 tahun lalu. Raja Syukri menunjukkan arah ke sebuah jeti berdekatan. Menurutnya Sultan Selangor sekarang, Sultan Sharafuddin Idris Shah pernah mendarat di situ ketika datang dengan kapal layar untuk menziarahi makam-makam sini.



Saya pun berjalan kaki ke jeti bersama isteri dan anak.



Lihat artikel The scenic rivers at Hulu Riau di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Suasana di sini serupa ketika kami menziarahi makam seorang Sultan Brunei yang dikatakan sangat alim lagi bertaraf wali. Lihat artikel lama Lawatan tak dijangka ke Brunei - Mengkaji salasilah di Muzium Brunei dan keindahan makam di Luba....




Berdekatan makam Daeng Merewah terdapat makam Bendahara Empayar Johor-Riau-Lingga pada zamannya. Lihat Makam (Tomb of) Bendahara Tun Abbas. Daripada beliau terbit Bendahara-bendahara yang diberi pemerintahan ke atas Pahang kemudian mengangkat diri menjadi Sultan apabila empayar berpecah-belah. Terbit juga Temenggung-temenggung yang kemudian berkuasa ke atas Johor lalu keturunannya menjadi Sultan hingga sekarang.



Kami meninggalkan Hulu Riau lewat petang. Saya agak terkilan kerana tidak dapat menziarahi makam Yang Dipertuan Riau ke-3 iaitu Daeng Kemboja ibni Daeng Parani yang katanya terletak di Hulu Riau juga. Ini kerana saya berhajat untuk mendapatkan alamat tentang salasilah keturunan ibu di situ, keturunan Bugis belah bapanya yang dikatakan sampai kepada Daeng Parani. Lihat artikel lama Kaitan Daeng Parani dengan keluarga sebelah ibu.



Adapun saya sedang mencari nama beberapa orang moyang yang dipercayai menjadi penyambung nasab antara Daeng Parani dengan moyang-moyang lebih dekat. Biar diberitahu (kerana saya tidak menyebutnya dalam artikel Kembara Johor-Riau - Dari Tanjung Pinang ke Pulau Penyengat) bahawa sambungan itu mungkin melalui Daeng Kemboja. Namun menurut Raja Syukri makam baginda cuma boleh dicapai dengan menaiki bot. Dengan itu saya pun memendamkan hasrat sambil kami menghala kembali ke Tanjung Pinang, singgah di satu lagi makam.



Ia adalah makam Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah, raja berketurunan Bendahara @ Sultan Abdul Jalil yang dapat merajai Empayar Johor-Riau-Lingga dengan pertolongan Lima Daeng Bersaudara - Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi. Lihat Makam (Tomb of) Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Sampai di sini saya terasa ingin berehat lama menghirup udara segar lalu meminta Raja Syukri kembali dahulu ke Tanjung Pinang bersama Asyraf. Kata saya kepada beliau, selepas itu saya mahu membawa anak dan isteri melihat matahari terbenam di tepi laut. Tetapi keluar daripada makam Sultan Sulaiman tertarik pula untuk singgah mengambil gambar di masjid-masjid. Lihat Masjid (Mosque of) Tulus Ikhlas, Tanjung Pinang dan Masjid (Mosque of) Al-Mujahiddin, Tanjung Pinang.



Kami sampai ke pinggir kota Tanjung Pinang pun dah hampir Maghrib. Mustahil dapat mengejar pemandangan matahari terbenam di tepi laut. Terlihat pula papan tanda menunjukkan arah ke makam Raja Fatimah. Saya tak tahu siapa Raja Fatimah ini tapi kami tergerak untuk melihat. Dengan tidak sengaja terjumpa makam Raja Ali Marhum Pulau Bayan, Yang Dipertuan Muda Riau ke-5. Sampai pun ketika azan mula berkumandang. Lihat Makam (Tomb of) Raja Ali Marhum Pulau Bayan.




Berderau darah saya melihat nama yang tertera. Adapun kaitan keluarga melalui Daeng Kemboja itu saya percaya adalah melalui Raja Ali ibni Daeng Kemboja ini. Alamat yang saya dapat di Pulau Penyengat adalah selepas membeli sebuah buku kecil di hadapan Masjid Sultan Riau saya terus membuka muka surat begitu sahaja lalu terlihat nama Raja Ali ibni Daeng Kemboja diikuti satu macam rasa. Terus timbul hasrat untuk menziarahi makamnya...

Namun apabila melihat cerita baginda bersemayam di Pulau Bayan, timbul pula rasa hampa. Saya menyangkakan pulau itu terletak di sekitar Daik, lebih 3 jam perjalanan ke selatan Pulau Bentan, bila masa pula dapat membuat perjalanan ke sana? Mana tahu, rupa-rupanya ia terletak di Sungai Riau berdekatan kawasan ini, kawasan bernama Tanjung Unggat yang memang disebut dalam kitab Tuhfat Al-Nafis sebagai tempat Raja Ali ini dimakamkan. Selepas tidak dapat menjejakkan kaki ke makam Daeng Kemboja kami anak beranak boleh sampai ke sini. Adakah ini satu lagi alamat bahawa memang Raja Ali adalah moyang saya belah ibu?

Kalau ini benar alhamdulillah. Namun saya rasa masih perlu mencari 2 atau 3 nama lagi sebelum penyambungan salasilah ibu ini mantap dan lengkap. Kiranya sekarang boleh diletakkan begini. Nama ibu, Rahimah @ Ramlah binti Ismail bin Hussin bin Daeng Betak bin Daeng Makuaseng bin (penama 1) bin (penama 2) bin (penama 3, mungkin ada, mungkin tidak. Kalau tiada maka bin itu harus disambung ke nama seterusnya) ibni Raja Ali Marhum Pulau Bayan ibni Daeng Kemboja ibni Daeng Parani.

Kitab Tuhfat Al-Nafis ada menyenaraikan sejumlah anak cucu Raja Ali ini. Kita ambil yang laki-laki sahaja ya kerana yang mahu dicari adalah nasab induk daripada belah laki-laki. Hmm... saya ikut sahaja le ayat yang disebut dalam kitab kerana adakalanya ia agak mengelirukan. Merujuk pada anak-anak Raja Ali...

Adapun laki-lakinya pertama Raja Isa - ialah beranakkan Raja Yaakub serta saudaranya dan ibunya Raja Wok dan lagi anaknya Raja Idris...

Kedua Raja Ismail ia-lah yang beristerikan Raja Siti anak Raja Abdul Samad beranakkan Raja Muhammad Haji dan Raja Mahmud dan Raja Sulaiman...

Ketiga Raja Basok ia-lah beristerikan Raja Sharifah anak Raja Endot, beranak ... seorang laki-laki bernama Raja Sulong.

Keempat Raja Yunus ialah beristerikan Raja Habibah, anak Raja Idris saudara marhum yang dipertuan Raja Jaafar, beranakkan Raja Haji dan Raja Tengah dan Raja Kecil.

Kelima Gusti Hussain - tiada anak cucu di sebelah Riau melainkan di sebelah Mempawah (di Kalimantan).

(Keenam) Raja Hassan beristerikan anak Marhum Jaafar yang bernama Raja Seni

Ketujuh Raja Jaafar beristerikan Raja Saudah anak Marhum Jaafar, tiada beranak melainkan anaknya dengan gundek seperti Raja Hussain dan Raja Jumaat (Kota Lukut) dan Raja Abdullah dan Raja Muhammad dan lain-lain laki-laki...

Kedelapan Raja Kassim beristerikan Raja Habibah janda saudaranya Raja Yunus.



Hati saya cenderung untuk mengatakan anak keenam Raja Ali iaitu Raja Hassan yang beristerikan anak Marhum Jaafar itu adalah salah satu nama yang dicari untuk melengkapkan salasilah nasab sebelah ibu seperti dipaparkan di atas. Kalau begitu tinggal satu atau dua lagi nama untuk disambung dengan Daeng Makuaseng (atau La Makuaseng) di mana Daeng Makuaseng ini dikatakan datang dari Wajo di Sulawesi Selatan untuk berhijrah ke Pontian, Johor sekitar tahun 1910 Masihi bersama anakandanya Daeng Betak. Semoga selepas ini akan muncul petunjuk yang lebih kukuh dan nyata untuk melengkapkan salasilah. Semoga juga ada pembaca boleh membantu. :]



Mengenang kembali perjalanan mengambil video pusing Negeri Sembilan hingga ke Pulau Besar tahun 2008

Keluar sebentar daripada penceritaan perjalanan Medan-Banda Aceh November 2-13 juga perjalanan ke selatan Disember 10-18.


Testing testing ambil video sambil saya pula mengambil gambar menggunakan kamera, ketika itu kamera kecil murah digital cap ayam tapi sangat berguna dan berjasa. Punyalah banyak gambar diambil semasa kami aktif berjalan begini tapi entah kenapa tak jumpa dah dalam komputer mahupun external drive. Dah terdelete ke hapa... ish... :]


Tadi di Facebook ada orang bertanya jika saya ada membuat banyak lagi video klip menarik penuh maklumat yang boleh ditontoninya. Dia berbuat begitu selepas melihat status update saya berkenaan video klip masjid tinggal di Teluk Memali yang baru semalam saya dapati telah ditonton lebih 111,111 orang, video klip yang dibuat lebih 3 tahun (Klik sini). Maklumlah. Sejak membuka akaun Youtube Ogos 2008 saya telah memuat turun lebih 200 video klip merangkumi pelbagai hal, kebanyakkanya untuk menyokong penceritaan di blogspot. Namun rata-rata video cuma ditonton beberapa kali sahaja, sedikit sahaja ditonton beribu kali apalagi untuk melepasi angka 100,000 (tak semestinya 100,000 penonton ya kerana ada kemungkinan seorang penonton telah melihatnya beberapa kali tapi rasanya tak le sampai beribu kali).

Keadaan ini menyebabkan saya cuba mencari video-video klip yang cukup informatif atau bermaklumat yang pernah dibuat dan dimuat turun dahulu untuk dikongsi kepada si penanya. Baru teringat sekumpulan video yang dibuat bersama rakan baik saya Zaidi yang ada memakai nama PerpatihTulus di Internet, video yang pembuatannya bermula dengan main-main terus menjadi semacam hobi sambil kami keluar ke merata tempat awal 2008. Ketika itu saya belum ada akaun Youtube. Saya pun meminta Zaidi memuat turun video klip ke akaunnya. Kemudian saya embed ke dalam artikel-artikel di blogspot untuk dikongsi bersama pembaca.

Ternyata terdapat banyak juga video dikumpulkan menjadi artikel, artikel-artikel yang linksnya ada dikumpulkan di sidebar kiri blogspot. Kalau mahu diletakkan links tiap artikel di Facebook boleh jadi jenuh juga sedangkan saya tidak dapat menemui artikel lama yang menyatukan semua links. Maka di sini biar ia dikumpulkan agar senang dirujuk. Sekarang apa yang perlu dibuat adalah mengambil link artikel ini dan letak di Facebook. Serta-merta video-video yang dibuat awal 2008 ini dapat dikongsi dengan mereka yang belum pernah melihatnya... :]

Nota : Pembuatan video-video klip yang ceritanya disebut di bawah inilah yang kemudian mencetuskan idea untuk membuat DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874". Lihat Perjalanan ke Perak: DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" dah siap!.








Jumaat, Januari 13, 2012

Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Pulau Kampai , keberadaan kerajaan Haru dan faktor Sheikh Abdul Qadir Jilani

Assalamualaikum semua. Walaupun lambat, sementara masih lagi ada baki hari Jumaat biarlah dibuat penceritaan perjalanan Medan-Banda Aceh yang bersambung dari artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Jeti bercat kuning dan masjid di Pengkalan Brandan. Adapun tarikh hari ini agak istimewa buat saya kerana ada faktor nombor 131... 13 Januari 2012 bersamaan 13/1... . Kita teruskan cerita...


Puas melihat Pengkalan Brandan kami pun mengambil 'angkut' meninggalkannya...


Sampai di satu tempat bertukar kenderaan yang lebih besar.


Boleh agak apakah kenderaannya?



Ya. Kami menaiki bot... untuk membelah perairan yang dipanggil Teluk Haru. Bot diambil dari tempat yang dipanggil Pengkalan Susu. Sasaran kami adalah sebuah pulau yang dipanggil Pulau Kampai. Lihat artikel Boat ride to Pulau Kampai di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Selepas setengah jam begitu belayar, sampailah ke pulau. Biar diletakkan sedutan berkenaan dari buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal" (terbit Mei 2007)... daripada Bab 8 mukasurat 140...


Baru dua tiga hari di Pengkalan Brandan, Rasyid telah mendapat berpuluh orang kenalan baru. Pengunjung tetap masjid raya yang suka melepak di serambi sudah jadi seperti rakan lama. Setiap kali tidak tahu apa hendak dibuat terutama pada waktu petang, dia cuma perlu ke sana untuk mengisi masa lapang menghilangkan rasa jemu. Ramai kaki berborak dan para penglipur lara. Ada sahaja kisah untuk dikongsi bersama, tidak kurang lawak jenaka meringankan bebanan jiwa. Dan di serambi masjid besar yang terletak sekitar 40km daripada sempadan Aceh inilah anak Malaysia yang sudah lebih tiga tahun asyik menziarahi kuburan lama ini mendapat tahu tentang kewujudan seorang wanita cantik bernama Mas Merah…

Mula-mula, Rasyid tidak berapa mahu mengambil tahu apabila kawan-kawan ini menyebut tentang sebuah makam lama di Pulau Kampai, 25km ke utara Pengkalan Brandan, dalam perjalanan menghala ke Aceh juga. Dia lebih sibuk memikirkan apakah yang perlu dibuat untuk masuk ke wilayah yang sedang darurat itu sambil menunggu petunjuk, isyarat ataupun gerak muncul daripada “atas”. Namun mereka terus memujuk... Kata kawan-kawan ini, anak kelahiran Muar, Johor itu harus ke sana dahulu kerana tujuan utamanya hendak ke Aceh adalah untuk menziarahi makam-makam lama terutama makam raja-raja dan para wali yang ada kaitan dengan cerita-cerita lama yang dicarinya. Dan makam di Pulau Kampai itu ada cerita dan sejarahnya yang tersendiri, lagi dianggap keramat dan amat dihormati penduduk setempat. Mulalah timbul minat Rasyid untuk mengetahui lebih lanjut... Lalu terkeluarlah cerita Mas Merah, seorang perempuan cantik yang pernah diculik sekumpulan enam perompak yang mengganas di perairan sekitar Pulau Kampai. Teringat pula cerita filem Enam Jahanam yang menonjolkan seniman negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee...



Dahulu, lebih 7 tahun lalu ketika pertama kali sampai di sini Aceh masih dalam darurat akibat peperangan antara puak pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka) dengan TNI (Tentera Nasional Indonesia). Pulau Kampai terletak sangat dekat dengan sempadan Aceh-Sumatera Utara lalu menjadi satu tempat lintasan dan perlindungan para pejuang GAM sambil diburu tentera dari Jakarta. Sekarang zaman aman senang sedikit kalau orang luar mahu datang. Alhamdulillah sampai juga hajat saya membawa isteri dan anak...




Sambil melihat aturan rumah-rumah dan bangunan teringat deja vu lama yang pernah diceritakan dalam buku... melompat ke muka surat 153...


Malam itu, ketika sedang keluar bersiar-siar di pekan Pulau Kampai, Rasyid mengalami déjà vu lagi... Terasa pernah melihat rumah serta kedai di sekeliling yang teratur elok mengikut grid atau aturan segi empat siap dengan suasana selepas Maghrib yang agak riuh, dengan ramai orang berjalan kaki santai ke sana ke mari di selang seli gelak ketawa riang. Di sini tidak ada kereta langsung... Basikal pun sedikit apalagi motosikal. Rumah-rumahnya yang serupa dengan rumah estate yang biasa terdapat di ladang kelapa sawit pula terang benderang dengan tingkap dan pintu terbuka luas, penghuni masing-masing berlonggok di halaman atau di tepian jalanan berbual dengan jiran atau menegur orang yang lalu lalang. Pemuda ini teringat pernah bermimpi melihat suasana yang sama beberapa tahun yang lampau... Cuma semasa itu dia tidak tahu di manakah letaknya suasana yang dilihatnya itu dan kenapa boleh bermimpi tentangnya. Baru sekarang terjumpa dengan suasana yang sama, rupa-rupanya inilah tempatnya...

Malam itu juga Rasyid sempat bertemu dengan ketua kampung yang baru sahaja beberapa hari dilantik, seingatnya tidak sampai tiga hari pun! Hamba Allah inilah yang menceritakan serba sedikit tentang sejarah sebenar Mas Merah tetapi pemuda ini pula tidak ingat secara terperinci... Cukuplah setakat tahu bahawa Mas Merah ialah seorang penyanyi yang terkenal suatu masa dahulu kerana suara merdu serta kecantikannya... Kerana itu dia telah diculik enam orang perompak yang pernah mengganas di Teluk Aru sebelum diselamatkan pemuda yang bakal menjadi suaminya nanti.

Selepas itu, Lelek membawanya ke sebuah majlis tahlil serta maulud yang menarik. Dia dapat melihat lebih 100 orang hadirin turut serta... Seorang yang bertindak sebagai ketua membacakan ayat-ayat serta bait memuji kemuliaan dan kebesaran Rasululllah SAW. Sampai bahagian tertentu, ia terus disambut semua hadirin. Memang menarik sungguh!



Adapun sedutan di atas dibuat tanpa menyebut siapakah itu Lelek dalam cerita.




Maka saya pun membawa anak dan isteri ke masjid menurut langkah yang pernah dibuat lebih 7 tahun. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Baiturrahman, Pulau Kampai di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Baru kena dengan sedutan... daripada muka surat 147-148.


Seperti di Pengkalan Brandan, anak muda ini terus berkenalan dengan beberapa orang penduduk tempatan. Di antara mereka, terdapat seorang tua yang berasal daripada tanah Jawa tetapi telah lebih dua puluh tahun bermastautin di Pulau Kampai. Rasyid tidak ingat nama sebenarnya... Semua orang memanggilnya Lelek, kata mereka panggilan untuk pakcik dalam bahasa Jawa. Matanya yang sepet seperti hendak terkatup sentiasa dan kepalanya yang botak licin mengingatkan Rasyid kepada watak kartun Mr. Magoo yang selalu ditontonnya semasa zaman kanak-kanak dulu. Tetapi tidak seperti watak katun yang bakhil dan pemarah itu, Lelek yang berumur hampir 80 tahun ini amat baik orangnya dan selalu memakai kopiah.

Lelek bertindak sebagai penunjuk jalan atau tourist guide sepanjang Rasyid berada di Pulau Kampai. Dia juga menyediakan teratak buruknya sebagai tempat penginapan, katanya lebih selamat daripada tidur di masjid, takut diganggu orang jahat nanti... Orang tua itu menasihati Rasyid supaya melaporkan diri, sekali di pos askar, sekali lagi di pos polis yang juga bertindak sebagai imigresyen Indonesia, kalau tak salah ingatan dipanggil sebagai Brimob supaya tidak timbul apa-apa masalah nanti. Lagipun semua orang luar diwajibkan melaporkan diri kepada pihak berkuasa lebih-lebih lagi kerana pulau itu terletak tidak berapa jauh daripada Aceh yang sedang bergolak... Takut-takut ahli puak pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka) yang diburu tentera menyamar lalu menyelinap masuk ke sini.

Setelah selesai apa yang patut termasuk meninggalkan kad pengenalan Malaysia di pos polis, Rasyid pun mengikuti Lelek bersiar-siar melihat keadaan sekeliling sambil berkenalan dengan penduduk tempatan, terutama jiran di sekeliling rumah. Semasa di masjid tadi, pemuda ini sempat memberitahu tujuannya ke pulau itu adalah untuk melawat makam Mas Merah. Maka setelah selesai menikmati makan tengahari murah di sebuah warung berdekatan, Lelek pun membawanya ke sana.



OK. Apabila bertanya kepada orang yang ditemui di masjid dan sekitarnya tentang Lelek mereka nampaknya tidak ingat atau tahu nama itu. Tetapi apabila diterangkan bagaimanakah orangnya baru mereka menyambut : "Oh, Lelek Rejo!". Ya, Lelek Rejo. Cuma pakcik itu dahulu menyuruh saya memanggilnya Lelek sahaja. Sayangnya dia sudah kembali ke rahmatullah setahun dua lalu gitu. Tak mengapa. Kita sambung sedutan muka surat 148...


Dari teratak Lelek yang terletak sepelaung daripada masjid, mereka berjalan kaki melepasi sebuah sekolah rendah dan padang permainan penuh pasir bercampur serpihan kulit siput dan kerang... Terserempak sebuah bangunan sebesar bangsal kecil yang mengandungi satu kesan sejarah.

“Di dalam ini ada makam purba,” kata orang tua itu. “Kata orang, ada kena mengena dengan Raja Aceh juga. Kamu mahu melihat dahulu?”

Makam purba? Kena-mengena dengan Raja Aceh? Ah... rupanya ada lagi makam lain yang boleh diziarahi. Tetapi niat awal Rasyid adalah pergi ke makam Mas Merah... “Tak mengapalah Lelek. Biar kita ke makam Mas Merah dahulu. Lepas itu baru kita lihat makam yang ini,” jawabnya.

“Sukahati kamulah nak. Aku mana-mana pun boleh,” kata Lelek, selamba. Memang ada gaya watak kartun Mr. Magoo...



Jika dahulu saya meminta Lelek membawa ke makam Mas Merah terlebih dahulu, kali ini saya membawa isteri dan anak ke makam panjang lebih awal. Ini kerana kedudukannya memang lebih dekat dari masjid. Lihat Makam-makam panjang di (The long tombs at) Pulau Kampai. Sekarang biar diletakkan sedutan berkaitan daripada buku "Membela syiar yang asal" di mana ceritanya berlaku setelah pergi ke makam Mas Merah... dari muka surat 152.


“Bagaimana sekarang? Mahu lihat makam yang lagi satu,” tiba-tiba Lelek mengejutkan Rasyid daripada lamunan nostalgia kenangan lama.

Terpana sebentar pemuda itu kebingungan. Apa yang berlaku telah meninggalkan kesan penyesalan yang tidak terhingga sampailah sekarang... Bukan mudah hendak melupakan kenangan silam, apalagi jika melibatkan orang yang tersayang. “Aa.. ah... Boleh lah,” dia menjawab lemah...

Dalam keadaan separuh sedar, Rasyid cuma menurut sahaja langkah Lelek pergi ke makam purba yang tidak diketahui asal-usulnya. Setakat yang penduduk tempatan tahu, makam itu sudah wujud lama sebelum nenek-moyang mereka berhijrah ke Pulau Kampai, tiga atau empat generasi yang lampau. Lelek membukakan pintu bangunan makam yang tidak berkunci lalu masuk ke dalam. Kelihatanlah dua makam yang agak panjang, masing-masing dua tiga kali panjang daripada mana-mana kuburan biasa...

Makam-makam itu tidak sama saiznya. Makam yang lebih panjang ditandai batu nesan Aceh seperti tombol pintu besar atau buah catur askar bersegi enam seperti pernah dilihat Rasyid di Makam Tok Pasai, Kuala Kedah dan Makam Syed Yassin di Bukit Puteri, Kuala Terengganu. Makam lebih pendek pula ditandai batu nesan Aceh bersayap seperti terdapat di Makam Sultan Alauddin Riayat Shah Melaka di Pagoh, Muar serta Makam Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah di Bota Kanan, Perak.

Kebanyakan penduduk menganggap makam-makam ini milik pasangan suami isteri - yang lebih panjang milik seorang lelaki kerana saiz serta batu nesan seperti tombol, yang pendek milik perempuan lebih-lebih lagi kerana batu nesannya bersayap. Mereka tidak tahu batu nesan bersayap begini biasa digunakan kerabat diraja lelaki terdekat... Serupa dengan batu nesan para Sultan termasuk pengasas keSultanan Samudera dan Pasai, Sultan Malikus Salih berdekatan Lhoksuemawe, Aceh juga Sultan-sultan Aceh yang kebanyakkannya diabadikan di Banda Aceh, hujung utara Sumatera. Batu nesan tombol pula biasanya menandakan pemiliknya adalah bangsawan bertaraf ulamak yang mempunyai kaitan dengan keSultanan Aceh...

