OK. Pergi ke fasa keenam perjalanan. Bersambung daripada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - KB ke KT dan Tok Kenali.
Fasa perjalanan kali ini adalah paling panjang menyusuri pantai. Menurut Google Map jarak dari KT ke Kuantan menggunakan laluan persisiran adalah sekitar 220 km. Daripada jumlah itu saya anggarkan lebih 80% memberikan pemandangan pantai dan Laut China Selatan dari tepian jalan.
Gambar atas ini diambil daripada artikel Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - Penat lelah pusing Dungun sebelum berkejar ke Kuala Terengganu dan Jerteh tahun 2012. Ia menunjukkan satu pemandangan di pantai Rantau Abang sekitar 60 km ke selatan KT. Perjalanan berbasikal lebih 31 tahun harus melalui tempat ini lalu memberikan pemandangan yang sama kerana tidak diganggu gugat oleh pembinaan. Rantau Abang kini mungkin tidak lagi terkenal tetapi bagi saya yang baru pertama kali sampai ketika itu ia adalah sesuatu yang amat besar kerana sering terbaca tentang kedudukannya sebagai suatu tempat utama penyu bertelur di Malaysia.
Saya ingat kerana hal ini ada disebut dalam buku teks sekolah dan banyak lagi bacaan. Besar kemungkinan kami ada berhenti berehat di tempat yang kelihatan.
Apapun 6 km selepas bandar Chukai yang terletak di dalam daerah Kemaman masuklah kami ke negeri Pahang. Sepanjang 60 km gitu baki perjalanan ke Kuantan boleh ditemui banyak pantai menarik dan selamat untuk bermandi manda. Gambar daripada artikel Misi penganjuran HIKMAH IV - Dari Tokku Paloh ke Tanjung Api tahun 2013 ini diambil di satu bahagian pantai Cherating. Letaknya sekitar 8 km selepas memasuki sempadan Pahang atau 14-15 km dari Chukai.
Walaupun sepanjang perjalanan dari KT ke Kuantan terdapat begitu banyak pantai kami cuma singgah untuk bermandi manda di suatu tempat sahaja, seingat saya di Cherating. Kalau tidak pun ia suatu pantai yang berdekatan. Seingat saya kami berkayuh buat suatu masa yang tidak terlalu lama sebelum sampai ke pantai lalu berpeluang untuk bermandi manda. Nampaknya logiklah kami telah menginap di Chukai malam sebelum itu kerana pantai boleh dicapai dalam tempoh kurang sejam dengan mengayuh basikal.
Saya tak pasti jika semua kawan-kawan atau peserta perjalanan ikut sama. Yang ingat ramai le juga ikut melayan buat perangai sama. Semasa yang lain sedang sibuk di atas lantai restoran saya bergerak turun ke bahagian dapur di belakang untuk melihat apa lagi yang ada. Tiba-tiba terdengar bunyi orang dewasa marah-marah diikuti bunyi "piap piap" seperti orang kena rotan.
Nampaknya kawan-kawan dah kena marah dengan pemilik atau penjaga restoran. Kebetulan di dapur terdapat sebuah almari atau gerubuk tinggi, rasanya lebih 6 kaki. Di atas itu ada tudung saji besar. Terus saya memanjat naik lalu masuk menyuruk di bawah tudung saji. Boleh pulak muat! Entah berapa lama dok menyorok tu tak ingat. Yang tahu apabila keadaan sudah kedengaran reda baru keluar...
Saya pun tak tahu entah apa angin yang datang boleh selamba sahaja melangkah naik kembali ke lantai kayu restoran walau ada rasa takut-takut juga. Yalah, itu sahaja jalan keluar yang ada. Takkan nak terus duduk menyorok di dapur? Kelihatanlah 2-3 orang dewasa sedang sibuh mencuci lantai. Pelik juga memikirkannya tapi saya dapat keluar tanpa ditegur apa lagi dihalang lalu kembali ke tempat ahli rombongan yang juga terdiri daripada krew sokongan dengan van. Rupa-rupanya mereka sudah lama menunggu untuk menyambung kembali perjalanan. Dengan itu berkayuhlah kami untuk sampai ke Kuantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan