Salam. Pertama daripada 3 majlis ilmu yang mahu diikuti di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) minggu ini.
Petang selepas Zohor, Rabu 20 Mei 2026 menghantar isteri ke WTC (World Trade Centre, dahulunya PWTC) untuk majlis konvokesyen anak.
Dari situ bergerak ke ISTAC untuk menyertai majlis ilmu.
Poster bagi majlis. Ia adalah tentang almarhum Profesor Diraja Tan Sri Syed Naquib al-Attas dan ISTAC menurut Profesor Dr Kamar Oniah, graduan pertama institusi.
Kamar memulakan dengan mengucapkan terima kasih dan syabas kepada ISTAC kerana mengundang untuk bercakap. Dinyatakan tujuan majlis adalah untuk mengenang almarhum Syed Naquib (baru meninggal dunia 2 bulan lebih lalu. Almarhum adalah pengasas ISTAC).
Diberi sedikit latar belakang sendiri. Kamar masuk ke UiTM (Universiti Teknologi MARA) pada tahun 1974, ketika itu masih ITM (bertaraf institut), dalam bidang undang-undang. Syed Naquib ada memberikan syarahan. Paling terkesan apabila almarhum menyatakan keadilan adalah meletak sesuatu pada tempatnya yang benar. Kamar kemudian bertukar ke bidang sastera Inggeris.
Pada tahun 1981, di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) Bangi, beliau diundang ke pejabat Syed Naquib. Selepas itu selalu ke rumah almarhum. Di situlah melihat Osman Bakar (Profesor Emeritus Datuk Dr, pemegang kedua Kursi Al-Ghazali di ISTAC iaitu selepas Syed Naquib, sekarang turut menjadi Rektor UIAM iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, badan induk yang menaungi ISTAC) juga Anwar Ibrahim (Perdana Menteri Malaysia sekarang) turut selalu hadir mengikut perbincangan ilmu dalam suasana penuh kekeluargaan.
Kamar kemudian melanjutkan pelajaran di Temple University, Amerika Syarikat lalu memperolehi ijazah sarjana. Pelajaran di peringkat lebih tinggi (PhD) terhenti apabila Profesor Ismail Faruqi (seorang lagi tokoh pemikir besar dunia Islam, guru utama Kamar di sana) dibunuh (tahun 1986).
Syed Naquib pun mengajak Kamar menyambung PhD di bawah beliau. Ketika itu ISTAC baru sahaja diasaskan, sebelum 1987 dalam sebuah bungalow di Petaling Jaya. Beliau didaftarkan sebagai pelajar pertama institusi, pada ketika ISTAC sendiri belum didaftarkan secara rasmi. Tahun 1987 baru ia betul-betul berdiri, dengan Syed Naquib sebagai Pengasas-Pengarah. Tahun 1994 baru kampus (lama) di Bukit Damansara mula beroperasi. Tahun 1996 kampus sekarang (di persekitaran Bukit Tunku, lebih tepat di kawasan Duta) mula dibina lalu beroperasi tahun 2000.
Dinyatakan bagaimana Syed Naquib sangat terlibat dalam segala aspek pembinaan kampus di Damansara, tentang wawasan dan misi beliau yang sangat meluas dan mendalam. Ia dirasmikan pada tahun 1991 oleh Tun Muhathir, semasa itu Perdana Menteri Malaysia.
Pada tahun 1996 Kamar muncul sebagai graduan pertama ISTAC. Diceritakanlah bagaimana Syed Naquib menyatakan beliau sebagai "kelahiran pertama kita".
Dinyatakan ISTAC sebagai institusi akademik Islam pada tahap tertinggi, diasaskan oleh salah seorang pemikir paling terkemuka dunia Islam zaman kini iaitu Syed Naquib (hidup 1931-2026). Apakah yang diharapkan dari ISTAC dan para graduannya.
Kamar kemudian memberikan kategori beliau tentang para sarjana dan kesarjanaan mereka. Paling tinggi adalah sarjana yang mengubah pemikiran orang. Syed Naquib dan Osman Bakar termasuk dalam kalangan ini.
Kamar mencadangkan agar kampus lama ISTAC di Damansara dijadikan pusat budaya dan dialog UIAM. Dirikan sekali ruang legasi al-Attas merujuk pada Syed Naquib.
Sebagai penutup dicadangkan agar nama penuh ISTAC ditambah nama Syed Muhammad Naquib al-Attas di hadapan. Ikuti sendiri majlis melalui video bawah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan