Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Friday, September 09, 2016

Beruzlah ke Pantai Timur - Melihat warisan Maharaja Perba Jelai

Salam Jumaat. Adapun saya sebenarnya baru beberapa hari kembali daripada satu perkelanaan di Pantai Timur yang memakan masa 7 hari 6 malam. Perkelanaan dibuat dengan 2 tujuan utama, untuk menuntut sedikit ilmu agama juga ilmu keTuhanan dan juzuk-juzuk berkenaan Melayu daripada seorang Sheikh di Tumpat, Kelantan kemudian menghadiri majlis hol almarhum Tokku Paloh, wali besar Terengganu abad ke-17 di Kuala Terengganu. Dah alang-alang berjalan jauh gitu tentunya persinggahan dibuat di beberapa tempat. Hari ini biar dimulakan perkongsian cerita.


Perkelanaan secara rasminya bermula apabila saya bertolak bersama isteri ke stesyen minyak Petronas di Batu Caves tengah hari Selasa 30 Ogos. Di situ isteri meninggalkan saya supaya dapat diambil oleh seorang sahabat yang mahu bersama menuntut ilmu di Kelantan.


Sebenarnya sahabat itu yang mengajak saya juga beberapa orang aktivis budaya Melayu agar turut serta ke sekolah pondok. Ini adalah natijah daripada pertemuan beliau dengan Sheikh muda yang mengasaskan sekolah itu, dalam satu majlis mempromosikan keris di Patani, selatan Thailand pada awal bulan Ogos. Kelihatan dalam gambar 2 buah beg yang dibawa untuk perkelanaan. Sementara menunggu sahabat tersebut muncul dari arah Kota Damansara timbul rasa seolah-olah seperti saya sedang mengulangi perkelanaan seorang diri yang rajin dibuat ke merata tempat di seluruh Semenanjung dengan menaiki kenderaan awam juga menumpang kereta orang tahun 2003 hingga 2006 gitu.


Disebabkan hal tertentu sahabat itu muncul lebih sejam lewat berbanding apa yang dirancang. Sempat saya melepaskan isi perut kemudian bersolat jamak Zohor dan Asar di surau stesyen minyak.


Ikut rancangan asal, jam 12 tengah hari kami mahu bergerak dari Batu Caves. Saya sampai dengan isteri dalam 20 minit lewat. Tapi apa yang terjadi, jam 2 petang baru kami bergerak. Tak mengapalah. Sekurang-kurangnya saya sudah selesa berada dalam kereta yang dipandu sahabat.


Maka meluncurlah kami laju membelah lebuh raya Karak menuju ke Bentong yang terletak dalam perjalanan ke Kelantan.


Sampai di Raub saya mengajak sahabat yang membawa 2 orang anak laki-lakinya bersama menikmati hidangan enak ikan keli gulai asam rong juga beberapa masakan kampung di Simpang Kallang.


Perjalanan disambung dengan mengambil laluan ke Sungai Koyan yang boleh bersambung kembali dengan jalan utama ke Kelantan atas atau ke utara dari Kuala Lipis.


Selain mahu mengelak banyak kereta yang biasa menggunakan laluan utama Raub ke Lipis kami mengambil laluan tersebut kerana mahu singgah di Bukit Betong.


Adapun saya sudah banyak kali menggunakan laluan Sungai Koyan itu tapi baru kali ini tergerak untuk singgah di Bukit Betong. Ini kerana ketika kali terakhir bertandang ke Kuala Lipis iaitu untuk satu seminar pada 12 Mei saya baru dapat tahu bahawa Bukit Betong yang terletak cuma 1-2 km ke luar daripada laluan merupakan pusat pemerintahan lama orang besar Pahang yang bergelar Maharaja Perba Jelai. Lihat artikel Seminar Patriotisme di Kuala Lipis - Meningkatkan Patriotisme Melalui Pengalaman Sejarah diikuti 'Menimbang' air Sungai Pahang - Kaitan Perak-Aceh membawa ke Pulau Tawar dan Mat Kilau. Jawatan yang termasuk dalam orang kaya 4 istana negeri Pahang sejak lebih 100 tahun kebelakangan ini bermula sebagai satu jawatan bertaraf raja tempatan di Hulu Pahang pada zaman Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin memerintah Pahang 1592 - 1614. Sejak itu saya menyimpan hajat untuk melihat kesan-kesan sejarah berkaitan di Bukit Betong. 



Sahabat yang turut sama pun belum pernah sampai ke Bukit Betong. Cerita punya cerita, rupa-rupanya dia juga menyimpan hajat untuk ke sana kerana katanya ada juga hubungan kekeluargaan dengan Maharaja Perba Jelai. Dia pun menelefon seorang waris lalu dicadangkan agar pergi ke rumah peninggalan seorang pemegang jawatan. Disebabkan memang ada hubungan kekeluargaan kami semua dilayan dengan baik oleh ahli keluarga yang bertanggungjawab menjaga rumah lalu ditunjukkan bendera yang melambangkan kekuasaan Maharaja Perba Jelai.