Tiba-tiba terbetik di fikirannya, mungkin makam dengan batu nesan bersayap ini adalah makam Sultan Malikul Mansur yang ingin dicari dan makam di sebelahnya pula makam guru serta Perdana Menteri baginda iaitu Said Semayamuddin? Apakah Pulau Kampai yang rata-rata mendatar tanpa bukit, tidak seperti lazimnya bentuk geografi kebanyakan pulau sebenarnya adalah Padang Maya yang diSsebut di dalam Hikayat Raja-raja Pasai?

Makam ini memang terletak di atas padang ... Padang sekolah rendah yang diliputi pasir dengan serpihan kulit siput dan kerang. Bezanya, hikayat itu membayangkan Padang Maya sebagai terletak di antara Temiang dan Jambu Ayer, kedua-dua lokasi di utara sedangkan Pulau Kampai terletak lebih 40km ke selatan Temiang. Apapun, pemuda itu pasti makam purba ini memang mempunyai kaitan dengan Malikul Mansur kerana seperti makam Keramat Kuala Bidor di Perak (seperti tersebut di dalam “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti”), ia dikatakan pernah dijaga oleh seekor harimau yang tempang satu kakinya, dikenali sebagai harimau tepok...



Biar diingatkan cerita dalam buku dibuat berdasarkan ingatan semata-mata tanpa ada rekod perjalanan baik dalam bentuk gambar mahupun tulisan. Ingatan saya tentang batu nesan di makam yang lebih panjang masih boleh dipakai tetapi makam lebih pendek mungkin boleh dipertikaikan. Ini kerana walaupun batu nesannya berkepak seperti di makam Sultan Malikus Saleh ada kelainan pada bentuk kepala yang kelihatan menunjukkan ia milik orang perempuan. Nampaknya saya sudah silap membuat penilaian apabila cuba mengaitkannya dengan Sultan Malikul Mansur, cucu Sultan Maliku Saleh. Tak mengapalah. Itu daripada pengalaman lebih 7 tahun lalu di mana saya begitu taksub ingin mencari jejak Malikul Mansur yang tidak diketahui makamnya di mana...


Dalam bangunan makam panjang ini turut terdapat sepasang batu nesan yang telah tercabut.



Saya diberitahu ia milik orang Kedah yang paling awal berhijrah ke Pulau Kampai, katanya sekitar abad ke 18 Masihi.



Oh. Biar diberitahu ziarah kami ke makam ini sebenarnya ditemani seorang ahli masjid yang nenek moyangnya berasal dari Pulau Pinang. Beliau seterusnya membawa kami melepasi beberapa rumah warga tempatan.



Sekarang baru kita melawat makam Mas Merah. Baru boleh diletakkan cerita panjang lebar buku, dari muka surat 140-142 bermula dari perenggan selepas sedutan yang telah diletakkan pada gambar ke-5 artikel ini, gambar isteri dengan anak memegang beg selepas keluar dari bot...


Beberapa hari sebelum berangkat meninggalkan Kuala Lumpur, pemuda ini sempat singgah di rumah seorang kawan untuk mengambil balik sebuah barang peribadi miliknya yang telah lebih tiga bulan ditinggalkan di sana, barang yang menurut nasihat seorang rakan lain elok dibawa bersama ke Aceh kerana mungkin akan jadi berguna di sana. Kebetulan ketika berada di rumah itu, filem Enam Jahanam yang sudah berapa tahun tidak ditontonnya sedang disiarkan di televisyen. Lebih menarik lagi, ada pula watak sokongan utama bernama Mas Merah (ke Masmira? Yang pasti bunyinya macam Mas Merah), isteri kepada Tantari, seorang saudagar kain yang dilakonkan seniman agung berketurunan bangsawan Aceh itu.

Mengikut cerita filem, Mas Merah adalah anak kepada mahaguru silat yang mengajar Tantari ilmu perajurit di dalam sebuah gua terpencil di sebuah negeri. Anak gadis yang menemani bapanya bermastautin di gua itu juga bertugas menyediakan makanan untuk murid-murid bapanya yang berjumlah sekitar 20 orang. Di sinilah Tantari yang tidak henti-henti asyik berlatih bermain senjata tekpi berjaya menarik perhatian Mas Merah.

Seperti lazimnya dalam cerita-cerita sebegini, mereka jatuh cinta. Apabila tempoh perguruan hampir tamat, pasangan ini tidak dapat membendung rasa untuk bersama. Mahaguru pun menikahkan mereka. Pesannya kepada Tantari, jagalah Mas Merah baik-baik. Tantari bersumpah akan menjaga isterinya bersungguh-sungguh walau terpaksa menggadaikan nyawa. Setelah tamat perguruan, beliau pun membawa isterinya pulang ke kota lalu meneruskan kehidupan sebagai seorang saudagar kain.

Pada satu malam, Mas Merah telah mengajak suaminya bergambar bersama di kedai mereka tetapi Tantari terpaksa keluar kerana ada urusan. Tinggallah Mas Merah seorang diri menunggu Cina tukang gambar daripada kedai berdekatan datang seperti yang dijanjikan. Tidak disangka datang pula enam orang perompak ganas bergelar Enam Jahanam... Penjahat tidak berperikemanusiaan itupun tertarik dengan rupa-paras Mas Merah lalu mula mendekatinya. Cina tukang gambar yang sudah tua cuba melarang tetapi terus dibunuh Enam Jahanam. Orang-orang sekeliling pula telah lama ca alif but kerana tiada seorang pun yang berani berhadapan dengan para pengganas ini. Mas Merah yang tidak mampu mempertahankan diri pun dirogol bergilir-gilir sebelum dibunuh dengan kejam.

Apabila Tantari kembali, dia terkejut melihat kedainya tunggang-langgang. Dan alangkah terperanjatnya melihat isteri tersayang mati terkulai dalam keadaan menyedihkan. Beliau teringat sumpahnya untuk mempertahankan Mas Merah walau terpaksa menggadaikan nyawa lalu bertekad akan mencari dan membunuh orang yang empunya angkara.

Kebetulan Cina tukang gambar sempat mengambil gambar kesemua anggota Enam Jahanam. Setelah diberitahu orang sekeliling, itulah gambar si perompak, Tantari pun tahu siapa yang perlu dicari... Lalu keluarlah dia menyandang balik tekpi berkembar yang sudah lama digantung di dinding rumah untuk pergi memburu dan membunuh ahli kumpulan itu satu demi persatu. Muncul pula watak bernama Laksamana Damburi yang akan menjadi kawan karib Tantari ketika memburu penjahat-penjahat ini.

Dipendekkan cerita, setelah beberapa hari mengembara, Tantari pun selesai membalas dendam. Kebetulan rumah Laksamana Damburi terletak tidak jauh daripada tempat anggota terakhir Enam Jahanam dibunuh... Beliau pun mengajak rakannya bertandang, terjumpa pula adik perempuan Laksamana yang mukanya saling tak tumpah seperti muka Mas Merah!

Tantari menyangkakan itulah mendiang isterinya datang hidup kembali. Dalam keadaan itu, bapa Laksamana Damburi pula kembali ke rumah. Rupa-rupanya dialah mahaguru yang mengajar Tantari ilmu perajurit di gua terpencil dahulu dan adik kepada Laksamana pula adalah saudara kembar Mas Merah! Jadilah happy ending... Tantari dapat berkahwin dengan kembar Mas Merah yang seiras seperti mendiang isterinya dahulu. Tammat...

Semasa menonton cerita ini di Kuala Lumpur, Rasyid kurang memberi perhatian tentang Mas Merah, apalagi kaitannya dengan apa yang akan berlaku di Pengkalan Brandan nanti. Dia lebih banyak memikirkan tentang cara Laksamana Damburi membahasakan diri sebagai “Nanda” apabila bercakap dengan bondanya. Teringat pula nendanya, almarhum Atuk Perak, suami Nenek yang dikenali orang kampungnya sebagai “Nanda”.