Kami juga diberi peluang meneliti keris pusaka yang diwarisi ahli keluarga tersebut. Kalau tak salah ingatan bapa beliau adalah pemegang jawatan Maharaja Perba Jelai sebelum ini, penyandang sekarang adalah seorang abang beliau. Setiap adik beradik dihadiahkan sebuah barangan pusaka peninggalan ayah. Menariknya pada pangkal bilah keris ini ada terselit sekeping emas, tak tahulah untuk apa.


Seterusnya kami ke Bukit Kota yang masih terletak dalam kawasan besar Bukit Betong. 


Letaknya menyeberang Sungai Jelai hampir berhadapan rumah peninggalan Maharaja Perba Jelai tadi.


Kami dimaklumkan Bukit Kota pernah menjadi pusat pemerintahan beberapa orang Maharaja Perba Jelai. Oh, setiap pemegang jawatan dikenali penduduk tempatan dengan panggilan Tok Raja. Di puncak bukit ini terdapat sebuah masjid juga tanah perkuburan yang mengandungi makam beberapa orang Tok Raja. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)...



Makam (Tomb of) Maharaja Perba Jelai di (at) Bukit Kota



Kami juga diberitahu di sekitar Bukit Kota terdapat rumah lama milik Tok Raja yang terlebih dahulu...


Selepas cukup puas meninjau persekitaran Bukit Betong kami meneruskan perjalanan dengan menghabiskan laluan Sungai Koyan untuk masuk kembali ke jalan utama ke Kelantan lalu singgah melihat Gua Bama juga Kampung Relong yang terletak sebelah-menyebelah. Untuk maklumat tentang tempat-tempat ini sila lihat artikel 'Menimbang' air Sungai Pahang - Antara Sungai Lipis dengan Sungai Jelai yang dipersembahkan hampir 4 bulan lalu.





Dekat jam 7 baru kami menyambung perjalanan ke Tumpat. Ia masih memakan jarak sekitar 300 km. Kali ini saya pula menjadi pemandu...


Lagi 100 km lagi perjalanan gitu baru sahabat mengambil alih kembali pemanduan. Campur berhenti rehat untuk buang air, makan malam dan sebagainya kami akhirnya sampai ke destinasi iaitu sekolah pondok di Tumpat sekitar jam 12.15 tengah malam.



Ketika itu sudah masuk hari Rabu juga tarikh 31 Ogos 2016 iaitu tarikh ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-59. Rupa-rupanya kami baru sahaja terlepas satu sambutan kemerdekaan berserta tazkirah berkenaan di sekolah pondok tersebut. Pun begitu kami terus menerima layanan baik Sheikh pengasas sekolah walaupun sudah lewat. Kami dijamu dengan hidangan makan malam dan selepas itu terus diberikan sedikit ilmu keTuhanan. 

Paling menarik, apabila disebut bahawa kami mahu ke majlis hol Tokku Paloh selepas Tumpat, terus Sheikh menunjukkan satu kitab tulisan beliau yang mensyarahkan apa yang dikenali sebagai Syahadah Tokku Paloh berserta dalil-dalil berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis. Malam itu juga kami dibukakan dengan satu ilmu sulit berkenaan ucapan dua kalimah Syahadat Lailahaillallah Muhamadarrasulullah. Menariknya adalah apabila Sheikh mengupas konsep sebenar Syahadah daripada sudut perjanjian roh di alam arwah dan bagaimana ia terkait dengan perjalanan kita sendiri dalam mengenal diri dan Pencipta. 

Menurut rekod dalam kamera, gambar di atas diambil pada jam 3.04 pagi. Ini adalah sejurus sebelum kami masuk tidur di asrama sekolah pondok pada malam pertama. Ketika itu beberapa orang lagi kawan aktivis telah muncul untuk sama menimba ilmu di tempat tersebut. Sepanjang berada di situ kami bangun awal sebelum Subuh. Kami menerima limpahan ilmu secara terus daripada Sheikh setiap kali masuk ke rumah beliau untuk makan pagi, tengah hari, minum petang dan makan malam, selepas jam 2 pagi gitu baru masuk tidur. 

Hal kami boleh disamakan seperti orang beruzlah sambil menerima ilmu. Begitu banyak perkara kami terima dalam tempoh 3 hari 3 malam sejak itu...


1 comment:

Anonymous said...

Alhamdulillah ...ingatkan lama menyepi pasal sibuk shooting film....memang hubungan Patani Besar dengan kita adalah sangat rapat....teori saya,Patani Besar memang sengaja dirancang agar dipisahkan dari Semenanjung Melayu agar usaha untuk melemahkan Bangsa Melayu di kedua-dua belah bahagian mudah dilakukan...amat menyedihkan..