Kebetulan kampung itu mempunyai kaitan rapat dengan keluarga Laksamana Perak. Seolah-olah ada sesuatu yang hendak diberitahu, ada petunjuk untuk Rasyid mencari cerita-cerita lama di dalam perjalanannya “Berpetualang ke Aceh.” Inilah yang menyebabkan pemuda ini pasti dia mesti ke Pulau Kampai lebih-lebih lagi apabila mendapat tahu perairan di sekitar pulau itu bernama Teluk Aru, berdasarkan nama sebuah kerajaan lama iaitu Haru yang pernah wujud suatu masa dahulu.

Kitab Sejarah Melayu menyebut Haru pernah menjadi sebuah negeri besar yang setaraf dengan Melaka dan Pasai... Kerana cuma “raja dua buah negeri itu sama besarnya dengan Raja Melaka, tua muda sekaliannya berkirim salam jua.” Semasa itu, awal zaman kegemilangan Melaka, sekitar awal abad ke 15 Masihi, Haru merupakan sebuah kerajaan yang hebat lagi kuat dengan sempadan utaranya di Temiang, melepasi sempadan Aceh-Sumatera Utara sekarang dan sempadan selatannya beratus kilometer jauh ke Rokan, sekarang ini di dalam wilayah Riau. Tetapi kitab itu tidak menyatakan Haru setaraf dengan Melaka dan Pasai kerana keluasan wilayah dan jajahan takluknya. Sebaliknya ia mendapat penghormatan itu kerana kebesaran raja serta ketinggian daulatnya. Siapakah Raja Haru ini sehingga boleh menjadi setaraf dengan Raja Melaka dan Pasai?



Ini pula sedutan dari muka surat 148-149 yang bersambung selepas akhir perenggan yang diletakkan di bawah gambar ke-10, gambar yang menunjukkan padang berdekatan makam panjang.


Mereka pun menyusur ke belakang sebuah rumah yang terletak tidak jauh daripada bangunan makam tadi. Sampailah ke makam Mas Merah yang dilindungi sebuah pondok kecil berbumbung... Di sebelahnya, di dalam lingkungan pondok yang sama, terdapat sebuah lagi makam yang serupa, yang batu nesannya juga disaluti kain kuning menandakan pemiliknya juga dianggap keramat atau mempunyai titisan darah raja.

“Yang sebelah itu kata orang, suami Mas Merah,” beritahu Lelek.

Rasyid meneliti tulisan di batu nesan kedua-dua makam. Tercatat nama kedua-dua pemilik, masing-masing dikatakan kembali ke rahmatullah sekitar tahun 1930an... Itupun kalau mengikut kajian ahli sejarah tempatan yang meletakkan batu nesan itu untuk menggantikan batu yang lama. Menurut Lelek, batu nesan asal tidak tercatat apa-apa.

Penduduk Pulau Kampai pula percaya Mas Merah dan suaminya meninggal dunia pada pertengahan abad ke 19 atau lebih awal. Masing-masing mati kerana penyakit ganjil yang tidak dapat diubati, tidak sampai seminggu antara satu sama lain ini Apapun, Rasyid sudah sampai ke makam itu dan dia percaya mesti ada hikmah yang akan terbuah nanti…


Dalam buku saya menyebut tercatat tahun meninggal dunia 1930an. Bila dah datang lagi siap mengambil gambar baru saya tahu ia sebenarnya 1920. Lihat artikel Makam (Tomb of) Mas Merah.


Satu lagi sedutan panjang lebar. Pada muka surat 154-157 ada tertulis begini...


Esok selepas solat Subuh dan sedikit wirid di masjid, pemuda ini tergerak untuk berjalan seorang diri menghampiri makam purba. Daripada situ, dia terlihat pemandangan laut yang amat indah, berlatar-belakangkan langit yang masih merah menunggu matahari terbit... Sangat indah! Apabila sinar matahari mula memancar membelah awan, kelihatan pula cahayanya terpecah merata arah seolah-olah memercik dilantun riak air laut... Jadilah ia berjuta bintik emas berkilauan berjoget riang dalam pesta kemilau yang amat mempesonakan, dihiasi pula kelibat para nelayan yang mula keluar ke laut meluncur lembut dengan perahu masing-masing mencari rezek... Jadilah bayang-bayang hitam bergerak tenang di sebalik permainan alam.

Pemandangan yang amat mengasyikkan ini menyebabkan Rasyid terus berjalan ke laut, sampai ke sebuah tebing tinggi dengan sebatang pohon yang agak rendang, menjulur keluar daripada tepi tebing, condong ke laut.
“Eh... Macam pernah nampak ini,” hatinya berbisik. Pohon condong di tebing tinggi pantai, menjulur ke laut menggamit kenangan. Seperti ada makna di sebalik pemandangan ini... Ah... Rasyid deja vu lagi...

Tiba-tiba pemuda ini teringat dua buah mimpi berkaitan yang pernah dialami dahulu . Dalam mimpi pertama, kalau tak salah ingatan berlaku semasa dia masih menuntut di England ketika berumur sekitar 23 tahun, Rasyid mendapati dirinya berada di sebuah teluk yang airnya sangat dalam dan amat jernih... Daripada tebing teluk, menjulur keluar pohon condong yang rendang, sama rupanya seperti pohon tepi pantai di Pulau Kampai yang dilihat di alam nyata. Bezanya, di dalam mimpi, pohon itu lebih besar dan bahagian bawahnya iaitu pangkal dan akar terbenam ke dalam air. Apapun, dia dapat melihat, jika tebing tinggi di pulau ini dinaiki air sampai ke gigi, keadaannya mungkin saling tidak tumpah seperti di dalam mimpi.

Dalam mimpi itu juga, Rasyid sempat berenang-renang di sekeliling pangkal pohon itu dengan amat riang sekali. Airnya terasa lain dari yang lain, tidak seperti mana-mana air yang pernah ditemui di dunia nyata... Ringan, tidak basah... Sangat jernih dan ada semacam kelembutan melebihi sutera yang membolehkannya bernafas di dalam. Paling dia tak dapat lupakan, tempat itu berserta pohon dan teluknya terasa seperti rumah, seperti home sweet home yang dicari-carinya seumur hidup tetapi belum lagi terjumpa!

Beberapa tahun kemudian, barulah Rasyid mendapat sebuah lagi mimpi yang dapat memberikan rasa selesa yang amat menenangkan ini. Dalam mimpi itu, dia berserta tiga orang saudara telah menaiki kereta mendaki sebuah bukit yang letaknya entah di mana... Pemandangan di bawahnya kelihatan seperti di Muar, bandar kelahirannya... Tetapi kenyataannya tidak pernah wujud bukit sebegini malah apa-apa jenis bukit di sekitar bandar itu! Apabila sampai di atas, terjumpa pula sebuah papan tanda bertulis perkataan “Aji Yaki Dastagi”, tidak tahulah apa maknanya… Pelik bukan?

Anak muda inipun melangkah keluar kereta, sampai ke suatu dataran lalu disambut dua barisan manusia, kiri dan kanan yang kelihatan seperti orang-orang Asli. Pada muka mereka terlukis bintik-bintik hitam, mulut pula sentiasa bergerak seperti ikan di darat tercungap-cungap mencari nafas. Lebih pelik lagi, keluar lafaz yang bunyinya seperti “ketak, ketak, ketak...” daripada setiap mulut tetapi Rasyid merasakannya seperti zikir mengingati Allah yang amat menenangkan! Latar-belakang mimpi bertukar apabila pemuda itu tiba-tiba mendapati dirinya berada di dalam sebuah bangunan berdekatan dengan rekabentuk seakan kuil lama tanpa berhala. Yang ada, cuma lampu minyak seperti lampu Aladdin tergantung di beberapa tempat serta sebuah kolam berbentuk empat segi dengan air yang amat jernih.

Selama di dalam mimpi, pemuda itu dapat merasakan ketenangan jiwa yang amat sangat. Setelah beberapa ketika tibalah masanya untuk beredar... Tahu-tahu sahaja, dia sudah berada di dalam sebuah lif menuruni bukit. Ait??? Tak logik bunyinya bukan tetapi itulah yang berlaku. Lif itu pula terbuka, tidak berdinding... Maka terhamparlah pemandangan seperti di bandar Muar dengan sebuah pelabuhan di kuala sungai penuh dengan yatch atau kapal layar, sedangkan pelabuhan sebegitu tidak wujud di bandar itu... Atau mungkin ia akan wujud suatu hari nanti? Di hujung kuala sungai yang luas itu pula Rasyid ternampak sebuah teluk kecil dengan pohon rendang... Sama seperti yang pernah dilihatnya di dalam mimpi terdahulu, lebih kurang seperti apa yang terdapat di Pulau Kampai secara nyata. Lebih pelik lagi, hujung kawasan teluk ini bersambung sampai ke Sumatera!

Sebaik sahaja terjaga daripada mimpi, Rasyid terasa sebak yang amat sangat. Pemuda itu terus menangis teresak-esak... Sedih kerana rasa terputus hubungan dengan home sweet home yang dicari-cari seumur hidup. Ini berlaku ketika dia masih bekerja sebagai wartawan akhbar harian terkemuka berbahasa Inggeris di ibu kota, ketika tidur malam di atas pelantar di kawasan letak kereta pejabat di tingkat enam. Kebetulan, ketua pengawal keselamatan yang dikenalinya terjumpa Rasyid sedang menangis lalu bertanya apakah yang telah terjadi. Anak muda inipun menceritakan isi kandungan mimpi itu lalu bekas polis yang berasal dari Perak itu memberitahu, ada sesuatu yang istimewa tentang dirinya.

“Sebab itu kamu melalui perkara begini,” katanya. “Banyakkanlah bersabar kerana akan ada bermacam lagi dugaan yang terpaksa kamu tempuhi. Bukan senang untuk kamu mendapatkan apa yang dicari.”

Ketua pengawal keselamatan itu nampaknya faham apa yang dialami Rasyid. Mungkin kerana mereka selalu terserempak dan bertegur-sapa? Mungkin juga hamba Allah berumur hampir 60 tahun ini memiliki amalan kebatinan yang membolehkannya merasai sedikit apa yang dilalui anak muda itu. Lagipun dia tahu anak kelahiran Muar, Johor itu selalu tidur di kawasan terbuka tingkat enam pejabat. Itulah salah satu cara Rasyid melampiaskan naluri semulajadinya yang sentiasa ingin berkelana. Ikatan pekerjaan melarangnya keluar mengembara jauh sesuka hati, maka dia sengaja tidur di kawasan letak kereta, kadang-kala bersepah di tempat seperti taman bunga menggunakan sleeping bag, ada masa pula di rumah kawan-kawan sebagai satu cara untuk memuaskan nalurinya yang pelik.

Hakikatnya, semua itu belum cukup untuk meredakan gelora jiwa. Naluri ingin berkelananya terlalu kuat sehingga sampai satu peringkat dia tidak mampu lagi menjalankan tugasan sebagai wartawan. Sampai masanya anak muda yang sangat mendambakan tempat yang betul-betul dapat memberikannya istirehat inipun diberhentikan kerja. Rasyid pun menggunakan “kebebasan” ini untuk mengembara ke mana sahaja dia suka selain mencari tempat yang dapat memberikan rasa home sweet home seperti dialaminya dalam mimpi... Dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi kesayangannya seorang diri hampir seluruh Semenanjung Malaysia.

Dalam keadaan inilah pemuda itu berkelana sekeliling Muar sehingga ke Pulau Besar di Melaka mencari tempat simbolik seperti yang terlihat di dalam mimpi, tempat yang boleh “menyambungkan” daerah kelahirannya itu dengan Sumatera di seberang Selat Melaka. Apabila tidak dapat menemukan jawaban yang memuaskan, dia berkelana pula ke pekan Lumut, Perak yang rupanya hampir seperti bandar Muar... Dengan kuala Sungai Dinding yang luas di sisi, terdapat pula pelabuhan kecil kapal layar juga sebuah bukit setinggi 1,000 kaki, Bukit Engku Busu di pinggir pekan.

Rasyid pernah menceritakan mimpi peliknya kepada seorang Sheikh Tariqat Naqshabandiah untuk mendapatkan petunjuk di manakah tempat yang tersurat atau tersirat dalam mimpi boleh ditemui. Sheikh itu setakat memberitahu mimpinya elok, ada kaitan dengan Jabal Qaf, sebuah tempat di luar wujud alam nyata yang diduduki para wali serta orang-orang ghaib yang telah mencapai taraf kerohanian yang tinggi. Katanya, teluk tempat pemuda itu mandi pula adalah sebuah tempat “peranginan” di sana!

Rasyid juga telah menceritakan mimpi itu kepada seorang rakan yang mengikuti Tariqat Qadiriyah. Pada mulanya peguam muda itu tidak tahu bagaimana harus menafsirkannya tetapi beberapa hari kemudian, dia sibuk mencari Rasyid untuk memberitahu yang dia baru sahaja mendapat tahu daripada orang-orang tertentu bahawa mimpi itu ada kena mengena dengan Sultanul Awliya, raja segala wali iaitu Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani. Menurutnya lagi, perkataan “Aji Yaki Dastagi” yang tertera pada papan tanda yang dilihat dalam mimpi itu adalah nama Zawiyah, tempat bersuluk baginda yang asal di Baghdad, dalam bahasa Parsi lama...

“He’s calling you man, he’s calling you!”. Katanya mimpi itu adalah jemputan peribadi daripada Sultanul Awliya kepada Rasyid supaya datang kepadanya. Ah! Apa ini? Bingung pemuda itu mendengar penerangan ini...



Pantai yang dimaksudkan terletak dekat sahaja dengan makam panjang juga makam Mas Merah. Cuma kami sampai waktu petang dan air sedang surut, maka suasananya tidak serupa seperti diceritakan dalam buku. Apapun kita sambung sedutan... sedutan yang menamatkan Bab 8...


Berbalik ke Pulau Kampai. Penduduk tempatan ada menyebut, nama itu berasal daripada perkataan “Sampai”... Sempena kata-kata nelayan dahulukala yang ternampak pulau itu setelah sehari suntuk berhempas-pulas menyabung nyawa mencari rezeki di lautan lepas. Apakah ini bermakna Rasyid sudah “sampai”? Sudah jumpa apa yang ingin dicari selama ini? Rasanya tak juga... Dia cuma mendapat sekelumit rasa home sweet home yang sudah lama diidamkan. Adalah juga, daripada tiada langsung...

Tiba-tiba Rasyid teringat kembali si Nur, wanita yang sebenarnya ingin dibawa bersama “Berpetualang ke Aceh” tetapi tidak kesampaian... Ah!. alangkah baiknya jika dia dapat bersama, sekurang-kurangnya untuk berada di tebing pantai Pulau Kampai ini, di hadapan pohon rendang yang hampir serupa dengan yang dilihatnya di dalam mimpi. Perasaan inilah yang menyebabkannya membuat keputusan untuk duduk lebih lama. Lelek pula amat gembira apabila dia menyatakan akan bermalam dua hari lagi...


——————————


Banyak petunjuk yang diperolehi Rasyid di Pulau Kampai. Dia sempat bertemu seorang tua yang dikatakan berasal daripada keturunan Sheikh Abdullah Arif, pendakwah Tasawuf yang datang membawa kitab bertajuk Bahr Lahut atau “Lautan Ketuhanan” ke bumi Serambi Mekah sekitar 1165 Masihi. Ini menunjukkan Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir Jilani memang mempunyai anak-cucu dan meninggalkan keturunan di Aceh.

Rasyid juga mendapat tahu mengenai Pulau Sembilan yang terletak bersebelahan Pulau Kampai. Mengikut cerita lisan, ia memang berasal dari kelompok Pulau Sembilan di kuala Sungai Perak tetapi “merajuk” membawa diri ke sini. Kata orang, bila air surut, masih boleh kelihatan sebuah pulau kecil yang menjadi “sauh” Pulau Sembilan, “sauh” yang bersambung melalui “tali” yang merupakan sebuah beting pasir yang agak panjang.

Bagi pemuda itu, cerita mengenai Pulau Sembilan ini menunjukkan memang terdapat kerabat diraja lama bumi Serambi Mekah pernah bertapak di sekitar Teluk Aru sebelum membawa diri ke Perak. Dan jika pulau itu boleh “merajuk” menyeberangi Selat Melaka, mungkin perkara yang sama juga berlaku kepada Pulau Kampai? Mungkin Pulau Kampai itulah Padang Maya yang dinyatakan kitab Sejarah Melayu sebagai tempat Sultan Malikul Mansur serta Perdana Menteri Said Semayamuddin dimakamkan?

Ketika merenung kembali apa yang berlaku, Rasyid terfikir apakah ada petunjuk lain di sebalik cerita Enam Jahanam yang ditontonnya dahulu? Bukankah ia telah menyebabkannya sampai ke makam Mas Merah lalu teringat bekas buah hati sambil terkenangkan Nur sekali? Memang banyak persamaan mereka berdua tetapi apakah kaitannya dengan semua ini?

Tiba-tiba hatinya terbetik, mungkin dia kehilangan Mas kerana sifat “Enam Jahanam” yang wujud di dalam dirinya sendiri? Semasa mereka bersama, sifat panas baran pemuda itu masih begitu kuat... Seringkali wanita itu terpaksa menyaksikan pintu bangunan pecah, kayu patah serta batu berkecai akibat penangan lelaki itu dan sering-kali dia terpaksa menanggung hamburan angin buruknya. Begitu juga penangan sifat ego suka membanggakan diri, suka dipuji... Ujub, kagum atas kelebihan diri sendiri dan entah apa lagi sifat mazmumah... Sifat-sifat inilah yang menyebabkan Rasyid dilanda dilema - Dia amat menyayangi gadis itu, kalau boleh ingin bersama dengannya sahaja, tidak mahu lagi memandang yang lain... Tetapi wujud pula naluri berlawanan yang sentiasa mahukan perhatian ramai, sehingga Mas pula terpaksa menanggung beban amarah akibat dilema ini. Maka itu Rasyid perlu menghapuskan semua sifat jahanam itu sebelum boleh mendapatkan home sweet home yang dicarinya selama ini?

Apapun, pemuda itu tidak boleh mengharapkan buah hati lama yang kini bahagia menjadi milik orang.. Lagipun dialah yang telah mengkhianati serta memungkiri janji lalu menghampakan gadis itu kemudian menyuruhnya pergi. Maka itu wanita ini boleh diibaratkan seperti Mas Merah yang telah mati dalam cerita Enam Jahanam... Mati dibunuh kejahilan Rasyid yang tidak pandai menghargai kesetiaan yang diberi...

Nasib baik “Mas Merah” ini masih mempunyai seorang “kembar” yang hampir serupa sifatnya. Itulah Nur, satu-satunya gadis yang bertakhta dihatinya kini. Kebetulan pula nama bapa mereka serupa... Cuma seorang memakai nama gelaran keluarga yang diwarisi turun-temurun, seorang lagi tidak… Walaupun rupa paras mereka berbeza dengan ciri-ciri fizikal tersendiri yang mampu “mencairkan” ramai lelaki, kedua-dua wanita ini boleh dikira kembar dari segi jiwa dan perwatakan sejati. Masing-masing mampu menyelami jiwa Rasyid yang sebenar dan dapat menyayanginya dalam susah dan senang. Walaupun sekarang pemuda itu dan Nur terpisah lagi, mungkin satu hari nanti mereka akan dapat bersatu kembali lalu menjadi pasangan suami isteri seperti yang didambakan selama ini?




Cuma kali ini saya tidak mahu bermalam di Pulau Kampai kerana ada sasaran lain perlu dikejar. Disebabkan kami balik petang, orang pun tak ramai menaiki bot. Nak tak nak kena bayar lebih kalau mahu bot bergerak. Tak mengapalah, janji boleh jalan kembali ke Pengkalan Susu...


Disebabkan dah bayar lebih saya meminta pemandu agar dapat membawa kami singgah ke Pulau Sembilan sebentar... setakat hendak menjejakkan kaki sebagai syarat, dengan membawa anak kecil kami Al-Rasyid jejak sekali. Isteri saya yang sedang sarat mengandung 6 bulan menunggu sahaja dalam bot.

Tentang pulau ini ada disebut sedikit dalam sedutan atas. Sekarang biar diletakkan sedutan daripada Bab 9 buku "Membela syiar yang asal"... daripada muka surat 192-193.


Rabu pagi, 14 Januari 2004 bersamaan 21 Zulkaedah 1424 Hijrah, Rasyid bersarapan dengan Lelek diwarung tepi pantai sebelum mengambil balik kad pengenalan yang ditinggalkan di pos polis Pulau Kampai. Anak muda itupun menjejakkan kaki ke dalam bot yang akan menyeberangi Teluk Aru untuk kembali ke Pengkalan Susu dan tanah besar Sumatera. Lelek memerhatikan dengan sayu... Kelihatan air mata bergenang di kelopak. Maklumlah orang tua, umur hampir 80 tahun, hidup sentiasa keseorangan… Walaupun terdapat jiran sekeliling yang sering menjenguk bertanyakan khabar, dia masih memerlukan kehadiran keluarga atau orang yang boleh dianggap keluarga... Walaupun kehadiran Rasyid di teratak buruknya sekadar tiga hari tiga malam sahaja, pemuda ini sudah dianggapnya seperti seorang anak, lebih-lebih lagi kerana dapat berkongsi rasa dan pandangan tentang beberapa perkara berkaitan agama termasuk sedikit ilmu Sufi atau Tasawuf. Maka dari satu segi, memang mereka sudah menjadi keluarga...

Sebagai orang lama yang sudah hidup berdekad-dekad, tentu Lelek memiliki banyak pengalaman yang berguna, sudah jauh mengembara semasa muda serta merasai pelbagai ragam manusia. Dia sempat menurunkan beberapa petua orang Melayu lama untuk Rasyid... Buat bekalan berjalan-jalan di tempat orang, katanya. Tidak lama kemudian, sampailah masa untuk bot itu bergerak. Cukup sahaja penumpang dan muatan yang ingin dibawa, enjin bot itupun menderu laju lalu mula membelah perairan Teluk Aru meninggalkan Pulau Kampai serta teratak buruk Lelek... Tinggallah makam Mas Merah dan ceritanya yang berkaitan kisah Enam Jahanam lakonan seniman P.Ramlee, tinggal juga makam purba kerabat diraja Aceh yang dirasakan ada kena-mengena dengan sirah perjalanan hidup Sultan Malikul Mansur serta tebing tinggi dengan pohon rendang condong ke laut yang mempunyai makna yang tersendiri... Makna yang pernah dilihat dalam sebuah mimpi aneh, mimpi yang berkaitan Sheikh Abdul Qadir al-Jilani!

Orang tua itu terus memerhati daripada atas jeti. Rasyid melambai-lambai tangan tanda ucapan selamat tinggal. Lebih seminit kemudian barulah Lelek berpusing untuk melangkah kembali ke rumahnya, pemuda itu pula menghadap ke buritan serta perairan teluk yang terbentang luas.

Entah kenapa, tidak lama kemudian, anak Malaysia berketurunan Aceh ini tergerak pula untuk menoleh ke sebelah kanan. Rupa-rupanya ada seorang wanita berumur kira-kira sekitar 40an, bertudung dengan sebuah beg plastik penuh sayur-sayurannya di sebelah menarik perhatian...

Rasyid tidak tahu kenapa dia asyik terpanggil untuk memandang wajah wanita itu. Mungkin kerana rupanya kelihatan seperti seorang berketurunan Arab, mungkin ada darah Sharifah? Darah Ahlul Bait? Entahlah... Setelah meluncur lebih kurang 15 minit, bot itupun singgah di pulau bersebelahan, Pulau Sembilan untuk mengambil beberapa orang penumpang.

Sebaik sahaja muncung bot mencecah pantai, mulut kakak itu mula terbuka-terkatup laju seperti gaya orang berzikir. Rasyid memberikan tumpuan penuh... Lalu pemuda itu sedar mulut wanita itu sedang membuat bunyi “ketak, ketak...” serupa seperti gaya orang Asli yang menyambutnya dalam sebuah mimpi berkaitan Sheikh Abdul Qadir al-Jilani!



Sambung lagi sedutan. Oh, dalam gambar ini kami anak beranak sedang berehat melepaskan penat. Comelnya Rasyid cuba membuat gaya selamba apabila menyedari ibunya mahu menangkap gambar...


Ah... hatinya terbetik lagi. Nampaknya betullah telahan awalnya… Kedatangannya ke sini, makam-makam yang diziarahi, tempat-tempat yang dilewati memang berkait rapat dengan mimpi-mimpi yang pernah dialami juga usaha mencari jejak Sultan Malikul Mansur dan anak cucunya yang hilang ditelan zaman. Pulau Sembilan yang “merajuk” membawa diri, bersebelahan pula dengan Pulau Kampai yang mengandungi Makam Mas Merah, makam purba diraja Aceh, juga tebing tinggi dengan pohon rendang yang pernah dilihatnya di dalam mimpi... Sekarang wanita ini pula mulutnya “terketak-ketak”! Seketika itu juga, dia mendapat bayangan suatu masa dahulu, anak atau cucu Sultan Malikul Mansur pernah membawa diri ke Teluk Aru. Ketika itu ia sudah mempunyai kerajaan sendiri dengan rakyatnya terdiri daripada orang Asli Gayo dari kawasan pergunungan di tengah Aceh, juga orang Karo atau Batak dari pergunungan di selatan.

Agaknya, seperti cerita Sang Si Perba yang telah diangkat menjadi Raja di Palembang atau Merah Silu yang pernah menjadi raja di Buloh Talang (sebelum membuka kerajaan berkembar Samudera dan Pasai), begitu juga yang pernah berlaku terhadap anak cucu Sultan Malikul Mansur? Kerana rakyat tempatan menyedari kebesaran seorang raja yang dimilikinya... Dan sepertimana Sultan Melaka pernah mendapat sokongan orang-orang Laut serta Sakai, dan Sultan Aceh mendapat sokongan orang Asli Pulau Sabang, begitu juga anak cucu Malikul Mansur mendapat sokongan orang-orang hutan di sini. Maka anak atau cucunya yang tidak diketahui namanya itu telah menghidupkan, jika tidak mengasaskan kerajaan Haru yang asalnya berpusat di Teluk Aru... Di perairan tempat “pemburu” cerita-cerita lama ini bermalam tiga hari kebelakangan ini. Sayangnya, Rasyid tidak memiliki apa-apa bukti atau dokumen sejarah yang boleh menyokong telahan ini.

Sejarah pembukaan Haru yang dapat dicari Rasyid tidak menyatakan siapakah pengasasnya, apa lagi asal-usulnya. Yang ada cuma sedikit cerita rakyat mengenai asal-usul nama Haru, juga sekelumit sejarah mengenai kerajaan itu setelah ia muncul sebagai sebuah kuasa besar di rantau ini.

Sebuah sumber tempatan menyebut nama Haru berasal daripada nama pokok Aru atau pohon Rhu (seperti nama Desaru di Johor, dari perkataan Desa Rhu) yang masih banyak terdapat di perairan itu. Tetapi ada juga menyebut nama itu sebenarnya berasal daripada perkataan “haru” atau “terharu”... Kerana pernah berlaku peristiwa yang menyayat hati melibatkan sejarah awal kerajaan ini suatu masa dahulu. Lalu pemuda itu terfikir, apakah ini disebabkan perasaan sedih anak Sultan Malikul Mansur yang bukan sahaja kehilangan bapanya yang mangkat di Padang Maya setelah lama dibuang negeri malah kerajaannya Samudera pula diambil orang?

Mengikut sumber luar pula, Haru muncul dalam sejarah rasmi melalui catatan seorang pengarang Parsi bernama Rasyiduddin tahun 1310 Masihi. Dia menyebut Haru sebagai sebuah pelabuhan penting di Sumatera selain Perlak yang terkenal lebih awal. Sekarang fikirkan... Sultan Malikus Salih mangkat sekitar 1297 (atau 1292, ada juga kata 1289) sedangkan peristiwa Malikul Mansur mengambil dayang istana Pasai lalu dibuang negeri berlaku tidak lama selepas baginda menggantikan nendanya di atas takhta.. Tempohnya dibuang negeri beberapa tahun sebelum mangkat di Padang Maya boleh dikatakan selari dengan kemunculan nama Haru 1310. Ketika itulah ahli keluarga baginda “hilang” daripada lipatan sejarah sedangkan Hikayat Raja-raja Pasai menyebut baginda ada meninggalkan seorang anak laki-laki dan dua orang perempuan. Maka memang ada kemungkinan anak lelakinya yang merupakan waris sebenar kerajaan Samudera telah lari membawa diri selatan ke Teluk Aru lalu diangkat menjadi raja di sana.

Sejarah rasmi mencatatkan, Haru menjadi sebuah kerajaan besar dengan wilayah yang luas meliputi Temiang di sempadan Aceh-Sumatera Utara sekarang sehingga jauh ke selatan di Rokan. Kitab Sejarah Melayu pula menyebut pada zaman Sultan Muhammad Shah (memerintah Melaka 1424-1444), Haru dan Pasai adalah setaraf Melaka... Kerana “raja dua buah negeri itu sama besarnya dengan Raja Melaka, tua muda sekaliannya berkirim salam jua.” Mungkin ini berlaku kerana Raja-raja Haru dahulukala berasal daripada keturunan Sultan Malikul Mansur? Maka itu daulat kebesarannya sama tinggi dengan Pasai dan Melaka kalau tidak pun lebih?

Sejarah Melayu juga menyebut Haru selalu berkelahi dengan Pasai. Mungkin ini terjadi kerana anak cucu Malikul Mansur yang memerintah Haru berdendam dengan Raja-raja Pasai berketurunan Malikul Mahmud yang telah mengambil hak mereka dengan menyerapkan Samudera ke dalam Pasai? Tetapi kitab karangan Bendahara Johor Tun Sri Lanang yang dibuat awal abad ke 17 juga mencatatkan pada zaman Sultan Muzaffar Shah (memerintah Melaka 1444-1459), Majapahit pula dikatakan setaraf Melaka, di samping Pasai yang kekal setaraf dengannya. Haru nampaknya telah jatuh daripada persada kegemilangan ketika itu... Apakah yang menyebabkan Haru jatuh taraf? Mungkin telah berlaku satu perebutan takhta sehingga orang yang lebih layak dan berdaulat tersisih lalu terbuang lagi?
Selepas kejatuhan Melaka 1511, Haru telah digunakan sebagai pengkalan Portugis untuk menakluki Pasai (jatuh tahun 1514), sebelum wilayah itu dimerdekakan lalu diserap ke dalam Aceh oleh Sultan Ali Mughayat Shah (memerintah Aceh 1511-1530). Ada kajian menyebut Haru juga ditakluki Sultan ini sedangkan Hikayat Aceh mencatatkan ia cuma dapat dikuasai Aceh pada zaman Sultan Alauddin Riayat Shah al Qahar (1539-1571).

Pada zaman Sultan Alauddin Riayat Shah Alam Sayyid Al-Mukammil (1589-1604), Sultan Aceh pertama menerima kedatangan para pedagang Inggeris, Haru dikenali sebagai Ghori dengan pusatnya terletak tidak jauh daripada Pengkalan Brandan. Dalam tempoh ini, ia pernah memberontak di bawah kepimpinan Merah Miru yang mengubah kesetiaannya kepada kerajaan Johor Lama. Pada zaman Sultan Iskandar Muda (memerintah Aceh 1607-1636), Haru atau Ghori langsung dipukul mundur lalu terus ditakluki dibawah pemerintahan Panglima Aceh, Laksamana Kuda Bintan Gocah Pahlawan Muhammad Dalik. Keturunan Panglima ini terus memerintah Delli dan semenjak tahun 1814, ia dikeluarkan daripada pengaruh kekuasaan Aceh lalu dikenali sebagai keSultanan Deli yang berpusat di Medan.



Kami sampai di Pengkalan Susu waktu senja. Sempatlah mengambil gambar sebuah surau cantik berdekatan jeti diikuti gambar masjid besar pekan. Lihat Surau (Small praying hall of) Nurul Hikmah, Pengkalan Susu dan Masjid Raya (Mosque of) Bitrul Tajriyan, Pengkalan Susu. Kelihatan di sini pula isteri dan anak sedang menunggu kenderaan di hadapan masjid. Kami perlu keluar dari Pengkalan Susu turun di jalan besar sebelum boleh mendapatkan kenderaan lain untuk ke sasarannya seterusnya... masuk ke wilayah Aceh Darussalam, satu perjalanan yang lebih 7 tahun lalu perlu dibuat susah-payah akibat darurat perang sehingga menjadi latar belakang siri buku atau novel "Berpetualang ke Aceh"... :]